View
23
Download
3
Category
Preview:
DESCRIPTION
Kajian Tindakan 2015 SKBU2
Citation preview
LAPORAN KAJIAN TINDAKAN
Nama Pengkaji: ABDUL SHAFIQ BIN MD SUBAHIR
Tajuk Kajian: PENGGUNAAN POKET MINI BAGI MENINGKATKAN KEFAHAMAN MURID TAHUN 4 DALAM TAJUK PERKUMUHAN MANUSIA
MEREFLEK
1.1 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran
Saya mengajar di kelas 4 Innovation bagi mata pelajaran sains. Saya telah
menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di bawah tajuk Perkumuhan dan
Penyahtinjaan Manusia. Pada fasa penstrukturan semula idea, murid-murid perlu
menyatakan maksud perkumuhan dan hasil perkumuhan yang terlibat berdasarkan
teks petikan yang diberikan dalam kumpulan. Murid bekerja dalam kumpulan
seramai empat sehingga lima orang. Masalah pertama yang saya kesan ialah murid-
murid tidak dapat mengeluarkan maklumat penting yang terdapat dalam teks
petikan tersebut. Hal ini kerana terdapat beberapa kumpulan murid yang menulis
kembali semua ayat yang terdapat dalam petikan tersebut. Mereka tidak dapat
mengesan apakah maksud perkumuhan dan hasil perkumuhan berdasarkan
maklumat yang diberikan di dalam teks petikan.
Selain itu, murid-murid juga telah memberikan jawapan yang salah bagi soalan
hasil perkumuhan kerana mereka telah menulis “ginjal menghasilkan air kencing
sebelum dikeluarkan melalui salur kencing”. Saya melihat murid-murid saya kurang
menggunakan kemahiran berfikir mereka dan hanya menunggu jawapan daripada
guru sahaja. Tambahan pula mereka tidak mempunyai kemahiran untuk
memindahkan maklumat penting apabila menjawab soalan yang diberikan.
1
Contohnya, apabila saya meminta mereka untuk menyatakan maksud perkumuhan
berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks petikan mereka tidak menulis
“perkumuhan ialah proses penyingkiran bahan buangan daripada badan” tetapi
mereka telah menulis “perkumuhan sangat penting kepada kita” ke dalam
pengurusan grafik yang telah saya sediakan. Kegagalan murid untuk menguasai topik
tersebut kerana topik tersebut melibatkan banyak fakta dan memerlukan pembacaan
serta meneliti maklumat dengan betul.
Oleh itu, berdasarkan masalah tersebut, saya sedar bahawa masalah ini tidak
boleh dibiarkan berlarutan memandangkan murid-murid saya mempunyai potensi
untuk menguasai isi pelajaran Sains sekiranya menggunakan pendekatan dan kaedah
yang betul. Jadi, saya cuba mengatasi masalah murid di atas dengan cara
menggunakan kaedah “Poket Mini” iaitu murid dibekalkan dengan kad warna bersaiz
kecil yang berbentuk seperti peta minda.
1.2 Fokus Kajian
Berdasarkan catatan refleksi yang dilakukan, saya telah meninjau masalah murid
melalui tingkah laku murid di bilik darjah ketika mengajar topik proses perkumuhan
manusia. Ketika mengajar topik tersebut, saya mendapati bahawa hampir
keseluruhan kumpulan tidak dapat menyatakan maksud perkumuhan dan organ
perkumuhan dengan betul apabila mereka menjalankan aktiviti kumpulan iaitu
mengeluarkan maksud perkumuhan dan organ perkumuhan berdasarkan petikan teks
yang diberikan.
Masalah ini dapat dikesan apabila saya meminta murid untuk
mempersembahkan hasil tugasan kumpulan mereka di hadapan kelas dan saya dapati
daripada tujuh kumpulan hanya satu kumpulan sahaja dapat menyatakan maksud
2
perkumuhan dan organ perkumuhan dengan tepat manakala enam kumpulan lain
tidak dapat menyatakan maksud perkumuhan dan organ perkumuhan dengan tepat.
Selain itu, saya juga telah menyemak lembaran kerja yang dibuat oleh
mereka. Berdasarkan penyemakan dokumen lembaran kerja mereka saya mendapati
bahawa mereka tidak dapat menjawab soalan maksud perkumuhan dengan betul dan
menyatakan organ serta hasil perkumuhan dengan betul seperti contoh Rajah 1.
Selain itu, saya juga telah menemu bual dua orang murid secara rawak untuk
menguji kefahaman mereka tentang topik perkumuhan seperti maksud perkumuhan,
organ perkumuhan dan hasil perkumuhan. Temu bual dijalankan selepas sesi
pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Berikut merupakan sedutan daripada
transkripsi temu bual dua orang murid tersebut.
i. Sedutan transkripsi temu bual murid 1 :
Guru : Apakah perasaan anda ketika menjalankan aktiviti kumpulan sebentar tadi?
Murid : Seronok cikgu.
Guru : Apa yang membuatkan kamu berasa seronok? Susah atau mudah tugasan
yang cikgu beri?
3
Rajah 1 Contoh kesalahan murid menyatakan maksud perkumuhan dan organ perkumuhan serta hasil perkumuhan
Murid : Seronok sebab ada teka teki organ..tapi..hmm susahla cikgu tugasan tu...tak
tau mana satu organ perkumuhan( jawapan susah yang diberikan oleh murid
membuktikan mereka tidak dapat menyenaraikan organ perkumuhan dengan
baik).
Guru : Kenapa kamu cakap susah? Cikgu dah bagi petunjuk dalam teka teki kan dan
semua maklumat ada dalam petikan.
Murid : Saya tak tau nak tulis maksud dia..tak tau yang mana satu maksud
perkumuhan. Saya keliru dengan gambar organ yang cikgu bagi.
Guru : Baiklah..cuba kamu nyatakan maksud perkumuhan selepas kamu baca dalam
petikan tadi.
Murid : Hmm.. perkumuhan ialah bahan buangan.
(Jawapan murid tentang maksud perkumuhan ialah bahan buangan menunjukkan
murid tidak dapat menyatakan maksud perkumuhan dengan lengkap kerana mereka
hanya menghafal tanpa memahami isi pelajaran tersebut.)
ii. Sedutan transkripsi temu bual murid 2 :
Guru : Cuba nyatakan organ perkumuhan yang kamu pelajari setelah menjalankan
aktiviti teka teki organ tadi?
Murid : Ada empat ke tiga cikgu...saya tak tau...
Guru : Tak pa..kamu senaraikan organ perkumuhan apa yang kamu tau..
Murid : Ginjal, jantung, kulit.
(Murid keliru untuk menyatakan organ perkumuhan kerana terdapat pengganggu
organ lain seperti jantung ketika mereka menjalankan aktiviti hand’s on).
4
Setelah menganalisis transkrip temu bual tiga orang murid tersebut, saya
telah mengenal pasti bahawa murid mengalami kesukaran untuk menjawab soalan
yang diberikan kerana murid kurang menguasai tajuk perkumuhan dengan baik
seperti mereka tidak dapat menyatakan maksud perkumuhan dan organ serta hasil
perkumuhan dengan betul. Selain itu, saya mendapati murid tidak dapat
mengeluarkan maklumat yang telah mereka pelajari dengan baik kerana mereka tidak
memahami isi pelajaran tersebut dengan baik. Oleh sebab itu, walaupun saya
mengajukan soalan aras pengetahuan seperti maksud perkumuhan mereka masih
tidak dapat menjawab soalan tersebut dengan betul.
Sekiranya murid tidak menguasai konsep proses hidup manusia seperti
perkumuhan dan penyahtinjaan, murid akan mengalami masalah untuk menguasai
konsep tersebut pada tahun 5 dan 6 kerana topik ini mempunyai kesinambungan
dengan topik yang akan dipelajari pada tahun berikutnya dan apabila mereka ingin
menyambung pengajian di sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi.
Kajian saya ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman murid dalam tajuk
proses perkumuhan manusia dengan menggunakan peta pengurusan grafik yang
dikenali sebagai kaedah ‘Poket Mini’. Kumpulan sasaran bagi kajian ini ialah 2
orang murid Tahun 4 Innovation.
5
MERANCANG
Saya telah merancang kaedah penggunaan ‘Poket Mini’ kepada murid tahun empat
bagi membantu mereka memahami topik Perkumuhan Manusia dengan mudah. Saya
telah merancang satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang lengkap berdasarkan
model konstruktivisme iaitu lima fasa Needham untuk mengaplikasikan kaedah
penggunaan ‘Poket Mini’. Justeru, fasa Needham yang telah dipilih bagi
mengaplikasikan kaedah tersebut adalah pada fasa penstrukturan semula idea. Di
samping itu, instrumen kajian yang akan digunakan bagi mengumpul data tentang
penggunaan ‘Poket Mini’ adalah ujian dan temu bual.
Saya telah memilih warna yang panas bagi gabungan kad tersebut kerana ia
mampu mengaktifkan otak atau minda manusia yang melihatnya. Jadi, sekiranya
guru menggunakan bahan bantu mengajar yang berwarna , murid mampu memahami
sesuatu maklumat dengan mudah kerana daya ingatan mereka mampu menyimpan
maklumat dalam tempoh masa yang lebih lama. Justeru, pembelajaran akan menjadi
mudah kerana murid dapat melakukan pemikiran secara aktif dengan penggunaan
warna pada kad. Saiz setiap kad juga dipotong dengan saiz yang sederhana kecil
supaya murid boleh mengurus kad tersebut dengan mudah dan baik.
6
BERTINDAK
Pada fasa penstrukturan semula idea, saya telah menerangkan terlebih dahulu
tentang penggunaan ‘Poket Mini’ kepada murid. Murid telah diberikan teks
berkenaan maklumat berkaitan dengan proses perkumuhan manusia. Murid diminta
untuk mengeluarkan isi-isi penting yang terdapat dalam teks tersebut mengikut kad
yang telah diberikan iaitu maksud perkumuhan, organ dan hasil perkumuhan serta
kata kunci perkumuhan.
Setiap murid diberikan satu set ‘Poket Mini’. Ini bertujuan untuk
menyediakan peluang yang lebih besar kepada murid untuk melibatkan diri secara
aktif dalam proses pdp. Proses pencarian maklumat dijalankan di dalam kumpulan
secara perbincangan bagi menerapkan sikap kerjasama dan tolong menolong semasa
memahami maklumat tersebut. Jadi, kefahaman murid dapat dibina secara
berperingkat apabila mereka menjalankan perbincangan dalam kumpulan dengan
memindahkan maklumat yang difahami oleh mereka ke dalam ‘Poket Mini’ tersebut.
Setelah itu, guru akan meminta wakil kumpulan untuk membentangkan
maklumat yang mereka pindahkan ke dalam ‘Poket Mini’. Guru bersoal jawab
dengan murid bagi menguji kefahaman murid tentang topik tersebut. Dengan itu,
kefahaman murid dapat dibina apabila mereka memahami
maklumat yang ditulis oleh mereka pada ‘Poket Mini’ dengan
menjawab soalan lisan yang diutarakan oleh guru.
Setelah murid menggunakan ‘Poket Mini’ dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran, saya telah menjalankan ujian bagi menguji kefahaman mereka
terhadap topik tersebut. Item soalan yang dibina adalah berdasarkan subtopik yang
mereka pelajari iaitu maksud perkumuhan, organ dan hasil perkumuhan serta
kepentingan perkumuhan. Ketika murid menggunakan ‘Poket Mini’ tersebut, saya
7
dapati murid berasa teruja kerana diberikan gabungan kad yang terdiri daripada
pelbagai warna.
Setelah mengumpul data-data daripada tindakan yang dilaksanakan,
penggunaan ‘Poket Mini’ telah memberikan kesan yang positif kepada murid. Murid
dapat menjawab soalan dengan baik apabila sesi temu bual dijalankan. Keputusan
ujian yang dijalankan juga menunjukkan terdapat peningkatan daripada ujian yang
dijalankan sebelum intervensi. Penggunaan ‘Poket Mini’ dapat membantu murid
meningkatkan kefahaman mereka dalam tajuk perkumuhan manusia.
8
Rajah 2 Kesalahan murid menjawab cara perkumuhan melalui peparu
PEMERHATIAN
Hasil dapatan kajian ini telah menunjukkan peningkatan peratusan gred Ujian bagi
kumpulan sasaran selepas menggunakan ‘Poket Mini’ . Peningkatan gred Ujian ini
juga membuktikan bahawa murid telah berjaya memahami topik Perkumuhan selepas
menggunakan ‘Poket Mini’ kerana murid dapat menjawab soalan dalam ujian
tersebut. Subtopik yang diuji ialah maksud perkumuhan, organ dan hasil
perkumuhan serta kepentingan perkumuhan kepada manusia. Hal ini menunjukkan
penggunaan peta konsep berkesan dalam meningkatkan pencapaian pelajar.
Oleh itu, penggunaan ‘Poket Mini’ mempunyai kekuatan untuk membantu
murid memahami konsep Perkumuhan. Hal ini disebabkan kekuatan ‘Poket Mini’
yang menggunakan konsep seperti peta minda dan memberi peluang kepada murid
untuk mengeluarkan maklumat atau fakta penting yang perlu diketahui oleh mereka
di atas ‘Poket Mini’ tersebut. Kemahiran membuat nota melalui peta minda adalah
salah satu cara belajar yang cekap.
Penggunaan ‘Poket Mini’ yang berkonsepkan peta minda dalam pengajaran
dan pembelajaran Sains memberi kesan positif dalam membantu meningkatkan
pencapaian murid. Kesan positif penggunaan “Poket Mini” juga dapat dilihat hasil
dapatan temu bual bersama tiga orang murid. Hasil analisis deskriptif temu bual guru
bersama murid menunjukkan penggunaan “Poket Mini” telah membantu murid untuk
meningkatkan kefahaman mereka dalam topik “Perkumuhan Manusia” kerana
mereka dapat menjawab soalan kefahaman yang diberikan secara lisan seperti
menyatakan maksud perkumuhan dan kepentingan perkumuhan kepada manusia.
9
Selain itu, persepsi murid terhadap penggunaan “Poket Mini” adalah positif
kerana terdapat beberapa gabungan kad yang pelbagai warna dan terdapat pecahan
subtopik bagi memudahkan murid untuk mengulangkaji semula bahan tersebut.
Dalam tempoh pelaksanaan kajian tindakan ini, murid telah memberikan
kerjasama yang sepenuhnya kepada saya. Mereka sentiasa mendengar arahan saya
dan memberi perhatian ketika sesi penerangan diberikan dalam proses pengajaran
dan pembelajaran. Sikap murid yang baik juga menyebabkan sesi intervensi berjalan
dengan mudah dan lancar. Oleh itu, saya juga mudah untuk mengawal aktiviti
pengarajan dan pembelajaran kerana kumpulan sasaran saya melibatkan keseluruhan
murid di dalam kelas tersebut.
Setelah memilih kaedah yang ingin digunakan , saya telah mengaplikasikan
kaedah tersebut dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. ‘Poket Mini’ ini telah
membantu murid untuk memahami tajuk perkumuhan dengan baik setelah kaedah
tersebut diperkenalkan. Semua murid terlibat secara langsung ketika kaedah tersebut
dijalankan. Mereka telah menjalankan aktiviti dengan membina ‘Poket Mini’
tersebut dengan cara mencantumkan kad-kad berwarna menggunakan tali hijau.
Murid juga diminta untuk berbincang di dalam kumpulan masing-masing bagi
menentukan maklumat atau fakta yang mereka perlu pelajari ke dalam ‘Poket Mini’
tersebut.
Berdasarkan kajian yang saya jalankan, saya telah menggunakan ‘Poket
Mini’ dalam satu topik pengajaran sahaja iaitu topik “Perkumuhan Manusia” bagi
tahun 4. Oleh itu, penambahbaikan yang boleh dijalankan ialah guru boleh
menggunakan ‘Poket Mini’ dalam sesi pengajaran dan pembelajaran topik lain yang
melibatkan fakta atau konsep Sains yang banyak dan memerlukan murid
menggunakan aras kefahaman mereka bagi menguasai topik tersebut.
10
11
Recommended