View
5
Download
0
Category
Preview:
Citation preview
Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pendahuluan
Libya merupakan antara negara simpanan minyak terbanyak di Timur Tengah dengan
simpanan minyak mentah mencecah 48.4 bilion barel berdasarkan data pada tahun
2018. Namun, meskipun disebalik kekayaan yang dimilikinya, masa depan politik di
Libya terus menjadi persoalan. Libya masih diambang ketidakstabilan politik meskipun
selepas hampir satu dekad menumbangkan rejim autoritarian Muammar Gaddafi pada
tahun 2011.
Sejak tahun 2014, pentadbiran di Libya telah terbahagi kepada dua; Majlis Presiden
(Presidency Council) yang dipimpin Fayez al-Sarraj dan berpusat di Tripoli dan satu
lagi badan pentadbiran adalah Dewan Perwakilan (House of Representative - HoR)
yang berpusat di Tobruk. Majlis Presiden ditubuhkan selepas Perjanjian Politik Libya
(Perjanjian Skhirat) yang ditandatangani pada tahun 2015 dan majlis ini berkuasa
untuk melantik badan eksekutif iaitu Government of National Accord, manakala HoR
pula adalah sebuah badan legislatif. Kedua-dua badan pentadbiran ini mempunyai
paksi dan fungsi yang berbeza, tetapi kedua-duanya juga membawa hala tuju yang
berbeza.
Perpecahan badan-badan pentadbiran ditambah lagi dengan suasana politik yang
tidak menentu menyebabkan konflik yang berterusan. Persoalannya, apakah yang
berlaku disebalik sebuah revolusi yang menjatuhkan seorang pemimpin agung Libya?
Bagaimana proses transisi berlaku pasca revolusi tersebut sehingga mendorong
kepada perpecahan dan ketidakstabilan berpanjangan Kerajaan di sana? Apakah
faktor kepada konflik yang berpanjangan? Persoalan-persoalan ini masih
membelenggu politik Libya.
Penulisan ini cuba mengambil pendekatan merungkai semula latar belakang sejarah
(historical background) bagi meneliti fasa transisi politik di Libya selepas kejatuhan
Gaddafi bermula tahun 2011. Ia akan lebih menjurus kepada menghuraikan
hubungkait kepada tercetusnya konflik politik yang berlaku di Libya pada hari ini.
Fenomena Arab Spring Melanda Libya
Revolusi yang berlaku di Libya telah menamatkan 42 tahun pemerintahan Gaddafi.
Terdapat beberapa sebab yang mendorong tercetusnya revolusi menumbangkan
pemerintahan autokratik di sana. Erdag (2017) menjelaskan bahawa revolusi di Libya
dicetuskan oleh kegagalan sistem pemerintahan Gaddafi itu sendiri. Pemusatan dan
pembahagian kuasa yang tidak seimbang selain amalan nepotisme yang begitu
berakar dalam sistem pemerintahan beliau menjadi bom jangka kepada kebangkitan
rakyat.
Walaupun terdapat garis yang jelas kelemahan politik domestik yang menjadi
pendorong kepada kebangkitan rakyat Libya, suasana politik dunia Arab ketika itu juga
Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
tidak dapat dinafikan sebagai sebab yang kuat terhadap revolusi yang berlaku.
Gelombang kebangkitan rakyat yang berlaku di negara-negara sekitar Timur Tengah
dan Afrika Utara seperti Tunisia dan Mesir turut menimpa rakyat Libya. Situasi ini telah
memberikan pengaruh kepada kebangkitan rakyat Libya yang mengalami nasib yang
sama ditindas oleh pemerintah negara masing-masing.
Pada 15 Februari 2011, sekumpulan anak muda telah memulakan demonstrasi yang
dikenali sebagai Hari Kemarahan (Day of Rage). Ketika revolusi di beberapa negara
lain bermula di bandar-bandar utama, titik mula kebangkitan rakyat Libya pula
sebaliknya berlaku di Benghazi, bukan di Tripoli yang menjadi pusat pemerintahan
Gaddafi ketika itu.
Rejim Gaddafi menggunakan kekerasan bagi memadamkan kebangkitan rakyat.
Ketiadaan bekalan senjata yang mencukupi daripada kumpulan penentang
menyebabkan revolusi menjadi berat sebelah dan akhirnya memberikan kelebihan
kepada rejim Gaddafi. Keadaan ini akhirnya mendapat perhatian masyarakat global
yang mula mempertikaikan tindakan Gaddafi terhadap rakyatnya sendiri. Majlis
Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Resolusi 1970
yang meletakkan embargo persenjataan terhadap Gaddafi dan konco-konconya
selain pembekuan terhadap harta dan aset beliau. Pada 17 Mac 2011, Majlis
Keselamatan PBB sekali lagi meluluskan Resolusi 1973 yang menguatkuasakan zon
larangan penerbangan (no-fly zone) di Libya.
Penentangan terhadap rejim Gaddafi menyaksikan campur tangan ketenteraan
daripada pihak luar khususnya dibawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)
yang mahu memastikan resolusi Majlis Keselamatan PBB dikuatkuasakan. Kehadiran
NATO khususnya Perancis yang turut mendapat sokongan daripada Liga Arab seperti
Qatar hanya berlapikkan alasan Responsibility to Protect (R2P) yang telah menjadi
doktrin utama dalam PBB (Boduszyński, 2015).
Tindakan NATO terutamanya Perancis, United Kingdom (UK) dan Ameriksa Syarikat
(AS) yang menguatkuasakan zon larangan penerbangan, mengebom pusat
pemerintahan Gaddafi serta menyalurkan bantuan persenjataan kepada kumpulan
penentang di sana berjaya mempercepatkan langkah menumbangkan rejim Gaddafi.
Campur tangan asing ini adalah catalyst kepada tumbangnya sebuah rejim yang
berkuasa selama beberapa dekad di sana.
Meskipun prinsip R2P itu diterima sebagai suatu sokongan kemanusiaan ketika krisis
melanda sesebuah negara, namun penyertaan NATO tersebut tidak memulihkan
suasana di sana. Ia sebaliknya menyebabkan peningkatan ketegangan politik
domestik khususnya dalam kalangan puak kabilah di Libya serta menampakkan sikap
pendakwaan terpilih (selective prosecution) Barat terhadap dunia Arab. Hal yang
demikian kerana NATO sendiri tidak bertindak melakukan intervensi ketenteraan di
Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
negara-negara Arab sekitarnya yang turut menghadapi kebangkitan rakyat seperti
yang dilakukan terhadap Libya.
Pada Ogos 2011, pakatan pembangkang Libya bersatu dibawah National Transitional
Council (NTC) ketika rejim Gaddafi berada dalam keadaan yang semakin lemah.
Pakatan ini telah berjaya menguasai Tripoli, pusat pemerintahan Gaddafi dan
meneruskan langkah menguasai Sirte. NTC yang dipimpin Musfata Abdul Jalil turut
mendapatkan pengiktirafan daripada Rusia dan China. Misi Sokongan PBB di Libya
(UNSMIL) juga turut mula menguatkuasakan resolusi baharu terhadap Libya bagi
memastikan pembangunan politik dan sosio ekonomi rakyat Libya pasca revolusi
berjalan dengan lancar.
Akhirnya, kejatuhan rejim Gaddafi menemui titik noktah dengan terbunuhnya
pemimpin Libya tersebut pada Oktober 2011 di Sirte, wilayah yang juga merupakan
tempat kelahirannya menjadikan wilayah ini sebagai suatu simbol yang penting
kepada Libya sehingga hari ini.
Transisi Politik: Sebuah Persoalan Masa Depan
Walaupun rejim Gaddafi telah tumbang sepenuhnya, namun Libya tidak bangkit
selepasnya sebagai sebuah negara baharu. Bahkan Libya menjadi negara yang lebih
teruk berbanding sebelumnya. Suasana ketidakstabilan (instability) serta tidak
selamat (insecurity) terus membelenggu suasana politik Libya pasca revolusi.
Meskipun proses revolusi telah berjaya menumbangkan rejim Gaddafi, namun fasa
yang lebih penting adalah proses transisi bagi membangunkan semula sistem politik
dan sosio-ekonomi yang menjadi antara pencetus kepada kebangkitan rakyat
sebelum ini. Ia menjadi suatu titik persimpangan yang penting bagi Libya. Walau
bagaimanapun, konflik berpanjangan yang sedang dihadapi Libya pada hari ini
menggambarkan kelemahan proses transisi yang berlaku.
Kebangkitan kumpulan bersenjata di Libya (lihat Erdag, 2017; Asseburg & Wimmen,
2016; Silvestri, 2018) semasa revolusi berlangsung semakin tidak terkawal selepas
revolusi di sana telah berakhir. Antara kumpulan bersenjata yang lahir selepasnya
adalah seperti Libyan Dawn serta Libyan National Army yang kekal menjadi kumpulan
penentang bersenjata sehingga hari ini. Kumpulan-kumpulan bersenjata ini menerima
bantuan persenjataan daripada kuasa-kuasa asing semasa revolusi berlangsung
sehingga menyebabkan keberadaan mereka lebih kukuh dan sukar untuk dikawal
(Mather, 2014). Situasi ini menyebabkan langkah pembinaan semula politik dan
pentadbiran di sana menjadi tergendala.
Kewujudan kumpulan bersenjata yang berakar dan tidak terkawal dalam medan politik
di Libya ini telah mendorong kepada usaha membangunkan Libya pasca revolusi tidak
mencapai hasrat yang sepatutnya. Malah, usaha PBB untuk memobilisasi resolusi
Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Majlis Keselamatan mengenai keselamatan awam dan pembangunan politik dan
ekonomi di sana juga akhirnya menemui jalan buntu. Situasi ini menyebabkan kepada
ketidakstabilan politik yang berpanjangan, ditambah lagi dengan situasi badan-badan
antarabangsa yang juga tidak lagi berminat untuk mengambil bahagian terhadap
perkembangan yang berlaku di Libya (Erdag, 2017).
Selain faktor penguasaan kumpulan bersenjata, ketidakstabilan institusi-institusi
politik dan pentadbiran di Libya juga menjadi penyebab utama kepada kegagalan
proses transisi. Parti-parti politik yang terbentuk pasca revolusi masing-masing
mempunyai agenda dan kepentingan tersendiri (Silvestri, 2018). Ketiadaan satu
piagam yang jelas menjarakkan lagi perpecahan dalaman yang wujud. Kelemahan
institusi-institusi politik ini juga telah menyebabkan proses pembentukan kerangka
perlembagaan negara juga tidak mempunyai hala tuju yang jelas (Boduszyñski &
Pickard, 2013) apatah lagi NTC sendiri tidak dapat berfungsi dengan baik.
Perpecahan Politik Domestik Libya
Perpecahan sistem politik di Libya semakin jelas selepas pilihanraya pada Jun 2014.
Libya terbahagi kepada dua bentuk pentadbiran iaitu House of Representative (HoR),
badan legislatif yang berpusat di Tobruk manakala Majlis Presiden yang mempunyai
kuasa melantik badan eksekutif, Government of National Accord yang berpusat di
Tripoli.
Usaha membentuk struktur politik Libya yang lebih stabil masih menemui jalan buntu.
Hal yang demikian kerana keretakan sistem politik dalaman terus menjadi faktor
utama yang menyumbang ketidakstabilan di negara berkenaan. Badan legislatif HoR
sendiri menolak keanggotaan Government of National Accord walaupun berdasarkan
perjanjian Politik Libya yang ditandatangani pada tahun 2015 menunjukkan HoR perlu
memberikan persetujuan terhadap pelantikan Government of National Accord.
Walaupun begitu pihak Government of National Accord masih mengekalkan kuasa di
Tripoli sehingga ke hari ini, namun badan pemerintah tersebut masih gagal menguasai
keseluruhan wilayah di Libya sendiri khususnya Sirte dan Benghazi yang dikuasai
kelompok bersenjata Libyan National Army. Situasi ini secara tidak langsung
menunjukkan pengaruh angkatan bersenjata masih kuat sehingga menggugat kepada
keselamatan di negara berkenaan.
Libya Dan Masa Depan
Tentunya sukar untuk menjelaskan masa depan Libya ketika ini. Pertamanya tembok
besar yang menghalang kepada keutuhan politik adalah berpunca daripada
ketidakstabilan dan perpecahan politik domestik yang berlaku. Usaha UNSMIL untuk
merundingkan genjatan senjata bagi membina tapak-tapak penyatuan kedua-dua
kumpulan yang bertelagah tersebut masih diperingkat awal. Usaha penyatuan ini
Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
melibatkan beberapa aktor utama dalam politik Libya itu sendiri antaranya Fayez al-
Sarraj, Perdana Menteri Government of National Accord, Aguila Saleh, pemimpin HoR
yang mempunyai hubungan rapat dengan Komander Khalifa Haftar, pemimpin Libyan
National Army serta Khaled Mishri, pemimpin Majlis Negeri (State Council), sebuah
badan konsultansi yang berpusat di Tripoli.
Apa yang lebih sukar adalah pengaruh kuasa-kuasa asing yang begitu kuat berakar
di Libya ketika ini. Government of National Accord sendiri mendapat sokongan Turki,
manakala Libyan National Army pula mendapat sokongan Rusia, Mesir dan UAE.
Terbaru, badan legislatif HoR yang bersekutu dengan Libyan National Army bersetuju
untuk membenarkan campur tangan Mesir bagi menangkis kemaraan Government of
National Accord. Penglibatan kuasa-kuasa asing ini khususnya pertembungan
kepentingan di antara Turki dan Rusia telah menjadi salah satu topik penting yang
sentiasa dibangkitkan pemerhati antarabangsa.
Pertemuan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan pemimpin Turki, Recep Tayyip
Erdogan pada 8 Januari awal tahun lalu menegaskan bahawa kedua-dua pihak perlu
memainkan peranan bagi memastikan kestabilan dan kesalamatan di Libya harus
dicapai bersama. Namun, ia tidak memberikan apa-apa kesan kepada kestabilan
politik di Libya. Bahkan penyaluran senjata asing serta peningkatan askar upahan
menunjukkan kedua-dua pihak berusaha memastikan kepentingan pihak Government
of National Accord dan Libyan National Army masing-masing terus dipelihara.
Hakikatnya masa depan Libya terletak di tangan rakyat itu sendiri. Rundingan demi
rundingan adalah kunci kepada kestabilan politik di sana. Walaupun sukar untuk
menolak penglibatan kuasa luar yang sentiasa mengintai peluang, kewujudan campur
tangan asing telah membina tembok kepada penyelesaian masalah di sana. Negara-
negara berkepentingan sewajarnya menyokong usaha yang dimainkan UNSMIL
ketika ini serta berusaha menyatukan kedua-dua pihak Government of National
Accord, House of Representative (HoR) mahupun Libyan National Army ke meja
rundingan. Malah, inilah masanya Libya kembali sebagai sebuah negara dengan
sistem politik baharu selepas hampir satu dekad revolusi.
Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 6
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SENARAI RUJUKAN
Boduszyński, M. P. (2015). The external dimension of Libya’s troubled transition: the international community and ‘democratic knowledge’ transfer. Journal of North African Studies, 20(5), 735–753. https://doi.org/10.1080/13629387.2015.1081462
Boduszyñski, M. P., & Pickard, D. (2013). Libya starts from scratch. Journal of Democracy, 24(4), 86–96. https://doi.org/10.1353/jod.2013.0073
Gledhill, J. (2013). Conclusion: Managing (In)security in post-arab spring transitions. PS - Political Science and Politics, 46(4), 736–739. https://doi.org/10.1017/S1049096513001194
McQuinn, B. (2013). Assessing (In)security after the Arab Spring: The Case of Libya. PS - Political Science and Politics, 46(4), 716–720. https://doi.org/10.1017/S1049096513001170
Erdağ, R. (2017). Libya in the Arab Spring: From Revolution to Insecurity. In Palgrave Macmillan. https://doi.org/10.1057/978-1-137-58772-5
Buckley, C. A. (2012). Learning from Libya, Acting in Syria. Journal of Strategic Security, 5(2), 81–104. https://doi.org/10.5038/1944-0472.5.2.5
Silvestri, M. A. S. (2018). The Conflict Resolution, Security and State-Building Process in Libya. ILIRIA International Review, 8(2), 149–169.
Mather, Y. (2014). The Arab spring and its unexpected consequences. Critique, 42(1), 73–86. https://doi.org/10.1080/03017605.2014.909977
Asseburg, M., & Wimmen, H. (2016). Dynamics of transformation, elite change and new social mobilization in the Arab World. Mediterranean Politics, 21(1), 1–22. https://doi.org/10.1080/13629395.2015.1081448
Recommended