View
224
Download
2
Category
Preview:
DESCRIPTION
kod etika
Citation preview
Analisis Kod Etika Bimbingan dan Kaunseling (KPM)Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling ialah satu perkhidmatan yang memberi peluang
kepada sesiapa sahaja untuk berkembang ke arah kehidupan yang lebih bahagia dan
bermakna. Ia merangkumi usaha kerja dengan individu atau kumpulan. Objektif
perhubungan bimbingan dan kaunseling berbeza mengikut individu. Oleh itu, terdapat
beberapa kod etika bimbingan dan kaunseling yang telah digariskan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) yang memberi panduan kepada Guru Bimbingan dan
Kaunseling Sepenuh Masa (GBKSM) dalam melaksanakan tanggungjawab
profesionalnya. Antara kod etika bimbingan dan kaunseling adalah seperti berikut :
a Tanggungjawab guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa terhadap klien
b Tanggungjawab guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa terhadap rakan
profesional
c Tanggungjawab guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa terhadap masyarakat
d Tanggungjawab terhadap organisasi dan majikan
e Tanggungjawab pentadbir terhadap guru bimbingan dan kaunseling dan perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling
Oleh hal yang demikian, GBKSM di sekolah hendaklah melaksanakan
tanggungjawabnya dengan memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling
berpandukan kod etika yang telah dinyatakan di atas.
1.1 Analisis Kod Etika Bimbingan dan Kaunseling; Tanggungjawab Guru Bimbingan
dan Kaunseling Sepenuh Masa Terhadap Klien
Kod etika bimbingan dan kaunseling yang telah digariskan oleh KPM yang pertama ialah
tanggungjawab GBKSM terhadap klien. Ini bermakna GBKSM di sekolah haruslah
mengutamakan kepentingan klien, sama ada klien individu atau kelompok dan bukannya
memperalatkan klien untuk kepentingan diri sendiri sama ada dari aspek kewangan,
seksual, emosi dan sebagainya. Pengutamaan kepentingan klien tersebut adalah
tanggungjawab GBKSM untuk memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada
mereka seperti sesi kaunseling individu atau kelompok, bimbingan individu atau
kelompok atau konsultasi. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling berkenaan boleh
diberikan meliputi bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, akademik, kerjaya,
psikososial, keluarga, peribadi, kes disiplin, dadah atau HIV/AIDS. Oleh itu, berdasarkan
kefahaman kod etika ini dengan mengaitkan tanggungjawab profesional GBKSM,
GBKSM hendaklah memberikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dalam bidang
akademik seperti menganjurkan bengkel atau ceramah untuk memberikan ilmu
kemahiran belajar atau pengumpulan maklumat atau peluang untuk melanjutkan
pelajaran di peringkat seterusnya kepada klien. Hal ini adalah selari dengan penekanan
kod etika yang pertama ini iaitu mengutamakan keperluan klien.
Selain itu, GBKSM juga boleh memberikan perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling kepada klien dalam bidang pembangunan diri iaitu menganjurkan program
Latihan Dalam Kumpulan (LDK) untuk memberi input kemahiran kepimpinan atau
kemahiran tegas diri. Dalam pada itu, jika GBKSM atau guru-guru lain dapat mengesan
sebilangan daripada murid-murid di sekolah tidak mempunyai pengurusan diri yang baik,
maka GBKSM boleh menganjurkan program-program atau aktiviti dalam bidang psikologi
dan kesejahteraan mental untuk memberi input kepada klien-klien tersebut mengenai
kemahiran pengurusan tekanan, kemahiran pengawalan diri, kemahiran penghargaan
kendiri atau kemahiran kerohanian dalam program bimbingan kelompok, LDK. Mohd
Zain Kosnon et al (2014), salah satu elemen yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) ialah memperkembangkan potensi secara menyeluruh
dan bersepadu. Oleh itu, perkhidmatan ini adalah selaras dengan elemen-elemen yang
terkandung dalam FPK. Maka dapatlah kita lihat bahawa keperluan ini adalah
merupakan keperluan klien yang perlu diutamakan yang menjadi kepentingan dalam
tanggungjawab seseorang GBKSM selaras dengan kandungan kod etika yang pertama
ini iaitu mengutamakan kepentingan klien.
Dalam pada itu, kod etika yang telah digariskan ini menekankan agar GBKSM
untuk menghormati privasi klien dan merahsiakan segala maklumat yang diperoleh
semasa sesi kaunseling melainkan maklumat yang akan membahayakan klien atau
orang-orang yang berada di persekitarannya di samping menyediakan tempat yang
kondusif untuk menjalankan sesi kaunseling agar klien tidak diperhatikan oleh orang luar
yang boleh mengganggu proses sesi kaunseling dijalankan. Oleh itu, GBKSM hendaklah
merahsiakan segala maklumat, isi perbincangan atau apa-apa sahaja yang dibincangkan
semasa sesi kaunseling dijalankan bersama klien. Namun, GBKSM boleh menggunakan
budi bicara sebagai tanggungjawab profesionalnya untuk menjaga kepentingan klien dan
orang yang berada di persekitarannya jika maklumat, isi perbincangan atau apa-apa
sahaja yang telah dibincangkan semasa sesi kaunseling dijalankan dalam
tanggungjawab profesional GBKSM iaitu dalam bidang perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling jelas terbukti bahawa klien atau orang yang berada di persekitarannya berada
dalam keadaan yang berbahaya. Sebagai contoh, semasa sesi kaunseling di jalankan
klien menceritakan pengakuannya telah membunuh seseorang dan perkara itu telah
menghantuinya. Maka, GBKSM boleh menggunakan budi bicaranya untuk melanjutkan
kes tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab atas persetujuan klien demi
kepentingannya sendiri.
Selain itu, kod etika ini juga telah menekankan agar GBKSM hendaklah
berkhidmat dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur dan membuktikan kemahiran serta
kecekapan profesionalismenya. Oleh hal yang demikian, tanggungjawab profesional
yang harus dilaksanakan oleh GBKSM dalam bidang pengurusan dan pentadbiran ialah
mengurus sistem fail-fail yang merangkumi laporan-laporan program, kertas kerja
program, laporan dan rekod sesi, laporan kewangan dan rancangan tahunan. Bidang ini
hendaklah dilaksanakan oleh GBKSM dengan penuh dedikasi, ikhlas serta jujur untuk
membuktikan kecekapan profesionalismenya. Hal ini adalah kerana sistem fail adalah
sangat berguna kepada seseorang GBKSM untuk kegunaan pada masa yang akan
datang seperti ingin memohon lesen kaunselor di samping dapat mempermudah urusan
pihak Jemaah NAZIR datang untuk membuat penilaian ke atas perkhidmatan GBKSM
tersebut. Selain itu, sistem fail yang merekodkan sesi kaunseling yang telah
dilaksanakan oleh GBKSM boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku kes-kes yang perlu
melibatkan urusan mahkamah.
Dalam pada itu juga, GBKSM seharusnya sentiasa mengemas kini paparan dan
sebaran maklumat di papan kenyataan serta perkongsian maklumat kepada klien yang
seperti mana dalam buku yang diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang
merangkumi perkongsian seperti kemahiran pengurusan diri, kemahiran kepimpinan,
kemahiran mengurus masa atau kemahiran kesejahteraan diri. GBKSM boleh mengambil
peluang semasa perhimpunan rasmi atau perhimpunan harian di sekolah untuk
berkongsi maklumat-maklumat tersebut kepada klien. Pelaksanaan tersebut adalah
termaktub dalam bidang pembangunan diri. Tanggungjawab seperti ini hendaklah
dilaksanakan seperti mana kehendak kod etika yang pertama ini dalam mengutamakan
kepentingan klien dengan melaksanakan perkhidmatan dengan penuh dedikasi, jujur dan
ikhlas.
1.2. Analisis Kod Etika Bimbingan dan Kaunseling; Tanggungjawab guru bimbingan
dan kaunseling sepenuh masa terhadap rakan profesional
Tanggungjawab GBKSM bukan sahaja tertumpu kepada klien sepenuhnya, tetapi
tanggungjawab GBKSM juga merangkumi kepada rakan seprofesionalnya. Oleh itu, KPM
telah menggariskan kod etika yang kedua untuk dijadikan panduan kepada GBKSM di
sekolah dalam melaksanakan tanggungjawab profesionalnya iaitu tanggungjawab
GBKSM terhadap rakan profesional. Kod etika yang telah digariskan ini lebih
menekankan kepada tanggungjawab GBKSM terhadap usaha kerjasama dalam
meningkatkan tahap kecekapan profesionalismenya di samping menunjukkan sikap
menghormati, adil dan terbuka terhadap rakan profesionalnya. Dalam pada itu,
berdasarkan kod etika ini GBKSM juga bertanggungjawab untuk mencegah,
mendedahkan serta memperbetulkan perlakuan GBKSM lain yang tidak beretika. Dalam
masa yang sama, GBKSM juga dituntut untuk bersedia mempertahankan, membantu
serta membela rakan GBKSM yang teraniaya akibat daripada tuduhan dan tohmahan
perlakuan yang tidak beretika.
Jika GBKSM mendapati sebarang perlakuan atau sikap rakan profesionalnya
yang bertentangan dengan kod etika yang telah digariskan oleh KPM, maka GBKSM
hendaklah dengan profesional menegur, menasihati atau memperbetulkan tingkah laku
tersebut. Sebagai contoh, rakan profesional GBKSM yang bertindak mengambil
kesempatan terhadap klien dari segi kewangan dengan menetapkan bayaran jika berjaya
membantu menyelesaikan persoalan klien dalam melaksanakan sesi kaunseling demi
kepentingan diri sendiri GBKSM hendaklah memperbetulkan tindakan rakannya
berkenaan. Perkara ini adalah sering berlaku semasa GBKSM melaksanakan tugasnya
dalam bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Hal ini adalah demi menjaga
nama baik unit bimbingan dan kaunseling di sekolah daripada dikatakan mementingkan
diri sendiri di samping dapat meningkatkan amalan profesional mereka.
Selain itu, jika terdapat juga rakan profesional GBKSM yang melaksanakan
tanggungjawabnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran yang bertindak
menyeleweng wang sekolah, GBKSM hendaklah bertindak dengan segera bagi
mencegah perilaku yang tidak baik tersebut. Dalam Shahril Marzuki (2005) menyatakan
bahawa pengurusan kewangan di sekolah adalah satu amanah yang perlu digalas oleh
guru-guru dan pihak pentadbiran sekolah. Namun, terdapat juga sesetengah mereka
yang tidak bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan sekolah. Contoh yang dapat
dilihat adalah kemungkinan cara yang dilakukan oleh rakan GBKSM ialah menetapkan
jumlah perbelanjaan yang berlebihan daripada sasaran dalam kertas cadangan program
dan seterusnya menggunakan lebihan wang berkenaan untuk kegunaan peribadi.
Perkara ini hendaklah dicegah oleh GBKSM kerana ia akan memberi kesan yang negatif
bukan sahaja kepada unit bimbingan dan kaunseling di sekolah tersebut, tetapi juga
memberi kesan yang mendalam kepada seluruh GBKSM di Malaysia.
Dalam pada itu, jika terdapat sebarang fitnah atau tuduhan yang bertentangan
dengan perilaku rakan profesional GBKSM dalam memberikan perkhidmatan bimbingan
dan kaunseling kepada klien, maka GBKSM dituntut untuk mempertahankan, membela
dan membantunya. Sebagai contoh, klien yang telah diberikan perkhidmatan sesi
kaunseling iaitu dalam bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bertindak
menuduh rakan profesional GBKSM yang mendedahkan isi cerita sesi atau rahsianya
kepada khalayak ramai. Namun, klien tersebut terlupa bahawa dia telah menceritakan
rahsianya kepada kawan karibnya lalu cerita tersebut tersebar dengan pantas. Oleh hal
yang demikian, berpandukan kod etika ini GBKSM hendaklah membela dan
mempertahankan rakan profesionalnya untuk membantu daripada tuduhan yang tidak
benar tersebut. Demikianlah, kod etika ini sangat menjaga tatasusila perilaku serta
menegaskan tentang keperluan untuk bela-membela dan saling bantu-membantu dalam
kalangan rakan profesional GBKSM di sekolah.
1.3. Analisis Kod Etika Bimbingan dan Kaunseling; Tanggungjawab Terhadap
Masyarakat
Bidang tanggungjawab GBKSM di sekolah bukan sahaja melibatkan murid-murid atau
klien, guru-guru dan kakitangan sekolah. namun, ia juga melibatkan masyarakat. Oleh
hal yang demikian, KPM telah menggariskan kod etika ini iaitu tanggungjawab GBKSM
terhadap masyarakat demi menjaga kualiti perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di
Malaysia. Kod etika ini menuntut GBKSM agar memahami dan menghormati unsur
sosio-budaya masyarakat walau di mana sahaja GBKSM berkenaan berkhidmat.
Sebagai contoh, GBKSM yang berkhidmat di kawasan yang mempunyai pelbagai jenis
kaum dan agama seperti di negeri Sabah dan Sarawak hendaklah memahami dan
menghormati unsur sosio-budaya masyarakat berkenaan.
Oleh itu, GBKSM yang berkhidmat di mana-mana sekolah hendaklah
memberikan perkhidmatannya dengan berpandukan kod etika ini. Ini adalah penting
untuk menjaga kualiti dan menaruh kepercayaan masyarakat di sekeliling untuk memberi
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada anak-anak mereka. Sokongan dan
dorongan yang diberikan oleh masyarakat adalah sangat penting untuk menjayakan
mana-mana program bimbingan dan kaunseling yang dirancang. Contohnya, seseorang
GBKSM yang ingin melaksanakan tanggungjawabnya dalam bidang keibubapaan seperti
menganjurkan sambutan hari keluarga yang sememangnya melibatkan ibu bapa murid-
murid hendaklah menitik beratkan dan mengambil perhatian terhadap kepercayaan, adat
resam, dan budaya yang diamalkan oleh setiap ahli keluarga mereka. Justeru, GBKSM
hendaklah memahami dan menghormati apa jua kepercayaan yang diamalkan oleh
masyarakat di sekelilingnya.
Tambahan lagi, GBKSM yang ingin melaksanakan tanggungjawab profesionalnya
dalam bidang keibubapaan iaitu lawatan ke rumah murid hendaklah berhati-hati dalam
menggunakan bahasa atau dialek semasa berkomunikasi dengan ibu bapa murid-murid.
Ini adalah kerana dibimbangkan terdapat beberapa perkataan yang digunakan oleh
GBKSM bertentangan maksud yang difahami oleh ibu bapa murid-murid. Komunikasi
adalah bukan sahaja merujuk kepada percakapan, tetapi merangkumi kepada pakaian,
perbuatan diam, fesyen rambut dan barang-barang yang disimpan dan dipamer
(Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 2000). Oleh itu, GBKSM haruslah membiasakan diri
dengan cara penerimaan tetamu oleh ibu bapa murid-murid walaupun dengan cara apa
sekalipun. Hal ini adalah demi menjaga hati para ibu bapa yang dikunjungi. Sama juga
seperti program konfrens atau khidmat konsultasi yang dilaksanakan oleh GBKSM juga
hendaklah menghormati bahasa atau dialek yang digunakan oleh ibu bapa murid-murid.
Penghormatan ini adalah untuk menjayakan program yang dianjurkan oleh GBKSM di
sekolah kerana ibu bapa atau masyarakat adalah merupakan tunjang utama kepada
kejayaan program yang dianjurkan oleh GBKSM itu sendiri.
Selain itu, kod etika ini juga menegaskan kepada GBKSM agar dikehendaki
mematuhi undang-undang negara dan melaksanakan tugasnya berlandaskan undang-
undang tersebut. Kod etika ini adalah berkait rapat dengan tanggungjawab GBKSM
terhadap masyarakat. Oleh hal yang demikian, GBKSM adalah dituntut untuk
melaksanakan tanggungjawabnya dalam bidang pendidikan pencegahan
dadah/rokok/inhalan dan HIV/AIDS. Bidang ini bukan sahaja melibatkan murid-murid di
sekolah, namun juga disarankan agar melibatkan masyarakat di sekeliling dalam
menanam sikap benci kepada dadah dalam kalangan mereka. GBKSM mungkin boleh
menganjurkan program ceramah, pameran atau bimbingan kelompok kepada murid-
murid atau masyarakat yang terdiri daripada kalangan ibu bapa murid-murid. Hal ini
adalah selaras dengan kehendak kod etika ini yang menegaskan kepada GBKSM agar
melaksanakan tugasnya berlandaskan undang-undang negara dengan melibatkan
masyarakat untuk mematuhi undang-undang berkenaan di samping menghormati sosio-
budaya mereka.
1.4. Analisis Kod Etika Bimbingan dan Kaunseling; Tanggungjawab Terhadap
Organisasi dan Majikan
Tanggungjawab GBKSM juga adalah berpandukan dengan kod etika yang keempat iaitu
tanggungjawab terhadap organisasi dan majikan. Kod etika ini menekankan kepada
tanggungjawab GBKSM dalam mematuhi persetujuan komitmen yang ditandatangani
dengan organisasi di sekolah dia berkhidmat di samping berusaha mengikuti polisi dan
prosedur serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan
organisasinya. Ini bermakna GBKSM perlu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan
perkhidmatannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran. Bidang tersebut adalah
merangkumi tanggungjawab seperti bertanggungjawab atas jawatan dalam organisasi di
sekolah. sebagai contoh, GBKSM adalah sebagai setiausaha program ‘guru penyayang’
yang mana program berkenaan adalah program yang telah dituntut oleh pihak KPM
sendiri. Sebagai setiausaha program berkenaan, GBKSM hendaklah menyediakan
kertas konsep, laporan program serta penilaian program dan seterusnya membuat
sistem fail mengikut jenis-jenis fail untuk memasukkan bahan-bahan program berkenaan
di dalam fail. Oleh itu, GBKSM haruslah memastikan bahawa sistem fail adalah sentiasa
dikemas kini agar mudah untuk merujuk fail berkenaan pada program yang akan datang.
Dalam pada itu, berpandukan kod etika ini yang menekankan GBKSM agar
sentiasa bertindak untuk mencegah berlakunya diskriminasi dalam organisasi dan dalam
pelaksanaan polisi amalan pekerjaan serta sentiasa mengelak daripada
menyalahgunakan kemudahan dan sumber organisasinya. Oleh hal yang demikian,
dalam melaksanakan tanggungjawab profesional dalam apa-apa jua bidang
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling GBKSM hendaklah sentiasa memegang kod
etika ini agar tidak menyalahgunakan sebarang kemudahan atau sumber dalam
organisasinya iaitu kemudahan untuk GBKSM melaksanakan tanggungjawabnya dalam
bidang pengurusan dan pentadbiran atau mana-mana bidang yang memerlukan
kemudahan seperti bilik persendirian, pencetak dan komputer. Sebagai contoh,
sesetengah GBKSM menggunakan bilik bimbingan dan kaunseling untuk bersantai dan
tidak melaksanakan tanggungjawabnya. Sekiranya berlaku penyelewengan dalam kod
etika ini, diskriminasi boleh dalam sesebuah organisasi. Oleh sebab itulah KPM
menggariskan kod etika ini agar GBKSM sentiasa amanah dan tidak melakukan
sebarang penyelewengan dalam pelaksanaan amalan tanggungjawab profesionalnya.
Oleh hal yang demikian, amat penting untuk GBKSM menjelaskan bidang
kepakaran dan tahap kecekapan profesionalnya di samping mewujudkan hubungan
interpersonal dan persetujuan kerja dengan penyelia dan staf sekolah mengenai khidmat
kaunseling khususnya mengenai unsur kerahsiaan, perbezaan antara fakta umum atau
peribadi, beban kerja dan akauntabiliti. Hal ini adalah kerana jika penyelia dan staf di
sekolah tidak memahami bidang kepakaran GBKSM kemungkinan akan berlakunya
ketidakfahaman di kalangan mereka bahawa GBKSM di sekolah tidak mempunyai kerja
dan hanya duduk bersantai. Contohnya, semasa GBKSM sedang melaksanakan
tanggungjawabnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran iaitu menyiapkan laporan
atau kertas cadangan di dalam bilik bimbingan dan kaunseling guru-guru atau staf yang
lain akan bertanggapan GBKSM hanya duduk bersantai. Oleh hal yang demikian,
semasa GBKSM sedang melaksanakan tanggungjawabnya dalam bidang perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling iaitu menjalankan sesi kaunseling GBKSM hendaklah
meletakkan satu papan notis di hadapan pintu bilik bimbingan dan kaunseling yang
bertulis “sesi kaunseling sedang berjalan” agar dapat memberi kefahaman kepada guru-
guru atau staf lain bahawa GBKSM sedang melaksanakan tanggungjawab
profesionalnya. Hal ini adalah selaras dengan kandungan kod etika yang ketiga seperti
mana yang telah dibincangkan.
Akhir sekali, kandungan kod etika ini menggalakkan GBKSM agar membenarkan
dirinya dinilai secara profesional oleh Jemaah Nazir Sekolah dari semasa ke semasa di
samping bertanggungjawab ke atas peningkatan kerjaya untuk dirinya dan stafnya. Ini
menunjukkan bahawa GBKSM dituntut untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam
semua bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Untuk memenuhi kehendak kod
etika ini iaitu membenarkan Jemaah Nazir Sekolah menilai dirinya GBKSM hendaklah
melaksanakan tanggungjawabnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran iaitu
sentiasa mengemaskinikan sistem fail yang merangkumi rekod sesi kaunseling, laporan
program, penilaian program, kertas kerja program, dan lain-lain. ini adalah untuk
memudahkan Jemaah Nazir menilai perkhidmatan GBKSM dalam melaksanakan
tanggungjawabnya. Kepentingan sistem fail adalah bagi memudahkan GBKSM untuk
meningkatkan kepakaran profesionalnya jika GBKSM berkenaan ingin memohon lesen
kaunselor atau menyambung pengajian. Perkara sebegini adalah sangat digalakkan
untuk menjadikan GBKSM pakar dalam bidang-bidang perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling yang akan berikan kepada klien serta organisasi dan majikannya.
1.5. Analisis Kod Etika Bimbingan dan Kaunseling; Tanggungjawab Pentadbir
Terhadap Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa dan Terhadap
perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling
Kod etika yang digariskan oleh KPM untuk dijadikan rujukan GBKSM di sekolah juga
melibatkan tanggungjawab pentadbir kepada GBKSM. Tanggungjawab pentadbir adalah
memberi taklimat, penerangan dan bimbingan berkaitan perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling di sekolah berkaitan budaya sekolah, visi dan misi sekolah serta keperluan
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, khususnya kepada GBKSM yang baru dilantik.
Dalam pada itu, pentadbir hendaklah berbincang bersama GBKSM dari semasa ke
semasa berhubung senarai tugas, bidang tugas dan program yang hendak dijalankan di
samping memantau dan menilai kemampuan dan penampilan GBKSM. Dalam pada itu,
pentadbir sekolah juga perlu memastikan GBKSM melaksanakan perkhidmatannya
berdasarkan Buku Panduan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah.
Oleh hal yang demikian, setelah berbincang bersama pentadbir sekolah GBKSM
seharusnya bertindak proaktif dalam melaksanakan bidang tanggungjawabnya. Bidang
yang pertama yang boleh dilaksanakan oleh GBKSM di sekolah ialah bidang akademik
yang telah digariskan dalam Buku Panduan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di
Sekolah untuk memberi ilmu kemahiran belajar atau pengumpulan maklumat pelajaran
atau peluang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada murid-
murid di sekolah. ilmu tersebut boleh diberikan kepada murid-murid dengan
menganjurkan bengkel, seminar, pameran atau lawatan sambil belajar. Hal ini adalah
kerana keperluan murid atau klien di sekolah yang utama adalah dalam bidang
akademik. Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, pentadbir sekolah adalah
dikehendaki memantau dan menilai keberkesanan program-program atau aktiviti yang
dianjurkan oleh GBKSM. Ini adalah selaras dengan kehendak kod etika yang telah
digariskan oleh KPM.
Selain itu, pentadbir sekolah hendaklah memastikan GBKSM tidak diberi jadual
waktu mengajar atau tugas lain yang boleh menjejaskan perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling untung membantu dalam peningkatan tahap profesionalisme GBSKM di
sekolah. Sebagai contoh, GBKSM akan berasa kesempitan waktu serta menghalang
beliau untuk melaksanakan sesi kaunseling lebih-lebih lagi sesi kaunseling yang
melibatkan kes krisis yang timbul secara drastik jika GBKSM di sekolah diberi jadual
waktu mengajar. Dalam pada itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling GBKSM juga
akan berkurangan jika beliau diberi tugas atau komitmen lain seperti penyelaras
kokurikulum atau ketua jurulatih permainan yang terpaksa ke luar sekolah untuk
bertugas. Walaupun hakikatnya klien di sekolah memerlukan perkhidmatan bimbingan
dan kaunseling oleh GBKSM seperti perkhidmatan sesi kaunseling, bidang akademik
atau kerjaya pada masa tersebut.
Kod etika ini juga menggariskan tanggungjawab pentadbir terhadap
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling iaitu dikehendaki membantu usaha
mewujudkan sebuah bilik bimbingan dan kaunseling yang kondusif, strategik, terapeutik
dan memenuhi kualiti KPM di samping sentiasa memantau buku rekod perkhidmatan
GBKSM. Ini adalah untuk memudahkan GBKSM melaksanakan tanggungjawab
profesionalnya dalam bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling iaitu
melaksanakan sesi kaunseling, bidang pendidikan pencegahan dadah/rokok/inhalan/ dan
HIV/AIDS iaitu penyebaran maklumat berkaitan bahaya dadah, rokok, inhalan dan
sebagainya di dalam bilik bimbingan dan kaunseling dan bidang pengurusan dan
pentadbiran iaitu GBKSM membuat laporan program, rekod sesi kaunseling, menyimpan
borang-borang perkhidmatan dan lain-lain. oleh itu, kemudahan bilik bimbingan dan
kaunseling adalah sangat diperlukan oleh GBKSM di sekolah bagi melaksanakan
tanggungjawab profesionalnya.
Pentadbir sekolah juga dituntut untuk memberi sokongan, kerjasama dan
bantuan untuk menjalankan aktiviti program dan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling
di samping memastikan perkhidmatan tersebut dijalankan secara optimum dan
menyeluruh, serta dapat menyumbang ke arah kesejahteraan dan kecemerlangan
sekolah. Contohnya, pentadbir sekolah hendaklah memberi kerjasama dan sokongan
yang padu terhadap perkhidmatan GBKSM dalam melaksanakan perkhidmatannya
seperti meluluskan kertas cadangan program dan memberi sokongan terhadap program
yang akan dianjurkan oleh GBKSM seperti menjemput pihak luar iaitu IPT atau agensi
berkaitan untuk memberi ceramah atau pameran berkaitan maklumat kerjaya dalam
bidang kerjaya. Sokongan dan dorongan daripada pihak pentadbir adalah merupakan
tunjang utama kepada kejayaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah
yang dijalankan oleh GBKSM.
Recommended