View
157
Download
1
Category
Preview:
DESCRIPTION
origami
Citation preview
TUGASAN 2 :
ORIGAMI DALAM BINAAN TERKAWAL UNTUK KOMPONEN
PENDIDIKAN SENI BAGI MURID-MURID BERMASALAH
PEMBELAJARAN
(KBP6024)
MODIFIKASI KURIKULUM DAN PENGAJARAN BAGI KANAK-KANAK BERMASALAH PEMBELAJARAN
NAMA PELAJAR : ROSNIYATI BINTI OSMAN
NOMBOR MATRIK : M20122001605
FAKULTI : PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA
SESI : 2012/2013
NAMA PENSYARAH : DR. NOOR AINI BINTI AHMAD
1.0 KEMAHIRAN MOTOR
Kemahiran adalah satu tindakan, tugas atau corak tindak balas tertentu serta kebolehan dan
kesanggupan yang diperkembangkan. Ini adalah satu sifat am yang bergantung kepada
faktor-faktor keturunan, persekitaran dan pembelajaran (Simon dan Muller, 2012).
Kemahiran motor terbahagi kepada dua bahagian atau domain, iaitu (1) kemahiran motor
kasar dan (2) kemahiran motor halus (Magill, 2007). Kemahiran motor kasar merupakan
kemahiran yang menggunakan kumpulan otot-otot kasar atau besar yang melibatkan banyak
anggota. Manakala kemahiran motor halus pula merupakan kemahiran yang melibatkan
kumpulan otot-otot kecil atau halus dan sukar dilihat. Walaubagaimanapun, terdapat
kesukaran dalam mengaplikasikan sesetengah kemahiran bagi menentukan penggunaan
kumpulan otot kasar atau otot halus. Ini kerana telah dapat dikenalpasti domain psikomotor
adalah berhubung mengikut kemampuan motor atau motor abilities, ciri-ciri afektif dan
kemampuan kognitif seseorang murid (Kunde et al. 2007).
Berbeza pula dengan kanak-kanak Pendidikan Khas. Murid Pendidikan Khas adalah
kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak sederhana ataupun biasa dalam ciri-ciri
mental, keupayaan deria, ciri-ciri saraf dan otot ataupun fizikal, tingkah laku sosial ataupun
emosi, keupayaan komunikasi dan pelbagai kekurangan. Antara kategori murid pendidikan
khas ialah murid bermasalah pembelajaran. Di Malaysia, masalah pembelajaran ini
merangkumi perkembangan yang lewat bagi kanak-kanak yang berusia bawah tiga tahun
seperti sindrom down, autisme, attention deficit and hyperactivity disorder, terencat akal
yang berusia lebih tiga tahun dan masalah pembelajaran spesifik seperti disleksia, disgrafia,
diskakulia dan lain-lain.
Sebenarnya, kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran bukanlah bermaksud bodoh,
lembab, malas atau tahap kecerdasan yang rendah ataupun berlaku akibat daripada perbezaan
budaya, status sosial, kekangan ekonomi dan pengaruh persekitaran tetapi masalah
pembelajaran bermaksud masalah khusus di dalam otak kanak-kanak seperti ini. Ianya boleh
menjejaskan cara seseorang itu memproses dan bertindak balas terhadap sesuatu maklumat.
Contohnya sesetengah kanak-kanak mungkin mempunyai beberapa masalah kemahiran motor
yang akan memperlahankan kelajuan mereka dalam penulisan mahupun dalam aktiviti
melukis. Masalah ini selalunya disebabkan oleh otot jari yang lemah. Menyedari begitu
banyak perkara yang boleh menjejaskan kemampuan seseorang anak belajar, penilaian untuk
mengatasi masalah pembelajaran perlu dilakukan dengan teliti.
1.1 KEMAHIRAN MOTOR HALUS
Menurut Nursalam (2005) perkembangan kemahiran motor halus adalah kemampuan anak
untuk mengamati sesuatu dan melakukan gerak yang melibatkan bahagian-bahagian tubuh
tertentu dan otot-otot kecil, memerlukan koordinasi yang cermat serta tidak memerlukan
banyak tenaga. Ini bermakna motor halus juga melibatkan koordinasi pergerakan otot kecil
dan organ deria seperti pergerakan pada jari tangan dan koordinasinya dengan mata.
Keadaan ini berbeza bagi kemahiran murid bermasalah pembelajaran dalam
menggunakan gerakan tangan dan jari untuk melakukan sesuatu aktiviti dan situasi ini
dinamakan dexterity.Ini berkait dengan pergerakan yang dikawal oleh pelbagai jenis otot
badan yang menghasilkan lakuan motor di mana pergerakan yang dicapai menerusi interaksi
semua jenis lakuan motor yang mampu dihasilkan oleh sistem biologi (Magne dan Kelso,
2008). Oleh yang demikian, untuk merangsang kemahiran motor halus murid, aktiviti
pengulangan perlu dititikberatkan dan hubungan ini berkait rapat dengan pengalaman mereka
secara langsung dan mempertingkatkan perkembangan kemahiran motor (Magill, 2007).
Ciri-ciri motor halus ini penting bagi kita khususnya dalam memahami perkembangan
motor halus kanak-kanak. Selain itu, kita sebagai guru juga haruslah mengetahui faktor-
faktor yang perlu dipertimbangkan dalam membuat perancangan pembelajaran kanak-kanak.
Sekiranya guru mengetahui bahawa kanak-kanak masih diperingkat mengembangkan
kemahiran mereka, guru ini akan mempertimbangkan beberapa penyelarasan dan
penyesuaian bagi membantu kanak-kanak ini menghasilkan karya seni dengan baik.
1.2 AKTIVITI PERKEMBANGAN KEMAHIRAN MOTOR
Beberapa kajian telah dijalankan oleh Terry Johnston, Kansas, USA semenjak tahun 1981,
anataranya beliau berjaya menggunakan origami bagi membantu kanak-kanak yang
mengahdapi masalah kemahiran motor di samping masalah keyakinan diri yang rendah,
kebimbangan, membina hubungan sosial dan lain-lain. Manakala seorang pakar Psikology
Forensik dari Florida USA, Marilyn Lewis menganggap origami sebagai sekeping kertas
yang menakjubkan apabila beliau berjaya menangani masalah kognitif dan theraputik,
mengurangkan anxienty iaitu kebimbangan, mengurangkan sifat-sifat agresif dan
meningkatkan kebolehan dalam penyelesaian masalah.
Jadual 1.1 : Penambahan aktiviti origami di dalam Komponen Pendidikan Seni
OBJEKTIF KANDUNGAN DAN CADANGAN AKTIVITI
3.1 Menghasilkan binaan 3.1.3 Binaan terkawal
mengikut kreativiti Aktiviti Origami
Berdasarkan Jadual 1.1 Kurikulum pendidikan khas dicadangkan untuk melakukan
penambahan aktiviti origami di dalam komponen Pendidikan Seni. Penambahan aktiviti ini
adalah bersesuaian kerana mendapati melalui pengajaran origami, murid-murid bermasalah
pembelajaran mampu meningkatkan perkembangan motor halus iaitu kemahiran jari-jemari
murid ini dapat dipertingkatkan dengan keupayaan membina sesuatu yang lebih kreatif
melalui origami. Menurut objektif 3.1. di dalam komponen Pendidikan Seni iaitu
menghasilkan binaan terkawal mengikut kreativiti, murid akan berinteraksi bersama guru dan
rakan-rakan untuk menyiapkan sesuatu binaan origami. Origami itu sendiri perlu
dilaksanakan dengan mengikut langkah demi langkah di mana yang dahulu didahulukan dan
yang kemudian dikemudiankan. Dengan ini melalui aktiviti binaan origami juga akan
meningkatkan kemahiran lain seperti kemahiran berkomunikasi dan emosi.
1.3 PERLAKSANAAN PEMBELAJARAN ORIGAMI
Merupakan seni melipat kertas dipercayai bermula seawall bermulanya kertas dicipta di
Negara China. Origami di Negara Jepun yang telah mengembangkan seni ini hingga dikenali
di seluruh dunia. Dengan pelbagai kaedah lipatan dan daya kreativiti, dari sekeping kertas
boleh diubah kepada pelbagai bentuk. Tradisi melipat kertas telah diperturunkan dari
generasi ke generasi dan seterusnya menjadi sebahagian daripada pendidikan tidak formal
kepada kanak-kanak( Sharida Shaharudin, 2010).
Origami juga merupakan objek seni tiga dimensi yang bersifat konkrit, berisipadu,
mempunyai pandangan sisi, kiri, kanan, atas dan bawah. Melalui seni tiga dimensi ini, kanak-
kanak dapat melihat menggunakan deria penglihatan dan merasai hasil seni mereka dengan
menggunakan deria sentuhan. Dalam memodelkan pemikiran kritis dan kreatif, penyelesaian
masalah adalah hirarki tertinggi dalam kemahiran berfikir. Maka origami dapat
menggalakkan kanak-kanak ini menyelesaikan mana-mana hasil yang tidak diperolehi
dengan membuka dan melipat semula bagi mendapatkan hasilnya.
1.4 JENIS-JENIS ORIGAMI
Terdapat enam jenis origami yang telah dikenalpasti iaitu (1)origami bergerak, (2)Origami
Modular atau lebih dikenali sebagai bentuk tiga dimensi, (3)Origami Basah, (4)Origami
Murni, (5)Origami Tesselasi dan (6)Origami Kirigami.
1.4.1 Origami Bergerak atau Action Origami
Origami tidak hanya terdiri dari objek tetap atau diam, tetapi juga terdapat origami berbentuk
bergerak. Biasanya gerakan origami dibantu dengan tangan untuk membuat gerakan seperti
terbang, melayang, mengepakkan sayap, melompat, atau membuka mulut. Contoh origami
aksi yang popular adalah origami katak yang dapat melompat jika hujung belakangnya di
tekan dan pesawat terbang atau senjata rahsia ninja yang boleh terbang jika dilempar.
1.4.2 Origami Modular atau Modular Origami
Origami Modular atau lebih dikenali dengan sebutan origami tiga dimensi. Ianya adalah
origami yang mencantumkan unit-unit yang sama bentuk dan saiz bagi menghasilkan satu
objek origami. Dalam origami jenis ini, gam, pita perekat dan gunting dibenarkan. Namun
begitu, ianya lebih menekankan dinamik unit-unit untuk bercantum dan juga dicantum
mengunakan teknik gulungan. Contoh yang popular ialah angsa, dan bebola kusudama.
Biasanya lipatan modular berbentuk sederhana, namun untuk menyusunnya menjadi objek
tertentu biasanya agak sukar.
1.4.3 Origami Basah atau Wet-Folding Origami
Origami basah adalah seni melipat kertas dimana kertas yang digunakan dilembabkan atau
dibasahkan. Kertas dibasahkan bertujuan untuk memudahkan melentur kertas bagi
mendapatkan bentuk objek yang lebih semulajadi. Teknik ini menjadikan origami lebih
berdimensi. Setelah bentuk origami selesai dibentuk, barulah origami ini dibiarkan kering.
Kertas yang lembab lebih mudah dibentuk menurut geometri yang lebih fleksibel
dibandingkan dengan kertas kering. Keterampilan seni origami basah tidak hanya melipat
tetapi juga membentuk permukaan objek seperti lekukan dan bonjolan.
1.4.5 Origami Asli atau Pureland Origami
Origami Asli adalah jenis seni melipat kertas dengan aturan iaitu hanya boleh menggunakan
lipatan secara terus . Origami jenis ini adalah origami yang mengikut syarat-syarat origami,
di mana tiada gam, tiada gunting dan tiada pita pelekat digunakan sama sekali. Origami ini
juga terhasil dengan hanya lipatan dari sekeping kertas. Origami ini juga hanya satu lipatan
dibenarkan dalam satu-satu masa. Jenis origami ini dikembangkan oleh seniman origami
Inggeris yang bernama John Smith pada tahuun 1970-an untuk membantu orang mempelajari
origami atau bersesuaian dengan orang mempunyai keupayaan yang terbatas dalam
kemahiran motor.
1.4.6 Origami Tesselasi atau Origami Tesselations
Tesselasi adalah seni membentuk susunan jubin pada bidang dua dimensi sehingga
membentuk bidang yang teratur. Origami Tesselasi adalah seni membentuk susunan jubin
menggunakan kertas yang dilipat sedemikian rupa sehingga menghasilkan bidang yang
teratur.
1.4.7 Origami Kirigami
Dalam seni origami tradisional tidak dikenal istilah kirigami, istilah kirigami sendiri baru
diperkenalkan pada abad ke-20. Kirigami adalah seni melipat dan memotong kertas untuk
membentuk objek seni iaitu penghasilan daripada pop-up card. Sebahagian orang
memasukkan kirigami sebagai sebahagian dari origami kerana namanya mempunyai unsur
melipat kertas pada seni ini. Mereka yang mahir dalam Origami Kirigami memiliki daya
imaginasi yang tinggi.
Bentuk origami yang kebiasaannya sesuai digunakan untuk pengajaran murid-murid
bermasalah pembelajaran adalah Origami Asli atau Pureland Origami. Melalui perlaksanaan
yang telah dijalankan di sekolah origami jenis ini amat bertepatan kerana origami jenis ini
tidak melibatkan bahan yang banyak pada satu-satu masa contohnya gam dan gunting yang
akan mengganggu kosentrasi murid mendengar arahan lipatan ansur maju. Selain itu, origami
ini juga hanya membenarkan satu lipatan dalam satu-satu masa. Ini bertepatan dengan
masalah ketidakupayaan murid bermasalah pembelajaran yang memerlukan langkah lipatan
secara ansur maju secara perlahan-lahan. Kajian ini di sokong dengan pengenalan origami
oleh seniman origami Inggeris yang bernama John Smith untuk membantu orang yang
mempunyai keupayaan yang terbatas dalam kemahiran motor untuk mempelajari origami.
1.5 BENTUK-BENTUK KATEGORI ORIGAMI
Terdapat banyak sekali bentuk-bentuk yang boleh dibuat dengan menggunakan teknik
origami iaitu dengan membentuk benda-benda hidup mahupun benda-benda bukan hidup.
Benda hidup yang dapat dibentuk melalui origami adalah haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Manakala bentuk-bentuk benda bukan hidup pula adalah pakaian dan sebagainya.
Melihat dalam konteks pendidikan khas, sudah sedia maklum murid-murid ini amat
ketara meminati sesuatu benda hidup yang mampu menarik minat mereka dan secara tidak
langsung mereka mempelajari dan mengenali benda hidup tersebut. Pengajaran benda hidup
pula dapat difokuskan kepada origami haiwan. Manakala kategori haiwan dapat dikelaskan
kepada tiga bahagian iaitu (1) origami haiwan di darat, (2) origami haiwan di laut dan (3)
origami haiwan di udara.
Setiap satu bahagian pembentukan origami ini pula, pembelajaran akan
memperkenalkan dua contoh haiwan mengikut pengkelasan tersebut. Origami haiwan di
darat akan memperkenalkan bentuk haiwan singa dan zirafah. Pengkelasan kedua iaitu
origami haiwan di laut murid berkeperluan khas akan diperkenalkan dengan bentuk origami
ikan dan ketam. Manakala dua bentuk origami haiwan di udara pula, pembelajaran akan
memperkenalkan bentuk origami rama-rama dan burung.
1.5.1 Origami Ikan
Penghasilan origami ikan dapat meningkatkan daya kreativiti murid pendidikan khas dan
dapat menguatkan kemahiran motor kasar dan motor halus murid bermasalah pembelajaran.
Bahan-bahan yang diperlukan adalah kertas origami bersaiz empat segi sama atau dikenali
kertas duo serta pensel warna, krayon atau pen marker. Rajah 1.1 menunjukkan contoh
lipatan untuk menghasilkan origami ikan dalam kategori origami haiwan di air. Berdasarkan
langkah lipatan, perkara asas yang penting adalah lipatan pertama iaitu melipat bucu kertas
dan mendapatkan empat bahagian kesan garisan sebagai garis panduan melangkah kepada
langkah seterusnya. Murid perlu melipat kedua-dua bahagian mendapatkan lipatan berbentuk
segitiga. Kemudian, satu bahagian akan dilipat bagi mendapatkan kesan ekor ikan. Gunakan
marker pen untuk melukis bulatan bagi menghasilkan mata ikan. Murid juga boleh melukis
corak sisik serta murid dapat mengenali insang pada ikan dengan bantuan guru. Secara tidak
langsung, penghasilan origami ini akan melibatkan penggabungjalinan konponen sains
kepada murid-murid bermasalah pembelajaran. Langkah demi langkah perlu murid ikuti
dengan penglibatan pemerhatian mata dan mendengar arahan guru untuk melipat serta
pergerakan melipat kertas secara serentak bagi melaksanakan praktikal melipat kertas
menghasilkan origami ikan. Oleh itu, pembelajaran origami ini mampu memberikan daya
tumpuan dari segi penggunaan koordinasi mata serta tangan yang akhirnya akan
meningkatkan kemahiran motor murid ini.
Rajah 1.1 Lipatan Ansur Maju Dalam Menghasilkan Origami Ikan
Manakala Rajah 1.2 menunjukkan murid-murid mengekspresikan bentuk origami ikan
dalam bentuk lukisan yang bermakna iaitu dengan menggunakan pelbagai teknik lain untuk
menghasilkan hidupan ikan di dasar laut. Teknik lain yang diterapkan sekali adalah teknik
membentuk iaitu koyakan serta guntingan kertas warna untuk menghasilkan bentuk-bentuk
batuan, buih dan rumpai laut di dalam lukisan mereka. Keadaan ini melambangkan betapa
murid-murid bermasalah pembelajaran mampu mencipta sesuatu yang baharu berdasarkan
pengalaman yang mereka alami. Selain itu, melalui hasil origami yang kreatif, ia akan
mewujudkan sensitiviti deria penglihatan dan deria sentuhan kanak-kanak terhadap
persekitaran mereka. Ini ditunjukkan dengan kaitan origami yang dikaitkan dengan unsure
alam laut.
Rajah 1.2 Penghasilan Origami Ikan oleh Murid Bermasalah Pembelajaran
1.6 JENIS-JENIS KERTAS ORIGAMI
Terdapat pelbagai jenis kertas boleh digunakan untuk membuat origami contohnya kertas
surat khabar, kertas fotostat, kertas origami yang khusus dan pelbagai kertas lain. Model
Origami atau hasil karya origami sangat ditentukan oleh jenis bahan yang digunakan. Perkara
utama dalam penghasilan origami adalah kertas. Kertas origami terdapat dalam pelbagai
warna, saiz, jenis, corak dan gred. Terdapat beberapa jenis kertas origami seperti kertas
origami biasa, kertas duo iaitu satu warna dibahagian atas dan warna lain dibahagian bawah,
kertas washi, kertas chiyogami dan kertas kajang.
1.6.1 Kertas Washi
Rajah 1.3 menunjukkan jenis-jenis kertas yang biasa digunakan dalam membuat model
origami adalah kertas washi iaitu kertas origami khas dari Jepun yang amat berkualiti tinggi.
Namun begitu, harganya yang mahal menghadkan penggunaan kertas jenis ini. Pada
kebiasaannnya, kertas ini digunakan untuk menghasilkan origami model patung.
Rajah 1.3 Kertas Washi
1.6.2 Kertas Origami Biasa
Jenis kertas kedua adalah kertas origami biasa atau lebih dikenali dengan kertas duo. Rajah
1.4 menunjukkan kertas origami dengan bentuk persegi iaitu mempunyai 4 sisi yang sama
panjang yang merupakan kertas yang dihasilkan bercorak atau pun tanpa corak. Kertas jenis
ini selalunya mudah didapati dan pada kebiasaannya dijual dengan harga yang lebih murah.
Terdapat pelbagai pilihan corak dan juga tanpa corak mengikut kesesuaian bentuk origami
yang dipilih.
Rajah 1.4 Kertas Origami Biasa atau Duo
1.6.3 Kertas Chiyogami
Jenis kertas lain yang biasa digunakan ialah kertas Chiyogami yang ditunjukkan pada Rajah
1.5 yang menunjukkan secara mata kasar motif kertasnya mirip kepada washi, tetapi jika
dibandingkan kertas chiyogami mempunyai tekstur lebih halus dan lebih cenderung seperti
kertas photostat. Perbezaan ketara adalah tambahan emas dicoraknya.
Rajah 1.5 Kertas chiyogami
1.6.4 Gold Fail Paper
Rajah 1.6 merupakan Gold Foil Paper iaitu salah satu jenis kertas yang digunakan dalam
pembentukan origami. Namun begitu, kertas ini masih jarang ditemui di negara kita. Kertas
ini selalunya bersaiz besar dan perlu dipotong terlebih dahulu. Walaubagaimanapun kertas ini
dikatakan kurang berkualiti dalam pemilihan bahan untuk menghasilkan origami.
Rajah 1.6 Gold Foil Paper
1.7 PEMILIHAN KERTAS ORIGAMI UNTUK MURID BERMASALAH
PEMBELAJARAN
Sedia maklum, origami mampu dilaksanakan dengan apa pun jenis kertas yang dipilih.
Namun apa pun pilihan kertas yang digunakan, ciri penting yang perlu di ambil kira dalam
pemilihan kertas origami adalah kertas yang dipilih mestilah mudah dilipat serta tidak mudah
koyak. Aspek ini amatlah perlu dititikberatkan dalam pengajaran yang melibatkan murid-
murid bermasalah pembelajaran yang mana memerlukan kertas yang tahan lasak atau dengan
erti kata lain tidak mudah koyak. Selain itu, pemilihan kertas yang tidak bercorak adalah
amat bersesuaian untuk murid-murid pendidikan khas. Ini adalah kerana faktor kemahiran
motor halus mereka masih di tahap yang rendah dan memerlukan koordinasi mata dan tangan
secara serentak dalam menghasilkan origami. Keterbatasan kemahiran motor halus inilah
memerlukan pemilihan kertas yang amat bersesuaian kepada mereka.
Kertas yang dikenalpasti amat bersesuaian untuk murid pendidikan khas adalah kertas
origami biasa atau dikenali sebagai kertas duo bersaiz empat segi sama tanpa corak. Namun
begitu, kertas ini sebolehnya berwarna warni kerana warna amat memainkan peranan dalam
menarik minat murid selain memberikan tumpuan kepada koordinasi mata dengan lebih tepat.
Origami yang diajar akan melibatkan lipatan, maka elakkan kertas origami bercorak yang
mengganggu koordinasi mata murid pada peringkat awal pengenalan kepada origami dalam
sesuatu bentuk. Namun begitu, kertas bercorak boleh digunakan sekiranya asas lipatan telah
dikuasai serta kertas sebegini juga boleh digunakan sebagai aktiviti pengukuhan di mana
pengulangan aktiviti dalam bentuk latihan lipatan berterusan mampu meningkatkan
koordinasi mata dan secara langsung meningkatkan kemahiran motor khususnya motor halus
dalam kalangan murid bermasalah pembelajaran.
1.8 IMPLIKASI ORIGAMI TERHADAP KOMPONEN SENI
Lipatan origami memberikan implikasi tertentu selain penguasaannya meningkatkan
kemahiran motor, seni origami juga mampu memberi ruang kepada murid untuk
mengekspresikan luahan mereka.
1.8.1 Kesedaran Reflektif
Melalui seni origami, mampu mewujudkan kesedaran individu dalam setiap murid
pendidikan khas berdasarkan pengalaman yang dilaluinya di mana mereka dapat berfikir
semasa mengeluarkan idea. Mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran kerana pada peringkat umur tujuh ke sepuluh tahun, kanak-kanak mempunyai rasa
ingin tahu yang mendalam. Melalui origami, kanak-kanak akan merasai keseronokan dalam
membentuk bahan seni melalui lipatan kertas dalam bentuk yang pelbagai. Selain itu, melalui
origami juga mampu memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi dan meningkatkan
keupayaan mereka bersosial sesama rakan-rakan. Malah melalui aktiviti yang dijalankan di
dalam kelas, sedikit sebanyak dapat membantu mereka meningkatkan keyakinan diri. Secara
tidak langsung semangat bekerjasama di dalam aktiviti berkumpulan akan terbentuk. Sifat
hormat menghormati dan bertoleransi juga dapat dipupuk di mana wujud usaha mereka dalam
membantu rakan membina sebuah binaan origami.
1.8.2 Perkembangan Afektif
Merupakan satu perkembangan yang berkesan dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Murid-murid pendidikan khas dapat merasai pengalaman yang amat bermakna dalam diri
mereka. Pada peringkat ini, pada kebiasaannya mereka mula mempelajari unsur seni secara
konkrit dan seterusnya ke peringkat yang lebih abstrak apabila mencapai umur yang sesuai.
Meskipun murid bermasalah pembelajaran telah mengalami perkembangan yang terlewat dari
umur mereka, namun melalui origami mampu mengurangkan kelewatan perkembangan ini.
Oleh itu dengan pengalamian mereka sendiri membina origami, mereka mampu merasai
pengalaman tersebut.
1.8.3 Perkembangan Kreativiti
Kreatif adalah mencipta sesuatu yang baharu berdasarkan pengalaman yang lepas.
Kebiasaannya, kanak-kanak dilahirkan secara semulajadi mempunyai sifat kreatif yang
pelbagai. Peningkatan pemikiran yang kreatif akan dapat dilahirkan melalui kaedah latih tubi
dan cuba jaya. Oleh demikian, melalui binaan origami, murid bermasalah pembelajaran
sememangnya didedahkan dengan lipatan secara ansur maju dan berulang, maka secara
langsung mereka terdedah dengan ruang untuk berkreatif. Selain itu, penggunaan alat dan
bahan semasa menjalankan proses penghasilan seni memberi peluang kepada murid
berinteraksi secara kreatif dengan mengeluarkan idea mereka melalui hasil seni yang
dipamerkan. Pengamatan mereka menyiapkan hasil origami yang kreatif, akan mewujudkan
sensitiviti deria penglihatan dan deria sentuhan kanak-kanak terhadap persekitarannya.
1.8.4 Keupayaan Daya Imaginatif Murid
Imaginasi member makna bayangan imej dalam bentuk buah fikiran iaitu mental. Setiap
murid-murid mempunyai daya imaginasi mereka sendiri. Imaginasi adalah satu bentuk
bayangan bahan origami yang akan dilaksanakan dalam imej mental sebelum proses sebenar
membuat bahan origami dimulakan. Dalam hal ini, guru memainkan peranan di dalam
memberi peluang kepada murid-murid menjana idea kreatif mereka melalui bayangan imej
dalam fikiran mereka sendiri. Oleh itu, melalui binaan origami, murid mampu mengasah
minda imaginatif mereka menjadi kenyataan melalui lipatan kertas.
1.9 KESIMPULAN
Penghasilan origami dapat memberikan peluang kepada murid untuk meluahkan ekspresi
mereka melalui guntingan dan lipatan kertas. Selain itu, ia juga mampu membina atau
meningkatkan kemahiran motor halus murid di dalam proses menggunting, melipat dan
membentuk. Pembentukan sikap dan penerapan nilai murni juga dapat dilakukan melalui
proses penghasilan origami di dalam Program Pendidikan Khas Integrasi.
RUJUKAN
Bahagian Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia (2010). Huraian
Sukatan Pelajaran Sosial, Riadah dan Kreativiti Pendidikan Khas Bermasalah
Pembelajaran Sekolah Rendah dan Menengah : Bahagian Pembangunan
Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Corcos, D. M., Shemmell, J., and Vaillancourt, D. E. (2008). Mechanism underlying short-
term motor learning, long-term motor learning and transfer. In M. Guadagnoli
(Ed.), Human learning : Biology, brain and neuroscience (pp. 177-187).
Amsterdam : Elsevier.
Haliza Hamzah (2008). Perkembangan Kanak-kanak untuk Program Perguruan Pendidikan
Rendah. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Kunde et al. (2007). No anticipation no action : The role of anticipation in action and
perception. Cognitive Processes, 8, 71-78.
Magill, R. A. (2007). Motor learning and control : Concepts and applications (8th ed.).
Dubuque, IA:McGraw Hill.
Magne, C. and Kelso, J.A.S. (2008). A dynamical framework for human skill learning. In M.
Guadagnoli (Ed.), Human learning : Biology, brain and neuroscience (pp. 189-
203). Amsterdam:Elsevier.
Simon dan Muller (2012). A model for the Transfer of Perceptual – Motor Skill Learning in
Human Behaviors : American Alliance for Health, Physical Education.
Sulaiman Masri. (2003). Kaedah Penyelidikan Dan Penulisan. Kuala Lumpur : Utusan
Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Recommended