View
234
Download
3
Category
Preview:
Citation preview
Peraturan Minimum Standard bagi Layanan terhadap Tahanan
Diterima pakai oleh Kongres Pertama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
mengenai Pencegahan Jenayah dan Layanan terhadap Pesalah, diadakan di
Geneva pada 1955, dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi dan Sosial dengan
resolusi 663 C (XXIV) pada 31 Julai 1957 dan 2076 (LXII) pada 13 Mei 1977.
Pemerhatian Awal
1. Peraturan berikut bukan bertujuan untuk menerangkan sebuah model sistem
institusi hukuman secara terperinci. Peraturan itu hanya bertujuan, berdasarkan
konsensus umum pemikiran kontemporari dan elemen penting dalam sistem paling
lengkap pada masa kini, untuk membentangkan apa yang diterima umum sebagai
prinsip dan amalan yang baik dalam layanan terhadap tahanan dan pengurusan
institusi.
2. Memandangkan keadaan undang-undang, sosial, ekonomi dan geografi di seluruh
dunia sangat berbeza-beza, adalah jelas bahawa bukan semua peraturan itu boleh
dilaksanakan di semua tempat dan pada setiap masa. Walau bagaimanapun
peraturan tersebut seharusnya merangsang usaha berterusan untuk mengatasi
kesulitan praktikal dari segi pelaksanaannya, dengan mengetahui bahawa
peraturan berkenaan secara keseluruhannya menggambarkan keadaan minimum
yang diterima sebagai sesuai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
3. Sebaliknya, peraturan tersebut merangkumi suatu bidang yang pemikiran
tentangnya sentiasa berkembang. Peraturan itu bukan bertujuan untuk
menghalang eksperimen dan amalan, dengan syarat kedua-duanya selaras
dengan prinsip dan cuba mencapai tujuan yang timbul daripada keseluruhan teks
peraturan. Tindakan pentadbiran penjara pusat untuk membenarkan
penyimpangan daripada peraturan mengikut maksud ini akan sentiasa dapat
dipertahankan.
4. (1) Bahagian I peraturan ini merangkumi pengurusan institusi secara umum, dan
boleh dilaksanakan terhadap semua kategori tahanan, jenayah atau sivil,
belum dibicarakan atau sudah disabitkan, termasuk tahanan yang dikenakan
"langkah keselamatan" atau langkah pembetulan yang diarahkan oleh hakim.
(2) Bahagian II mengandungi peraturan yang boleh dilaksanakan hanya terhadap
kategori khas yang digambarkan dalam setiap seksyen. Namun begitu,
peraturan di bawah seksyen A, yang boleh dilaksanakan terhadap tahanan
yang menjalani hukuman, hendaklah juga boleh dilaksanakan terhadap
kategori tahanan yang digambarkan dalam seksyen B, C dan D, dengan
syarat peraturan di bawah seksyen A tidak bercanggah dengan peraturan
yang mengawal kategori tersebut dan adalah untuk manfaat mereka.
5. (1) Peraturan berikut bukan bertujuan untuk mengawal selia pengurusan institusi
yang dikhaskan untuk orang muda seperti institusi Borstal atau sekolah
pemulihan, tetapi pada umumnya Bahagian I juga boleh dilaksanakan di
institusi sedemikian.
(2) Kategori tahanan muda hendaklah merangkumi sekurang-kurangnya semua
orang muda yang termasuk dalam bidang kuasa mahkamah juvenil.
Lazimnya, orang muda sedemikian tidak seharusnya dijatuhi hukuman
penjara.
BAHAGIAN I
PERATURAN PELAKSANAAN UMUM
Prinsip Asas
6. (1) Peraturan berikut hendaklah dilaksanakan secara saksama. Tidak boleh ada
diskriminasi atas dasar kaum, warna kulit, jantina, bahasa, agama,
pandangan politik atau pandangan lain, negara asal atau asal usul dalam
masyarakat, harta, keturunan atau status lain.
(2) Sebaliknya, kepercayaan agama dan ajaran moral yang dianuti oleh
kumpulan yang dianggotai oleh seseorang tahanan, perlu dihormati.
Buku Daftar
7. (1) Di setiap tempat di mana orang dipenjarakan, hendaklah disimpan sebuah
buku pendaftaran berjilid dengan halaman bernombor untuk mencatatkan
maklumat berikut tentang setiap tahanan:
(a) Maklumat tentang identitinya;
(b) Sebab dia dipenjarakan dan pihak berkuasa yang memenjarakannya;
(c) Hari dan jam dia dimasukkan dan dibebaskan.
(2) Tiada seorang pun boleh diterima di sesebuah institusi tanpa perintah
pemenjaraan yang sah yang butir-butirnya telah dicatatkan sebelumnya di
dalam buku daftar.
Pengasingan kategori
8. Kategori tahanan yang berlainan hendaklah ditahan di institusi atau bahagian
institusi yang berasingan dengan mengambil kira jantina, umur dan rekod jenayah
mereka, serta sebab dari segi undang-undang mereka ditahan dan keperluan
rawatan mereka. Dengan demikian,
(a) Lelaki dan wanita hendaklah seberapa yang boleh ditahan di institusi
berlainan; di sebuah institusi yang menerima lelaki dan wanita, seluruh
premis yang diperuntukkan untuk wanita hendaklah diasingkan sepenuhnya;
(b) Tahanan yang belum dibicarakan hendaklah diasingkan daripada tahanan
yang disabitkan;
(c) Orang yang dipenjarakan kerana hutang dan tahanan sivil lain hendaklah
diasingkan daripada orang yang dipenjarakan kerana kesalahan jenayah;
(d) Tahanan muda hendaklah diasingkan daripada tahanan dewasa.
Penginapan
9. (1) Jika tempat tidur ialah sel atau bilik berasingan, maka setiap tahanan
hendaklah menduduki sel atau biliknya sendiri pada waktu malam. Jika atas
sebab tertentu, seperti kesesakan sementara, maka pentadbiran penjara
pusat perlu membuat kekecualian, adalah tidak baik untuk menempatkan dua
tahanan di dalam sebuah sel atau bilik.
(2) Jika bilik asrama digunakan, bilik itu hendaklah didiami oleh tahanan yang
dipilih dengan teliti sebagai sesuai untuk bergaul dengan satu sama lain
dalam keadaan tersebut. Penyeliaan hendaklah selalu dilakukan pada waktu
malam, selaras dengan jenis institusi berkenaan.
10. Semua kemudahan yang disediakan untuk kegunaan tahanan dan terutamanya
semua tempat tidur hendaklah memenuhi segala keperluan kesihatan, perhatian
sewajarnya diberikan kepada keadaan iklim dan terutamanya kandungan udara
bagi setiap ukuran padu, ruang lantai minimum, pencahayaan, pemanasan dan
pengalihudaraan.
11. Di semua tempat di mana tahanan dikehendaki tinggal atau bekerja,
(a) Tingkap hendaklah cukup besar untuk membolehkan tahanan membaca atau
bekerja dengan cahaya luar, dan hendaklah dibina bagi membolehkan udara
segar masuk sama ada sistem pengalihudaraan dipasang atau tidak;
(b) Cahaya lampu hendaklah disediakan dengan secukupnya untuk
membolehkan tahanan membaca atau bekerja tanpa merosakkan
penglihatan.
12. Kemudahan kebersihan hendaklah mencukupi bagi membolehkan setiap tahanan
memenuhi keperluan untuk membuang air dengan cara yang bersih dan sopan.
13. Kemudahan mandi dan pancuran yang mencukupi hendaklah disediakan supaya
setiap tahanan boleh mandi atau menggunakan pancuran, pada suhu yang sesuai
dengan keadaan iklim, seberapa kerap yang perlu bagi menjaga kebersihan diri
mengikut musim dan kawasan geografi, tetapi sekurang-kurangnya sekali
seminggu dalam iklim sederhana.
14. Semua bahagian institusi yang selalu digunakan oleh tahanan hendaklah
diselenggarakan dengan baik dan dipastikan betul-betul bersih pada setiap masa.
Kebersihan diri
15. Tahanan hendaklah menjaga kebersihan diri, dan untuk tujuan ini bekalan air dan
barang keperluan bilik air yang perlu bagi menjaga kesihatan dan kebersihan diri
hendaklah disediakan untuk mereka.
16. Supaya tahanan boleh menjaga rupa dan kehormatan diri mereka, kemudahan
hendaklah disediakan bagi penjagaan rambut dan janggut, dan tahanan lelaki
hendaklah dibenarkan bercukur selalu.
Pakaian dan peralatan tempat tidur
17. (1) Setiap tahanan yang tidak dibenarkan memakai pakaiannya sendiri
hendaklah dibekalkan dengan pakaian yang sesuai dengan iklim dan
memadai untuk memastikan dia berada dalam keadaan sihat. Pakaian
sedemikian tidak boleh sama sekali menjatuhkan maruah atau
memalukannya.
(2) Semua pakaian hendaklah bersih dan dijaga dalam keadaan baik. Pakaian
dalam hendaklah ditukar dan dibasuh seberapa kerap yang perlu bagi
menjaga kebersihan diri.
(3) Dalam situasi luar biasa, setiap kali seorang tahanan dibawa keluar dari
institusi untuk tujuan yang dibenarkan, dia hendaklah dibenarkan memakai
pakaiannya sendiri atau pakaian lain yang tidak menarik perhatian.
18. Jika tahanan dibenarkan memakai pakaiannya sendiri, langkah perlu diatur
semasa kemasukan mereka ke institusi untuk memastikan pakaian itu bersih dan
sesuai dipakai.
19. Setiap tahanan hendaklah, sejajar dengan piawaian tempatan atau kebangsaan,
diberi katil berasingan dan peralatan tempat tidur yang berasingan dan mencukupi
serta bersih semasa dibekalkan, yang dikemaskan dan ditukar dengan seberapa
kerap yang boleh untuk memastikan kebersihannya.
Makanan
20. (1) Makanan berzat yang mencukupi untuk menjaga kesihatan dan kekuatan,
yang berkhasiat serta dimasak dan disajikan dengan baik hendaklah
disediakan untuk setiap tahanan oleh pihak pentadbiran pada waktu biasa.
(2) Air minum hendaklah disediakan untuk setiap tahanan apabila dia
memerlukannya.
Bersenam dan bersukan
21. (1) Setiap tahanan yang tidak dikehendaki bekerja di luar bangunan hendaklah
diberi masa sekurang-kurangnya sejam sehari untuk melakukan senaman
yang sesuai di luar jika cuaca mengizinkan.
(2) Tahanan muda dan tahanan lain pada peringkat umur dan dengan susuk
tubuh yang sesuai, hendaklah diberi latihan fizikal dan rekreasi pada waktu
bersenam. Untuk tujuan ini, ruang, kemudahan dan peralatan hendaklah
disediakan.
Perkhidmatan perubatan
22. (1) Di setiap institusi, khidmat sekurang-kurangnya seorang pegawai perubatan
berkelayakan yang memiliki pengetahuan tentang psikiatri hendaklah
disediakan. Perkhidmatan perubatan ini hendaklah diatur dalam hubungan
rapat dengan pentadbiran kesihatan awam komuniti atau negara. Ia
hendaklah termasuk perkhidmatan psikiatri bagi mendiagnosis dan dalam kes
tertentu, merawat keadaan mental tidak normal.
(2) Tahanan sakit yang memerlukan rawatan pakar hendaklah dipindahkan ke
institusi khusus atau hospital awam. Sekiranya kemudahan hospital
disediakan di sesebuah institusi, peralatan, perabot dan kelengkapan lain
serta bekalan ubat-ubatan hendaklah bersesuaian bagi memberikan
penjagaan dan rawatan perubatan kepada tahanan yang sakit, dan
kakitangan terdiri daripada pegawai terlatih yang sesuai ditempatkan.
(3) Khidmat seorang pegawai pergigian yang berkelayakan hendaklah
disediakan untuk setiap tahanan.
23. (1) Di institusi untuk wanita, kemudahan khas hendaklah disediakan untuk
semua penjagaan dan rawatan pranatal dan pascanatal. Jika boleh
dilaksanakan, persiapan hendaklah diatur supaya anak dilahirkan di sebuah
hospital di luar institusi. Jika anak dilahirkan di dalam penjara, fakta ini tidak
boleh dinyatakan dalam sijil kelahiran.
(2) Jika bayi menyusu dibenarkan untuk terus berada bersama-sama ibu mereka
di institusi, peruntukan hendaklah dibuat untuk menyediakan taska yang
dikendalikan oleh orang berkelayakan. Bayi tersebut hendaklah ditempatkan
di taska ini apabila mereka tidak berada dalam penjagaan ibu mereka.
24. Pegawai perubatan hendaklah menemui dan memeriksa setiap tahanan dengan
secepat mungkin selepas dia dimasukkan dan selepas itu mengikut keperluan,
dengan tujuan utama untuk mengesan penyakit fizikal atau mental dan mengambil
semua langkah yang perlu, pengasingan tahanan yang disyaki menghidap
penyakit mudah berjangkit, mencatatkan kecacatan fizikal atau mental yang boleh
menjejaskan pemulihan, dan menentukan keupayaan fizikal setiap tahanan untuk
bekerja.
25. (1) Pegawai perubatan bertanggungjawab terhadap penjagaan kesihatan fizikal
dan mental tahanan dan hendaklah setiap hari memeriksa semua tahanan
yang sakit, semua tahanan yang mengadu sakit, dan mana-mana tahanan
yang memerlukan perhatian khusus daripada beliau.
(2) Pegawai perubatan hendaklah melapor kepada pengarah apabila beliau
berpendapat kesihatan fizikal atau mental seseorang tahanan telah atau akan
terjejas teruk disebabkan pemenjaraan berterusan atau sebarang keadaan
pemenjaraan.
26. (1) Pegawai perubatan hendaklah dari semasa ke semasa melakukan
pemeriksaan dan menasihatkan pengarah tentang:
(a) Kuantiti, kualiti, persiapan dan penyajian makanan;
(b) Tahap kebersihan institusi dan tahanan;
(c) Kemudahan kebersihan, pemanasan, pencahayaan dan
pengalihudaraan di institusi;
(d) Kesesuaian dan kebersihan pakaian dan peralatan tempat tidur tahanan;
(e) Kepatuhan terhadap peraturan berhubung dengan pendidikan jasmani
dan sukan, sekiranya tidak ada kakitangan teknikal yang
bertanggungjawab mengendalikan aktiviti tersebut.
(2) Pengarah hendaklah menimbangkan laporan dan nasihat yang dikemukakan
oleh pegawai perubatan mengikut peraturan 25 (2) dan 26 dan dalam kes
beliau bersetuju dengan syor yang dibuat, hendaklah mengambil langkah
segera bagi melaksanakan syor tersebut. Jika syor berkenaan di luar bidang
kepakarannya atau jika beliau tidak bersetuju dengannya, beliau hendaklah
dengan segera mengemukakan laporan beliau sendiri berserta nasihat
pegawai perubatan kepada pihak berkuasa lebih tinggi.
Disiplin dan hukuman
27. Disiplin dan ketenteraman hendaklah dijaga dengan ketat, tetapi dengan sekatan
yang sekadar perlu untuk memastikan penahanan yang selamat dan kehidupan
komuniti yang teratur.
28. (1) Tiada seorang pun tahanan boleh diambil berkhidmat untuk institusi bagi
menjalankan sebarang tugas berkaitan dengan penjagaan disiplin.
(2) Peraturan ini walau bagaimanapun tidak boleh menghalang sistem yang
ditadbir sendiri ini berfungsi dengan baik, iaitu di bawah sistem sedemikian,
aktiviti atau tanggungjawab tertentu dalam bidang sosial, pendidikan atau
sukan diamanahkan, dengan penyeliaan, kepada tahanan yang dibahagikan
mengikut kumpulan untuk tujuan layanan.
29. Perkara berikut hendaklah sentiasa ditetapkan oleh undang-undang atau oleh
peraturan pihak berkuasa pentadbiran yang kompeten:
(a) Kelakuan yang merupakan kesalahan disiplin;
(b) Jenis dan tempoh hukuman yang boleh dikenakan;
(c) Pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman tersebut.
30. (1) Tiada seorang pun tahanan boleh dihukum kecuali mengikut syarat undang-
undang atau peraturan yang berkenaan, dan tidak boleh dihukum dua kali
bagi kesalahan yang sama.
(2) Tiada seorang pun tahanan boleh dihukum kecuali dia telah diberitahu
tentang kesalahan yang dilakukannya dan diberi kesempatan sewajarnya
untuk mengemukakan pembelaannya. Pihak berkuasa yang kompeten
hendaklah menjalankan pemeriksaan terperinci tentang kes itu.
(3) Sekiranya perlu dan boleh dilaksanakan, tahanan dibenarkan membuat
pembelaan menerusi seorang jurubahasa.
31. Hukuman dera, hukuman dengan ditempatkan di dalam sel gelap, dan semua
hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah
hendaklah dilarang sama sekali sebagai hukuman bagi kesalahan disiplin.
32. (1) Hukuman dengan ditempatkan di dalam kurungan sempit atau dikurangkan
makanan tidak boleh dikenakan kecuali pegawai perubatan telah memeriksa
tahanan dan mengesahkan secara bertulis bahawa dia cukup sihat untuk
menjalaninya.
(2) Peraturan yang sama dikenakan terhadap sebarang hukuman lain yang boleh
memudaratkan kesihatan fizikal atau mental tahanan. Dalam apa jua kes,
hukuman sedemikian tidak boleh menyalahi atau menyimpang daripada
prinsip yang dinyatakan dalam peraturan 31.
(3) Pegawai perubatan hendaklah setiap hari mengunjungi tahanan yang
menjalani hukuman sedemikian dan hendaklah menasihatkan pengarah jika
beliau berpendapat hukuman itu perlu dihentikan atau dipinda atas sebab
kesihatan fizikal atau mental.
Peralatan penahanan
33. Peralatan penahanan seperti gari, rantai, rantai kaki dan besi pasung, tidak boleh
sama sekali digunakan sebagai hukuman. Tambahan lagi, rantai atau rantai kaki
tidak boleh digunakan sebagai peralatan penahanan. Peralatan penahanan yang
lain tidak boleh digunakan kecuali dalam situasi berikut:
(a) Sebagai langkah berjaga-jaga untuk mencegah tahanan daripada melarikan
diri semasa dipindahkan, dengan syarat peralatan tersebut ditanggalkan
apabila tahanan berkenaan hadir di hadapan pihak berkuasa kehakiman atau
pentadbiran;
(b) Atas sebab perubatan dengan arahan pegawai perubatan;
(c) Dengan arahan pengarah, jika kaedah kawalan yang lain gagal, bagi
mencegah tahanan daripada mencederakan diri sendiri atau orang lain atau
merosakkan harta benda; dalam situasi sedemikian pengarah hendaklah
serta-merta berunding dengan pegawai perubatan dan mengemukakan
laporan kepada pihak berkuasa pentadbiran yang lebih tinggi.
34. Jenis dan cara penggunaan peralatan penahanan hendaklah diputuskan oleh
pentadbiran penjara pusat. Peralatan sedemikian tidak boleh digunakan melebihi
tempoh yang benar-benar perlu.
Maklumat kepada tahanan dan aduan daripada tahanan
35. (1) Setiap tahanan yang dimasukkan hendaklah diberi maklumat bertulis tentang
peraturan yang mengawal layanan terhadap tahanan dalam kategorinya,
keperluan disiplin institusi, kaedah yang dibenarkan bagi mendapatkan
maklumat dan membuat aduan, dan semua perkara lain yang perlu bagi
membolehkan tahanan memahami hak dan kewajipannya dan menyesuaikan
diri dengan kehidupan di institusi.
(2) Jika tahanan itu buta huruf, maklumat yang tersebut di atas hendaklah
disampaikan kepadanya secara lisan.
36. (1) Setiap tahanan hendaklah diberi peluang pada setiap hari bekerja untuk
membuat permintaan atau aduan kepada pengarah institusi atau pegawai
yang diberi kuasa untuk mewakilinya.
(2) Permintaan atau aduan kepada pemeriksa penjara hendaklah dibenarkan
semasa pemeriksaannya. Tahanan hendaklah berpeluang untuk bercakap
dengan pemeriksa atau mana-mana pegawai pemeriksa tanpa kehadiran
pengarah atau kakitangan lain.
(3) Setiap tahanan hendaklah dibenarkan membuat permintaan atau aduan,
tanpa penapisan isi kandungan tetapi dalam bentuk yang sewajarnya, kepada
pentadbiran penjara pusat, pihak berkuasa kehakiman atau pihak berkuasa
berkenaan yang lain menerusi saluran yang dibenarkan.
(4) Kecuali jelas terlalu remeh atau tidak berasas, setiap permintaan atau aduan
hendaklah ditangani dengan segera dan diberi jawapan tanpa lengah.
Hubungan dengan dunia luar
37. Tahanan hendaklah dibenarkan dengan penyeliaan sewajarnya untuk berhubung
dengan ahli keluarga dan rakan yang mempunyai reputasi yang baik, pada waktu
tertentu, menerusi surat-menyurat dan dengan menerima kunjungan mereka.
38. (1) Tahanan rakyat asing hendaklah diberi kemudahan sewajarnya untuk
berhubung dengan wakil diplomatik dan konsulat Negara asal mereka.
(2) Tahanan yang merupakan rakyat dari Negara tanpa perwakilan diplomatik
atau konsulat di negara mereka ditahan dan pelarian atau orang tidak
bernegara hendaklah diberi kemudahan serupa untuk berhubung dengan
wakil diplomatik dari Negara yang bertanggungjawab terhadap kepentingan
mereka atau dengan mana-mana pihak berkuasa negara atau antarabangsa
yang tugasnya untuk melindungi orang sedemikian.
39. Tahanan hendaklah dibenarkan mengikuti perkembangan berita utama dengan
membaca akhbar, terbitan berkala atau terbitan khas institusi, dengan mendengar
siaran tanpa wayar, menerusi ceramah atau mana-mana saluran lain yang
dibenarkan atau dikawal oleh pihak pentadbiran.
Buku
40. Setiap institusi hendaklah mempunyai sebuah perpustakaan untuk kegunaan
semua kategori tahanan, dilengkapi buku rekreasi dan pendidikan yang
secukupnya, dan tahanan hendaklah digalakkan supaya memanfaatkan
kemudahan itu sepenuhnya.
Agama
41. (1) Jika institusi menempatkan cukup ramai tahanan yang menganut agama
yang sama, seorang wakil berkelayakan daripada agama itu hendaklah
dilantik atau diluluskan. Jika bilangan tahanan mewajarkannya dan keadaan
mengizinkan, pelantikan itu hendaklah secara sepenuh masa.
(2) Seorang wakil berkelayakan yang dilantik atau diluluskan di bawah
perenggan (1) hendaklah dibenarkan mengetuai upacara sembahyang
secara tetap dan mengadakan pertemuan tertutup dengan tahanan yang
seagama dengannya pada waktu yang sesuai.
(3) Hak mana-mana tahanan untuk menemui seorang wakil berkelayakan
daripada mana-mana agama tidak boleh disekat. Sebaliknya, jika mana-
mana tahanan membantah kunjungan mana-mana wakil agama,
pendiriannya hendaklah dihormati sepenuhnya.
42. Setakat yang boleh dilaksanakan, setiap tahanan hendaklah dibenarkan
memenuhi keperluan kehidupan beragamanya dengan menghadiri upacara
sembahyang yang diadakan di institusi dan dengan memiliki kitab dan buku
rujukan agama.
Penyimpanan barang tahanan
43. (1) Semua wang, barang berharga, pakaian dan barang lain milik tahanan yang,
mengikut peraturan institusi, tidak boleh disimpannya hendaklah diletakkan
dalam jagaan selamat apabila dia dimasukkan ke institusi. Inventori barang
berkenaan hendaklah ditandatangani oleh tahanan. Langkah perlu diambil
bagi memastikan semua barang tersebut dalam keadaan baik.
(2) Apabila tahanan dibebaskan, semua wang dan barang tersebut hendaklah
dipulangkan kepadanya kecuali wang yang telah dibelanjakannya dengan
kebenaran atau mana-mana barang yang dihantar keluar dari institusi dengan
kebenaran, atau mana-mana pakaian yang perlu dimusnahkan atas sebab
menjaga kebersihan. Tahanan perlu menandatangani akuan penerimaan bagi
barang dan wang yang dipulangkan kepadanya.
(3) Mana-mana wang atau barang yang diterima oleh tahanan dari luar institusi
hendaklah diperlakukan dengan cara yang sama.
(4) Jika seseorang tahanan membawa masuk dadah atau ubat, pegawai
perubatan perlu memutuskan apa yang perlu dilakukan dengan semua bahan
itu.
Pemberitahuan tentang kematian, sakit, pemindahan dsb.
44. (1) Apabila seseorang tahanan meninggal dunia atau sakit teruk atau mengalami
kecederaan serius, atau dipindahkan ke sebuah institusi untuk merawat
penyakit mental, pengarah hendaklah dengan serta-merta memberitahu
suami/isterinya jika tahanan itu berkahwin, atau ahli keluarga terdekat dan
hendaklah dengan apa cara pun memberitahu mana-mana orang lain yang
dinyatakan sebelum ini oleh tahanan.
(2) Seseorang tahanan hendaklah diberitahu serta-merta sekiranya ahli keluarga
terdekatnya meninggal dunia atau sakit teruk. Jika ahli keluarga terdekatnya
sakit tenat, tahanan hendaklah dibenarkan, apabila keadaan mengizinkan,
menziarahi ahli keluarganya itu sama ada dengan pengiring atau
bersendirian.
(3) Setiap tahanan berhak untuk memberitahu keluarganya dengan serta-merta
jika dia dipenjarakan atau dipindahkan ke institusi lain.
Pemindahan tahanan
45. (1) Apabila tahanan dipindahkan ke atau dari sesebuah institusi, mereka
hendaklah seberapa yang boleh tidak didedahkan kepada pandangan umum,
dan langkah perlindungan sewajarnya perlu diambil bagi melindungi mereka
daripada penghinaan, perhatian dan publisiti dalam apa jua bentuk.
(2) Pemindahan tahanan dengan kenderaan tanpa pengalihudaraan atau cahaya
yang mencukupi, atau dengan apa cara yang menyebabkan mereka
mengalami kesusahan fizikal yang tidak sepatutnya, adalah dilarang.
(3) Pemindahan tahanan hendaklah dilakukan dengan perbelanjaan pentadbiran
dan dalam keadaan yang sama bagi kesemua mereka.
Kakitangan institusi
46. (1) Pentadbiran penjara hendaklah mengadakan pemilihan rapi setiap gred
kakitangan kerana pentadbiran institusi yang baik bergantung pada integriti,
perikemanusiaan, keupayaan profesional dan kesesuaian peribadi mereka
untuk tugas berkenaan.
(2) Pentadbiran penjara hendaklah sentiasa berusaha untuk membangkitkan
kesedaran dan mengingatkan kakitangan dan orang ramai bahawa tugas itu
merupakan khidmat masyarakat yang sangat penting, dan untuk tujuan
tersebut segala cara yang sesuai untuk memaklumkan orang ramai
hendaklah digunakan.
(3) Bagi mencapai matlamat yang tersebut di atas, kakitangan hendaklah dilantik
untuk sepenuh masa sebagai pegawai penjara profesional dan mempunyai
status pegawai perkhidmatan awam dengan jaminan perkhidmatan yang
tertakluk hanya kepada kelakuan baik, kecekapan dan kecergasan fizikal.
Gaji hendaklah cukup tinggi untuk menarik dan mengekalkan kakitangan
lelaki dan wanita; manfaat dan syarat perkhidmatan perlu menarik kerana
tuntutan kerja yang mencabar.
47. (1) Kakitangan hendaklah memiliki tahap pendidikan dan kecerdasan yang cukup
tinggi.
(2) Sebelum memulakan tugas, kakitangan hendaklah menjalani kursus latihan
berhubung dengan tugas am dan khusus mereka dan dikehendaki lulus ujian
teori dan amali.
(3) Selepas memulakan tugas dan sepanjang kerjaya mereka, kakitangan
hendaklah mengekalkan dan meningkatkan pengetahuan dan keupayaan
profesional mereka dengan menghadiri kursus latihan dalam perkhidmatan
yang dianjurkan pada waktu yang sesuai.
48. Semua kakitangan hendaklah pada setiap masa berkelakuan baik dan
melaksanakan tugas mereka dengan cekap supaya dapat menjadi teladan kepada
tahanan dan dihormati oleh tahanan.
49. (1) Kakitangan hendaklah seberapa yang boleh turut terdiri daripada pakar
seperti ahli psikiatri, ahli psikologi, pekerja masyarakat, guru dan pengajar
kemahiran dalam bilangan yang mencukupi.
(2) Perkhidmatan pekerja masyarakat, guru dan pengajar kemahiran hendaklah
diadakan secara sepenuh masa, tanpa mengetepikan pekerja sambilan atau
pekerja sukarela.
50. (1) Pengarah institusi hendaklah memiliki kelayakan secukupnya dari segi
perwatakan, kebolehan mentadbir, latihan dan pengalaman yang bersesuaian
untuk menjalankan tugasnya.
(2) Beliau hendaklah menumpukan seluruh masanya terhadap tugas rasminya
dan tidak boleh dilantik secara sambilan.
(3) Beliau hendaklah tinggal di premis institusi atau kawasan berhampiran.
(4) Apabila dua institusi atau lebih terletak di bawah bidang kuasa seorang
pengarah, beliau hendaklah kerap melawat setiap institusi tersebut pada
waktu tertentu. Seorang pegawai residen hendaklah diberi tanggungjawab di
setiap institusi tersebut.
51. (1) Pengarah, timbalannya, dan sebahagian besar kakitangan lain di institusi
hendaklah boleh bertutur dalam bahasa yang digunakan oleh kebanyakan
tahanan, atau bahasa yang difahami oleh kebanyakan daripada mereka.
(2) Apabila perlu, khidmat jurubahasa hendaklah digunakan.
52. (1) Di institusi yang besar yang memerlukan khidmat seorang atau lebih daripada
seorang pegawai perubatan sepenuh masa, sekurang-kurangnya seorang
daripada mereka hendaklah tinggal di premis institusi atau di kawasan
sekitarnya.
(2) Di institusi lain, pegawai perubatan hendaklah melakukan lawatan setiap hari
dan tinggal di kawasan yang cukup dekat untuk membolehkannya merawat
tahanan dengan segera sekiranya berlaku kecemasan.
53. (1) Di institusi yang mempunyai tahanan lelaki dan wanita, bahagian institusi
yang dikhaskan untuk wanita hendaklah diletakkan di bawah bidang kuasa
seorang pegawai wanita yang bertanggungjawab dan memegang kunci ke
semua bahagian yang dikhaskan untuk wanita.
(2) Tiada seorang pun kakitangan lelaki boleh memasuki bahagian institusi yang
dikhaskan untuk wanita melainkan dengan diiringi oleh pegawai wanita.
(3) Tahanan wanita hendaklah diurus dan diselia hanya oleh pegawai wanita.
Walau bagaimanapun peraturan ini tidak menghalang kakitangan lelaki,
terutamanya doktor dan guru lelaki, daripada menjalankan tugas profesional
mereka di institusi atau bahagian institusi yang dikhaskan untuk wanita.
54. (1) Pegawai institusi tidak boleh, dalam hubungan mereka dengan tahanan,
menggunakan kekerasan kecuali untuk mempertahankan diri atau dalam kes
percubaan untuk melarikan diri, atau tentangan aktif atau pasif terhadap
arahan yang dikeluarkan berdasarkan undang-undang atau peraturan.
Pegawai yang boleh menggunakan kekerasan tidak boleh menggunakannya
melebihi apa yang benar-benar perlu dan perlu melaporkan insiden itu
dengan segera kepada pengarah institusi.
(2) Pegawai penjara hendaklah diberi latihan fizikal khas untuk membolehkan
mereka mengawal dan mengekang tahanan yang agresif.
(3) Melainkan dalam keadaan tertentu, kakitangan yang menjalankan tugas yang
memerlukan mereka berhubung secara langsung dengan tahanan tidak boleh
membawa senjata. Tambahan lagi, kakitangan dalam apa jua keadaan tidak
boleh diberi senjata kecuali mereka telah diberi latihan dalam
menggunakannya.
Pemeriksaan
55. Pemeriksaan terhadap institusi dan perkhidmatan penjara hendaklah dilakukan
dari semasa ke semasa oleh pemeriksa berkelayakan dan berpengalaman yang
dilantik oleh pihak berkuasa yang kompeten. Tugas mereka terutamanya adalah
untuk memastikan institusi berkenaan ditadbir mengikut undang-undang dan
peraturan sedia ada dan dengan tujuan untuk mencapai objektif perkhidmatan
penjara dan pemulihan.
BAHAGIAN II
PERATURAN BERKAITAN DENGAN KATEGORI KHAS
A. TAHANAN MENJALANI HUKUMAN
Prinsip panduan
56. Prinsip panduan berikut bertujuan untuk menunjukkan semangat yang seharusnya
mendasari pentadbiran institusi penjara dan tujuan yang sepatutnya menjadi
sasaran institusi berkenaan, selaras dengan perisytiharan yang dibuat di bawah
Pemerhatian Awal I dalam teks ini.
57. Pemenjaraan dan langkah lain yang menyebabkan seseorang pesalah terputus
hubungan dari dunia luar mendatangkan penderitaan kerana hak untuk
menentukan nasib sendiri dilucutkan dengan lucutnya kebebasan diri. Oleh yang
demikian, sistem penjara tidak boleh memburukkan lagi penderitaan yang
memang terdapat dalam situasi sedemikian, kecuali sebagai sesuatu yang ada
kaitan dengan pengasingan yang boleh diwajarkan atau dengan tindakan menjaga
disiplin.
58. Tujuan dan kewajaran sesuatu hukuman penjara atau langkah serupa yang
melucutkan kebebasan diri adalah untuk melindungi masyarakat daripada jenayah.
Matlamat ini hanya boleh dicapai jika tempoh pemenjaraan digunakan untuk
memastikan, seberapa yang boleh, bahawa pesalah bukan sahaja bersedia tetapi
juga mampu menjalankan kehidupan berdikari dan mematuhi undang-undang,
sekembalinya dia ke pangkuan masyarakat.
59. Untuk tujuan tersebut, institusi hendaklah menggunakan program pemulihan,
pendidikan, moral dan kerohanian serta program dan bantuan dalam bentuk lain
yang sesuai dan boleh disediakan, dan hendaklah berusaha untuk
melaksanakannya mengikut keperluan tahanan mengikut individu.
60. (1) Aturan kehidupan di institusi hendaklah bertujuan untuk meminimumkan
sebarang perbezaan antara kehidupan penjara dengan kehidupan bebas,
iaitu perbezaan yang cenderung mengurangkan tanggungjawab tahanan atau
menyebabkan mereka kurang dihormati sebagai manusia bermaruah.
(2) Sebelum tahanan selesai menjalani hukuman, adalah wajar supaya beberapa
langkah perlu diambil untuk memastikan tahanan boleh kembali kepada
kehidupan dalam masyarakat secara beransur-ansur. Bergantung pada kes,
matlamat ini boleh dicapai dengan aturan kehidupan prapembebasan yang
dianjurkan di institusi yang sama atau di institusi lain yang sesuai, atau
dengan pembebasan secara percubaan di bawah penyeliaan tertentu yang
tidak boleh diserahkan kepada polis tetapi hendaklah digabungkan dengan
bantuan sosial yang berkesan.
61. Layanan terhadap tahanan hendaklah menekankan bukan pengasingan mereka
daripada masyarakat tetapi peranan mereka yang berterusan dalam masyarakat.
Oleh sebab itu, khidmat agensi kemasyarakatan hendaklah diambil seberapa yang
boleh untuk membantu kakitangan institusi dalam tugas pemulihan sosial tahanan.
Hubungan perlu wujud antara setiap institusi dengan pekerja kemasyarakatan
yang diberi tugas memelihara dan mengeratkan semua hubungan baik antara
seseorang tahanan dengan keluarganya dan dengan agensi kemasyarakatan yang
memainkan peranan penting. Langkah hendaklah diambil untuk melindungi hak
berkaitan dengan kepentingan sivil, hak keselamatan sosial dan manfaat sosial
tahanan yang lain, ke tahap maksimum selagi selaras dengan undang-undang dan
hukuman.
62. Perkhidmatan perubatan di institusi hendaklah berusaha untuk mengesan dan
merawat sebarang penyakit fizikal atau mental atau kecacatan yang boleh
menggendalakan pemulihan seseorang tahanan. Segala perkhidmatan perubatan,
pembedahan dan psikiatri hendaklah disediakan untuk tujuan itu.
63. (1) Pelaksanaan prinsip tersebut memerlukan layanan mengikut individu dan
bagi tujuan ini, sistem yang fleksibel bagi mengklasifikasikan tahanan
mengikut kumpulan perlu diadakan. Oleh sebab itu, sebaik-baiknya kumpulan
sedemikian diagihkan kepada institusi berlainan yang sesuai agar setiap
kumpulan mendapat layanan yang sewajarnya.
(2) Institusi tersebut tidak perlu menyediakan tahap kawalan keselamatan yang
sama bagi setiap kumpulan. Sebaik-baiknya tahap kawalan keselamatan
yang berbeza-beza disediakan mengikut keperluan kumpulan berlainan.
Institusi terbuka menyediakan keadaan paling baik bagi memulihkan tahanan
yang dipilih dengan teliti, memandangkan institusi sedemikian tidak
mengadakan kawalan keselamatan bagi mencegah tahanan melarikan diri
tetapi bergantung pada disiplin diri tahanan.
(3) Sebaik-baiknya bilangan tahanan di institusi tertutup tidak begitu besar
sehingga menghalang tahanan mendapatkan layanan secara individu. Di
sesetengah negara, bilangan penghuni institusi sedemikian dianggap tidak
harus melebihi 500 orang. Di institusi terbuka, bilangan penghuni hendaklah
seberapa kecil yang boleh.
(4) Sebaliknya pula, adalah tidak wajar untuk mengadakan penjara yang begitu
kecil sehinggakan kemudahan yang sepatutnya tidak dapat disediakan.
64. Kewajipan masyarakat tidak berakhir dengan pembebasan tahanan. Oleh sebab
itu, perlu ada agensi kerajaan atau swasta yang berupaya memberikan
penjagaan susulan yang cekap kepada tahanan selepas pembebasannya
dengan tujuan untuk mengurangkan prejudis terhadap tahanan dan untuk
memulihkan fungsi sosialnya.
Layanan
65. Layanan terhadap orang yang dijatuhi hukuman penjara atau langkah
seumpamanya hendaklah bertujuan, sejauh yang boleh dilakukan dalam tempoh
hukuman, untuk menanamkan keazaman dalam diri mereka untuk menjalani
kehidupan sebagai orang yang berdikari dan mematuhi undang-undang selepas
dibebaskan, dan untuk melengkapkan diri mereka untuk berbuat demikian.
Layanan yang diberikan bertujuan untuk memupuk perasaan mempunyai harga
diri dan sikap bertanggungjawab dalam diri mereka.
66. (1) Bagi tujuan itu, segala kaedah yang sesuai hendaklah digunakan, termasuk
bimbingan agama di negara yang membolehkannya, pendidikan, latihan dan
bimbingan vokasional, kajian kes sosial, kaunseling pekerjaan, pembangunan
fizikal dan pengukuhan peribadi, selaras dengan keperluan individu setiap
tahanan, dengan mengambil kira rekod sosial dan jenayahnya, keupayaan
dan kecenderungan fizikal dan mentalnya, pembawaan peribadinya, tempoh
hukumannya dan prospek tahanan selepas dibebaskan.
(2) Bagi setiap tahanan dengan tempoh hukuman yang bersesuaian, pengarah
hendaklah menerima laporan lengkap tentang segala perkara yang disebut
dalam perenggan di atas, dengan secepat mungkin selepas tahanan
dimasukkan. Laporan tersebut mestilah termasuk laporan yang disediakan
oleh pegawai perubatan, seberapa boleh berkelayakan dalam bidang
psikiatri, tentang keadaan fizikal dan mental tahanan.
(3) Laporan itu dan dokumen lain yang berkaitan hendaklah disimpan dalam
sebuah fail. Fail ini hendaklah sentiasa dikemaskinikan dan diklasifikasikan
supaya boleh dirujuk oleh kakitangan yang bertanggungjawab apabila timbul
keperluan untuk berbuat demikian.
Klasifikasi dan layanan mengikut individu
67. Tujuan klasifikasi adalah:
(a) Untuk mengasingkan tahanan lain daripada tahanan yang disebabkan rekod
jenayah atau perangai jahat mereka berkemungkinan mendatangkan
pengaruh buruk;
(b) Untuk membahagikan tahanan mengikut kelas bagi memudahkan layanan
terhadap mereka supaya mereka dapat menjalani pemulihan sosial.
68. Setakat yang boleh dilaksanakan, institusi atau bahagian berasingan di
sesebuah institusi hendaklah digunakan bagi memberikan layanan mengikut
kelas tahanan yang berlainan.
69. Secepat mungkin selepas tahanan dimasukkan dan selepas kajian dilakukan
tentang personaliti setiap tahanan dengan tempoh hukuman bersesuaian,
program layanan hendaklah disediakan untuk tahanan berdasarkan maklumat
yang diperoleh tentang keperluan individunya, keupayaannya dan
kecenderungannya.
Keistimewaan
70. Sistem keistimewaan yang sesuai bagi kelas tahanan berlainan dan kaedah
layanan berlainan hendaklah diwujudkan di setiap institusi, untuk menggalakkan
tahanan berkelakuan baik, memupuk sikap bertanggungjawab dan menarik
minat dan kerjasama tahanan dalam layanan terhadap mereka.
Kerja
71. (1) Kerja di dalam penjara tidak boleh bersifat menyakitkan.
(2) Semua tahanan yang menjalani hukuman hendaklah diwajibkan bekerja,
tertakluk kepada kecergasan fizikal dan mental seperti yang ditentukan oleh
pegawai perubatan.
(3) Kerja yang secukupnya dan bermanfaat hendaklah diberikan bagi
memastikan tahanan bekerja secara aktif pada hari kerja biasa.
(4) Seberapa yang boleh, kerja yang diberikan hendaklah mengekalkan atau
meningkatkan keupayaan tahanan untuk mencari rezeki secara halal selepas
dibebaskan.
(5) Latihan vokasional dalam bidang yang berfaedah hendak disediakan untuk
tahanan yang boleh memanfaatkannya dan terutamanya untuk tahanan
muda.
(6) Tahanan hendaklah dibenarkan memilih jenis kerja yang ingin dilakukan oleh
mereka, mengikut batas-batas yang sejajar dengan pemilihan pekerjaan yang
sesuai dan dengan keperluan pentadbiran dan disiplin institusi.
72. (1) Penyusunan dan kaedah kerja di dalam institusi hendaklah seberapa yang
boleh menyerupai penyusunan dan kaedah kerja yang sama di luar institusi,
bagi mempersiapkan tahanan untuk menghadapi suasana kehidupan bekerja
yang biasa.
(2) Walau bagaimanapun, kepentingan tahanan dan kepentingan latihan
vokasional mereka tidak boleh diketepikan bagi tujuan meraih keuntungan
kewangan daripada sesuatu perusahaan dalam institusi.
73. (1) Perusahaan dan ladang institusi sebaik-baiknya hendaklah diurus secara
langsung oleh pentadbiran institusi dan bukan oleh kontraktor swasta.
(2) Sekiranya tahanan diambil untuk melakukan kerja yang tidak dikawal oleh
pentadbiran, mereka hendaklah sentiasa berada di bawah penyeliaan
kakitangan institusi. Melainkan kerja itu adalah untuk jabatan lain dalam
kerajaan, upah penuh yang biasa dibayar bagi kerja sedemikian hendaklah
dibayar kepada pentadbiran oleh pihak yang menggunakan tenaga kerja
tahanan, dengan mengambil kira output tahanan.
74. (1) Langkah berjaga-jaga yang ditetapkan bagi melindungi keselamatan dan
kesihatan pekerja bebas hendaklah juga dipatuhi di institusi.
(2) Peruntukan hendaklah dibuat bagi melindungi tahanan daripada kecederaan
perindustrian, termasuk penyakit pekerjaan, mengikut syarat yang setara
dengan syarat yang ditetapkan oleh undang-undang untuk pekerja bebas.
75. (1) Jam bekerja maksimum setiap hari dan setiap minggu bagi tahanan
hendaklah ditetapkan oleh undang-undang atau peraturan pentadbiran,
dengan mengambil kira kebiasaan atau peraturan tempatan berhubung
dengan pengambilan pekerja bebas.
(2) Jam bekerja yang ditetapkan itu hendaklah memperuntukkan satu hari rehat
seminggu dan masa secukupnya untuk pendidikan dan aktiviti lain yang
dikehendaki sebagai sebahagian daripada program layanan dan pemulihan
tahanan.
76. (1) Sistem ganjaran yang saksama hendaklah diadakan untuk kerja yang
dilakukan oleh tahanan.
(2) Di bawah sistem itu, tahanan dibenarkan untuk menghabiskan sekurang-
kurangnya sebahagian daripada pendapatan mereka untuk membeli barang
yang diluluskan untuk kegunaan sendiri dan untuk mengirim sebahagian
daripada pendapatan mereka kepada keluarga.
(3) Sistem tersebut juga hendaklah menetapkan bahawa sebahagian daripada
pendapatan tahanan diasingkan oleh pentadbiran sebagai wang simpanan
yang akan diserahkan kepada tahanan apabila dia dibebaskan.
Pendidikan dan rekreasi
77. (1) Peruntukan hendaklah dibuat bagi pendidikan lanjutan semua tahanan yang
berupaya mendapat manfaat daripadanya, termasuk pendidikan agama di
negara yang membolehkannya. Pendidikan tahanan yang buta huruf dan
tahanan muda hendaklah diwajibkan dengan perhatian khas diberikan
daripada pentadbiran.
(2) Setakat yang boleh dilaksanakan, pendidikan tahanan hendaklah
disepadukan dengan sistem pendidikan negara supaya mereka boleh
meneruskan pendidikan mereka tanpa kesulitan selepas dibebaskan.
78. Aktiviti rekreasi dan kebudayaan hendaklah disediakan di semua institusi untuk
kebaikan kesihatan mental dan fizikal tahanan.
Hubungan sosial dan penjagaan susulan
79. Perhatian khas hendaklah diberikan terhadap usaha memelihara dan mengeratkan
hubungan antara seseorang tahanan dengan keluarganya seperti yang digalakkan
demi kepentingan kedua-dua pihak.
80. Sejak tahanan mula menjalani hukuman, masa depannya selepas dibebaskan
hendaklah diberi pertimbangan dan dia hendaklah digalakkan dan dibantu untuk
memelihara atau menjalinkan hubungan dengan orang atau agensi di luar institusi
sekiranya hubungan itu boleh menjaga kepentingan keluarganya dan
menggalakkan pemulihan sosialnya sendiri.
81. (1) Perkhidmatan dan agensi sama ada kerajaan atau bukan kerajaan yang
membantu tahanan yang dibebaskan untuk kembali ke pangkuan masyarakat
hendaklah memastikan, seberapa yang boleh dan perlu, tahanan yang
dibebaskan diberi dokumen dan kertas pengenalan sewajarnya, mempunyai
rumah dan tempat kerja yang sesuai, berpakaian sesuai dan cukup lengkap
mengikut keadaan iklim dan musim, dan memiliki kemampuan secukupnya
untuk sampai ke destinasi mereka dan untuk menyara diri dalam tempoh
sejurus selepas dibebaskan.
(2) Wakil bertauliah daripada agensi sedemikian hendaklah diberi segala akses
yang perlu ke institusi dan untuk menemui tahanan dan hendaklah terlibat
dalam rundingan tentang masa depan tahanan sejak dia mula menjalani
hukuman.
(3) Adalah wajar aktiviti agensi sedemikian dipusatkan atau diselaraskan
seberapa yang boleh supaya usaha mereka dapat dimanfaatkan dengan
sebaik-baiknya.
B. TAHANAN YANG GILA DAN MENGHIDAPI GANGGUAN MENTAL
82. (1) Orang yang didapati gila tidak boleh ditahan di penjara dan persiapan
hendaklah dibuat untuk memindahkan mereka ke institusi mental dengan
secepat mungkin.
(2) Tahanan yang menghidapi penyakit atau gangguan mental yang lain
hendaklah dipantau dan dirawat di institusi khas di bawah pengurusan
perubatan.
(3) Semasa ditahan di penjara, tahanan sedemikian hendaklah diletakkan dalam
pengawasan khas seorang pegawai perubatan.
(4) Perkhidmatan perubatan atau psikiatri di institusi penjara hendaklah
menyediakan rawatan psikiatri untuk semua tahanan lain yang memerlukan
rawatan sedemikian.
83. Sebaik-baiknya langkah hendaklah diambil, dengan kerjasama agensi berkaitan,
untuk memastikan rawatan psikiatri diteruskan jika perlu selepas tahanan
dibebaskan dan penjagaan susulan sosial-psikiatri disediakan.
C. TAHANAN YANG DITANGKAP ATAU MENUNGGU PERBICARAAN
84. (1) Orang yang ditangkap atau dipenjarakan kerana tuduhan jenayah terhadap
mereka, yang ditahan sama ada dalam tahanan polis atau dalam tahanan di
penjara tetapi belum dibicarakan dan dijatuhi hukuman, akan disebut selepas
ini sebagai ‘tahanan yang belum dibicarakan’ dalam peraturan ini.
(2) Tahanan yang belum disabitkan dianggap tidak bersalah dan hendaklah
dilayan sebagai orang tidak bersalah.
(3) Tanpa menjejaskan peraturan undang-undang bagi melindungi kebebasan
individu atau menetapkan prosedur yang perlu dipatuhi berhubung dengan
tahanan yang belum dibicarakan, tahanan hendaklah mendapat manfaat
daripada aturan kehidupan khas yang diterangkan dalam peraturan berikut
dari segi keperluan asasnya sahaja.
85. (1) Tahanan yang belum dibicarakan hendaklah diasingkan daripada tahanan
yang disabitkan.
(2) Tahanan muda yang belum dibicarakan hendaklah diasingkan daripada
orang dewasa dan pada dasarnya hendaklah ditahan di institusi berasingan.
86. Tahanan yang belum dibicarakan hendaklah tidur berseorangan di dalam bilik
yang berasingan, dengan mengambil kira kebiasaan tempatan yang berbeza
mengikut keadaan.
87. Dalam batas yang sejajar dengan ketertiban institusi, tahanan yang belum
dibicarakan boleh, jika mereka ingin berbuat demikian, memperoleh makanan
yang dibeli atas perbelanjaan mereka sendiri dari luar, sama ada menerusi pihak
pentadbiran atau menerusi ahli keluarga atau rakan. Jika tidak, pentadbiran
hendaklah menyediakan makanan mereka.
88. (1) Seseorang tahanan yang belum dibicarakan hendaklah dibenarkan memakai
pakaiannya sendiri jika pakaian itu bersih dan sesuai.
(2) Jika dia memakai pakaian penjara, pakaian itu hendaklah berlainan dengan
pakaian yang dibekalkan kepada tahanan yang disabitkan.
89. Seseorang tahanan yang belum dibicarakan hendaklah sentiasa diberi peluang
untuk bekerja, tetapi tidak boleh dikehendaki bekerja. Jika dia memilih untuk
bekerja, dia hendaklah diberi bayaran kerana kerjanya itu.
90. Seseorang tahanan yang belum dibicarakan hendaklah dibenarkan untuk
memperoleh, atas perbelanjaannya sendiri atau perbelanjaan pihak ketiga, buku,
surat khabar, bahan penulisan dan cara lain untuk mengisi lapang yang selaras
dengan kepentingan pelaksanaan keadilan serta keselamatan dan ketertiban
institusi.
91. Seseorang tahanan yang belum dibicarakan hendaklah dibenarkan untuk
dikunjungi dan dirawat oleh doktor atau doktor giginya sendiri jika ada sebab yang
munasabah untuk dia membuat permohonan itu dan dia mampu membayar
sebarang perbelanjaan yang ditanggung.
92. Seseorang tahanan yang belum dibicarakan hendaklah dibenarkan memberitahu
keluarganya dengan segera tentang penahanannya dan hendaklah diberi segala
kemudahan yang wajar untuk berkomunikasi dengan keluarga dan rakannya, dan
untuk menerima kunjungan mereka, tertakluk hanya kepada sekatan dan
penyeliaan yang perlu demi kepentingan pelaksanaan keadilan serta keselamatan
dan ketertiban institusi.
93. Bagi tujuan pembelaannya, seseorang tahanan yang belum dibicarakan hendaklah
dibenarkan untuk memohon bantuan guaman percuma sekiranya bantuan
sedemikian boleh didapati, dan menerima kunjungan penasihat undang-
undangnya dengan tujuan untuk membelanya dan menyediakan arahan sulit dan
menyerahkan arahan tersebut kepadanya. Untuk tujuan tersebut, bahan penulisan
hendaklah dibekalkan kepadanya jika dia mengingininya. Temu bual antara
tahanan dengan penasihat undang-undang boleh dilihat tetapi tidak boleh
didengar oleh pegawai polis atau pegawai institusi.
D. TAHANAN SIVIL
94. Di negara yang undang-undangnya membenarkan pemenjaraan kerana
berhutang, atau dengan perintah mahkamah di bawah proses bukan jenayah yang
lain, orang yang dipenjarakan atas sebab tersebut tidak boleh dikenakan sekatan
atau tindakan yang lebih keras daripada perlu untuk memastikan penahanan yang
selamat dan dalam keadaan yang baik. Layanan terhadap mereka hendaklah
setara dengan layanan terhadap tahanan yang belum dibicarakan, namun dengan
pengecualian bahawa mereka mungkin dikehendaki bekerja.
E. ORANG YANG DITANGKAP ATAU DITAHAN TANPA DIDAKWA
95. Tanpa menjejaskan peruntukan perkara 9 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak
Sivil dan Politik, orang yang ditangkap atau dipenjarakan tanpa didakwa hendaklah
diberi perlindungan yang sama seperti yang diberikan di bawah bahagian I dan
bahagian II seksyen C. Peruntukan yang berkaitan dalam bahagian II, seksyen A,
juga boleh diguna pakai jika pemakaiannya membantu membawa manfaat kepada
kumpulan khas tahanan ini, dengan syarat tiada langkah diambil yang
menunjukkan bahawa pendidikan semula atau pemulihan wajar dilaksanakan
terhadap orang yang tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah.
Recommended