View
27
Download
0
Category
Preview:
DESCRIPTION
Asaimen RPH didik hibur
Citation preview
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH YANG LEBIH MENYERONOKKAN
PENGENALAN
Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu selalunya tidak menyeronokkan dan
biasanya gagal menarik minat murid. Keadaan ini berlaku kerana kaedah dan teknik pengajaran
guru yang tidak dapat menarik perhatian murid untuk terus mengikuti sesi pengajaran dan
pembelajaran bahasa Melayu lebih-lebih lagi dalam kalangan murid sekolah rendah. Kini, guru
bahasa sering dikatakan masih menggunakan kaedah-kaedah konvensional dalam menyampaikan
pengajaran bahasa.
Pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu telah diperkenalkan oleh ahli-ahli
bahasa seperti kaedah nahu tradisional, kaedah ajuk hafaz, kaedah natural, kaedah terus, kaedah
oral-aural dan banyak lagi. Begitu juga dengan teknik pengajaran bahasa yang telah banyak
diaplikasikan dalam pengajaran bahasa Melayu kini.
Guru-guru haruslah mengubah kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih
menarik dengan mengaplikasikan teknik-teknik seperti improvisasi, main peranan, teater
bercerita, permainan bahasa dan bercerita. Teknik yang dicadangkan ini juga berpusatkan murid
dan menggalakkan mereka menggunakan bakat, kreativiti dan pengetahuan sedia ada murid
dalam menjalankan aktiviti di dalam kelas.
KONSEP DIDIK HIBUR
Dr . Zailah Zainudin ( 2009 ) , IPGM Kampus Raja Melewar telah memperkenalkan satu
pendekatan baharu yang menerapkan unsur-unsur pembelajaran yang menyeronokkan kepada
murid-murid. Pendekatan tersebut diberi nama “Didik Hibur” atau dalam kata lainnya, “Fun
Learning”. Didik hibur merupakan satu pendekatan terkini dalam menarik minat murid untuk
kekal seronok dalam proses pengajaran dan pembelajaran tanpa mengabaikan objektif
pembelajaran dan pengajaran.
Secara ringkasnya, Didik Hibur telah diperkenalkan didik hibur dalam pengajaran bermula
apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan
dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di
sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan
Tamil menjelang tahun 2012.
Dr. Zailah Zainuddin menyatakan bahawa kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik
hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran
dalam bilik darjah. Beliau mengharapkan pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan
menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan murid. Justeru
pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan difahami oleh murid.
Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur. Kamus Dewan edisi keempat, (2000)
mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud
menyenangkan atau menggirangkan hati. Oleh itu, dapat dirumuskan, didik hibur merupakan
satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur
dengan penekanan pelaksanaannya terhadap empat komponen asas iaitu nyanyian, bercerita,
lakonan, puisi dan lain-lain aktiviti sokongan. Oleh itu, keseronokan murid secara total dalam
mempelajari sesuatu subjek itu akan dapat direalisasikan secara terancang dan bersistematik.
Menurut, Dr Zailah Zainuddin, didik hibur hadir dalam ciri-ciri seperti berikut :
1. Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada
unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.
2. Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang
dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.Justeru murid-murid
sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif dan tertunggu - tunggu untuk
melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.
3. Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai.
Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan
dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas
dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid
terhadap pengajaran dan pembelajaran.
4. Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian
cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta
latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti berbahasa.
5. Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan
supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.
6. Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik tetapi terkawal
untuk memberikan satu persembahan yang menarik.
7. Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya tetapi terkawal.
8. Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.
DIDIK HIBUR DAN STANDARD PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU
( ASPEK SENI BAHASA )
Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) telah diperkenalkan pada tahun 2011 dan telah
menunjukkan banyak transformasi di dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran
terutamanya di dalam subjek bahasa Melayu. Bahasa Melayu di dalam KSSR telah
memperkenalkan aspek seni bahasa yang menekankan pelaksanaan didik hibur di dalam
pengajaran dan penyampaiannya.
Bahagian Pembangunan Kurikulum,(2011) telah menggariskan beberapa perkara dalam
memperkenalkan aspek seni bahasa di dalam standard kandungan dan pembelajaran bahasa
Melayu sekolah rendah. Aspek seni bahasa menekankan kepada keupayaan murid mengungkap
dan mengapresiasi keindahan bahasa, memahami dan menghargai bahasa melalui pembelajaran
yang menyeronokkan menerusi kepelbagaian aktiviti secara didik hibur. Selain itu, murid juga
dapat menggunakan kreativiti mereka dalam melahirkan idea melalui penulisan dan lisan.
Seni bahasa memberi penekanan kepada keindahan bahasa yang dipelajari oleh murid melalui
teknik penyampaian yang menarik dan menyeronokkan seperti bernyanyi, bercerita, berlakon
dan berpuisi. Keindahan bahasa yang digunakan semasa aktiviti seni bahasa ini dapat membantu
murid memantapkan lagi kemahiran berbahasa mereka.
CADANGAN UNTUK PENGAJARAN & PEMBELAJARAN YANG LEBIH
MENYERONOKKAN
Selaku seorang guru yang terlibat secara langsung dalam pengajaran bahasa Melayu, saya
harus lebih kreatif dalam mengelolakan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah
terutamanya ketika mengendalikan kelas tahap 1 yang secara langsungnya terlibat dengan KSSR.
Selain menggunakan Didik Hibur di dalam pengajaran bahasa, saya juga harus menggabungkan
beberapa teknik-teknik pengajaran lain bagi menghasilkan satu pengajaran yang benar-benar
berkesan dan menarik perhatian pelajar. Bagi meningkatkan mutu pengajaran, saya
mencadangkan agar beberapa penggabungjalinan kaedah dan teknik perlu dilakukan.
Penggabungjalinan bermaksud pengintegrasian pelbagai kemahiran untuk menghasilkan
pelajaran yang bersepadu dan menyeluruh. Kamarudin Hj Hussin, ( 1990 ), menyatakan Strategi
ini bertujuan mengukukuhkan kemahiran antara satu sama lain dan menjadikan aspek
pembelajaran saling melengkapi dalam sesuatu pelajaran, agar pembelajaran tersebut lebih
menarik dan bermakna. Menurut Kamarudin Hj Hussin lagi, strategi penggabungjalinan
dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu penggabungjalinan kemahiran, bahan dan aktiviti. Namun
begitu, selain menggabungkan kemahiran yang terdapat di dalam bahasa, saya mengambil
inisiatif untuk sering kali menggabungkan kemahiran mata pelajaran lain di dalam bahasa
Melayu. Sebagai contoh, kemahiran-kemahiran di dalam pelajaran Pendidikan Seni Visual
sepanjang pengajaran bahasa Melayu. Bagaimana mahu merealisasikan perkara seperti ini?.
Pendidikan Seni Visual mengandungi banyak aspek-aspek atau kemahiran di dalamnya seperti
resis, catan, capan, menganyam dan sebagainya. Guru memilih satu kemahiran, anyaman
misalannya, untuk mengajar murid membentuk perkataan. Satu demi satu huruf dicantum
melalui teknik anyaman untuk menghasilkan satu perkataan bermakna.
Selain itu, berdasarkan pandangan saya, Seni Dalam Pendidikan juga mampu mengubah bentuk
pengajaran bahasa Melayu dan menghasilkan pembelajaran yang interaktif. Misalannya, guru
bolehlah mengintegrasikan unsur seni visual (warna) dalam sesi P&P di dalam kelas. Sebagai
contoh, selepas guru mengajar murid tentang jenis-jenis bunga misalnya, guru bolehlah meminta
murid mewarnakan gambar bunga tersebut mengikut kreativiti masing-masing dan sekali gus
boleh menekankan murid tentang kata adjektif warna. Di samping itu, guru boleh menyelitkan
nilai mensyukuri ciptaan Tuhan yang indah lagi menakjubkan itu kepada diri murid-murid. Jadi,
di sini jelas menunjukkan pengintegrasian Seni Dalam Pendidikan dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu mampu menghasilkan pembelajaran yang menarik di samping mewujudkan nilai dalam
kalangan murid-murid.
Seni Dalam Pendidikan juga berperanan dalam memupuk budaya pengamatan, persepsi dan
ekspresi dalam proses penghasilan. Ketiga-tiga budaya ini dapat diterapkan dalam
pengintegrasian unsur seni pergerakan dalam sesi P&P di dalam kelas. Jika dikaitkan dengan sesi
P&P mata pelajaran Bahasa Melayu, guru boleh menjalankan aktiviti seperti aktiviti lakonan.
Semasa berlakon, mereka akan menghayati lakonan serta membuat ekspresi yang sesuai
menggunakan anggota fizikal mereka. Misalnya, selepas guru menerangkan konsep tatabahasa
mengenai kata adjektif yang menunjukkan sifat seperti marah, sedih, gembira dan sebagainya,
guru boleh meminta murid-murid melakonkan watak-watak yang menggambarkan perasaan-
perasaan tersebut. Mereka akan memikirkan gaya yang sesuai untuk mengekspresikan perasaan-
perasaan tersebut. Perkara ini juga bertepatan dengan ciri-ciri “fun learning” ataupun didik hibur.
Kesimpulannya, pelbagai kaedah dan teknik harus diguna pakai bagi mewujudkan satu
pembelajaran bahasa Melayu yang menyeronokkan dan tidak membosankan. Konsep Didik
Hibur harus diamati dan dialami oleh guru-guru bahasa Melayu sebagai persediaan dalam
menyediakan satu proses PdP yang berkesan dan interaktif.
BIBLIOGRAFI
Dr Zailah Zainuddin ( 2011 ), IPGM Kampus Raja Melewar, Didik Hibur , disunting pada 15
Oktober 2013, daripada web http://www.moe.gov.my/bpk/v2/kssr/index.php/berita/didik_hibur.
Kamarudin Hj Husin (1990), Pedagogi 2, Longman Malaysia, Shah Alam
Hajah Noresah (2010 ), Kamus Dewan Edisi Keempat , Penerbit Dewan Bahasa Dan Pustaka,
Kuala Lumpur
Recommended