View
483
Download
34
Category
Preview:
DESCRIPTION
KEPIMPINAN
Citation preview
WARKAH SAIDINA ALI IBN ABI TALIB KEPADA
MALIK BIN AL-‐HARIS AL-‐ASHTAR
Harta Yang Paling Berharga
Ketahuilah oleh kamu, wahai Malik bahawa kami menghantar kamu menjadi
Gabenor sebuah negeri yang pada masa lalu telah mengalami pemerintahan yang adil
mahupun tidak adil. Orang akan memperhatikan tingkah laku kamu dengan teliti
sebagaimana kamu pernah meneliti tingkah laku orang sebelum kamu dan orang akan
bercerita tentang kamu sebagaimana kamu bercerita tentang orang lain. Sebenarnya
orang selalu memuji mereka yang berbuat baik. Merekalah yang menjadi saksi kepada
perbuatan kamu. Sebab itu harta yang paling berharga yang patut menjadi idaman
kamu ialah perbuatan amar maaruf. Kawallah hawa nafsu kamu dan jauhkanlah diri
kamu daripada perkara-‐perkara yang ditegah kerana hanya dengan manahan nafsu
sahajalah kamu dapat membezakan segala yang baik dan segala yang buruk buat kamu.
Tanamkanlah semangat cinta akan rakyatkmu dalam diri kamu semoga rakyat
kamu memperoleh manfaat dan rahmat daripadanya. Janganlah kamu berkelakuan
seperti orang gasar dengan mereka, dan janganlah kamu menjadikan milik mereka hak
kamu. Ingatlah bahawa rakyat negeri kamu terdiri daripada dua golongan: sama ada
mereka itu saudara seagama dengan kamu ataupun saudara sebangsa dengan kamu.
Mereka mempunyai kelemahan dan pasti akan melakukan kesilapan. Malah
sesetengahnya betul-‐betul melakukan kesilapan. Tetapi ampunilah mereka
sebagaimana kamu berharap Allah akan mengampuni kamu.
Ingatlah kamu dilantik sebagai pemimpin mereka sebagaimana kami dlantik
menjadi pemimpin kamu. Dan Allah lebih berkuasa daripada dia yang melantik kamu
sebagai Gabenor supaya kamu dapat menjaga kebajikan orang-‐orang di bawah
2
pimpinan kamu dan menyempurnakan keperluan mereka. Dan orang akan menilai
kamu berdasarkan segala yang telah kamu lakukan untuk mereka.
Janganlah kamu memusuhi Allah kerana kamu tidak berupaya menanggung
kemurkaanNya dan kamu tidak dapat lari daripada takluk rahmat dan keampunanNya.
Janganlah kamu bersedih kerana kamu terpaksa memaafkan seseorang dan janganlah
kamu bergembira kerana kamu telah menghukum seseorang. Janganlah kamu lekas
marah kerana marah itu tidak ada faedahnya.
Janganlah kamu berkata: “Akulah Yang Dipertuan kamu yang berkuasa ke atas
kamu dan oleh itu kamu mesti tunduk pada perintahku: sebab itu akan merosakkan
jiwamu, melemahkan keimananmu dan menimbulkan huru-‐hara dalam negeri kamu.
Seandainya kamu bermegah-‐megah dengan kuasa yang ada pada kamu atau tersemat
rasa angkuh dan sombong walau sedikit sekalipun di sudut hati kamu maka cubalah
kamu renungkan kekuasaan dan keagungan Allah mentadbir alam yang tidak dapat
kamu tandingi. Ia akan mengembalikan pertimbangan kamu yang waras dan seterusnya
memberikan ketenangan dan ketenteraman kepadamu. Ingatlah! Janganlah kamu
membandingkan dan menyamakan keupayaan kamu dengan kebesaran Allah yang
maha Kuasa kerana Allah mengutuk umat manusia yang engkar dan zalim.
Hendaklah kamu menghormati hak Allah dan hak manusia dengan mengawasi
tindak-‐tanduk kamu dan menyuruh sahabat-‐sahabat kamu dan saudara mara kamu
untuk berbuat demikian. Jika tidak, kamu menzalimi diri kamu dan umat manusia dan
akhirnya umat manusia dan Allah akan menjadi musuhmu. Tidak ada pengampunan
bagi seseorang yang menjadi musuh Allah. Dia dianggap sebagai penderhaka sehingga
dia insaf dan memohon keampunan. Orang yang kejam tidak akan mendapat
rahmatNya tetapi sebaliknya Allah murka kepadanya. Sesungguhnya Allah mendengar
doa orang yang tertindas dan Allah melaknati para penindas.
3
Manusia Biasa
Peliharalah keadilan dalam pentadbiran dan hendaklah kamu berlaku adil dan
mencari kata muafakat kerana jika ramai orang yang tidak berpuas hati maka luputlah
kenikmatan yang dirasai oleh sebilangan kecil golongan mewah tetapi rasa tidak puas
hati orang yang sedikit tidak akan ketara di kalangan ramai yang menikmati
kemewahan. Ingatlah, bahawa kelompok kecil yang menikmati kemewahan itu tidak
akan menolong kamu semasa kamu dalam kesusahan: mereka akan cuba menghalang
keadilan, mereka akan meminta lebih daripada yang sepatutnya dan mereka tidak akan
menghargai bantuan yang diberikan kepada mereka. Mereka cemas menghadapi ujian
dan dugaan namun mereka tidak menyesali kekurangan mereka. Sesungguhnya orang
biasalah yang menjadi tunggak kekuatan negara dan agama. Dialah yang akan
menentang musuh. Kerana itu hendaklah kamu sentiasa berhubung rapat dengan orang
ramai dan mengambil tahu akan hal kebajikan mereka.
Jauhilah orang yang suka mendedahkan kelemahan orang lain. Namun demikian
rakyat tidak terlepas daripada kelemahan. Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin
untuk melindungi mereka. Janganlah kamu mendedahkan segala yang tersembunyi
tetapi berusahalah untuk menghapuskan kelemahan yang sudah nyata. Allah
mengetahui segala yang tersembunyi dan hanya Dia yang boleh menyelesaikannya.
Cubalah sedaya upaya kamu untuk menyembunyikan kelemahan rakyat kamu maka
dengan itu Allah akan menutup kelemahan yang cuba kamu sembunyikan daripada
pandangan umum. Hilangkan perasaan saling benci-‐membenci antara pentadbir dengan
orang ramai, dan hapuskanlah segala sebab-‐akibat yang boleh menimbulkan ketegangan
antara kamu. Jagalah tingkah laku kamu agar bersesuaian dengan pangkat kamu.
Janganlah kamu terburu-‐buru mempercayai orang yang suka mengumpat kerana orang
itu adalah seorang penipu yang menyamar sebagai sahabat.
4
Para penasihat
Jangan sekali-‐kali kamu mendengar nasihat orang yang kedekut kerana dia akan
merosakkan keseluruhan budi kamu dan menakut-‐nakutkan kamu tentang kemiskinan.
Dan janganlah kamu mendengar nasihat si pengecut kerana dia akan membuat kamu
lekas hilang semangat. Dan janganlah kamu mendengar nasihat orang yang tamak
kerana dia akan menanamkan rasa tamak haloba dalam diri kamu dan membuat kamu
menjadi orang yang zalim. Sifat-‐sifat kedekut, pengecut dan tamak membuat manusia
tidak yakin kepada Allah.
Penasihat yang paling keji ialah orang yang pernah menjadi penasihat kepada
pemimpin-‐pemimpin yang tidak adil dan turut sama bersubahat melakukan
kemungkaran. Janganlah kamu mengambil sebagai penasihat orang-‐orang yang pernah
menjadi sahabat raja yang zalim atau bersubahat melakukan kejahatan. Kamu boleh
mendapat orang lain yang jauh lebih baik daripada itu, yang pintar, berpandangan jauh
dan berhati suci, orang yang tidak pernah membantu raja yang zalim melakukan
kezalimam atau menolong seorang penjahat melakukan kejahatan. Orang-‐orang yang
mempunyai sifat seperti ini tidak akan sekali-‐kali menjadi beban kepada kamu.
Sebaliknya pula merekalah sumber bantuan dan kekuatan kamu pada setiap masa.
Mereka akan menjadi sahabat kamu dan menjadi orang asing kepada musuh-‐musuh
kamu. Pilihlah orang-‐orang seperti itu sahaja untuk menjadi sahabatmu – sebagai
teman biasa dan teman seperjuangan. Malah di kalangan mereka ini pun, hendaklah
kamu mengutamakan mereka yang sentiasa menyanjung kebenaran, walaupun kadang-‐
kadang sukar bagi kamu untuk membuat pilihan itu, dan seterusnya pilihlah orang-‐orang
yang tidak suka menunjuk-‐nunjuk kelembutan hatinya kerana sifat itu tidak diredhai
Allah.
5
Berdamping rapatlah dengan orang-‐orang yang jujur dan bertaqwa dan
beritahulah kepada mereka bahawa kamu sekali-‐kali tidak gemar mereka memuji-‐muji
kamu dan menyanjung kamu demi kebaikan yang tidak kamu lakukan kerana pujian
yang berlebih-‐lebihan dan sanjungan yang tidak kena pada tempatnya membuat
manusia menjadi bongkak dan sombong.
Janganlah kamu memperlakukan yang baik dan yang jahat dengan cara yang
sama. Sebab itu akan melemahkan semangat orang yang baik untuk berbuat baik dan
menggalakkan orang jahat terus melakukan kejahatan. Berilah pujian pada orang yang
patut menerimanya. Ingatlah bahawa perasaan saling percaya-‐mempercayai dan
muhibbah antara pemerintah dengan orang yang diperintah hanya akan wujud dengan
adanya ehsan, keadilan dan bantuan. Oleh itu, eratkanlah silaturrahim di kalangan
rakyat kamu kerana hanya persahabatan mereka sahaja dapat menyelamatkan kamu
daripada kesusahan. Kemurahan hati kamu terhadap mereka akan mereka balas
dengan menaruh kepercayaan terhadap kamu dan kezaliman kamu pula akan mereka
balas dengan memusuhimu.
Janganlah kamu mengenepikan ajaran mulia yang diamalkan oleh orang-‐orang
yang terdahulu daripada kita yang mana ajaran ini telah memelihara kerukunan dan
menggalakkan kemajuan di kalangan rakyat; dan janganlah kamu melakukan sesuatu
yang mungkin akan mengurangkan kesan ajaran tersebut. Orang-‐orang yang
mengamalkan ajaran mulia ini telah menerima ganjaran mereka: tetapi adalah menjadi
tanggungjawab untuk kamu mempertahankannya sekiranya ajaran ini di ganggu-‐gugat.
Sentiasalah mencuba belajar daripada pengalaman orang-‐orang yang terpelajar dan
orang-‐orang bijak bistari dan selalulah meminta pendapat mereka dalam hal yang
berkaitan dengan negara supaya kamu dapat mengekalkan keamanan dan silaturahim
yang telah ditetapkan oleh pemimpin sebelum kamu di negara ini.
6
Golongan Rakyat Yang Berlainan
Ingatlah bahawa masyarakat terdiri daripada kelompok manusia yang berlainan.
Kemajuan satu-‐satu kelompok itu bergantung kepada kemajuan kelompok-‐kelompok
yang lain dan tidak ada satu kelompok pun yang boleh hidup dengan sendirinya. Kita
ada pasukan tentera yang merupakan tentera Allah. Kita juga ada pegawai awam dan
pentadbirannya, badan kehakiman, pemungut hasil dan pegawai perhubungan awam.
Rakyat jelata pula terdiri daripada orang-‐orang Islam dan kaum Zimmis dan antara
mereka ada saudagar dan tukang, penganggur dan orang miskin. Allah telah pun
menentukan hak; tugas dan tanggungjawab masing-‐masing yang terkandung dan
diterangkan dalam Al-‐Quran dan As-‐Sunnah.
Dengan kurniaNya, pasukan tentera itu ibarat benteng rakyat dan
melambangkan kebesaran negara. Pasukan tentera menegakkan kedaulatan agama
Islam dan memelihara keamanan negara. Tanpanya negara tidak dapat wujud. Begitu
juga, pasukan tentera tidak dapat wujud tanpa sokongan negara. Askar-‐askar kita telah
membuktikan bahawa mereka kuat dan gagah apabila berdepan dengan musuh kerana
Allah telah mengurniakan kelebihan kepada mereka untuk berjuang keranaNya; tetapi
mereka juga harus memenuhi keperluan zahir mereka dan dengan itu mereka terpaksa
mengharapkan gaji yang dibayar kepada mereka daripada hasil negara. Pihak tentera
dan orang awam yang membayar cukai perlu bekerjasama antara satu sama lain. Begitu
juga antara badan kehakiman dengan pegawai awam dan pentadbirannya. Qadhi
mentadbirkan undang-‐undang sivil dan undang-‐undang jenayah; pegawai awam
memungut hasil dan menuruskan pentadbiran awam dengan bantuan pekerja-‐pekerja
jabatan. Kemudian ada pula dagang santeri dan saudagar yang membantu
memperbanyak hasil negara. Merekalah yang menjalankan perniagaan dan merekalah
yang lebih berupaya daripada kelompok lain untuk memenuhi tanggungjawab
masyarakat. Kemudian ada pula kelompok fakir miskin dan adalah menjadi
tanggungjawab kelompok-‐kelompok lain untuk menjaga kebajikan mereka.
7
Allah telah menentukan tugas dan tanggungjawab tiap-‐tiap kelompok dan
kelompok-‐kelompok ini pula mempunyai kewajipan terhadap negara yang harus diawasi
oleh pemimpin, demi kebaikan sekelian rrakyat. Tugas ini tidak mungkin dapat
dilaksanakan dengan baik melainkan jika pemimpin sendiri memastikan
perlaksanaannya dan memohon pertolongan daripada Allah. Sesungguhnya, menjadi
kewajipannya untuk melaksanakan tugas itu sendiri dan mengadapi segala kesulitan
yang menjadi sebahagian daripada tugas ini dengan tekun dan sabar.
Pihak Tentera
Hendaklah kamu menjaga kebajikan mereka yang bertugas dalam tentera,
mereka yang pada pendapat kamu amat patuh kepada Allah dan Rasul dan setia kepada
ketua; mereka yang pada saat-‐saat genting dapat menahan diri dan mendengar
rungutan serta bangkangan yang munasabah dengan tenang; mereka yang dapat
membantu orang yang lemah yang memerlukan pertolongan dan menewaskan orang
yang kuat; mereka yang tidak mudah menjadi marah apabila disakiti hatinya dan mereka
yang tidak akan teragak-‐agak bertindak pada bila-‐bila masa pun.
Berdamping rapatlah dengan orang-‐orang daripada keluarga terhormat dan
disanjung zaman berzaman dan dekatilah orang-‐orang yang berani dan berakhlak mulia,
murah hati dan bersedia membantu serta suka membuat kebajikan, kerana orang-‐orang
seperti ini adalah teras masyarakat.
Jagalah mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana kamu menjaga anak-‐
anak kamu sendiri dan janganlah kamu bercerita di depan mereka tentang kebaikan
yang telah kamu lakukan untuk mereka atau janganlah pula kamu tidak mengendahkan
kemesraan yang ditunjukkan oleh mereka sebagai balasan kerana tingkah laku yang
sedemikian menggalakkan semangat kesetiaan, kebaktian dan mempereratkan
8
silaturrahim. Bantulah setiap keperluan mereka walaupun sedikit dan janganlah kamu
hanya berpuas hati dengan bantuan secara am yang telah kamu berikan kepada mereka
kerana kadangkala perhatiaan yang diberikan tepat pada masanya terhadap permintaan
mereka yang kecil itu dapat menyenangkan hati mereka. Nescaya orang-‐orang ini tidak
akan melupakan kamu semasa kamu berada dalam kesusahan.
Adalah menjadi kewajipan kamu untuk melantik sebagai Panglima Tertinggi
kamu orang yang sanggup memikul tugas dan tanggunjawab membantu orang-‐
orangnya, dan orang yang betul-‐betul baik hati, melebihi pewagai-‐pegawai lain, dalam
menyempurnakan keperluan orang-‐orang di bawah perintahnya dan menjaga kebajikan
kaum keluarga mereka semasa mereka keluar berjuang, sehinggakan setiap anggota
tentera berasa bahawa mereka bersama dalam suka dan duka. Perpaduan yang
sehaluan ini menambah kekuatan mereka dalam memerangi musuh. Teruskanlah
bersifat murah hati terhadap mereka supaya mereka sentiasa sayangi akan kamu.
Sesungguhnya kebahagiaan dan kesenangan hidup yang sebenar bagi para pemimpin
hanya dapat dirasai dengan menegakkan keadilan dalam negeri dan memelihara
perhubungan yang mesra antara rakyat. Kasih saying dan penghormatan yang mereka
tunjukkan kepada kamu membayangkan ketulusan hati mereka, dan hanya sifat-‐sifat ini
sahajalah yang menyelamatkan para pemimpin.
Segala nasihat yang kamu berikan kepada tentera hanya sia-‐sia belaka melainkan
jika kamu dapat mengambil hati para pegawai dan askar biasa agar mereka tidak
menganggap kerajaan zalim ataupun menyebabkan keruntuhannya.
Teruskanlah menyempurnakan keperluan mereka dan pujilah mereka berkali-‐kali
demi kebaktian yang dilakukan oleh mereka. Insya Allah, sikap yang begitu akan
menggalakkan mereka yang berani menjadi lebih berani dan mereka yang penakut
menjadi berani.
9
Cubalah kamu fahami perasaan orang lain dan janganlah kamu melebih-‐lebihkan
kesilapan seseorang itu daripada kesilapan orang yang lain, dan janganlah tamak untuk
memberikan ganjaran yang sewajarnya. Pastikan kamu tidak melebihkan seseorang
yang tidak berbuat apa-‐apa pun semata-‐mata kerana kedudukan keluarganya; dan
janganlah kamu sengaja tidak mahu memberikan ganjaran yang sewajarnya kepada
seseorang yang banyak berjasa hanya kerana dia daripada golongan bawahan.
Panduan Yang Benar
Kembali kepada Allah dan RasulNya untuk mendapat petunjuk setiap kali kamu
berasa was-‐was terhadap sesuatu yang akan kamu lakukan. Firman Allah kepada orang-‐
orang yang ingin dipimpinNya ke jalan yang benar: “Wahai orang-‐orang yang beriman,
taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amr ”
(orang-‐orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-‐
bantah (berselisih) dalan sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya
kepada (Kitab) Allah (Al-‐Quran) dan (Sunnah) RasulNya.” Kembali kepada Allah
sebenarnya bermaksud merujuk kepada Al-‐Quran dan kembali kepada Rasul ertinya
mengerjakan perintah-‐perintahnya dan menjauhi larangan-‐larangannya dan mencontohi
segala pimpinannya.
Ketua Hakim
Pilihlah sebagai ketua hakim kamu orang yang paling baik di antara rakyat kamu
– orang yang tidak diganggui oleh masalah rumahtangga, orang yang tidak mudah
digertak, orang yang jarang melakukan kesilapan, orang yang tidak mungkin berpatah
balik setelah menemui jalan kebenaran, seorang yang tidak mementingkan diri sendiri
atau tamak haloba, seorang yang tidak akan membuat keputusan selagi dia tidak
mengetahui keadaan sebenar, seorang yang akan menimbangkan segala keraguan
dengan teliti dan mengumumkan keputusan dengan jelas setelah membuat
10
pertimbangan yang saksama, orang yang sabar mendengar perbalahan para
peguamcara dan seorang yang meneliti dengan tekun setiap kenyataan baru yang
timbul dan orang yang betul-‐btul tidak berat sebelah dalam membuat keputusan, orang
yang tidak mudah tergoda oleh sanjungan dan orang yang tidak sombong dengan
kedudukannya. Tetapi bukanlah mudah untuk mencari orang yang bersifat demikian.
Apabila kamu sudah mendapat orang yang betul-‐betul sesuai untuk jawatan
tersebut, bayarlah dia gaji yang mencukupi supaya dia dapat hidup dalam kesenangan
dan setaraf dengan kedudukannya – supaya dia tidak mudah tergoda. Berilah
kepadanya kedudukan yang cukup tinggi dalam mahkamah kamu. Yang tidak pernah
dimimpikannya agar dia tidak mudah dipengaruhi oleh fitnah dan hasutan.
Badan Kehakiman Rendah
Awas! Pemilihan pegawai-‐pegawai lain dalam badan kehakiman dilakukan
dengan penuh berhati-‐hati: kerana jawatan tinggi ini menjadi idaman setiap orang yang
ghairah mencari kekayaan dan tamak haloba. Sahkan mereka dalam jawatan mereka
setelah mereka melalui tempoh percubaan dan pengawasan yang dikehendaki. Jangan
sekali-‐kali kamu melantik orang untuk memegang jawatan yang penting semata-‐mata
atas sebab hubungan peribadi atau sebab-‐sebab lain kerana itu mungkin akan
menimbulkan ketidakadilan dan kecurangan.
Lantiklah orang yang berpengalaman untuk menjawat jawatan yang penting,
yakni orang yang beriman dan daripada keluarga baik-‐baik. Orang-‐orang yang seperti ini
tidak mudah menjadi mangsa godaan dan sentiasa menjalankan tugas mereka dengan
penuh kesedaran demi kebaikan orang lain. Tingkat gaji mereka agar mereka dapat
hidup dalam keadaan yang memuaskan. Kehidupan yang menyenangkan dapat
mewujudkan kemurniaan rohani. Mereka tidak merasakan perlu untuk memungut cukai
daripada pendapatan orang bawahan mereka untuk mengisi tembolok mereka. Dengan
11
itu mereka tidak mempunyai sebab untuk melanggar arahan kamu atau
menyalahgunakan wang negara. Suruhlah orang-‐orang yang taat dan berakhlak mulia
untuk mengawasi mereka tanpa pengetahuan mereka. Boleh jadi mereka akan menjadi
orang yang betul-‐betul jujur dan benar-‐benar mengambil tahu akan kebajikan awam.
Tetapi bilamana salah seorang antara mereka dituduh berkelakuan tidak jujur dan
kesalahan itu disahkan oleh laporan dari Bahagian Perisisikan kamu, maka anggaplah itu
sudah mencukupi untuk menghukumnya. Hukumlah dengan hukuman dera dan
hendaklah dilaksanakan dikhalayak ramai di satu tempat khas untuk menjalankan
hukuman tersebut.
Pentadbiran Hasil
Pentadbiran hasil hendaklah dilaksanakan dengan penuh teliti bagi memastikan
kesejahteraan orang-‐orang yang membayar cukai kepada kerajaan kerana kesejahteraan
mereka menentukan kemakmuran hidup orang lain terutamanya kemakmuran hidup
rakyat jelata. Sesungguhnya kemajuan negara bergantung kepada hasil mahsulnya.
Kamu hendaklah mengutamakan penjagaan rapi tanah yang diusahakan lebih daripada
kutipan hasilnya kerana hasil tidak dapat dikutip melainkan tanah itu subur dengan
tanaman. Sesiapa yang meminta hasil tanpa menolong petani memajukan tanahnya
akan menyusahkan para petani dan merosakkkan negara. Seseorang pemerintah yang
berbuat demikian tidak akan dapat memerintah lama.
Sekiranya para petani memohon agar cukai tanah dikurangkan disebabkan oleh
wabak, kemarau atau hujan yang berlebihan atau kerana tanah tidak subur atau banjir
merosakkan tanaman mereka maka hendaklah kamu menurunkan cukai supaya
keadaan hidup pulih semula. Janganlah kamu terlalu memikirkan hasil mahsul yang
hilang disebabkan oleh keadaan-‐keadaan yang disebutkan tadi kerana pada suatu hari
nanti kamu akan memperoleh keuntungan yang berlipat ganda apabila tanah
mengeluarkan hasil yang lebih banyak dan membolehkan kamu memperbaiki keadaan
12
Bandar-‐bandar kamu dan menaikkan nama baik negara kamu. Kamu akan disanjung
ramai. Rakyat akan menaruh kepercayaan kepada cara pengadilan kamu. Keyakinan
mereka terhadap kamu akhirnya ternyata akan menjadi sumber kekuatan kamu kerana
mereka akan bersedia membantu kamu semasa kamu berada dalam kesusahan.
Kamu boleh menempatkan seberapa banyak orang di satu-‐satu kawasan tetapi
mereka pasti berasa tidak puashati apabila tanah mereka tidak bertambah maju. Yang
menyebabkan para petani mengalami kehancuran ialah pemerintah yang hanya
berminat untuk mengumpulkan harta kekayaan semata-‐mata kerana mereka takut tidak
dapat memerintah lama. Demikianlah sifatnya orang-‐orang yang tidak belajar daripada
contoh teladan orang-‐orang yang terdahulu daripada mereka.
Pentadbiran Perkeranian
Awasilah bahagian pentadbiran kamu dan jurutulis kamu untuk urusan surat-‐
menyurat kamu yang sulit. Pilihlah antara mereka orang yang mempunyai akhlak yang
mulia dan bersifat amanah, orang yang tidak akan mengambil kesempatan daripada
kedudukan mereka yang istimewa untuk menentang kamu dan orang yang tidak akan
tunduk pada hasutan luar semasa mereka merangka perjanjian kamu sehingga
merosakkan kepentingan kamu ataupun gagal menyelamatkan kamu daripada
kesusahan. Lantiklah orang yang menyedari peri pentingnya tugas yang dipikul oleh
mereka kerana orang yang tidak menyedari kepentingan tugasnya sendiri tidak mungkin
dapat menghargai tugas dan tanggungjawab orang lain. Janganlah kamu memilih orang
untuk mengerjakan tugas tersebut semata-‐mata berdasarkan pandangan pertama
kamu, perasaan kasih sayang kamu atau kebaikan hati kamu kerana sesungguhnya
ramai orang yang sebenarnya tidak jujur, angkuh dan bukan daripada keluarga baik-‐baik
dapat menipu walaupun sepandai-‐pandai pemerintah. Pemilihan hendaklah dibuat
selepas tempoh percubaan yang sewajarnya – masa untuk menguji kejujuran seseorang.
13
Apabila kamu melantik mereka tanpa mengenakan sebarang tempoh percubaan
pastikan orang-‐orang yang kamu pilih itu mempunyai pengaruh dengan orang ramai dan
memang sudah ternyata jujur orangnya, kerana pemilihan seperti itu disukai oleh Allah
dan para pemerintah. Bagi setiap bahagian pentadbiran biarlah ada ketuanya, seorang
yang tidak cemas menghadapi sebarang tugas yang sulit dan tidak marah dengan kerja
yang banyak.
Dan ingatlah bahawa setiap kelemahan anggota pentadbiran kamu dan juru tulis
kamu yang kamu terlepas pandang akan dicatat di dalam kitab amalan kamu.
Perdagangan dan Perusahaan
Laksanakanlah rancangan yang berfaedah untuk mereka yang terlibat dalam
bidang perdagangan dan perusahaan dan bantulah mereka dengan memberikan nasihat
yang bernas. Sesetengah daripada mereka tinggal di bandar dan sesetengahnya
berpindah dari satu tempat ke satu tempat membawa barangan dan peralatan mereka
dan mencari nafkah hidup sebagai buruh kasar. Perdagangan dan perusahaan
merupakan punca keuntungan negara. Orang-‐orang yang terlibat dalam bidang kerja ini
bersusah payah mengumpul barangan dari jauh dan dekat, dari tanah semenanjung dan
seberang laut dan dari gunung dan hutan dan tentu sahaja mereka beroleh keuntungan
sementara orang awam tidak perlu bersusah payah menanggung beban ini.
Dagang santeri dan saudagar ini adalah kelompok manusia yang mencintai
kedamaian dan kamu tidak perlu takut akan sebarang gangguan daripada mereka.
Mereka mencintai keamanan dan kedamaian; sesungguhnya mereka tidak mungkin
menimbulkan kekacauan. Lawatilah setiap ceruk rantau negeri kamu dan jalinkan
perhubungan secara peribadi dengan kelompok ini dan seringlah bertanyakan keadaan
mereka. Tetapi ingat, kebanyakan mereka sangat tamak dan sudah biasa melakukan
urusniaga yang tidak jujur. Mereka menyorokkan hasil tanaman dan mencuba
14
menjualnya dengan harga yang tinggi dan perbuatan seperti itu amat membahayakan
orang awam.
Nama baik seorang pemerintah akan terjejas jika beliau tidak menentang
perbuatan yang curang. Tegahlah mereka daripada menyorokkan barangan kerana
Rasulullah s.a.w melarang perbuatan ini. Pastikan urusniaga dijalankan dengan serba
kemudahan, alat sukat hendaklah digunakan dengan betul dan harga ditetapkan agar
pembeli dan penjual tidak rugi. Dan sekiranya setelah kamu memberikan amaran. Ada
sesiapa yang melanggar perintah kamu dan melakukan kesalahan menyorok, maka
hendaklah kamu menghukumnya dengan hukuman yang berat.
Fakir Miskin
Awas! Takutilah Allah apabila kamu berdepan dengan masalah fakir miskin yang
tiada pembela, yang hidup terbiar, miskin dan tidak berdaya -‐ orang-‐orang yang
menjadi mangsa perubahan peristiwa. Antara mereka, ada beberapa orang yang tidak
menyesali untung nasib mereka dalam kehidupan ini walaupun mereka hidup susah,
mereka tidak pergi meminta sedekah. Atas nama Allah, lindungilah hak mereka kerana
kamulah yang bertanggunghjawab menyelamatkan mereka. Untuk meringankan beban
hidup mereka , berilah bahagian mereka yang ada di Baitul Mal, tanpa mengira di mana
sahaja mereka berada sama ada dekat ataupun jauh. Hendaklah kamu berlaku adil
kepada hak kedua-‐duanya.
Janganlah kamu lalai sehingga kamu lupa akan tanggungjawab kamu terhadap
mereka, kerana Allah tidak akan menerima sebarang alasan atas pengabaian kamu
terhadap hak mereka. Janganlah kamu menganggap kesejahteraan mereka kurang
penting daripada kesejahteraan kamu dan janganlah kamu melupakan mereka apabila
kamu membuat sebarang ketetapan yang penting dan pulaukan orang yang
15
memandang rendah pada fakir miskin dan orang yang tidak menceritakan perihal
kehidupan fakir kepada kamu.
Pilihlah di kalangan pegawai-‐pegawai kamu orang yang benar-‐benar taat dan
bertaqwa kepada Allah supaya mereka dapat memberitahu kamu keadaan hidup fakir
yang sebenarnya. Hendaklah kamu menyediakan bantuan untuk orang-‐orang fakir dan
miskin agar kamu tidak perlu berdolak-‐dalik di depan Allah di akhirat kelak, kerana fakir
miskinlah yang paling memerlukan belas ihsan kamu.
Usahakanlah untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah dengan memberikan
hak tiap-‐tiap orang yang memerlukan tetapi mempunyai harga diri dan anggaplah tugas
menyempurnakan keperluan orang-‐orang tua yang tidak mempunyai mata pencarian
tetapi tidak rela meminta sedekah sebagai satu amanat dan tugas yang mulia. Dan
kewajipan inilah yang biasanya sukar disempurnakan oleh para pemerintah. Tetapi
dalam sesebuah masyarakat yang berpandangan jauh, tugas ini dilaksanakan dengan
penuh kerelaan. Hanya bangsa dan kelompok masyarakat seperti itu sahaja yang benar-‐
benar taat akan perintah Allah dalam melaksanakan kewajipan mereka terhadap fakir
miskin.
Mesyuarat Secara Terbuka
Berjumpalah dengan orang-‐orang yang tertindas dan hina dari masa kesemasa
dalam satu mesyuarat yang terbuka dan ingatlah bahawa Allah berada di mana-‐mana
sahaja. Adakanlah perbincangan dari hati ke hati dengan mereka. Temuilah mereka
secara bersaorangan tanpa ditemani oleh pengawal atau pegawai awam kamu, atau pun
anggota polis dan anggota bahagian perisikan kamu. Dengan cara begitu wakil fakir dan
miskin dapatlah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tanpa segan silu dan takut-‐
takut, kerana kami pernah mendengar Rasulullah bersabda bahawa “tidak ada bangsa
atau masyarakat yang dianggap mulia jika orang yang kuat tidak membantu orang yang
16
lemah”. Hadapilah kata-‐kata kesat yang digunakan oleh mereka dengan perasaan
tenang, dan janganlah kamu berasa marah sekiranya mereka tidak dapat menyampaikan
sebab-‐sebab mereka tidak berpuas hati dengan jelas. Walaupun demikian Allah akan
membuka pintu rahmatnya kepada kamu.
Walau apa pun sahaja yang dapat kamu berikan kepada mereka, berikanlah
dengan rasa ikhlas dan apa-‐apa sahaja yang tidak mampu kamu berikan, jelaskanlah
kepada mereka dengan penuh ketulusan hati.
Ada beberapa perkara yang memerlukan tindakan yang segera. Terimalah
cadangan yang diberikan oleh para pegawai kamu untuk mengurangkan perasaan tidak
puas hati kakitangan perkeranian kamu. Pastikan setiap rayuan atau permohonan yang
diajukan untuk pertimbangan kamu dibawa ke pengetahuan kamu pada hari itu juga
walaupun para pegawai kamu mencuba bersungguh-‐sungguh untuk menghalangnya.
Bereskanlah kerja pada satu-‐satu hari itu pada hari yang sama juga kerana hari-‐hari yang
mendatang akan membawa masalah yang lain pula.
Perhubungan Dengan Tuhan
Janganlah kamu lupa menguntukkan waktu yang khusus untuk berhubung
dengan Allah, walaupun setiap detik hidup kamu hanyalah untuk beribadat kepadaNya,
dengan syarat waktu dihabiskan secara jujur dengan berbakti kepada rakyat kamu.
Masa yang kamu khaskan untuk melakukan ibadat secara khusyuk hendaklah digunakan
untuk menunaikan sembahyang lima waktu setiap hari. Sembahyanglah kamu pada
siang dan malam hari dan untuk bertaqarrub sedapat-‐dapatnya janganlah kamu sengaja
sembahyang lama-‐lama sehingga membuat kamu bosan. Dan apabila kamu menjadi
imam sembahyang berjemaah, janganlah memanjangkan sembahyang kamu sehingga
menyebabkan makmum resah gelisah atau membuat mereka benci untuk sembahyang
berjamaah atau mengurangkan kesan sembahyang berjemaah kerana dalam jemaah
17
kamu mungkin ada orang yang cacat dan orang yang perlu menyelesaikan tugas yang
mendesak dengan segera.
Apabila kami bertanya kepada Rasulullah semasa kami menerima perintah untuk
ke Yaman, bagaimana kami patut menjadi imam sembahyang berjemaah dengan orang–
orang di sana. Baginda menjawab, sabdanya “Lakukanlah sembahyang kamu
sebagaimana orang yang lemah antara kamu akan melakukannnya dan tunjukkanlah
contoh berlaku adil kepada orang-‐orang yang beriman.”
Pengasingan Diri Tidak Disukai
Di samping mematuhi perintah-‐perintah yang telah kami nyatakan tadi, ingatlah
kamu akan satu perkara. Jangan sekali-‐kali pada bila-‐bila masa pun kamu mengasingkan
diri kamu daripada rakyat kamu, kerana apabila kamu berbuat demikian, bermakna
kamu sengaja tidak mahu mengambil tahu akan hal kebajikan mereka. Keadaan itu akan
membuat pemerintah mempunyai gambaran yang salah terhadap satu-‐satu perkara dan
menyebabkan dia tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kepalsuan.
Sesungguhnya permerintah itu hanyalah manusia biasa dan dia tidak mungkin
mendapat gambaran yang sebenar tentang sesuatu yang tidak dapat dilihat. Tidak ada
tanda-‐tanda khusus terpampang pada kebenaran yang membolehkan seseorang itu
membezakan berbagai-‐bagai jenis kebenaran dan kepalsuan. Sebenarnya kamu hanya
boleh melakukan satu perkara sahaja, sama ada kamu adil atau kamu tidak adil. Kalau
kamu adil orangnya, kamu tidak akan mengasingkan diri kamu daripada rakyat kamu
tetapi kamu akan mendengar masalah mereka dan menunaikan permintaan mereka.
Sebaliknya pula kalau kamu tidak adil, rakyat kamu sendiri akan menjauhkan diri
daripada kamu. Apakah kebaikan yang kamu peroleh daripada mengasingkan diri
kamu? Pada bila-‐bila masa pun, sifat suka mengasingkan diri itu tidak disukai lebih-‐lebih
lagi memang sudah menjadi kewajipan kamu untuk menjaga kebajikan dan kepentingan
18
rakyat kamu. Janganlah kamu berasa bosan mendengar setiap aduan tentang
penindasan oleh pegawai kamu atau rayuan untuk mewujudkan keadilan.
Sedarilah bahawa orang-‐orang yang rapat dengan kamu akan mencuba
menggunakan kedudukkan mereka kerana iri hati dengan hak milik orang lain dan
mereka akan melakukan perbuatan yang tidak adil. Hapuskanlah sifat keji seperti itu
daripada jiwa mereka. Janganlah diamalkan perbuatan memberi tanah walau
sedikitpun kepada saudara-‐mara kamu. Itu akan mencegah mereka daripada
merosakkan kepentingan orang lain dan meyelamatkan kamu daripada kemurkaan Allah
dan kemarahan mansuia.
Hendaklah kamu berlaku adil tanpa mengira saudara atau tidak. Jika salah
seorang saudara atau sahabat kamu tidak mematuhi undang-‐undang, hukumlah mereka
mengikut undang-‐undang yang telah ditetapkan walaupun tindakan itu akan membuat
kamu sedih kerana semua ini adalah untuk kebaikan negara. Jika ada orang mengesyaki
kamu berlaku tidak adil terhadap mereka pada bila-‐bila masa pun, berilah penjelasan
kepada mereka dan hapuskanlah segala syak wasangka itu. Dengan cara begitu kamu
akan sentiasa bersikap adil dan orang akan mula menyayangi kamu. Dan harapan kamu
agar mereka menaruh kepercayaan terhadap kamu akan tercapai.
Perdamaian dan Perjanjian
Ingatlah! Janganlah kamu menolak tawaran untuk berdamai yang dibuat oleh
musuh kamu. Terimalah tawaran itu kerana ia akan mendatangkan kegembiraan Allah.
Perdamaian adalah sumber kegembiraan bagi tentera dan ia mengurangkann
kebimbangan kamu serta mengekalkan keamanan dalam negeri. Tetapi awas!
Hendaklah kamu sentiasa berwaspada setelah perjanjian damai ditandatangani kerana
musuh-‐mush yang tertentu mengemukakan syarat perdamaian semata-‐mata untuk
mengabui mata kamu dan mereka akan menyerang kamu apabila kamu leka. Dengan
19
itu hendaklah kamu sentiasa berjaga-‐jaga dan janganlah percaya dengan tidak menentu
pada kata-‐kata mereka.
Namun demikian, sekiranya di bawah perjanjian damai itu kamu telah terima
sebarang kewajipan maka hendaklah kamu menyempurnakan kewajipan, maka
hendaklah kamu menyempurnakan kewajipan itu dengan amat berhati kerana ia adalah
satu amanah yang mesti dipegang teguh. Dan setiap kali kamu membuat janji,
hendaklah kamu mencuba sedaya upaya kamu untuk menepatinya kerana walau apa-‐
apa pun pertentangan yang wujud tentang perkara-‐perkara lain, namun tiada perkara
yang lebih mulia daripada menepati janji. Malah, perbuatan itu juga diterima baik di
kalangan orang bukan Islam kerana mereka sedar akibat tidak menepati janji. Oleh itu
janganlah kamu sengaja mencari alasan apabila melaksanakan tanggungjawab ini dan
jangan sekali-‐kali kamu mungkir janji atau menipu musuh kamu kerana perbuatan
mungkir janji itu dikutuk oleh Allah dan tidak ada orang yang akan menentang Allah
kecuali orang yang mungkar.
Sesungguhnya janji Allah merupakan rahmat bagi setiap insan. Malah mereka
yang paling berkuasa di dunia ini pun mengharapkan janji Allah kerana kamu tidak akan
ditipu. Oleh itu janganlah berjanji jika tidak dapat dipenuhi kemudiannya atau
melanggar perjanjian yang telah kamu setujui atau mungkir janji, walau bagaimana
sukar sekalipun pada mulanya. Dan tunggulah dengan sabar akan hasilnya yang
bermanafaat kerana itu lebih baik daripada memungkiri janji hanya kerana takut.
Awas! Jauhilah pertumpahan darah tanpa sebab yang munasabah. Tidak ada
perbuatan yang lebih merbahaya daripada menumpahkan darah. Pertumpahan darah
membawa kemusnahan dan darah yang tumpah dengan sia-‐sia hanya akan membawa
kemusnahan kepada negara. Pada hari Khiamat kelak orang yang melakukan
pertumpahan darahlah yang paling dahulu disoal. Oleh itu awas! Janganlah kamu
20
bercita-‐cita hendak membina kekuatan negara kamu dengan melakukan pertumpahan
darah kerana darah yang mengalir itulah yang akhirnya melemahkan negara dan
memudahkan negara ditawan oleh orang lain. Demi Allah kami bersumpah, tiada
keampunan bagi orang yang membunuh dengan sengaja.
Hukuman bagi orang yang melakukan jenayah membunuh ialah hukuman mati.
Sekiranya pesalah yang dihukum dera kerana sebarang jenayah yang kecil, mati semasa
menjalani hukuman, maka janganlah kekuasaan negara menjadi penghalang bagi waris
si mati menuntut diat.
Arahan Yang Terakhir
Janganlah kamu teburu-‐buru hendak melakukan sesuatu sebelum masanya atau
mengabaikannya apabila tiba masanya. Janganlah melakukan perbuatan yang salah
terus-‐terusan atau lalai membetulkan perkara yang salah. Buatlah sesuatu itu tepat
pada masanya dan kena pada tempatnya. Apabila kata sepakat sudah dicapai, janganlah
kamu mencuba menyuarakan pendapat peribadi kamu dan janganlah kamu lalai
melaksanakan kewajipan yang harus dipikul kerana orang ramai akan sentiasa
memerhatikan kamu dan kamu bertanggungjawab terhadap segala-‐gala yagn kamu
lakukan utnuk rakyat. Sekiranya kamu abai melaksanakan tanggunjawab kamu, kamu
akan menerima balasan yang sewajarnya,. Kawallah kemarahan kamu dan jagalah
tangan dan lidah kamu. Sekiranya kamnu ditimpa kesusahan cubalah kawal pereasaan
kamu kerana kalau tidak itu akan menambah kesusahan kamu.
Adalah menjadi kewajipan kamu untuk mengkaji dengan teliti hukum-‐hukum
yang diamalkan oleh pemerintah yang baik dan adil sebelum kamu. Contohilah Sunnah
Rasulullah, patuhilah segala perintah dan jauhilah segala larangan dalam Kitab Allah dan
Hadis Nabi, dan ikutilah segala panduan yang kamu peroleh daripada cara kami
menguruskan kerajaan. Berusahalah dengan sedaya upaya kamu untuk melaksanakan
21
arahan-‐arahan yang telah kami sebutkan dalam warqah ini dan yang kamu sendiri
bersumpah untuk mematuhinya. Dengan perintah ini, kami memerintahkan kamu
supaya jangan suka mengikut kata hati atau lari daripada menyempurnakan tugas yang
kami amanahkan kepada kamu.
Kami memohon perlindungan Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Penyayang dan
marilah kita berdoa agar kita sama-‐sama mendapat rahmatNya untuk melaksanakan
segala perintahNya agar kita tersisih daripada segala kemungkaran dan semoga orang
ramai mendapat manfaat dan agar amal kita berterusan. Kami memohon keredhaan
Allah dan keampunanNya semoga Allah menerima kita sebagai syuhada dalam
melaksanakan suruhanNya. Dan kepadaNya kita akan kembali. Selawat dan salam ke
atas Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas keluarganya.
Recommended