View
15
Download
0
Category
Preview:
Citation preview
DERAF UCAPAN
YB DATO’ SRI ROHANI ABDUL KARIM
MENTERI PEMBANGUNAN WANITA,
KELUARGA DAN MASYARAKAT
SEMPENA
MAJLIS PENYERAHAN WANG SAGUHATI PROJEK LADANG SEJAHTERA AGROPOLITAN BATANG LUPAR, SRI AMAN
PERKARANGAN MASJID, KAMPUNG AGROPOLITAN PULAU SEDUKU,
SRI AMAN
13HB OGOS 2017
2
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan
Salam Sejahtera.
[SALUTASI]
1. Yang Berhormat Puan Simoi Binti Haji Peri Ahli DUN N.28 Lingga
2. Yang Berusaha, Encik Indit Bangai Residen Sri Aman
3. Encik Rasidi Bin Ahmad Pengurus Besar Wilayah FELCRA Berhad
4. Puan Rosma Suleiman Pengurus, Bahagian Ladang Rakyat/Ladang Sejahtera Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (PELITA)
5. Pengarah KKLW Sarawak
6. Pegawai-pegawai kerajaan
7. Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kampung
8. Peserta-peserta Ladang Sejahtera; dan
9. Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian.
3
MUKADIMAH
1. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Residen Sri
Aman, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) dan
FELCRA Berhad atas usaha dan komitmen mereka selaku penganjur
majlis pada pagi ini.
2. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa
Kerja yang bertungkus-lumus dalam menjalankan persiapan rapi bagi
memastikan majlis pada pagi ini berjalan lancar. Syabas diucapkan
kepada semua!
3. Syukur Alhamdulillah pada hari ini, kita dapat bersama-sama
berkumpul untuk menyaksikan satu lagi bukti komitmen Kerajaan
kepada rakyat menerusi Penyerahan Wang Saguhati Ladang
Sejahtera Agropolitan Batang Lupar.
MAKLUMAT PROJEK
4. Saya difahamkan bahawa penyerahan wang saguhati pada hari ini
merupakan bayaran peringkat awal yang akan diikuti oleh pemberian
wang dividen hasil daripada projek tanaman kelapa sawit.
5. Seperti tuan/puan sedia maklum, Ladang Sejahtera Batang Lupar
merupakan komponen projek Agropolitan yang diuruskan FELCRA
Berhad dengan peruntukan disediakan oleh Kementerian Kemajuan
4
Luar Bandar & Wilayah (KKLW) dan diselaraskan oleh Kerajaan
Negeri Sarawak sejak tahun 2006.
6. Projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk
menghapuskan kemiskinan luar bandar melalui peningkatan
pendapatan, kualiti hidup serta usaha berterusan untuk
mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar. Konsep
pembangunan yang dijalankan juga turut memfokuskan kepada
pembangunan kawasan yang terbiar dan terpencil untuk perladangan
kelapa sawit.
7. Saya yakin, projek ini bukan sahaja berupaya mengeluarkan peserta
daripada garis kemiskinan, malah mewujudkan ekonomi yang mapan
dan terancang serta meningkatkan liputan dan kualiti prasarana asas
seperti jalan raya, kemudahan air dan elektrik, sekaligus dapat
mempertingkatkan kemudahan sosial; seiring dengan objektifnya.
Apatah lagi, di Batang Lupar ini projek Agropolitan juga merangkumi
Program Bantuan Rumah kepada penduduk Pulau Seduku sendiri.
8. Kita seharusnya berterima kasih kepada PELITA sebagai pemegang
amanah kepada peserta projek dan tanah yang diluluskan. Hal ini
kerana komitmen yang diberikan oleh PELITA sebagai badan
pemantau prestasi projek tanaman kelapa sawit bersama-sama
pemaju projek dan Unit Perancang Negeri di peringkat Negeri,
Pejabat Residen dan Daerah di peringkat Bahagian sudah tentu
bakal mengubah kehidupan penduduk di kawasan ini kerana usaha
ini juga secara tidak langsung; dapat menggalakkan penduduk untuk
terlibat dalam keusahawanan dan memperkasakan komuniti.
5
9. Saya difahamkan pembangunan projek tanaman kelapa sawit di
Batang Lupar melibatkan keluasan sebanyak 1,600 hektar di mana ia
membabitkan keluasan yang dimajukan sebanyak 1,583 hektar. Saya
berasa amat gembira apabila mendapat tahu bahawa program ini
melibatkan seramai 325 orang peserta Ladang Sejahtera yang
merangkumi 7 buah kampung utama di sekitar Lingga/Stumbin/Bijat.
10. Sukacita dimaklumkan bahawa wang saguhati yang disalurkan
kepada peserta projek keseluruhannya berjumlah RM130,000.00
dan saya dimaklumkan setiap peserta diagihkan sebanyak RM400.00
hasil daripada pembangunan projek yang dilaksanakan. Tahniah dan
syabas kepada peserta projek semua!
11. Inilah merupakan salah satu bukti kerjasama erat Kerajaan
Persekutuan dan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat
Sarawak terus terpelihara. Sebagai Menteri di peringkat
Persekutuan, saya berasa amat bangga dengan komitmen yang telah
ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam mendokong
aspirasi Kerajaan Malaysia iaitu, untuk melahirkan rakyat yang maju
seiring dengan matlamat menjadikan Negeri Sarawak maju
menjelang 2030 dan Negara Malaysia menjelang tahun 2050.
PENUTUP
12. Sebelum saya mengundurkan diri, sekali lagi saya ingin
mengucapkan tahniah dan syabas kepada peserta projek dan tidak
lupa juga kepada penganjur majlis ini iaitu pihak PELITA, FELCRA
dan Pejabat Residen Sri Aman yang sering membantu dalam
membangunkan ekonomi penduduk setempat.
6
13. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan
Majlis Penyerahan Wang Saguhati Ladang Sejahtera Agropolitan
Batang Lupar. Sekian, terima kasih.
Recommended