View
56
Download
0
Category
Preview:
DESCRIPTION
kecerdasan pelbagai
Citation preview
Teori Kecerdasan Pelbagai
1. Konsep
Teori Kecerdasan Pelbagai adalah berdasarkan pada pemikiran bahawa kemampuan
intelektual yang diukur melalui ukuran ujian IQ adalah sangat terbatas. Ini kerana ukuran ujian
IQ menekankan pada kemampuan logikal-matematik dan bahasa sahaja. Sebenarnya, setiap
orang mempunyai caranya yang tersendiri dan unik untuk menyelesaikan persoalan atau
masalah yang dihadapi mereka. Tambahan lagi, kecerdasan bukan hanya dilihat dari nilai yang
diperolehi seseorang. Hal ini kerana kecerdasan merupakan kemampuan yang dimiliki oleh
seseorang untuk melihat sesuatu masalah dan seterusnya berupaya menyelesaikan masalah
tersebut atau membuat sesuatu yang berguna kepada orang lain. Definisi kecerdasan pelbagai
yang diberikan oleh Gardner (1983) adalah kepakaran kecerdasan manusia seharusnya
mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan masalah, menangani masalah sesuai dengan
masa dan tempat dan menghasilkan output yang efektif.
“An intelligence is the ability to solve problems, or to create products that are valued within one
or more cultural setting”
(Gardner 1983)
Kecerdasan Pelbagai yang mencakupi sembilan kecerdasan pada dasarnya merupakan
pengembangan dari kecerdasan otak (IQ), kecerdasan emosional (EQ) dan kecerdasan
spiritual (SQ).
Teori Kecerdasan Pelbagai mempunyai pengaruh signifikan dalm pendidikan serta membawa
kesan penting pembelajaran organisasi. Gardner mengatakan bahawa pendidikan tradisional
dengan proses pengujian tradisional (ujian IQ) telah mengabaikan kecerdasan pelbagai
manusia. Menurut beliau, kebanyakan ujian IQ hanya mengukur kebolehan verbal atau bahasa
dan pemikiran logical atau matematik. Kemahiran lain seperti sosial, interpersonal dan emosi
yang membolehkan manusia berfungsi dengan berkesan telah dikecualikan daripada ujian IQ
tradisional.
Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Gardner (2000) mendasari dua prinsip asas iaitu manusia
mempunyai kecerdasan yang pelbagai dan semua orang dapat mengembangkan kesemua
kecerdasan ini ke satu tahap yang kompeten. Teori ini hasil daripada kajian beliau yang
dijalankan terhadap pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai pelbagai kriteria tersendiri
dalam kalangan kanak-kanak biasa dan kanak-kanak istimewa. Menurut Howard Gardner,
kecerdasan tidak boleh diwarisi semata-mata dan kecerdasan boleh dipengaruhi oleh budaya,
persekitaran, peluang pendidikan, makanan, suasana pembelajaran dan lain-lain. Teori
Kecerdasan Pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner lebih kepada aspek kognitif
dan perkembangan psikologi, antrapologi dan sosiologi dalam menjelaskan kecerdasan
manusia. Pada mulanya teori ini terdiri daripada tujuh kecerdasan tetapi pada tahun 1999, dua
lagi kecerdasan dimasukkan ke dalam teori ini.
Pendapat yang dikemukakan oleh Howard Gardner menunjukkan bahawa kecerdasan
seseorang dapat ditingkatkan melalui pendidikan dan latihan. Menurut Gardner, setiap individu
mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza kecerdasan dan kecerdasan tersebut boleh
ditingkatkan dengan pendidikan melalui aktiviti yang bersesuian. Dalam konteks pendidikan
guru memainkan peranan penting untuk merancang aktiviti dalam pengajaran dan
pembelajaran supaya dapat memenuhi keperluan kecerdasan iaitu yang terdiri daripada
sembilan kecerdasan yang diperkenalkan oleh Gardner.
2. Pelopor
Howard Gardner
Howard Gardner seorang ahli psikologi perkembangan yang terkenal mendapat pendidikan di
Universiti Harvard. Beliau telah menulis banyak buku berkenaan dengan psikologi
perkembangan yang mengetengahkan kerja-kerjanya dalam bidang perkembangan kreativiti di
kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Gardner juga sangat dikenali melalui hubungannya
dengan kerja-kerja yang berkaitan dengan perkembangan artistik. Minatnya dalam kreativiti
bermula pada awal tahun 1970-an semasa beliau mengkaji perhubungan seni dan
perkembangan manusia. Bukunya Artful Scribbles yang dihasilkan dalam tahun 1980 mengkaji
kehebatan kreativiti di kalangan kanak-kanak dan kreativiti ini berkurangan apabila kanak-kanak
itu menjadi semakin matang. Gardner membuat kesimpulan bahawa pada peringkat akhir
permulaan kanak-kanak tersebut, mereka lebih memberi perhatian kepada kemahiran linguistik
mereka yang kian berkembang dan tidak lagi berminat untuk berkomunikasi dalam bentuk
nonverbal seperti melukis.
Sebagai seorang ahli psikologi pendidikan, Gardner adalah lebih dikenali melalui
sumbangannya dalam bidang perkembangan intelektual dengan teorinya yang diberi nama
Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligence). Penyelidikan Gardner berkisar di sekitar
kemahuannya untuk melepaskan diri daripada ujian-ujian dan kolerasi antara ujian-ujian dan
memandang di sebalik sumber informasi semulajadi tentang bagaimana manusia di dunia
memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang penting untuk kehidupan mereka.
Dalam penerbitannya pada tahun 1983, bukunya Frames of Mind menjadi titik permulaan
kejutan bagi pendidik. Dalam buku yang berpengaruh ini Gardner melayari pelbagai sifat
kecerdasan manusia. Beliau menunjukkan terdapatnya tujuh kecerdasan manusia yang boleh
dibahagikan dalam tiga kumpulan iaitu kecerdasan berdasarkan perkaitan objek yang
melibatkan matematik dan logik, kecerdasan tanpa objek yang melibatkan muzik dan bahasa
dan kecerdasan personal atau persepsi psikologikal yang kita dan orang lain miliki. Masalah
yang diketengahkan oleh Gardner ialah sistem pendidikan kita tidak bersedia untuk memenuhi
keperluan semua kecerdasan manusia dan mengenepikan keperluan perkembangan beberapa
perkara yang berkaitan dengannya.
Gardner berjuang untuk membuktikan bahawa kecerdasan yang berasaskan aras kesatuan
bukan merupakan satu ukuran keupayaan intelektual seseorang yang sempurna. Gardner
mendakwa bahawa teori Kecerdasan Pelbagai mengetengahkan fakta bahawa manusia wujud
dalam satu konteks yang pelbagai dan konteks ini digunakan untuk membajai kelainan-kelainan
susunan dan himpunan kecerdasan. Gardner seterusnya menggunakan teori Kecerdasan
Pelbagai dalam bukunya The Unschooled Mind: How Children Think and How Schools Should
Teach (1991). Dalam buku ini beliau membincangkan pelbagai gaya pembelajaran dan
menyarankan supaya meninggalkan pendekatan pintas dalam bidang pendidikan untuk
mendidik semua kanak-kanak dan melihatnya mudah untuk belajar secara tradisional.
Dr. Howard Gardner menerima MacArthur Prize Fellowship pada tahun 1981 di Harvard
Universiti. Beliau merupakan murid kepada Piaget. Beliau tidak bersetuju dengan pendapat
Piaget yang dianggapnya mempunyai pandangan yang sempit terhadap kecerdasan manusia.
Gardner menilai semula teori-teori yang dikemukan oleh Piaget sebagai “too narrow a notion of
how the human mind works.” Beliau tidak mempercayai kewujudan satu bentuk kognitif yang
menguasai semua bentuk pemikiran manusia. Gardner memerhatikan bahawa terdapat
sekurang-kurangnya tujuh kecerdasan manusia dan setiap satu kecerdasan itu mempunyai
keupayaan intelektual yang tersendiri.
Seterusnya, Gardner menulis tentang pemerhatiannya terhadap kepelbagaian kecerdasan yang
kemudiannya telah dijadikan buku seminar dalam komuniti pendidikan, Rangka Minda yang
telah diterbitkan dalam tahun 1983. Teori Kecerdasan Pelbagai yang dicadangkan dalm
bukunya telah menjadi pusat perbincangan dan sebagai rangka kerja bagi strategi pendidikan
kini yang menjana kejayaan dalam mempertingkatkan pencapaian para pelajar. Gardner
menyebut walaupun ia tidak semestinya bergantung sesame sendiri, namun kecerdasan
tersebut kerap beroperasi secara berasingan. Setiap individu yang normal memiliki kadar yang
berbeza-beza terhadap setiap satu daripada kecerdasan ini, tetapi cara-cara bagaimana
kecerdasan itu bergabung dan bercampur adalah berbagai-bagai sama seperti bagaimana
muka dan personaliti individu tersebut berbeza-beza.
Dr. Gardner ialah Pengarah bersama Project Zero dan Pofesor Pendidikan di Sekolah
Pendidikan Siswazah Harvard. Beliau juga adalah Profesor Pendidikan Tetamu di Jabatan
Neorologi di Universiti Boston di bahagian Sekolah Perubatan dan pakar penyelidik psikologi
Pusat Perubatan Pentadbiran Vateran Boston. Dr. Gardner telah menghasilkan pelbagai
penulisan yang berkaitan dengan minda manusia seperti The Mind’s New Science, To Open
Minds, The Unshooled Mind, Multiple Intelligences, Creating Minds dan Leading Minds.
Bagi Gardner (1993), kecerdasan melibatkan kebolehan menyelesaikan masalah atau fesyen
produk yang merupakan kesan dalam budaya atau komuniti tertentu. Beliau menolak pendapat
yang mengatakan bahawa kita boleh mempelajari tentang kecerdasan dengan mengkaji
bagaimana manusia menjawab soalan-soalan ujian. Bagi Gardner, kita hanya boleh belajar
tentang kecerdasan dengan mengkaji proses kognitif yang digunakan oleh manusia apabila
mereka menyelesaikan masalah budaya yang penting atau mencipta produk budaya yang
penting.
Gardner telah mengenalpasti tujuh kecerdasan yang terlibat dalam penyelesaian masalah dan
beliau mempercayai kesemua tujuh kecerdasan ini boleh diajarkan di sekolah. Bagi Gardner,
penyelesaian masalah adalah penting untuk kecerdasan. Ini adalah konsisten dengan
kebanyakkan pengetahuan tradisional terhadap kecerdasan. Bagaimanapun, Gardner
menekankan bahawa penyelesaian masalah boleh dipelajari dengan memerhatikan manusia
menyelesaikan masalah atau mencipta produk yang penting kepada mereka dan bukan dengan
memberikan ujian-ujian yang telah distandardkan. Namun pada 1997, Gardner telah menambah
satu lagi kecerdasan iaitu kecerdasan naturalis. Menurut Gardner, setiap insan mempunyai
bukan satu tetapi lapan kecerdasan yang berbeza. Pada 1999, Gardner menambahkan
“Existential Intelligence” yang berkaitan dengan keadaan kerohanian manusia. Beliau belum
bersedia menerima “Spiritual Intelligence” sebagai kecerdasan kesembilan dalm teorinya.
Gardner juga menekankan perkara-perkara yang berkaitan dengan konteks budaya kecerdasan
pelbagai. Umpamanya, Gardner (1983) membincangkan keupayaan spatial yang tinggi orang-
orang Puluwat yang tinggal di pulau-pulau Caroline yang menggunakan kemahiran-kemahiran
ini untuk menjelajahi lautan dengan kenu-kenu mereka. Gardner juga membincangkan
keseimbangan kecerdasan personal yang diperlukan dalam masyarakat jepun. Teori
Kecerdasan Pelbagai ini berkongsi beberapa idea umum dengan teori-teori lain yang
menyentuh kelainan-kelainan individu seperti yang terdapat dalam saranan Carnbach & Snow,
Guilford dan Sternberg.
3. Sembilan Teori Kecerdasan Pelbagai
3.1. Logikal Matematik
Kecerdasan ini mempunyai kaitan dengan logik, abstrak, penaakulan, dan nombor. Kebolehan
dominan di bahagian kiri otak membolehkan individu menaakul secara deduktif dan induktif
serta berfikir secara konseptual. Walaupun ia sering dianggap bahawa mereka yang
mempunyai kecerdasan ini secara semula jadi cemerlang dalam bidang matematik, catur,
pengaturcaraan komputer dan aktiviti lain yang logik atau berangka, tempat takrif yang lebih
tepat kurang penekanan kepada keupayaan matematik tradisional dan lanjut mengenai
keupayaan penaakulan, mengenal pasti pola abstrak, pemikiran saintifik dan penyiasatan dan
keupayaan untuk melaksanakan penaakulan kiraan. Logikal kompleks berkait rapat kepada
kepintaran bendalir dan keupayaan umum.
Individu yang mempunyai kecerdasan logikal matematik yang tinggi memperlihatkan minat yang
besar terhadap kegiatan yang berbentuk eksplorasi. Individu ini sering bertanya tentang
berbagai-bagai fenomena yang dilihat yang berlaku di sekeliling. Individu ini suka menuntut
penjelasan logik dari setiap pertanyaan. Selain itu, individu ini suka mengklasifikasikan benda
untuk mudah mengira. Contohnya, saintis, jurutera, arkitek dan doctor lazimnya memiliki
kecerdasan ini.
3.2. Spatial / Visual Ruang
Kecerdasan ini memperkatakan tentang penghakiman ruang dan keupayaan untuk
menggambarkan dengan mata minda. Kerjaya yang sesuai dengan mereka dengan kepintaran
jenis ini termasuk artis, pereka dan arkitek. Individu yang mempunyai ciri-ciri ruang visual ini
juga baik dalam puzzle. Keupayaan spatial merupakan salah satu daripada tiga faktor di
bawahnya dalam model hierarki kepintaran. Individu ini berkebolehan menceritakan dan
menggambarkan pengalaman yang pernah dilalui serta bijak menghubungkaitkan antara objek-
objek dalam ruang. Kecerdasan ruang visual membolehkan individu mempersembahkan idea-
idea visual dan ruang berkecenderungan dalam aspek imaginatif dan kreatif.
Kecerdasan ini juga mampu membuat individu selalu sedar akan posisi relatifnya dalam
koordinat ruang dan waktu. Individu yang ruang tingkat kecerdasan ruang visual rendah akan
selalu berasa bingung untuk mengingat jalan dan tempat di mana dia tinggal meskipun sudah
tinggal di tempat tersebut dalam jangka masa yang agak lama. Individu yang tersesat di dalam
perjalanan adalah individu yang mengalami gangguan orientasi ruang. Individu ini termasuk
dalam golongan tidak cerdas ruang. Manakala individu yang cerdas ruang mampu
menggunakan warna secara sempurna, membaca peta dengan baik serta mempunyai daya
imaginasi yang kuat.
Individu yang mahir dalam bidang ini seperti juruterbang, ahli pelayaran, angkasawan dan juga
termasuk pelukis, arkitek, dan perancang bandar. Contohnya, Azhar Mansor dan Yuri Gagarin.
3.3. Linguistik
Kecerdasan ini mempunyai kaitan dengan kata-kata, lisan atau bertulis. Orang dengan
kecerdasan verbal-linguistik tinggi memaparkan kemudahan dengan kata-kata dan bahasa.
Individu ini biasanya yang baik untuk membaca, menulis, bercerita dan menghafal kata-kata
bersama-sama dengan tarikh. Individu ini sensitif terhadap makna perkataan dan mahir untuk
memanipulasikannya. Mereka cenderung untuk belajar dengan lebih baik dengan membaca,
mengambil nota, mendengar kuliah, dan dengan berbincang dan berdebat mengenai apa yang
mereka pelajari. Individu yang mempunyai kecerdasan verbal-linguistik mempelajari bahasa
asing dengan mudah kerana mereka mempunyai ingatan yang tinggi lisan dan ingatan, dan
kebolehan untuk memahami dan memanipulasi sintaks dan keupayaan struktur. Verbal adalah
salah satu kebolehan yang paling tinggi dalam diri kebanyakan individu.
Individu ini pandai berbicara, gemar bercerita dan tekun mendengar cerita atau membaca.
Kecerdasan jenis ini membolehkan individu tersebut menyimpan pelbagai informasi yang bererti
dan berkaitan dengan pemikirannya.
Individu yang mahir dalam bidang ini adalah seperti pengarang, pensyarah, wartawan,
penyunting, penyair, penulis skrip dan novelis. Contoh di Malaysia seperti Munshi Abdullah,
A.Samad Said dan di luar negara seperti William Shakespeare, dan Enid Blyton.
3.4. Kinestetik
Unsur-unsur utama badan-kinestetik mengawal gerakan badan seseorang dan kapasiti untuk
mengendalikan objek mahir. Gardner memberikan secara terperinci untuk mengatakan bahawa
kecerdasan ini juga termasuk rasa masa, rasa yang jelas matlamat tindakan fizikal, bersama-
sama dengan keupayaan untuk melatih jawapan supaya mereka menjadi seperti refleks.
Secara teori, orang-orang yang mempunyai kecerdasan badan-kinestetik perlu belajar lebih
baik dengan melibatkan pergerakan otot (contohnya bangun dan bergerak ke dalam
pengalaman pembelajaran), dan secara amnya baik pada aktiviti-aktiviti fizikal seperti sukan
atau tarian. Mereka boleh menikmati bertindak atau membuat persembahan, dan secara
umumnya mereka baik di bangunan dan membuat perkara-perkara. Mereka sering belajar
dengan lebih baik dengan melakukan sesuatu secara fizikal, dan bukannya dengan membaca
atau mendengar tentang hal itu. Mereka yang mempunyai kuat badan-kinestetik perisikan
seolah-olah menggunakan apa yang mungkin diistilahkan sebagai memori otot – mereka ingat
perkara melalui badan mereka seperti memori lisan.
Kerjaya yang sesuai dengan mereka yang mempunyai kecerdasan ini termasuk atlit,
juruterbang, penari, pemuzik, pelakon, pakar bedah, doktor, pembina, pegawai polis dan askar.
Walaupun kerjaya ini boleh disalin melalui simulasi maya, mereka tidak akan menghasilkan
pembelajaran sebenar fizikal yang diperlukan dalam badan perisikan ini. Contohnya, Shalin
Zulkifli, Nicole David, dan Lim Chong Wei.
3.5. Muzik
Kecerdasan ini berkaitan dengan kemampuan untuk menggemari, mendiskriminasi dan
meluahkan perasaan melalui muzik. Hal ini kerana kecerdasan muzik yang terdapat dalam diri
seseorang individu membolehkannya mengesan bunyi tanpa lisan, muzik serta irama yang
terdapat di persekitarannya. Individu yang mempunyai kelebihan ini sangat sensitif kepada
bunyi-bunyian atau suara yang wujud dan timbul di dunia ini, baik yang berasal daripada suara
alat muzik ataupun yang timbul dalam daripada gejala alamiah seperti suara manusia, binatang,
guruh serta suara-suara yang lain. Individu ini berupaya menggunakan set asas atau elemen-
elemen muzik serta dapat bermain alat muzik dan menghafal lirik muzik dengan baik. Selain itu,
individu yang cenderung dalam kecerdasan ini boleh menggubah rentak dan tempo muzik dan
mudah mengenali dan mengingati nada-nada bunyi atau muzik.
Individu ini juga mampu untuk menggubah kata-kata menjadi lagu dan boleh mencipta
berbagai-bagai alat dan permainan muzik. Individu ini pintar melantunkan nada lagu dengan
baik, pandai menggunakan kosa kata muzikal dan peka terhadap ritma, ketukan, melodi atau
warna suara dalam sebuah komposisi muzik. Semua orang mempunyai kecerdasan untuk
menikmati dan menghayati pengalaman muzik yang ada berdasarkan tahap yang berbeza-
beza. Contohnya, kehebatan P.Ramlee dengan ciptaanya yang evergreen, Manan Ngah,
Habsah Hassan, Beethovan, Kitaro, dan Kenny G.
3.6. Interpersonal
Kecerdasan ini merupakan kemampuan individu dalam mendiskriminasi antara pelbagai
petanda interpersonal dan kebolehan untuk berkomunikasi dengan berkesan secara pragmatik
terhadap petanda tersebut. Kecerdasan interpersonal membolehkan seseorang itu memahami
perasaan, motivasi, tabiat dan hasrat orang lain. Seterusnya, mereka dapat berinteraksi dengan
mudah dan boleh bekerjasama dengan orang lain secara praktikal untuk menghasilkan sesuatu
yang berfaedah. Mereka yang mempunyai kecerdasan interpersonal yang menonjol biasanya
memiliki interaksi yang baik dengan orang lain.
Selain itu, mereka juga mampu berasa sensitif dan memahami emosi, perasaan, fikiran, tingkah
laku dan harapan orang lain. Pada tahap yang mudah, kecerdasan ini termasuk kemampuan
seseorang anak mengenal dan sensitif terhadap perasaan orang dewasa di sekitarnya. Murid-
murid yang mempunyai kecerdasan ini akan belajar dengan berkesan melalui pembelajaran,
bekerjasama dengan rakan sebaya dan mudah terlibat dengan sebuah pergaulan.
Individu yang mahir dalam bidang ini adalah seperti pendakwah, kaunselor, jururunding dan
imam. Contohnya, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah.
3.7. Intrapersonal
Kecerdasan intrapersonal merupakan kesedaran tentang diri sendiri, berfikiran metakognitif dan
berkebolehan untuk menilai diri sendriri. Orang yang memiliki kecerdasan intrapersonal yang
tinggi selalunya dapat mengenali diri sendiri. Orang yang memiliki kecerdasan intrapersonal
yang tinggi selalunya dapat mengenali diri sendiri secara mendalam dan mempunyai tanggapan
tentang kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Kebolehan ini memberi keyakinan diri yang tinggi
kepada mereka tentang kebolehan yang terdapat dalam diri mereka sendiri. Selain itu, mereka
pandai menentukan hala tuju kehidupan serta mempunyai pegangan, prinsip dan azam yang
kuat serta boleh berdikari.
Secara keseluruhannya, orang yang mempunyai kecerdasan intrapersonal yang tinggi biasanya
kelihatan murung dan suka mengelamun, tetapi pada masa yang sama mereka juga sentiasa
berwaspada dan berwawasan dalam melakukan sesuatu. Orang yang seperti ini akan lebih
menyukai belajar secara bersendirian di perpustakaan dan gemar melakukan renungan yang
mendalam dan termenung di persekitaran yang sangat sepi. Biasanya individu dengan tingkat
kecerdasan ini mempunyai peribadi yang tertutup.
Disamping itu, mereka juga memiliki kepekaan terhadap perasaan dalam situasi yang sedang
berlangsung, memahami diri sendiri dan seterusnya mampu mengendalikan diri dalam situasi
konflik. Mereka mengetahui apa yang dapat dilakukan dan apa yang tidak dapat dilakukan
dalam persekitaran sosial serta mengetahui kepada siapa harus mereka meminta bantuan pada
saat-saat yang diperlukan. Contohnya, pemimpin, ahli falsafah, pendeta dan pemikir.
3.8. Naturalis
Kecerdasan ini mempunyai kaitan dengan memupuk maklumat berkaitan persekitaran
semulajadi. Individu yang mempunyai kecerdasan naturalistik yang tinggi biasanya merupakan
seseorang pencinta alam yang dapat mengenali dan mengklasifikasikan flora, fauna, dan galian
dengan mudah. Mereka akan lebih banyak menghabiskan masa di luar dan gemar mendengar
bunyi-bunyian yang terdapat dalam alam sekitar. Mereka mempunyai tarikan yang besar
terhadap alam sekitar termasuk binatang. Dengan itu, mereka merupakan individu yang sensitif
terhadap alam sekitar dan dapat menghubungkait antara kehidupan flora dan fauna.
Contohnya termasuk mengklasifikasikan bentuk-bentuk semula jadi seperti haiwan dan spesis
tumbuhan dan batu-batu dan jenis gunung dan pengetahuan yang digunakan semula jadi dalam
perladangan, perlombongan, dan lain-lain Kerjaya mereka dengan kecerdasan ini termasuk
alamiah, petani dan tukang kebun.
Pelajar yang mempunyai kecerdasan naturalistik akan lebih berkesan kecerdasanya dengan
mengadakan aktiviti luar kelas. Ahli biologi, zoology, petani, nelayan, ahli botani, perancang
bandar, ahli geologi, dan pendaki gunung adalah kerjaya yang sesuai bagi mereka yang
mempunyai kecerdasan naturalistik yang tinggi.
3.9. Spiritual / Eksistensialisme
Individu yang mempunyai kecerdasan ini memiliki ciri-ciri yang lebih cenderung untuk bertanya
mengenai segala kejadian kewujudan manusia, erti kehidupan, mengapa manusia mengalami
kematian dan juga realiti yang dihadapi oleh manusia dalam hidup. Kecerdasan ini telah
diperkenal dan dikembangkan oleh Gardner pada tahun 1999.
Individu ini mampu menelaah nilai-nilai yang berkembang di tengah-tengah kehidupan
masyarakat, sama ada nilai-nilai tradisional ataupun nilai-nilai baru yang sedang berkembang.
Untuk meningkatkan kecerdasan ini seseorang boleh membaca banyak buku falsafah dan
menyoal diri sendiri tentang pertanyaan yang membolehkannya menelaah jawapan secara
mendalam.
4. Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran
Teori kecerdasan banyak membantu para guru melaksanaakn tanggungjawab bagi mendidik
anak bangsa bagi mendapatkan ilmu pengetahuan.
Terdapat tiga peringkat dalam melaksanakan teori kecerdasan pelbagai dalam pengajaran dan
pembelajaran. Antara peringkat-peringkat tersebut ialah peringkat padanan, percubaan dan
peningkatan.
Pada peringkat pertama, guru perlu memadankan pengajaran dan pembelajaran dengan
kecerdasan pelbagai murid. Guru perlu mengenalpasti kecerdasan pelajar-pelajarnya bagi
memudahkan proses pembelajaran. Sebagai contohnya, jika majoriti pelajar dalam sesebuah
kelas mempunyai kecerdasan kinestetik, maka guru tersebut, perlu melakukan aktiviti yang
melibatkan pergerakan seperti melakukan ujikaji, senaman dan sebagainya bagi menarik minat
pelajar, walau bagaimanapun aktiviti-aktiviti lain juga perlu bagi mengasah kecerdasan yang
dimiliki oleh pelajar. Hal ini di sebabkan pelajar mempunyai kebolehan yang berbeza.
Pada peringkat pertama ini, guru mengenal pasti kekuatan sendiri dalam kecerdasan pelbagai
dan juga kekuatan murid. Melalui mengenal pasti ini, guru dapat memilih strategi pengajaran
dan pembelajaran yang sesuai dan memadankan dengan kecerdasan murid. Dengan ini guru
boleh memperkembangkan potensi murid dalam kecerdasan lain yang belum menyerlah.
Peringkat kedua bagi melaksanakan atau mengaplikasikan teori kecerdasn pelbagai dalam
pengajaran ialah percubaan. Pada peringkat ini, guru perlu memikirkan bagaimana teori
kecerdasan pelbagai boleh di aplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran seharian.
Terdapat persoalan-persoalan yang membantu para guru bagi meyediakan rancangan
pengajaran, melalui verbal-linguistik, melibatkan persoalan bagaimanakah saya boleh
menggunakan bahasa lisan , bacaan dan penulisan?. Selain itu, persoalan logik-matematik
ialah bagaimanakah saya boleh memasukkan nombor, pengiraan, pengelasan atau
menggalakkan pemikiran kritis?. Melalui visual-ruang melibatkan soalan bagaimanakah saya
boleh menggunakan alat bantu mengajar visualisasi, warna, seni, metafora atau penyusun
grafik?. Seterusnya elemen muzik, bagaimanakah saya boleh menggunakan muzik, bunyi-
bunyian persekitaran atau unsur ritma dan melodi?, elemen kinestetik pula bagaimanakah saya
boleh melibatkan pengalaman pergerakan seluruh badan atau aktiviti ‘hands-on’?. Di samping
itu, elemen interpersonal melibatkan persoalan bagaimanakah saya boleh melibatkan pelajar
dalam perkongsian rakan sebaya, pembelajaran kerjasama atau simulasi kumpulan?, elemen
intrapersonal pula bagaimanakah saya boleh memberi pilihan kepada pelajar merangsang
perasaan kendiri?. Akhir sekali elemen naturalis ialah bagaimanakah saya boleh membawa
alam semula jadi ke dalam bilik darjah atau membawa murid ke luar ke alam semula jadi?
Pada peringkat kedua ini juga, guru memikirkan cara memaksimumkan potensi persekitaran
terutama sekali keadaan di dalam bilik darjah. Menghias bilik darjah dengan maklumat yang
boleh dihargai oleh setiap kecerdasan, contohnya, murid yang cenderung kepada verbal-
linguistik menyediakan poster beberapa orang penulis terkenal. Membawa murid keluar dari
bilik darjah juga merupakan aktiviti yang dapat menarik minat pelajar, supaya guru dapat
memerhati dan memahami bagaimana setiap individu mempunyai dan menggunakan
kecerdasan pelbagai masing-masing.
Pada peringkat ketiga, iaitu peningkatan, guru perlu mengaitkan teori kecerdasan pelbagai
dengan kemahiran berfikir untuk perkembangan murid. Melalui peningkatan ini, murid dapat
mengaplikasikan apa yang di ajar dalam hal tertentu. Dalam visual-ruang, murid dapat melakar,
membuat peta minda, membayangkan masalah dan penyelesaiannya. Melalui kinestetik pula,
murid boleh memanipulasi alat, bahan untuk menyelesiakan masalah. Melalui muzik. murid
memahami ritma, harmoni, mengenal pasti masalah dan penyelesaiannya. Peningkatn dari
segi interpersonal pula, murid mendapat pelbagai idea melalui interaksi dengan orang lain
mengenai masalah dan penyelesaiannya. Peningkatan intrapersonal, murid membuat refleksi
secara mendalam berasaskan pengalaman, perasaan diri mengenai masalah dan
penyelesaiannya. Akhir sekali, naturalis, murid menggunakan contoh daripada alam semula jadi
untuk mengkaji masalah dan penyelesaiannya.
Melalui peningkatan kecerdasan pelajar. Kreatviti dan inovasi dapat di cungkil daripada pelajar.
Pelajar juga dapat memperoleh pelbagai perspektif mengenai sesuatu perkara serta
mengaplikasi pengetahuan yang sedia ada dalam situasi dan konteks yang baru dan berlainan.
Aktiviti bilik darjah boleh dipelbagaikan dengan menggunakan strategi Teori Kecerdasan
Pelbagai untuk peningkatan perkembangan kognitif mengikut Taksonomi Bloom.
5. Kelebihan-Kelebihan Menggunakan Teori Kecerdasan Pelbagai .
Teori kecerdasan pelbagai adalah salah satu konsep yang baru diperkenalkan. Teori ini dilihat
adalah sangat baik untuk diaplikasikan dalam psikologi pendidikan. Teori kecerdasan pelbagai
ini adalah sangat fleksibel dimana ia boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran
untuk kesemua mata pelajaran yang terdapat di sekolah kerana ia tidak terhad atau
menjerumus kepada satu-satu mata pelajaran sahaja contohnya terhad kepada mata pelajaran
matematik.
Teori kecerdasan ini mengiktiraf kesemua kecerdasan yang terdapat pada manusia,dan ia
mempunyai kelebihan apabila diaplikasikan dalam pendidikan. Antara kelebihan dan
kepentingan penggunaan kecerdasan pelbagai ini adalah seseorang guru itu dapat melihat
potensi yang ada pada pelajar itu sendiri. Ini kerana kecerdasan pelbagai ini bertindak sebagai
petunjuk kepada potensi pelajar. Apabila guru dapat mengenalpasti potensi yang ada pada
murid itu, maka ia dapat membantu guru untuk memperkembangkan lagi potensi yang ada
pada pelajar.
Teori kecerdasan pelbagai ini membolehkan guru memberi tunjuk ajar sepenuhnya tentang
kekuatan dan kelemahan yang ada pada pelajar. Dengan itu pelajar dapat mengukuhkan lagi
kekuatan mereka dan dapat memperbaiki kelemahan yang ada pada diri mereka. Maka modal
insan yang lengkap dengan segala kecerdasan yang ada dapat dilahirkan.
Pengaplikasian teori kecerdasan pelbagai ini dapat membantu guru untuk merancang
pengajarannya. Guru dapat merancang apa yang patut diberikan kepada pelajar tentang cara
pengajaran, penekanan dan pemfokusan sewaktu dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Ini
kerana guru dapat mengenalpasti potensi yang ada dalam diri pelajar dan membolehkan guru
menjalankan pengajaran mengikut kecerdasan pelbagai ini.
Dengan adanya kecerdasan pelbagai ini, maka guru dapat membangunkan bukan sahaja
kesemua bidang akademik malah membangunkan ko-kurikulum pelajar. Ini
kerana,sebagaimana yang kita tahu, kecerdasan pelbagai bukan sahaja tertumpu kepada
bidang akademik tetapi juga mencangkumi bidang ko-kurikulum seperti kecerdasan
kinestetik,kecerdasan muzik dan beberapa kecerdasan lain.
Teori kecerdasan pelbagai Gardner juga membolehkan guru untuk mempelbagaikan teknik
pengajaran. Ia membolehkan guru itu untuk menjadi lebih kreatif dalam mengembangkan
kecerdasan dan potensi murid. Kecerdasan pelbagai ini tidak menghadkan guru ke atas cara
pengajaran tertentu tetapi ia membolehkan guru mengaplikasikan pendekatan yang pelbagai.
Ini akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran itu satu proses yang seronok untuk dilalui
oleh guru dan diikuti oleh pelajar.
Melalui kecerdasan pelbagai, pelajar juga akan mendapat kebaikan dari aplikasi kecerdasan
pelbagai ini dimana pelajar dapat memahami potensi yang ada pada diri mereka sendiri dan
mereka akan merasa diri mereka dihargai kerana kecerdasan yang ada pada diri diiktiraf. Selain
itu, pelajar juga akan dapat memahami kecerdasan yang ada pada individu disekeliling mereka
yang dapat membantu lagi untuk mengembangkan potensi dalam diri mereka.
Pelajar tidak akan rasa terasing dan rendah diri dengan kecerdasan pelbagai. Ini kerana,
sesetengah kecerdasan hanya mengiktiraf kecerdasan dalam logikal-matematik dan apabila
seseorang pelajar itu tidak dapat menguasai kecerdasan logikal-matematik maka pelajar
dikategorikan sebagai lemah. Sedangkan banyak lagi kecerdasan dan kekuatan lain yang ada
pada diri pelajar tidak diberi perhatian. Sebaliknya, kecerdasan pelbagai memberI perhatian
terhadap kecerdasan selain logikal-matematik disamping kecerdasan logikal-matematik itu
sendiri. Maka pelajar akan rasa lebih bersemangat untuk belajar. Kecerdasan pelbagai ini dapat
memberi keyakinan yang jitu kepada pelajar. Ini kerana kekuatan mereka dalam kecerdasan
tertentu diberikan perhatian dan begitu juga kelemahan mereka akan diperbaiki. Ini dapat
menaikkan lagi semangat dan keyakinan mereka untuk memperkembangkan lagi kecerdasan
mereka dan untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada diri mereka.
Kecerdasan pelbagai ini juga mempunyai kelebihan dimana ia dapat mengenal pasti
kecerdasan secara kontekstual. Kegagalan untuk mengenalpasti kecerdasan ini boleh memberi
impak ke atas pengurusan modal insan dalam pendidikan negara. Dalam erti kata lain,
kegagalan ini oleh mengakibatkan pembaziran sumber manusia. Pengurusan modal insan yang
sempurna adalah amat penting untuk masa depan negara. Kegagalan pengurusan modal insan
ini akan memberi kesan ke atas Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang
memfokuskan untuk membangunkan modal insan.
Kecerdasan pelbagai ini, memandangkan ia memfokuskan hampir kesemua kecedasan pada
manusia, maka ia membolehkan pelajar-pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar corot untuk
merealisasikan kebolehan mereka. Dengan menambahkan lagi penilaian disamping penekanan
terhadap verbal-linguistik dan logikal-matematik yang diorientasi oleh sistem pendidikan pada
hari ini, maka pelajar ini akan mendapat peluang untuk menonjolkan kecerdasan mereka
masing-masing. Mereka mungkin mempunyai kecerdasan lain yang lebih tinggi berbanding
rakan lain yang berada dalam kelas yang lebih baik.
Kecerdasan pelbagai, oleh kerana ia memfokus lebih banyak kecerdasan dan memberi peluang
kepada semua individu untuk menonjolkan kecerdasan yang ada pada diri mereka dilihat
sebagai satu bentuk penilaian kecerdasan yang adil. Ini membolehkan semua pelajar mendapat
layanan yang sama rata dan dapat merasakan diri mereka mempunyai nilai dan
berkepentingan. Maka, semua pelajar akan berpeluang untuk bersama-sama berjuang untuk
mambagunkan diri dan negara.
Perlaksanaan teori kecerdasan pelbagai Gardner ini juga mempunyai kelebihan kerana ia juga
dapat mengatasi masalah seperti gejala ponteng kelas dan ponteng sekolah. Bagaimana teori
kecerdasan pelbagai ini dapat membantu mengatasi masalah ini? Teori kecerdasan pelbagai
dapat mengatasi masalah ini kerana ia memberi ruang untuk pelajar mengembangkan potensi
dalam diri mereka. Dengan itu minat untuk belajar dapat ditingkatkan kerana apa yang mereka
pelajari dapat mereka kembangkan berdasarkan apa yang ada dan sesuai dengan diri
mereka.Dengan adanya minat, pelajar akan sanggup untuk melaui apa jua kesukaran demi
mengembangkan potensi yang ada dalam diri mereka kerana telah timbul minat untuk
menguasainya.
Kecerdasan pelbagai ini dikatakan dapat mengatasi masalah bosan dengan sistem
pembelajaran sedia ada di sekolah. Minat untuk belajar memainkan peranan yang amat penting
dalam pembelajaran. Ini kerana jika pelajar merasa pembelajaran yang mereka sedang lalui
tidak membawa apa-apa manfaat, maka mereka akan merasa bosan untuk mengikuti kelas
terbabit. Dengan adanya kecerdasan yang sesuai dengan diri pelajar, maka perasaan bosan
untuk belajar dapat diatasi. Pelajar tentunya tidak akan bosan lagi untuk belajar sebaliknya
akan lebih berminat untuk dating ke sekolah kerana beranggapan bahawa pelajaran itu
menyeronokkan, berfaedah untuk masa hadapan mereka dan bukannya sebagai satu bebanan.
Teori kecerdasan pelbagai ini mempunyai pelbagai cara untuk diaplikasikan. Dengan
kepelbagaian ini, kita dapat memupuk dan mencungkil mana-mana kecerdasan yang diingini
malah jika kena dengan cara pengajarannya, seseorang pelajar itu tidak mustahil untuk dapat
menguasai kesemua kecerdasan yang diutarakan oleh Howard Gardner ini.
Antara lainnya, dengan teori kecerdasan pelbagai ini, kita tentunya tidak perlu menghadapi
kemelut yang melanda sistem pendidikan negara baru-baru ini iaitu masalah pengajaran dan
pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Jika dari dulu kita
memahami dan melaksanakan teori kecerdasan pelbagai, kita tentunya tidak akan menukar
sistem pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ke dalam Bahasa Inggeris. Ini
kerana, dalam sistem itu, adalah sangat jelas dimana ia hanya menekankan kecerdasan verbal-
linguistik dan kecerdasan logikal-matematik. Sedangkan terdapat ramai pelajar yang tidak dapat
menguasai kecerdasan itu dan penekanan terhadap hanya dua jenis asas kecerdasan itu
sebenarnya boleh memudaratkan anak bangsa dan tentunya Negara pada masa hadapan.
Maka langkah yang diambil untuk tidak meneruskan PPSMI adalah satu langkah yang bijak
kerana ia adalah adil untuk semua yang sejajar dengan kecerdasan pelbagai Gardner.
Di sini, kita dapat lihat dengan jelas betapa kecerdasan pelbagai ini adalah sangat adil kerana
ia tidak menekankan pada kecerdasan tertentu yang mungkin tidak dapat dikuasai oleh pelajar
atau individu yang lain. Ia juga tidak bermaksud bahawa pelajar yang mempunyai kecerdasan
tertentu contohnya di sini kecerdasan verbal-linguistik dan logikal-matematikdibiarkan maju
sendiri tanpa perhatian malah mereka ini masih mempunyai peluang yangsama untuk mereka
memgembangkan potensi dalam asas-asas kecerdasan ini disampingpeluang untuk
mengenalpasti kecerdasan lain yang ada dalam diri yang tidak mungkin ditemuitanpa perhatian
yang diberi melalui kecerdasan pelbagai.
6. Kelemahan-Kelemahan Teori Kecerdasan Pelbagai
Terdapat kekangan atau masalah bagi mengaplikasikan teori ini dalam pengajaran dan
pembelajaran.
Antara masalah yang dihadapi bagi mengaplikasikan teori ini ialah guru perlu mengenalpasti
kecerdasan yang di hadapi oleh para pelajarmya. Oleh yang demikian guru perlu melakukan
kaji selidik terhadap kemampuan para pelajar, supaya proses pembelajaran dapat berjalan
dengan lancar.
Selain itu, cara pembelajaran yang tidak menyeluruh iaitu berfokus kepada kecerdasan tertentu
juga merupakan salah satu masalah dalam mengaplikasikan teori ini dalam pembelajaran. Jika
guru menggunakan pendekatan secara tradisional seperti linguistik atau logikal sahaja, maka
pembelajaran tidak berkesan kerana pelajar merasa bosan. Hal ini di sebabkan pelajar terdiri
daripada tahap kecerdasan yang berbeza serta mempunyai potensi yang berbeza, sekiranya
guru hanya menekankan kepada sesuatu aspek sahaja dengan tidak mempelbagaikan aktiviti
pengajaran, maka ianya menimbulkan perasaan kurang minat kepada pelajar untuk belajar.
Di samping itu juga, boleh menimbulkan ketidakadilan sekiranya guru mengamalkan dasar pilih
kasih. Sebagai contohnya, jika guru tertarik dengan kepetahan pelajarnya bercakap serta sering
memberi peluang kepada pelajar tersebut untuk menguasai pengajaran dan mengabaikan
pelajar lain, maka hal ini menimbulkan diskriminasi kerana potensi pelajar lain tidak dapat
digilap. Guru yang mudah tertarik kepada potensi seseorang pelajar akan mengganggu proses
pembelajaran.
Guru tidak kreatif bagi wujudkan suasana yang berkesan dalam menyampaikan ilmu,
merupakan salah satu faktor bakat pelajar tidak dapat berkembang. Bagi menyampaikan
sesuatu ilmu dengan berkesan serta mengasah potensi atau bakat pelajar, kaedah pengajaran
yang pelbagai juga perlu dilakaukan. Sekiranya guru tidak kreatif bagi menyampaikan
pembelajaran, sebagai contohnya, hanya bercakap di dalam kelas, tanpa menggaplikasikan
peralatan yang sedia ada pada masa kini, seperti penggunaan power point, video dan lain-lain
dalam pengajaran, maka tahap kecerdasan pelajar tidak dapat berkembang.
7. Kesimpulan
Bidang pendidikan adalah sangat penting untuk sesebuah negara. Ia akan menentukan jatuh
bangun sesebuah negara itu pada masa hadapan. Oleh itu, wajarlah kita memberi penekanan
yang sesuai untuk setiap individu bagi memastikan setiap individu itu dapat menguasai
kecerdasan yang ada pada diri mereka dengan baik bagi membolehkan mereka meneraju masa
depan negara dengan baik.
Pendidikan yang adil dilihat dapat memberi jaminan untuk keutuhan sesebuah tamadun
manusia dan dapat menjamin kejayaan dalam sesuatu sistem pendidikan. Teori kecerdasan
pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner adalah merupakan satu bentuk teori yang
memperjuangkan keadilan dalam pendidikan. Ini kerana kita dapat melihat dengan jelas betapa
teori ini memperjuangkan agar setiap individu diberi ruang dan peluang untuk berjaya dalam
bidang-bidang tertentu.
Mengaplikasikan teori kecerdasan pelbagai adalah lebih berkesan berbanding pendidikan yang
menekankan kecerdasan asas iaitu kecerdasan verbal-linguistik dan kecerdasan logkal-
matematik.
Jika selama ini kita hanya mementingkan kefahaman tentang teori tersebut di dalam dewan-
dewan kuliah untuk tujuan peperiksaan semata-mata, maka kini telah sampai masanya kita
beralih kepada aspek pelaksanaannya pula. Walaupun belanja yang diperlukan adalah besar,
namun kejayaan projek ini berpotensi menghasilkan insan yang berkualiti tinggi yang dapat
menyumbang kepada pembangunan negara
Dimuat turun pada 24 Oktober 2013 pada pukul 3.15 P.M:
(http://cikgu-zaki.blogspot.com/2012/06/teori-kecerdasan-pelbagai.html)
Recommended