View
849
Download
4
Category
Preview:
Citation preview
1.0 Pendahuluan
1.1 Asal- usul pantun
Pantun Melayu merupakan hasil rakyat tertua yang disebarkan secara
lisan. Pantun tergolong dalam corak sastera yang berbentuk non-narrative atau
bukan cerita. Pantun merupakan bentuk puisi tradisional yang terdiri daripada
empat baris serangkap, empat perkataan sebaris, mempunyai rima a-b-a-b dengan
beberapa variasi dan pengecualian. Tiap-tiap rangkap terbahagi kepada dua, iaitu
rangkap pembayang atau sampiran dan maksud. Setiap rangkap yang tidak dapat
berdiri sendiri dan biasanya rangkap-rangkap tersebut memerlukan beberapa
rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea.
Pantun adalah salah satu bentuk puisi lisan Melayu lama yang istemewa
dan merupakan hak milik jati bangsa Melayu yang tidak ada pada bangsa-bangsa
lain. Ia merupakan cabang kesusasteraan Melayu yang paling tua. Pantun tidak
dipengaruhi oleh mana-mana pengaruh luar. Dalam erti kata lain, pantun itu ialah
hasil daya cipta masyarakat Melayu lama yang tinggi, asli dan mempunyai nilai
estetika. Pantun dikatakan mula dicipta oleh orang Melayu untuk menyampaikan
mesej perasaan hati seperti merasa sedih kerana duduk berdagang di perantauan,
mengenang untung nasib yang malang dan bersuka ria.
Rangkap-rangkap pantun yang ringkas dan mudah, mungkin sudah
berligar-ligar dalam bentuk kias-ibarat, usik-mengusik, uji-menguji di kalangan
masyarakat pra-moden, pra-tulisan, sama seperti perumpamaan, bidalan dan
rumus-rumus bahasa bersirat yang lain. Namun, sehingga kini tiada maklumat
jelas tentang pensejarahan pantun. Hal ini kerana pantun dicipta sebelum bangsa
Melayu tahu menulis dan membaca dan ianya tercipta dalam bentuk lisan untuk
tujuan hiburan dalam kalangan golongan bawahan seperti nelayan dan petani dan
akhirnya menjadi satu acara hiburan bagi penduduk di kampung-kampung.
Menurut teori Fisscher (1961) tentang asal-usul seni, puisi yang terawal
muncul ekoran keperluan untuk membangkitkan semangat kolektif bagi memudah
dan meringankan sesuatu kerja yang dilakukan terutamanya dalam masyarakat
golongan bawahan. Oleh itu, lahirlah puisi yang dapat dicipta secara spontan dan
1
mudah dihafal serta mempunyai ungkapan ynag berima untu dilagukan bagi
tujuan hiburan dan melegakan tekanan semasa bekerja di ladang atau di lautan.
Pantun yang dicipta secara spontan oleh masyarakat Melayu lama banyak
menyebabkan unsur alam menjadi aspirasi penciptaan pantun. Semua alam
persekitaran masyarakat Melayu baik daripada segi pekerjaan, pakaian, senjata,
bunga-bungaan, pepohon dan sebagainya dipakai dalam melahirkan pantun yang
begitu unik dan seni dalam menyampaikan maksud yang ingin disampaikan.
Menurut pendapat sasterawan Sultan Takdir Alisabana, pantun merupakan
pancaran hidup masyarakat Melayu lama. Hal ini kerana pantun menyentuh
semua penjuru kehidupan manusia, memenuhi hampir keseluruhan hidup dan
hayat manusia. Jika kita lihat dengan teliti, pantun Melayu melingkungi
kehidupan kanak-kanak yang sentiasa riang gembira, pemasalahan golongan
muda sama ada cinta dan kesedihan ekoran cinta yang tidak berbalas, kesusahan
hidup di perantauan dan turut memperlihatkan peranan golongan tua yang penuh
dengan nasihat dan teguran terutama yang berkaitan dengan adat, adab, budi dan
agama.
Jadi, pendapat yang mengatakan bahawa pantun merupakan pancaran
pemikiran masyarakat Melayu lama sememangnya tidak boleh disangkal lagi.
Melalui pantun, kita bukan sahaja dapat membaca minda tetapi ruang lingkup
adab dan budaya kehidupan masyarakat Melayu lama.
2
1.2 Sifat-sifat Pantun
a. Alam dan Kehidupan
Selaras dengan perkembangan budaya dan tamadun manusia, pantun
menjadi lebih bertenaga, tukang-tukang pantun dapat berpesta dengan bahasa
yang kian kaya perbendaharaannya, unsur-unsur persekitaran pula menjadi lautan
ilham yang tidak pernah kering dan pupus. Sebagai unit-unit makna yang dapat
wujud kendiri, setiap rangkap pantun boleh membawa satu tema atau idea yang
lengkap. Bayangkan betapa banyak idea dan tema yang dapat digarap oleh
pantun- tiada nokhtahnya.
Alam bukan sahaja menjadi sumber ilham pencipta pantun, tetapi juga
menjadi cermin untuk menatap dan menginsafi diri manusia. Dari imejan
sehingga idea atau persoalan, pantun meniru alam, termasuk segala fenomena dan
fielnya, untuk menyindir, memujuk dan mendidik manusia.
Dengan demikian, pantun menyentuh semua penjuru kehidupan,
memenuhi hampir keseluruhan hidup dan hayat manusia. Ia melingkungi
kehidupan kanak-kanak melalui dendangan dodoinya, meniti bersama
kedewasaannya untuk meratapi cinta yang tidak berbalas, rindu yang tidak
berkesudahan, melangkah bersamanya untuk merintih nasib seorang perantau dan
akhirnya mencecah hari tua untuk menegur dan menasihat.
b. Rima pantun
Dalam berpandukan hukum-hukum kelisanan, maka pantun dicipta.
Bentuk pantun dengan demikian memanifestasikan seluruh puitika lisan. Barisnya
yang bersukat dan seimbang, dengan pola rima di hujung dan di tengah baris
(untuk pantun yang baik), malah pada tahap bentuknya yang awal setiap
perkataan dalam pembayang berima dengan setiap perkataan dan maksud.
Sebagai contoh;
Tak tumbuh, tak melata,
Tak sungguh orang tak kata.
3
Mengata dulang, paku serpih,
Mengata orang, aku yang lebih.
Apabila diucapkan memunculkan rima yang menjadikannya mudah dihafal dan
diingat balik.Contoh pantun-pantun di bawah dengan rima dalam dan rima hujung pada
baris-baris yang berselang-selang, apabila diucapkan akan membentuk ritma yang
menarik:
Limau purut, lebat di pangkal,
Sayang selasih, condong uratnya,
Angin ribut, dapat ditangkal,
Hati kasih, apa ubatnya?
c. Pernyataan padat dan ringkas
Pantun juga patuh kepada satu penjimatan ketat pernyataan-pernyataan
linguistik yang sesuai dan ini dapat dilihat dalam baris-baris pantun yang ringkas tapi
padat makna, seperti;
Sekali pergi menuba,
Sekali ikan merimbat,
Sekali adik disapa,
Setahun rindu terubat.
Untuk kepadatan juga, pantun mengambil ungkapan-ungkapan perumpamaan
untuk mengisi baris-baris maksudnya. Perumpamaan memang bersifat sarat makna
hatta membuka kepada tafsiran yang jamak. Penggunaan perumpamaan juga
memudahkan hafalan kerana perumpamaan adalah ungkapan-ungkapan yang
dikongsi bersama yang diguna dan didengar. Justeru cepat terakam di minda.
Bentuknya sendiri adalah dipolakan untuk mudah dihafal dan diingat balik.
Contohnya;
Buah langsat, kuning mencelah,
Senduduk tidak, berbunga lagi,
Sudah dapat, gading bertuah,
Tanduk tidak, berguna lagi.
4
d. Budaya Penyampaian
Penggunaan perumpamaan dalam semua bentuk komunikasi verbal adalah
sebahagian daripada etos budaya lisan. Bentuk komunikasi yang berbentuk oral-aural
atau “face to face” menjadikan komuniti lisan wujud dalam situasi yang rapat dan
dekat. Contoh seperti upacara adat meminang. Dalam komuniti yang demikian,
sesuatu maksud yang hendak disampaikan perlu disampaikan dalam bentuk halus,
berlapik dan bijaksana kerana penerima mesej berada di depan muka. Kelangsungan
bicara dianggap biadap, bebal atau menyentuh perasaan si penerima sehingga
mengguggat kesepaduan kolektif. Dari keperluan inilah ungkapan-ungkapan kias-
ibarat, perumpamaan dan bidalan muncul. Melaluinya sindiran, teguran, kritikan
disampaikan secara tersirat dan halus tetapi tepat dan menghiris. Pantun
memanafaatkan alat bahasa yang demikian kerana pantun sentiasa diucapkan dalam
konteks sesuatu situasi.
e. Perbandingan dalam pantun
Apa yang tidak dapat diperikan atau didefinasikan dengan perkataan, maka
dirujuk kepada benda sebagai bandingan. Contohnya dalam lipur-lara, pencerita
sering mengambil sifat-sifat benda atau objek untuk memerikan sesuatu yang
payah didefinisi. Pemerian tentang konsep seperti kecantikan seseorang puteri
contohnya sentiasa dilakukan dalam bentuk simile dan metafora. Bentuk kening
yang cantik, melengkung halus disamakan dengan ‘taji dibentuk’, matanya yang
bercahaya disamakan dengan ‘bintang timur’, dahinya yang sempit, melengkung
disamakan dengan ‘sehari bulan’, rambutnya yang lebat panjang dan berombak
disamakan dengan ‘mayang mengurai’, hatta seluruh anggota badannya
didefinisikan melalui metafora. Perumpamaan lahir dari kecenderungan yang
demikian. Kemiskinan contohnya diumpamakan dengan kehidupan ayam yang
kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Persahabatan yang akrab
disamkan dengan isi yang bertaut pada kuku.
5
1.3 Fungsi Pantun
Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis pantun seperti pantun adat,
agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta mempunyai
fungsi atau kegunaannya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, pantun merupakan
satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu, dalam
upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud termasuk
kiasan atau sindiran. Penggunaan pantun dalam menyampaikan sindiran bertujuan
agar yang kena sindir atau yang kema nasihat itu tidak marah, tetapi sebaliknya
mempunyai azam untuk membaiki perbuatan atau perangai yang tidak disukai.
Diingatkan di sini, seseorang yang akan menyampaikan atau melafazkan pantun
juga harus memerhatikan isi pantun. Keadaan pantun dilafaz menjadi
pertimbangan dalam penyampaian isi pantun. Jika hal ini tidak diberi perhatian
oleh orang yang melafazkan pantun,dikhuatiri akan menimbulkan salah faham
kepada pendengar terutama pantun yang berkaitan dengan sindiran dan nasihat.
Begitu juga jika melafazkan pantun berkaitan dengan budi dan jenaka. Cara
melafazkan pantun harus dijaga agar maksud atau tujuan sesuatu pantun itu
dilafazkan sampai kepada pendengar. Sesungguhnya, pantun Melayu yang dicipta
oleh masyarakat Melayu dahulu mempunyai beberapa fungsi.
a) Untuk mendidik
Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua kaya dengan pelbagai
nasihat. Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka
mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan
sesuatu perkara. Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak
kena atau bertujuan untuk memberikan peringatan kepada golongan muda atau
kanak-kanak, mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk
menyampaikan nasihat dan didikan. Contohnya seperti;
Air melurut, di tepian mandi,
Kembang berseri, bunga senduduk,
Elok diturut, resmi padi,
Semakin berisi, semakin tunduk.
6
Selain pantun nasihat, pantun agama juga dicipta oleh masyarakat dahulu untuk
tujuan mendidik. Pantun agama yang dicipta selalunya memberikan peringatan dan
pedoman kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tersasar ke jalan yang salah.
Contohnya seperti;
Sungguh indah, pintu dipahat,
Burung puyuh, di atas dahan,
Kalau hidup, hendak selamat,
Taat selalu, perintah Tuhan.
b) Untuk meluahkan rasa kasih sayang dan rindu
Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam
kalangan masyarakat Melayu tanpa kira batasan sama ada rasa sayang teruna kepada
dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu bapa. Pantun-pantun sebegini akan
disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang
menggambarkan perasaan kasih, saying, cinta dan rindu yang mendalam. Sebagai contoh,
dapatlah kita lihat daripada pantun Melayu lama di bawah ini;
Ribu-ribu, pokok mengkudu,
Cincin permata, jatuh ke ruang,
Kalau rindu, sebut namaku,
Air mata, jangan dibuang.
Pantun di atas menggambarkan nasihat orang yang melafazkan pantun kepada
pasangannya yang kerinduan tidak kira sama ada pasangan kekasih atau suami isteri atau
anak kepada ibu bapanya.
c) Untuk menyampaikan rasa penghargaan atau terima kasih
Masyarakat Melayu juga terkenal sebagai masyarakat yang tahu mengenang budi
dan jasa. Oleh itu, banyak dapat kita lihat pantun Melayu yang dicipta untuk
menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada orang-orang yang telah berjasa
atau berbudi. Antara pantun yang popular sehingga sekarang ini adalah pantun di bawah;
7
Pisang emas, dibawa belayar,
Masak sebiji, di atas peti,
Hutang emas, boleh dibayar,
Hutang budi, dibawa mati.
Rangkap pantun di atas memperlihatkan masyarakat Melayu zaman dahulu
memandang tinggi orang yang berbudi lebih daripada segalanya.
d) Untuk adat istiadat
Masyarakat Melayu sememangnya mementingkan adat istiadat dalam kehidupan
seharian. Oleh itu, pantun juga memainkan peranan yang penting dalam upacara yang
melibatkan adapt istiadat. Dalam majlis merisik, bertunang sehinggalah majlis
perkahwinan, pantun akan dilafazkan sebagai mukadimah atau pembuka kata sebagai
tanda meminta kebenaran atau untuk menyampaikan maksud di hati. Pantun-pantun
sebegini dikenali sebagai pantun adapt. Sebagai contoh, dapatlah kita lihat dalam pantun
Melayu lama di bawah ini yang kerapkali dilafazkan dalam majlis merisik sehingga
sekarang;
Tok sami, ke Teluk Lipat,
Kain sekodi, dibawa sama,
Datang kami membawa hajat,
Kalau sudi, minta terima.
e) Untuk sindiran dan tempelak
Pantun juga digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan rasa
tidak puas hati terhadap sesuatu dengan bahasa yang berselindung atau dengan kata
lain secara tidak terus terang. Melalui pantun, ,masyarakat Melayu dapat
menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap
sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan
berlakunya pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka.
Pantun sindiran Melayu lama di bawah ini masih kita gunakan sehingga sekarang;
8
Buah langsat, kuning mencelah,
Senduduk tidak, berbunga lagi,
Sudah dapat, gading bertuah,
Tanduk tidak, berguna lagi.
f) Untuk menguji minda
Pantun juga dicipta untuk tujuan mencabar ketangkasan fikiran. Pantun-
pantun sebegini amat digemari ramai terutama golongan kanak-kanak. Pantun
menguji minda ini dinamakan pantun teka-teki. Antara contoh pantun Melayu lama
yang masih diingati ialah;
Kalau tuan,pergi ke kedai,
Belikan saya, buah keranji,
Kalau tuan, bijak pandai,
Apakah binatang keris di kaki?
g) Untuk hiburan
Pantun juga dicipta oleh masyarakat Melayu untuk tujuan hiburan. Pada
zaman dahulu, masyarakat Melayu akan berhibur dengan melafazkan pantun-pantun
bersifat jenaka atau mengusik. Contohnya seperti pantun Melayu lama di bawah yang
sememangnya kita ingat sejak kecil lagi.
Tuan puteri, memasang panjut,
Dayang tolong, menghalau lalat,
Kucing tidur, bangkit terkejut,
Melihat tikus, pandai bersilat.
Ada juga pantun yang dijadikan lagu untuk hiburan seperti lagu Dondang
Sayang yang popular dalam kalangan Baba Nyonya.
9
1.4 Ciri-ciri Pantun
Sebelum mencipta pantun, kita harus mengetahui dengan jelas ciri-ciri
asas pantun. Yang berikut merupakan ciri-ciri pantun yang perlu dipatuhi dalam
penciptaan pantun.
i. Binaan pantun terdiri daripada pembayang dan maksud. Dalam pantun
empat kerat, dua baris di atas ialah pembayang dan dua baris di bawah
ialah maksud.
ii. Rima akhir pantun empat kerat ialah ab ab, iaitu jika dalam baris pertama
suku kata akhir ialah bu (a) maka suku kata akhir dalam baris ketiga juga
ialah –bu (a). Begitu juga jika suku kata akhir bagi baris kedua ialah –an
(b) maka suku kata akhir keempat juga semestinya –an (b). Pantun juga
mempunyai rima tengah sama seperti rima akhir ab ab, iaitu jika dalam
baris pertama suku kata tengah ialah – yam (a) maka suku kata tengah
dalam baris ketiga juga ialah – yam (a). Begitu juga jika suku kata tengah
bagi baris kedua ialah – mi (b) maka suku kata tengah keempat juga
semestinya –mi (b).
iii. Setiap satu baris terdiri daripada tiga hingga lima patah perkataan sahaja.
iv. Suku kata dalam sebaris pula antara 8 sehingga 12 suku kata.
v. Mempunyai jeda, iaitu hentian di tengah baris.
Contoh pantun:
Tabur bayam, di pangkal tebu,
Buang jerami, berikat rotan,
Laksana ayam, kehilangan ibu,
Beginilah kami, kehilangan tuan.
Namun, pantun tidak salah jika dicipta seperti di bawah ini;
Memasang pukat, terkena lokan,
Lokan dibawa, ke tanjung Puri,
Selamat datang, kami ucapkan,
Ke Majlis Anugerah, Guru Bestari.
Beza antara dua pantun di atas hanya pantun kedua tidak mempunyai rima
tengah yang sama, tetapi struktur pembinaan pantun masih menepati cirri-ciri
10
pantun yang lain. Yang penting di sini, rima akhir pantun yang dicipta harus ab
ab. Jadi ada beberapa rangkap pantun yang dicipta tidak menekankan penggunaan
rima tengah.
11
1.5 Jenis-jenis pantun dan contohnya
a. Pantun Adat
Bukan lebah, sembarang lebah,
Lebah bersarang, dibuku buluh,
Bukan sembah, sembarang sembah,
Sembah bersarang, jari sepuluh.
b. Pantun Agama
Bunga kenanga, di atas kubur,
Pucuk sari,pandan Jawa,
Apa guna, sombong dan takbur,
Rosak hati, badan binasa.
c. Pantun Budi
Sarat perahu, muat pinang,
Singgah berlabuh, di Kuala Daik,
Jahat berlaku, lagi dikenang,
Inikan pula, budi yang baik.
d. Pantun Jenaka
Elok berjalan, kota tua,
Kiri kanan, berbatang sepat,
Elok berbini, orang tua,
Perut kenyang, ajaran dapat.
e. Pantun Kepahlawanan
Hang Jebat, Hang Kesturi,
Budak-budak, raja Melaka,
Jika hendak, jangan dicuri,
Mari kita, bertentang mata.
f. Pantun Kias
Disangka nenas, di tengah padang,
Rupanya urat,jawi-jawi,
Disangka panas hingga petang,
Kiranya hujan, tengah hari.
12
g. Pantun Nasihat
Padang temu, padang baiduri,
Tempat raja, membangun kota,
Bijak bertemu, dengan jauhari,
Bagaikan cincin dengan pemata.
h. Pantun Percintaan
Ikan sepat, dimasak berlada,
Kutunggu digulai, anak seberang,
Jika tak dapat,di masa muda,
Kutunggu sampai, beranak sorang.
i. Pantun Peribahasa
Berakit-rakit, ke hulu,
Berenang- renang ke tepian,
Bersakit-sakit, dahulu,
Bersenang-senang, kemudian.
j. Pantun Perpisahan
Batang selasih, mainan budak,
Berdaun sehelai, dimakan kuda,
Bercerai kasih, bertalak tidak,
Seribu tahun, kembali juga.
k. Pantun teka-teki
Kalau tuan, muda teruna,
Pakai seluar, dengan gayanya,
Kalau tuan, bijak laksana,
Biji diluar, apa buahnya?
13
1.6 Format Mencipta Pantun
Untuk mencipta pantun, perkara yang harus diperhatiakn ialah membuat topik
atau tema terlebih dahulu. Tema dalam penulisan pantun sangat penting sekali kerana
dengan tema, pantun-pantun yang dihasilkan akan lebih terarah kepada sesuatu maksud
yang dikehendaki. Ini bertujuan bagi mengelakkan ia tidak akan merebak ke mana-mana
yang akhirnya mendatangkan masalah. Memang diakui adanya sedikit kekangan
kreativiti dalam menulis pantun jika menggunakan tema yang sempit. Oleh kerana itu,
penulis harus bijaksana dalam memilih tema yang dalamnya dapat mengandung atau
mencakup berbagai permasalahan seharian. Tema yang sesuai diberikan dalam proses
pembelajaran contohnya berkaitan dengan masalah politik, sosial budaya, percintaan dan
kehidupan keluarga.
Pantun yang dicipta mesti mengandungi pembayang dan maksud. Sebagai contoh,
jika pantun yang ingin dicipta bertujuan untuk mengalu-alukan kehadiran tetamu, maka
jadikan perkara tersebut sebagai maksud pantun tetapi perlu dingatkan jumlah perkataan
dan suku kata dalam sebaris harus mengikut cirri pantun.
Contoh Maksud Pantun:
Kehadiran tuan, kami alukan,
Dengan rasa besarnya hati.
Setelah mendapat maksud pantun, baru dicipta pembayang pantun. Pembayang
pantun pula lebih baik menggunakan unsur alam. Namun begitu, kita boleh juga
menggunakan apa-apa sahaja unsur yang dirasakan sesuai dan menarik. Semasa mencari
pembayang pantun, kita perlu melihat rima akhir maksud yang telah dicipta. Garis rima
akhir maksud yang dicipta sebagai garis panduan untuk mencipta pembayang bagi
pantun. Setelah itu, letakkan dahulu perkataan akhir yang mempunyai rima akhir yang
sama dengan maksud pantun yang telah dicipta. Sebagai contoh;
…………………………….ikan,
……………………………jati,
Kehadiran tuan, kami alukan,
Dengan rasa besarnya hati.
Selepas itu, barulah bina ayat yang indah untuk melengkapkan pantun yang
dicipta. Sebagai contoh, mungkin pantun yang tercipta berbunyi seperti ini;
14
Orang Bugis, mengail ikan,
Mengail ikan, di Tanjung Jati,
Kehadiran tuan, kami alukan,
Dengan rasa, besarnya hati.
Begitu juga cara jika ingin membina pantun yang mempunyai rima tengah. Garis
rima tengah dan akhir maksud yang dicipta sebagai garis panduan untuk mencipta
pembayang bagi pantun. Setelah itu, letakkan dahulu perkataan tengah dan akhir yang
mempunyai rima tengah dan akhir yang sama dengan maksud pantun yang telah dicipta.
Sebagai contoh;
…………..ruan, …………….ikan,
………….angsa, …………..Jati,
Kehadiran tuan, kami alukan,
Dengan rasa, besarnya hati.
Selepas itu, barulah dibina ayat yang indah untuk melengkapkan pantun yang
dicipta. Lebih baik jika pembayang maksud yang dicipta mempunyai cerita dan berkait.
Namun, jika tidak, hal ini bukan menjadi satu kesalahan. Mungkin pantun dicipta
berbunyi seperti ini;
Anak ruan, anak ikan,
Dimakan angsa, Tanjung Jati,
Kehadiran tuan, kami alukan,
Dengan rasa, besarnya hati.
Sebagai peringatan, pantun tidak perlu mengikut tatabahasa Bahasa Melayu yang
betul. Yang penting di sini ialah maksud yang disampaikan mestilah jelas dan kata-kata
yang digunakan disusun dengan indah.
15
2.0 Pantun Nasihat dan Motivasi Berdasarkan Kelompok
A. Kanak-kanak
1. Duduk berehat, di pohon kelapa,
Sambil menghirup, udara desa,
Dengarlah nasihat, ibu dan bapa,
Semoga hidup, bahagia sentiasa.
2. Harum Melati, indah nestapa,
Dipetik perawan, kasih tertumpah,
Jagalah hati, ibu dan bapa,
Usah dilawan, walau sepatah.
3. Cantik neraca, untuk tertamu,
Udara dihirup, di bawah sinar,
Rajinlah membaca, menambah ilmu,
Agar hidup, terus bersinar.
4. Tikar berusia, corak bersirat,
Duduk berlutut, seorang jejeka,
Ilmu dunia, dan juga akhirat,
Harus dituntut, setiap ketika.
5. Terbang sejajar, si burung camar,
Terbang bertamu, ke pohon lada,
Guru mengajar, harus didengar,
Agar ilmu, melekat di dada.
16
B. Remaja
1. Subur pedada, di air mengalir,
Tegak berdiri, pohonan sena,
Usia muda, jangan dibazir,
Kelak diri, akan merana.
2. Hujan gerimis, pohonan cempaka,
Cahaya redup, daunan berjela,
Jadilah pewaris, Negara merdeka,
Pasti hidup, akan terbela.
3. Sungguh berjasa, pahlawan Melaka,
Datang bertamu, seharum Jasmin,
Hargailah masa, setiap ketika,
Agar hidupmu, akan terjamin.
4. Harum seroja, tepian dahlia,
Tumbuh di sawah, di sebalik selat,
Jadilah remaja, berakhlak mulia,
Agar maruah, tinggi berdarjat.
5. Sungguh manis, senyum jejaka,
Dipandang dara, duduk di tangga,
Kitalah pewaris, bangsa merdeka,
Maruah negara, harus dijaga.
17
C. Dewasa
1. Mekar pegaga, di pohon kuini,
Dipetik dara, di malam purnma,
Binalah keluarga, hidup harmoni,
Itulah perkara, perlu diutama.
2. Daun dedalu, disentuh tidak,
Tumbuh pegaga, tepian peria,
Fikirlah dahulu, sebelum bertindak,
Semoga bahagia,hidup ceria.
3. Tangkas bersilat, pahlawan terulung,
Memakai tangkal, cantik berkilat,
Ikutlah adat, budaya dijunjung,
Agar kekal, jiwa berdaulat.
4. Anggun pengantin, lembut berdansa,
Dihias kepala, mahkota berharga,
Jadilah pemimpin, pewaris bangsa,
Negara terbela,maruah dijaga.
5. Bunga kenanga, dan bunga cempaka,
Kelopak terjatuh, kala bersua,
Akhlakmu dijaga, setiap ketika,
Menjadi contoh, kepada semua.
18
D. Nenek
1. Manis terasa, air kelapa,
Diminum jejeka, berpada-pada,
Nenek berjasa, usah dilupa,
Hargai mereka, sementara ada.
2. Tumbuh pegaga, di Tanah Jawa,
Cantik Melati, disiram pelangi,
Nenek dijaga, sepenuh jiwa,
Agar di hati, kasih mewangi.
3. Pokok serai, dibuat jamu,
Dicampur gamat, di dalam dupa,
Cucumu dibelai, lembut tuturmu,
Pasti diingat, tiada dilupa.
4. Terbang lelayang, sayup di mata,
Dimain saudagar, di hutan lipur,
Nenekku sayang, jauh di mata
Kasihku segar, kukuh menyubur.
5. Cantik Raflesia, dibawa dermaga,
Dihias indah, merah warnanya,
Walaupun berusia, dirimu diharga,
Kerna tiada, golok gantinya.
19
E. Ibu bapa
1. Tanjung bertemu, dahanan kecil,
Dihinggap belatuk, pohonan kuini,
Didiklah anakmu, sedari kecil,
Agar terbentuk, nilai yang murni.
2. Langit cerah, di hutan lipur,
Duduk tetamu, di balik tabir,
Kasih dicurah, bakti ditabur,
Agar jasamu, meniti di bibir.
3. Menahan bubu, di Tasik Banding,
Sambil menjaja, tikar berusia,
Jasamu ibu, tiada terbanding,
Kekal beraja, ke akhir usia.
4. Songket berenda, berbaju pesak,
Daunan kering, di dahan baling,
Cintakan bonda, kukuh berpasak,
Tanamkan kasih, dan juga sayang.
5. Tumbuh di tangga, pohon pegaga,
Celahan lada, terselit permata,
Ibu dan bapa, perlu diharga,
Sementara ada, di depan mata.
20
F. Guru
1. Burung serindit, di atas titi,
Kaki terlekat, terkena jerat,
Didiklah murid, seikhlas hati,
Hidupmu berkat, dunia akhirat.
2. Cahaya merah, di tanah Jawa,
Menyimbah Melatti, tepian titi,
Ilmu dicurah, sepenuh jiwa,
Semoga diberkati, sampai ke mati.
3. Buah belimbing, di tudung saji,
Daun berjela, buah bersegi,
Murid dibimbing, perkara terpuji,
Nescaya segala, mekar mewangi.
4. Cincin sebentuk, di pohon kuini,
Cahayanya redup, tumbuh Si Jasmin,
Murid dibentuk, nilai yang murni,
Agar hidup, terus terjamin.
5. Mari memburu, bertali tangsi,
Terlihat Melati, di atas permatang,
Jadilah guru, pembentuk generasi,
Pasti dihormati, di hari mendatang.
21
3.0 Kesimpulan
Pantun adalah alat komunikasi yang sangat istemewa kerana bahasanya yang tepat
dan mempunyai mesej untuk mendidik masyarakat. Setiap rangkap diukur terlebih dahulu
dan kemudian baru digunakan. Sejak daripada zaman purba lagi pantun telah wujud
dalam kehidupan masyarakat Melayu. Pantun ialah puisi tradisional Melayu turun-
temurun yang tertua dalam budaya Melayu. Pantun berbeza berbanding syair, gurindam,
seloka dan sebagainya kerana mempunyai kedudukan tersendiri sebagai alat untuk
menyatakan hajat, pembayang niat, bunga istiadat, pembuka kata, penamat bicara,
pengucapan rindu dagang yang merantau. Karya klasik Melayu ini mempunyai
estetikanya yang tersendiri. Di sebalik nilai tersebut, terdapat pula maksud yang tersirat
atau abstrak dan memerlukan kajian yang mendalam untuk memahami maksud di
sebaliknya. Sebagai generasi baru, kita hendaklah sentiasa melakukan kajian tersebut
agar nilai-nilai yang terdapat dalam karya klasik Melayu tidak pupus ditelan zaman.
Pantun yang istemewa terutama dari segi bahasanya yang indah dan kritis
dijadikan sebagi sumber rujukan, ilmu dan amanat. Pantun telah menjadikan orang
Melayu menjadi unik dan istemewa. Banyak nilai baik dalam pantun yang boleh kita
amalkan kerana boleh mewujudkan perpaduan orang Melayu, Islam dan rakyat di negara
kita. Walaupun kita sudah memasuki abad ke 21, namun pantun masih terus diamalkan
dan bukan mustahil untuk diteruskan. Apa yang penting orang Melayu harus memhami
sedalam mungkin mesej pantun itu sediri.
Juteru, marilah kita bersama-sama mengembangkan dan menyuburkan pusaka
lama ini agar kesusasteraan Melayu bangsa kita akan bertambah maju dan kekal umpama
tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Pantun merupakan puisi yang begitu diminati
olah orang-orang Melayu sehinggalah kini. Dengan mempelajari pantun Melayu, kita
dapat mengenali masyarakat Melayu yang melahirkan pantun. Kita dapat mengenali
masyarakat Melayu melalui pantun dan kita akan mengenali pantun melalui kenalnya kita
dengan masyarakat Melayu kerana kedua-dua ini mempunyai perkaitan yang sangat rapat
dan akrab. Pantun adalah peninggalan pusaka nenek moyang yang diwariskan kepada kita
dan pujangga tidak bernama, khazanah yang memperkayakan perbendaharaan sastera
kita.
22
5.0 Bibliografi
1. Ab. Rahman Ab. Rashid, Rosli Saludin, Zakaria Perngis. (2005). Mutiara Sastera
Melayu Tradisional. Selangor: Pearson Malaysia Sdn.Bhd.
2. Awang Sariyan. (2007). Falsafah dan Logika Melayu. Selangor: Synergymate
Sdn.Bhd.
3. Annas Haji Ahmad. (1998). Sastera Melayu Lama dan Baru. Selangor: Masa
Enterprise.
4. Harun Mat Piah. (1997). Puisi Melayu Tradisonal. Kuala Lumpur: Dewan bahasa
dan Pustaka.
5. Zainal Abidin Bakar. (1983). Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
6. Tenas Effendy. (2007). Khazanah Pantun Melayu Riau. Kuala Lumpur: Dawana
Sdn.Bhd.
7. Zainal Abidin Ahmad. (1965). Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
8. N.A.Salleh. (2008). Pantun Pilihan. Selangor: Penerbit Al Falah.
23
Recommended