Upload
others
View
8
Download
1
Embed Size (px)
Citation preview
KERANGKA ALTERNATIF PELAJAR TINGKATAN EMPAT
TERHADAP KONSEP ASID DAN BES
NOOR AZLINA BINTI HJ SUBOH
Laporan ini dikemukakan sebagai memenuhi sebahagian daripada
syarat penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan
( Kimia/Matematik )
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
JANUARI , 2012
iii
DEDIKASI
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagu Maha Mengasihani. Segala pujian atas
limpah dan kurnia Allah S.W.T Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas
junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
Buat Ayahanda dan Bonda tersayang,
“HJ SUBOH BIN HJ YATIM & HJH SABARIAH BTE HJ OMAR”
Kau menjadi sumber inspirasiku dalam menempuh liku dan ranjau,
Kata perangsangmu ubat yang paling mujarab buatku,
Akan ku semat ianya di dalam kalbu,
Terima kasih ayahbonda di atas segala-galanya.
Teristimewa untuk suami yang tersayang dan dicintai
“MOHD SHAHRONI BIN HJ AMAT SERNOR”
Engkau lah segala sumber ilham dan inspirasi hidupku selama ini,
Budi dan jasamu tidak dapat dinilai dan sukar untuk ku lupakan,
Berkat iringan doa, restu dan doronganmu,
Menjadi penawar dan semangat untukku terus berjuang
Buat Penyelia Yang Teristimewa,
“DR. JOHARI BIN SURIF”
Jasamu Akan Ku Kenang Sepanjang Masa,
Kerana Mendidik Diri Ini Menjadi Insan Berguna,
Untuk Agama, Bangsa Dan Negara.
Buat Teman Seperjuangan,
Hargailah Persahabatan Yang Telah Terjalin Antara Kita,
Suka Dan Duka Akan Sentiasa Terpahat Dalam Diari Hati Ini,
Teruskan Perjuangan Kalian Sehingga Ke Akhir Hayat.
iv
PENGHARGAAN
Bismillahhirahmanirahim
Dengan lafaz Bismillah dan pujian bagi Tuhan Ar-Rahman semoga dilimpahkan
rahmat dan payungan keberkatan serta keredhaan yang kekal berpanjangan. Selawat dan
salam buat Nabi Muhammad S.A.W, Rasul junjungan pembawa sinar kegemerlapan ,
sahabat-sahabatnya dan seluruh pewaris pembawa kebenaran.
Ribuan terima kasih dan jutaan penghargaan ditujukan kepada Dr. Johari Bin
Surif selaku penyelia sekaligus pembimbing dan murabbi yang melimpahkan selautan
ilmu untuk penyiapan tesis projek sarjana muda ini, didikan, bimbingan serta teladan
ikutan. Sejuta penghargaan juga atas segala nasihat dan tunjuk ajar yang mendewasakan
dan mengenal diri selaku insan di bumi bertuah, UTM ini. Sekalung ucapan terima
kasih juga kepada para pensyarah yang menjadi penilai atas kesediaan berkongsi ilmu
dan kepakaran.
Setinggi-tinggi penghargaan buat keseluruhan pensyarah yang mengajar dan
memberikan curahan ilmu tanpa batasan dalam semua bidang yang dicurahkan. Juga
tidak lupa buat semua pengetua, guru-guru, pelajar-pelajar sekolah di daerah Alor
Gajah, Melaka yang bersedia meluangkan masa dalam membantu menyiapkan
penyelidikan ini. Keseluruhan warga Fakulti Pendidikan, Profesor, Profesor Madya,
kakitangan akademik, tenaga pentadbiran dan kakitangan sokongan yang banyak
memberi galakkan dan melibatkan diri sama ada secara langsung atau tidak
langsung.Terima kasih tidak terhingga dan semoga segala bantuan dan pertolongan
yang diberikan akan diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T. yang Maha Pemurah lagi
Maha Pengasihani dengan rahmat dan keberkatan di dunia dan akhirat. Akhir sekali,
kemaafan jua dipohon atas segala kesilapan dan kekhilafan yang dilakukan. Salam
hormat dan ribuan terima kasih.
v
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti kerangka alternatif pelajar tingkatan
empat terhadap konsep asid dan bes. Kajian dilaksanakan secara kualitatif dengan
menggunakan reka bentuk deskriptif. Seramai seratus empat puluh orang pelajar
tingkatan empat dari daerah Alor gajah, Melaka telah dipilih secara rawak mudah di tiga
buah sekolah untuk menjadi responden. Instrumen kajian yang digunakan adalah set
ujian kefahaman (paper and pencil test) yang dibina untuk mengkaji kefahaman pelajar
terhadap konsep asid dan bes. Data kajian dianalisis dengan menggunakan statistik
deskriptif melibatkan kekerapan dan peratusan. Dapatan kajian menunjukkan berlaku
kerangka alternatif dalam kalangan pelajar dalam topik asid dan bes dalam konsep asas
asid dan bes, konsep skala pH dan konsep kekuatan asid dan bes. Implikasi kerangka
alternatif ini telah menghalang proses pembelajaran itu berlangsung dan seterusnya
pelajar tidak dapat menguasai konsep sains serta mengekang proses pembelajaran. Ini
menyebabkan pelajar cenderung untuk menghafal tanpa kefahaman. Dapatan ini
diharapkan dapat memberi gambaran yang jelas untuk memperbaiki strategi pengajaran
dan pembelajaran kimia dengan lebih berkesan pada masa yang akan datang.
Kesimpulannya, kerangka alternatif pelajar perlu dikenal pasti dan diperbetulkan bagi
mempertingkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kimia serta memberi
gambaran yang jelas mengenai sesuatu konsep yang dipelajari untuk memperbaiki
strategi pengajaran dan pembelajaran kimia dengan lebih berkesan pada masa yang
akan datang.
vi
ABSTRACT
The purpose of this research is to identify an alternative framework on the
concept of acids and bases for form four students. The research utilized qualitative
method using a descriptive design. A total of one hundred and forty-four students from
three secondary schools at Alor Gajah, Malacca were randomly selected as respondents.
A set of comprehension tests (paper and pencil test) was given as research instrument to
study students' understanding of the concept of acids and bases. The data were analyzed
by using descriptive statistics involving frequency and percentage. The study showed
that alternative framework occur among students on the topic of acids and bases in the
basic concepts of acids and bases, concept in pH scale and the concept in strength of
acids and bases. The implications of this alternative framework has hindered the process
of learning takes place, hence, students cannot master the scientific concepts. This lead
to rote learning. These findings would help to improve chemistry teaching and learning
strategies in the future. It is imperative that student’s alternative framework be
identified and corrected in order to upgrade the effectiveness of teaching and learning
process. Besides, it could also enhance the teaching and learning strategies for
chemistry in the future.
vii
SENARAI KANDUNGAN
BAB PERKARA MUKA
SURAT
Pengakuan Status Tesis
Pengesahan Penyelia
Judul i
Pengakuan ii
Dedikasi iii
Penghargaan iv
Abstrak v
Abstract vi
Senarai Kandungan vii
Senarai Jadual xii
Senarai Rajah xiii
Senarai Singkatan xiv
Senarai Lampiran xv
BAB 1 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan 1
1.2 Latar Belakang Masalah 4
1.2.1 Kesukaran Pelajar Dalam Konsep Asid dan Bes 5
viii
1.2.2 Punca-punca yang menyebabkan kerangka 6
alternatif pelajar tidak selari dengan
penguasaan konsep kimia.
1.2.2.1 Pengalaman yang telah sedia ada. 6
1.2.2.2 Kepercayaan bukan saintifik 7
1.2.2.3 Pemahaman dan pengaplikasiaan yang
berbeza 7
1.2.2.4 Kerangka Alternatif yang dikekalkan
sehingga peringkat dewasa. 8
1.2.3 Implikasi kerangka alternatif terhadap
pembelajaran dan pengajaran sains 8
1.3 Pernyataan Masalah 9
1.4 Objektif kajian 10
1.5 Persoalan Kajian 10
1.6 Skop dan Batasan Kajian 10
1.7 Kepentingan Kajian 11
1.7.1 Kepada Guru 11
1.7.2 Kepada Pelajar 12
1.8 Definisi Operasional 12
1.8.1 Kerangka Alternatif 13
1.8.2 Konsep 14
i. Konsep Asas Asid dan Bes 14
ii. Konsep skala pH 14
iii. Konsep Kekuatan Asid dan alkali 14
1.9 Penutup 15
ix
BAB 2 TINJAUAN LITERATUR
2.1 Pendahuluan 16
2.2 Konsep Asas Asid dan Bes 17
2.3 Konsep Skala pH 18
2.4 Konsep Kekuatan Asid dan Bes 19
2.5 Kajian Lepas Berkaitan Dengan Kerangka
Alternatif Pelajar Terhadap Konsep Asid dan Bes 19
2.5.1 Konsep Asas Asid dan Bes 20
2.5.2 Konsep Skala pH 22
2.5.3 Konsep Kekuatan Asid dan Bes 23
2.5 Penutup 25
BAB 3 METODOLOGI
3.1 Pendahuluan 26
3.2 Reka Bentuk Kajian 26
3.3 Tempat Kajian 27
3.4 Populasi Dan Sampel Kajian 27
3.5 Instrumen Kajian 29
3.5.1 Jangka Masa Kajian 31
3.6 Kajian Rintis 31
3.7 Prosedur Kajian 32
3.8 Kaedah Penganalisisan Data 33
3.8.1 Statistik Deskriptif 33
3.9 Penutup 34
x
BAB 4 KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN
4.1 Pengenalan 35
4.2 Latar Belakang Responden 36
4.2.1 Latar Belakang Responden Mengikut
Jantina 36
4.2.3 Latar Belakang Responden Mengikut
Bangsa 37
4.2.3 Latar Belakang Responden Mengikut
Gred Sains PMR 37
4.2.4 Latar Belakang Responden Mengikut
Pencapaian Peperiksaan Pertengahan
Tahun bagi Matapelajaran Kimia 38
4.3 Bahagian B : Analisis Deskriptif 39
4.4 Analisis berdasarkan Persoalan Kajian 40
4.4.1 Kerangka alternatif Pelajar Terhadap
Konsep Asas Asid-Bes 40
4.4.2 Kerangka alternatif Pelajar Terhadap
Konsep skala pH 45
4.4.3 Kerangka alternatif Pelajar Terhadap
Konsep kekuatan asid dan bes 48
4.5 Penutup 52
xi
BAB 5 RUMUSAN, IMPLIKASI DAN CADANGAN
5.1 Pengenalan 53
5.2 Rumusan Kajian 54
5.3 Kerangka Alternatif Pelajar Dalam Konsep Asas
Asid Dan Bes 54
5.4 Kerangka Alternatif Pelajar Dalam Konsep Skala pH 55
5.5 Kerangka alternatif pelajar Dalam Konsep Kekuatan
Asid Dan Bes 56
5.6 Implikasi Kajian 58
5.6.1 Proses Pengajaran dan Pembelajaran 58
5.6.2 Pembentukan kurikulum 60
5.7 Cadangan Kajian Lanjutan 62
5.8 Penutup 63
RUJUKAN 64
Lampiran A-E 72-91
xii
SENARAI JADUAL
NO.JADUAL PERKARA MUKA
SURAT
3.1 Jumlah Populasi dan Sampel Kajian Bagi pelajar 28
3.2 Pengagihan item bahagian B dan C, bagi topik asid
dan bes 30
4.1 Taburan kekerapan dan peratusan pelajar mengikut
Jantina 36
4.2 Taburan kekerapan dan peratusan pelajar mengikut bangsa 37
4.3 Taburan kekerapan dan peratusan pelajar mengikut
pencapaian gred pelajar dalam Penilaian Menengah Rendah
(PMR) untuk mata pelajaran sains 38
4.4 Kekerapan dan peratusan pelajar mengikut pencapaian
peperiksaan pertengahan tahun bagi mata pelajaran kimia 39
4.5 Jadual kekerapan dan peratusan bagi Kerangka alternatif 41
Pelajar Terhadap Konsep Asas Asid Dan Bes
4.6 Jadual kekerapan dan peratusan bagi Kerangka alternatif
Pelajar Terhadap Konsep Skala pH 45
4.7 Jadual kekerapan dan peratusan bagi Kerangka alternatif
Pelajar Terhadap Konsep Kekuatan asid dan bes 49
xiii
SENARAI RAJAH
NO.RAJAH TAJUK MUKA SURAT
1.1 Tiga aras Pengkonsepan Kimia 4
xiv
SENARAI SINGKATAN
KBSM - Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
KBSR - Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
PMR - Penilaian Menengah Rendah
UTM - Universiti Teknologi Malaysia
EPRD - Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan
PSM - Projek Sarjana Muda
xv
SENARAI LAMPIRAN
LAMPIRAN TAJUK MUKA
SURAT
A Set Ujian Kefahaman Asid dan Bes 73
B Surat Kebenaran EPRD 84
C Surat Kebenaran Jabatan Pelajaran
Melaka 86
D Surat Pengesahan Diri Pelajar 88
E Surat Pengesahan Instrumen Kajian 90
BAB 1
PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Malaysia merupakan Negara membangun yang sedang berusaha menjadi negara
maju menjelang tahun 2020. Untuk mencapai hasrat ini negara memerlukan ilmu sains
dan teknologi sebagai langkah awal dalam merealisasikan matlamat tersebut.
Masyarakat bukan sahaja berpengetahuan dan berpendidikan tinggi dari segi semua
bidang malahan hendaklah memandang sains itu sebagai teras kepada kehidupan. Sains
merangkumi pengetahuan, kemahiran, sikap saintifik dan nilai saintifik. Gabungan
daripada elemen-elemen ini sangat penting untuk menjamin mutu pendidikan sains.
Sebagai satu bidang ilmu pengetahuan, sains membekalkan satu rangka konsep yang
membolehkan pelajar memahami alam sekeliling mereka. Ilmu pengetahuan sains ini
menjadi lebih bermakna kepada pelajar apabila mereka dibimbing untuk
menghubungkaitkan fakta dengan konsep, membuat pengitlakan, mengaitkan
pembelajaran baru dengan ilmu yang sedia ada serta mengaplikasikan ilmu ini dalam
kehidupan harian. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran sains, konsep merupakan
asas yang perlu difahami, dibina dan dikuasai oleh para pelajar. Konsep sains itu
terbentuk dari diri pelajar itu sendiri melalui pengalaman mereka sebagai pelajar dan
melalui interaksi terhadap alam persekitarannya yang membantu pelajar untuk lebih
menguasai konsep sains itu sendiri.
2
Subjek sains merupakan pelajaran teras di sekolah menengah di Malaysia.
Justeru itu, mata pelajaran ini sangat penting dan perlu dikuasai oleh semua pelajar.
Walau bagaimanapun ramai pelajar yang mengganggap sains sebagai satu mata
pelajaran yang susah dan sukar untuk memahaminya. Ini kerana bidang sains
merangkumi lima bidang utama iaitu menyiasat alam kehidupan, menyiasat alam fizikal,
menyiasat alam bahan, bumi dan alam semesta serta dunia teknologi. Topik ini dianggap
susah dan sukar difahami kerana kebanyakan konsepnya bersifat abstrak dan lebih
daripada pemerhatian kita. Pendidikan sains di Malaysia yang dilaksanakan melalui
KBSR dan KBSM mempunyai matlamat membina masyarakat saintifik yang progresif.
Sesuai dengan sifat sains sebagai satu proses, penekanan kepada kaedah pengajaran
sains adalah sangat penting. Pendidikan sains di sekolah Malaysia telah melalui proses
perubahan yang pesat sejak mencapai kemerdekaan. Bermula daripada kurikulum sains
yang berbentuk tradisi, pendidikan sains di sekolah menengah atas telah berubah kepada
kurikulum sains moden (1972) dan kurikulum sains KBSM (1989). Kurikulum sains
KBSM memberi penekanan kepada pemerolehan pengetahuan, penguasaan kemahiran
dan penerapan nilai secara bersepadu (Abu Hassan, 2001).
Selaras dengan matlamat Malaysia yang sedang melangkah ke arah status negara
maju, konteks penggunaan sains dalam kehidupan harian semakin ditekankan sepanjang
perkembangan kurikulum sains. Negara kita perlu mewujudkan masyarakat yang
berilmu, saintifik dan progresif serta berkebolehan untuk mengurus alam dan sumbernya
secara optimum dan bertanggungjawab. Bagi merealisasikan pembinaan insan seperti
yang dihasratkan, sains KBSM telah disemak semula dan KBSM yang terbaru telah
diperkenalkan pada tahun 2002. Kurikulum ini berfokus kepada pembelajaran sains yang
berfikrah dan mengoptimumkan hasil pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum,
2001). Dengan demikian, kurikulum sains yang disemak semula memerlukan strategi
pengajaran dan pembelajaran (p&p) yang lebih proaktif dan efektif seperti pembelajaran
secara kontekstual, masteri dan pelbagai kepintaran (Pusat Perkembangan Kurikulum,
2001).
3
Salah satu mata pelajaran dalam sains yang sangat penting ialah mata pelajaran
kimia. Kimia KBSM telah dirancang bagi membolehkan pelajar memahami bidang
kimia dengan lebih mendalam dalam aspek teori, konsep dan aplikasi dalam kehidupan
seharian. Melalui pendidikan kimia, pelajar dilatih untuk memahami kejadian alam
persekitaran dan kesejahteraan manusia yang bersesuaian dengan falsafah pendidikan
kebangsaan. Banyak kajian menunjukkan mata pelajaran kimia seringkali dianggap
sukar dalam halangan pelajar seperti mewujudkan pelbagai kerangka alternatif dalam
usaha mereka untuk menguasai konsep-konsep sains tersebut (Johari, 2009). Seperti
yang ditunjukkan dalam Jadual 1.1.
Jadual 1.1: Kerangka Alternatif Pelajar dalam Asid dan Bes.
Konsep Kerangka Alternatif
1 Kebanyakan gas hidrogen dihasilkan oleh asid kuat kerana asid
kuat mengandungi lebih banyak ikatan hidrogen berbanding asid
lemah.
2 Asid lemah tidak menunjukkan sifatnya seperti asid kuat.
3 pH merupakan ukuran keasidan tetapi bukan kebesan.
4 Bes tidak mengandungi hidrogen.
5 Apabila asid dicampurkan dengan bes, tindak balas kimia tidak
berlaku dan hanya membentuk tindak balas fizik.
(Sumber: Nakhleh dan Krajcik, 1993)
Jelaslah wujud pelbagai kerangka alternatif dalam konsep asid dan bes yang
mampu menghalang proses pengajaran dan pembelajaran kimia. Justeru, satu kajian
secara terperinci mengenai kerangka alternatif pelajar mengenai konsep asid dan bes
perlu dilaksanakan.
4
1.2 Latar Belakang Masalah
Menurut Kean (1994) pembelajaran kimia adalah merupakan suatu subjek yang
abstrak dan ia memerlukan pelajar membuat imaginasi sendiri lebih daripada
pengalaman pelajar itu sendiri. Konsep-konsep asas bagi mata pelajaran sains (kimia)
perlulah dikuasai oleh setiap pelajar bagi memantapkan prinsip dan hukum-hukum sains
yang lebih kompleks. Penguasaan konsep ini tidak dapat dibina dengan mudah kerana
ianya memerlukan penguasaan yang tepat pada ketiga-tiga aras pengkonsepsian iaitu
aras makroskopik, mikroskopik dan persimbolan kerana setiap subkonsep ini adalah
saling berkaitan dan mempengaruhi antara satu sama yang lain. Makroskopik merupakan
aras yang memerlukan pelajar dapat menyatakan sesuatu fenomena yang wujud iaitu
perkara yang dapat dilihat, dihidu dan disentuh, manakala aras mikroskopik merupakan
aras yang memerlukan pelajar dapat menyatakan sesuatu fenomena yang seni dan tidah
mudah dilihat dengan mata kasar. Persimbolan pula merujuk kepada suatu simbol
sebagai representasi pengetahuan yang dapat membantu untuk lebih memahami tentang
sesuatu fenomena. Aras pengkosepsian ini adalah seperti yang ditunjukkan dalam Rajah
1.1.
Makroskopik
Mikroskopik Persimbolan
Rajah 1.1: Tiga aras Pengkonsepan Kimia
5
1.2.1 Kesukaran Pelajar Mendalami Konsep Asid dan Bes
Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan empat topik yang sukar difahami
oleh pelajar adalah di dalam mata pelajaran kimia adalah tindak balas stoikiometri,
keseimbangan kimia, konsep mol serta pengoksidaan dan penurunan. Justeru itu, ramai
di kalangan pelajar menghadapi masalah dalam mempelajari konsep asid-bes (Garnett et
al., 1995; Nakhlek & Krajcik, 1993). Permasalahan dan Kekeliruan yang ditunjukkan
oleh pelajar ini menunjukkan tahap penguasaan pelajar itu lemah dan perlu diperbaiki
sebelum ianya menjadi satu isu yang tidak dapat dibendung dan seterusnya menjadi satu
tekanan dan permasalahan bagi diri pelajar tersebut. Terdapat beberapa konsep di dalam
asid-bes yang sering menimbulkan kekeliruan kepada pelajar termasuk takrifan asid-bes,
peranan air dalam pembentukan asid-bes, kepekatan asid dan bes serta konsep
peneutralan. Kajian yang telah dijalankan oleh Cros et al. (1986) ini adalah mengenai
konsep asid dan bes, yang melibatkan 400 orang pelajar universiti di Perancis.
Kebanyakan pelajar di sana hanya mampu untuk menyatakan lebih daripada dua contoh
bagi asid berbanding dengan contoh bagi bes. Walau bagaimana sekalipun, sesetengah
pelajar menganggap bahawa bes adalah bahan kimia yang dapat menghasilkan asid dan
semua asid adalah mengakis serta bahaya kepada manusia. Topik asid-bes ini dikaji
dalam kajian ini kerana pemahaman dan tahap kekeliruan yang ditunjukkan oleh pelajar
terhadap konsep asas asid-bes ini akan mempengaruhi pembelajaran mereka di peringkat
yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, didapati kebanyakan pelajar masih menghadapi
kesukaran untuk menggunakan idea asas kimia yang dipelajari di bilik darjah ke dalam
kehidupan harian mereka (Costa et al., 2000; Drechsier & Schmidt, 2005). Oleh yang
demikian, kajian yang bertujuan untuk mengenal pasti kefahaman dan penggunaan
konsep asid-bes dalam kehidupan harian di kalangan pelajar ini adalah sangat diperlukan
serta dijalankan sebagai tambahan untuk menyedari mengenai kekurangan serta
kelemahan diri dan mempelajari mengenai konsep itu dengan lebih bermakna.
Konsep merupakan asas yang perlu difahami, dibina dan dikuasai oleh pelajar di
dalam proses pengajaran dan pembelajaran kimia (sains). Konsep asas yang telah
dikuasai ini akan menggalakkan para pelajar untuk mempelajari sesuatu konsep yang
6
baru dengan lebih mudah (Aziz dan Fauziah, 1999). Kesudahannya, banyak kritikan
yang telah diterima yang menyatakan bahawa ramai pelajar tidak dapat untuk menguasai
konsep asas yang diperlukan malahan lebih ramai di antara pelajar yang hanya
menghafal sesuatu konsep yang telah dipelajari tanpa memahami apa yang mereka
perkatakan (Alias, 1998). Seseorang pelajar itu dapat menyelesaikan sebarang
permasalahan dengan lebih berkesan sekiranya dia dapat menguasai takrifan berhubung
apa yang telah dipelajari dan mengaitkan perkara itu dengan apa yang sudah diketahui
(Hesse dan Anderson, 1992). Justeru itu, tanpa pembinaan konsep yang sebenar,
perbincangan di antara guru dan pelajar menjadi terhad untuk memperolehi mengenai
sesuatu fakta dan penjelasan yang mendalam merujuk kepada makroskopik dalam
persekitaran (Sharifah Alwiah, 1987).
1.2.2 Punca-Punca yang Menyebabkan Kerangka Alternatif Pelajar Tidak Selari
dengan Penguasaan Konsep Kimia
Menurut Abu Hassan (2003), kebanyakan pelajar menghadapi pelbagai masalah
di dalam sesuatu konsep yang dipelajari dan sukar untuk memahami konsep dan
mengaplikasikan kemahiran yang mereka pelajari di dalam bilik darjah. Mereka gagal
menunjukkan perkaitan antara konsep yang telah sedia ada dalam minda mereka dengan
mempunyai pengetahuan mengenai konsep tersebut. Terdapat pelbagai faktor yang
mempengaruhi kefahaman konsep pelajar antaranya:
1.2.2.1 Pengalaman Sedia Ada
Menurut Driver dan Erickson (1983), Fensham (1984), Osborne dan Freyberg
(1985), menunjukkan kanak-kanak kebiasaanya membina kefahaman mengenai
fenomena alam semula jadi daripada pengalaman harian yang telah mereka lalui.
Melalui pengalaman ini kanak-kanak telah membina satu jangkaan dan kefahaman atau
7
pemikiran intuitif bagi menjelaskan sebab sesuatu fenomena itu berlaku. Ini disebabkan
oleh idea awal yang diperoleh daripada pengalaman harian mereka.
Punca kepada kafahaman kerangka alternatif ini jarang diberikan perhatian oleh
guru dan menyebabkan idea yang tidak tepat berkekalan, bahasa harian yang tidak dapat
dibezakan dengan bahasa sains dan masalah perhubungan dengan pendekatan yang
digunakan dalam pengajaran. Masalah akan timbul sekiranya konsep-konsep yang
difahami oleh kanak-kanak bercanggah dengan penjelasan saintifik. Salah tanggapan ini
menjadi penghalang dan menyukarkan kanak-kanak bagi memahami konsep yang diajar
dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
1.2.2.2 Kepercayaan Bukan Saintifik
Kepercayaan bukan saintifik ini didapati daripada sumber-sumber ilmu lain yang
bukan di dapati dari buku atau penulisan. Tetapi ianya datang dari pemikiran manusia
yang kadang kala tidak boleh diterima akal. Sebagai contoh, kanak-kanak telah diasah
mindanya semenjak mereka masih bayi lagi dan menganggap bahawa asid itu akan
mengakis tetapi mereka masih makan buah limau. Buah limau adalah asid, yang mana
mereka keliru secara saintifiknya buah limau itu mengakis atau boleh di makan.
1.2.2.3 Pemahaman dan pengaplikasian yang berbeza
Di United Kingdom, kajian yang dilakukan oleh Ramsden (1992) terhadap
pelajar sekolah rendah mendapati ramai pelajar hanya mampu menyatakan takrifan dan
maksud bagi konsep sains tetapi mereka seolah-olah mengasingkan ilmu sains yang
dipelajari di sekolah daripada dunia di luar kelas. Akibatnya, pelajar tidak dapat
mengaplikasikan konsep sains yang dipelajari dengan baik ketika menyelesaikan
masalah kehidupan harian. Masalah yang sama didapati juga berlaku di Amerika
Syarikat dan Jepun, di mana pelajar tidak dapat menghubungkaitkan pembelajaran sains
8
dengan kehidupan harian (Kumano, 1997). Di Amerika Syarikat, terdapat pelajar yang
berpendapat bahawa pembelajaran mereka tidak membawa sebarangan makna, malahan
tidak dapat menyelesaikan masalah harian. Manakala, di Jepun hanya sebilangan kecil
pelajar yang sedar akan kepentingan ilmu sains dalam menyelesaikan masalah harian
(Kumano, 1997). Perkara yang sama juga berlaku di kalangan guru.
1.2.3 Implikasi Kerangka Alternatif Terhadap Pembelajaran Dan Pengajaran
Sains
Kerangka alternatif ini memberikan implikasi yang besar di dalam pembelajaran
dan pengajaran sains kerana ianya telah menghalang proses pembelajaran itu
berlangsung dan seterusnya pelajar tidak dapat menguasai konsep sains dengan baik.
Justeru itu, kerangka alternatif ini telah mengekang proses pembelajaran dan seterusnya
pelajar cenderung untuk menghafal sesuatu konsep yang dipelajari tanpa mendapat
kefahaman yang jelas mengenai konsep tersebut. Pelajar yang dapat menangani
kerangka alternatif yang terdapat di dalam dirinya dapat memahami dengan jelas
bagaimana konsep sains di dalam asid dan bes yang telah dipelajarinya. Akhirnya
kerangka alternatif yang dikekalkan sehingga peringkat dewasa sebagaimana yang
dibuktikan dalam kajian yang dijalankan oleh Abd-El-Khalick dan BouJaoude (1997) di
Lebanon, apabila guru disuruh menyatakan bahan yang biasa dilihat dalam kehidupan
yang mengandungi asid, terdapat guru yang memberi contoh limau dengan menyatakan
bahawa limau mengandungi asid asetik. Sebenarnya, cuka yang mengandungi asid asetik
manakala limau mengandungi asid sitrik. Daripada kajian-kajian lepasan, didapati ramai
di kalangan pelajar bermasalah untuk menguasai, seterusnya mengaplikasi konsep asas
kimia (sains) dalam kehidupan harian. Dalam kajian ini adalah mengenal pasti kerangka
alternatif pelajar yang wujud di dalam topik asid dan bes.
9
1.3 Pernyataan Masalah
Penguasaan terhadap konsep kimia adalah penting kerana konsep dianggap
sebagai pembentukan asas ‘struktur’ kandungan dalam proses pembelajaran (Hoover,
1997). Tanpa menguasai konsep, semua pembelajaran akan menjadi hafalan dan tidak
lagi bermakna (Hanafi, 2004). Penguasaan konsep asas kimia seperti konsep asid-bes
adalah penting dalam pembinaan minda pelajar kerana ia berkaitan dengan situasi
konteks alam yang nyata. Penguasaan konsep asas asid-bes yang lemah, misalnya,
menyebabkan pelajar gagal menguasai konsep kimia yang lebih kompleks (Nakhleh,
1992). Banyak kajian menjelaskan permasalahan ini wujud disebabkan kerangka
alternatif yang mengekang pembinaan konsep sains dengan tepat. Walaupun ada pelajar
yang berkebolehan mengaplikasi konsep kimia yang dipelajari, namun tidak semua
pelajar dapat mengekalkan konsep tersebut apabila diuji pada situasi yang berbeza.
Menyedari wujudnya permasalahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kimia
khususnya konsep asid dan bes akibat kerangka alternatif, di samping kurangnya kajian
mengenai permasalahan ini di Malaysia, maka kajian mengenainya perlu dijalankan.
Dalam era globalisasi seperti masa kini yang banyak maklumat kita boleh dapati dari
laman-laman web pendidikan, masih tidak dapat membantu para pelajar bagi menangani
masalah yang timbul akibat dari kerangka alternatif ini. Sehubungan itu, kajian ini perlu
dijalankan untuk mengenal pasti kerangka alternatif pelajar yang wujud di dalam tiga
konsep utama di dalam asid dan bes iaitu konsep asas asid dan bes, konsep skala pH dan
konsep kekuatan asid dan bes.
10
1.4 Objektif Kajian
Terdapat tiga objektif utama yang dikemukakan di dalam kajian ini untuk
mengkaji kefahaman pelajar mengenai topik asid dan bes iaitu:
i. Mengenal pasti kerangka alternatif pelajar terhadap konsep asas asid dan bes.
ii. Mengenal pasti kerangka alternatif pelajar terhadap konsep skala pH.
iii. Mengenal pasti kerangka alternatif pelajar terhadap konsep kekuatan asid dan
bes.
1.5 Persoalan Kajian
Melalui kajian ini, beberapa persoalan telah dikemukakan seperti yang berikut:
i. Sejauh manakah kerangka alternatif pelajar di dalam konsep asas asid dan bes ?
ii. Sejauh manakah kerangka alternatif pelajar di dalam konsep skala pH ?
iii. Sejauh manakah kerangka alternatif pelajar di dalam konsep kekuatan asid dan
bes ?