Upload
vulien
View
234
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
AL-BASIRAH
Volume 6, No. 1, pp: 79-96, December 2016
79
Harta Sepencarian vs Harta Perkahwinan dalam Perundangan
Sivil: Satu Sorotan Ringkas
Mohd Norhusairi Mat Hussin1
Mohd Hafiz Jamaludin2
ABSTRAK
Harta sepencarian adalah instrumen bagi pembahagian harta suami isteri
sekiranya berlaku keadaan yang tidak dijangka di dalam sesebuah
perkahwinan. Harta sepencarian boleh dianggap sebagai amalan adat
masyarakat di Malaysia dan juga masyarakat-masyarakat lain di kepulauan
Nusantara. Amalan adat ini telah mendapat pengiktirafan dari sudut
undang-undang di mana ia telah didengar di mahkamah sebelum negara
mencapai kemerdekaan daripada British. Harta Sepencarian di Malaysia
telah ditadbir di bawah Undang-Undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa
di negeri-negeri seluruh Malaysia. Oleh itu, Harta Sepencarian hanya
terpakai kepada masyarakat Islam di negara ini. Bagi masyarakat bukan
Islam pula, pembahagian harta suami isteri dikenali sebagai harta
perkahwinan dan pihak-pihak yang terlibat perlu mengemukakan tuntutan di
mahkamah sivil. Bagi harta perkahwinan ini, ia ditadbir oleh Akta
Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan
Akta Perempuan Bersuami 1957. Justeru itu, penulisan artikel ini bertujuan
untuk mengkaji persamaan dan perbezaan yang wujud dalam amalan
pembahagian harta sepencarian harta dan pembahagian harta perkahwinan
di Malaysia.
Kata kunci: Harta Sepencarian, Harta Perkahwinan, Mahkamah Syariah,
Mahkamah Sivil, Undang-Undang Islam
PENDAHULUAN
Perkahwinan merupakan satu fitrah seluruh umat manusia dalam melengkapi kehidupan
mereka di muka bumi ini. Perkahwinan bolehlah ditafsirkan sebagai suatu kontrak yang
dilangsungkan antara lelaki yang layak dengan wanita yang layak di hadapan beberapa saksi,
1 Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Lembah Pantai 50603,
WP Kuala Lumpur, [email protected]. 2 Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Lembah Pantai 50603,
WP Kuala Lumpur, [email protected].
AL-BASIRAH
Journal Homepage: http://e-journal.um.edu.my/publish/albasirah/ البصرية
Mohd Norhusairi & Mohd Hafiz
80
untuk memperaku bahawa mereka adalah suami isteri.3 Perkahwinan akan menghasilkan
kesinambungan zuriat, ketenangan hati serta kehidupan berkeluarga yang seterusnya akan
membina sebuah masyarakat yang mempunyai nilai dan tamadunnya yang tersendiri. Sering
diungkapkan bahawa perkahwinan merupakan satu bentuk perkongsian pasangan sama ada
perkongsian dalam bentuk fizikal mahupun perkongsian masalah, beban, tanggungjawab dan
sebagainya. Umum mengetahui bahawa perkahwinan juga akan menghasilkan harta dengan
wujudnya perkongsian usaha pihak-pihak yang berkahwin semasa perkahwinan tersebut
berlangsung. Harta-harta yang dikongsi dan dimanfaatkan bersama ini tidak akan menjadi isu
sekiranya pasangan tersebut kekal sehingga ke hujung usia mereka. Konflik kepada pemilikan
dan kepunyaan harta-harta ini akan wujud apabila wujudnya perceraian sama ada ada
perceraian hidup mahupun perceraian mati yang memerlukan penyelesaian kepada pertikaian
terhadap sesuatu harta itu. Oleh kerana itulah wujudnya amalan harta sepencarian yang
digunakan khusus untuk harta perkahwinan orang Islam dan harta perkahwinan (matrimonial
property) bagi orang-orang bukan Islam telah wujud dan disusun perundangan yang berkaitan
dengannya bagi menjamin hak pihak-pihak yang berkaitan. Terdapat persamaan dan perbezaan
di antara kedua-dua jenis harta ini dalam konteks sejarah, pengamalan dan kerangka
perundangan di Malaysia pada hari ini.
DEFINISI HARTA SEPENCARIAN
Kamus Dewan telah mendefinisikan harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh daripada usaha suami dan isteri4, sementara pelbagai takrifan telah diberikan oleh para sarjana undang-
undang dalam mendefinisikan harta sepencarian. Sarjana yang memberikan takrif ini
termasuklah para hakim Mahkamah yang mengendalikan kes-kes harta sepencarian, para ahli
akademik dan sebagainya. MB Hooker yang merupakan antara sarjana terawal Barat yang
menulis tentang undang-undang keluarga di Malaysia telah mentakrifkan harta sepencarian
sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri dalam masa perkahwinan.5 Ter Haar
seorang sarjana Barat pula mentakrifkan harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh oleh
suami dan isteri sebagai milik bersama dalam masa perkahwinan.6 Dr Soekanto pula telah
mendefinisikan harta sepencarian sebagai harta yang dibawa ke dalam perkahwinan kerana
usaha bersama dari suami dan isteri.7
Para sarjana undang-undang tempatan juga telah memberikan takrif yang hampir sama
kepada harta sepencarian, iaitu harta yang dikumpulkan sepanjang berlangsungnya tempoh
perkahwinan. Sebagai contoh Mohd Akhir Hj. Yaakob mendefinisikan harta sepencarian
sebagai harta yang diperolehi dalam masa perkahwinan seorang suami dengan isterinya.8
Suwaid Tapah telah mendefinisikan harta sepencarian sebagai harta carian bersama dengan
menegaskan bahawa elemen yang sangat penting dalam membincangkan harta sepencarian ini
ialah usaha bersama suami isteri dalam memperoleh harta-harta yang dipertikaikan itu.9 Mimi
Kamariah mentakrifkan harta sepencarian sebagai harta yang diperolehi hasil sumbangan
3 Muhammad Abdul Rauf, The Islamic View of Women and the Family, terj. Mahani Che Ibrahim (Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1977), 31. 4 Kamus Dewan, ed. Ke-3 (Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000) 5 M.B. Hooker, Personal Laws of Malaysia, (Oxford University Press, 1976), 77. 6 Pendapat beliau ini dirujuk oleh S.H SurojoWignjodipura, Pengantar dan Asas-Asas Hukum Adat, (Bandung:
Penerbit Alumni, 1971), 203. 7 Kamus Hukum Adat, (Bandung:Penerbit Alumni, 1982), 84. 8 Mohd Akhir Hj. Yaacob, “Harta Sepencarian,” Jurnal Hukum 5:1 (1984): 36. 9 Suwaid bin Tapah, “Konsep dan Amalan Harta Sepencarian Orang-Orang Islam di Malaysia,” (Tesis PhD
Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera dan Sosial, Universiti Malaya, 1996), 31.
AL-BASIRAH
Volume 6, No. 1, pp: 79-96, December 2016
81
bersama semasa tempoh perkahwinan.10 Mat Saad Abdul Rahman pula mentakrifkan harta
sepencarian sebagai harta yang diperolehi bersama oleh sepasang suami isteri setelah mereka
berumah tangga.11
Di kalangan para hakim pula, harta sepencarian umumnya ditakrifkan dengan
membawa pengertian yang tidak terlalu berbeza dengan takrifan yang dikemukakan oleh para
sarjana. Hakim Briggs di dalam kes Hajah Lijah binti Jamal lwn Fatimah binti Mat Diah pada
tahun 1950 telah mendefinisikan harta sepencarian sebagai “harta yang diperoleh dalam masa
mereka berkahwin sebagai suami isteri, hasil daripada daya mereka atau melalui usaha mereka
bersama”.12 Hakim E.N Taylor dalam kes Re Elang, Re Kulup Degor dan Lebar V Niat telah
menyatakan bahawa “ Di kampung-kampung di Perak, harta yang diperolehi dalam masa
perkahwinan adalah dibahagikan di antara pihak-pihak semasa perceraian atau ketika kematian
mana-mana pihak. Jika perempuan turut serta bercucuk tanam dia boleh menerima ½ daripada
harta dan jika tidak ia menerima bahagian yang lebih kecil.13 Secara tidak langsung, hakim
E.N. Taylor telah mentafsirkan harta sepencarian adalah harta yang dikumpulkan sepanjang
tempoh perkahwinan berkuat kuasa serta boleh dituntut semasa berlakunya perceraian
pasangan tersebut atau apabila berlakunya kematian salah seorang daripada pasangan tersebut.
Raja Azlan Shah pula semasa membuat penghakiman kes Roberts lwn Umi Kalthom
telah mendefinisikan harta sepencarian sebagai harta yang diperolehi dalam masa perkahwinan
seorang suami dengan isterinya, hasil daripada sumber-sumber atau dari usaha mereka
bersama.14 Hakim-hakim Mahkamah Syariah pula biasanya membuat tafsiran harta
sepencarian mengikut peruntukan unang-undang dalam enakmen negeri masing-masing.
Walaubagaimanapun harus diketahui bahawa, selepas pindaan kepada perkara 121 (1A)
Perlembagaan Persekutuan, kes harta sepencarian boleh dibicarakan di kedua-dua mahkamah
sama ada Mahkamah Syariah ataupun Mahkamah Sivil. Ini kerana, sebelum tahun 1988, kedua-
dua Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah berbidang kuasa untuk mendengar pertikaian
mengenai harta sepencarian orang Islam.15 Oleh kerana itulah beberapa kes harta sepencarian
seperti Kes Ramah lwn Laton, Roberts lwn Umi Kalthom, Boto’ lwn Jaafar, yang menjadi
duluan mengikat dalam pembahagian harta perkahwinan di Mahkamah Sivil. Selepas daripada
pindaan kepada perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, barulah hak eksklusif diberikan
kepada Mahkamah Syariah dalam membicarakan kes-kes harta sepencarian orang-orang
Islam. Setelah pindaan dan penambahbaikan dilaksanakan terhadap Undang-Undang Keluarga
Islam di Malaysia, maka takrifan harta sepencarian telah pun dimasukkan ke dalam undang-
undang ini.
Sebagaimana yang telah diketahui bahawa harta sepencarian merupakan salah satu
daripada perkara yang berada di bawah bidang kuasa agama negeri-negeri yang berada di
bawah senarai 2, senarai negeri. Pada masa kini, seluruh negeri di Malaysia telah
memperuntukkan secara jelas berkaitan dengan harta sepencarian di dalam enakmen negeri
masing-masing. Oleh yang demikian, enakmen negeri-negeri telah member takrifan yang jelas
terhadap harta sepencarian ini. Kebanyakan negeri-negeri telah menta’rifkan harta sepencarian
di dalam undang undang keluarga Islam masing-masing. Di Negeri Kelantan, Enakmen
10 Mimi Kamariah Abdul Majid, Family Law In Malaysia, (Kuala Lumpur: Malayan Law Journal, 1999), 366. 11 Mat Saad Abdul Rahman, Undang-Undang Keluarga Islam-Aturan Perkahwinan: Suatu Pendekatan
Berdasarkan Amalan Semasa, (Petaling Jaya: Intel Media Publication, 2007), 259. 12 Lihat keputusan dalam kes Hajjah Lijah bt Jamal V Fatimah bt Mat Diah [1950] MLJ 63; Infra, Lihat juga
dalam Jurnal Hukum (1981-1982), Jld II, Bhgn I & II, 84. 13 E.N.Taylor, “Malay Family Law”, Journal of the Royal Asiatic Society, Malayan Branch, pt. 1 (1937), 41. 14 Lihat dalam Roberts lwn Umi Kalthom [1966] 1 MLJ 163 dan juga lihat dalam (1981) 2 JH 82. 15 Kamar Ainiah Kamaruzaman, “Pemakaian Hukum Harta Sepencarian Dalam Mahkamah,” dalam Undang-
Undang Harta dan Amanah, ed. Akmal Hidayah Halim et al. (Gombak: Jabatan Undang-Undang Islam,
Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa, 2009), 25.
Mohd Norhusairi & Mohd Hafiz
82
Undang-Undang Keluarga Islam telah mentafsirkan harta sepencarian adalah harta yang
diperolehi secara bersama oleh suami atau isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut
syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh hukum syara’.16 Sementara itu Enakmen Pentadbiran
Mahkamah Syariah Negeri Kelantan pula telah mentafsirkan “harta” sebagai semua harta alih
dan harta tak alih termasuk wang, kepentingan, aset dan hak-hak kepunyaan yang lain. Istilah
“Sepencarian” pula ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi suami dan isteri dari usaha modal
bersama oleh Enakmen yang sama.17 Di Johor,18 Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Sabah,
Terengganu dan Wilayah-Wilayah Persekutuan, harta sepencarian ditafsirkan sebagai “harta
yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat
yang ditentukan oleh hukum syara’.
Oleh yang demikian, hakim-hakim di Mahkamah Syariah di Malaysia akan
menggunakan tafsiran harta sepencarian sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam akta
atau enakmen negeri masing-masing semasa membuat penghakiman bagi kes-kes harta
sepencarian ini.Secara umumnya, takrifan harta sepencarian yang dikanunkan di dalam
undang-undang sama ada akta atau enakmen negeri tidaklah membawa perbezaan maksud yang
ketara. Perbezaan ini wujud mungkin kerana konsep harta sepencarian ini tidak terdapat di
dalam kitab-kitab turath Islam serta tidak dimuktamadkan melalui nas yang qati’e. Oleh yang
demikian, negeri-negeri berhak menggubal peruntukan serta memberi pentafsiran masing-
masing di dalam harta sepencarian asalkan ianya tidak mengubah maksud asal harta
sepencarian ini diperundangkan.
Secara umumnya, harta sepencarian itu mestilah merangkumi beberapa elemen perolehan
harta sesebuah pasangan tersebut iaitu :
Harta tersebut diperolehi semasa berlangsungnya tempoh perkahwinan sesebuah
pasangan. Ini bermakna harta pusaka dan harta yang diperolehi sebelum daripada perkahwinan
tidak dianggap sebagai harta sepencarian;
harta yang diperolehi sebelum daripada perkahwinan, tetapi harta tersebut dapat
dikembangkan di dalam tempoh perkahwinan sesebuah pasangan adalah dianggap sebagai
harta sepencarian;
wujudnya sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada suami atau
isteri dalam memperolehi harta tersebut.
HARTA SEPENCARIAN DALAM MASYARAKAT MELAYU MALAYSIA19
Perbincangan berkaitan harta sepencarian di Malaysia biasanya akan berkisar kepada amalan
adat yang diamalkan dalam masyarakat Malaysia. Para sarjana yang membincangkan amalan
adat biasanya akan merujuk kepada adat perpatih dan adat temenggung.20 Ini kerana rujukan
16 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002. 17 Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan 1982. 18 Seksyen 2, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Johor 1990, Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam Negeri Melaka 1983, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Perlis 1991, Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pulau Pinang 1985, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Sabah
1992, Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak 1991, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Negeri Terengganu 1985, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. 19 Untuk memahami lebih lanjut berkaitan dengan adat, rujuk Abdullah Jumain Abu Samah “Adat Perpatih dan
Adat Temenggung-Suatu Rekonstruksi Teoritis Berdasarkan kepada Strukturalisma,” (Kertas kerja
dibentangkan di Seminar Sehari Adat Sebagai Budaya Warisan Bangsa, Jabatan Persuratan Melayu, Fakulti
Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 19 Disember 1987). 20 Suwaid Tapah, “Konsep dan Amalan Pembahagian Harta Sepencarian di Malaysia,” dalam Siri Isu-Isu
Mahkamah Syariah: Harta Sepencarian, Proseding Ex-Parte & Perintah Injuksi, ed. Tajul Aris Ahmad
Bustami et al. (Gombak: Pusat Undang-Undang,Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,UIA, 2003), 57.
AL-BASIRAH
Volume 6, No. 1, pp: 79-96, December 2016
83
berkaitan harta sepencarian di Malaysia biasanya dibuat kepada kedua-dua adat ini meskipun
pada hakikatnya suku kaum lain iaitu peribumi (yang bukan dari keturunan masyarakat
Melayu) juga secara kebetulan memakai adat yang sama.21 Apabila kita meninjau amalan
kehartaan di dalam adat perpatih, kita akan mendapati bahawa terdapat perbezaan di dalam
konsep harta sepencarian, harta pembawa dan harta dapatan. Ketiga-tiga jenis harta ini akan
mempengaruhi pembahagian harta tersebut apabila berlakunya perceraian sama ada perceraian
hidup mahupun perceraian mati.
Dalam adat perpatih, harta pembawa22 ialah harta yang dimiliki oleh seseorang lelaki
yang diperolehi sama ada ketika masih bujang atau harta yang diberikan oleh ibunya. Sekiranya
berlaku perceraian antara suami dan isteri, maka harta tersebut hendaklah dikembalikan
semuanya kepada suku-sukunya (pihak lelaki sahaja), lebih-lebih lagi jika si suami meninggal
dunia. Ini bermakna si isteri tidak berhak untuk mendapatkan harta tersebut meskipun harta
tersebut menjadi milik suaminya ketika si suami masih hidup.23
Harta Dapatan24 pula ialah harta yang dimiliki oleh seseorang wanita sebelum daripada
perkahwinannya dengan si suami. Harta ini diperolehinya sama ada secara pemberian ataupun
melalui hasil usahanya sendiri sebelum daripada perkahwinan tersebut. Si suami hanya boleh
untuk mengusahakan harta tersebut tetapi bukan memiliki harta tersebut kerana hak milik harta
tersebut masih menjadi milik si isteri. Dalam kes harta seumpama ini, jika berlaku perceraian
terhadap pasangan tersebut, maka si suami tidak berhak untuk mendapatkan harta tersebut.
Sebaliknya harta tersebut akan diberikan kepada anak perempuan daripada pasangan tersebut.
Sekiranya pasangan tersebut tidak mempunyai zuriat, maka harta tersebut hendaklah
diserahkan kepada ahli keluarga atau suku perempuan tersebut.
Sebaliknya harta sepencarian pula merupakan harta yang diperolehi secara bersama oleh
pasangan tersebut sepanjang berlangsungnya tempoh perkahwinan mereka. Oleh kerana harta
ini diperolehi dari usaha bersama di antara suami dan isteri maka harta ini perlu dibahagi sama
rata jika berlaku perceraian di antara kedua-dua pihak. Jika perceraian berlaku disebabkan
kematian pula, maka pihak yang masih hidup akan membahagikan harta tersebut dengan anak-
anak. Di dalam adat perpatih, prinsip pembahagiannya dapat diketahui melalui ungkapan:
Pembawa kembali,
Dapatan tinggal,
Carian bahagi,
Mati laki tinggal ke bini,
Mati bini tinggal ke laki.
Dalam adat perpatih, persoalan pembahagian harta perkahwinan selepas berlakunya
perceraian kurang menimbulkan pertikaian. Ini kerana pembahagian jenis harta yang
diamalkan dalam masyarakat perpatih itu sendiri telah ditentukan pembahagiannya sekiranya
berlaku perceraian kepada sesebuah pasangan khususnya yang melibatkan harta pembawa dan
harta dapatan. Sungguhpun begitu, pembahagian harta sepencarian masih lagi agak rumit
berbanding dengan harta dapatan dan harta pembawa dalam konteks perbincangan harta
perkahwinan dalam adat perpatih. Ini kerana di dalam harta yang dikatakan harta pembawa,
21 Suwaid bin Tapah, “Konsep dan Amalan Harta Sepencarian Orang-Orang Islam di Malaysia”, 29. 22 Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, (Kuala Lumpur: N.P. 1975), 117, rujuk juga dalam Suwaid bin
Tapah, “Konsep dan Amalan Harta Sepencarian Orang-Orang Islam di Malaysia”, 31. 23 Ahmad Damiri Yahaya, Kes-Kes Harta Sepencarian Mengikut Adat Perpateh dan Hukum Syara’ di Negeri
Sembilan: Satu Ulasan, (Petaling Jaya:Universiti islam Antarabangsa, 1990), 139. 24 Kes-Kes Harta Sepencarian Mengikut Adat Perpateh dan Hukum Syara’ di Negeri Sembilan: Satu Ulasan,
140.
Mohd Norhusairi & Mohd Hafiz
84
mungkin wujudnya juga elemen harta sepencarian. Tetapi adalah tidak mungkin di dalam harta
yang dikatakan harta sepencarian itu, wujudnya harta pesaka atau harta pembawa.25
Walaubagaimanapun pembahagian jenis harta yang terdapat dalam adat perpateh ini sedikit
berbeza dengan amalan yang diamalkan dalam adat temenggung yang menjadi amalan
kebanyakan penduduk Malaysia pada hari ini.26
JUSTIFIKASI HARTA SEPENCARIAN DALAM HUKUM SYARA’
Sudah terdapat banyak tulisan dan pandangan para sarjana tempatan dalam menjustifikasikan
penerimaan konsep harta sepencarian dalam hukum syara’. Justifikasi ini penting kerana
konsep dan amalan harta sepencarian tidak wujud di zaman awal Islam mahupun ketika zaman
pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin. Oleh yang demikian, kita akan mendapati bahawa
perbincangan harta sepencarian ini tidak didapati di dalam kitab-kitab fiqh muktabar yang
dikarang oleh ulama’ silam dari timur tengah. Sungguhpun begitu sudah terdapat beberapa
penulisan ulama’ silam yang membincangkan tentang harta suami dan isteri ini. Ini kerana
secara tidak langsung harta sepencarian boleh diistilahkan sebagai mata‘ al-Bayt (perkakas
rumah) atau mal al-Zawjayn (harta suami isteri).27
Beberapa contoh pandangan ulama’ terdahulu telah menunjukkan adanya asas kepada
harta sepencarian ini meskipun terdapat sedikit perbezaan dengan apa yang diamalkan pada
hari ini. Imam al-Syafie dalam kitabnya telah berkata :28
“Apabila berlaku pertelingkahan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan
terhadap mata benda dan perkakas rumah yang mana kedua mereka mendiami
rumah berkenaan, kerana mereka berpisah (bercerai), atau sekalipun tidak
berpisah, atau kedua suami dan isteri itu meninggal dunia, berlaku pertelingkahan
antara waris kepada kedua-dua belah pihak atau pertelingkahan oleh waris kepada
salah satu dari kedua pihak ini; maka kedudukan cara penyelesaian semuanya
adalah serupa…”
Ibnu Qayyim juga ada menyebutkan bahawa:
“Di antaranya ialah di kalangan ahli perundangan Islam telah sepakat berpendapat
bahawa di dalam kes tuntutan antara suami dan isteri yang sama-sama berusaha
dalam mendapatkan harta rumah tangga dan berkedai, tuntutan yang sedemikian
hendaklah diterima berdasarkan keterangan yang membuktikan tuntutan itu.
Sebenarnya dalam persoalan ini, pemilikan sesuatu harta itu tidak dikira hanya
berdasarkan kepada nama yang tertera di dalam harta itu. Setakat nama yang
tertera itu belum tentu membuktikan pemilikannya…”
Namun perbahasan kitab-kitab fiqh berkenaan dengan harta suami isteri ini hanya
tertumpu kepada harta-harta seperti rumah, perkakas rumah dan kenderaan sahaja.29 Keadaan
25 Suwaid Tapah, “Konsep dan Amalan Pembahagian Harta Sepencarian di Malaysia,” 57. 26 Di Malaysia, adat perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan beberapa kawasan di Melaka terutama Masjid
Tanah. Ini kerana majority penduduknya adalah keturunan Melayau Minangkabau. Untuk maklumat lanjut,
rujuk http://ms.wikipedia.org/wiki/Adat_Perpatih 02/09/09 27 Ibrahim Lembut, Kaedah Dan Keseragaman Pembahagian Harta Sepencarian Dalam Harta Pusaka dalam
Konvensyen Pewarisan Harta Islam, (Kuala Lumpur:Amanah Raya Berhad, 2007), 8. 28 al-Syafi‘i, al-’Um, 10, (Beirut: Dar al-Qutaibah, 1996), 328. 29 al-’Um, 328.
AL-BASIRAH
Volume 6, No. 1, pp: 79-96, December 2016
85
ini berbeza dengan keadaan semasa yang mempunyai isu kehartaan yang lebih kompleks serta
melibatkan perbicaraan yang panjang dalam pensabitan harta sepencarian tersebut.
Secara umumnya juga terdapat dua justifikasi yang dikemukakan oleh para sarjana
tempatan berkaitan dengan harta sepencarian ini iaitu penerimaan harta sepencarian melalui
konsep al-Syarikah30 dan konsep adat31. Harta syarikat merupakan harta yang telah bercampur
dan kedua-dua suami isteri mempunyai hak ke atas harta tersebut.32 Adakalanya percampuran
tersebut masih boleh ditentukan kadar hak masing-masing. Tetapi adakalanya hak tersebut
tidak boleh ditentukan kadarnya.33 Di dalam Islam, kedudukan al-Syarikah boleh dibahagikan
kepada dua bahagian iaitu:34
Syarikah al-Amlak – dua orang atau lebih yang memiliki barang tanpa aqad bersyarikat.
Syarikah al-‘Uqud – dua orang atau lebih yang berkongsi modal dan keuntungan adalah
berdasarkan kepada perjanjian di antara mereka.
Terdapat juga pendapat yang cuba menghubungkaitkan hak isteri terhadap harta
sepencarian sama seperti penyertaannya dalam syarikah al-Abdan atau syarikah al-
Mufawadah.35 Dianggap syarikah al-Abdan kerana kenyataan bahawa suami isteri sama-sama
bekerja dan berusaha untuk mendapatkan nafkah hidup sehari-hari dan harta simpanan untuk
hari tua serta bekalan anak-anak sesudah mereka meninggal dunia.36 Walaubagaimanapun,
konsep ini ditolak di dalam mazhab Syafi’e. Ini kerana dalam mazhab Syafi’e, syarikat yang
sah ialah syarikat yang yang kedua-dua pihak terlibat mencampurkan harta dan pekerjaan,
seterusnya membahagikan keuntungan.37 Sungguhpun begitu, pemakaian konsep al-Syarikah
di dalam harta sepencarian tetap diguna pakai dalam menjustifikasi harta sepencarian di dalam
hukum syara’. Muamalat suami isteri bagi menghasilkan harta sepencarian itu termasuk di
bawah syarikat al-Abdan yang diterima dan sah dalam Mazhab Hanafi tanpa mengira jenis
pekerjaan sama ada jenis pekerjaan yang sama atau berlainan.38 Ini bermakna, persoalan isteri
menyumbang dalam aspek yang berlainan bagi mendapatkan sesuatu harta di dalam tempoh
perkahwinan juga diiktiraf sebagai salah satu aspek perkongsian.
Selain daripada menggunakan hujah al-Syarikah, terdapat juga pandangan yang
menyatakan bahawa harta sepencarian merupakan satu konsep yang dikonsepsikan melalui
hukum adat. Ini terbukti kerana konsep harta sepencarian ini hanya wujud di dalam adat
30 Rujuk dalam Daud Mohamad, “Harta Sepencarian, Isu-isu dan Amalan”, Jurnal Hukum 15:1 (2002): 3-11;
Suwaid bin Tapah, “Konsep dan Amalan Harta Sepencarian Orang-Orang Islam di Malaysia,” 254; Siti
Zalikhah Mohd Nor, Pemilikan Harta dan Perkahwinan (Harta Sepencarian), Isu Syariah dan Undang-
Undang, (Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Siri 5, 1998), 69-78 serta
beberapa penulisan yang lain. 31 Daud Mohamad, “Harta Sepencarian, Isu-isu dan Amalan”, 3-11. 32 Nik Azam Masri Nik Mahmood, “Pemilikan Harta Dalam Perkahwinan di Negeri Kelantan;Kajian Kes di
antara Tahun 1999-2003”, (Disertasi Sarjana Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia, 2004), 35 33 Nik Azam Masri Nik Mahmood, “Pemilikan Harta Dalam Perkahwinan di Negeri Kelantan;Kajian Kes di
antara Tahun 1999-2003”, 35 34 Pemilikan Harta dan Perkahwinan (Harta Sepencarian), Isu Syariah dan Undang-Undang, 69-78. 35 Syarikah al-Abdan bermaksud setiap pihak mewakilkan pihak yang lain untuk melakukan urusan mentadbir
dan mengurus sesuatu harta. Syarikah al-Mufawadah pula bermaksud setiap pihak menyerahkan urusan
mentadbir dan mengurus sesuatu harta itu kepada pihak yang lain. Sila rujuk al-Sarakhsi, Syams al-Din Abu
Bakr, Muhammad bin Abi Sahl, al-Mabsut, 11 (Lubnan: Dar al-Fikr, 2000), 128 & 131. 36 Pemilikan Harta dan Perkahwinan (Harta Sepencarian), Isu Syariah dan Undang-Undang, 69-78. 37 Pemilikan Harta dan Perkahwinan (Harta Sepencarian), Isu Syariah dan Undang-Undang, 21; al-Mabsut,),
131. 38 Daud Mohamad, “Harta Sepencarian, Isu-isu dan Amalan”, 7.
Mohd Norhusairi & Mohd Hafiz
86
masyarakat melayu di Malaysia dan rumpun melayu yang lain seperti di Indonesia, Brunei dan
Singapura. Jika ditinjau tidak ada konsep harta sepencarian di dalam undang-undang sivil
mahupun undang-undang kekeluargaan di negara Barat. Oleh kerana harta sepencarian ini
hanya wujud di dalam masyarakat Melayu, maka ianya perlu dilihat dari segi penerimaan adat
di dalam hukum Islam.
Islam mengiktiraf bahawa adat, baik secara khusus ataupun umum adalah menjadi salah
satu sumber Hukum Syara’39 dan sesuatu adat itu boleh diterima apabila sudah mejadi
kelaziman atau kebiasaan sedemikian. Ini menunjukkan bahawa Islam meraikan adat kebiasaan
yang diamalkan oleh umatnya di kawasan-kawasan tertentu yang tidak bercanggah dengan
hukum Islam. Sejarah perundangan sendiri menunjukkan apabila Rasulullah SAW berhadapan
dengan permasalahan adat (‘urf),40 baginda mengambil sikap yang berbeza di antara satu adat
dengan adat yang lain sama ada menerima adat, menolak atau menerima dengan pindaan
sesuatu adat untuk menjadi hukum.41 Apabila sesuatu adat atau ‘urf itu diakui kebaikannya dan
mendapat pengiktirafan undang-undang, kedudukannya bukan lagi sebagai adat, tetapi
bertukar menjadi satu peraturan atau perundangan yang mesti dikuatkuasakan.42
Selain daripada itu, kaedah fiqh yang menyatakan “al-‘adah al-muhakkamah”43 juga
menjadi sandaran kepada konsepsi harta sepencarian dalam hukum syara’. Dengan kata lain,
adalah perlu ditegaskan bahawa Islam tidak menolak secara total berhubung dengan amalan
adat sesuatu masyarakat asalkan ianya tidak bercanggah dengan nas qati’e yang telah
diperkanunkan oleh al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ dan Qias.
Seperti mana yang telah diketahui bahawa harta sepencarian ini hanya wujud di dalam
budaya masyarakat Melayu ataupun rumpun Melayu di kepulauan Nusantara ini. Ini kerana
konsep pemilikan harta bagi wanita berkahwin adalah berbeza dengan prinsip common law
Inggeris yang menyatakan bahawa apabila seseorang perempuan berkahwin, maka hartanya
termasuk dengan harta suaminya.44 Akan tetapi keadaan ini telah tidak dikenakan ke atas
orang-orang Islam dan ini telah diputuskan dalam beberapa kes yang awal, antaranya ialah
Hawah v Daud45 dan sebagainya. Wanita di dalam Islam masih boleh terus memiliki serta
menguruskan harta yang diperolehinya sebelum daripada perkahwin tanpa boleh dihalang oleh
para suami, malah para wanita di dalam Islam boleh serta berkeupayaan untuk berkontrak serta
bermuamalah di dalam undang-undang Islam.46 Oleh kerana isteri-isteri yang beragama Islam
diberikan hak yang sedemikian, para wanita Islam khususnya di Malaysia dan Indonesia yang
banyak melibatkan diri dalam membantu para suami bagi mendapatkan harta, maka adat
Melayu telah memperuntukkan untuk mereka supaya mendapat bahagian daripada Harta
Sepencarian.47
Adat ini diperkuatkan lagi dengan adanya pengisytiharan berkaitan dengan pembahagian
harta selepas perceraian daripada Majlis Kerajaan Negeri Perak bertarikh 18 Januari 1907.
Majlis telah mengisytiharkan dan mencatatkan:
39 Lihat dalam Perkara 36, Majalah Ahkam al-Adliyyah, (Beirut: Matba’ah Sya’ariku 1968). 40 Mohd Ridzuan Awang, Konsep Undang-Undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan, (Kuala Lumpur:
Al-Rahmaniah, 1987), 133. 41 Nik Azam Masri Nik Mahmood, “Pemilikan Harta Dalam Perkahwinan di Negeri Kelantan;Kajian Kes di
antara Tahun 1999-2003”, 14. 42 Zaini Nasuhah, Perceraian:Hak Islam, (Kuala Lumpur: Lohprint Sdn.Bhd., 2002), 78. 43 al-Sayuti, Al-Asybah wa al-Naza’ir, (Kaherah: ‘Isa Al-Halabi), 99. 44 Mohd Akhir Hj. Yaacob, ”Harta Sepencarian”, 36. 45 Wood’s Oriental Cases 26, (1985) 46 Rujukan lanjut, sila lihat dalam Ahmad Hidayat Buang, Keupayaan Wanita untuk Berkontrak Di Dalam
Undang-Undang Islam dalam Wanita dan Perundangan Islam, Raihanah Abdullah (Selangor: Ilmiah
Publishers, 2001), 16-37. 47 Mohd Akhir Hj. Yaacob, ”Harta Sepencarian”, 36.
AL-BASIRAH
Volume 6, No. 1, pp: 79-96, December 2016
87
“Bahawa adat orang-orang Melayu di Perak dalam hal pembahagian harta sesudah
perceraian, di mana harta itu diperolehi oleh pihak-pihak atau oleh salah seorang
daripada mereka selama perkahwinan adalah dua bahagian bagi lelaki dan satu
bahagian bagi perempuan dan pemberian-pemberian antara mereka tidak dapat
dibatalkan baik selama perkahwinan mahupun selepas perceraian”.48
Perisytiharan ini menunjukkan bahawa terdapatnya hukum adat yang diguna pakai di
dalam pembahagian harta yang diperolehi semasa tempoh perkahwinan sesuatu pasangan yang
bercerai.
Konsep harta sepencarian yang didasari daripada hukum adat ini ditegaskan semula oleh
Mahkamah dalam kes Roberts lwn Umi Kalthom49 di mana Hakim Raja Azlan Shah telah
menyatakan bahawa:
“Satu prinsip yang boleh didapati daripada kes-kes tersebut yang telah memutuskan
bahawa harta sepencarian ialah adat Melayu dan dipakai hanya dalam kes di mana
suami/isteri yang dicerai menuntut dari isteri/suaminya dalam masa hidupnya;
kaedah undang-undang itu adalah undang-undang tempatan yang mana Mahkamah
hendaklah memberi pengiktirafan kehakiman dan menjadi tugas kepada Mahkamah
mengisytiharkannya, lihat Ramah lwn Laton (1927) FMSLR 116. Memandang
kepada autoriti yang begitu kuat, saya berpendapat bahawa telah dibuktikan dengan
jelas apabila harta diperolehi selepas sesuatu perkahwinan dari sumber mereka
bersama atau usaha bersama mereka, suatu anggapan ditimbulkan bahawa harta
tersebut adalah harta sepencarian...”
Kes ini kemudiannya ditegaskan lagi dalam kes Boto’ bte Taha lwn Jaafar.50 Dalam
penghakimannya, Tun Salleh Abas yang merupakan Hakim Besar Malaya pada waktu itu telah
menyatakan bahawa:
“Harta Sepencarian tidak begitu bergantung kepada fiqh Islam, bahkan bergantung
kepada adat yang diikuti oleh orang Melayu. Ia diamalkan di Indonesia dan harta-
harta yang termasuk di bawahnya adalah dirujuk sebagai sharikah ( Laton lwn
Ramah)....”
Kes-kes harta sepencarian tersebut dibicarakan di Mahkamah Sivil memandangkan
belum ada pengasingan kuasa sebagaimana selepas pindaan perkara 121 1(A)51 Perlembagaan
Persekutuan sebagai mana yang ada pada hari ini.52 Semua kes dan fakta yang dinyatakan
tersebut telah menunjukkan konsep harta sepencarian yang berasal daripada adat orang Melayu
yang tidak bercanggah dengan hukum syara’ serta telah diiktiraf oleh undang-undang Islam
yang wujud di Malaysia pada hari ini.
48 E.N.Taylor, Malay Family Law, 41. 49 [1966] 1 MLJ 163. 50 [1985] 2 MLJ 98 51 Peruntukan ini berkuat kuasa pada 10 Jun 1988 mengikut (Akta 704). 52 Sebelum daripada pindaan ini dibuat, pihak-pihak yang bertikai bebas untuk memilih mana-mana Mahkamah
yang dirasakan boleh member banyak faedah kepada pihak-pihak tersebut. Ini kerana sebelum daripada
pindaan, tiada peruntukan yang nyata tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mengarahkan
perlaksanaan tertentu pembahagian separuh bahagian harta kepada pihak-pihak yang bertikai. Sila rujuk
Suwaid Tapah, “Elemen Sumbangan Dalam Amalan Pembahagian Harta Sepencarian di Malaysia,” dalam
Monograf Syariah, (Kuala Lumpur: Fakulti Syariah Akademi Islam, 1996), 66-67.
Mohd Norhusairi & Mohd Hafiz
88
KONSEP HARTA PERKAHWINAN DALAM PERUNDANGAN SIVIL
Konsep harta perkahwinan dalam perundangan sivil adalah membincangkan tentang persoalan
berhubung dengan harta benda atau aset yang dimiliki oleh suami isteri dalam masa
perkahwinan mereka dan apa yang terjadi terhadap harta benda tersebut selepas perkahwinan
itu berakhir.53 Atas andaian perkahwinan ialah satu perkongsian, secara prinsipnya apa-apa
yang diusahakan, dimiliki dan diperolehi dalam tempoh perkongsian tersebut akan dianggap
sebagai harta perkongsian.54 Pembahagian harta perkahwinan ini biasanya berlaku di dalam
dua keadaan iaitu semasa perceraian di dalam tempoh perkahwinan dan semasa perceraian
akibat kematian.55 Secara umumnya, konsep harta perkahwinan ini adalah merujuk kepada
harta-harta yang diperolehi semasa tempoh perkahwinan sesebuah pasangan sama ada
diperolehi dengan usaha tunggal ataupun usaha bersama pihak-pihak tersebut.56 Dengan kata
lain, konsep harta perkahwinan ini adalah merujuk kepada harta atau aset yang diperolehi oleh
pasangan semasa tempoh perkahwinan mereka berkuat kuasa.
Dalam ruang lingkup kekeluargaan, harta dalam perkahwinan biasanya dikaitkan dengan
barang-barang berupa benda dan atau bukan benda yang mempunyai kepentingannya dalam
keluarga dan menyokong terhadap kesejahteraan sesebuah keluarga.57 Contohnya rumah
kediaman keluarga, tanah, kereta, perabot, pinggan mangkuk, haiwan ternakan dan
sebagainya.58 Ini semua boleh dikatakan sebagai aset keluarga kerana merupakan barangan
keperluan serta menyumbang kepada kesejahteraan sesebuah keluarga tersebut. Sungguhpun
begitu, dalam perundangan sivil, barangan perseorangan atau hak milik peribadi yang tidak
digunakan untuk kepentingan mana-mana ahli lain di dalam keluarga tidak dianggap sebagai
harta perkahwinan.59 Apabila diteliti, konsep harta perkahwinan atau aset keluarga ini adalah
melibatkan penggunaan dan sejauh mana harta tersebut boleh memberi manfaat kepada
sesebuah keluarga tersebut. Jika harta tersebut tidak melibatkan kepentingan atau penggunaan
ahli-ahli lain di dalam sesebuah keluarga, maka harta tersebut terkeluar daripada konsep harta
perkahwinan.
Dalam perundangan sivil beberapa istilah telah digunakan bagi merujuk kepada harta
perkahwinan ini. Di antara istilah-istilah atau ungkapan tersebut ialah harta perkahwinan, harta
pencarian,60 carian laki bini, aset perkahwinan, harta suarang61 dan aset keluarga yang
sebenarnya boleh mengelirukan banyak pihak terutama suami atau isteri.62 Sebenarnya
ungkapan-ungkapan ini mempunyai makna dan maksud yang hampir sama antara satu sama
lain,63 cuma mungkin pengistilahannya yang berbeza sedangkan pada hakikatnya ia merujuk
kepada tafsiran yang sama. Lord Denning di dalam kes Wachtel lwn Wachtel64 telah
mengungkapkan aset keluarga sebagaimana berikut:
53 Shamsuddin Suhor , “Harta Perkahwinan” dalam Undang-Undang Keluarga Sivil, Shamsuddin Suhor & Noor
Aziah Mohd Awal, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007), 178. 54 Shamsuddin Suhor , “Harta Perkahwinan” 178. 55 Family Law In Malaysia, 349. 56 http:www.childjustice.org/docs/ibrahim2005/pdf 20 Ogos 2009. 57 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 180. 58 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 180. 59 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 180. 60 Kamus Dewan, Harta benda yang didapati daripada usaha bersama oleh pasangan suami isteri;dibezakan
dengan ‘harta pencarian’ yang khusus merujuk kepada harta yang diperolehi oleh titik peluh sendiri dan bukan
yang dipusakai” 61 Kamus Dewan, “Harta yang diperoleh oleh suami isteri secara bersama juga kadang kala disebut sebagai harta
carian laki bini”. 62 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 181. 63 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 181. 64 [1973] 1 All ER 829, 836.
AL-BASIRAH
Volume 6, No. 1, pp: 79-96, December 2016
89
“The phrase “family asset” is a convenient short way of expressing an important. It
refers to those thing which are acquired by one other or both of the parties, with the
intention that they should be continuing provision for them and their children during
their joint lives, and used by for the benefit of the family as a whole. It is a phrase,
for want of a better, used by the Law Commision, and is well understood. The family
assets can be devide in two parts:
Those which are a capital nature, such as matrimonial home and the furniture in it;
Those which are of a revenue-producing nature, such as earning power of the
husband and wife. When the marriage comes to an end, the capital assets have to be
devided; the earning power of each has be allocated.
Di dalam undang-undang sivil, perkara yang bersangkutan dengan perkahwinan dan
perceraian khususnya orang-orang bukan Islam adalah berasaskan kepada Akta Membaharui
Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.65 Akta ini juga turut melibatkan kepada
persoalan pembahagian harta perkahwinan yang timbul di dalam sesebuah pasangan yang
bercerai. Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 tidak
memberi takrifan yang jelas terhadap konsep harta perkahwinan ini. Sungguhpun begitu,
beberapa keputusan hakim dalam kes-kes yang pernah diputuskan di Mahkamah sebenarnya
telah membantu dalam memberi takrifan harta perkahwinan ini. Kes Ching Seng Woah lwn
Lim Shook Lin66 merupakan di antara kes yang boleh memberi penjelasan berkaitan dengan
konsep harta perkahwinan ini. Di dalam kes ini, Yang Amat Arif Hakim Mahkamah Rayuan,
Mahadev Shankar telah menyatakan bahawa:
“The Act does not define what matrimonial assets are. We think that during the
subsistence of a marriage, the expression refers to the matrimonial property home
and everything which is put into it either spouse with the intention that their home
and chattels should be a continuing resources for the spouse and children to be used
jointly and severally for the benefit of the family as a whole. It matters not in this
context whether the asset is acquired solely by the one party or the other or by their
joint efforts. Whilst the marriage subsists, these assets are matrimonial assets. Such
assets could be capital assets. The earning power of each spouse is also an asset”
Dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa konsep harta perkahwinan itu merupakan apa
sahaja barangan atau sumbangan yang diberikan sama ada usaha sendiri atau bersama terhadap
kesejahteraan keluarga itu dianggap sebagai harta dalam erti kata yang luas. Sebagai
kesimpulan, harta atau aset perkahwinan itu boleh dirumuskan sebagai berikut dan ia
termasuklah:67
- apa-apa harta yang diperolehi pada masa perkahwinan;
- apa-apa harta yang dibawa masuk ke dalam perkahwinan lalu dijadikan barangan
atau benda guna sama;
- apa-apa hadiah atau pemberian yang diterima oleh pasangan sebagai hadiah
perkahwinan atau atas sebab perkahwinan untuk kepentingan bersama;
- apa-apa harta yang diterima oleh satu pihak dan dibawa masuk dalam perkahwinan;
- pendapatan dan wang simpanan yang diterima atau diperoleh semasa perkahwinan.
65 Akta ini dikuatkuasakan pada 1 Mac 1982. 66 [1997] 1 MLJ 109. 67 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 184.
Mohd Norhusairi & Mohd Hafiz
90
Peruntukan Harta Perkahwinan dalam Undang-undang Sivil
Seksyen 76 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 telah
memperuntukkan hal-hal yang berkaitan dengan harta perkahwinan ini sebagaimana berikut:
76.
(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila memberi sesuatu dikri perceraian
atau perpisahan kehakiman, memerintahkan pembahagian antara pihak-pihak itu
apa-apa aset yang diperolehi oleh mereka dalam masa perkahwinan itu dengan
usaha-usaha bersama mereka atau memerintahkan penjualan mana-mana aset itu
dan pembahagian hasil jualan itu antara pihak-pihak itu;
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh seksyen kecil (1), mahkamah
hendaklah memberi perhatian:
(a) tentang setakat mana sumbangan-sumbangan telah diberi oleh tiap-tiap satu
pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja terhadap pemerolehan aset itu;
(b) tentang apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah
dilakukan bagi faedah bersama mereka;
(c) tentang keperluan-keperluan anak-anak belum dewasa, jika ada, dari
perkahwinan itu, dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu,
mahkamah hendaklah memihak kepada pembahagian yang sama rata.
(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila memberi sesuatu dikri perceraian
atau perpisahan kehakiman, memerintahkan pembahagian antara pihak-pihak itu
apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan itu dengan usaha tunggal
satu pihak kepada perkahwinan itu atau memerintahkan penjualan mana-mana aset
itu dan pembahagian hasil jualan itu antara pihak-pihak itu.
(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh seksyen kecil (3) mahkamah hendaklah
memberi perhatian:
tentang setakat mana sumbangan-sumbangan telah diberi oleh pihak yang satu
lagi itu yang tidak memperolehi aset itu terhadap kebajikan keluarga dengan
menjaga rumah tangga atau memelihara keluarga;
tentang keperluan-keperluan anak-anak belum dewasa,jika ada, dari perkahwinan
itu,dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah boleh
membahagikan aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang
difikirkan munasabah oleh mahkamah; tetapi, walau bagaimanapun pihak yang
dengan usahanya aset itu telah diperolehi hendaklah menerima suatu kadar yang
lebih besar.
(5) Bagi maksud seksyen ini rujukan mengenai aset yang diperolehi dalam masa
perkahwinan termasuklah aset yang dipunyai sebelum perkahwinan itu oleh satu
pihak, yang telah dimajukan pada matannya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak
yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.
AL-BASIRAH
Volume 6, No. 1, pp: 79-96, December 2016
91
Pihak-pihak yang Berhak terhadap Harta Perkahwinan
Di bawah common law, seorang perempuan yang bersuami tidak berhak terhadap pemilikan
apa-apa harta, sebaliknya suami berhak sepenuhnya terhadap harta perkahwinan itu dan isteri
itu sendiri termasuk dalam sebahagian harta suami.68 Sungguhpun begitu terdapat juga
pendapat yang menghujahkan bahawa dalam soal pemilikan harta di bawah sistem common
law, suami dan isteri mempunyai hak yang berasingan terhadap harta masing-masing.69 Walau
apapun sistem tersebut, hak wanita khususnya di Malaysia telah diberi pengiktirafan yang
sewajarnya dalam soal pemilikan harta. Pengiktirafan ini diabsahkan lagi oleh Perlembagaan
Persekutuan yang menjamin hak setiap individu untuk memiliki harta. Perlembagaan
Persekutuan telah memperuntukkan bahawa:
Perkara 13- Hak terhadap harta :
Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang;
Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau
menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.
Peruntukan ini secara jelas telah menjamin hak individu di dalam pemilikan harta
termasuk suami mahupun isteri. Di dalam harta perkahwinan, suami dan isteri adalah masing-
masing berhak terhadap harta yang diperolehi di sepanjang tempoh perkahwinan mereka.Apa
yang diperlukan hanyalah pembuktian bahawa harta tersebut telah diperolehi semasa tempoh
perkahwinan mereka berlangsung, seterusnya harta tersebut digunakan untuk manfaat keluarga
mereka.
Pembahagian Harta Perkahwinan
Secara amnya, semua pihak-pihak sama ada suami ataupun isteri adalah berhak terhadap
pembahagian harta perkahwinan mereka. Hak ini tetap akan diperolehi oleh pihak-pihak
tersebut sama ada wujudnya sumbangan langsung ataupun tidak langsung dalam perolehan aset
ataupun harta tersebut. Undang-undang yang ada di Malaysia secara umumnya telah memberi
panduan dalam pembahagian harta tersebut.
Sejarah awal menunjukkan bahawa harta perkahwinan dibahagi secara sama rata
sekiranya wujudnya usaha bersama sesebuah pasangan dalam mendapatkan harta tersebut.70
Beberapa prinsip awal atau kes-kes yang pernah diputuskan masih lagi diikuti seperti kes
Roberts@Kamarulzaman lwn Umi kalthom71. Seksyen 76 (1), Akta Membaharui Undang-
Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 telah memberikan kuasa kepada Mahkamah untuk
memerintahkan pembahagian aset perkahwinan setelah satu dekri perceraian atau perpisahan
kehakiman dibuat. Walaubagaimanapun Mahkamah perlu melihat sejauh mana sumbangan
yang telah dibuat oleh pihak-pihak dalam mendapatkan harta tersebut.
Dalam soal pembahagian ini, mahkamah perlu membuat pertimbangan yang seadilnya
bagi menjamin hak suami dan isteri terhadap harta tersebut. Beberapa aspek seperti hutang
pihak-pihak yang terlibat serta keperluan anak-anak yang belum dewasa perlu diambil kira
sebelum sebarang perintah pembahagian dikeluarkan oleh mahkamah.72 Sungguhpun begitu,
68 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 185. 69 B.C.Crown, “Property Division on Dissolution of Marriage”,Mal. LR 34, (1988), 30-34. 70 http:www.childjustice.org/docs/ibrahim2005/pdf 20 Ogos 2009. 71 [1966] 1 MLJ 163. 72 Rujuk Seksyen 76 (2) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
Mohd Norhusairi & Mohd Hafiz
92
undang-undang telah menjelaskan bahawa pihak yang mempunyai sumbangan yang lebih
banyak dalam mendapatkan harta tersebut adalah berhak untuk mendapat hak yang lebih
banyak terhadap aset tersebut
Dalam soal pembahagian harta ini, mahkamah sebenarnya mempunyai kuasa budi bicara
yang luas khususnya apabila wujudnya pertikaian dalam pembahagian harta yang melibatkan
sumbangan tidak langsung salah satu pihak. Ini kerana wujudnya pasangan yang memperolehi
aset tersebut dengan usaha tunggal satu pihak khususnya yang melibatkan faktor kewangan,
sedangkan pihak yang satu lagi memberi sumbangan bukan berbentuk kewangan seperti
nasihat, menjaga kebajikan rumah tangga dan sebagainya. Semua faktor ini perlu
dipertimbangkan oleh mahkamah sebelum sesuatu perintah itu dikeluarkan. Harta perkahwinan
dianggap sebagai harta milik bersama antara suami dan isteri yang tidak melibatkan pihak yang
lain. Mana-mana pihak ketiga termasuklah anak atau anak-anak daripada perkahwinan itu
diandaikan tidak mempunyai apa-apa hak terhadap harta itu.73 Tuntutan oleh mana-mana pihak
lain selain pasangan itu sendiri tidak akan dilayan atas alasan pihak ketiga bukan parti kepada
perkongsian itu dan seksyen 76 dalam akta ini sendiri khusus melibatkan pertikaian suami dan
isteri sahaja.74
Sebagai kesimpulannya, harta perkahwinan dalam perundangan sivil tetap
memberikan hak kepada para wanita untuk mendapatkan harta serta memilikinya. Suami atau
isteri dalam sesebuah perkahwinan berhak untuk menuntut harta perkahwinan mereka di
Mahkamah sekiranya harta tersebut benar-benar merupakan harta perkahwinan mereka.
PERBEZAAN HARTA PERKAHWINAN DAN HARTA SEPENCARIAN
Secara umumnya, harta perkahwinan tidaklah mempunyai perbezaan yang ketara dengan harta
sepencarian. Ini kerana kedua-dua jenis harta ini biasanya melibatkan harta yang diperolehi
semasa tempoh perkahwinan sesuatu pasangan. Ini bermakna semua aset yang diperolehi
semasa tempoh perkahwinan, khususnya yang melibatkan sumbangan kedua-dua belah pihak
dianggap sebagai harta perkahwinan dalam perundangan sivil serta dianggap sebagai harta
sepencarian di Mahkamah Syariah. Sungguhpun begitu, terdapat juga sedikit perbezaan di
antara kedua-dua konsep harta ini.
Selain daripada pemisahan Mahkamah yang mengendalikan kedua-dua harta ini, cara
serta kegunaan harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan turut membezakan kedua-
dua konsep kehartaan ini. Dalam perundangan sivil, sebarang harta yang diperolehi oleh satu
pihak yang dibawa masuk ke dalam perkahwinan seterusnya dimanfaatkan untuk kegunaan
seisi keluarga dan yang menyokong kesejahteraan sesebuah keluarga75 dianggap sebagai harta
perkahwinan. Begitu juga status harta yang dibawa masuk ke dalam perkahwinan lalu
dijadikan barangan atau guna sama turut dianggap sebagai harta perkahwinan76 tanpa mengira
sumber untuk mendapatkan harta tersebut sama ada hadiah, hibah, pusaka dan sebagainya.
Selain daripada itu, pendapatan atau wang simpanan yang diterima atau diperoleh dalam masa
perkahwinan77 juga dianggap sebagai harta perkahwinan yang boleh dituntut oleh pihak-pihak
sekiranya berlaku perceraian di antara mereka.
Situasi ini agak berbeza dengan harta sepencarian. Konsep harta sepencarian adalah
meliputi harta yang diperolehi sepanjang tempoh perkahwinan yang mempunyai elemen
sumbangan pihak-pihak dalam mendapatkan harta tersebut. Meskipun begitu, harta yang
73 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 186. 74 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 186. 75 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 180. 76 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 180. 77 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 180.
AL-BASIRAH
Volume 6, No. 1, pp: 79-96, December 2016
93
diwarisi oleh satu pihak daripada keluarganya, tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian
meskipun digunakan untuk seisi keluarga. Sebagai contoh, seorang suami mewarisi sebidang
tanah daripada ayahnya yang digunakan untuk membina rumah bagi kediamannya bersama
isteri dan ahli keluarganya yang lain. Apabila berlakunya perceraian di antara mereka, tanah
tersebut tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian kerana tanah tersebut termasuk di
dalam harta pusaka, yang hanya berhak dimiliki oleh waris yang mewarisinya. Ini kerana hak-
hak waris telah dijamin oleh Allah SWT di dalam Al-Quran serta tidak boleh diubah oleh
sesiapapun melainkan suami menghibahkan tanah tersebut kepada isterinya yang
membolehkan isteri juga mempunyai hak terhadap tanah tersebut.
Keadaan yang sama juga berlaku terhadap harta yang diperolehi melalui hibah. Jika si
isteri menerima sekeping tanah yang dihibahkannya oleh seseorang kepadanya, maka tanah
tersebut akan tetap menjadi miliknya dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Ini
bermakna, tanah tersebut tidak boleh dituntut oleh suaminya sebagai harta sepencarian
meskipun suami berkongsi manfaat tanah tersebut. Jika tanah tersebut diusahakan oleh suami
seperti penananam getah, buah-buahan dan sebagainya, maka suami hanya berhak terhadap
hasil tanah tersebut sahaja dan bukannya tanah secara keseluruhannya. Oleh kerana itulah,
Mahkamah khususnya Mahkamah Syariah akan meneliti sumber-sumber harta yang diperolehi
sepanjang tempoh sesebuah perkahwinan berlangsung.
Perbezaan yang timbul daripada kedua-dua jenis harta ini mungkin berpunca
pengamalan serta sumber dan konsep harta ini diambil. Bagi harta sepencarian, amalan dan
sumber adat yang dijadikan asas dan sandaran pembahagiannya menjamin hak-hak terhadap
harta yang telah ditetapkan oleh hukum syara’ seperti harta pusaka, harta hibah dan sebagainya.
Ini menjadikan adat tidak akan bercanggah dengan hukum syara’ serta diamalkan jika tidak
ada halangan syara’. Oleh kerana hukum syara’ telah menetapkan displin dan peraturan dalam
hukum pusaka,78 maka adat yang dijadikan asas dalam harta sepencarian tidak boleh
bercanggah dengan ketetapan syara’ tersebut.
Keadaan ini berbeza dengan konsep harta perkahwinan yang disumberkan oleh sistem
common law Inggeris. Sebagaimana yang telah dinyatakan terdahulu bahawa di bawah
common law, apabila seseorang perempuan itu berkahwin, maka perempuan tersebut akan
hilang haknya untuk memiliki harta, sebaliknya suami adalah berhak sepenuhnya terhadap
harta perkahwinan dan isteri itu sendiri termasuk sebagai sebahagian harta suami.79 Harta milik
perempuan bersuami akan berpindah kepada suaminya dan kekal menjadi milik suaminya pada
sepanjang tempoh perkahwinan itu.80 Walaubagaimanapun, taraf perempuan bersuami ini
dinaikkan melalui seksyen 4 Akta Perempuan bersuami 1957 yang mengembalikan hak kepada
perempuan bersuami untuk memiliki serta menguruskan harta miliknya. Harta-harta
perkahwinan yang dimanfaatkan untuk kegunaan keluarga serta pendapatan dan wang
simpanan yang diterima atau diperolehi dalam masa perkahwinan dianggap sebagai milik
bersama di antara suami dan isteri. Mereka boleh mengemukakan tuntutan ke Mahkamah untuk
menentukan pemilik sebenar harta tersebut sekiranya berlaku perceraian terhadap perkahwinan
tersebut. Seksyen 11 Akta Perempuan Bersuami 1957 telah memperuntukkan bahawa salah
78 Rujuk Badran Abu al-A’Aynayn, Ahkam Al-Tarikah wa al-Mawarith fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah wa al-
Qanun, (Iskandariah: Mu’assasah Syahab al-Jami ‘ah, 1981); ‘Arif Khalil Abu ‘Ayd, al-Wajiz fi al-Mirath,
(Amman: Dar al-Nafa’is, 1996); Wahbah Al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa ’adillatuhu, 8 (Damsyik: Dar-Al-
Fikr, 1989); Mohd Zamro Muda & Mohd Ridzuan Awang, Undang-Undang Pusaka Islam: Perlaksanaan di
Malaysia, (Bangi: Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM) serta penulisan-penulisan lain tentang
undang-undang pusaka dalam Islam. 79 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 185. 80 Shamsuddin Suhor, “Harta Perkahwinan” 185.
Mohd Norhusairi & Mohd Hafiz
94
satu pihak sama ada suami atau isteri boleh mengemukakan permohonan kepada Mahkamah
bagi menentukan pemilik sebenar sesuatu harta perkahwinan itu.
PENUTUP
Kesimpulannya, harta sepencarian merupakan satu konsep kehartaan dalam perkahwinan yang
terpakai kepada orang-orang Islam di Malaysia. Konsep harta perkahwinan pula terpakai
kepada masyarakat bukan Islam dan dibicarakan di Mahkamah Sivil bagi menentukan pihak-
pihak yang berhak terhadap harta tersebut. Meskipun terdapat sedikit perbezaan, namun
beberapa konsep seperti konsep sumbangan dalam pemilikan harta tersebut tetap terpakai di
dalam kedua-dua konsep kehartaan ini. Ini bermakna, kedua-dua Mahkamah yang berbidang
kuasa sama ada Mahkamah Syariah bagi harta sepencarian dan Mahkamah Sivil bagi harta
perkahwinan perlu meneliti aspek sumbangan ini. Bahkan, undang-undang yang terpakai bagi
kedua-dua jenis harta ini turut memperuntukkan peruntukan yang berkaitan dengan elemen
sumbangan ini. Sungguhpun begitu, undang-undang harta sepencarian dilihat lebih menjaga
hak pihak-pihak dalam sesuatu aset. Bagi harta yang disahkan berasal daripada satu pihak tanpa
wujudnya sumbangan pihak yang satu lagi seperti harta pusaka, wasiat dan hibah, haknya tetap
menjadi milik pihak tersebut secara mutlak sekalipun harta tersebut digunakan untuk
kepentingan keluarga. Pihak yang satu lagi hanya berhak jika terdapat bukti wujudnya
kemajuan terhadap harta yang diwarisi tersebut rentetan daripada hasil usaha mereka semasa
perkahwinan mereka berlangsung. Dengan kata lain, undang-undang yang berkuat kuasa di
Malaysia melindungi hak pasangan yang berkahwin dalam rumah tangga terhadap pemilikan
harta yang diperolehi sepanjang perkahwinan tersebut berlangsung.
RUJUKAN
Abdullah Jumain Abu Samah “Adat Perpatih dan Adat Temenggung-Suatu Rekonstruksi
Teoritis Berdasarkan kepada Strukturalisma,” (Kertas kerja yang dibentangkan di
Seminar Sehari Adat Sebagai Budaya Warisan Bangsa, Jabatan Persuratan Melayu,
Fakulti Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 19
Disember 1987).
Ahmad Damiri Yahaya, Kes-Kes Harta Sepencarian Mengikut Adat Perpateh dan Hukum
Syara’ di Negeri Sembilan: Satu Ulasan. Petaling Jaya: Universiti islam Antarabangsa,
1990.
Ahmad Hidayat Buang, “Keupayaan Wanita untuk Berkontrak Di Dalam Undang-Undang
Islam” dalam Wanita dan Perundangan Islam, Raihanah Abdullah, (Selangor: Ilmiah
Publishers, 2001)
‘Arif Khalil Abu ‘Ayd, al-Wajiz fi al-Mirath. Amman: Dar al-Nafa’is, 1996.
al-Sarakhsi, Syams al-Din Abu Bakr, Muhammad bin Abi Sahl, al-Mabsut, 11. Lubnan: Dar
al-Fikr, 2000.
al-Sayuti, Al-Asybah wa al-Naza’ir. Kaherah: ‘Isa Al-Halabi.
al-Syafi‘i, al-’Um, 10. Beirut: Dar al-Qutaibah, 1996.
Badran Abu al-A’Aynayn, Ahkam Al-Tarikah wa al-Mawarith fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah wa
al-Qanun. Iskandariah: Mu’assasah Syahab al-Jami ‘ah, 1981.
B.C.Crown, “Property Division on Dissolution of Marriage”, Mal. LR 34 (1988)
Daud Mohamad, “Harta Sepencarian, Isu-isu dan Amalan” Jurnal Hukum 15:1 (2002).
E.N.Taylor, “Malay Family Law” Journal of the Royal Asiatic Society, Malayan Branch, pt.
1, (1937)
AL-BASIRAH
Volume 6, No. 1, pp: 79-96, December 2016
95
Ibrahim Lembut, “Kaedah Dan Keseragaman Pembahagian Harta Sepencarian Dalam Harta
Pusaka” dalam Konvensyen Pewarisan Harta Islam 2007, (Kuala Lumpur:Amanah
Raya Berhad, 2007)
Kamar Ainiah Kamaruzaman, “Pemakaian Hukum Harta Sepencarian Dalam Mahkamah,”
dalam Undang-Undang Harta dan Amanah, ed. Akmal Hidayah Halim et al. (Gombak:
Jabatan Undang-Undang Islam, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti
Islam Antarabangsa, 2009)
Kamus Dewan, Edisi Ke 3. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Hukum Adat, Bandung: Penerbit Alumni, 1982.
Mat Saad Abdul Rahman, Undang-Undang Keluarga Islam-Aturan Perkahwinan:Suatu
Pendekatan Berdasarkan Amalan Semasa. Petaling Jaya: Intel Media Publication,
2007.
Mimi Kamariah Abdul Majid, Family Law In Malaysia. Kuala Lumpur: Malayan Law Journal,
1999.
Mohd Akhir Hj. Yaacob, “Harta Sepencarian”, Jurnal Hukum, 5:1, (1984).
Mohd Ridzuan Awang, Konsep Undang-Undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan.
Kuala Lumpur: Al-Rahmaniah, 1987.
Mohd Zamro Muda & Mohd Ridzuan Awang, Undang-Undang Pusaka Islam: Perlaksanaan
di Malaysia. Bangi: Jabatan Syariah:Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Muhammad Abdul Rauf, The Islamic View of Women and the Family. Terj. Mahani Che
Ibrahim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1977.
M.B. Hooker, Personal Laws of Malaysia. Oxford: Oxford University Press, 1976
Nik Azam Masri Nik Mahmood, “Pemilikan Harta Dalam Perkahwinan di Negeri Kelantan:
Kajian Kes di antara Tahun 1999-2003.” Tesis Sarjana Syariah, Fakulti Pengajian
Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2004.
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih. Kuala Lumpur: N.P, 1975.
Siti Zalikhah Mohd Nor, Pemilikan Harta dan Perkahwinan (Harta Sepencarian), Isu Syariah
dan Undang-Undang. Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia, Siri 5, 1998.
Suwaid Tapah, “Elemen Sumbangan Dalam Amalan Pembahagian Harta Sepencarian di
Malaysia” dalam Monograf Syariah. Kuala Lumpur: Fakulti Syariah Akademi Islam,
1996.
____________, “Konsep dan Amalan Harta Sepencarian Orang-Orang Islam di Malaysia.”
Tesis PhD, Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera dan Sosial, Universiti Malaya,
1996. ____________, “Konsep dan Amalan Pembahagian Harta Sepencarian di Malaysia” dalam Siri
Isu-Isu Mahkamah Syariah: Harta Sepencarian, Proseding Ex-Parte & Perintah
Injuksi, ed. Tajul Aris Ahmad Bustami et al. Gombak: Pusat Undang-Undang,
Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,UIA, 2003.
Shamsuddin Suhor , “Harta Perkahwinan” dalam Undang-Undang Keluarga Sivil, Shamsuddin
Suhor & Noor Aziah Mohd Awal. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007.
S.H SurojoWignjodipura, Pengantar dan Asas-Asas Hukum Adat. Bandung:Penerbit Alumni,
1971.
Zaini Nasuhah, Perceraian:Hak Islam. Kuala Lumpur: Lohprint Sdn.Bhd, 2002.
Wahbah Al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa ’adillatuhu, 8. Damsyik: Dar-Al-Fikr, 1989.
Statut
Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
Akta Perempuan Bersuami 1957
Mohd Norhusairi & Mohd Hafiz
96
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Johor 1990.
Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan 1982.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 1983.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Perlis 1991.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pulau Pinang 1985.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Terengganu 1985.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Sabah 1992.
Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak 1991.
Perkara 36, Majalah Ahkam al-Adliyyah, Cetakan Kelima, Tahun 1968, Matba’ah Sya’ariku
Beirut.
Kes-Kes
Boto’ bte Taha lwn Jaafar [1985] 2 MLJ 98
Ching Seng Woah lwn Lim Shook Lin [1997] 1 MLJ 109.
Hajjah Lijah bt Jamal V Fatimah bt Mat Diah [1950] MLJ 63; Infra; Jurnal Hukum (1981-
1982), Jld II, Bhgn I&II.
Hawah v Daud (1985) Wood’s Oriental Cases 26.
Roberts lwn Umi Kalthom [1966] 1 MLJ 163; (1981) 2 JH 82
Wachtel lwn Wachtel [1973] 1 All ER 829