Upload
muhd-wafiq
View
67
Download
2
Embed Size (px)
DESCRIPTION
Teori Politik Al Maududi
Citation preview
SKSP 1043
PEMIKIRAN ABUL A’LA AL-MAUDUDI
Disediakan Oleh:
1) Muhammad Wafiq Bin Azman (A151120)2) Yusre Zulhamize Bin Zainuddin (A148305)3) Nurfatin Humaira Binti Nordin (A148391)
Disediakan untuk :
Puan Zubaidah Binti V.P. Hamzah
Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan
(FSSK)
1.0 RIWAYAT HIDUP
Nama Abul A’la al-Maududi tidak mungkin dapat dipisahkan dari cita-
cita kebangkitan Islam pada abad ke-15 Hijrah hingga sekarang.Suatu cita-cita
yang telah demikian merata di seluruh dunia Islam. Tidak berlebihan sekiranya
kita katakan bahawa al-Maududi termasuk di dalam barisan paling hadapan
dalam tokoh-tokoh pembaharuan pemikiran Islam yang gagasan dan cita-
citanya telah berpengaruh besar pada fenomena pembangunan Islam dewasa
ini. Al-Maududi boleh dikatakan sebaris dengan beberapa tokoh terkemuka
pembaharuan pemikiran Islam seperti Hassan al-Banna di Mesir,al-Maududi di
Pakistan,Muhammad Natsir di Indonesia ,Allal al-Farsi di Maroko,Ali Syariati
dan Mehdi Bazargan di Iran dan sebagainya.
Abul A’la dilahirkan pada tanggal 3 Rejab 1321 bersamaan dengan 25
September 1903, Aurangabad,iaitu suatu kota terkenal di daerah yang sekarang
ini dikenali sebagai Andra Pradesh,India.Ayahnya yang lahir pada 1844,adalah
seorang ahli hukum yang sangat taat kepada ajaran-ajaran agama Islam. Al-
Maududi anak bongsu dari ketiga-tiga putranya. Pendidikan awal al-Maududi
diperoleh dari ayahnya sendiri di rumah,yang kemudiannya diteruskan di suatu
sekolah lanjutan yang bernama Madrasah Fauqaniyah,iaitu sekolah yang
menggabungkan pendidikan moden barat dengan pendidikan Islam tradisional.
Ketika Abul A’la sedang belajar di perguruan tinggi Darul
‘Ulum,Hydrabad, ayahnya sakit dan kemudiannya meninggal dunia dan
menyebabkan pendidikan al-Maududi terhenti secara formal.Pada awal 1920-
an, beliau telah menguasai pelbagai bahasa antaranya ialah bahasa Arab,
bahasa Parsi dan bahasa Inggeris di samping bahasa ibundanya iaitu bahasa
Urdu.
Sejak muda lagi al-Maududi menyukai jurnalisme dan pernah menjadi
editor beberapa mass-media ketika usianya baru berganjak dua puluhan tahun.
Minatnya pada politik juga tumbuh pada usia sekitar dua puluhan itu. Pada
usia muda inilah al-Maududi menerbitkan bukunya yang terkenal berjudul al-
jihad fil Islam, iaitu suatu buku yang sangat cermat dan tajam mengenai
hukum Islam dalam perang damai. Sir Muhammad Iqbal dan Maulana
Muhammad Ali Jauhar,tokoh terkenal gerakan khilafah dan kemerdekaan
antara yang memberikan pujian terhadap buku karya al-Maududi tersebut.
Pada 1933, Maududi secara lebih intensif mencurahkan tenaga dan
fikirannya untuk kesedaran dan menulis pendapat-pendapatnya tentang
berbagai masalah serta mula menerbitkan majalah bulanan Tarjuman al-Quran
yang menjadi sarana penyalur gagasan-gagasannya. Perhatiannya juga terlibat
dalam masalah pertentangan antara pandangan hidup Islam dan pandangan
Barat moden yang sangat sekularistis (Muhammad al-Baqir 1984). Salah satu
sebab mengapa gagasan-gagasan Maududi menarik perhatian begitu besar
masyarakat adalah kerana metodologi yang digunakannya cukup baru dan
segar iaitu dengan melihat permasalahan yang dibahas dari perspektif
pengalaman dunia barat dan dunia Islam dan menyingkap dari kaca mata Al-
Quran dan Sunnah.
Pada awal 1940-an ,Maududi mendirikan suatu gerakan Islam yang
dipimpinnya sendiri iaitu Jama’ati Islami (Muhammad al-Baqir 1984).
Gerakan Jama’ti Islami ini disegani terutama disebabkan oleh pemimpinnya
dan anggotanya yang penuh integriti dan dedikasi terhadap Islam .Selepas
negara Pakistan lahir pada tahun 1947, Maududi segera berpindah ke Pakistan
dan mula memusatkan segala tenaga dan pemikirannya untuk mendirikan
sebuah negara Islam yang benar-benar sesuai dengan ajaran Islam. Untuk
mencapai tujuan tersebut, Maududi berkali-kali membanjiri masyarakat
dengan penulisan-penulisannya bagi menyoroti masyarakat dengan ajaran
Islam terutama sekali yang berhubung dengan masalah-masalah sosial dan
politik.Penjara bagi Maududi bukanlah tempat tinggal yang asing lagi.Tekad
yang teguh membuak-buak demi mempertahankan pendiriannya benar-benar
dikagumi ,baik teman mahupun lawannya.
Pada tahun 1953, Maududi dijatuhi hukuman mati atas tuduhan
“subversif” yang berkaitan dengan masalah mazhab Ahmadiyah Qadiani.
Namun apa yang menariknya al-Maududi tidak memohon keampunan atas
kesalahan yang dituduh terhadapnya. Dengan sangat senang hati beliau
memilih kematian daripada meminta pengampunan kepada mereka yang ingin
menggantungnya.Ia mengatakan kepada anaknya dan sahabat-sahabatnya :
“Jika ajal bagi saya telah datang,tidak seorang pun dapat
mengelakkannya;akan tetapi bila ajal itu memang belum datang,mereka tidak
akan dapat menggantung saya,walaupun mereka sampai menggantung diri
mereka sendiri untuk dapat menggantung saya.” (Muhammad al-Baqir
1984).Keteguhan Maududi ini seterusnya telah mengoncangkan pemerintah
dan dibawah tekanan-tekanan dari dalam dan luar negeri,pemerintah Pakistan
mengubah hukuman mati itu menjadi hukuman seumur hidup. Maududi
sepanjang hayatnya telah mengabdikan hidupnya untuk agama dan umat Islam
dunia tanpa rasa bosan sehinggalah beliau menemui ajalnya pada tahun 1979.
2.0 PEMIKIRAN ABUL A’LA AL-MAUDUDI
2.1 Teori Politik Maududi
Pada dasarnya Maududi menghuraikan teori politik Islam menerusi
bukunya dengan sangat mengecam sistem kerajaan disebabkan sistem kerajaan
atau monarki memang tidak memiliki tempat di dalam Islam. Dengan
meminjam istilah Nabi s.a.w., Maududi mengingatkan bahawa seluruh
kerajaan pasti memaksa rakyat untuk mentaati kekuasaannya yang dijalankan
secara turun-temurun dan kerana itu kerajaan itu dianggap sebagai menjadi
mulk adhudh atau “kerajaan yang menggigit”,iaitu menindas rakyat dan
merampas hak-hak rakyat dalam bidang politik,ekonomi ,hukum ,dan
sebagainya (Maududi 1978). Dalam zaman dahulu mahupun di dalam zaman
moden kini,setiap kerajaan pada hakikatnya selalu menggigit
rakyatnya,termasuk sekiranya Kerajaan Arab Saudi yang dianggap oleh orang
ramai sebagai kerajaan yang menerapkan ajaran Islam,padahal ia berlaku
sebaliknya.
Maududi merupakan seorang pemikir yang tajam dalam
mengemukakan analisis sebab-sebab kejatuhan politik umat Islam dimana
beliau mengingatkan umat Islam bahawa kejatuhan politik umat Islam dimulai
sejak ditinggalkannya sistem Khilafah yang jatuh pada zaman Turki
Uthmaniyah dan memakai pula sistem mulk atau sistem kerajaan. Bagi Abul
A’la, sistem monarki adalah malapetaka paling besar dan paling tragis yang
menimpa kaum muslimin dunia (Maududi, 1978).
Menurut Maududi,asas terpenting dalam Islam adalah tauhid, dan
seluruh nabi serta rasulullah mempunyai tugas penting untuk mengajarkan
tauhid kepada seluruh umat manusia (Maududi ,1986). Nampak tugas
menanamkan tauhid pada umat manusia cukup mudah dan sederhana tetapi
bila diingat bagaimana para musuh orang-orang beriman menentang tauhid itu
dengan segala macam jalan,maka ianya menyedarkan kita bahawa doktrin-
doktrin yang terkandung dalam ajaran tauhid itu sangat revolusioner dan
mempunyai implikasi yang sangat jauh dalam mengubah tata sosial, tata
politik, dan tata ekonomi yang sudah ada dimana ianya tidak berlandaskan
tauhid tersebut (Muhammad al-Baqir, 1984).
Ajaran tauhid itu sendiri sangat sederhana ,iaitu : “Tiada tuhan selain
Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”. Seandainya pengakuan “Tiada
tuhan selain Allah” bererti bahawa seorang manusia mengesakan Allah dan
menyembah-Nya di tempat-tempat ibadah dan kemudian manusia itu
mempunyai kebebasan penuh untuk berbuat apa saja di luar tempat ibadah dan
menghambakan diri kepada kuasa selain Allah, maka alangkah bodohnya para
penguasa di berbagai negara mengerahkan kekuatannya untuk menentang
tauhid. Ianya berketepatan dengan fahaman sekular yang menganggap
pemerintahan perlu dipisahkan daripada sebarang unsur keagamaan.
Masalah utama yang menjadi pertentangan besar ketika zaman nabi
dan rasul dalam menentang lawan-lawan mereka bukanlah terletak pada
pengingkaran musuh-musuh nabi dan rasul terhadap wujud atau kewujudan
tuhan,kerana kebanyakan manusia,termasuk para musuh rasul ketika itu
mengakui kewujudan tuhan itu sendiri(Maududi ,1978). Bahkan mereka
percaya bahawa tuhan sajalah yang telah menciptakan seluruh alam semesta
dan segenap isinya bahawa mekanisme alam dan hukum-hukumnya juga
tunduk kepada kehendak Tuhan dan bahawa Tuhan sajalah yang berkuasa
menurunkan hujan, mengirimkan angina dan menguasai matahari,bumi dan
bulan dan sebagainya. (Lihat Al-Quran, 23:84-89; 29:61 ,63 ; dan 43: 87) .
Akan tetapi mereka tidak mengakui bahawa Allah adalah rabb dan ilah.
Dalam bahasa Arab ilah bererti tuhan yang disembah. Hubungan
manusia dengan ilah-nya adalah laksana hubungan antara hamba sahaya yang
setia dengan tuannya;si hamba itu sanggup mengorbankan apa sahaja yang
dimilikinya untuk kebahagian tuannya.Demikian juga seorang manusia yang
telah berikrar dengan la ilaha illallah , bererti dia telah bersedia mematuhi
kehendak Allah dan tidak akan mengakui kekuasaan selain kekuasaan Allah
(Muhammad al-Baqir ,1984) . Seluruh hidupnya,matinya,solatnya dan
ibadatnya hanya ditujukan kepada Allah semata-mata.
Umumnya, kalimah Rabb dalam bahasa arab digunakan ke atas sesuatu
yang disandarkan kepadanya tadbir ke atas sesuatu. Dengan sebab tadbir,maka
segala yang berlaku adalah berada di bawah tadbirnya (Othman Napiah ,2005).
Secara kesimpulannya rabb bererti Tuhan yang memelihara, mengatur,
mengasihi dan menyempurnakan. Oleh kerana itu hubungan antara manusia
dan rabb-nya harus mempunyai kepasrahan,ketaatan dan ketundukan
(Muhammad al-Baqir,1984). Disinilah sesungguhnya kita perlu jelas dengan
persoalan yang tidak boleh kita lupakan bahawa ketaatan,
kepasrahan ,ketundukan ,dan kesetiaan manusia hanyalah untuk Allah sahaja
dan untuk peraturan-peraturan yang berasal dari-Nya, dan tidak boleh
kesetiaan itu dicabuli kepada sesama makhluk yang lain.
Dengan itu Maududi mengatakan bahawa penjelasan yang mengatakan
bahawa para penguasa sejak dulu sampai sekarang wajib ditaati adalah terbatal
dengan sendirinya di dalam Islam malah Islam melaknat dan memerangi
fahaman sebegitu rupa. Perkara ini dapat dibuktikan menerusi kisah
Firaun,penguasa yang menganggap dirinya tuhan yang diceritakan di dalam
Al-Quran ;bermaksud “saya adalah tuhanmu rabb yang maha tinggi” dan :
“saya tidak mengakui adanya tuhan/ilah untukmu kecuali aku” . Begitu juga
ketika zaman Nabi Ibrahim dimana Raja Namrud ketika itu membuat
kenyataan yang sama seperti Firaun malah Namrud mengatakan dialah tuhan
yang memberi hidup dan membuat seseorang itu mati(Muhammad al-
Baqir,1984). Akan tetapi ia menjadi bingung ketika ditentang oleh Nabi
Ibrahim apabila disuruh untuk menerbitkan matahari dari arah sebelah barat
jika ia benar-benar tuhan.
Maududi mengingatkan bahawa zaman moden sekarang fenomena
Fira’un dan Namrud masih tetap dapat kita amati secara jelas . Terlalu banyak
penguasa negara yang bertingkah dan bersikap bagaikan Firaun dan
Namrud,yang merasa dirinya benar dan menuntut ketaatan rakyat secara
mutlak tanpa penafian. Pada zaman moden sekarang,para penguasa tidak ada
yang menyatakan dirinya sebagai tuhan, tetapi tuntutan-tuntutan mereka tidak
ubahnya dengan tuntutan-tuntutan tuhan iaitu kemutlakan kekuasaannya ke
atas rakyat yang diperintah. Autoriti dan kekuasaannya pantang
dikritik,apalagi ditentang. Namun yang peliknya,sejarah menunjukkan bahawa
pada umumnya rakyat memang mudah ditundukkan dengan ancaman, ugutan
dan bayangan-bayangan mengerikan akibat propaganda yang efektif dari para
penguasa seperti mementingkan materialism rakyat dan memberikan janji
manis kepada rakyat (Machiavelli, 1987).
Apakah yang akan terjadi sekiranya berlaku dominasi manusia ke atas
manusia yang lain atau jika seorang diktator atau kelompok yang berada
disekelilingnya mendominasi rakyat?.Maka akan berlakunya kehausan kepada
kekuasaan demi kekuasaan tanpa henti oleh sang diktator dan menyebabkan
mereka hilang pertimbangan diri.Disebabkan itu, Maududi mengatakan
bahawa pemerintahan bersifat diktator seperti tirani,despotisme,ketidak-adilan
dan eksploitasi manusia atas manusia adalah sumber malapetaka dan
kemalangan manusia sejak dahulu sampai sekarang (Maududi,1978).Inilah
akibatnya apabila penguasa berlagak dengan memainkan fungsi ketuhanan dan
dominasi dianggap seperti kanser (Muhammad al-Baqir,1984) ,yang
merosakkan kehidupan moral,intelektual ,politik ,dan ekonomi masyarakat
manusia serta menghancurkan nilai-nilai kebaikan yang memisahkan maruah
manusia dari alam binatang.Demikianlah keadaan di masa lalu dan demikian
pula keadaan sekarang.
Oleh itu,satu-satunya ubat untuk melawan kanser yang merebak ke
dalam norma kehidupan masyarakat itu adalah dengan penolakan dan
penyangkalan secara mutlak setiap faktor dan gejalan penuhanan kepada
sesama manusia yang biasanya tersimpan rapi di dalam beberapa ideologi yang
bersifat “man-made” dengan merubah kepada kembali pada keyakinan yang
benar iaitu mengakui Tuhan iaitu Allah sajalah yang berhak atas
penyembahan, kepasrahan ,ketundukan ,dan ketaatan manusia. Deklarasi
“Tidak ada tuhan selain Allah” itu merupakan kunci pembebasan jiwa manusia
dari setiap jerat dan belenggu dan pendorong kekuatan intelektual dan material
yang bebas dari ikatan-ikatan perhambaan.
2.2 Prinsip Kedaulatan Tuhan
Jika dilihat dari kacamata teori politik moden dan teori politik
sekular,teori politik Islam yang dikembangkan oleh Maududi kelihatan
unik,nahkan mungkin ganjil. Keunikan teori politik Maududi terletak pada
konsep dasar yang menegaskan bahawa kedaulatan ada di tangan tuhan,
‘bukan’ di tangan manusia. Jadi berbeza dengan teori demokrasi dimana teori
tersebut menyatakan bahawa kedaulatan berada di tangan rakyat.
Dalam kenyataannya, kata-kata “kedaulatan rakyat” seringkali menjadi
kata-kata kosong kerana penglibatan rakyat dalam kebanyakan negara
demokrasi hanyalah dilakukan empat atau lima tahun sekali iaitu dalam bentuk
pilihan raya, sedangkan pengendalian pemerintahan sesungguhnya berada di
tangan sekolompok kecil penguasa yang menentukan seluruh kebijaksanaan
dasar negara(Maududi ,1978). Sekelompok penguasa itu bertindak atas nama
rakyat, sekalipun sebahagian fikiran dan tenaga hanyalah untuk melestarikan
kekuasaan yang mereka pegang dan untuk mengamankan kepentingan mereka
sendiri.
Maududi dilihat sangat memahami praktik “kedaulatan rakyat”
sebagaimana yang dikemukakan oleh teori demokrasi. Sesiapa pun yang
sedikit mendalami amalan demokrasi memang akan menyedari bahawa yang
paling sering berlaku adalah hukum besi oligarki (the iron law of
oligarchy) ,iaitu sekelompok penguasa saling bekerjasama untuk menentukan
berbagai kebijaksanaan politik,sosial dan ekonomi negara tanpa harus
menanyakan bagaimana sesungguhnya aspirasi rakyat yang sebenarnya.
Disamping itu al-Maududi juga sangat memahami bahawa suara
majoriti iaitu yang biasanya menentukan sistem dalam demokrasi akan
menjurus kepada kesalahan-kesalahan besar kerana mesin propaganda yang
digerakkan oleh pemerintah dapat jua mencipta suara majoriti yang “telah
diatur”( Muhammad al-Baqir,1984).
Itulah yang menjadi sebab al-Maududi tidak ghairah untuk menyetujui
demokrasi seperti yang diamalkan oleh kebanyakan negara moden yang
ternyata sistem politik yang dianggap paling moden itu gagal menciptakan
keadilan sosio-ekonomi, sosio-politik dan juga keadilan hukum. Jurang antara
kasta kaya dan kasta miskin tetap semakin menjauh,hak-hak politik rakyat
hanya terbatas hanya untuk empat atau lima tahun sekali dan dalam amalan
demokrasi yang sebenar-benarnya,mereka yang duduk dalam kelas atasan akan
memperolehi perlindungan sedangkan rakyat kebanyakan,rule of law tetap
merupakan slogan kosong tanpa dapat dirasakan dalam kehidupan seharian
mereka.
Akan tetapi penolakan Maududi terhadap teori kedaulatan rakyat bukan
terutama berdasarkan bukti-bukti amalan demokrasi yang terlalu sering
menyeleweng,namun ianya berdasarkan pemahamannya terhadap ayat Al-
Quran yang menunjukkan bahawa autoriti tertinggi adalah di tangan tuhan
dimana alam seluruhnya perlu tunduk kepada pemilik yang maha berkuasa
iaitu yang menciptakannya;ia perlu mengikut akan segala perintahnya (H.O.K.
Rahmat, 2006).Disamping itu Tuhan sajalah yang berhak memberikan hukum
bagi manusia. Manusia tidak berhak menciptakan hukum atau menentukan apa
yang boleh dan apa yang dilarang (Maududi,1978). Hukum disini bererti
norma-norma dasar bagi penciptaan masyarakat yang adil dan
sejahtera .Bukannya hukum-hukum pentadbiran atau hukum-hukum lalu lintas
dan sebagainya.
Atas pemahamannya tentang autoriti tertinggi hanya terletak di tangan
Tuhan,maka oleh itu Maududi menurunkan beberapa prinsip.Pertama, tidak
ada seseorang,sekolompok orang atau bahkan seluruh penduduk suatu negara
dapat melakukan tuntutan atas sebab kedaulatan(Muhammad al-
Baqir,1984).Hanya Allah sajalah yang memegang kedaulatan dalam erti
sebenarnya dimana seluruh manusia hanyalah pelaksana kedaulatan Tuhan.
Kedua,Tuhan adalah pencipta hukum yang sebenarnya (the real law-
giver), sehingga Dia sajalah yang berhak membuat legislasi secara
mutlak(Maududi,1986).Manusia diperkenankan untuk membuat legislasi
selagi legislasi itu tidak bertentangan dengan legislasi dasar yang berasal dari
wahyu. Oleh yang demikian kita tidak dapat melakukan perubahan atas hukum
yang telah ditetapkan oleh Allah walaupun rancangan perubahan itu
dipersetujui secara saksama oleh seluruh anggota perwakilan rakyat
misalnya.Ketiga,suatu pemerintahan yang menjalankan peraturan-peraturan
dasar dari Tuhan sebagaimana diterangkan oleh Nabi-Nya wajib memperoleh
ketaatan rakyat (Muhammad al-Baqir,1984), kerana pemerintahan seperti itu
pada prinsipnya bertindak sebagai badan politik yang menjalankan peraturan-
peraturan Tuhan.
Namun persoalannya,adakah Islam menyetujui teokrasi? Jawapan
Maududi sangat tegas dengan mengatakan TIDAK. Apalagi jika yang
dimaksudkan adalah teokrasi Eropah yang pernah berkembang pada abad
pertengahan dimana sekelompok paderi elit merasakan mereka lebih tahu
segala persoalan dunia dan mereka begitu jauh terpisah dari rakyat
kebanyakan.Mereka menggunakan alasan atas nama Tuhan mereka dapat
mendominasi kekuasaan dan melaksanakan hukum-hukum yang mereka
ciptakan sendiri dan sekali lagi semuanya itu dengan menggunakan sebab atas
nama Tuhan(Maududi ,1978). Menurut al-Maududi, pemerintahan seperti itu
bukan bersifat ketuhanan tetapi lebih bersifat setani iaitu penyembahan kepada
setan bukan kepada tuhan (Muhammad al-Baqir,1984).Pemerintahan yang
dibangunkan oleh Islam bukan untuk dikuasai oleh agamawan tertentu atau
kaum ulama,namun dikuasai oleh seluruh masyarakat Muslim, oleh kumpulan
rakyat itu sendiri.
Dapatlah dilihat bahawa Maududi menentang konsep kedaulatan rakyat
ala demokrasi Barat. Dilihat dari falsafah politik,apa yang diajarkan oleh al-
Maududi sebenarnya merupakan percanggahan terhadap demokrasi Barat
sekular. Demokrasi Barat mengajarkan bahawa kekuasaan mutlak untuk
membuat legislasi berada di tangan rakyat,bahkan penentuan nilai-nilai dan
norma-norma tingkah laku juga ada di tangan rakyat. Pembuatan hukum juga
harus sesuai dengan selera dan pendapat umum rakyat.Apabila sesuatu
pemerintahan itu majoritinya diperintah oleh rakyat,segala perjalanan akan
diteruskan meskipun ianya melanggar ajaran moral dan nilai agama.
Tambahan pula,rakyat juga berhak membatalkan segala rancangan yang tidak
melanggar etika dan moral agama(Abu Zahra .1999) .Namun Islam dapat
mengelakkan kelemahan-kelemahan demokrasi tersebut. Islam menolak
fahaman kedaulatan rakyat dan mengembangkan teori politik dan masyarakat
politik yang bersandar pada kedaulatan Tuhan dan khilafah (Maududi,1978).
Islam memberikan kedaulatan terbatas kepada rakyat,dan itu sudah jelas. Abu
A’la al-Maududi membandingkan Islam dengan agama yang lain, mempunyai
banyak kelebihan dan keunggulan. Islam dapat digunakan selamanya-lamanya,
karena Islam tidak berdasarkan pada adat dan kebiasaan bangsa atau waktu
tertentu. Tetapi didasarkan pada fitrah dan kejadian manusia(Fauzi Rahman
1993).Rakyat dalam teori politik Islam tidak dapat dan tidak boleh
menggunakan kedaulatannya itu dengan semahu-mahunya kerana ada
peraturan-peraturan Tuhan,norma,dan nilai-nilai illahi yang harus
ditaati.Malahan norma-norma dan nilai-nilai ilahi itu harus menjadi paradigm
program-program sosial, politik, dan ekonomi yang ditentukan oleh rakyat
melalui para wakilnya.
Dari pengertian prinsip ini Abul A’la al-Maududi kemudian mencipta
istilah theo-democracy Islam bererti bahawa Islam memberikan kedaulatan
kepada rakyat,akan tetapi kedaulatan itu tidak mutlak kerana dibatasi oleh
norma-norma yang datangnya dari tuhan (Maududi,1986). Dengan kata lain,
kedaulatan rakyat terbatas di bawah pengawasan tuhan.
Abul A’la secara meyakinkan telah menunjukkan kelemahan teori
kedaulatan rakyat seperti yang diamalkan di dalam demokrasi sekular Barat.
Sebahagian besar rakyat tidak terlibat dalam proses pemerintahan dala legislasi
atau pembuatan hukum kerana secara teorinya,mereka telah mewakilkan
kekuasaan mereka kepada para wakil rakyat melalui sistem pemilihan
umum(Maududi,1986). Para wakil rakyat membuat dan melaksanakan hukum
atas nama rakyat. Akan tetapi kerana politik dan agama telah dipisahkan sama
sekali akibat daripada sekularisme, masyarakat pada umumnya dan juga
mereka yang aktif dalam bidang politik pada khususnya tidak lagi
mementingkan nilai etika dan moral.
Di samping itu mereka yang dapat mencapai puncak-puncak kekuasaan
dalam negara biasanya adalah orang-orang yang berhasil mempengaruhi
golongan rakyat melalui tekanan kekuasaan,manifesto palsu atau wang.Dalam
kenyataannya, para pemimpin ini bekerja dan berjuang bukan untuk
kesejahteraan rakyat yang telah memilihnya, namun mengutamakan
kepentingan kelompok atau kelasnya dan tidak sekali para pemimpin ini
memaksakan kehendaknya kepada rakyat kebanyakan(Maududi,1978).Inilah
yang menimpa rakyat di negara-negara yang menamakan dirinya
mengamalkan demokrasi sekular dan menganggap mereka sebagai syurga
demokrasi sekular(Muhammad al-Baqir,1984).
Andaikata kita lupakan masalah ini sebentar dan kita menganggap
bahawa kebanyakan hukum yang dibuat di negeri-negeri demokrasi sekular itu
sesuai dengan kehendak rakyat,maka akan segera menunjukkan kepada kita
bahawa rakyat tersebut cenderung tidak mengetahui secara cermat
kepentingannya sendiri. Manusia mempunyai kelemahan iaitu dalam berbahagi
urusan yang dihadapinya ia hanya mampu menangkap beberapa segi sahaja
dari suatu realiti yang kompleks dan tidak dapat memahami aspek-aspek
lainnya dari realiti tersebut.
Abul A’la mengemukakan sepotong contoh bagaimana rakyat Amerika
membuat satu hukum dan kemudiannya membatalkan hukuman yang sudah
dibuat dan dipersetujui itu iaitu: The Prohibition Law of America
(Maududi,1986) .Pada mulanya,rakyat Amerika secara rasional dan logik
berpendapat bahawa minum minuman keras tidak saja merosakkan kesihatan,
tetapi juga menimbulkan impak negatif bagi kemampuan mental dan
intelektual manusia serta mendorong timbulnya kekacauan dalam masyarakat.
Rakyat Amerika menerima kenyataan ini dan menyetujui dilaksanakan The
Prohibition Law. Hukum ini disetujui dengan suara majoriti. Akan tetapi
ketika hukuman ini mulai dilaksanakan , rakyat yang pada mulanya bersetuju
kemudiannya memberontak dengan tidak mahu menerimanya. Aneka ragam
anggur dan minuman keras yang paling berbahaya tetap dihasilkan secara
haram dan penggunaan minuman keras semakin meluas.
Sedar atau tidak,penggunaan minuman keras itu mempengaruhi
kenaikan jumlah jenayah di negara paling moden seperti Amerika itu sendiri.
Jangan kita lupa bahawa Amerika merupakan negara yang tertinggi dengan
gejala jenayahnya di dunia.Akhirnya,dengan kehendak rakyat pula,hukuman
larangan minum keras itu dibatalkan. Rakyat yang sama, yang pada mulanya
bersetuju dengan hukuman yang dicadangkan ,kini sudah membantah
hukuman tersebut,itulah yang bersesuaian dengan teori “kedaulatan rakyat”
mereka.Dalam Islam,pembatasan atau kekangan terhadap kebebasan manusia
amatlah diperlukan selama pembatasan itu wajar dan demi kesejahteraan
manusia itu sendiri.
Maududi mengemukakan beberapa contoh fungsi hudud Allah di dalam
kehidupan ekonomi, kehidupan keluarga, kehidupan sosial dan sebagainya.
Dalam kehidupan ekonomi,sebagai contohnya, Tuhan telah meletakkan
berbagai kekangan terhadap kebebasan manusia.Hak milik peribadi memang
diakui, tetapi ada beberapa kelayakan yang harus dipenuhi. Tuhan melarang
pemilikan harta tanpa batas sehingga dapat menimbulkan jurang jauh antara
golongan kaya dan golongan miskin, melarang riba’, judi, spekulasi, serta
mengharuskan pembayaran zakat. Cara-cara tertentu yang tidak terpuji dalam
mengumpulkan harta dan penggunaannya diharamkan oleh Islam. Bilamana
masyarakat mematuhi batas-batas tersebut dan melakukan segala urusannya
dalam batas-batas yang ditetapkan, nescaya kebebasan masyarakat akan
terpelihara, baik individu mahupun kumpulan dan dari sisi lain, kemungkinan
terjadinya dominasi satu kelas atas kelas lainnya yang bermula dari penindasan
kapitalis dan berakhir dengan kediktatoran proletariat dapat dihindarkan.
Begitu juga dalam kehidupan keluarga, Tuhan telah meletakkan
peraturan-peraturan dasar. Pergaulan antara jenis diatur dengan rapi, tugas-
tugas suami,isteri dan anak-anak, digambarkan dengan jelas ; hukum-hukum
tentang penceraian, poligami bersyarat, tentang warisan dan lain-lain juga
diatur sangat sempurna. Sehingga sekiranya peraturan tuhan itu ditaati dengan
baik , tentu ianya dapat mencipta suatu kehidupan keluarga yang stabil dan
kehidupan masyarakat yang damai.Maududi mengingatkan bahawa negeri-
negeri Islam dapat saja mengabaikan hudud dari tuhan itu, bahkan sama sekali
menyingkirkannya sebagaimana yang terjadi di negara maju di dunia barat,
tetapi batas-batas tuhan itu sendiri akan terus berlaku sepanjang zaman. Suatu
pemerintahan yang ingin mencapai tujuan-tujuan luhurnya akan mengindahkan
lagi batas-batas tuhan tersebut.
2.3 Teori Negara Maududi
Bentuk negara Islam menurut al-Maududi dapat disebut dengan Kingdom
of God (Maududi,1986). Teokrasi Islam menurutnya berbeza dengan teokrasi
yang pernah diterapkan oleh negara-negara di Eropah dimana negara dikuasai
oleh sekelompok pendeta yang mendominasi negara dan menegakkan hukum-
hukumnya sendiri atas nama Tuhan, dan memaksakan hukum tersebut kepada
rakyat untuk kepentingan kelompok tertentu. Teokrasi dalam Islam tidak
dikuasai oleh kelompok-kelopok tertentu, tetapi dikuasai oleh seluruh
masyarakat Islam. Sistem ini menyatukan antara sistem teokrasi dan
demokrasi. Sistem pemerintahan demokrasi ilahi ini berlaku kerana kaum
muslimin mempunyai kedaulatan rakyat tetapi terbatas di bawah pengawasan
Tuhan. Undang-undang dalam negara Islam secara mutlak telah ditentukan
oleh Allah,sementara hal-hal yang bersifat spesifik dan tidak tecantum
dalam syari’ah diselesaikan berdasarkan musyawarah dan mufakat secara
sepakat dalam kalangan umat muslim.
Maududi menerangkan beberapa tujuan mengapa perlu wujudnya
negara.Pertama,untuk mengelakkan terjadinya eksploitasi antara
manusia,antara kelompok atau antara kelas dalam masyarakat(Maududi,1978).
Ini kerana tanpa negara,manusia bebas melakukan apa jua perkara sama ada
positif mahupun negatif,sama ada bermoral mahupun tidak
bermoral.Kedua,negara bertujuan untuk memelihara kebebasan
ekonomi,politik, pendidikan dan agama para warganegara dan melindungi
seluruh warganegara dari pencerobohan warga asing.Ketiga,negara bertujuan
untuk menegakkan sistem keadilan sosial yang seimbang sebagaimana yang
dikehendaki oleh Allah di dalam Al-Quran.Keempat, tujuan negara adalah
untuk membanteras setiap kejahatan dan mendorong kepada setiap perkara
kebajikan yang dengan tegas telah digariskan di dalam Al-Quran
(Maududi .1995). Negara menjadi wadah penting supaya rakyat dapat
dilindungi daripada jenayah akibat desakan daripada undang-undang.
Kelima,menjadikan negara itu sebagai tempat tinggal selesa dan aman untuk
setiap warganegara dengan melaksanakan hukuman tanpa diskriminasi atas
mana-mana individu atau kumpulan.
Kebanyakan teori negara yang dianjurkan oleh Al-Maududi adalah
berdasarkan pemahamannya terhadap Al-Quran.Bagi Maududi, ciri-ciri khas
negara Islam terdiri daripada sembilan ciri.Pertama,negara ini didirikan atas
dasar kesedaran suatu bangsa yang merdeka dan bersedia menundukkan
kepalanya secara sukarela kepada tuhan semesta alam, meskipun adanya
kenyataan bahawa ia adalah bangsa merdeka iaitu bangsa yang mencapai
kemerdekaan dengan sempurna. Dan ia rela menerima kedudukan sebagai
khalifah,bukan sebagai penguasa tertinggi daripada Allah namun berada di
bawah kekuasaan Allah dan memerintah sesuai dengan perundangan-
perundangan yang telah ditetapkan oleh Allah dalam kitab-Nya dan melalu
rasul-Nya.
Kedua,ciri-ciri negara Islam adalah negara yang mengiktiraf kekuasaan
dan kedaulatan undang tertinggi di dalam negaranya adalah sepenuhnya bagi
Allah. Bagi menggantikan keistimewaan yang pernah dimiliki oleh kaum
pendeta dan kaum-kaum yang seangkatan dengannya sebelum ini,mereka akan
diberikan kuasa bagi menjadi wakil kepada Allah,iaitu sebagai Khilafah.
Seperti mana yang diketahui dalam kekuasaan teokrasi, kita mendapati bahawa
khilafah atau perwakilan dari Allah dalam negara Islam adalah mereka yang
telah membuat perjanjian dengan Allah dengan kesedaran yang timbul dalam
diri mereka untuk patuh dan taat kepada Allah dan hukum-Nya (Daniel W.
Brown .2000).
Ketiga,negara itu mestilah mementingkan pendapat rakyat sepertimana
yang disyorkan di dalam teori demokrasi terutama bagi pembentukan
pemerintahan, penggantiannya serta pelaksanaannya namun kesemuanya akan
bersandarkan kepada undang-undang Allah dan Sunnah rasul-Nya. Dalam
sistem demokrasi rakyat tidak akan terlepas daripada menjadikan undang-
undang negara, prinsip-prinsip kehidupannya, garis-garis politik dalam dan
luar negara serta seluruh daya dan sumber kekuatannya mengikut hawa nafsu
atau kecenderungan mereka. Ini akan menjadikan negara tersebut ‘cacat’ dari
segi pelaksanaan sistem negaranya. Dengan itu, rakyat perlu diatur dan
diuruskan dengan undang-undang Allah dan Rasul-Nya iaitu dari segi undang-
undang dasar yang tertinggi, mengikut kepada prinsip-prinsipnya, menjaga
batasan-batasannya, hukum-hukumnya dan ikatan akhlaknya. Maka dengan
itu, segala perjalanan sistem pemerintahan tidak boleh diubah sama ada oleh
badan legislatif, judikatif dan eksekutif atau bahkan rakyat itu sendiri.
Keempat, negara yang melandasi pemerintahan negaranya dengan
ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah perlulah diperintah oleh orang yang
prinsip dan teorinya berlandaskan Al-Quran dan Sunnah selain daripada benar-
benar dipercayai oleh rakyatnya sendiri. Adapun orang-orang yang tidak
meyakini kebenarannya dan tidak menerimanya dengan baik namun mereka
masih mahu tinggal di dalam batasan yang telah diterapkan itu tadi,mereka
juga memiliki hak-hak yang sama dengan orang yang meyakini dan menerima
prinsip-prinsip serta gagasan negara tersebut.
Kelima, ciri negara yang baik hanya berdiri atas ideologi semata-mata dan
tidak atas dasar warna kulit, bangsa , bahasa , atau batas-batas muka bumi.
Setiap manusia walau dimanapun mereka berada di atas muka bumi ini akan
dapat menerima prinsip-prinsip yang ada terutama apabila mereka ingin
menggabungkan dirinya ke dalam sistem sesuatu negara.Mereka juga akan
memperoleh hak-haknya sama seperti yang lain tanpa perbezaan, kefanatikan,
atau kekhususan. Dan bagi negara yang mengamalkan prinsip yang berlandas
syariat ini tetap dikira sebagai “negara Islam” tidak kira dimanapun jua sama
ada di Afrika, Amerika , Eropah atau di Asia mahupun mereka berlainan kulit
sekalipun. Tidak ada apa-apa perkara yang akan menghalang sesuatu negara
itu menjadi sebuah negara Islam yang bersesuaian dengan hukum-hukum
global.
Keenam, semangat yang kekal dan perlu dijiwai oleh negara ialah
mengikuti akhlak bukannya mengikut politik serta tujuan-tujuannya semata-
mata. Negara juga perlu menjalankan urusan-urusan dengan sifat takwa kepada
Allah dan takut kepadaNya. Akhlak perlu dijadikan sumber keutamaan untuk
dinilai dalam urusan-urusan negara terutamanya ketika pemilihan para
pemimpin.Pemimpin yang mempunyai kebersihan akhlak disamping
mempunyai kemampuan intelektual dan fizikal perlu diberi keutamaan. Setiap
perkara dalam urusan dalam sistem negara ini haruslah ditegakkan atas dasar
amanat, keadilan, ketulusan dan persamaan supaya usaha perdamaian dan
keadilan global dapat dicapai dengan sebaik-baiknya.
Ketujuh, negara bukanlah bertujuan hanya melaksanakan kewajipan yang
berlandaskan dasar semata-mata, dimana negara hanya bertujuan
menangkap,menahan ,menetapkan peraturan-peraturan serta menjaga batas-
batas negara semata-mata tetapi negara perlu mempunyai sasaran dan tujuan.
Sebagai contoh, negara perlu menyeru kepada perbuatan kebajikan,
melaksanakan keadilan sosial, menyuburkan kebajikan, mencegah
kemungkaran, dan membanteras kejahatan serta segala bentuk kerosakan.
Kelapan , negara perlu mempunyai nilai-nilai asas seperti hak
persamaan,kedudukan dan perlaksanaan undang-undang, saling tolong-
menolong dalam kebaikan dan ketakwaan dan tidak saling tolong-menolong
dalam melakukan dosa dan kemaksiatan, kesedaran kepada tanggungjawab di
hadapan Allah, kesesuaian antara individu dan masyarakat serta negara dalam
satu tujuan serta tidak membiarkan salah seorang anggota rakyat negara ini
tidak dipenuhi dengan keperluan asasinya.
Kesembilan, ciri-ciri negara khas negara Islam ialah wujudnya hubungan
yang seimbang antara individu dan negara dalam sistem ini , sehingga tidak
menjadikan negara ini sebagai negara yang dikuasai oleh penguasa mutlak
yang dapat berbuat apa-apa sahaja. Penguasa juga tidak boleh menjadikan
dirinya sebagai majikan yang memiliki kekuasaan tanpa batasan dan
kekuasaan yang meliputi segalanya sehingga menjadikan rakyat sebagai
hamba yang dimilikinya.Namun begitu,penguasa juga tidak perlu memberikan
kemerdekaan mutlak tanpa batasan kepada individu dan membiarkan mereka
dapat berbuat apa sahaja tetapi penguasa perlu memenuhi keperluan asas yang
wajib dimiliki oleh setiap masyarakat itu sendiri. Pemerintah juga perlu
mewajibkan keatas diri dan rakyatnya untuk patuh kepada undang-undang
yang telah ditetapkan oleh Allah dan syariat-Nya dan bekerjasama dengan
masyarakat dalam skop kebajikan dan kebaikan dan melarang mereka
melakukan kerosakan atau menyebarkan kekacauan di dalam negara atau
enggan berkorban dengan jiwa dan harta demi menjaga dan
mempertahankannya.
3.0 KRITIKAN TOKOH TERHADAP PEMIKIRAN AL-MAUDUDI
Sebagai manusia biasa, Maududi tidak terlepas daripada menerima
kritikan.Terdapat beberapa tokoh dan penulis yang mengkritik beliau tentang
beberapa aspek pemikiran beliau yang dianggap longgar . Salah seorang yang
mengkritik beliau adalah Sayyid Vali Reza Nasr yang mengatakan bahawa
Maududi kurang memperhatikan tentang kerja atau asas ilmiah ekonomi dan
hanya lebih cenderung melihat kepada potensi iaitu keefektifan bukan terletak
kepada teknik atau operasinya tetapi pada muatan etikanya dan juga
tanggungjawab sebuah negara Islam. Ini tidak menghairankan kita kerana
Maududi bukanlah pakar ekonomi yang perlu menerangkan tentang
pendekatan ekonomi yang begitu mendalam sehingga kepada tekniknya. Ini
tidak wajar kerana Maududi adalah seorang pendakwah dan reformis yang
menyeru manusia kembali kepada mentaati perintah Allah dan tunduk kepada
undang-undangNya sebagai mana yang telah ditunjukkan oleh para Rasul dan
juga pengikut-pengikutnya. Adakah para Nabi dan Rasul dalam sejarah umat
ini mengajarkan teknik-teknik perekonomian? . Pakar ekonomi adalah lebih
arif dan memahami tentang perkara tersebut. Maududi hanya menerangkan
tentang ruang dan batas-batas perekonomian yang dibenarkan oleh syarak.
Salah seorang tokoh ulama yang membetulkan pemikiran Maududi
adalah Al-Sayyid Abu al Hassan Ali Al-Nadwi. Kritikan beliau terhadap
Maududi lebih terutama kepada buku penulisan Maududi iaitu al-Mustalaha
al-Arba’ah fi al-Quran (empat perkara asas dalam Al-Quran). Bagi Al-Nadwi
idea-idea yang dikemukakan oleh Maududi adalah beorientasikan politik
sehingga boleh menimbulkan kekeliruan yang serius terhadap hakikat Islam.
Permasalahan yang menjadi isu adalah berkisar kepada hakimiyyatu ‘Llah (hak
perundangan Allah s.w.t.) yang ditafsirkan sebagai membawa implikasi
bahawa manusia sama sekali tidak mempunyai ruang untuk membuat
peraturan sendiri kerana segala-galanya, kecil mahupun besar adalah hak
mutlak Allah s.w.t. sebagai satu-satunya hakim. Membuat peraturan sendiri
(dalam bentuk apa jua sekalipun) bererti merampas hak Allah s.w.t dengan
implikasi syarak dan terkeluar dari agama. Menurut Al-Nadwi, tuhan
memberikan ruang yang cukup luas bagi manusia mencipta peraturan sendiri
sesuai dengan keperluan mereka dari masa ke semasa dalam hal-hal yang tidak
dinaskan di dalam Al-Quran dan al-Sunnah (Siddiq Fadhil,2000). Ustaz
Hassan Hudhaibi, Mursyidul Am Kedua Ikhwanul Muslimin sependapat
dengan Al-Nadwi mengenai perkara ini. Beliau menjelaskan perkara tersebut
dengan panjang lebar di dalam bukunya Duat La qadah (Pendakwah Bukan
Penghukum) (Hasan Ismail Hudhaibi,1991).
Menurut Al-Nadwi , al-Maududi terlalu menekankan hakim sebagai
hubungan asas antara tuhan dengan manusia. Bagi Al-Nadwi, hubungan tuhan
dengan manusia tidak harus berpusat dan tertumpu hanya pada bentuk hakim-
mahkum sehingga mengabaikan bentuk-bentuk hubungan lain yang lebih luas
seperti hubungan pencipta dengan makhluknya dan lain-lainnya. Al- Nadwi
risau seandainya pemikiran tersebut memberi kesan seperti yang dimaksudkan
oleh ayat “Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang
semestinya” (Al-An’am 91). Selain itu mungkin kerana iltizam yang sangat
kuat untuk mendirikan pemerintahan Islam ,berlaku pula keterlanjuran yang
menganggap ibadat asas seperti solat, puasa , zakat ,haji (Maududi,1995)
hanya sebagai wasilah, wahana , persiapan dan latihan untuk mencapai
matlamat mendirikan pemerintahan ketuhanan. Pemikiran ini diperbetulkan
oleh Al-Nadwi dengan menegaskan bahawa ibadat seperti yang disebutkan itu
pada hakikatnya bukan cuma wasilah (wahana) tetapi adalah ghayah
(matlamat) yang tersendiri .
Al-Nadwi membuat penelitian dan teguran tersebut atas rasa
tanggungjawab dan semangat kecintaan kepada Maududi . Namun al-Maududi
memberikan reaksi yang begitu menarik untuk direnungkan bersama. Maududi
mengucapkan terima kasih atas teguran yang dilakukan dan meminta agar al-
Nadwi sudi meneliti tulisan-tulisannya yang lain sambal mengatakan saya
tidak dapat berjanji untuk bersetuju sepenuhnya dengan anda tetapi saya pasti
akan menelitinya. Saya tidak pernah menganggap diri saya mengatasi kritikan
atau perbezaan pendapat(Hasan Ismail Hudhaibi,1991)..
Dapat dilihat di sini kritikan yang dilakukan oleh para ulama tersebut
terhadap Maududi adalah satu kritikan yang membina dalam keadaan mereka
saling memahami tentang tuntutan addin munasihah (agama itu nasihat) dan
juga memahami adab berselisih pendapat dalam sesuatu perkara. Mereka
membawa hujah yang tersendiri dalam menyatakan buah fikiran yang
bersumberkan Al-Quran dan Sunnah.
Selain itu juga Maududi dan perjuangannya bersama Jama’ati Islami
dilihat gagal dalam beberapa siri pilihanraya umum Pakistan. Ini memang
adalah satu kenyataan. Kegagalan ini dilihat agak menonjol kerana Jama’ti
banyak menggunakan wadah politik dalam perjuangannya. Antara punca-
punca kegagalannya adalah berpunca daripada pelbagai faktor antaranya
kelemahan di dalam merancang strategi. Ini kerana Jama’ti kurang
menumpukan perhatian kepada pengundi bawahan dan orang
kebanyakan.Sokongan kuat didapati banyaknya datang daripada golongan
intelektual namun di dalam pilihanraya ,undi majoriti adalah diutamakan
berbanding sokongan golongan berpendidikan.
Selain daripada manifesto yang tidak berkesan kerana tidak
menunjukkan keupayaan Jama’ti agar dapat menyediakan keperluan asas
seperti makanan, pakaian ,tempat tinggal dan sebagainya antara sebab
kurangnya sokongan daripada rakyat biasa. Prinsip keahlian yang
mengutamakan kualiti daripada kuantiti seperti yang dinyatakan oleh Maududi
di awal penubuhan Jama’ti Islami turut menjadi pendokong yang benar-benar
memperjuangkan idealism Jama’at adalah terhad berbanding majoriti rakyat.
Namun begitu beliau telah berjaya mengemukakan pemikiran
peradaban yang bernas berdasarkan al-Quran dan Sunnah dengan
mengetengahkan perbincangan-perbincangan yang berlandas dan berdasarkan
tentang peradaban. Beliau menggunakan ‘premis tauhid’ sebagaimana tokoh-
tokoh pemikir dan pejuang Islam abad ke-20 seperti Imam Hassan Al-Banna,
Syed Qutb dan Yusuf Qardhawi. Seterusnya beliau mencernakan pemikiran-
pemikirannya dengan perjuangan bersama Jama’at yang penuh dugaan serta
onak dan duri ,namun beliau terus melangkah sehingga menghembuskan nafas
terakhir pada 22 September 1979.
KESIMPULAN
Berdasarkan Pembahasan bab-bab sebelumnya penelitian ini menghasilkan
kesimpulan yang berikut: Pertama, negara yang dimaksudkan oleh Abu A’la al-
Maududi adalah negara yang bersumberkan al-Qur’an dan Sunnah. Yang mana
dalam konsep negara ini, Abu A’la al-Maududi menyebutnya dengan istilah Teo
Demokrasi untuk pemerintahan Islam. Bahawa Islam memberikan kedaulatan
kepada rakyat, tetapi kedaulatan tersebut tidak mutlak kerana ianya dibatasi oleh
norma-norma yang datangnya daripada Tuhan. Dengan kata lain, kedaulatan
rakyat terbatas dibawah pengawasan Tuhan.Sedangkan konsep politik Islam yang
dibawa oleh Abu A’la al-Maududi adalah Keesaan Tuhan dan iman terhadap
kekuasaan Allah.Iman merupakan kekuatan yang mendorong manusia
berhubungan dengan Tuhannya (Maududi, 1967). Berpegang pada misi para Nabi
yang memperkukuhkan kerajaan Allah diatas bumi ini serta menyebarkan sistem
kehidupan yang diamanatkan oleh Allah.Kedua secara jelas bahawa pemikiran
Abu A’la al-Maududi implikasinya adalah pelaksanaan norma-norma dan hukum
Islam dalam suatu negara, yang sumbernya diambil daripada al-Qur’an dan
Sunnah sebagaimana dicontohi daripada pola kenabian. Dan amalan kenegaraan
yang diterapkan Abu A’la al-Maududi adalah memasukkan aturan yang bersumber
dari Islam dan diamalkan ke dalam konteks kenegaraan sebagaimana yang di
inginkan Abu A’la al-Maududi.
RUJUKAN
Abdul Sani,(1998) Lintasan Sejarah Pemikiran Perkembangan modern Dalam Islam,
Jakarta: Raja Grafindo Persada
Abu Zahra.(1999)Politik Demi Tuhan, Bandung : Pustaka Hidayah
Al-Maududi, Abul A’la. (1967) “Pokok-pokok Pandangan Hidup Muslim” Terj.
Oesman Raliby, Jakarta : Bulan Bintang
Al-Maududi, Abul A’la .(1978). Al khilafah wal-Mulk.Kuwait :Daar Qalam
Al-Maududi, Abul A’la. (1984). Khilafah dan Kerajaan terj. Muhammad Al-Baqir.
Bandung:Mizan
Al-Maududi, Abul A’la. (1986). The Islamic Law and Constitution. Lahore : Islamic
Publ.
Al-Maududi, Abul A’la..( 1995) Hukum dan Konstitusi Sistem PolItik Islam. Terj.
Asep Hikmat Bandung : Mizan
Al-Maududi, Abul A’la. (2006).Asas-Asas Islam terj. H.O.K.
Rahmat.Kelantan :Dewan Pustaka Fajar.
Daniel W. Brown .(2000) .Menyoal Relevansi Sunnah dalam Islam Mdoern, terj.
Jaziar Radianti dan Entin Sriani Muslim .Bandung : Mizan
Fauzi Rahman,(1993). Upaya al-Maududi Memurnikan Pemahaman Islam
.Yogyakarta : Titian Ilahi Press.
Hasan Ismail Hudhaibi. (1991). Pendakwah Bukan Penghukum terj. Kota
Bharu,Pustaka Aman Press Sdn.Bhd.
Machiavelli, N. (1987). Sang Penguasa. Terj. C. Woekasari. Jakarta: Gramedia
Pustaka Utama.
Othman Napiah .(2005) . Kebersamaan dalam ilmu tasawuf. Johor Bahru: Univesiti
Teknologi Malaysia.
Siddiq Fadhil. (2000).“al-Sayyid Abu al-Hassan ‘Ali al-Nadwi: Tema-Tema Besar
Pemikirannya” Kuala Lumpur,Universiti Malaya