13
ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah BAB 7 SEJARAH LISAN DAN KAEDAHNYA OBJEKTIF - membicarakan tentang pengertian sejarah lisan dan permasalahan yang dilaluinya untuk menjadi sumber sejarah yang sahih. - Menghuraikan teknik-teknik yang dilakukan untuk menyempurnakan sejarah lisan seperti teknik rakaman, penyediaan rangka tugas dan persediaan peralatannya. - Juga membincangkan mengenai jenis-jenis sumber lisan sejarah. - Membincangkan tahap-tahap dalam proses sejarah lisan, di samping menghuraikan kepentingannya dalam usaha menghasilkan karya sejarah yang mengandungi fakta-fakta sejarah yang sahih dan tidak boleh dipertikaikan kebenarannya. Sejarah lisan bukanlah satu bidang yang baru. Ia sebenarnya merupakan satu kaedah inquiry untuk mendapatkan maklumat lanjut kepada sejarah bertulisan. Pada abad ke-5 sebelum masihi, sejarawan Herodotus (Bapa Sejarah) telah mengetahui tentang kegunaan sumber-sumber lisan sebagai tambahan kepada sumber- sumber tertulis. Thucydides, seorang sejarawan Yunani selepas Herodotus, telah menggunakan sumber lisan bagi melengkapkan kajiannya ke atas kekalahan orang Yunani kepada orang Sparta dalam peperangan Peloponnesia. Beliau telah menjalankan kaedah temubual untuk mendapatkan keterangan lisan serta dibandingkan

Bab7sejarah Lisan Dan Kaedahnya

Embed Size (px)

DESCRIPTION

sejarah lisan

Citation preview

TEKNIK DAN

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

PAGE 81ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

BAB 7

SEJARAH LISAN DAN KAEDAHNYA

OBJEKTIF

membicarakan tentang pengertian sejarah lisan dan permasalahan yang dilaluinya untuk menjadi sumber sejarah yang sahih.

Menghuraikan teknik-teknik yang dilakukan untuk menyempurnakan sejarah lisan seperti teknik rakaman, penyediaan rangka tugas dan persediaan peralatannya.

Juga membincangkan mengenai jenis-jenis sumber lisan sejarah.

Membincangkan tahap-tahap dalam proses sejarah lisan, di samping menghuraikan kepentingannya dalam usaha menghasilkan karya sejarah yang mengandungi fakta-fakta sejarah yang sahih dan tidak boleh dipertikaikan kebenarannya.

Sejarah lisan bukanlah satu bidang yang baru. Ia sebenarnya merupakan satu kaedah inquiry untuk mendapatkan maklumat lanjut kepada sejarah bertulisan. Pada abad ke-5 sebelum masihi, sejarawan Herodotus (Bapa Sejarah) telah mengetahui tentang kegunaan sumber-sumber lisan sebagai tambahan kepada sumber-sumber tertulis. Thucydides, seorang sejarawan Yunani selepas Herodotus, telah menggunakan sumber lisan bagi melengkapkan kajiannya ke atas kekalahan orang Yunani kepada orang Sparta dalam peperangan Peloponnesia. Beliau telah menjalankan kaedah temubual untuk mendapatkan keterangan lisan serta dibandingkan dengan sumber-sumber yang ada. Ini adalah kerana seseorang yang hendak mengkaji sejarah sesuatu masyarakat yang belum kenal tulisan hendaklah mendapatkan sumber lisan ataupun tradisi lisan tersebut. Sebaliknya, sekiranya seseorang penyelidik sejarah ingin mengkaji sejarah masyarakat yang telah tahu menulis, penyelidik akan menggunakan sumber bertulis sebagai bahan utama bagi kajilidikannya. Dalam pada itu, ia akan menggunakan sumber lisan sebagai alternatif bagi sumber-sumber bertulis yang kurang lengkap.Sumber sejarah lisan dapat dikategori kepada tiga, iaitu keterangan proto, keterangan saksi mata dan keterangan kata dengar. Keterangan proto ialah keterangan lisan yang dituturkan oleh pelaku yang telah terlibat dalam sesuatu peristiwa yang dikaji. Keterangan yang dituturkan adalah merujuk kepada peranan dan pengalaman peribadi atau penglibatan secara langsung dalam peristiwa berkenaan. Contohnya keterangan hidup seseorang pada masa pendudukan Jepun antara tahun 1941-1945.

Manakala keterangan saksi mata pula ialah keterangan yang diberikan oleh seseorang yang melihat peristiwa yang telah berlaku ataupun orang itu sekadar menyaksi sesuatu peristiwa itu berlaku di depan matanya dengan syarat dia tidak terlibat secara langsung. Misalnya menjadi saksi mata kepada satu kejadian rompakan sebuah bank di bandar Kajang. Di sini pengkisah atau saksi mata tidak mempunyai peranan secara langsung dalam rompakan tersebut tetapi sekadar menjadi saksi mata sahaja.

Keterangan kata dengar ialah keterangan yang diceritakan oleh seseorang dari apa yang diketahui melalui sumber orang lain. Ia mengetahui perkara berkenaan semata-mata dari apa yang telah didengarnya dari pelaku atau seseorang saksi mata. Sekiranya pelaku dan saksi mata tidak menceritakan sesuatu kejadian maka keterangan kata dengar tidak akan wujud. Biasanya keterangan kata dengar ini mempunyai proses penyebaran dari mulut ke mulut dan generasi kepada generasi. Pada tahap ini keterangan lisan itu akan mencapai tahap tradisi lisan.Dalam era moden, sejarah lisan telah bermula dari kegiatan seorang penyelidik sejarah dari University Colombia bernama Allan Nevin. Beliau telah menjalankan usaha menemubual dengan cara yang sistematik orang-orang Amerika yang dipercayai mempunyai ingatan dan kenangan yang bernilai, kemudiannya disalin semula dalam tulisan dan disediakan untuk tujuan penyelidikan. Atas usaha ini beliau juga dikenali sebagai orang yang mencipta sejarah lisan. Semenjak itu, teknik sejarah lisan telah digunakan dengan meluasnya sebagai alat penyelidikan dalam pelbagai bidang sejarah.

APAKAH ITU SEJARAH LISAN?

Mengikut Dictionary of Archival Terminology yang disusun oleh Peter Walne, terbitan The International Council on Archives pada tahun 1984, Oral History atau sejarah lisan didefinisikan sebagai The interviews with individuals usually in form of sound recording or trancripts thereof, intended for research use. Menurut buku Oral History Manual yang dikarang oleh William Moss, sejarah lisan ialah, Any interview that is recorded (may become oral history), whether it be done by a historian, a sosiologist, a folkrist, a journalist, a military intellegent officer or whoever. Agak sukar untuk diberikan satu definisi yang tepat kerana jika merujuk kepada perkataan sejarah lisan, ia membawa pengertian bahawa keterangan itu mestilah mengenai sejarah dan ia harus dalam bentuk lisan. Persidangan Pertama sejarah lisan pada tahun 1966 yang diadakan di Lake Arrowhead pula telah gagal mencapai kata sepakat bagi menangani definisi sejarah lisan ini. Namun, ahli-ahil sejarah yang bersidang ketika itu bersetuju bahawa sejarah lisan adalah satu cara bagi mendapatkan keterangan sejarah yang berbentuk lisan untuk menambah dan bukannya menggantikan sumber-sumber bertulis yang berkaitan, yang telah dihasilkan dalam jangka waktu berkenaan.Sejarah lisan adalah kaedah merakamkan kenang-kenangan tokoh-tokoh tertentu dengan cara temuramah. Tokoh-tokoh ini terdiri daripada mereka yang dapat menyumbang maklumat bersejarah kerana penglibatan dan pengalaman yang mereka sendiri miliki, ataupun juga kerana perhubungan mereka secara langsung dengan watak, masa atau peristiwa tertentu. Maklumat-maklumat yang diperolehi dari temuramah tersebut kemudiannya disalin (ditranskripkan), disemak dan disimpan serta menjadi bahan pengajaran dan penyelidikan di masa akan datang. Dengan cari ini, sejarah lisan dapat memberi sumbangan penting kepada perbendaharaan sumber sejarah.Dalam hubungan ini juga, perlu bagi penyelidik sejarah untuk beringat bahawa rakaman ucapan, peristiwa kemasyarakatan dan kebangsaan atau temuramah oleh wartawan sebenarnya bukanlah kaedah sejarah lisan. Ini adalah kerana sejarah lisan tidak dihadkan kepada satu tajuk atau aspek sahaja, tetapi meliputi bidang yang luas dengan tujuan bahawa bahan-bahan itu dapat digunakan oleh pelbagai penyelidik.Kebanyakan orang tidak mempunyai kesempatan atau masa untuk mencatatkan riwayat hidup mereka. Namun, hakikatnya ialah setiap orang mempunyai pengalaman yang berlainan dan riwayat mereka dipengaruhi oleh peristiwa-peristiwa sejarah yang penting. Ini secara langsung atau tidak, seseorang itu menjadi pemerhati kepada peristiwa yang telah berlaku. Maklumat-maklumat daripada orang seperti ini perlu diperolehi atau dirakam supaya dapat memperkayakan warisan sumber sejarah manusia, keluarga, masyarakat, negara dan dunia amnya. Surat-surat persendirian, buku-buku catatan harian dan dokumen adalah merupakan sumber-sumber sejarah utama dan bahan-bahan sejarah lisan tidak boleh menggantikan rekod-rekod bertulis tersebut.Sejarah lisan merupakan sumber terawal dan tertua dalam sejarah, terutamanya mengenai peristiwa-peristiwa sejarah yang tidak mempunyai sebarang catatan atau rekod rasmi mengenainya. Biasanya sumber lisan diwarisi atau disampaikan dari mulut ke mulut sehingga bersifat tradisi lisaan dan dibukukan setelah dikaji. Ia kadangkala dikelaskan sebagai sumber utama atau kedua. Sumber lisan merupakan kumpulan sumber utama iaitu kebanyakannya didapati melalui pertanyaan, temuduga atau perbualan yang dilakukan sendiri sepanjang penyelidikan. Sidi Gazalba mengakui bahawa sumber lisan merupakan sumber yang tertua sekali iaitu waktu fikiran manusia mula tumbuh, waktu kebudayaan mulai lahir dan serentak dengan itu bahasa mula digunakan. Walau bagaimanapun sumber lisan tidak mungkin menunjukkan kenyataan atau fakta yang sesungguhnya tepat kerana apa yang merupakan fakta selepas ditambah atau dikurang, akhirnya menjadi bentuk sejarah lisan. Ini menunjukkan bahawa sumber lisan boleh berubah-ubah lantaran dari sifatnya yang sentiasa berubah mengikut setiap jenis penuturnya atau pengkisahnya.TEKNIK SEJARAH LISAN

Di Malaysia, sejarah lisan masih merupakan satu perkara atau bidang yang baru. Seorang pakar sejarah lisan, Nadzan Haron berpandangan bahawa walaupun di negara kita telah dipraktikkan kaedah temuramah dalam sesuatu kajian untuk menghasilkan tesis, kertas projek atau penulisan makalah sejarah, tetapi masih belum benar-benar diterima bidang ini sebagai suatu yang praktikal dalam penyelidikan sejarah di negara kita. Sejarah lisan yang sebenar perlu dilaksanakan mengikut kaedah atau teknik-teknik khusus tertentu bagi memastikan hasilnya benar-benar bernilai. Dalam menjalankan penyelidikan sejarah lisan, beberapa perancangan atau peraturan perlu dibuat seperti berikut;

i.Menetapkan maklumat yang diperlukan.

ii.Merakamkan maklumat tersebut.

iii.Menyebarkan maklumat tersebut, dan

iv.Memelihara maklumaat atau rakaman tersebut.Sesuatu penyelidikan sejarah lisan haruslah mempunyai objektifnya dan perlu dirancang dengan teliti berdasarkan kepada beberapa faktor penting beriktu;

a.bentuk penyelidik sama ada biografikal atau topikal.

b.peruntukkan kewangan untuk membeli peralatan dan membayar gaji pembantu.

c.kakitangan diberi latihan sewajarnya..

d.jangkamasa yang diperlukan.Terdapat tiga tahap utama dalam teknik sejarah lisan iaitu;

i. Tahap persediaan.

ii. Tahap temuramah (merakam temuabual)

iii. Tahap memproses rakaman.

Tahap PersediaanSeorang penyelidik harus faham apakah skop yang hendak dikaji untuk mendapatkan pemahaman yang mendalam tentang aspek-aspek tajuk kajiannya. Pada tahap ini, persediaan untuk temuramah yang perlu ialah mendapatkan penasihat untuk penentuan skop, menentukan siapa yang akan ditemuramah dan pemilihan pendekatan sejarah yang sesuai. Untuk melaksanakan program sejarah lisan yang besar, ia memerlukan satu badan penasihat yang terdiri daripada beberapa anggota sukarela yang berpengalaman dalam perundangan dan bidang yang lain seperti psikologi, sosiologi dan sebagainya untuk memberi nasihat undang-undang tentang rundingan dengan pihak yang akan ditemuramah berhubung dengan penyimpanan, penggunaan rakaman, dan transkrip. Selain itu, badan penasihat akan bertindak dengan memberi nasihat tentang masalah yang akan hadapi. Mereka boleh memberikan senarai nama orang-orang yang berkaitan.Untuk menentukan siapa yang patut ditemuramah, faktor seperti umur, tempat dilahirkan, asal-usul keluarga., keturunan, pendidikan dan keadaan kesihatan seseorang responden perlu dipertimbangkan. Keutamaan harus diberikan kepada orang yang lebih tua atau seseorang yang dianggap lebih berpengalaman dan dapat memberi banyak maklumat-maklumat serta pengalaman yang bernilai. Selain itu, nama interviewee atau responden juga boleh diperolehi dengan berbagai cara seperti mengumumkan program atau projek penyelidikan ini melalui akhbar-akhbar dan majalah tempatan ataupun membuat soal-selidik untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai tokoh-tokoh yang ingin ditemuramahkan. Dengan pengaruh badan penasihat itu maka akan menyenangkan interviewer atau penemuramah untuk mendapat kerjasama dari pihak responden. Sekiranya terdapat masalah kewangan, mungkin badan penasihat boleh berusaha mendapatkan bantuan dari badan-badan tertentu.

Pada peningkat ini juga penyelidik harus menentukan skop kajian dengan membuat garis panduan tentang perkara-perkara yang akan ditumpukan dalam kajiannya. Senarai nama responden perlu dibuat berdasarkan latar belakang, peranan dan pengetahuannya tentang perkara yang ingin dikaji dan diamatinya. Penyelidikan latar hidup seorang tokoh serta latar belakang masa dan sejarah sesuatu penistiwa atau kejadian adalah penting untuk menentukan dan mengenali masalah (definition of problem) sebelum temuramah dijalankan.Seterusnya membuat penilaian awal bagi menentukan tentang perkara apa, maklumat apa atau keterangan apa yang harus terbitkan pada sesi temuramah. Kemudiannya menghubungi responden dengan surat memohon kerjasama untuk ditemuramah dan penetapan tarikh pertemuan. Cadangan program tentang tujuan, tatacara, tajuk kandungan temuramah, penyimpanan dan penggunaan bahan disertakan bersama surat memohon pertemuan itu supaya tidak timbul salah faham tentang maksud perlaksanaan program tersebut. Tempat dan masa temuramah diserahkan kepada pihak responden untuk menetapkannya, walaupun beberapa cadangan yang dianggap bersesuaian dikemukakan.

Tahap temuramahKejayaan sesuatu sejarah lisan amat bergantung kepada persediaan yang lengkap oleh penyelidik selain kerjasama responden dan penggunaan pendekatan yang telah disebut tadi. Penyelidik harus mengetahui sebanyak mungkin tentang perkara yang hendak dipersoalkan. Penyelidikan latar, membuat rujukan, membaca dan mengkaji segala keterangan bertulis dan dokumen, akhbar, fail-fail, buku dan sebagainya dapat memudahkan seorang penyelidik untuk menetapkan soalan-soalan yang ingin dikemukan kepada seorang tokoh. Rangka kasar soalan-soalan hendaklah disediakan untuk dijadikan garis panduan ketika menjalankan temuramah supaya ia dapat berjalan dengan lancar. Selain itu, penyelidik dapat mengetahui sama ada responden bersikap bias atau tidak dan memastikan kebenaran keterangan sejarah yang dirakam. Untuk mencapai suatu dialog yang lancar, penyelidik tidak digalakkan membaca soalan yang disediakan pada kertas tetapi digunakan sebagai panduan sahaja. Penyelidik juga tidak digalakkan menghantar atau mengemukakan soalan-soalan bertulis kepada responden terlebih dahulu, sebaliknya teknik temuramah yang baik ialah soalan-soalan dikemukan secara spontan dalam beberapa bentuk mengikut keterangan sejarah yang dikehendaki. Soalan-soalan yang berbentuk provokatif dan penyiasatan akan memaksa responden mendedahkan sesuatu maklumat yang sulit, iaitu sesuatu yang pada mulanya responden mungkin hendak menyembunyinya. Selain itu, soalan-soalan yang dikemukakan hendaklah berbentuk tepat dan pendek serta dikemukakan dalam bentuk yang menarik kerana matlamat sejarah lisan ialah untuk mendapatkan jawapan-jawapan yang menarik. Penyelidik atau penemuramah harus menyoal dengan cara prinsip 5W + H serta memastikan perkaitan antara satu soalan dengan soalan yang berikutnya. Persiapan yang dibuat dengan bentuk soalan-soalan yang tepat dan ringkas serta kerjasama responden akan dapat menimbulkan jawapan-jawapan yang tepat dan jelas, yakni menghasilkan keterangan-keterangan sejarah yang bemilai serta bermutu. Seorang pakar sejarah lisan, Charles T. Morrisey menjelaskan adakalanya sesorang penyelidik sejarah lisan itu menghadapi masalah kehabisan soalan untuk ditanya sedangkan masa temubual masih lagi panjang. Menurut beliau situasi demikian boleh diatasi dengan 3 cara atau teknik;

i. mengunakan teknik kewartawanan, iaitu memulakan dari soalan bila, di mana, bagaimana dan mengapa.

ii. cuba meletakkan diri dalam kedudukan sebagai seorang yang ditemuramah dan bayangkan peranannya dalam jaringan temubual ketika soalan dikemukakan.

iii. Cuba meletakkan diri dalam kedudukan sebagai seorang dari disiplin lain, misalnya sebagai seorang ahli sosiologi ataupun ahli ekonomi.

Teknik-teknik ini penting kerana masa temuramah harus digunakan dengan sepenuhnya kerana untuk mengadakan temuramah dengan seorang yang penting bukanlah mudah. Sebelum menjalankan temuramah, terdapat beberapa persediaan yang perlu dilakukan seperti;

i. Memastikan semua peralatan yang akan digunakan adalah lengkap seperti pita rakaman, bateri, kaset, buku nota, pen dan lain-lain.

ii. Memastikan pita rakaman dalam kedudukan yang baik.

Terdapat peraturan penting yang harus dipatuhi semasa menjalankan temuramah iaitu mengelakkan diri daripada mengemukakan soalan yang berbentuk mengkritk responden dan juga memutuskan jawapan semasa responden sedang bercakap. Pendek kata, penyelidik tidak dibenarkan mencabar keterangan yang diberikan oleh responden sungguhpun mungkin jawapan yang diberikannya dirasakan tidak tepat. Sebaliknya harus membiarkan responden meneruskan percakapannya, sementara penyelidik harus mendengar dengan teliti sambil membuat catatan tentang perkara yang disebut. Ini adalah kerana, mengikut pendapat seorang pakar penyelidik sejarah lisan, Ramon Harris bahawa seorang penemuramah yang baik adalah juga pendengar yang baik. Penemuramah juga dilarang menggunakan peluang temuramah untuk menunjukkan kebolehan diri sendiri. Dalam menjalankan temuramah, penemuramah boleh mulakan dengan solan-soalan yang senang difahami dan soalan-soalan yang lebih sukar (mendalam) boleh dikemukakan selepas temuramah itu sudah berjalan beberapa ketika ataupun ketika perasaan mesra telah terjalin di antara kedua-dua pihak. Satu sesi temuramah dan rakaman tidak digalakkan melebihi 2 jam kerana jangkamasa sebegini adalah sesuai bagi seorang responden sebelum beliau merasa penat.Tahap memproses rakaman

Tahap ketiga dalam kaedah sejarah lisan ialah memproses rakaman. Tahap ini mempunyai beberapa langkah penting untuk menghasilkan sejarah lisan yang bernilai, iaitu langkah pendaftaran, menyalin semula, mengedit, membuat salinan kekal atau transkrip, membuat peratusan penggunaan dan teknik penyimpanan. Langkah pertama ialah pendaftaran. Tiap-tiap rakaman lisan memerlukan suatu sistem pendaftaran, iaitu suatu pengenalan seperti tajuk rakaman, tarikh, tempat dan masa temuramah, nama pengkisah atau responden dan penemurah, kelajuan rakaman dan nombor bilangan kaset rakaman hendaklah dicatatkan.Langkah kedua ialah menyalin semula kandungan rakaman perkataan demi perkataan hingga menjadi draf transkrip. Selepas menjalankan temuramah, pita-pita rakaman temuramah akan disalinkan dan disediakan dalam bentuk draf transkrip rakaman. Ini merupakan satu proses yang penting dalam sesuatu tugas sejarah lisan kerana transkrip akan memudahkan fahaman serta untuk menambahkan keterangan-keterangan yang terkandung di dalam sesuatu temuramah sebagai satu sumber sejarah. Penyelidik hendaklah mendengar rakaman itu beberapa kali dan memahami isi kandungannya untuk mengelakkan kesalahan. Cara menyediakan transkrip merupakan satu seni seumpama menterjemahkan dari satu bahasa ke satu bahasa yang lain dan memerlukan seorang pekerja yang mempunyai beberapa sifat kemahiran seperti berikut;

i. kebolehan menaip dengan teliti.

ii. kebolehan mendengar bunyi-bunyian eletronik.

iii. pengetahuan am yang luas.

iv. penggunaan tanda bacaan, ejaan yang baik menunjukkan makna transkrip.

Dengan lain perkataan, orang yang paling sesuai untuk menyediakan transkrip ialah penemuramah sendiri. Ini adalah kerana beliau telah biasa dengan suara, loghat dan keterangan yang diberikan oleh responden. Dengan itu, transkrip yang dihasilkan adalah lebih bermutu.Menurut seorang pakar sejarah lisan, Cullom Davis, terdapat beberapa peraturan penting yang harus dipatuh oleh seseorang penyelidik sebelum menyediakan kerja transkrip, iaitu;

i. seseorang dinasihatkan mendengar pita rakaman sesutu temuramah itu lebih kurang 10 minit untuk membiasakan diri kepada loghat, perkataan dan cara sebutan responden.

ii. perkataan-perkataan ditranskripkan sebagaimana disebutkan dan elakkan menggantikan dengan perkataan lain.

iii. gunakan bahasa rasmi kecuali dalam projek-projek tradisi lisan yang sememangnya perlu mengekalkan loghat dan bahasa asal seseorang itu sendiri.

iv. transkrip mesti ditaip dengan kemas dan cermat.

v. gunakan tanda bacaan di mana perlu tetapi jangan sengaja memendekkan ayat-ayat yang panjang.

vi. gunakan perenggan yang baru untuk perkara atau tajuk yang berlainan.

vii. sekiranya terdapat sebahagian pita yang tidak dapat didengar dengan jelas, tinggalkan ruang untuk diisi oleh responden apabila transkrip disemak kemudian.

Setelah menentukan draf transkrip yang selesai disemak dan baiki, salinannya hendaklah diberikan kepada pengkisah atau responden. Tujuannya adalah untuk memberi peluang meneliti testimoni yang dibuat dan responden oleh membuat pembetulan atau penambahan tetapi tidak boleh memadamkan apa-apa keterangan sejarah yang dibuatnya. Responden boleh mengubah atau membetulkan serta menjelaskan dengan lebih lanjut keterangannya dalam temuramah yang dirakam, seperti menentukan perenggan yang sesuai, meletakkan tanda nota, koma dan sebagainya. Ini secara langsung memberi peluang kepada penyelidik untuk mengemukan apa-apa pertanyaan atau soalan yang terlupa semasa temuramah. Soalan-soalan ini hendaklah dilampirkan bersama draf transkrip.Pada masa yang sama satu perjanjian dilakukan tentang peraturan penyimpanan dan penggunaan rakaman dan transkrip. Perjanjian tersebut harus dirundingkan dengan pihak responden mengikut tatacara perundangan. Terdapat banyak kenyataan sensitif, rahsia atau sulit yang terkandung dalam testimoni responden yang dikhuatiri mungkin akan disalahgunakan. Seseorang penyelidik yang beretika harus memastikan bahawa responden diberikan perlindungan undang-undang ke atas testimoni yang dibuat supaya tidak menjejaskan nama baik dan kedudukannya. Perjanjian ini penting supaya kedua-sua pihak memahami tanggungjawab masing-masing terhadap hasil temuramah tersebut. Adakalanya responden menyentuh perkara yang sensitif, bercanggah, rahsia ataupun menyentuh perkara peribadi orang lain. Dalam kes ini, responden berhak menentukan hak-hak tertentu mengenai penggunaan pita-pita rakaman atau transkrip temuramah berkenaan. Antara syarat-syarat yang boleh dicatatkan dalam perjanjian tersebut termasuk kegunaan rakaman temuramah dihadkan ataupun ditutup kepada penyelidik atau boleh digunakan dengan keizinan responden dan keluarganya terlebih dahulu. Walau apapun syarat yang dikehendaki oleh responden, butir-butir lain yang perlu direkodkan di dalam sesuatu perjanjian ialah;

i. nama responden.

ii. nama penyelidik dan insitusi yang menjalankan kajian.

iii. tarikh rakaman temuramah dijalankan.

iv. tempat temuramah diadakan.

v. tandatangan kedua-dua pihak.

vi. Setelah pihak responden memulangkan draf transkrip yang telah disemak dan dibaiki (edited), transkrip tersebut akan disalin semula sebagai transkrip kekal.Langkah terakhir ialah teknik penyimpanan transkrip. Teknik katalog rujukan digunakan dengan setiap transkrip diberi nama, tarikh, tempat, masa, tajuk dan skop yang terkandung, syarat penggunaan, nama penyelidik dan nombor panggilan serta bilanganya akan disimpam. Keterangan ini adalah untuk tujuan bibliografi, pengenalan dan untuk catatan rekod. Dengan demikian membolehkan penyelidik menghubungi responden berkenaan sekiranya penyelidik memerlukan keterangan yang lebih lanjut selain daripada yang terdapat dalam transkrip.Pita-pita rakaman harus disimpan ditempat yang bersih supaya tidak rosak. Untuk tujuan pemeliharaan yang lebih baik, pita rakaman harus disimpan dalam kotak-kotak asal dan dimasukkan ke dalam bekas plastik atau kertas tebal. Pita-pita rakaman mestilah dimainkan semula sekurang-kurangnya tiap-tiap 6 bulan sekali untuk mengesan sebarang kerosakan.Rumusan: kepentingan sejarah lisan dapat dimengerti kerana sejarah adalah segala yang telah berlaku tetapi cuma sebahagian kecil sahaja yang meninggalkan rekod-rekod yang kekal. Dengan lain perkataan, bidang sejarah lisan amat berguna untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam sumber bertulis. Dengan keterangan-keterangan sejarah yang belum dicatatkan, sejarah lisan dapat menyelamatkan keterangan sejarah yang hilang dan ia juga sebagai pendorong kepada penyelidik untuk membuat penyelidikan ke atas perkara yang telah disediakan dengan sumber-sumber lisan, walaupun untuk melaksanakan sesuatu program sejarah lisan memerlukan masa, tenaga dan belanja yang besar. Tambahan pula, terdapat pendapat lain yang mengatakan bidang sejarah lisan tidak diperlukan tetapi matlamat sejarah lisan adalah untuk mendapatkan keterangan-keterangan sejarah mengenai sesuatu peristiwa setepat dan sebanyak mungkin di samping untuk menyelamatkan keterangan yang bernilai itu daripada terus hilang. Walau bagaimanapun warisan lisan atau sejarah lisan sukar memiliki atau mempertahankan nilai objektivitinya kerana dalam sejarah lisan memang sukar sekali memisahkan fakta dan penjelasan yang bersahaja seperti unsur mitos atau dogeng atau lagenda. Dalam perwarisan dari seorang ke seorang (mulut ke mulut), nilai kesubjektifan dalam tafsiran dan penjelasan memang tidak dapat dielakkan sehingga menimbulkan penyelidikan yang tidak berasaskan ilmiah, sebaliknya menyimpang menjadi dongeng atau cerita dalam kesusasteraan lama. Oleh itu, untuk menyusun semula sejarah berpandukan sumber lisan, penyelidik sejarah haruslah bersikap adil, rasional dan waras serta mengakui kejahilan diri.

Soalan-soalan Penilaian1. Apakah makna sejarah lisan?

2. Apakah jenis-jenis sumber lisan?

3. Berikan perancangan yang perlu dibuat untuk menjalankan penyelidikan sejarah lisan?

4. Apak tiga tahap dalam penyelidikan sejarah lisan?

5. Apakah matlamat penting dalam tahap persediaan?

6. Apakah peralatan asas yang diperlukan dalam penyelidikan sejarah lisan?

7. Apakah tiga cara yang untuk mengatasi masalah kehabisan soalan termuramah menurut Charles T. Morrisey?

8. Dalam tahap memproses rakaman, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh penyelidik?

9. Berikan sifat-sifat yang harus dimiliki oleh penyelidik dalam usaha menyediakan transkrip sejarah lisannya?

10. Apakah tujuan penyelidik untuk mengadakan perjanjian dengan responden?

Bahan Bacaan AsasDavis, Cullom. 1935. Oral History From Tape to Type, USA: America Libarary Association

Dixon, Elizebath. 1966. Oral History At Arrowhead. California: University of California Confrenca Center.

Garraghan, Gilbert J. 1973. A Guide to Historical Method. Westport: Greenwood Press.

Harris, Roman. 1975. The Practice Of Oral History. USA: Mircofilming Corporation Of America

Martson, Dois. 1976. A Guide To History Writing. Ohio: Writer Digest.

Moss,W. M. 1975. Oral History Program Manual. New York: Preager Publishers.

Nadzan Haron. 1979. Suatu Pandangan Awal Terhadap Sejarah Lisan Di Malaysia. Jebat. Bangi: Jabatan Sejarah, UKM.

Shumway, Gary L. & Hattley, William. 1980. An Oral History Primer. Utah: Primer Publication.

Sidi Gazalba. 1981. Pengantar Sejarah Sebagai Ilmu, Jakarta: Penerbit Bhratara Karya Aksara.

Vansina, Jan. 1973. Oral Tradition. England: Penguin University Books.

PAGE