BAB_8

Embed Size (px)

DESCRIPTION

BAB

Citation preview

  • 109

    BAB 8

    KOMUNIKASI PEMBANGUNAN

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat: 1. Mengenal pasti bidang dan skop komunikasi pembangunan. 2. Menerangkan fungsi komunikasi pembangunan. 3. Menjelaskan proses umum komunikasi pembangunan.

    8.1 PENGENALAN Komunikasi Pembangunan adalah satu bidang tumpuan pengajian komunikasi dalam Program Komunikasi UUM selain Komunikasi Organisasi (yang anda ikuti dalam Program PJJ) dan Teknologi Komunikasi. Walaupun bidang komunikasi pembangunan masih baru dalam disiplin ilmu komunikasi iaitu bermula sekitar awal 1960-an, tetapi penyelidikan komunikasi pembangunan yang bersifat interdisiplin sebenarnya sudah bermula lebih awal lagi. Antara tokoh awal yang mempelopori bidang komunikasi pembangunan ialah Daniel Lerner (The Passing of Traditional Society), Wilbur Schramm (Mass Media and National Development), David McClelland dan Everett M. Rogers (Difusion of Innovation). Manakala tokoh semasa dari rantau Asia pula terdiri daripada Jan Serveas, N. Jayaweera, S. Amunugama, Winne Dissanayake, Ronny Adhikarya (Extention Strategies Campaign), Majid Tehranian, Srivinas Melkote, Samsuddin A. Rahim dan Ramli Mohamed. Umumnya, komunikasi pembangunan adalah proses komunikasi untuk mewujudkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penglibatan mereka dalam program-program pembangunan. Dalam hal ini, media komunikasi memainkan peranan penting menyebarkan maklumat daripada pihak sumber yang mungkin terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan kepada masyarakat sasaran. Dalam erti kata lain, komunikasi pembangunan adalah suatu keadaan, iaitu berlakunya pengaliran maklumat menerusi sesuatu saluran dengan tujuan untuk mewujudkan perubahan sosial di kalangan khalayak sasaran.

  • 110

    Konsep pembangunan pula merujuk kepada keadaan fizikal dan bukan fizikal yang berubah ke arah yang lebih baik berbanding keadaan sebelumnya. Selain itu, pembangunan juga adalah satu proses perubahan sosial, iaitu idea-idea baru diperkenalkan kepada masyarakat supaya mereka dapat mencapai tahap keselesaan hidup berbanding dengan keadaan sebelumnya. Justeru itu, komunikasi pembangunan bolehlah dikatakan sebagai satu usaha ke arah proses penstrukturan sosial ke arah yang lebih maju. Dalam konteks ini bukan sahaja kemajuan fizikal diutamakan, pembangunan sahsiah, nilai kemasyarakatan, perubahan norma, budaya, sikap serta pendirian ke arah pemodenan adalah sesuatu yang dititikberatkan dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang berdaya saing dan berfikiran terbuka. Dalam bab ini anda akan diperkenalkan kepada bidang komunikasi pembangunan sebagai satu subset disiplin ilmu komunikasi. Kepelbagaian fungsi komunikasi pembangunan akan dikupas bagi memperlihatkan peranan komunikasi dalam pembangunan. Di samping itu, perbincangan juga akan ditumpukan kepada proses umum perancangan komunikasi pembangunan. Bagi memudahkan anda membuat bacaan tambahan, beberapa laman web telah dikenal pasti untuk anda mengakses bahan-bahan semasa mengenai komunikasi pembangunan.

    Cuba anda kenal pasti tugas perjawatan berikut: Pegawai Daerah, Pegawai Penerangan, Pegawai Pertanian dan Pegawai KEMAS. Seterusnya, hubung kaitkan tugasan mereka dengan konsep komunikasi pembangunan. Adakah mereka ini boleh dikategorikan sebagai komunikator pembangunan? Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada komunikator pembangunan?

    Sila kunjung laman web www.developmentgateway.org sebuah forum e-komuniti yang mengandungi artikel, kajian kes, forum dan e-sidang yang berkaitan dengan komunikasi pembangunan. Anda boleh membuat bacaan tambahan dengan merujuk topik perbincangan yang disediakan seperti: keberkesanan pembangunan; pembangunan ekonomi; pembangunan kemanusiaan; teknologi dan pembangunan; alam sekitar; dan pembangunan kesihatan.

  • 111

    8.2 KOMUNIKASI DAN PEMBANGUNAN Komunikasi pembangunan merupakan disiplin ilmu untuk merancang perubahan sosial yang bertujuan meningkatkan pembangunan duniawi bagi menghapuskan kemiskinan, pengangguran dan ketidakadilan (Quebral & Gomez, 1976 dlm. Mohd Hamdan Adnan, 1992). Menurut Lucila (dlm. Mohd Hamdan Adnan, 1992), komunikasi pembangunan merupakan bidang yang mengkaji tentang perancangan, pelaksanaan dan penilaian projek untuk mempromosikan perubahan sosial. Dalam pada itu, Jamias (1985) pula menyatakan bahawa terdapat tiga unsur yang membentuk struktur komunikasi pembangunan iaitu inovasi, komunikasi dan tindakan (prestasi). Berdasarkan takrifan komunikasi pembangunan tersebut, kita dapati terdapat beberapa komponen yang sering dibangkitkan oleh para sarjana. Komponen tersebut ialah penggunaan media, perubahan sosial, kesedaran, perancangan dan penilaian program pembangunan. Di sini kita dapat lihat bahawa media komunikasi memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat dan idea baru untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat. Namun begitu, matlamat komunikasi pembangunan bukan sekadar menyebarkan maklumat, tetapi lebih daripada itu mengharapkan penglibatan masyarakat dalam proses perancangan dan pelaksanaan sesuatu program. Jadi, apakah yang membezakan komunikasi pembangunan dengan bidang komunikasi lain? Cuba anda imbas kembali bab-bab terdahulu yang membincangkan tentang bidang komunikasi lain. Dalam hal ini, komunikasi pembangunan disandarkan kepada beberapa perkara berikut:

    (i) Menumpukan program yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat.

    (ii) Penggunaan gabungan media secara intensif untuk menyalurkan maklumat dan seterusnya memujuk masyakarat untuk menerima idea perubahan dan pembangunan.

    (iii) Mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat untuk bersama-sama turut serta dalam program pembangunan yang dirancang.

    (iv) Penglibatan secara menyeluruh masyarakat dan kerajaan, NGO secara berterusan dalam menjamin kejayaan program pembangunan yang dirancang.

    (v) Mewujudkan perubahan sosial dalaman yang dicetuskan oleh masyarakat itu sendiri dan perubahan sosial hubungan, iaitu inovasi baru daripada luar diterapkan dalam masyarakat (Mansor, 1984).

  • 112

    (vi) Berlaku hubungan dua hala dan penglibatan menyeluruh antara penerima pembangunan (masyarakat) dengan sumber pembangunan (kerajaan dan NGO). Dalam hal ini yang mendapat faedah nyata adalah penerima pembangunan manakala sumber pula dapat memenuhi tanggungjawab sosial dan merealisasikan pembangunan lestari.

    Kesimpulannya, komunikasi bertindak sebagai pendorong dan pemangkin kepada proses pembangunan. Namun begitu, komunikasi bukanlah satu faktor utama. Banyak lagi faktor yang terlibat secara saling bergantungan antara satu sama lain dalam menentukan keberkesanan dan kejayaan sesuatu program pembangunan.

    Bolehkah anda kenal pasti faktor-faktor selain komunikasi yang mempengaruhi kejayaan pelaksanaan sesuatu program pembangunan?

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Beri definisi komunikasi pembangunan. 2. Jelaskan maksud tujuan komunikasi pembangunan

    untuk perubahan sosial.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    Sila kunjung laman web: http://www.comminit.com yang mengandungi pelbagai artikel, kajian kes berkaitan dengan komunikasi pembangunan. Antara topik yang menarik dan sesuai untuk bacaan ialah partisipasi masyarakat, komunikasi kempen, penilaian program pembangunan, hak asasi manusia, kewartawanan, pembangunan lestari dan jaringan sosial.

  • 113

    8.3 PRINSIP UMUM KOMUNIKASI PEMBANGUNAN

    Pada peringkat awal pengenalan komunikasi pembangunan, fokus komunikasi adalah pada sumber (kerajaan, NGO dan lain-lain agensi) yang berperanan membawa mesej dan memperkenalkan pembaharuan. Pada peringkat ini proses komunikasi pembangunan berlaku secara sehala atau top-down, iaitu pihak agensi menentukan semua perancangan program manakala masyarakat pula bertindak sebagai penerima sahaja. Kini fokus komunikasi pembangunan mula berubah dengan meletakkan keperluan dan kepentingan masyarakat lebih utama. Justeru penglibatan masyarakat dalam proses perancangan adalah penting, sama ada melalui penyertaan jawatankuasa, dialog, perlantikan wakil, pendapat umum dan cadangan. Di samping itu, pihak media juga perlu memberikan fokus dan ruang kepada suara dan pandangan orang ramai bagi tujuan mempengaruhi proses pembentukan sesuatu dasar dan perancangan program pembangunan (Mohd Yusof Abdullah, 2002). Bagi mencapai hasrat murni ini, keberkesanan pelaksanaan program-program pembangunan oleh pihak kerajaan ataupun NGO perlu mengambil kira perkara berikut:

    (i) Fokus pembangunan adalah kepada faedah masyarakat secara menyeluruh dengan mendorong serta melibatkan masyarakat.

    (ii) Penyertaan masyarakat perlu diberi ruang dalam membuat keputusan, mengenal pasti masalah dan alternatif penyelesaian masalah.

    (iii) Komunikasi pembangunan perlu bersifat dua hala, dinamis dan saling bertindak antara sumber dan penerima (khalayak).

    Sehubungan dengan perbincangan tersebut kita dapati bahawa teras proses komunikasi pembangunan adalah penyebaran maklumat untuk tujuan perubahan sosial. Maklumat di sini merujuk kepada inovasi iaitu sesuatu idea, amalan atau objek yang dianggap sebagai baru oleh individu atau masyarakat yang menerimanya (Rogers, 1983). Sesuatu inovasi itu disampaikan melalui proses penyerapan (difusi). Menurut Rogers (1983), difusi ialah satu proses, iaitu inovasi disampaikan melalui saluran tertentu. Proses difusi dan penerimaan inovasi melibatkan lima tahap iaitu

    (i) Tahap pengetahuanindividu didedahkan kepada

    maklumat inovasi.

  • 114

    (ii) Tahap pembujukanindividu membentuk sikap positif atau negatif terhadap maklumat inovasi yang diterima dan membuat penilaian terhadap kebaikan dan keburukan inovasi tersebut.

    (iii) Tahap keputusanindividu membuat keputusan untuk

    menerima atau menolak inovasi. Pengaruh masa, proses pembujukan, kesediaan dan keterbukaan minda akan mempengaruhi keputusan individu.

    (iv) Tahap pelaksanaanindividu menerima inovasi dan

    terus mengamalkannya dengan mengikuti latihan atau siri perbincangan untuk meningkatkan kemahiran.

    (v) Tahap pengesahanindividu menganalisis keperluan dan

    penerusan inovasi yang diamalkan untuk mengesahkan faedah yang bakal diterima pada masa hadapan.

    Kesemua tahap difusi inovasi yang dinyatakan berlaku secara berterusan. Justeru itu, komunikator pembangunan perlu merancang program secara strategi dengan mengambil kira perubahan-perubahan sikap masyarakat, polisi kerajaan dan inovasi teknologi. Dalam hal ini proses pembujukan melalui komunikasi kemanusiaan dan penyebaran maklumat oleh media massa secara terancang dan berterusan memainkan peranan penting dalam usaha mengekalkan minat dan pengesahan khalayak sasaran.

    SOALAN DALAM TEKS

    3. Jelaskan TIGA (3) prinsip utama komunikasi

    pembangunan. 4. Huraikan konsep difusi inovasi dalam konteks

    komunikasi pembangunan. 5. Jelaskan DUA (2) tahap difusi inovasi berikut:

    (i) Tahap pengetahuan (ii) Tahap pemujukan

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    8.4 FUNGSI KOMUNIKASI PEMBANGUNAN Dalam proses perubahan, komunikasi memainkan peranan penting khususnya aktiviti penyebaran maklumat dan inovasi di samping menjadi

  • 115

    perantaraan dengan sumber pembangunan. Tanpa komunikasi yang berkesan dan terancang sukar untuk memastikan masyarakat dapat menerima maklumat secara menyeluruh. Walaupun terdapat pelbagai pendapat dan pandangan tentang peranan komunikasi dalam proses pembangunan, sarjana komunikasi pembangunan Wilbur Schramm menyatakan komunikasi berperanan penting dalam proses pembangunan berdasarkan enam fungsi iaitu (Mansor, 1984)

    (i) Menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang pembangunan nasional agar mereka memusatkan perhatian kepada keperluan perubahan, kesempatan cara mengadakan perubahan, sasaran perubahan dan membangkitkan aspirasi nasional.

    (ii) Komunikasi bertindak sebagai medium untuk menjelaskan polisi, rancangan dan hasrat kerajaan.

    (iii) Komunikasi berperanan mendidik dan memperkenalkan kemahiran-kemahiran baru.

    (iv) Komunikasi digunakan untuk memperluas pasaran barangan khsususnya dalam menggerakkan pasaran ekonomi tradisional.

    (v) Komunikasi berfungsi mewujudkan kesedaran untuk berubah bermula daripada masyarakat.

    (vi) Membina jaringan sosial dengan dunia masyarakat luar. Selain fungsi yang dinyatakan di atas, Hedebro (dlm. Mohd Hamdan & Zulkarimein, 1992) juga telah mengenal pasti fungsi komunikasi pembangunan seperti berikut:

    (i) Komunikasi dapat mencipta iklim bagi perubahan dengan mengusahakan nilai, sikap, mental dan bentuk perilaku yang menunjang modenisasi.

    (ii) Komunikasi dapat mengajar keterampilan baru. (iii) Media massa dapat bertindak sebagai propaganda dan

    sumber pengetahuan. (iv) Media massa boleh menyampaikan pengalaman yang

    seolah-olah dialami sendiri sehingga dapat mencipta keperibadian yang dinamik.

    (v) Komunikasi dapat meningkatkan aspirasi yang merupakan perangsang untuk bertindak nyata.

    (vi) Komunikasi dapat membantu masyarakat menemui norma baru dan keharmonian pada masa peralihan.

    (vii) Komunikasi dapat membuat masyarakat cenderung untuk turut serta dalam perubahan keputusan di tengah-tengah kehidupan bermasyarakat.

  • 116

    (viii) Komunikasi dapat mengubah struktur kekuasaan pada masyarakat yang berciri tradisional dengan membawa pengetahuan kepada umum.

    (ix) Komunikasi dapat membantu sebilangan besar penduduk agar menyedari pentingnya erti mereka sebagai warganegara sehingga dapat membantu meningkatkan patriotisme.

    (x) Komunikasi memudahkan perancangan dan pelaksanaan program pembangunan yang berkaitan dengan keperluan penduduk.

    (xi) Komunikasi dapat membuat pembangunan ekonomi, sosial dan politik menjadi suatu proses yang berlangsung sendiri.

    Berdasarkan fungsi-fungsi komunikasi pembangunan yang dinyatakan oleh Wilbur Schramm dan Hedebro di atas, dapat dirumuskan bahawa peranan komunikasi bersifat dinamik dan disesuaikan dengan keperluan masyarakat dan aspirasi nasional. Walau bagaimanapun proses penyampaian dan perkongsian maklumat perlu dipastikan berlaku secara dua hala dan dinamis. Ini kerana kejayaan sesuatu program pembangunan banyak bergantung kepada tahap penyertaan dan penglibatan masyarakat dalam perancangan program pembangunan. Begitu juga dengan peranan media massa dan media kemanusiaan yang saling melengkapi dalam proses penyampaian maklumat (Serveas, 2001). Secara keseluruhannya dengan mengambil kira takrifan dan fungsi komunikasi pembangunan yang dinamik dan berubah-ubah mengikut situasi, maka dapat dirumuskan bahawa terdapat enam peranan utama komunikasi pembangunan seperti di Jadual 8.1.

    Jadual 8.1 Peranan Utama Komunikasi Pembangunan

    Peranan utama Aspek-Aspek Komunikasi Advokasi Usaha-usaha pemujukan, kempen,

    mempromosi dan melakukan pemasaran sosial.

    Saluran perkhidmatan

    Mendidik, membimbing dan menyampaikan maklumat pembangunan.

    Mekanisme partisipasi

    Wadah perbincangan, maklum balas, hak bersuara.

    Rangkaian kerja Mewujudkan jaringan hubungan antara masyarakat dengan masyarakat atau masyarakat dengan pihak berkuasa/agensi.

  • 117

    Hebahan inovasi Mewujudkan penemuan baru dalam penyelidikan seperti pembaharuan kaedah dan teknologi.

    Pembinaan masyarakat

    Memupuk perasaan kenegaraan dan semangat cintakan negara.

    Imbas kembali Bab 1. Adakah wujud persamaan atau perbezaan peranan dan takrifan komunikasi dengan komunikasi pembangunan?

    Sila kunjung laman web: www.sdgateway.net yang mengandungi artikel berkaitan dengan pembangunan lestari. Sila akses ke bahagian yang berkaitan komunikasi pembangunan khususnya: communities and society, environment dan managing sustainability.

    SOALAN DALAM TEKS

    6. Kenal pasti dan huraikan LIMA (5) peranan

    komunikasi pembangunan.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    8.5 PROSES KOMUNIKASI PEMBANGUNAN Komunikasi pembangunan tidak terhad kepada penyaluran maklumat pembangunan, malah ia turut melibatkan proses mempromosi, perbincangan dan pemasaran agenda-agenda perubahan. Justeru itu, komunikasi pembangunan melibatkan pelbagai bentuk mediamedia massa, komunikasi interpersonal, kumpulan kecil, kumpulan fokus dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

  • 118

    Bagi memastikan perencanaan strategi komunikasi pembangunan berjalan dengan lancar, komunikator pembangunan perlu melibatkan strategi-strategi perancangan, kajian, pelaksanaan dan penilaian seperti yang dicadangkan oleh Burke (1999) di Rajah 8.1. Berdasarkan Rajah 8.1, komunikator pembangunan perlu membuat perancangan yang terperinci khususnya menentukan khalayak, keperluan maklumat dan menentukan bentuk mesej yang sesuai dengan khalayak. Dalam hal ini, proses perancangan dilakukan secara sistematik dan berterusan untuk menggerakkan aktiviti masyarakat supaya menggunakan sumber-sumber komunikasi secara berkesan bagi mencapai matlamat pembangunan. Namum begitu, tahap kejayaan program pembangunan tertakluk kepada keadaan ekonomi, sosial dan politik sedia ada (Media Asia, 1987). Oleh itu, pelaksanaan sesuatu program pembangunan tidak hanya tertumpu kepada penyebaran mesej melalu media massa sahaja. Komunikasi kemanusiaan dan media tradisional juga berpotensi besar digemblengkan sebagai medium untuk membujuk masyarakat supaya turut serta dan terlibat secara bersama dalam proses perancangan dan pelaksanaan program. Oleh yang demikian, pendekatan multiplicity perlu dipertimbangkan sesuai dengan objektif program dan persekitaran khalayak (Servaes, 2001; Lie, 2001).

    Rajah 8.1

    Proses Strategi Komunikasi Pembangunan

    Matlamat projek

    Matlamat komunikasi

    Penilaian

    Kenal pasti khalayak

    Menentukan keperluan maklumat

    Pelaksanaan

    Pra-uji program

    Merangka bahan komunikasi

    Kenal pasti peluang dan halangan

    Kenal pasti mesej dan saluran

    Sumber adaptasi: Burke, A. (1999).

  • 119

    Apakah yang dimaksudkan dengan media tradisional? Fikirkan kesesuaian penggunaan media tradisional dalam zaman ledakan teknologi maklumat, khususnya dalam proses penyebaran dan pembujukan program pembangunan di kalangan masyarakat.

    Sila kunjung laman web: www.idrc.ca yang mengandungi kertas kerja, kertas seminar, perbincangan, artikel dan forum yang berkaitan dengan hasil penyelidikan komunikasi dan pembangunan khususnya di negara dunia ketiga.

    8.6 RUMUSAN Dalam bab ini kita telah berbincang tentang bidang komunikasi pembangunan secara umum sekadar pengenalan kepada salah satu disiplin ilmu komunikasi yang diajar di Program Komunikasi, UUM. Komunikasi pembangunan adalah suatu proses untuk mewujudkan perubahan sosial di kalangan masyarakat sasaran. Penggunaan media massa dan media kemanusiaan seperti komunikasi interpersonal, kumpulan kecil, mesyuarat dan seminar menjadi nadi kepada penyebaran maklumat kepada masyarakat. Komunikasi berperanan sebagai pemangkin dan pendorong kepada kejayaan sesebuah perancangan program pembangunan. Namun begitu faktor kesediaan, kesedaran dan penyertaan masyarakat dalam sesuatu program juga merupakan faktor kejayaan sesuatu program pembangunan (Schramm, 1964).

    SOALAN PENILAIAN KENDIRI

    1. Jelaskan tahap difusi inovasi dalam komunikasi pembangunan

    menurut Rogers (1983). 2. Huraikan peranan komunikasi pembangunan berikut:

  • 120

    (i) Advokasi (ii) Rangkaian kerja (iii) Mekanisme partisipasi

    3. Kenal pasti dan huraikan TIGA (3) faktor pendorong kejayaan

    sesebuah perancangan program pembangunan.

    Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

    1. Komunikasi pembangunan merupakan bidang yang mengkaji

    tentang perancangan, pelaksanaan dan penilaian projek untuk mempromosi perubahan sosial [Rujuk bahagian 8.2].

    2. Komunikasi untuk perubahan sosial merujuk kepada usaha-usaha

    untuk menerapkan inovasi di kalangan masyarakat supaya berlaku perubahan gaya hidup, mind set, dan peningkatan tahap sosioekonomi yang lebih baik daripada keadaan sebelumnya.

    3. Prinsip utama komunikasi pembangunan:

    (i) Penglibatan masyarakat dalam perancangan dan

    pelaksanaan program pembangunan. (ii) Komunikasi bersifat dinamis, dua hala dan saling

    bertindak antara agensi pembangunan dengan masyarakat.

    (iii) Fokus perancangan dan faedah pembangunan adalah untuk masyarakat.

    4. Difusi inovasi merujuk kepada proses penyerapan sesuatu idea,

    amalan atau teknologi yang dianggap baru dan berguna kepada masyarakat yang menerimanya.

    5. Tahap difusi inovasi:

    (i) Pengetahuan = maklumat dan informasi tentang

    sesuatu inovasi didedahkan kepada individu bertujuan untuk menyedarkan mereka tentang maklumat kebaikan dan faedah inovasi tersebut.

    (ii) Pembujukan = proses pembentukan sikap dan perubahan tingkah laku individu apabila menerima sesuatu maklumat dan pengetahuan tentang inovasi.

  • 121

    6. Lima peranan komunikasi pembangunan [Rujuk bahagian 8.4] ialah

    (i) Penyampaian maklumat pembangunan kepada

    khalayak sasaran. (ii) Mewujudkan sistem rangkaian kerja dan rangkaian

    sosial di kalangan masyarakat dan agensi pembangunan.

    (iii) Memupuk perasaan kenegaraan dan perasaan untuk terus maju.

    (iv) Mekanisme partisipasi masyarakat. (v) Membujuk dan mempromosi idea serta produk

    pembangunan.