Efikasi Kendiri Dan Kecemerlangan Akademik

Embed Size (px)

DESCRIPTION

EDU

Citation preview

APLIKASI TEORI ALBERT BANDURA DALAM MEMANTAPKAN OPTIMIS AKADEMIK PELAJAR MENENGAH WAN HANUM SURAYA BINTI WAN MOHAMED DR JAMAL @ NORDIN BIN YUNUS Fakulti Pengurusan dan Ekonomi,Universiti Pendidikan Sultan Idris,35900 Tanjung Malim, Perak.

AbstrakGenerasi pelajar masa kini ternyata masih belum mempunyai tahap efikasi kendiri yang mantap. Mereka adakalanya mudah goyah apabila didepani dengan pelbagai bentuk arus cabaran dan gelombang modenisasi. Kecemerlangan akademik negara tidak akan mampu direalisasikan sekiranya barisan pelajar hari ini tidak mempunyai keyakinan kendiri yang teguh terhadap akademik. Dalam mengejar hambatan kegemilangan ini, semua pihak termasuklah individu pelajar itu sendiri perlu sedar akan tanggungjawab dan peranan mereka dalam memantapkan jatidiri, keyakinan, semangat dan usaha mereka terhadap kebolehan akademik masing-masing. Dengan efikasi yang tinggi, pelajar akan dapat menembusi setiap benteng halangan yang menghadang langkah mereka dari terus maju ke hadapan dalam mengejar wajah cita-cita yang tinggi melangit. Dengan berasaskan Teori Efikasi Kendiri Albert Bandura, para pelajar di negara kita hari ini diharapkan agar dapat mengaplikasikan segenap aspek keyakinan diri dalam diri mereka dengan mengekploitasikan sepenuhnya kebolehan yang ada, sebagaimana yang dicadangkan oleh teori ini. Guru-guru sebagai jentera penggerak utama di sekolah juga perlulah menanamkan rasa optimis dalam diri pelajar terhadap kemampuan akademik mereka. Usaha-usaha ini seterusnya akan menghasilkan sebuah generasi pelajar yang cekal mendepani cabaran globalisasi ilmu masakini tanpa mengenal erti jemu dan putus asa; walaupun diuji dengan kegagalan, cabaran, dan permasalahan yang mendatang demi merealisasikan sebuah kecemerlangan. Kata Kunci: Efikasi Kendiri, Teori Efikasi Kendiri, Optimis Akademik, Galakan Terhadap Efikasi Kendiri.

Pengenalan

Statistik bilangan belia telah meningkat dengan pesat dan mencapai hampir separuh daripada jumlah penduduk negara ini. Pada dekad kedua abad ke-21, terdapat kira-kira 10,730,000 atau 40% rakyat Malaysia berada dalam kategori belia (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2009). Jumlah yang besar ini telah menyebabkan kerajaan Malaysia meletakkan pembangunan belia sebagai keutamaan dan menghabiskan sejumlah wang yang besar untuk melaksanakan program-program pembangunan belia. Kemunculan konsep Generasi Y adalah salah satu daripada isu-isu yang sedang dibincangkan dalam kajian belia. Konsep Generasi Y telah biasa digunakan di negara-negara barat tetapi ia tidak dikaji secara meluas oleh para ilmuwan tempatan dan tidak dibincangkan oleh banyak agensi pembangunan belia di Malaysia (George & Lee, 2011). Dengan adanya konsep pembudayaan inovasi, Generasi Y diharapkan dapat meningkatkan produktiviti melalui cara kerja, penetapan minda dan gaya hidup yang lebih berkualiti sebagai teras kecemerlangan (Malaysia Productivity Corporation, 2013).

Generasi pelajar hari ini adalah merupakan modal insan dan entiti yang penting dalam menentukan masa hadapan sesebuah negara atau masyarakat. Ia merupakan aset dominan yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Justeru, pendidikan memainkan peranan amat penting dalam menyediakan negara dengan modal insan berkualiti yang memiliki sahsiah terpuji, berkemahiran tinggi, serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis khususnya untuk mengisi arus pemodenan menuju wawasan 2020 (KPM, 2012). Untuk menghasilkan anjakan pencapaian seperti yang dihasratkan, manfaat kemajuan negara perlu disebarkan secara lebih menyeluruh, terutamanya kepada kumpulan murid yang terpinggir, dan membantu semua murid mencapai kejayaan. Kementerian Pelajaran menggembleng segala sumber untuk melakukan perubahan dengan cara yang berbeza terhadap kemenjadian murid. Strategi Kementerian adalah memberikan keutamaan kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran, akses kepada maklumat yang boleh dipercayai dan bermakna, kebertanggungjawaban dan ketelusan, serta persekitaran dan infrastruktur pembelajaran yang sesuai (YAB Tan Sri Dato Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 2025, 2012).

Definisi Efikasi Kendiri dan Optimis Akademik

Efikasi kendiri merupakan aspek yang cukup penting dalam merealisasikan pencapaian yang cemerlang dan membanggakan dalam segenap lapangan yang dipelopori oleh pelajar. Ia didefinisikan sebagai kepercayaan individu terhadap dirinya sendiri untuk menghasilkan sesuatu tugasan atau tanggungjawab dengan baik dan berkesan (Bandura, 1977). Efikasi kendiri akademik pula merujuk kepada penilaian pelajar terhadap kebolehan mereka untuk menyusun dan melaksanakan tingkah laku pembelajaran untuk mencapai tahap pencapaian akademik yang dipilih; sebagai contoh, untuk lulus peperiksaan (Bandura, 1986, 1997). Muhammed Yusuf (2011) pula berpendapat efikasi kendiri dalam akademik menjadikan pelajar sentiasa berfikir tentang cara yang paling berkesan untuk menyempurnakan setiap tugasan. Dalam kajian ini, efikasi kendiri merujuk kepada tahap keyakinan dan kepercayaan kendiri seseorang pelajar untuk menyelesaikan sesuatu tugasan dan menghasilkan sesuatu yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

Sintesis Teori Efikasi Kendiri oleh Albert Bandura

Efikasi kendiri ialah jangkaan seseorang bahawa dia telah bertingkah laku seperti yang diperlukan untuk menghasilkan atau mencapai sesuatu natijah (Bandura, 1977). Ia diertikan sebagai keyakinan terhadap sesuatu keupayaan untuk menyusun dan melaksanakan kognitif, tingkah laku dan kemahiran sosial yang diperlukan untuk kejayaan terhadap sesuatu tugas (Schunk, 1991; Bandura, 1986; Jerusalem & Hesslig, 2009).

Teori efikasi kendiri ini menyatakan bahawa tingkah laku yang bermotivasi tinggi adalah merujuk kepada proses kognitif secara sedar, membabitkan keupayaan untuk menjangka matlamat dan ganjaran, penggunaan pertimbangan, penilaian dan penetapan keputusan. Teori ini menerangkan tentang aras keyakinan individu terhadap kemampuan untuk melaksanakan tugasan tertentu (Bandura, 1997). Menerusi teori ini, konsep reciprocal determinism, iaitu kitaran interaksi antara kognitif, persekitaran dan tingkah laku membolehkan individu mempelajari persekitarannya untuk menghasilkan tingkah laku yang diperlukan berdasarkan kepada pengetahuan terdahulu yang dimiliki.

Dalam teori efikasi, jangkaan terhadap efikasi berbeza daripada jangkaan terhadap hasil atau natijah. Jangkaan efikasi bermaksud individu percaya bahawa mereka akan berjaya membentuk tingkah laku yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu natijah, sebaliknya jangkaan terhadap natijah berkaitan dengan agakan bahawa tingkah laku akan menghasilkan suatu natijah tertentu. Sebagai contoh, pelajar boleh mempercayai tingkah laku tertentu akan menghasilkan natijah tertentu yang dijangka tetapi mereka mungkin tidak mempercayai bahawa mereka boleh melaksanakan tingkah laku yang akan menghasilkan sesuatu natijah.

Natijah yang selalu dikaitkan secara terus dengan efikasi ialah tingkah laku atau pencapaian. Sejak awal, pelopor teori ini telah menghubungkan tanggapan terhadap efikasi diri dengan pencapaian. Bandura dalam bukunya pada tahun 1977 telah melaporkan kajian yang menunjukkan hubungan yang signifikan antara efikasi diri dengan pencapaian prestasi yang berkaitan dengan kerja. Oleh itu teori dan penyelidikan tentang efikasi telah membuat postulat bahawa efikasi memberi kesan kepada pencapaian dan prestasi manusia.

Bandura (1977) menyatakan bahawa individu yang mempunyai efikasi kendiri yang tinggi dijangkakan dapat bekerja dengan lebih tekun dan rajin walaupun berada dalam situasi kesusahan berbanding mereka yang ragu-ragu terhadap kebolehan mereka. Teori ini yang telah diperkembangkan yang mencakupi jangkaan keupayaan untuk mengawal aktiviti-aktiviti individu seperti yang melibatkan pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang (Schunk, 1991). Schunk (1989) membincangkan bagaimana keberkesanan diri memainkan peranan yang penting semasa pembelajaran akademik. Pada permulaan aktiviti, kepercayaan pelajar tentang keupayaan mereka adalah berbeza-beza. Motivasi mereka untuk belajar dipertingkatkan apabila mereka membuat kemajuan dalam pembelajaran dan dapat menguasai pelbagai kemahiran yang diajarkan kepada mereka.

Model efikasi kendiri menyarankan jangkaan matlamat diri yang ditetapkan dan efikasi diri menyumbang kepada pencapaian. Selain itu, efikasi juga boleh menjadi faktor pengantara kepada sesuatu natijah. Efikasi diri telah dibuktikan sebagai peramal yang boleh dipercayai dapat meningkatkan motivasi dan pencapaian tugas. Oleh kerana kepentingan efikasi pencapaian, teori ini banyak diaplikasikan dalam bidang seperti pendidikan, pengurusan sumber manusia, tingkah laku organisasi, sukan, kesihatan dan sebagainya.

Model Jangkaan Efikasi Kendiri Kejayaan Prestasi

Mendekati atau MenjauhiPembelajaran VikariusTingkah Laku Efikasi Kendiri

PencapaianKeyakinan Sosial

Ketekunan

Keadaan emosi

Rajah 1.1 Model Jangkaan Efikasi KendiriSumber: Betz (2004)

Menurut Betz (2004), tingkah laku mendekati menjelaskan perkara-perkara yang cuba dilakukan oleh individu dan tingkah laku menjauhi ialah perkara yang tidak akan cuba oleh individu. Individu sepatutnya cuba mencari pelbagai maklumat tentang ilmu yang dipelajari oleh mereka dan cuba menguasai ilmu tersebut sebaik mungkin dengan giat, usaha dan kesungguhan yang terbaik. Untuk tingkah laku pencapaian, contohnya ialah ujian-ujian mata pelajaran atau kerja kursus yang pelajar mesti lulus sebelum tamat sesuatu kursus di sekolah atau kolej. Bagi individu yang berefikasi rendah, selalunya disusuli dengan sikap negatif dan sentiasa berkeadaan bimbang. Perkara ini boleh melemahkan pencapaian mereka dalam ujian mata pelajaran atau kerja kursus. Apabila pencapaian rendah, pelajar akan menghadapi persaingan untuk menempatkan diri ke pusat-pusat pengajian tinggi atau untuk mendapatkan pekerjaan yang terbaik berbanding dengan pelajar yang berpencapaian tinggi. Akhir sekali ialah kesan efikasi kendiri terhadap ketekunan. Ketekunan adalah mustahak untuk kegiatan jangka panjang seseorang. Bagi individu yang berefikasi tinggi, mereka akan tekun untuk cuba mengatasi halangan tersebut dengan pelbagai cara dan bagi yang berefikasi rendah pula akan menerima sahaja hakikat tersebut dan terus berada dalam situasi tersebut.

Kerangka Konsep Kajian

Kerangka konsep kajian ini juga dibina berdasarkan kajian-kajian lepas yang telah memperlihatkan hubungan efikasi kendiri yang mempengaruhi pencapaian akademik.Pembolehubah Pembolehubah BebasBersandarRajah 1.2 Kerangka Konseptual KajianPENCAPAIAN AKADEMIK

EFIKASI KENDIRIOptimis AkademikGalakan Terhadap Efikasi Kendiri

Dalam menghuraikan hubungan pemboleh ubah, kerangka konsep kajian telah dibina dan dibentuk, seperti dalam rajah di atas. Kerangka konsep ini mempunyai dua komponen utama iaitu Efikasi Kendiri dan Pencapaian Akademik. Komponen Efikasi Kendiri (EK) dikenal pasti sebagai Pemboleh Ubah Bebas dalam kajian ini, manakala Pencapaian Akademik (PA) pula dikenal pasti sebagai Pemboleh Ubah Bersandar. Dua sub komponen Efikasi Kendiri yang dikaji ialah Optimis Akademik dan Galakan Terhadap Efikasi Kendiri.

Tujuan Kajian

Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti pengaruh efikasi kendiri pelajar yang memberi impak dan kesan terhadap pencapaian akademik mereka. Kajian ini diharapkan agar dapat membantu memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan memiliki tahap efikasi kendiri yang tinggi dalam menguasai pembelajaran. Hasil kajian ini diharap dapat membantu pelajar mengenalpasti kelemahan mereka dalam pembelajaran dan berusaha untuk memperbaiki tahap pencapaian mereka melalui pemantapan efikasi yang lebih berkesan bagi memastikan proses pembelajaran mereka berjalan dengan lebih teratur dan efisyen.

Permasalahan Kajian

Dalam mendepani arus globalisasi dan kecanggihan ledakan informasi, remaja khususnya pelajar di Malaysia hari ini perlu dibantu agar terus berupaya dan cekal mengharungi setiap cabaran agar komitmen mereka terhadap pelajaran dan persekolahan tidak luntur dan terkubur di tengah jalan. Sekiranya tiada dorongan dari mana-mana pihak yang bertanggungjawab, pelajar-pelajar yang keciciran dan bermasalah pembelajaran akan terus merasa tersisih, hilang semangat untuk terus belajar, ponteng atau terus berhenti sekolah. Ini bukanlah senario yang diimpikan di Malaysia. Dalam National Education Blueprint (NEB) yang seterusnya ditambahbaik dalam National Key Result Areas (NKRAs), Malaysia bercita-cita untuk mengembangkan kualiti modal insan dengan memberikan penekanan terhadap sistem nilai, aspek disiplin, moral dan sikap pelajar supaya dapat melahirkan generasi pelajar yang berdaya maju, inovatif, kreatif dan berdaya saing (Sharifah Azizah & Rosna, 2011).

Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, jurang gender juga didapati semakin melebar dan meningkat. Murid perempuan tekal mengatasi murid lelaki. Perbezaan prestasi telah mula ketara dalam UPSR dan meningkat sepanjang laluan akademik murid. Selain itu, murid lelaki lebih berisiko untuk tercicir, mengakibatkan situasi yang nisbah lelaki-perempuan bagi sesuatu kohort berkurangan dari Tahun 1 ke Tingkatan 5. Pada peringkat universiti, pelajar perempuan terdiri daripada 70% kohort kemasukan di sesetengah universiti. Jurang gender ini telah melebar bagi PMR dan SPM sepanjang lima tahun lepas dan jika trend ini dibiarkan berterusan akan menimbulkan risiko marginalisasi terhadap pencapaian murid lelaki.

Menurut Mohd Burhan (2006), belum terdapat kajian tempatan yang mengkaji faktor pelajar dan faktor sekolah dalam menyumbang kepada pencapaian akademik pelajar secara serentak. Wujudnya jurang pencapaian akademik antara pelajar lelaki dan perempuan, bandar dan luar bandar, Melayu atau bukan Melayu membuktikan perlu adanya keperluan untuk mengkaji semula faktor-faktor penyumbang ke arah perbezaan pencapaian tersebut.

Justeru, berdasarkan dapatan-dapatan dari kajian-kajian lepas, kajian ini mensasarkan untuk mengkaji semula tahap efikasi kendiri pelajar-pelajar sekolah terutamanya pelajar di peringkat menengah yang mendepani pelbagai jenis peperiksaan penting seperti PMR, SPM dan STPM yang merupakan penentu hala tuju masa depan mereka. Kajian ini mengupas kembali dan mengenal pasti pengaruh efikasi kendiri terhadap pencapaian yang selalu dikaitkan dengan pelajar iaitu pencapaian akademik.Efikasi Kendiri Pemangkin Kegemilangan Akademik

Terdapat banyak kajian yang membuktikan efikasi diri atau optimism (keyakinan diri) boleh memberikan natijah yang positif, termasuklah terhadap pencapaian akademik pelajar (Bresslere, Bressler, & Bressler, 2010; Kluemper, Little, & DeGroot, 2009; Siddique, LaSalle-Ricci, Arnkoff, & Diaz, 2006). Dalam konteks dan suasana pembelajaran pelajar menengah atau rendah, pelajar yang mempunyai efikasi kendiri yang tinggi menganggap kegagalan sebagai usaha yang belum mantap, manakala mereka yang rendah efikasinya menganggap kegagalan sebagai ketidakmampuan atau ketidakupayaan mereka dalam menjayakan sesuatu perkara (Bandura, 1993; Collins, 1982). Hines & Kritsonis (2010) menyatakan bahawa pelajar yang belajar dengan guru-guru yang mempunyai efikasi kendiri yang tinggi telah menghasilkan skor ujian tertinggi berbanding pelajar yang mempunyai guru-guru yang rendah efikasinya. Lebih tinggi pencapaian pelajar dalam CGPA, lebih konservatif dan berhati-hati pelajar tersebut dalam peperiksaan. Lebih pesimis pelajar dalam pencapaian, lebih sedikit masa diperuntukkan untuk belajar (Tho, 2006).

Kajian-kajian lepas tentang kepercayaan terhadap efikasi kendiri pelajar (Pajares, 1994, 1997) dan efikasi kendiri guru juga menunjukkan hubungan dan pengaruh yang kuat terhadap pencapaian pelajar. Bandura (1993) membuktikan bahawa sekolah yang mempunyai efikasi kolektif mempunyai kaitan yang positif terhadap pencapaian pelajar; dan perkaitan ini ternyata lebih kuat berbanding hubungan SES (socioeconomic status) dan pencapaian pelajar.

Sekolah merupakan satu entiti penting dan punca utama dalam mewujudkan kestabilan emosi yang menyumbang ke arah perkembangan personaliti yang seimbang di kalangan kanak-kanak dan remaja. Terdapat pelbagai bukti empirikal yang kukuh seperti iklim kelas, pengalaman pelajar dalam membentuk keazaman diri, dan sebagainya merupakan suatu kesan yang besar terhadap diri pelajar dalam menetapkan harapan mereka untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan. Hal ini juga penting dan membawa kesan serta pengaruh yang penting dalam membina konsep kendiri, harga diri dan motivasi pelajar terhadap pembelajaran mereka (Jerusalem & Hessling, 2009).Guru merupakan faktor terpenting sebagai agen pelaksana pendidikan. Bagaimanapun, para guru sama ada sedar mahupun tidak, sering memandang setiap pelajarnya dengan cara yang berbeza (Wan Zah, Sharifah, Siti Suria, Othman, Kamariah, Arshad, Ramlah, Rohani, Rasid & Hayat, 2009). Guru perlu menerima hakikat bahawa dalam sesebuah kelas, tidak semua murid pandai. Sebahagiannya berada pada tahap sederhana dan ramai yang lemah. Guru mesti bijak menjadikan yang cerdik semakin cerdik, yang sederhana meningkat cerdik dan yang lemah terus meningkat dan terasa mereka diambil peduli (Sidek, 2011). Guru merupakan kunci pelaksana perubahan dalam bilik darjah memandangkan tugas pengawasan umum seperti memberi arahan, mencipta matlamat, mereka cipta idea-idea yang inovatif, dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan bagi merealisasikan agenda pendidikan berkualiti. Guru perlu membina mekanisme yang menemukan permasalahan hari ini dengan permasalahan akan datang dengan menggalakkan mekanisme kemajuan dan pembangunan yang membawa guru ke tahap daya saing yang utuh (Pelones, 2011).

Efikasi dan kepercayaan kendiri di kalangan pelajar bukan sahaja satu perkara penting dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar, tetapi ia juga merupakan satu cara berkesan yang dapat mempengaruhi persekitaran dan situasi sesebuah organisasi. Kepercayaan kendiri yang tinggi mempunyai hubungan yang amat signifikan dengan kecemerlangan pencapaian akademik dan mengurangkan kadar ponteng yang kerap berlaku di sekolah. Apabila pelajar percaya pada keupayaan mereka untuk melaksanakan dengan baik, mereka menjadi lebih bermotivasi dan berazam untuk berterusan dalam persekolahan mereka dan mereka melakukan yang lebih baik terhadap pembelajaran mereka (Jungert & Rosander, 2010). Kepercayaan terhadap diri sendiri juga terbukti menjadi penentu kepada peningkatan motivasi diri yang tinggi dan pemilihan strategi pembelajaran yang berkesan di kalangan pelajar (Rohaty & Muhammed Yusuf, 2011).

Kajian-kajian terdahulu juga menyatakan terdapat hubungan yang signifikan dan sederhana antara keyakinan diri, strategi pembelajaran, dan pencapaian akademik (Jerusalem & Hessling, 2009; Muhammed Yusuf, 2011). Pendekatan dan usaha yang bersepadu dari semua pihak perlu diambil bagi mengurangkan kadar kegagalan pelajar dalam pelajaran, khususnya bagi membantu para pelajar yang kurang berpotensi atau kurang cemerlang dalam akademik. Secara sosialnya, keberkesanan diri dipertingkatkan dengan mewujudkan iklim kelas yang positif, di mana pelajar menyokong antara satu sama lain dan guru-guru pula lebih sensitif kepada keperluan individu pelajar mereka.

Zimmerman (2000) menyatakan bahawa penyelidikan yang telah dijalankan selama dua dekad telah jelas membuktikan kesahihan efikasi kendiri sebagai peramal terhadap motivasi dan pembelajaran pelajar. Apabila dikaji sebagai pemboleh ubah pengantara dalam kajian latihan, keberkesanan diri telah terbukti untuk menjadi responsif kepada peningkatan dalam kaedah pelajar pembelajaran (terutamanya yang melibatkan lebih pengawalan diri) dan ramalan pencapaian hasil. Peranannya sebagai pengantara yang kuat antara pembelajaran dan motivasi pelajar merupakan satu bukti empirikal yang mengesahkan bahawa kepercayaan diri pelajar tentang keupayaan akademik memainkan peranan penting dalam motivasi untuk meningkatkan pencapaian mereka.

Mohamad Azrien & Mohd Alwee (2009) mendapati faktor nilai intrinsik, efikasi kendiri, strategi kognitif dan pengaturan kendiri didapati tidak mempengaruhi pencapaian mata pelajaran Bahasa Arab bagi pelajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri, Kelantan. Ini menunjukkan bahawa keempat-empat faktor ini bukan merupakan faktor penyumbang kepada pencapaian akademik pelajar. Kebanyakan pelajar mengatakan bahawa faktor yang dapat memotivasikan mereka ialah dorongan daripada ibu bapa dan para guru yang sentiasa mendidik mereka mengatur pembelajaran kendiri mereka.

Keyakinan akademik merupakan satu konstruk umum yang mengandungi efikasi kolektif, kepercayaan terhadap pelanggan, dan penekanan akademik. Konstruk ini mampu mengawal pencapaian akademik pelajar dalam pencapaian subjek, mengawal status sosio-ekonomi dan saiz sekolah. Optimis akademik mampu membawa perubahan yang positif terhadap sesebuah sekolah walaupun dibelenggu dengan tahap status ekonomi yang rendah dengan menanamkan keyakinan yang tinggi di kalangan guru. Keyakinan akademik yang boleh dipelajari ini dapat meningkatkan kejayaan dan mutu pencapaian. Ternyata keyakinan akademik dan pencapaian mempunyai hubungan yang berkait rapat antara satu sama lain. Keyakinan diri dapat meningkatkan pencapaian, dan pencapaian dapat meningkatkan dan memperkukuhkan keyakinan. Kedua-dua konsep ini bukan sahaja serasi bahkan melengkapi antara satu sama lain (Smith & Hoy, 2007).

Dalam konteks yang lain pula, hasil daripada kajian yang telah dijalankan oleh Che Musa Che Hamat (2011) tentang efikasi kendiri berdakwah dalam kalangan penggerak masyarakat orang Asli di Negeri Sembilan Darul Khusus mendapati tahap penghayatan Islam dan efikasi kendiri berdakwah yang amat tinggi. Dalam berdakwah, kesungguhan dan dedikasi pendakwah untuk mempengaruhi golongan sasar bukan hanya bergantung kepada metod yang digunakan sahaja tetapi turut menuntut sejauh mana efikasi kendiri untuk berhadapan dengan golongan tersebut. Bagi mencapai sasaran, setiap pendakwah perlu mempunyai rasa seronok terhadap kerjaya yang diceburi. Dalam kajian ini Penggerak Masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan telah menunjukkan sikap yang positif terhadap penglibatan kerjaya mereka sebagai pendakwah. Sikap negatif masyarakat berhampiran dengan perkampungan mereka bertugas tidak memberi kesan dan melemahkan semangat mereka untuk terus berdakwah.

Heidari, Izadi, & Ahmadian (2012) pula mendapati pelajar yang mempunyai tahap efikasi kendiri yang tinggi mempunyai hubungan yang positif dan signifikan dengan strategi pembelajaran perbendaharaan kata dan strategi mengingat pelajar berbanding pelajar yang mempunyai efikasi kendiri yang rendah. Dapatan ini menunjukkan kepentingan memupuk kepercayaan kendiri dalam diri pelajar bagi memastikan keberkesanan pembelajaran dan pencapaian mereka.

Betz (2004) menyatakan individu yang kurang berefikasi selalunya tidak cuba mencari maklumat tentang kerjaya dan tidak membuat keputusan yang terbaik terhadap pilihan kerjaya mereka. Mereka juga dikatakan mempunyai sikap yang negatif yang boleh melemahkan pencapaian dalam pelajaran dan seterusnya tidak tekun berusaha untuk mengatasi kelemahan yang ada, malah sanggup menerima hakikat dan terus berada dengan selesa dalam keadaan tersebut. Berbeza dengan individu yang mempunyai tahap efikasi yang tinggi, mereka akan sentiasa cuba mencari pelbagai maklumat tentang kerjaya dan membuat pilihan yang terbaik. Mereka bersikap positif dan sentiasa berusaha untuk mendapat pencapaian yang tinggi dalam ujian atau kerja kursus dan sentiasa tekun berusaha bagi mengatasi sebarang halangan supaya mereka menjadi pekerja yang cemerlang.

Individu yang mempunyai emosi yang positif (kurang reaksi stres) boleh menyebabkan mereka mempunyai efikasi yang tinggi terhadap sesuatu perkara atau aktiviti yang diceburi mereka. Sekiranya mereka sentiasa berada dalam keadaan stres, efikasi kendiri terhadap aktiviti yang dijalankan juga akan menjadi rendah (Bandura, 1977).

Kesimpulan

Berdasarkan dapatan-dapatan tersebut jelaslah membuktikan bahawa efikasi kendiri memainkan peranan penting dalam memajukan pelajar dalam pelajaran mereka. Tidak kira apa pun jurusan dan jenis mata pelajaran yang dipelajari di sekolah, pelajar perlu memiliki tahap efikasi kendiri yang kukuh agar mereka lebih berkeyakinan dalam menghadapi pembelajaran mereka. Hambatan ini perlu dikejar oleh seluruh kategori pelajar di negara ini, agar arus modenisasi dan globalisasi ilmu dapat ditangani dan didepani dengan bijak oleh mereka. Teori Efikasi oleh Bandura ini wajar diteliti sepenuhnya agar ia bukan sekadar gah sebagai asas tetapi perlu diaplikasikan oleh masyarakat pelajar yang masih ragu-ragu tentang kebolehan diri masing-masing. Golongan pelajar-pelajar miskin atau bermasalah pembelajaran, atau yang datang dari luar bandar, atau mempunyai masalah disiplin dan tekanan sosial yang tidak menentu, pelajar yang datang dari keluarga yang bermasalah seperti ibu bapa yang bercerai, dan sebagainya merupakan golongan pelajar yang perlu memiliki tahap efikasi kendiri yang cukup untuk sentiasa kental berhadapan dengan realiti kehidupan masing-masing. Perkara ini adalah amat perlu bagi mewujudkan kekuatan mental dan keseimbangan emosi mereka dalam menghadapi arus gelombang ilmu masa kini yang mencabar.

Rujukan

Bandura, A. 1993. Perceived self-efficacy in cognitive development and functioning. Educational Psychologist. Vol. 28 (2) :117-148.Bandura, A. 1997. Self-efficacy: The exercise of control. New York: Freeman.Bandura, A. 1977. Self-efficacy: Toward a unifying theory of behavioral change. Psychological Review. 84: 191-215.Bandura, A. 1986. Social foundations of thought and action: A social cognitive theory. Englewood Cliffs, NJ: Prentice-Hall. Betz, N. E. 2004. Contribution of self-efficacy theory to career counseling: A personal perspective. The Career Development Quarterly. June 2004. V52Bresslere, L., Bressler, M., dan Bressler, M. 2010. The role and relationship of hope, optimism and goal setting in achieving academic success: a study of students enrolled in online accounting courses. Academy of Educational Leadership Journal. 14 (4): 37-52.Che Musa bin Che Hamat. 2011. Penghayatan Islam dan efikasi kendiri berdakwah dalam kalangan penggerak masyarakat orang Asli di Negeri Sembilan Darul Khusus. Tesis Sarjana Pengajian Islam. Universiti Kebangsaan Malaysia. Collins, J. L. Mac, 1982. Self-efficacy and ability in achievement behavior. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Mesyuarat Tahunan American Educational Research Association, New York.George Lim Shyun Jen & Lee Yok Fee. 2011. Penggunaan konsep Generasi Y di Malaysia. Malaysian Journal of Youth Studies. Volume 4. Diambil dari http://ippbm.gov.my/v3-/index.php?option=com_content&view=article&id=282 pada 15 Februari 2013.Heidari, F., Izadi, M., Ahmadian, M. V. 2012. The relationship between Iranian EFL learners self-efficacy beliefs and use of vocabulary learning strategies. English Language Teaching. 5(2): 174-182.Hines, M. T. & Kritsonis, W. A. 2010. The interactive effects of race and teacher self-efficacy on the achievement gap in school. National Forum of Multicultural Issues Journal, 7(1): 1-16. Jabatan Perangkaan Malaysia. 2009. Buletin perangkaan sosial Malaysia: Peranan generasi Y dalam meningkatkan produktiviti. Diakses dari http://bpap.mpc.gov.my/elearn/APR/TKPI.pdf pada 28 Februari 2013.Jerusalem, M. & Hessling, J. K. 2009. Mental health promotion in schools by strengthening self-efficacy. Health Education. 109 (4) : 329-341.Jungert, T., & Rosander, M. 2010. Self-efficacy and strategies to influence the study environment. Teaching in Higher Education. 15 (6): 647-659.Kluemper, D., Little, L., and DeGroot, T. 2009. State or trait: effects of stateoptimismon job-related outcomes.Journal of Organizational Behavior. 30(2): 209-231.KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia), 2012, Pendidikan kebangsaan melangkah ke hadapan.Diakses daripada http://www.google.com.my/ pada 14 Jun 2012.Malaysia Productivity Corporation 2013. Peranan Generasi Y dalam meningkatkan produktiviti. Diakses dari http://bpap.mpc.gov.my/elearn/APR/TKPI.pdf pada 28 Februari 2013.Mohamad Azrien Mohamed Adnan & Mohd Alwee bin Yusoff. 2009. Motivasi, pembelajaran pengaturan kendiri dan prestasi akademik: Satu kajian di kalangan pelajar asasi pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri. Jurnal Al-Tamadun. Bil 4 : 1-16.Mohd Burhan Ibrahim. 2006. A hierarchical linear modeling of school effects and student factors affecting Penilaian Menengah Rendah (PMR) achievement. Tesis PhD (tidak diterbitkan) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.Muhammed Yusuf. 2011. A study of integrated motivational models: Undergraduate students and their academic achievements. Saarbrucken: LAP Lambert Academic Publishing. Pajares, F. 1997. Current directions in self-efficacy research in Maehr, M.l. and Pintrich, P.R.(Eds), Advances in Motivation and Achievement.JAI Press. Greenwich: CT. pp.: 1-49.Pajares, F. 1994. Role of self-efficacy and self-concept beliefs in mathematics problem-solving: a path analysis. Journal of Educational Psychology. Vol. 86 (No. 2) : 193-203.Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 2025. 2012. Diakses dari: http://www.google.com. Pada 25 November 2012. Pelones, M. T. P. 2011. Organizational change, culture, technology, and teachers performance: A culture of success towards excellence. Kertas Prosiding APCEMAL-Asian Pacific Conference on Educational Management and Leadership. UPSI.Rohaty Mohd Majzub & Muhammed Yusuf. 2011. Investigating relationship between self-efficacy, achievement motivation, and learning strategies of UKM undergraduate students. Advanced Educational Technologies. Schunk, D. H. 1991. Self-efficacy and academic motivation. Educational Psychologist, 26: 207-231.Schunk, D. H. 1989. Self-efficacy and cognitive skill learning. In C. Ames & R. Ames (Eds.), Research on motivation in education: Vol. 3. Goals and cognitions (pp. 13-44). San Diego: Academic.Sharifah Azizah Syed Sahil & Rosna Awang Hashim (2011). The roles of social support in promoting adolescents classroom cognitive engagement through academic self-efficacy. Malaysian Journal of Learning and Instruction. Vol. 8 : 49-69.Siddique, H., LaSalle-Ricci, V., Arnkoff, D, & Diaz, R. 2006. Worry,optimism, and expectations as predictors of anxiety andperformance in the first year of law school. Cognitive Therapy and Research. 30 (5) : 667-676.Sidek Baba 2011. Seteguh tekad. Selangor: Grup Buku Karangkraf.Smith, P.A. dan Hoy, W. K. 2007. Academic optimism and student achievement in urban elementary schools. Journal of Educational Administration. 45 (5) : 556- 568.Tho Lai Mooi. 2006. Self-efficacy and student performance in an accounting course. Journal of Financial Reporting and Accounting. 4(1): 129-146.Wan Zah Wan Ali, Sharifah Md Noor, Siti Suria Salim, Othman Mohamed, Kamariah Abu Bakar, Arshad Abd. Samad, Ramlah Hamzah, Rohani Ahmad Tarmizi, Rasid Jamian, Hayat Marzuki. 2009. Persepsi pelajar berisiko terhadap iklim pembelajaran. Jurnal Pendidikan Malaysia. 34 (1): 17-36.Zimmerman, B. J. 2000. Self-efficacy: An essential motive to learn. Contemporary Educational Psychology. 25 : 82 91.

14