Upload
lamphuc
View
312
Download
1
Embed Size (px)
Citation preview
Solid Waste Solution Journal; Vol. 1 2015
KAJI SELIDIK PERSEPSI MASYARAKAT TERHADAP PENJAGAAN
KEBERSIHAN DAN PERSEKITARAN DI MALAYSIA
SURVEY ON THE PERCEPTION OF COMMUNITY ON THE CLEANLINESS AND
ENVIRONMENT IN MALAYSIA
Ishanuddin Bin Hussin1, Mohamad Fadzil Abd Rahim1,
Santha Chenayah2 & Hamimah Husna Binti Hashim2
1Bahagian Pendidikan Masyarakat
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam
2Jabatan Ekonomi
Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya
ABSTRAK
Tujuan kertas ini adalah untuk mengukur tahap pengetahuan, kesedaran dan amalan
masyarakat dalam isu-isu kebersihan, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi
merangka, menambah baik dan memantapkan lagi pengisian program pendidikan
transformasi minda masyarakat yang akan dijalankan kelak oleh Perbadanan Pengurusan Sisa
Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). Kajian ini dijalankan melalui kaedah soal selidik
dan melibatkan jumlah responden seramai 5,460 orang responden. Hasil kajian mendapati
bahawa masyarakat mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi (iaitu sebanyak 86%) dalam
isu-isu berkaitan dengan kebersihan persekitaran, tetapi tahap kesedaran dan amalan terhadap
budaya kebersihan boleh dikategorikan pada tahap yang masih sederhana iaitu masing-
masing adalah sebanyak 68.4% dan 71.6%.
Kata Kunci: persepsi, pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam, budaya kebersihan
ABSTRACT
The purpose of this paper is to assess the level of knowledge, awareness and practices of
community on issues regarding to cleanliness, solid waste management and public cleansing
in order to develop, improve and enhance the educational program that will be conducted by
the Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation (SWCorp). This study
conducted through a questionnaire and involved a total of 5,460 respondents. The results of
the survey show that the society has high level of knowledge in the related issues which is
Kaji Selidik Persepsi Masyarakat Terhadap Penjagaan
Kebersihan Dan Persekitaran Di Malaysia
about 86%, but the level of awareness and practices can be categorized still at a moderate
level which is 68.4% and 71.6% respectively.
Keywords: perception, solid waste management, public cleansing, cleanliness culture
PENGENALAN
Penjanaan sisa pepejal di Malaysia semakin meningkat daripada tahun ke tahun. Pada tahun
2013, secara puratanya setiap individu di Malaysia menghasilkan 1.17kg sampah dan
dianggarkan sebanyak 33,000 tan sisa pepejal dijanakan setiap hari (JPSPN, 2013). Pihak
kerajaan telah membelanjakan peruntukan melebihi RM 1 billion setahun bagi menguruskan
sisa pepejal berkenaan. Perkembangan pesat aktiviti perbandaran dan kepelbagaian gaya
hidup masyarakat Malaysia dilihat sebagai salah satu penyumbang kepada peningkatan
janaan sisa pepejal tersebut (Tachobanoglous et al., 1993).
Hasil tinjauan pada tahun 2011, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan
Awam (SWCorp) telah mengenalpasti 241 lokasi sampah longgok di negeri-negeri yang
menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 iaitu Perlis,
Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,
Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Justeru, SWCorp telah menjalankan usaha pemantauan
sampah longgok dan pelaksanaan kempen-kempen kesedaran. Disamping itu pelbagai usaha
penambahbaikan juga telah turut dilakukan bagi memastikan jumlah lokasi sampah longgok
tersebut dapat dikurangkan dan tidak berulang. Pada akhir Disember 2013, pemantauan
mendapati bahawa masih terdapat sebanyak 95 kawasan sampah longgok atau hotspot yang
masih aktif (SWCorp, 2014).
Hal ini dapat menggambarkan bahawa persepsi masyarakat masih rendah terhadap budaya
kebersihan dan budaya membuang sampah sembarangan masih menjadi amalan masyarakat
Malaysia. Memandangkan isu berkaitan kebersihan dan pengurusan sisa pepejal di Malaysia
semakin meningkat dan meruncing, maka terdapat keperluan untuk melahirkan masyarakat
yang lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap budaya kebersihan.
Ishanuddin Bin Hussin, et. al
Kajian Lepas
Pada tahun 2009, SWCorp telah menjalankan satu kajian kesedaran awam berkaitan kitar
semula di Semenanjung Malaysia. Hasil kajian menunjukkan 71.8% responden sahaja yang
memahami dan mampu mengenalpasti aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan 3R dan hanya
63.7% sahaja yang mengamalkan amalan 3R dalam kehidupan seharian mereka (SWCorp,
2009).
Kepentingan Kajian
Kajian ini adalah bertujuan untuk mengukur tahap pengetahuan, kesedaran dan amalan
masyarakat berkaitan isu-isu kebersihan, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan
seterusnya mengenalpasti faktor-faktor demografi yang mempengaruhinya. Dapatan kajian
akan digunakan bagi merangka, menambahbaik dan memantapkan lagi pengisian program
pendidikan transformasi minda masyarakat yang akan dijalankan bukan sahaja oleh SWCorp
malah lain-lain agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
METODOLOGI KAJIAN
Skop dan Limitasi
Kajian dilihat ke atas sikap dan persepsi masyarakat terhadap penjagaan kesihatan
persekitaran, pengetahuan tentang sejauh mana pentingnya amalan penjagaan kebersihan dan
amalan dalam penjagaan kesihatan persekitaran.
Kajian hanya dijalankan di negeri-negeri seliaan SWCorp sahaja iaitu Negeri Perlis, Kedah,
Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor,
Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Persampelan
Populasi kajian terdiri daripada individu atau masyarakat yang tinggal di negeri-negeri
seliaan SWCorp. Sebanyak 5,460 orang responden telah dipilih secara rawak yang meliputi
masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar.
Pembentukan Soal Selidik
Kajian ini dilakukan dengan menggunakan data primer yang diperolehi dari sumber utama
(responden) daripada borang soal selidik yang diedarkan kepada kumpulan sasaran, focus
Kaji Selidik Persepsi Masyarakat Terhadap Penjagaan
Kebersihan Dan Persekitaran Di Malaysia
group dan temuramah menerusi kajian lapangan. Borang soal selidik ini mengandungi lima
bahagian seperti yang terdapat pada Jadual 1 (Jamilah, 2011).
Jadual 1: Bahagian dan Pembolehubah Instrumen Kajian
Bahagian Pembolehubah
A Maklumat responden
B Pandangan mengenai kebersihan persekitaran
C Pengetahuan tentang penjagaan kebersihan persekitaran
D Kesedaran masyarakat tentang penjagaan kebersihan
persekitaran
E Amalan dalam penjagaan kebersihan persekitaran
Penganalisisan Data
Maklumbalas yang diterima daripada responden melalui soal selidik dimasukkan ke dalam
perisian IBM SPSS Statistics 20 mengikut kod-kod angka yang telah ditetapkan. Ujian
statistik deskriptif yang terlibat ialah minimum, maksimum, min dan median bagi analisis
deskriptif demografi. Bagi mengenalpasti tahap pengetahuan, kesedaran dan amalan bagi
setiap item kajian, purata min skor digunakan.
Analisis ujian-t tidak bersandar, ujian ANOVA satu-hala dan ujian julat berganda Duncan
digunakan bagi mengenal pasti kesignifikanan perbezaan dalam tahap pengetahuan,
kesedaran dan amalan mengikut faktor demografi. Ujian julat berganda Duncan dipilih
berdasarkan pandangan Carmer dan Wanson (1973), bahawa dalam beberapa tatacara
perbandingan berganda, kaedah beza bererti terkecil merupakan satu ujian yang sangat
berkesan bagi mengesan beza sebenar dalam min (Hanunah, 2012).
HASIL DAPATAN
1. Analisa Demografi Responden
a) Taburan Responden Mengikut Jantina
Peratus responden mengikut jantina adalah seperti dalam Rajah 1. Didapati bahawa sebanyak
53.7% daripada jumlah responden adalah lelaki (2,972 orang) manakala 46.9% responden
adalah perempuan (2,486 orang). Dua orang responden tidak mendedahkan jantinanya.
Ishanuddin Bin Hussin, et. al
Rajah 1: Peratus Responden Mengikut Jantina
b) Taburan Responden Mengikut Tahap Pendidikan
Majoriti responden, iaitu sebanyak 58.3% responden memiliki pendidikan di peringkat
sekolah menengah (Rajah 2). Sebanyak 32.6% responden mempunyai pendidikan di
peringkat universiti sama ada dalam ijazah sarjana muda ataupun sarjana. Didapati hanya
5.6% responden memiliki pendidikan sekolah rendah sahaja dan sebanyak 3.3% responden
tidak mempunyai pendidikan secara formal. Enam orang responden tidak mendedahkan tahap
pendidikannya.
Rajah 2: Peratus Responden Mengikut Tahap Pendidikan
53.7%
46.3% Lelaki
Perempuan
5.6
58.3
32.6
3.3
0
10
20
30
40
50
60
70
Sekolah
Rendah
Sekolah
Menengah
Universiti Tidak
Bersekolah
Per
atus
Res
ponden
(%
)
Tahap Pendidikan
Kaji Selidik Persepsi Masyarakat Terhadap Penjagaan
Kebersihan Dan Persekitaran Di Malaysia
c) Taburan Responden Mengikut Jenis Pekerjaan
Rajah 3 menunjukkan peratus responden mengikut jenis pekerjaan mereka. Didapati bahawa
sebanyak 34.8% responden bekerja dalam sektor swasta. Sebanyak 22.4% responden
merupakan kakitangan awam. Ini diikuti dengan 20.3% responden yang bekerja sendiri, 9.9%
responden merupakan pelajar (pelajar sekolah dan pelajar di institusi pengajian tinggi) dan
7.9% responden merupakan suri rumah. Hanya 4.4% responden menyatakan bahawa mereka
tidak bekerja. Terdapat 13 orang responden tidak mendedahkan jenis pekerjaannya.
Rajah 3: Peratus Responden Mengikut Jenis Pekerjaan
d) Taburan Responden Mengikut Kawasan Kediaman
Sebanyak 69.3% responden adalah dari kawasan bandar manakala 30.7% responden adalah
terdiri daripada masyarakat luar bandar seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 4.
Rajah 4: Peratus Responden Mengikut Kawasan Kediaman
22.4
34.8
20.3
7.9 9.9
4.4
05
10152025303540
Per
atus
Res
ponden
(%
)
Jenis Pekerjaan
69.3%
30.7%
Bandar
Luar Bandar
Ishanuddin Bin Hussin, et. al
2. Analisa Pandangan Masyarakat Mengenai Kebersihan Persekitaran
Secara keseluruhannya responden menggambarkan kebersihan persekitaran di kawasan
kejiranan, bandar kediamaan dan Malaysia adalah pada tahap yang memuaskan dengan min
skor masing-masing adalah 3.87, 3.92 dan 3.85 rujuk Jadual 2 dan Jadual 3.
Jadual 2: Julat Skor dan Tahap Keselarian bagi Penentuan Tahap Kebersihan Persekitaran
JULAT MIN SKOR TAHAP KESELARIAN
5.00 Amat Bersih
≥ 4.00 Bersih
≥ 3.00 Memuaskan
≥ 2.00 Kurang Bersih
≥ 1.00 Kotor
Jadual 3: Tahap Pandangan Mengenai Kebersihan Persekitaran
KAWASAN MIN SKOR TAHAP KESELARIAN
Kawasan kejiranan 3.87 Memuaskan
Bandar 3.92 Memuaskan
Negara 3.85 Memuaskan
3. Analisa Pandangan Pengetahuan, Kesedaran dan Amalan Masyarakat Tentang
Penjagaan Kebersihan dan Persekitaran di Malaysia
a) Pengetahuan Tentang Penjagaan Kebersihan Persekitaran
Instrumen kajian ini merangkumi enam item soalan pengetahuan tentang kebersihan. Soalan-
soalan adalah berkaitan dengan pengetahuan masyarakat terhadap kesan penjagaan
kebersihan persekitaran kepada alam sekitar seperti kesan banjir kilat yang disebabkan oleh
pembuangan sampah ke dalam longkang atau saliran, penularan penyakit yang disebabkan
persekitaran yang kurang bersih dan kesan langsung pembuangan sampah secara
sembarangan. Dalam menentukan tahap pengetahuan masyarakat bagi setiap item soalan
tersebut, julat min skor diukur dan diselarikan dengan tahap keselarian seperti yang telah
ditetapkan dalam Jadual 4.
Jadual 4: Julat Skor dan Tahap Keselarian bagi Penentuan Tahap Pengetahuan Responden
Kaji Selidik Persepsi Masyarakat Terhadap Penjagaan
Kebersihan Dan Persekitaran Di Malaysia
JULAT MIN SKOR TAHAP KESELARIAN
3.68 – 5.00 Tinggi
2.34 – 3.67 Sederhana
1.00 – 2.33 Rendah
Jadual 5 menunjukkan tahap pengetahuan masyarakat tentang penjagaan kebersihan
persekitaran di Malaysia. Secara keseluruhanya tahap pengetahuan masyarakat tentang
penjagaan kebersihan persekitaran adalah 86.0% iaitu tinggi dengan min skor keseluruhan
4.30.
Sistem perparitan bandaran yang tersumbat dan rosak adalah penyumbang kepada berlakunya
banjir di beberapa negeri di negara ini. Kajian mendapati bahawa sebanyak 4,819 responden
(88.3%) bersetuju perbuatan membuang sampah ke dalam longkang boleh menyebabkan
banjir kilat dan hanya 143 orang responden (2.6%) yang menyatakan bahawa membuang
sampah ke dalam longkang tidak boleh menyebabkan banjir kilat.
Hasil kajian mendapati bahawa 90.0% masyarakat (4,910 responden) mengetahui bahawa
perbuatan membuang sampah sembarangan akan memberi kesan kepada alam sekitar dan
4,723 orang responden (86.6%) bersetuju bahawa masyarakat akan lebih menghormati
individu yang menjaga kebersihan persekitran. Kajian juga mendapati bahawa masih ramai
(4,953 orang responden atau 90.8%) yang bersetuju bahawa tanggungjawab menjaga
kebersihan merupakan tanggungjawab bersama.
Secara keseluruhanya, masyarakat mempunyai pengetahuan berkaitan dengan hubungkait
kebersihan persekitaran dengan penularan penyakit. Persekitaran yang kotor boleh menjadi
tempat pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus dan nyamuk. Sebanyak 89.7%
responden atau 4,887 orang menyatakan bahawa kebersihan persekitaran mampu
mengelakkan penularan penyakit dan sebanyak 4,583 orang responden (84.1%) mengetahui
mengenai penyakit-penyakit yang boleh diakibatkan oleh persekitaran yang tidak bersih
seperti penyakit deman denggi, Leptospirosis (penyakit kencing tikus), keracunan makanan
dan sebagainya.
Ishanuddin Bin Hussin, et. al
Jadual 5: Tahap Pengetahuan Masyarakat Tentang Penjagaan Kebersihan Persekitaran
b) Kesedaran Tentang Penjagaan Kebersihan Persekitaran
Berdasarkan analisis kajian yang telah dijalankan (menggunakan lapan item bagi mengukur
tahap kesedaran masyarakat tentang penjagaan kebersihan persekitaran) menunjukkan tahap
kesedaran yang sederhana kerana min skor keseluruhan berada pada tahap 68.4% dengan min
sederhana iaitu 3.42 (rujuk Jadual 7). Julat dan tahap keselarian yang digunakan adalah
seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 6.
Jadual 6: Julat Skor dan Tahap Keselarian bagi Penentuan Tahap Kesedaran Responden
JULAT MIN SKOR TAHAP KESELARIAN
3.68 – 5.00 Tinggi
2.34 – 3.67 Sederhana
1.00 – 2.33 Rendah
Sebanyak 3,942 orang responden (72.3%) sedar bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan
bukan hanya terletak kepada kerajaan semata-mata. Walaubagaimanapun, sebanyak 774
orang responden (14.2%) berpandangan bahawa menjaga kebersihan alam sekitar adalah
sesuatu yang menyusahkan. Sebanyak 4,544 orang responden (83.3%) sedar bahawa menjaga
kebersihan alam sekitar adalah sangat penting dan 82.4% daripada jumlah responden (4,497
orang) berasa marah dan benci apabila melihat orang lain membuang sampah merata-rata.
Kaji Selidik Persepsi Masyarakat Terhadap Penjagaan
Kebersihan Dan Persekitaran Di Malaysia
Hasil kajian mendapati, 82.8% responden (4,513 orang) percaya dan sedar bahawa mereka
mampu menyumbang kepada kebersihan alam sekitar yang lebih baik. Walau bagaimanapun,
hanya 3,461 orang responden (63.4%) yang sanggup untuk membayar lebih bagi membeli
produk-produk yang mesra alam dan hanya 3,413 orang responden (62.7%) yang sedar
kewujudan dan tahu mengenai produk-produk mesra alam.
Sebanyak 3,222 orang responden atau 59.2% responden sedar dan sayangkan alam sekitar
tetapi kekangan masa menjadi penghalang bagi mereka untuk mengamalkan aktiviti berkaitan
kebersihan seperti gotong-royong di kawasan kediaman, mengamalkan guna semula, kitar
semula dan pengkomposan. Hal ini menunjukkan gambaran awal bahawa kesedaran dan
amalan adalah dua perkara berbeza serta agak sukar untuk diamalkan seiringan. Jadual 7
menunjukkan taburan jumlah responden berdasarkan soalan yang terdapat dalam instrumen
kajian.
Jadual 7: Tahap Kesedaran Masyarakat Tentang Penjagaan Kebersihan Persekitaran
c) Amalan Penjagaan Kebersihan Persekitaran
Tahap amalan dalam penjagaan kebersihan persekitaran diukur dengan menggunakan enam
item soalan meliputi pelaksanaan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle), penerapan amalan
Ishanuddin Bin Hussin, et. al
kebersihan di kalangan ahli keluarga, pemilihan barangan mesra alam dan penggunaan semua
lebihan makanan sebagai baja tumbuhan. Hasil kajian mendapati bahawa tahap amalan
masyarakat dalam penjagaan kebersihan persekitaran berada pada tahap 71.6% iaitu tahap
sederhana dengan min skor 3.58 (tahap keselarian sederhana) (rujuk Jadual 8 dan Jadual 9).
Jadual 8: Julat Skor dan Tahap Keselarian bagi Penentuan Tahap Amalan Responden
JULAT MIN SKOR TAHAP KESELARIAN
3.68 – 5.00 Tinggi
2.34 – 3.67 Sederhana
1.00 – 2.33 Rendah
Hasil kajian mendapati bahawa hanya 65.2% responden (3,551 orang responden) tahu dan
mengamalkan amalan 3R dalam kehidupan mereka seharian. Sebanyak 1,539 orang
responden menyatakan bahawa mereka tidak pasti sama ada mereka telah mengamalkan
amalan 3R. Sebanyak 4,156 orang responden ataupun 76.2% menyatakan bahawa mereka
mengamalkan sikap tegur-menegur di kalangan keluarga mereka bagi aspek kebersihan dan
bagi menerapkan amalan tersebut. Seramai 3,634 orang responden (66.7%) memilih barang
keperluan rumah yang difikirkan memberi kebaikan kepada alam sekitar dan seramai 3,461
orang responden (63.3%) yang mengelakkan daripada membuat banyak pembungkusan
semasa membeli-belah (rujuk Jadual 9).
Kajian mendapati bahawa hanya 40.9% responden (2,233 orang) yang menggunakan lebihan
makanan mereka untuk dijadikan baja (pengkomposan). Ini menunjukkan bahawa masih
ramai masyarakat yang tidak cakna dan tidak mengamalkan pengkomposan sisa makanan. Ini
dikuatkan lagi oleh hasil kajian komposisi sisa pepejal yang dijalankan oleh Jabatan
Pengurusan Sisa Pepejal Negara (2013) yang menunjukkan bahawa hampir 15,000 tan sisa
makanan dibuang ke tapak pelupusan. Hanya 39.5% responden (2,158 orang) yang
menyatakan akan mengambil tindakan sekiranya berlaku masalah kebersihan alam sekitar.
24.7% responden (1,344 orang) mengaku mereka tidak pasti apa yang akan dilakukan
sekiranya berlakunya masalah kebersihan dan 35.7% (1,950 orang) menyatakan mereka akan
menunggu orang lain untuk mengambil tindakan yang bersesuaian.
Kaji Selidik Persepsi Masyarakat Terhadap Penjagaan
Kebersihan Dan Persekitaran Di Malaysia
Jadual 9: Tahap Amalan Masyarakat Dalam Penjagaan Kebersihan Persekitaran
PERBINCANGAN
1. Hubungkait Tahap Pengetahuan, Kesedaran dan Amalan Dalam Penjagaan
Kebersihan Persekitaran
Kajian mendapati bahawa terdapat hubungan yang positif (r > 0.3) dan signifikan (p < 0.05)
antara pengetahuan dan kesedaran dengan amalan dalam penjagaan kebersihan (rujuk Jadual
10). Terdapat hubungkait positif antara tahap pengetahuan dan tahap amalan (r = 0.324, r >
0.3) serta tahap kesedaran dan tahap amalan (r = 0.509, r > 0.3) penjagaan kebersihan. Kajian
juga mendapati bahawa tidak terdapat hubungkait antara pengetahuan dan kesedaran (r =
0.273, r < 0.3).
Ini menunjukkan bahawa pengetahuan dan kesedaran mempengaruhi amalam seseorang
individu dalam penjagaan kebersihan persekitaran. Antara pengetahuan dan kesedaran, tahap
kesedaran seseorang individu memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi
amalannya dalam memastikan penjagaan kebersihan persekitaran. Walaubagaimanapun,
pengetahuan seseorang individu tidak mempengaruhi kesedarannya dalam penjagaan
kebersihan persekitaran.
Ishanuddin Bin Hussin, et. al
Jadual 10: Jadual Hubungkait Tahap Pengetahuan, Kesedaran dan Amalan
2. Perbezaan Tahap Pengetahuan, Kesedaran dan Amalan Dalam Penjagaan
Kebersihan Mengikut Faktor Demografi
a) Faktor Jantina
Bagi mengenal pasti terdapatnya perbezaan dalam tahap pengetahuan, kesedaran dan amalan
dalam penjagaan kebersihan mengikut jantina, analisis Ujian-t telah dilaksanakan. Hasil
analisis Ujian-t yang dilakukan (Jadual 11) mendapati bahawa tiada perbezaan yang
signifikan dalam kesedaran dan amalan penjagaan kebersihan mengikut jantina tetapi terdapat
perbezaan yang signifikan dalam tahap pengetahuan.
Ia adalah berdasarkan hasil Ujian-t bagi tahap pengetahuan (t = -3.834, df = 5396, p < 0.05)
di mana nilai p = 0.000 (p < 0.05). Ini menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan
dalam tahap pengetahuan tentang penjagaan kebersihan persekitaran antara jantina lelaki dan
perempuan. Berdasarkan hasil Ujian-t menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan yang
signifikan antara tahap kesedaran dengan jantina (t = -1.244, df = 5396, p > 0.05) di mana p =
0.214 (p > 0.05) dan antara tahap amalan dengan jantina (t = - 1.808, df = 5396, p > 0.05) di
mana p = 0.071 (p > 0.05).
Kaji Selidik Persepsi Masyarakat Terhadap Penjagaan
Kebersihan Dan Persekitaran Di Malaysia
Jadual 11: Hasil Ujian-t bagi Tahap Pengetahuan, Kesedaran dan Amalan Dalam Penjagaan
Kebersihan Mengikut Jantina
b) Faktor Tahap Pendidikan
Hasil kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap pengetahuan
dan kesedaran dalam penjagaan kebersihan mengikut tahap pendidikan. Hasil keputusan
ANOVA satu hala bagi tahap pengetahuan dan kesedaran (Jadual 4.4), masing-masing adalah
F (df = 3,5390, p < 0.05 ) = 0.12.662 dan F (df = 3,5390, p < 0.05) = 4.287. Ini menunjukkan
tahap pendidikan mempengaruhi pengetahuan dan kesedaran seseorang individu dalam
penjagaan kebersihan persekitaran.
Analisis ujian julat berganda Duncan (Jadual 12) mendapati bahawa individu yang memiliki
pendidikan di peringkat universiti mempunyai tahap pengetahuan yang lebih tinggi
berbanding dengan individu yang tidak pernah mendapatkan pendidikan secara formal (tidak
bersekolah). Ini menunjukkan bahawa semakin tinggi tahap pendidikan seseorang semakin
seseorang individu banyak terdedah dengan pengetahuan tentang penjagaan kebersihan
persekitaran.
Dalam menganalisa pengaruh tahap pendidikan dengan kesedaran penjagaan kebersihan
persekitaran, analisis ujian julat berganda Duncan (Jadual 13) mendapati bahawa individu
yang memiliki pendidikan di peringkat universiti mempunyai tahap kesedaran yang paling
Ishanuddin Bin Hussin, et. al
tinggi dan individu yang memiliki pendidikan sekolah rendah sahaja mempunyai tahap
kesedaran yang paling rendah.
Jadual 12: ANOVA Satu Hala bagi Tahap Pengetahuan, Kesedaran dan Amalan Dalam
Penjagaan Kebersihan Mengikut Tahap Pendidikan
Jadual 13: Hasil Ujian Julat Berganda Duncan bagi Tahap Pengetahuan Mengikut Tahap
Pendidikan
c) Faktor Jenis Pekerjaan
Bagi mengenalpasti terdapatnya perbezaan dalam tahap pengetahuan, kesedaran dan amalan
dalam penjagaan kebersihan mengikut jenis pekerjaan, analisis ANOVA satu hala telah
Kaji Selidik Persepsi Masyarakat Terhadap Penjagaan
Kebersihan Dan Persekitaran Di Malaysia
dilaksanakan (Jadual 14). Berdasarkan hasil keputusan ANOVA satu hala bagi tahap
kesedaran dan tahap amalan, masing-masing didapati bahawa F (df = 5,5381, p > 0.05) =
1.473 dan F (df = 5,5381, p > 0.05) = 0.213. Ia menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan
dalam dua pembolehubah tersebut mengikut jenis pekerjaan. Keputusan ANOVA satu hala
menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam tahap pengetahuan dalam penjagaan
kebersihan mengikut jenis pekerjaan iaitu F (df = 5,5381, p < 0.05) = 4.534.
Bagi mendapatkan keputusan yang lebih terperinci bagi mengenalpasti kumpulan pekerjaan
yang mempunyai perbezaan secara signifikan, ujian julat berganda Duncan dilaksanakan.
Hasil analisis adalah seperti di Jadual 15. Responden yang tidak bekerja mempunyai tahap
pengetahuan lebih rendah berbanding dengan kumpulan pekerjaan yang lain. Pelajar didapati
mempunyai tahap pengetahuan yang lebih tinggi dalam penjagaan kebersihan persekitaran.
Hal ini disebabkan pelbagai usaha dan program pihak kerajaan banyak menjadikan golongan
ini sebagai golongan sasaran.
Jadual 14: ANOVA Satu Hala Bagi Tahap Pengetahuan, Kesedaran dan Amalan Dalam
Penjagaan Kebersihan Mengikut Jenis Pekerjaan
Ishanuddin Bin Hussin, et. al
Jadual 15: Hasil Ujian Julat Berganda Duncan bagi Tahap Pengetahuan Mengikut Jenis
Pekerjaan
d) Faktor Kawasan Kediaman
Bagi mengenalpasti perbezaan dalam tahap pengetahuan, kesedaran dan amalan dalam
penjagaan kebersihan mengikut kawasan kediaman, analisis Ujian-t telah dilaksanakan. Hasil
analisis Ujian-t yang dilakukan (Jadual 16) mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang
signifikan dalam tahap pengetahuan dalam penjagaan kebersihan mengikut kawasan
kediaman tetapi terdapat perbezaan yang signifikan bagi tahap kesedaran dan amalam dalam
penjagaan kebersihan persekitaran. Hasil Ujian-t menunjukkan bahawa:
(i) tiada hubungan yang signifikan antara tahap pengetahuan dengan kawasan
kediaman (t = 1.116, df = 5365, p > 0.05) di mana p = 0.265,
(ii) terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kesedaran dengan kawasan
kediaman (t = 2.329, df = 5365, p < 0.05) di mana p = 0.020, dan
(ii) terdapat hubungan yang signifikan antara tahap amalan dengan kawasan kediaman
(t = 6.416, df = 5365, p < 0.05) di mana p = 0.000.
Kajian mendapati bahawa terdapat kawasan kediaman mempengaruhi tahap kesedaran dan
amalan individu dalam penjagaan kebersihan persekitaran. Individu yang tinggal di kawasan
bandar mempunyai tahap kesedaran dan amalan yang lebih tinggi berbanding dengan
individu yang tinggal di kawasan luar bandar.
Kaji Selidik Persepsi Masyarakat Terhadap Penjagaan
Kebersihan Dan Persekitaran Di Malaysia
Jadual 16: Hasil Ujian-t bagi tahap pengetahuan, kesedaran dan amalan dalam penjagaan
kebersihan mengikut kawasan kediaman
KESIMPULAN
Tahap pengetahuan masyarakat tentang penjagaan kebersihan persekitaran adalah pada tahap
yang tinggi dengan pencapaian sebanyak 86% (min skor = 4.30). Hasil kajian mendapati
bahawa terdapat perempuan mempunyai tahap pengetahuan yang lebih tinggi berbanding
leleaki dalam penjagaan kebersihan persekitaran.
Tahap pendidikan didapati mempengaruhi tahap pengetahuan individu dalam penjagaan
kebersihan persekitaran di mana individu yang tidak mendapat pendidikan secara formal
dilihat mempunyai pengetahuan yang lebih rendah berbanding dengan individu yang telah
mendapatkan pendidikan secara formal (sama ada di sekolah rendah, sekolah menengah dan
universiti). Individu dalam masyarakat yang tidak bekerja dan bekerja sendiri mempunyai
pengetahuan yang lebih rendah berbanding dengan pelajar.
Hasil kajian mendapati bahawa tahap kesedaran masyarakat adalah pada tahap 68.4%
(dengan jumlah min skor 3.41). Faktor tahap pendidikan mempengaruhi kesedaran individu
dalam penjagaan kebersihan persekitaran di mana, individu yang hanya menerima pendidikan
sehingga sekolah rendah mempunyai tahap kesedaran yang lebih rendah berbanding dengan
Ishanuddin Bin Hussin, et. al
individu-individu lain. Individu yang tinggal di kawasan bandar mempunyai tahap kesedaran
yang lebih tinggi berbanding dengan individu yang tinggal di kawasan luar bandar. Ini
berkemungkinan pendedahan kepada kesan akibat pengurusan sisa pepejal yang tidak
sistematik lebih dirasakan oleh masyarakat bandar seperti banjir kilat, penularan wabak
penyakit berjangkit, pencemaran bau dan sebagainya.
Tahap amalan masyarakat dalam penjagaan kebersihan persekitaran adalah pada tahap
sederhana (71.6% dengan jumlah min skor adalah 3.56). Masyarakat yang tinggal di kawasan
bandar didapati mempunyai tahap amalan yang lebih tinggi berbanding masyarakat yang
tinggal di kawasan luar bandar. Hal ini mungkin disebabkan oleh kemudahan dan fasiliti
berkaitan pengurusan sisa pepejal seperti tong kitar semula, pusat pembelian barangan kitar
semula dan kawasan perkomposan mudah dijumpai.
RUJUKAN
Carmer, S.G. & Swanson, M.R. 1973. Evaluation of Ten Painwise Multiple Comparison
Procedures by Monte Carlo Methods. Journal of the American Statistical Association.
68 (314): 66-74.
George, D., & Mallery, P. 2003. SPSS for Windows step by step: A simple guide and
reference. 11.0 update (4th ed.). Boston: Allyn & Bacon.
Hanunah Bt Ahmad Shah. 2012. Hubungan Antara Pengetahuan dan Motivasi dengan
Amalan Memelihara Alam Sekitar dalam Kalangan Guru Pelatih (KPLI). Persidangan
Kebangsaan Pembangunan dan Pendidikan Lestari. Institusi Pendidikan Guru Kampus
Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Jamilah Hj Ahmad, Hasrina Mustafa, Hamidah Abd Hamid & Juliana Abdul Wahab. 2011.
Pengetahuan, Sikap dan Amalan Masyarakat Malaysia terhadap Isu Alam Sekitar.
Akademika 81(3) 2011: 103-115. Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.
JPSPN. 2013. Survey on Solid Waste Composition, Characteristics & Existing Practice of
Solid Waste Recycling in Malaysia Final Report. Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Kaji Selidik Persepsi Masyarakat Terhadap Penjagaan
Kebersihan Dan Persekitaran Di Malaysia
Jabatan Perangkaan. 2011. Taburan Penduduk dan Ciri-ciri Asas Demografi 2010.
http://www.statistics.gov.my/portal/download_Population/files/census2010/Taburan_
Penduduk_dan_Ciri-ciri_Asas_Demografi.pdf [24 September 2014]
SWCorp. 2009 (Tidak diterbitkan). Laporan Kajian Soal Selidik Kesedaran Awam Berkaitan
Kitar Semula 2009. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan.
SWCorp. 2013a. Modul Latihan Kelab Kitar Semula Sekolah Menengah. Kementerian
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
SWCorp. 2013b. Modul Latihan Kelab Kitar Semula Sekolah Rendah. Kementerian
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
SWCorp. 2014. Laporan Tahunan SWCORP 2013. Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Tachobanoglous, G., Theisen, H. & Vigil, S. 1993. Integrated solid waste management –
Engineering principles and management issues. New York. MCGraw-Hill.