mendidik ANAK LELAKI

Embed Size (px)

DESCRIPTION

pendidikan

Citation preview

ADAKAH MRSM DAN SBP ITU TERBAIK?

Kami ingin kongsikan pengalaman ini sebagai asbab bagi menjawab deretan pertanyaan bagaimana kami mendidik ANAK LELAKI kami selepas artikel GEDIK ANAK PEREMPUAN baru-baru ini.

Kami baru lepas dikunjungi oleh pelajar sebuah universiti swasta tempatan beberapa hari lepas. Mereka mengadakan program CSR seperti aktiviti rekacipta dan membantu kami membuat pembinaan rumah. Tanpa kami ketahui bahawa sebahagian besar mereka adalah alumni dari MRSM.

Salah seorang dari mereka berbual dan menasihati anak-anak kami agar belajar bersungguh-sungguh supaya selepas UPSR nanti boleh masuk MRSM. Anak kami menjawab yang mereka mahu kekal berada di RPWP dan bukan tempat lain. Mereka terus memujuk dengan mengatakan MRSM ialah sekolah terbaik di Malaysia dan mudah untuk peluang belajar ke luar negara. Namun anak kami tetap katakan "Di sini lebih baik".

Lalu pelajar itu datang kepada kami meminta penjelasan mengapa anak-anak RPWP yang pandai-pandai dalam peperiksaan pun tidak kami hantar ke MRSM. Kami menjawabnya dengan pertanyaan ringkas..

Mengapa MRSM?

Jawab beliau kerana belajar di MRSM sistemnya baik dan mudah untuk ke luar negara dengan tajaan. Kami mencuba untuk mencari jawapan yang mudah difahami. Pertama sekali, jika kita sudah ada sistem pendidikan Islam yang terbaik dan kita yakini ia yang terbaik mengapa kita masih mengharap ada tempat lain yang boleh memberikan yang lebih baik?

Memang MRSM ada kelebihan Tetapi kami mengambil pendasaran Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan pendidikan yang kami teliti dan jalankan sendiri secara kaffah. Ramai di kalangan co-founder yang tidak pernah memasuki SBP ataupun MRSM tetapi masih mampu untuk cemerlang sehingga ke peringkat Ph.D. Salah seorang dari co-founder kami juga merupakan bekas pelajar penyelidikan antara yang terbaik dari Universiti Cambridge, United Kingdom. Beliau juga tidak ke MRSM ataupun SBP pun.

Di RPWP, kami kekalkan nilai kekeluargaan dan kami jalankan sistem pendidikan kami sendiri. Kami yakini tiada yang lebih baik jika Quran & Sunnah digunapakai 'sepenuhnya'. Selama ini kami telah gunakannya dan Alhamdulillah, anak kami tidak kami tekankan tentang kecemerlangan akademik di dalam peperiksaan besar. Apa yang kami utamakan ialah AKHLAK mereka.

Ada banyak komponen di dalam akhlak itu sendiri. Termasuk penekanan disiplin, kerajinan diri, istiqamah, adab, jatidiri, fungsidiri dan banyak lagi.

Yang lebih menariknya, apabila akhlak ditekankan, kecemerlangan akademik secara automatik mengikut sekali. Bahkan ada anak kami yang menjadi pelajar cemerlang sejak darjah satu sehingga dinobatkan sebagai pelajar terbaik dengan ANUGERAH EMAS. Dalam banyak kes anak bermasalah dirujuk kepada kami untuk sesi kaunseling, kebanyakan mereka juga cemerlang dalam peperiksaan tetapi akhlak mereka yang rosak.

Tidaklah kami katakan MRSM dan SBP tiada penekanan akhlak, tetapi kami melihat anak kami masih belum bersedia untuk menghadapi pancaroba di dunia luas lagi. Kami ingin sehingga akhlak mereka betul-betul dipastikan mampu bertahan sekalipun tanpa kami bersama mereka dalam lingkungan keluarga lagi.

JIKA ADA YANG TERBAIK, MENGAPA CARI YANG LAIN

Jika kita lihat, Jepun bangsa yang maju. Mereka memiliki ego ilmu mereka yang tersendiri. Antara tandanya, jika kita mahu belajar dari mereka, kita sendiri perlu belajar bahasa mereka. Mereka juga ego untuk tidak menghantar ramai pelajar mereka ke luar negara macam budaya kita, melainkan hanya sekadar menjadi benchmark atau perbandingan sahaja.

Di RPWP, kami mempunyai keyakinan yang tinggi tentang sistem pendidikan yang kami jalankan dalam skala butik. Ia bukan pendidikan yang besar-besaran tetapi tidak juga sekecil home-school individu, tetapi kami praktiskan pendidikan TANPA sukatan.

Kami mengambil Sukatan Pelajaran Malaysia hanya sebagai laluan wajib tetapi pengajaran kami memiliki skop yang lebih besar berdasarkan IQRA (pengkajian) bukan sekadar TILAWAH (pembacaan teksual).

Maka, dalam sistem ini anak-anak kami juga boleh diuji dengan peperiksaan seperti UPSR dan SPM tetapi secara dalaman, kami kenal prestasi mereka melalui tautan kami bersama mereka setiap hari.

Mudah saja, bagi anda yang sempat melihat iklan pemasangan NGV terpakai baru-baru ini dan sempat melihat pemasangannya pasti tahu bahawa pemasangan itu dilakukan oleh anak-anak Yatim kami yang tercicir lalu tidak bersekolah. Tatkala rakan lain seusia 14 tahun terhegeh-hegeh nak ambil PMR sambil melayari internet, anak-anak ini sudah boleh selesaikan pemasangan hampir 20 buah kereta sebulan.

Selain itu mereka juga terdedah kepada semua kerja teknikal termasuk mengecat, kerja tayar, aircond dan pada masa yang sama mereka juga terdedah kepada pengalaman semua kerja binaan seperti kerja simen, kayu, kimpalan dan pemanduan jentera dan pelbagai mesin yang kami gunakan. Sewaktu belajar di Universiti, kesemua mereka juga lakukan perniagaan sehingga mampu ke luar negara untuk urusan perniagaan ketika cuti.

Secara komersial, untuk pemasangan sistem NGV sebulan sahaja mereka layak terima komisyen tidak kurang RM100 SEORANG untuk setiap unit pemasangan. Ini bermakna mereka boleh dapat tidak kurang RM2,000 SEBULAN seorang ketika usia 14 tahun. Bayangkan berapa jumlah pendapatan, pengalaman dan tahap keyakinan diri mereka ketika usia 30 tahun nanti?

Satu lagi, Upah pemandu jentera seperti kren, JCB dan sebagainya adalah antara kerjaya termahal. Menurut pemilik asal kren yang kami beli, mereka hanya terima pemandu kren sepenuh masa selepas tidak kurang 5 tahun menjadi pembantu. Dan gaji pokok mereka tidak kurang RM5,000 dan mereka biasa dapat sehingga RM9,000 sebulan termasuk pelbagai elaun tambahan.

Dalam hal ini kebanyakan anak-anak lelaki kami sudah terdedah dan mampu mengendalikan jentera dan mesin seawal usia 15 tahun. Bayangkan betapa tingginya prospek pada diri mereka kelak? Berapa ramai graduan kita yang gagal menjaja sijil lalu tidak bekerja kerana tiada kemahiran tangan? Berapa ramai yang terpaksa jadi pelatih seumur hidup atau kerani dengan gaji sekitar RM1000?

Bukan itu sahaja, pada masa yang sama, mereka ini juga sedang menjalani program tahfiz. Setakat ini beberapa darinya telah menghafal lebih 10 juz. Itu juga tidak kami paksa-paksa. Pastinya ia jauh berbeza dengan praktis tahfiz biasa yang hanya duduk menghafaz quran sepanjang hari.

Kami juga persiapkan mereka untuk menjadi ketua keluarga dengan latihan kepimpinan dan kerohanian termasuk latihan mengurus jenazah, tahlil, yasin, selawat, menjadi imam solat dan lain-lain. Yang sering menyertai program tahlil, yasin dan doa selamat, majlis selawat dan sebagainya mungkin nampak prestasi dan tahap keyakinan anak-anak RPWP, termasuk yang membaca doa, mengurus PA System, livefeed video dan MC/DJ.

Boleh kami katakan sebahagian mereka lebih baik, yakin dan lancar dari kami sendiri. Hari ini berapa ramai suami yang tidak pandai takbir raya? Tahlil, mengurus jenazah? Mengimami solat? Mengaji quran? Pernah anda jumpa lelaki yang tak tahu nak hentikan takbir raya? Yang sujud waktu solat jenazah atau ketika imam berhenti membaca doa qunut? Yang niat USOLLI FARDHUT TARAWIH ARBAA ROKAATIN.. dan bermacam-macam kelemahan lain?

Nah dengan segala persiapan itu, perlukan mereka menunggu sehingga 25 30 tahun untuk dapat ijazah atau PhD , kemudian cari duit berpuluh ribu dahulu baru layak kami nikahkan mereka?

KESIMPULAN

Pendidikan yang kami jalankan lebih menekankan kepada pendidikan ALAM (IQRA) berbanding KALAM (TILAWAH), kami lebihkan konteks (asbab/kritis) berbanding teks (akademik/puitis).

Anak-anak didedahkan dengan pelbagai masalah sebenar untuk mereka hadapi dan selesaikan dengan segala ilmu dan kreativiti SECARA BERKELOMPOK dengan konsep apitan dan perkongsian. Tiada persaingan dalam kelas kerana masing-masing perlu berganding bahu bersama-sama dalam menyelesaikan semua jenis permasalahan. Dengan cara ini, anak-anak yang tertinggal dalam akademik juga akan diratakan melalu perlaksanaan secara praktik alami.

Jika diukur pada perlumbaan akademik, anak-anak RPWP mungkin tertinggal dalam bilangan A. Namun dalam sudut kualiti insaniah dan fungsi diri, tidaklah kami rasa mereka tertinggal jauh kerana seawal usia 13 tahun mereka sudah boleh jalankan projek automotif, pertukangan dan sebagainya. Latihan di bidang pertanian dan penternakan anak tadika dan sekolah rendah juga boleh dikembangkan secara komersil.

Yang paling penting ialah persiapan akhlak dan kualiti kepimpinan berteraskan petunjuk dari alquran yang kami ajarkan. Ya, kepandaian mereka itu boleh diuruskan dan bermanfaat untuk diri mereka, bakal anak-isteri dan kesejahteraan alam di mana sahaja mereka berada. Masalah juga jika pandai akademik dengan sijil bersusun tetapi fungsi diri anak itu sendiri tidak boleh disusun.

Kami tidak persiapkan mereka untuk diperhambakan oleh kilang-kilang atau majikan yang masih mencari pemegang sekeping sijil diploma atau degree. Namun kami ingin jadikan mereka usahawan yang bakal menggajikan rakan mereka yang sedang belajar dengan deretan A dan sijil itu dan ini. Jika tiada wali gadis yang sanggup jadikan mereka menantu juga kami tidak kisah kerana anak-anak nisak kami juga tidak diajar untuk mengutamakan sijil bakal suami.

Kami merasakan kebanyakan sukatan pelajaran dengan sistem peperiksaan di dunia ini lebih kepada menyekat potensi pendidikan anak-anak. Kami ingin bentuk anak-anak kami agar menjadi matang dan bertanggungjawab lebih awal, namun sukatan pelajaran tidak mengizinkan ini berlaku. Disebabkan tiada persaingan dalam peperiksaan, maka kesepaduan dalam hidup bahu membahu di RPWP menjadi satu kewajiban yang besar bagi mereka.

Kerana itulah kami sangat yakin MRSM dan SBP hanya pilihan kedua sahaja.

WARGA PRIHATIN