Menyantuni Dialog Bersama Dr Zakir

Embed Size (px)

Citation preview

  • 8/18/2019 Menyantuni Dialog Bersama Dr Zakir

    1/3

    Menyantuni dialog bersama Dr Zakir

    Zainul Rijal Abu Bakar

    15 April 2016

    BEBERAPA kalangan orang Islam dan bukan Islam menghubungi saya menyatakan keresahan

    mereka terhadap kunjungan Dr Zakir Naik ke Malaysia mengadakan siri ceramah perbandingan

    agama di beberapa tempat di Malaysia. Saya agak terkejut dengan perkembangan ini kerana

    mereka yang menghubungi saya kenali sebagai ‘pejuang kebebasan’. 

    Dalam banyak keadaan mereka menganjurkan kebebasan bersuara menyarankan semua pihak

     berlapang dada dan berdialog secara ilmiah.

    Saya ingin tegaskan di sini saya bukanlah lulusan agama dan tidak begitu mahir dalam selok-

     belok fiqh dan usul fiqh. Apatah lagi mahu mengeluarkan hukum atau menghukum seseorang

    dengan pelbagai label. Saya cuma sekadar seorang peguam yang bercita-cita

    mengarusperdanakan syariah dalam sistem perundangan negara.

    Saya juga tidak terlatih dalam ilmu perbandingan agama walaupun mengakui ada mempelajari

    subjek perbandingan agama di universiti di peringkat ijazah sarjana muda sebagai salah satu

    subjek elektif. Semasa mempelajari perbandingan agama di universiti apa yang menarik

     perhatian saya bukanlah perbezaan antara agama-agama tetapi persamaan yang wujud antara

    agama-agama tersebut yang tidak disedari khalayak awam.

    Berbalik kepada isu ceramah Dr Zakir, melalui pelbagai video di internet saya dapati Dr Zakiradalah seorang yang sangat berilmu dalam bidang perbandingan agama. Beliau bukan sahaja

    mengkaji al-Quran malah kitab-kitab agama lain pun beliau menguasainya dengan baik.

    Disebabkan itu beliau mampu berhujah dengan orang Islam dan bukan Islam. Tidak kurang

     juga ada yang memeluk Islam setelah mendengar ceramah beliau.

    Mungkin personaliti ini bukan seorang ulama dalam erti kata mempunyai kelulusan agama

    secara formal, sama ada di India atau mana-mana negara Arab, namun keilmuan beliau dalam

     bidang perbandingan agama tidak boleh dinafikan.

  • 8/18/2019 Menyantuni Dialog Bersama Dr Zakir

    2/3

     

    Saya menyarankan rakan-rakan bukan Islam saya agar berdialog dengan beliau mengenai

     perbandingan agama antara Islam dan agama-agama lain. Berlapang dadalah mencari

    kebenaran, panggillah mereka yang alim dalam agama lain supaya berdialog dengan beliau.

    Mendesak supaya ceramah beliau dibatalkan bukanlah suatu yang baik dan hanya menzahirkan

    mentaliti minda tertawan serta takut dengan bayangan sendiri.

    Saya menyarankan agar dialog antara agama ini diperbanyakkan lagi dengan syarat ia mestilah

    disulami dengan adab dan sopan-santun tidak mengeji agama lain dan tidak pula memperlekeh.

    Berdialoglah dengan menggunakan sumber-sumber agama masing-masing dan bertindaklah

    secara ilmiah demi mencapai sebuah kebenaran. Bukalah minda dan hati agar perbincangan

    secara beradab dapat dilakukan dengan baik.

    Bukan sahaja kedua belah pihak perlu menyantuni antara satu sama lain, malah penting juga

     penyokong antara kedua belah pihak tidak melampaui garisan adab supaya tidak berlaku

     peristiwa yang tidak baik atau menggores hati mana-mana pihak.

    Saya percaya jika perbincangan ilmiah boleh dilakukan di negara lain dengan baik sudah pasti

    tidak ada masalah ia berlangsung dengan harmoni di Malaysia. Jika di India yang merupakan

    negara asal Dr Zakir pun ia tidak mencetuskan masalah, rakyat Malaysia mesti membuktikan

    Malaysia adalah tempat terbaik perbincangan ilmiah. India yang terkenal dengan pelbagai

     peristiwa perbalahan antara masyarakat Hindu dan Islam itu pun boleh mengadakan ceramah

    Dr Zakir dengan baik, inikan Malaysia yang tidak pernah mencatat peristiwa hitam seperti itu.

    Saya percaya Dr Zakir tidak pernah mahu mempersenda atau memperlekeh agama lain. Apa

    yang beliau sampaikan adalah daripada rujukan beliau kepada kitab-kitab agama lain. Jika

    rujukan beliau salah maka perbetulkanlah beliau.

    Dalam kalangan orang Islam pula ada yang mempertikai kerana Dr Zakir dikatakan seorang

    Wahabi atau sebagainya. Saya percaya apa yang disampaikan oleh Dr Zakir bukanlah

    mengenai fiqh atau usul fiqh ataupun memberi hukum tertentu dalam permasalahan tertentu.

    Kepakaran beliau adalah dalam bidang perbandingan agama. Oleh yang demikian beliau

    mungkin akan mengehadkan ceramah beliau dalam bidang kepakarannya sahaja dan tidak

    timbul isu mazhab anutan beliau kalaupun benar.

  • 8/18/2019 Menyantuni Dialog Bersama Dr Zakir

    3/3

     

    Dr Zakir juga didakwa telah diharamkan daripada memasuki beberapa negara lain kerana telah

    disenaraihitamkan. Dasar imigresen sesebuah negara mungkin berbeza dengan negara yang

    lain. Saya tidak berhajat untuk mengulas isu ini kerana ia merupakan hak sesebuah negara

     berdaulat untuk menggarap dasar imigresennya sendiri.

    Kesimpulannya saya sekali lagi mengajak semua yang tidak berpuashati dengan siri ceramah

    Dr Zakir agar berdialog dengan beliau secara langsung. Mendesak membatalkan ceramah

     beliau akan hanya menimbulkan persepsi bahawa kita mengesampingkan kebebasan asasi iaitu

    hak bersuara.

    * Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

    Dipetik daripada Sinar Harian Online (http://www.sinarharian.com.my/)