Upload
vuongdang
View
229
Download
2
Embed Size (px)
Citation preview
1
UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2017
MENTALITI NEGARAKU MEMPERKASA WANITA KE ARAH
KECEMERLANGAN
Pembukaan
Bismillah Hir Rahman Nir Rahiim
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Salam Negaraku, Salam 1 Malaysia
YBhg Puan Pengerusi Tetap Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia
YAB / YB Wakil Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
YBhg Naib Ketua Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia
YB Penolong Setiausaha Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia
YBhg Ketua Penerangan Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia
Y. Berusaha Pen. Bendahari PUTERI UMNO Malaysia
YB / YBhg Barisan Exco dan Ketua Pergerakan PUTERI UMNO Negeri-Negeri
Yang Dialukan Para Mantan Ketua Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia
Yang dikasihi Para Perwakilan Sekalian
Turut Dialukan Para Pemerhati, Dif-Dif Jemputan & Rakan-Rakan Media Yang
Dikasihi
Merpati putih terbang melayang,
Hinggap sebentar di pohon merpati;
Selamat Datang Perwakilan ku sayang,
Ke Persidangan PUTERI UMNO saban tahun di nanti.
Arjana Bangsa Semangat Revolusi,
Tak akan goyah sama sekali;
Rumah agam UMNO pusaka pertiwi,
Himpunan wanita muda UMNO yang sejati.
2
1. Selamat datang kepada seluruh perwakilan dan pemerhati. Saya yakin
kehadiran pada hari ini bukan sahaja akan dapat merapatkan saf perjuangan, malah,
kita semua juga dapat mengecap luapan semangat ulang tahun UMNO yang ke-71.
Marilah sama-sama kita manfaatkan peluang ini untuk mengeratkan silaturahim di
samping memperjuangkan agenda agama, bangsa, dan negara demi
memperkasakan wanita muda dan menjamin kelestarian perjuangan parti.
2. Semoga persidangan kali ini akan menjadi sebahagian daripada episod
penting perjalanan perjuangan kita. Kewujudan PUTERI hari ini mesti dilihat dalam
perjalanan perjuangan UMNO yang panjang. Justeru, kita semua mesti menganggap
persidangan ini sebagai suatu peluang untuk memastikan perjuangan kita terus
relevan. Insya-Allah, pelbagai cadangan bernas dari hati yang ikhlas akan
memastikan kuasa politik Melayu terus tegak berdiri buat teduhan rakyat jelata
pelbagai bangsa.
3. Pada masa yang sama, saya menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-
mangsa banjir di seluruh pelusuk tanah air. Ada di antara kita yang tidak dapat
bersama dalam Perhimpunan kali ini, tetapi doa dan ingatan PUTERI UMNO
sentiasa bersama dengan mereka. PUTERI UMNO Malaysia juga ingin menzahirkan
ucapan takziah kepada Saudari Azuana, Pemangku Ketua PUTERI UMNO
Bahagian Pontian atas kehilangan ayahanda tersayang. Al-fatihah.
PEMERKASAAN WANITA
Imbasan Sejarah Wanita Dalam Islam
Para perwakilan PUTERI sekalian,
4. Peranan wanita sangat penting dalam kehidupan. Jika kita membaca sejarah
tamadun Barat, hak-hak wanita mula diperjuangkan oleh mereka secara serius dan
konsisten lebih kurang 100 tahun yang lalu. Sebaliknya, Islam mengangkat wanita
sejak awal kemunculannya. Ketika Barat berbahas tentang keperluan untuk
memberikan kedudukan sama rata terhadap wanita, Islam sejak 1400 tahun yang
lalu telah meletakkan syurga di bawah tapak kaki kaum Hawa. Malah dalam sejarah
3
peradaban Islam, peranan wanita tidak hanya dicatatkan dalam membangunkan
institusi kekeluargaan, tetapi memainkan peranan yang utama dalam pembinaan
tamadun.
5. Sebagai contoh, lihat sahaja peranan yang dimainkan oleh Saidatina Aisyah
R.A. Dalam pandangan popular, Saidatina Aisyah R.A. dikenali sebagai seorang suri
teladan yang menghiasai kehidupan rumah tangga Rasulullah SAW sejak usianya 9
tahun. Namun, dalam konteks sejarah, Saidatina Aisyah R.A diiktiraf sebagai
seorang ilmuwan awal yang besar. Dalam kitab sahih Bukhari sahaja, beliau
meriwayatkan 300 hadis. Sepanjang hidupnya, beliau dikatakan meriwayatkan 1210
hadis. Pengetahuannya tentang puisi Arab dan ilmu perubatan juga dilaporkan
begitu menakjubkan. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menyarankan umat
Islam pada waktu itu turut belajar daripada Saidatina Aisyah.
6. Selain itu, wanita juga turut memainkan peranan yang besar dalam
peperangan. Sebagai satu contoh, Nusaybah atau Ummu Umarah, telah memainkan
peranan penting dalam banyak peperangan utama termasuklah Perang Uhud,
Khaibar, Hunain dan Yamamah. Tindakan-tindakan heroik Nusaybah dalam banyak
peperangan khususnya dalam Perang Uhud telah menyebabkan Rasullulah SAW
berdoa agar Nusaybah menjadi teman Baginda di syurga.
7. Terdapat banyak lagi contoh jika kita ingin melihat peranan wanita sepanjang
tamadun Islam. Namun, kata Imam Ghazali, contoh yang sedikit sudah memadai
untuk orang yang cerdik. Dua contoh ini sudah cukup sebagai penegasan betapa
Islam mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.
Menyelusuri Perjuangan Wanita Muda Buat Watan
Kehebatan wanita jangan disangkal,
Berjuang hingga bergolok gadai;
Perjuangan serikandi jadikan bekal,
Agar tidak ditelan badai.
4
Para perwakilan yang saya kasihi,
8. Perkara yang sama juga turut dijiwai oleh srikandi wanita muda kita seperti
yang ada dalam sejarah perjuangan kemerdekaan bangsa. Lihat sahaja kisah
perjuangan Ibu Zain. Ketika umurnya baru 17 tahun, beliau telah menubuhkan
sebuah sekolah untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan atas perbelanjaannya
sendiri. Selain Ibu Zain, lihat pula sosok “Iron Lady of Malaya”, Khadijah Sidek.
Ketika usia Khadijah Sidek menjangkau 29 tahun, beliau berjuang hingga ke
Singapura untuk menyuntik kesedaran politik dalam golongan wanita.
9. Kita juga memiliki sosok yang istimewa seperti Fatimah Hashim, wanita
pertama yang dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia. Biarpun ketika dilantik
beliau sudah 45 tahun, namun, beliau bergerak aktif dalam UMNO Johor Bharu
sejak berusia 21 tahun lagi. Tidak dilupakan juga ketokohan Aishah Ghani yang
tercatat dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara. Ketika umurnya baru 22
tahun, beliau telah mengetuai Angkatan Wanita Sedar, sebelum keluar menyertai
UMNO pada usia 26 tahun. Sejarah kemudiannya mencatatkan beliau menjadi
wanita pertama yang dilantik menjadi senator.
10. Walau bagaimanapun, mungkin keempat-empat wanita tadi sudah sinonim
dengan pengetahuan kita. Sebab itu saya juga ingin sebutkan tentang seorang
wirawati yang tidak didendangkan, Datuk Siti Rahmah Kasim. Inilah orangnya yang
menyerahkan gelang emas bagi membiayai perjalanan Tunku Abdul Rahman ke
London untuk menuntut kemerdekaan. Saya juga ingin menyebut tentang Datuk
Tengku Noor Asiah Tengku Ahmad. Sejarah memberitahu kita bahawa inilah
wirawati yang berjaya menyatukan UMNO Kelantan ketika krisis politik di negeri itu
meruncing, sehingga menyebabkan penubuhan Parti Melayu Semangat 46. Waktu
tersebut umur beliau hanyalah 26 tahun.
11. Kesemua tokoh UMNO yang saya bawakan dalam persidangan kita pada hari
ini terlibat dengan perjuangan parti ketika usia masih muda. Jika hendak
dibandingkan, umur tokoh-tokoh wanita ini tidak jauh bezanya dengan umur para
perwakilan PUTERI di hadapan saya pada hari ini.
5
11. Kita memahami bahawa cabaran dan realiti wanita muda ketika usianya mula
melepasi usia 20-an. Namun, tokoh-tokoh yang disebutkan tadi juga turut mengalami
cabaran yang sama. Malah, cabaran mereka lebih getir kerana terpaksa berhadapan
dengan persepsi masyarakat tradisional yang agak tertutup terhadap wanita Melayu
yang aktif. Namun, mereka melaluinya tanpa menggadaikan kehalusan budi pekerti
dan kebijaksanaan seorang wanita Melayu.
12. Justeru, mereka memang layak menjadi sumber inspirasi kepada wanita
muda untuk terus meninggalkan bekas dalam sejarah perjuangan UMNO. Sudah
terbukti, wanita-wanita muda yang disebutkan tadi ialah tangan yang menghayun
buaian. Tetapi, tangan yang sama jugalah yang membangunkan anak bangsa dari
lena yang panjang! Justeru, ayuh PUTERI! Wanita muda UMNO, kita teruskan
perjuangan ini!
60 Tahun Kemerdekaan: Pemerkasaan Wanita Muda di Malaysia
Para perwakilan PUTERI yang dihormati,
13. Setelah merdeka 60 tahun yang lalu, kerajaan yang ditunjangi UMNO dan BN
telah melaksanakan pelbagai dasar untuk agenda pemerkasaan wanita muda.
Kesannya sangat besar sekali sehingga memungkinkan golongan wanita muda
mencipta nama pada peringkat yang sangat tinggi. Rom tidak dibina dalam masa
sehari. Jika menanam pisang juga mengambil masa berbulan-bulan untuk menuai
hasil, apatah lagi jika kita bercakap dalam konteks kesan dasar pemerkasaan
wanita. Sebab itulah kita tidak harus memisahkan kejayaan ramai wanita muda pada
hari ini daripada agenda dan dasar-dasar kerajaan tersebut.
14. Hal ini termasuklah pencapaian Nur Adlyka Ainul Annuar. Baru-baru ini beliau
yang bertindak sebagai ketua penyelidik bersama-sama sekumpulan ahli astronomi
dunia berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam super massive, yang
tersembunyi di lingkaran kosmik semesta. Sebelum ini, Nur Hafizah Isa juga terlibat
dalam satu kajian dengan sekumpulan saintis dan berjaya membuktikan Teori
Gelombang Graviti yang diramal kewujudannya oleh Albert Enstein kira-kira 100
tahun lalu. Sukar untuk kita bayangkan pencapaian kedua-dua wanita muda tersebut
6
tanpa dasar-dasar kerajaan yang begitu menitikberatkan peranan wanita muda
dalam pembangunan minda kelas pertama.
15. Pada masa yang sama, kita juga harus meraikan tindakan-tindakan proaktif
wanita muda yang bertujuan meningkatkan keyakinan anak bangsa. Kejayaan wakil
tunggal Pasukan Kembara Srikandi Prihatin, Ummu Farah Haidar Zulkifli yang telah
berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Elbrus yang merupakan
puncak tertinggi di Eropah pada September yang lalu. Pada hari ini, beliau bersama-
sama dengan kita di dalam dewan ini. Kejayaan beliau bersama-sama kumpulannya
dalam ekspedisi tersebut merupakan lambang keberanian wanita muda. Kejayaan
itu patut kita banggakan dan terus galakkan. Berikan tepukan buat kumpulan
ekspedisi ini.
Hadirin dan hadirat,
16. Di bawah kepimpinan mantap YAB Perdana Menteri, melalui dasar dan polisi
serta mengambil kira pemerkasaan Bumiputera sebagai agenda nasional kini telah
mula menampakkan kesannya. Sewaktu beliau menerajui negara pada tahun 2009,
pendapatan kasar isi rumah rakyat Malaysia secara purata dianggarkan RM 3624.
Hari ini ianya meningkat kepada dua kali ganda iaitu RM 6267. Malah, insiden
kemiskinan Bumiputera berjaya diturunkan daripada 5.3 peratus pada tahun 2009
kepada 0.5 peratus pada tahun lalu. Begitu juga dengan KDNK negara pada suku
tahun ketiga yang meningkat kepada 6.2 peratus di bawah kepimpinan ‘Najibnomics’
17. Sebelum pembentangan Bajet 2018 oleh YAB Perdana Menteri, PUTERI
UMNO telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bersama 17 NGO Wanita dan
Sahabat PUTERI BN berhubung harapan dan aspirasi wanita muda terhadap Bajet
2018. Hasil dapatan bengkel kemudian diserahkan dan cukup dialu-alukan oleh YAB
Perdana Menteri. Dengan ini Pergerakan PUTERI UMNO ingin menyatakan
penghargaan yang tinggi terhadap YAB Perdana Menteri kerana turut memasukkan
beberapa cadangan PUTERI UMNO seperti yang kita usulkan ke dalam Bajet 2018.
Ini terbukti YAB Perdana Menteri ialah seorang pemimpin yang prihatin dan mesra
terhadap orang dan wanita muda. Selagi PUTERI UMNO berpaksi, selagi itulah kami
akan berjuang demi kemaslahatan wanita muda Malaysia.
7
Menyahut seruan Perdana Menteri,
Lahirkan generasi martabat tertinggi;
Ayuhlah semua sahabat PUTERI,
Sama-sama kita lahirkan ADAM Fifty.
18. Antara usul wanita muda yang menjadi keprihatinan kami dan telah diberi
perhatian oleh YAB Perdana Menteri ialah ADAM 50, penambahan peruntukan
SL1M, peruntukan untuk usahawan muda, dana untuk memudahkan generasi muda
membuat pinjaman, kemudahan untuk ibu yang mengandung dan penyediaan lebih
banyak taska di premis-premis kerajaan. Lebih menarik lagi, beliau turut
mengisytiharkan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.
Bintang kejora di dada malam,
Dalam gelap bagai kerongsang;
Jika esok seakan kelam,
Ambil darahku supaya terang.
19. Pergerakan PUTERI UMNO menegaskan untuk memberikan komitmen yang
tinggi untuk turut bersama menjayakan objektif Bajet 2018. Pemerkasaan wanita
sangat berkait rapat dengan pengukuhan institusi kekeluargaan. Keluarga bukan
sahaja tunjang kepada pembangunan peribadi, malah mekanisme terawal dalam
pembentukan masyarakat dan negara yang sejahtera.
20. PUTERI UMNO Malaysia melihat inisiatif Bajet 2018 dengan positif. Inisiatif
penambahan cuti bersalin daripada 60 kepada 90 hari mesti dipuji. Kami juga
mengalu-alukan pelepasan kepada pasangan untuk pulang bekerja lebih awal
apabila isteri mengandung. Terima kasih YAB Perdana Menteri kerana
memanifestasikan suara hati golongan wanita muda.
21. Oleh sebab itu, saya ingin menzahirkan kegembiraan tersebut dengan
berkongsi keprihatinan PUTERI khusus dalam soal pelaksanaan Bajet 2018. Tidak
ada seorang isteri pun yang ingin melalui fasa selepas bersalin berseorangan.
Hakikatnya, keadaan fizikal wanita selepas bersalin masih lemah manakala emosi
mereka pula mudah terganggu. Tetapi, mereka juga perlu melaksanakan
8
tanggungjawab sebagai suri rumah. Makanan perlu disiapkan, pakaian mesti dicuci
dan rumah harus dikemas. Beban ini akan dapat dikurangkan dengan kehadiran
suami di sisi.
22. Oleh yang demikian, PUTERI juga ingin mencadangkan untuk menambah
jumlah cuti kelahiran anak bagi kaum bapa untuk membantu dan menyokong kaum
ibu yang melahirkan anak. Saya yakin, jika keprihatinan ini dapat dizahirkan, tragedi
yang menimpa seorang ibu yang masih dalam pantang di Kulai, Johor pertengahan
tahun ini mungkin tidak akan berulang.
Teman perjuangan sekalian,
23. Statistik menunjukkan 171,252 penceraian berlaku dalam kalangan pasangan
Muslim dari tahun 2014 hingga 2016 sahaja. Di sebalik kebimbangan melihat angka-
angka tersebut, kita juga harus memikirkan nasib wanita dan anak yang turut
menjadi mangsa keadaan. Situasi bertambah teruk kerana kebanyakan mereka
mempunyai kefahaman yang rendah terhadap undang-undang syariah. Di
Terengganu, sebanyak 1,371 kes ingkar perintah nafkah yang diadukan sejak 2010
hingga 2016. 588 kes difailkan ke Mahkamah Syariah Terengganu bagi tujuan
penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah. Sehubungan itu, PUTERI ingin
mengusulkan Bahagian Sokongan Keluarga perlulah diperkasakan dalam
memastikan isu nafkah ini dapat diselesaikan tanpa perlu perintah pelaksanaan.
24. Lantaran itu, PUTERI menyambut baik pelantikan Rektor Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin sebagai
Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Kami juga sangat mengalu-alukan pelantikan
beberapa hakim wanita mahkamah rendah syariah di Kuala Lumpur, Melaka, Sabah,
Perlis dan Kelantan. Kebijaksanaan ini pasti memberikan kesan yang signifikan
lebih-lebih lagi majoriti plaintif di mahkamah syariah ialah golongan wanita. PUTERI
melihat ada kewajaran yang tinggi untuk terus menambah hakim-hakim wanita dari
masa ke masa.
25. Selain itu, PUTERI juga menyedari pelbagai isu penceraian yang lewat di
mahkamah juga berkait rapat dengan profesionalisme dan intergriti amalan oleh
peguam syariah sendiri. Untuk itu, cadangan PUTERI tahun lepas agar penubuhan
9
Majlis Peguam Syari’e Malaysia yang mempunyai fungsi yang menyamai “Majlis
Peguam Malaysia” haruslah dilaksanakan segera. Badan ini jika ditubuhkan kelak,
akan memberikan kesan positif termasuk meningkatkan kredibiliti dan integriti
pengamal undang-undang syariah yang seterusnya mampu mengelakkan kes-kes
yang menindas golongan wanita terlibat.
26. Inisiatif pemerkasaan wanita dalam Bajet 2018 juga perlu dilihat selari dengan
isu kebejatan moral dalam kalangan generasi muda. Terdapat perkaitan sebab
akibat yang kukuh antara isu kebejatan moral dengan keruntuhan institusi
kekeluargaan. Baru-baru ini, insiden kebakaran tahfiz yang mendapati tujuh orang
kanak-kanak terlibat. Sebelum itu, kita digemparkan dengan berita seorang
mahasiswa didera dengan seterika panas sehingga menyebabkan kematian.
27. Ini hakikat pahit yang perlu kita hadapi dengan rasional, bukannya dengan
emosional. Oleh sebab itu, ketika kita mengkritik golongan terbabit, kita juga harus
memikirkan akibat daripada pelakuan jenayah itu khususnya kepada kaum keluarga
tertuduh. Kita tidak mahu nasib kaum keluarga mereka seperti jatuh ditimpa tangga.
Sudahlah anak-anak kini didakwa, sesetengahnya pula menjadi harapan masa
depan keluarga, kini mereka terpaksa pula berhadapan dengan pelbagai kesan
rentetan yang sebenarnya boleh dielakkan. Justeru, mekanisme tertentu perlu
difikirkan bersama mengenai hal ini.
Teman-teman seperjuangan,
28. PUTERI juga ingin menyentuh soal yang sangat berkait rapat dengan peluang
ekonomi dan kerjaya. PUTERI berasa terpanggil menyuarakan kebimbangan atas
beberapa isu. Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) tidak dinafikan keupayaannya dalam
meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan graduan. Namun, kita juga harus
menyedari bahawa tiada panduan yang jelas dalam memastikan semua peserta
SL1M melalui latihan yang serupa. Sesetengah syarikat hanya mengambil pelatih
tanpa menyediakan latihan industri yang sewajarnya. Keadaan ini umpama
melepaskan batuk di tangga. Malah, terdapat juga syarikat menggunakan tenaga
pelatih melebihi tugasan tenaga tetap yang bekerja di syarikat tersebut. Justeru,
mekanisme dan panduan yang jelas perlu diambil bagi memastikan situasi menang-
menang berlaku di mana syarikat memperolehi tenaga kerja dan peruntukan
10
manakala graduan pula memperolehi kemahiran dan pekerjaan jika mereka benar-
benar terbukti berpotensi.
29. Di balik isu-isu berkaitan graduan SL1M yang sering ditimbulkan, kita ingin
menampilkan kejayaan bekas pelatih SL1M pada hari ini. Saudari Pajilawati Sakibun
merupakah salah satu testimoni terbaik dalam menggambarkan kejayaan SL1M
untuk melahirkan tenaga kerja yang berkebolehan. Beliau merupakan seorang anak
nelayan di Kudat yang ayahnya mempunyai sebuah perahu sahaja. Kecekalan
beliau menghadapi dugaan hidup serta keberanian mencuba SLI1M bersama
Malaysia Airlines System (MAS) pada akhirnya telah menyebabkan beliau diserap
sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan. Bayangkan, keperitan yang ditempuhi
oleh Pajilawati dan keluarganya yang makan bubur beserta garam, hari ini menemui
sinar bahagia buat diri dan keluarganya apabila beliau menyertai program kendalian
SL1M.
30. Pada masa yang sama, PUTERI melihat keupayaan wanita dalam dunia
usahawan pastinya boleh ditingkatkan lagi dengan usaha-usaha berterusan
kerajaan. Bantuan keusahawanan kepada wanita sebelum ini telahpun dilakukan
melalui pelbagai inisiatif seperti melalui MyWin Academy, AIM dan TEKUN. Usaha
yang berbentuk keusahawanan jelas mampu mencungkil bakat-bakat perniagaan
yang dimiliki oleh wanita muda pada hari ini. Malah, tanggapan bahawa wanita
bekerjaya perlu ada di pejabat sudah tidak relevan lagi dalam konteks masyarakat
kita yang turut dibentuk oleh perkembangan teknologi maklumat. Suri rumah juga
boleh menceburkan diri dalam bidang perniagaan melalui inisiatif-inisiatif yang
ditawarkan oleh kerajaan dengan syarat mereka didedahkan secara tersusun
terhadap aktiviti perniagaan dalam talian (online).
31. Pemerkasaan wanita juga sangat bergantung dengan usaha untuk
membentuk mereka lebih berdikari. Kata pepatah Cina, berikanlah joran kepada
orang yang lapar. Dengan itu, mereka akan memancing ikan untuk diri sendiri
apabila mereka kelaparan. Justeru, usaha-usaha dan inisiatif yang berterusan
termasuk seperti yang digariskan dalam Bajet 2018, akan mampu merapatkan
jurang gender dengan lebih baik lagi selepas ini. Ini semua mesti dilakukan dengan
11
lebih giat dan tersusun, lebih-lebih lagi ketika kita sedang bercakap tentang Revolusi
Perindustrian 4.0.
32. Revolusi Perindustrian 4.0 berkisar tentang kehidupan yang berpaksikan
kebijaksanaan tiruan (artificial intelligence), objek rangkaian Internet (Internet of
Things- IOT), data besar (big data), dan penggunaan robotik. Hal ini akan
memberikan pelbagai kesan kepada seluruh sudut kehidupan. Dalam bahasa yang
mudah, kita akan menjalani kehidupan bentuk baru yang kurang menggunakan
tenaga manusia. Contohnya, pembinaan bangunan akan menggunakan tenaga
robotik sepenuhnya. Untuk membeli barang, kita tidak akan lagi ke pasaraya tetapi
hanya membelinya melalui dalam talian. Gaya hidup kita sudah tentu akan berubah.
33. Jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin akan bertambah lebar. Ini
akan memberikan kesan tersendiri kepada institusi kekeluargaan dan golongan
wanita. Golongan yang memiliki modal yang besar pula akan mendominasi industri.
Dalam masa yang sama, mungkin institusi kekeluargaan akan lebih kukuh kerana
ibu dan bapa akan mempunyai masa yang lebih lama di rumah. Namun, apakah
pula kesannya kepada interaksi sosial kerana manusia akan lebih kurang
berinteraksi secara langsung? Ini hanya beberapa persoalan yang berbangkit
daripada ribuan kemungkinan yang akan terjadi. Sebab itu, apapun yang akan
berlaku, kita harus bertindak awal dengan mengadakan kajian yang komprehensif
supaya kita dapat melihat dengan jelas kesannya secara menyeluruh terhadap
institusi kekeluargaan dan golongan wanita.
34. Sebab itu, PUTERI melihat soal inovasi dan kreativiti adalah persediaan
penting. Bukan sahaja untuk kaum wanita melangsungkan kehidupan sekarang,
tetapi sebagai asas untuk berhadapan dengan orientasi kehidupan yang telah pun
berubah. Kaum wanita muda mesti mengambil peluang untuk memohon dana yang
disediakan oleh kerajaan sebagai usahawan untuk memasarkan produk yang
dihasilkan. Amatlah rugi jika dunia berbicara tentang inovasi, tetapi orang Melayu
jauh ketinggalan di belakang. Oleh sebab itulah, PUTERI UMNO bersedia menjadi
agen penghubung antara agensi kerajaan dan golongan sasaran dalam memastikan
usahawan Bumiputera bergerak seiring perkembangan terkini.
12
35. PUTERI UMNO juga ingin menyuarakan kebimbangan rakyat pada
berkenaan peningkatan kos sara hidup. Namun, PUTERI sedar kerajaan telah
berperanan dengan mewujudkan skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang
terbukti membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah. Namun,
PUTERI menyelar sikap peniaga yang mengambil kesempatan di atas kesempitan.
Justeru, pihak KPDNK perlu memperketatkan lagi penguatkuasaan dan gerakan
bersepadu juga perlu dilakukan supaya rakyat tidak ditekan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab ini.
Sidang perwakilan sekalian,
36. Dalam soal ruang kepimpinan, kita lihat kerajaan telah meletakkan kuota 30
peratus kepada wanita sebagai pembuat dasar. Tetapi, merujuk kepada ucapan
YAB Perdana Menteri sewaktu merasmikan Women in Politics kelmarian, kita telah
pun mencapai 35.6 peratus. Ini ialah suatu pencapaian yang amat membanggakan.
Namun begitu, kuota yang kita tetapkan untuk sektor korporat belum tercapai. Sebab
itulah, kita mengharapkan agensi korporat menanggapi pemerkasaan wanita dalam
Bajet 2018 dengan serius.
MENTALITI NEGARAKU, MENTALITI KEMENANGAN
Hadirin dan hadirat,
37. Saya teringat baru-baru ini saya ke Ekspo Negaraku. Hati saya sangat
tersentuh menonton klip video berkenaan seorang kanak-kanak disleksia yang
bernama Alia. Disleksia menyebabkan Alia tidak dapat mengenal huruf dan nombor
yang seterusnya sentiasa terkebelakang dalam akademik. Suatu hari, di dalam
kelas, guru membuka peluang kepada murid-muridnya untuk berkongsi impian
tentang pembangunan masa depan negara. Alia menjadi murid paling awal bangun.
Dia bergerak ke hadapan kelas lalu terus menampalkan lakaran yang telah
dibuatnya.
38. Kawan-kawannya terus mengetawakannya. Namun apabila hampir setengah
lakaran Alia dilekatkan di hadapan, murid-murid lain mulai menyedari bahawa
lakaran itu sedang membentuk satu imej kota yang sangat futuristik. Kawan-
13
kawannya mula tertarik dan bangun menolongnya melekatkan kertas lakaran
selebihnya. Setelah selesai, lakaran itu terbentuk sebagai suatu lakaran kota
futuristik yang sangat menakjubkan. Saya tidak ingin berkongsi babak terakhir dalam
klip video yang amat menyentuh hati itu. Pergilah ke Eskpo Negaraku yang
berlangsung dan tontonlah sendiri. Namun, pengajaran terbesar dari kisah Alia
adalah berkenaan Mentaliti Negaraku yang berkait rapat dengan Mentaliti
Kemenangan. Biarpun mempunyai kekurangan, namun kekurangan itu tidak
dijadikan penghalang untuk maju ke hadapan.
Hadirin sekalian,
39. Begitu jualah harapan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diilhamkan
oleh YAB Perdana Menteri demi mengangkat aspirasi nasional yang mengutamakan
keperluan rakyat. Banyak pandangan yang berbicara tentang pembangunan fizikal.
Namun, kita juga perlu membicarakan sisi pembangunan jiwa anak bangsa. Hal ini
dengan sendirinya menyentuh Mentaliti Negaraku yang menjadi modal penting untuk
kita sama-sama merealisasikan TN50.
40. PUTERI ingin mengingatkan supaya kita jangan sesekali lupa paksi
perjuangan UMNO yakni Agama, Bangsa dan Tanah Air ketika berbicara tentang
TN50. Sudah jelas lagi nyata, agama Islam memainkan peranan dalam
pembentukan keperibadian kita di wilayah ini ratusan tahun lamanya. Islam jugalah
yang menjadi teras pembentukan dan perpaduan bangsa Melayu. Oleh sebab itulah,
Islam harus mendapat gambaran yang betul dalam Mentaliti Negaraku. Dengan itu,
TN50 yang ingin kita jelmakan menjelang tahun 2050, tidak akan lari daripada asas
perjuangan UMNO yang disebutkan tadi.
41. Kita sedar realiti di kebanyakan dunia Islam hari ini memperlihatkan kesan
yang bertentangan. Pertama, apabila mereka menjadi golongan majoriti di dalam
sesuatu negara, mereka berpecah dengan mencari titik perbezaan perkauman,
mazhab dan aliran pemikiran. Akhirnya, kestabilan politik tergugat yang seterusnya
memacu konflik yang lebih besar, seperti peperangan di Syria dan Yaman. Dengan
itu, Islam mungkin dihujahkan sebagai agen perpecahan.
14
42. Kedua, apabila populasi Islam menjadi minoriti di sesetengah negara, Muslim
ditindas dan dinafikan haknya kerana dikatakan tidak mampu berasimilasi dengan
budaya tempatan. Hal ini berlaku di Mynmar ketika ini sehingga regim tentera Aung
San Suu Kyi menggunakan alasan itu untuk melakukan pembantaian dan
pembersihan etnik Rohingya.
43. Kedua-dua hujah itu sebenarnya tidak relevan jika kita menjadikan
pengalaman Islam di negara ini sebagai rujukan. Islam di sini memainkan peranan
sejak kurun ke-12 sebagai penyatu dalam pembentukan identiti bangsa kita. Biarpun
kita terdiri daripada pelbagai suku kaum, itu semua disatukan dengan konsep
Melayu yang berteraskan Islam. Bayangkan situasi yang mungkin berlaku sewaktu
kita ingin menubuhkan Malaysia dahulu jika kita semua membelakangkan Islam dan
menekankan perbezaan antara suku kaum dan semangat kenegerian.
44. Walau bagaimanapun, kita sedar, perkembangan beberapa tahun belakangan
di negara kita turut memperlihatkan Islam juga dijadikan asas kepada perpecahan.
Namun, jika diteliti, hal ini mula berlaku akibat aliran Islam yang dibawa itu
bertentangan dengan aliran yang menjadi majoriti dan mempunyai sejarah ratusan
tahun di negara kita, yakni Ahli Sunnah Wal Jamaah. Oleh sebab itu, kita harus
menekankan kembali fungsi dan peranan Ahli Sunnah Wal Jamaah agar persatuan
di atas konsep Melayu Islam ini kembali kukuh.
45. Yang kedua, Islam yang dipraktikkan di Malaysia secara jelas memberikan
ruang yang luas kepada golongan bukan Islam untuk mempraktikkan agama dan
budaya mereka. Orang Melayu mungkin akan bersifat tertutup dan chauvinis,
seterusnya akan menindas golongan minoriti jika bukan kerana dilarang dalam
Islam. Orang Melayu di negara ini begitu terbuka dan meraikan kepelbagaian kaum
kerana itulah anjuran Islam. Sebab itu, akomodasi kaum di Malaysia kelihatan lebih
berjaya kerana faktor Islam yang melihat perbezaan kaum adalah suatu fitrah dan
bukti Allah Yang Maha Bijaksana.
46. Dalam al-Quran, hal ini difirmankan Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat
ke-13 yang berbunyi:
15
Wahai Manusia, sungguh kami telah menciptakan kamu dari seorang
laki-laki dan seorang perempuan, kemudian kami menjadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal...
47. Oleh sebab itu, saya bimbang dengan sikap sesetengah golongan di negara
ini yang cuba menggambarkan orang Islam sebagai kolot. Malah, sesetengah
golongan begitu Islamophobic. Saya menyarankan golongan ini berhenti bermain api
dengan isu-isu berkaitan agama Islam. Baru-baru ini, Persatuan Hotel-Hotel
Malaysia (MAH) membangkitkan isu larangan pemakaian tudung terhadap pekerja-
pekerja hotel dalam negara ini. Malah saya yakin, ada premis perniagaan tertentu
seperti di pasaraya yang melarang pekerja mereka untuk bertudung. Tindakan ini
perlu kita kecam kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang
mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan. Tindakan-tindakan
Islamophobic seperti ini patut dikekang sejak awal sebelum baranya mencetuskan
api permusuhan dan perkauman yang lebih besar.
Barisan semut api PUTERI dan para pemerhati,
48. Mentaliti Negaraku juga berkait rapat dengan corak pemikiran yang terbuka
dan sentiasa menerima idea-idea baru. Maksudnya, kita tidak akan sesekali
menolak idea-idea bernas tidak kiralah dari manapun datangnya. Sikap seperti ini
sangat berkait rapat dengan saranan Nabi Muhammad SAW sendiri supaya kita
mengutip hikmah biarpun datang dari luar. Namun begitu, kita juga harus
mempunyai kerangka sendiri agar sikap terbuka kita tidak bersifat semberono.
Dalam erti kata lain, kita harus mempunyai bekas kita sendiri sebelum mula
menceduk air lazat yang dihidangkan oleh tamadun asing.
49. Ciri penting seterusnya yang perlu ada dalam Mentaliti Negaraku ialah
pemikiran yang menghargai asas-asas pembentukan negara seperti konsep
ketuanan Melayu dan pengiktirafan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu. Mentaliti
Negaraku dalam TN50 sewajarnya akur terhadap peruntukan Perlembagaan
Persekutuan yang menerangkan tentang kedudukan Raja-raja Melayu.
50. Saya juga ingin menyentuh kepentingan golongan yang berada dalam industri
kreatif. Menurut satu laporan, untuk tahun 2016, industri kreatif di Lembah Klang
16
sahaja menyumbang RM 8.99 billion kepada negara. Hal ini menunjukkan satu
gambaran yang signifikan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna semua
golongan yang berada dalam industri kreatif menerima faedahnya. Persepsi umum
masyarakat hari ini pula sentiasa melihat golongan yang terlibat dalam industri
kreatif hanyalah sebagai penghibur. Malah, tindakan pemain-pemain utama dalam
industri hiburan yang terlalu menekankan keuntungan material, menyebabkan
kreativiti golongan ini banyak dihabiskan sekadar untuk memenuhi kehendak
pasaran.
51. Sebenarnya kumpulan yang terlibat dengan industri kreatif ini telah banyak
menyampaikan mesej-mesej penting dan mampu mentransformasikan industri
kreatif sebagai medium utama pendidikan dan pembinaan tamadun. Mereka juga
boleh memainkan peranan dalam pembentukan Mentaliti Negaraku yang kita
idamkan. Sebab itu, kerajaan dan pelbagai agensi yang berkenaan tidak harus
memandang sepi peranan mereka. Mereka memerlukan pembelaan melalui polisi
dan dasar yang jelas mengenai hala tuju mereka. Ini bagi memastikan golongan ini
bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembentukan Mentaliti Negaraku, malah,
usaha mereka itu diberi galakan dan pertolongan ekonomi agar mereka tidak
terpinggir dalam menikmati hasil mahsul negara yang akan terus bertambah
menjelang tahun 2050.
LEGASI PUTERI UMNO
Sepohon cendana di tengah hutan,
Semerbak baunya ke pinggir desa;
Dalam dadaku cumamu teman,
Dirimu di hatiku sentiasa esa.
Buai diikat di dahan cemara,
Petang-petang mainan puteri;
Ayuh kotakan tiap bicara,
Jika disoal nyawa diberi..
17
Di taman istana puteri menari,
Menanti inang mendapatkan ragi;
Bertahun tahun telah ku beri,
Jika ingin ambillah lagi.
Teman-teman seperjuangan, sidang hadirin dan perwakilan yang saya hormati.
52. Secara rasmi, inilah pentas terakhir untuk saya menyampaikan ucapan Dasar
sebagai Ketua PUTERI UMNO Malaysia. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima
kasih kepada semua ahli PUTERI UMNO, khususnya Exco PUTERI UMNO
Malaysia, Ketua-Ketua PUTERI UMNO Negeri serta Ketua-Ketua PUTERI UMNO
Bahagian, kepimpinan cawangan dan anda semua yang ada dalam dewan ini atau
di luar sana. Andalah ialah wira tidak didendang yang sentiasa bersama-sama di
belakang saya, bersama-sama jatuh dan rebah, bersama-sama bangkit dan terus
maju, sepanjang mengharungi laluan perjuangan yang mencabar.
53. Bukan mudah untuk kita semua menggalas tugas ini. Setiap saat dan detik
pasti ada saja cemuhan yang disebarkan. Pahit getirnya terlalu sukar dan berbisa.
Sebab itu, sepanjang tempoh perjuangan, ada yang rebah menyembah bumi
sebelum sampai ke garisan penamat. Namun, bakti anda semua akan tersemat di
dalam lipatan sejarah pergerakan PUTERI ini.
54. Kepada sahabat yang setia bersama, terima kasih diucapkan kerana sentiasa
komited dalam menggalas tugas penting ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan buat
seluruh kepimpinan ini yang tanpa jemu terus-menerus menabur bakti dan khidmat
kepada pelbagai lapisan masyarakat. Dengan berbekalkan keahlian seramai
390,843 orang dan pemilih PUTERI UMNO seramai 331,353 orang setakat suku
tahun ke-2, PUTERI harus melangkah lebih agresif selepas ini.
55. 17 tahun bukanlah waktu yang singkat. Sepanjang tempoh itu, telah saya
perah setiap kudrat demi sebaik khidmat. Sepanjang tempoh itu, berbekalkan
semangat dan wala’ yang bertempat, saya isi setiap ruang dan peluang, mendukung
amanat.
18
56. Bermula dari tahun 2013 hingga hari ini, dari Program Latihan memperkasa
kepimpinan PUTERI, Program Kebajikan Tulong Hagnaya, menyantuni golongan
kurang upaya, Kembara Ilmu, Bayahista, OpsDP (Daftar PUTERI & Pemilih),
SWiNAS, ADINDA, ASEAN Young Women Leadership Conference, ASEAN Pink
Dialogue, Rock Solid Pink Run, We Hear You, PUTERI DIAN, The Beauty of Autism,
Kelip-Kelip, Let’s Talk, My Hak dan terkini Kempen S.A.F.E yang telah dilancarkan
oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 4 haribulan yang lalu. Semua program
yang dilaksanakan adalah satu bentuk kebersamaan PUTERI UMNO bersama
wanita muda tempatan dan serantau daripada pelbagai latar belakang.
57. PUTERI UMNO juga tidak melupakan jasa dan pengorbanan sahabat-
sahabat yang telah meninggalkan pentas perjuangan PUTERI. Sebab itulah
persahabatan yang terjalin ini kita eratkan dengan penganjuran Pink Reunion 2.0
yang telah diserikan dengan kehadiran Dato’ Seri Hishamudin Tun Hussein. Malah,
penubuhan Koperasi Sahabat PUTERI UMNO Malaysia (KOSAPUM)
memperlihatkan kesungguhan kita memperkukuhkan sisterhood ini dari sudut yang
lain.
Sidang perwakilan PUTERI yang saya kasihi,
58. Wanita muda dalam PUTERI UMNO Malaysia kini berdepan dengan jalan-
jalan yang berliku dalam menegakkan amanah parti keramat orang Melayu. Namun
begitu, saya percaya PUTERI UMNO Malaysia mampu menjadi secekal wanita
ulung yang saya bicarakan seawal ucapan saya sebentar tadi.
59. Nilai-nilai positif ini perlulah dikekalkan. PUTERI UMNO bukanlah satu medan
untuk tempat kita meminta-minta jawatan, meminta-minta pangkat, meminta-
meminta harta benda. Jauh sekali untuk mengejar populariti. Jadilah seperti seekor
semut yang patuh pada arahan ketua, sentiasa bekerjasama dalam kumpulan dan
setia berjuang memastikan sarangnya berdiri kukuh dan utuh dari pelbagai
ancaman. Walaupun penghuninya bertukar ganti, sarangnya tetap kekal selamat.
60. Karakter seorang PUTERI sebagai pemimpin masyarakat dinilai apabila
mereka mempunyai nilai keikhlasan, kekuatan, keupayaan dan kemahiran dalam
19
melaksanakan sesuatu tugasan. Jangan dilupakan juga integriti dan amanah yang
perlu dijaga supaya ianya selari dengan kualiti akhlak seseorang pemimpin.
Adinda PUTERI yang disayangi,
61. Berkorbanlah untuk memastikan suara masyarakat sentiasa didengari agar
mereka sentiasa berada dekat dengan parti. Pengorbanan ini adalah perlu untuk
memastikan kepentingan bangsa kekal terpelihara melalui kuasa politik orang
Melayu. Pemimpin datang dan pemimpin pergi, namun nilai-nilai utama ini harus
mendasari teras perjuangan PUTERI.
MENUJU PILIHANRAYA UMUM KE-14
Para perwakilan PUTERI sekalian,
62. Kini kita sudahpun berada dalam bulan Disember 2017. Ini bermakna, kaki
kita setiap hari melangkah mendekati medan tempur Pilihanraya Umum ke-14.
Apapun yang bakal terjadi, Pilihanraya Umum ke-14 yang sedang menunggu kita ini,
akan menjadi salah satu medan pertempuran paling penting dalam memastikan
survival perjuangan agama, bangsa dan negara. Masa depan kita sangat berkait
rapat dengan keputusan PRU ke-14. Jangan sesekali alpa daripada memikirkan
kenyataan ini!
63. Rentetan Bengkel Strategik PRU ke 14 yang telah diadakan oleh PUTERI
UMNO Malaysia pada awal tahun ini, kita rancak mengatur langkah. Kita telah
mengaktifkan Unit Khas Pilihanraya. Kumpulan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) giat
menyusuri akar umbi seluruh negara. Pusat Panggilan telah diaktifkan dan kita
sentiasa siap siaga mendekati pengundi muda.
64. Sementara hari besar itu tiba, saya menyeru kepada PUTERI: Luaskan
kuasamu! Temui pengundi-pengundi, tidak kiralah yang terselit di tengah-tengah
kesibukan kota, atau terlontar di suatu sudut nun terceruk di desa-desa. Bersama
sahabat PUTERI BN, kita semua akan sentiasa sederap selangkah.
20
65. Dalam kita terus bekerja, pasang-pasangkanlah kekuda menangkis serangan
sumbang pakatan pembangkang. Mereka sungguh licik dengan pelbagai dakyah.
Mulut manis tetapi hatinya busuk. Yang benar didustakan, yang dusta dibenarkan.
Oleh itu, PUTERI UMNO mesti terus bekerja dengan memanfaatkan segenap ruang
dan peluang untuk berhujah secara rasional. Setiap detik yang ada ini gunakanlah
untuk mendekati golongan muda dan fahamilah aspirasi mereka.
66. PUTERI juga tidak lupa untuk terus berbakti kepada semua tanpa mengira
latar belakang khususnya melalui skuad PUTERI Peduli. Sewaktu Pulau Pinang
lumpuh kerana banjir, Skuad PUTERI Peduli juga turut turun. Namun amat malang
apabila ada pemimpin pembangkang menuduh kita mementingkan perkauman
apabila memberikan tumpuan kepada kawasan yang diabaikan oleh mereka.
Hentikanlah politik yang tidak matang ini. Lim Guang Eng ini agaknya mudah lupa
siapa yang dia telefon pukul tiga setengah pagi saat dia memohon bantuan dengan
penuh tangisan.
67. Kalau pertolongan ikhlas kita ketika banjir pun mereka disalah tafsir oleh
mereka, apa lagi yang kita nak harapkan dari politik DAP. Dari merdeka hingga
sekarang, sudah banyak yang berubah. Tetapi, satu-satunya yang tidak berubah
ialah orientasi politik DAP. Dari dulu sampai sekarang, mereka kekal anti-Melayu
dan anti-Islam. Tidak usah beretorik panjang-panjang tentang hal ini. Baca sahaja
perlembagaan DAP, jelas kelihatan yang mereka perjuangkan ialah Malaysian-
Malaysia. Malah kini, dalam parti Roket itu dipenuhi pelampau perkauman. Bacalah
sahaja kenyataan-kenyataan Nga Kor Ming yang begitu berani menghina bangsa
kita.
68. Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang sampai sekarang terpalit dengan isu
rasuah, boleh pula membatukan dirinya seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Banjir pula di Pulau Pinang? Dulu bongkak katanya Kerajaan Negeri bangga dengan
kecekapan, akauntabiliti dan bersikap telus, namun sebaliknya berlaku. Hari ini
bukan sahaja NGO marah akan Guan Eng tapi rakyat Pulau Pinang pun dah marah
dengan Guan Eng. Bahkan kalau pokok dan bukit boleh bercakap, mereka juga
akan marah Guan Eng. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana jika kita serahkan
kuasa Pusat kepada tangan orang yang semacam ini.
21
69. Lain pula kisahnya di Selangor dan kerenah pemimpin PKR. Kenyataan-
kenyataan MB Selangor di media sosial, bukan lagi main menyerang dan
mempersoal intergriti kerajaan. Bukan main galak menolong anak dara jual nasi
lemak di tepi jalan, gerai-gerai Melayu yang dirobohkan tidak langsung dihiraukan.
Ketika beliau ingin menjadi juara dalam kes-kes anti-rasuah dan korupsi, namun bila
diminta oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah,
terus kecut lesi. Apa cerita kisah anak saudaranya?
70. Begitu juga dengan YB Pandan yang menubuhkan INVOKE dan melancarkan
kempen “Bina Semula Negara”. Kempen itu tidak lebih daripada usaha memfitnah
kepimpinan YAB Perdana Menteri. Hakikatnya, dakwaan itu umpama tin yang
berdentung-dentang bunyinya tetapi kosong isinya. Sebab itu, daripada terus
menabur fitnah, lebih baik YB Pandan mengusahakan kempen bina semula
hubungannya dengan Azmin. Ada angin bertiup katanya hubungan sesama mereka
umpama telur di hujung tanduk.
71. Namun, isu perpecahan dalaman turut melanda Parti Cap Bunga. Malah, hal-
hal asas seperti penyusunan struktur dan perjalanan organisasi pun kelihatannya
tidak teratur. Bukan saya cakap! Pengerusi PPBM sendiri yang cakap, orang lama
UMNO dulu. Sehingga sekarang pun, PPBM belum mampu melangsungkan
mesyuarat agung. Jika isu asas sebegini pun masih menjadi kendala, bagaimana
mereka boleh memimpin Pakatan Harapan? Kalau pemimpin ARMADA pun
mendesak PPBM itu dibubarkan, sekalung tahniah saya ucapkan kepada Ketua
Srikandi PPBM Kuala Kedah yang juga sahabat kami yang telah mengisytiharkan
diri keluar dari PPBM. Ini satu keputusan yang tak patut disesali. Syabas dan
selamat kembali ke pangkal jalan!
72. Sewaktu pemimpin mereka terus berlagak bagai merak yang menayangkan
kecantikan bulunya, sehingga tidak sengaja menampakkan sepasang kaki yang
hodoh, alhamdulillah, pemimpin kita pula terus konsisten dengan politik matang.
Sewaktu ada pemimpin pembangkang yang terlantar di hospital, YAB Dato’ Seri
Najib dan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid masih sempat mencari masa untuk
melawat. Ketika pelbagai kritikan tidak berasas dilakukan pembangkang, YAB
22
Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri turun juga ke Pulau Pinang
bagi memastikan rakyat di sana diberikan pertolongan sewajarnya. Politik yang
penuh manusiawi seperti inilah yang ingin kita pupuk dan semai supaya tumbuh
subur di perkebunan masa.
Sidang perwakilan yang dihormati,
73. Dari akar umbi, kita yakin dan sentiasa berdoa agar politik matang dan
kesepaduan yang terjalin antara YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana
Menteri akan bertambah kukuh. Situasi seperti ini akan memberikan kesan yang
sangat positif kepada perkembangan dan kestabilan setiap peringkat dalam parti.
Sudah pasti hal ini tidak begitu digemari oleh pihak tertentu termasuk parti cap
bunga. Benteng perpaduan yang dibina atas politik matang dan persaudaraan
antara YAB Datuk Seri Najib dan YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid akan cuba
diruntuhkan kerana inilah kekuatan sebenar yang kita ada sekarang. YAB Datuk Seri
Presiden, kami doakan agar diberikan kesihatan yang baik dan terus memimpin
kami. Kami akan terus setia berada di belakang dan menyokong kepimpinan YAB
Datuk Seri. Buat YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan
tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden, kesetiaan dan kesungguhan dalam
membantu YAB Datuk Seri Presiden amat kami sanjungi. Kami bertuah mempunyai
Datuk Seri Zahid Hamidi yang sentiasa wala’ di belakang Presiden Parti, semangat
juangmu itu akan kami jadikan teras dan akan kami contohi.
74. Oleh itu, gandingan kedua mereka ini bagaikan aur dengan tebing, PUTERI
UMNO Malaysia ingin mencadangkan pemilihan UMNO akan datang tidak
mempertandingkan jawatan nombor satu dan nombor dua parti. Kedua-dua
pemimpin berjiwa besar ini harus dikekalkan dan diberikan ruang untuk terus
bersama-sama memantapkan parti dan negara. Dengan itu, tumpuan kita juga dapat
ditumpahkan sepenuhnya terhadap usaha untuk menumpaskan gempuran politik
pembangkang dalam PRU Umum ke-14 seterusnya menyambung mandat untuk
memenuhi agenda kepentingan rakyat
Srikandi Pimpinan PUTERI UMNO sekalian,
75. Menyedari bahawa pilihan raya umum ke 14 ini adalah getir, penting dan ibu
kepada segala pilihan raya. PUTERI akan terus memasakkan janji dan wala’
23
terhadap pemimpin dan parti UMNO ini bagi memenangkan Barisan Nasional.
Sebab itu, PUTERI tidak mendesak sebarang pemilihan calon. Cuma kami
mengharapkan agar pemilihan calon akan turut mengambil kira wanita dan orang
muda. Sudah tentu YAB Presiden mempunyai metodologi sendiri sewaktu memilih
calon namun pihak PUTERI mengharapkan calon yang dipilih itu nanti mestilah juga
menekankan pendekatan WLWC: (Winnable, Likeable, Workable, dan Capable).
Maksudnya calon yang dipilih mestilah yang boleh menang, disukai pengundi,
mampu bekerja dan berkebolehan. Bahkan, bagi calon langsung seperti yang
disebut oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, adalah kaedah yang terbaik, PUTERI
UMNO mengharapkan juga konsesus yang sama dapat dicapai oleh semua parti
komponen BN.
76. YAB Presiden, saya ingin menyatakan di sini, kalau ada di antara kami yang
tidak dipilih, saya sebagai Ketua PUTERI UMNO Malaysia, ingin memberi jaminan
PUTERI tidak akan merajuk, PUTERI tidak akan bergasak, PUTERI janji tidak tutup
bilik gerakan. PUTERI AKAN TERUS BEKERJA! BEKERJA DAN BEKERJA! JANJI
BN MENANG! Pilihlah yang terbaik dari kalangan yang terbaik demi kemenangan
2/3 majoriti pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. Ayuh PUTERI!
Ingatlah sahabat-sahabat PUTERI,
Nak jadi Calon…. Calon juga;
Tolonglah Pegang Janji Ini,
Padukan Tenaga, Action Bersama.
Bersama gempur PUTERI Peduli,
Santunilah Hati Wanita Muda;
Buktikan Pencapaian PRU ini,
Get Out the Voters Target Kita.
77. Ayuh semua, sama-sama kita rapatkan baris dan saf, HIDUP MELAYU!
HIDUP UMNO! BERSAMA GEMPUR!