54
Pemikiran Melayu Dalam Sejarah Melayu OLEH MD RASUL BIN HARON Guru Sejarah SMK Selayang Bharu Batu Caves Selangor Darul Ehsan Sejarah Melayu atau Sulalat-us salatin ditulis dalam zaman Islam seperi hasil-hasil sastera yang kita warisi dari zaman silam, seperti Hikayat Sang Boma atau Hikayat Seri Rama yang mengisahkan penghujung zaman peradaban Hindu dan permulaan serta perkembangan peradaban Melayu dalam zaman Islam merupakan kisah-kisah yang membawa ethos dan world-view zaman peralihan itu. Kedatangan Islam sendiri diceritakan dalam bentuk mitos, iaitu sultan yang memerintah diislamkan dalam mimpi selepas bertemu Nabi Muhammad (s.a.w) dan adakalanya telah sedia berkhatan. Kita tahu ini berlawanan dengan ajaran Islam yang menjauhi hal-hal yang tahyul. Tetapi kenapakah diceritakan dengan jalan mitos? Ini juga memerlukan jawapan yang ilmiah bukan setakat jawapan orang Melayu suka berkhayal. Cerita Kitul dan Raja Mundaliar(orang India Hindu, bukan orang Melayu Islam) yang membawa fitnah bukanlah menggambarkan nilai korupsi dalam peradaban Melayu Islam atau Hindu, tetapi adalah gambaran bagaimana lemahnya manusia, terutama sekali apabila hidupnya menjadi kompleks. Penyebaran Islam sendiri oleh makhdum-makhdum dari atas angin tidak sunyi daripada dikritik dalam Sejarah Melayu seperti yang dilihat pada episod Tun Mai Ulat Bulu. Tetapi ini tidak bermakna bahawa semua penyebar agama mencari kekayaan di negeri bawah angin. Sejarah Melayu lebih merupakan kitab yang memaparkan perubahan sosial di kalangan manusia Melayu. Struktur sosial peradaban Melayu telah mantap apabila Islam masuk ke dalam Melayu. Adat istiadat diraja pun diatur, dan Islam telah

Pemikiran Melayu Dalam Sejarah Melayu

Embed Size (px)

Citation preview

Pemikiran Melayu Dalam Sejarah Melayu

Pemikiran Melayu Dalam Sejarah Melayu

OLEH

MD RASUL BIN HARON

Guru Sejarah

SMK Selayang Bharu

Batu Caves

Selangor Darul Ehsan

Sejarah Melayu atau Sulalat-us salatin ditulis dalam zaman Islam seperi hasil-hasil sastera yang kita warisi dari zaman silam, seperti Hikayat Sang Boma atau Hikayat Seri Rama yang mengisahkan penghujung zaman peradaban Hindu dan permulaan serta perkembangan peradaban Melayu dalam zaman Islam merupakan kisah-kisah yang membawa ethos dan world-view zaman peralihan itu.

Kedatangan Islam sendiri diceritakan dalam bentuk mitos, iaitu sultan yang memerintah diislamkan dalam mimpi selepas bertemu Nabi Muhammad (s.a.w) dan adakalanya telah sedia berkhatan. Kita tahu ini berlawanan dengan ajaran Islam yang menjauhi hal-hal yang tahyul. Tetapi kenapakah diceritakan dengan jalan mitos? Ini juga memerlukan jawapan yang ilmiah bukan setakat jawapan orang Melayu suka berkhayal. Cerita Kitul dan Raja Mundaliar(orang India Hindu, bukan orang Melayu Islam) yang membawa fitnah bukanlah menggambarkan nilai korupsi dalam peradaban Melayu Islam atau Hindu, tetapi adalah gambaran bagaimana lemahnya manusia, terutama sekali apabila hidupnya menjadi kompleks.

Penyebaran Islam sendiri oleh makhdum-makhdum dari atas angin tidak sunyi daripada dikritik dalam Sejarah Melayu seperti yang dilihat pada episod Tun Mai Ulat Bulu. Tetapi ini tidak bermakna bahawa semua penyebar agama mencari kekayaan di negeri bawah angin.

Sejarah Melayu lebih merupakan kitab yang memaparkan perubahan sosial di kalangan manusia Melayu. Struktur sosial peradaban Melayu telah mantap apabila Islam masuk ke dalam Melayu. Adat istiadat diraja pun diatur, dan Islam telah diletakkan pada struktur yang sedia ada dengan perubahan kepada makna. Kestabilan masyarakat tidak disentuh kerana ideologi Islam diterima walaupun tidak dipraktikkan seratus peratus dan kemungkinan mempraktikkan seratus peratus tetap ada kerana sepanjang masa itu tidak kurang pula para pemikir dan pendakwah Islam di rantau ini menyebarkan ajaran Islam yang benar. Jadi pada satu pihak kita dapati struktur sosiopolitik yang tidak berubah, kegiatan ekonomi juga tidak terjejas, corak hidup yang pada bahagian besar bersambung seperti dahulu dan yang cuma berubah ialah ethos dan world view yang dibawa oleh Islam.

Begitu juga dengan aspek pemikiran yang lain seperti tahap intelektualisme orang-orang Melayu yang tinggi dapat dilihat melalui peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam Sejarah Melayu.

Penulis amat tertarik kepada muslihat atau tipu helah yang terdapat dalam Sejarah Melayu. Selain itu, sejauh manakah sumbangan muslihat atau tipu helah ini dalam Sejarah Melayu? Mengapakah ia dianggap penting ? Apakah kesannya kepada kesarwajagatan, kekayaan, keabadian dan kebenaran atau lebih teliti lagi berdasarkan kebijaksanaan (wisdom) kefasihan (eloquent), keanggunan (elegant), keadilan (justices) dan kebenaran (truth) dalam Sejarah Melayu.

Peristiwa-peristiwa yang terdapatnya unsur muslihat dalam beberapa bab iaitu cetera pertama, cetera kelima, cetera keenam, cetera kelapan, cetera ketiga belas, cetera kelima belas, cetera ke dua puluh tujuh berdasarkan karya agong. Sejarah Melayu diselenggara oleh W.G. Shellabear.

Berdasarkan penelitian saya, muslihat yang digunakan dalam Sejarah Melayu ini lebih memperlihatkan kebijaksanaan , kesabaran, berpandangan jauh, teliti, tindakan dan kata-katanya yang pada setiap pengucapnya itu tergolong daripada orang bawahan (rakyat atau pembesar) dan tidak datangnya akal yang bernas itu daripada keturunan raja-raja walaupun ada cuma segelentir sahaja.. Hal ini menjelaskan bahawa, rakyat juga mempunyai otak yang geliga berbanding orang yang berkuasa. Yang membezakan antara rakyat dan raja itu adalah berdasarkan waadat yang pernah termeterai di Bukit Siguntang.

Keseluruhan daripada teks Sejarah Melayu ini banyak dipengaruhi oleh unsur waadat di antara Demang Lebar daun dan Sang Sapurba yang terkandung di dalamnya tentang kesetiaan dan kepatuhan rakyat terhadap rajanya. Sama ada di pihak rakyat atau raja itu jika ingkar turut menerima padahnya. Biar apa pun kesetiaan dan kepentingan kepada sesuatu perkara itu mencetuskan tipu helah yang akhirnya membawa kepada kebaikan dan keuntungan kepada pihak raja atau negeri.

Pertama : Peristiwa perjalanan hendak menakluk Negeri China. Iaitu Raja Suran telah membatalkan rancangannya menakluk China kerana terpedaya dengan muslihat yang dipersembahakan oleh Raja Cina yang menghantar orang-orang tua, pohon bidara yang sudah berbuah, jarum berkarat yang memperlihatkan betapa jauhnya negeri China dari Singapura. Konsepnya Keupayaan berfikir secara kritis membuatkan negeri China terselamat daripada ditakluki oleh Raja Suran.

Kedua: Peristiwa Tatal dan menarah kepala Budak iaitu Betara Majapahit menghantar utusan ke Singapura dengan satu bingkisan sekeping tatal tujuh depa panjangnya, ditarah tiada putus dan nipisnya seperti sehelai kertas yang digulung seperti subang. Manakala Raja Singapura pula membalasnya dengan menarah kepala budak dengan menggunakan beliung kalang. Konsepnya menunjukkan kepandaian dengan cara tersembunyi tanpa melibatkan peperangan.

Ketiga: Peristiwa Badang beradu kekuatan dengan Benderang di satu majlis keramaian. Peristiwa itu secara tidak langsung menguji sejauh mana keupayaan Badang dan Benderang sebelum memulakan peraduan yang sebenarnya. Dalam majlis itu, tindih menindih peha di antara kedua-duanya telah berlaku. Konsepnya Melihat keupayaan seseorang musuh itu sebelum benar-benar beradu kekuatan dan dengan cara itu, maruah dapat dijaga jika gagal dalam peraduan tersebut.

Keempat: Peristiwa Raja Pasai ditipu dan ditawan. Raja Pasai telah diculik dan dijadikan pengembala ayam. Oleh itu, Sidi Ali Ghiathudin telah memberikan pelbagai persembahan hingga akhirnya Raja Pasai dapat dibebaskan oleh Raja Syahrun Nuwi. Konsepnya Pemberian pelbagai persembahan sebenarnya merupakan tipu helah termakan budi dan akhirnya orang yang menerima sesuatu pemberian itu tidak dapat menggelakkan daripada membalasnya kelak.

Kelima: Peristiwa kebijaksanaan Tun Perak iaitu semasa peperangan dengan Siam, segala anak dan isteri parajurit telah dibawa bersama dan mengikat puntung api di akar pokok kayu bakau bagi memperlihatkan jumlah askar Melaka lebih ramai daripada Siam. Konsepnya Mengelakkan sebarang perasaan takut atau ingin cabut lari kerana dengan cara ini, semua askar yang berperang akan berjuang berhabis-habisan mempertahankan anak dan isteri. Juga kebijaksanaannya menyelamatkan Melaka daripada kuasa Siam.

Keenam: Peristiwa perhubungan dengan China iaituTun Perpatih Putih memperlihatkan kebijaksaannya dengan memakan sayur kangkung yang tidak dipotong untuk melihat dengan jelas Raja China. Konsepnya Kebijaksanaannya ini menguntungkan kerana dapat melihat dengan jelas Raja China tanpa dikenakan sebarang hukuman.

Ketujuh: Peristiwa perkahwinan Tun Kudu dan dengan Seri Nara Diraja. Sultan Muzaffar Syah telah menceraikan Tun kudu kerana mahukan Tun Perak menjadi bendahara menggantikan Seri Nara Diraja. Konsepnya Perlantikan Tun Perak tidak meninggalkan sebarang perasaan kecil hati di antara pengikut Seri Nara Diraja.

Kelapan: Peminangan Puteri Gunung Ledang. Hantaran yang dikenakan mustahil dapat diperolehi. Konsepnya Menolak kemahuan Sultan dengan bijaksana.

Sekian.

Sejarah Melayu @ Sulalatus Salatin

GAYA BAHASA SEJARAH MELAYU

Pengarang Sejarah Melayu memasukkan banyak kata-kata dan bidalan asing di dalam teks, antaranya:

a) Bahasa ArabMalakat ertinya perhimpunan segala dagang.

Ungkapan Arab Al-bikru fil-qawmi ahra la hum syarban yang bermaksud yang sungai minum itu pada suatu kaum itu juga meminum dia (halaman 196).

Bidalan Arab yang dimasukkan dalam Sejarah Melayu ialah Al-mahabbat bainun manfiyyun, wal isyqu fikrun manfyyun ertinya yang kasih itu antara tiada, dan berahi itu bicara tiada (halaman 194).

b) Bahasa JawaPangeran, si anu sampun pejah. Kata Patih Adam Dimene ertinya Biarkanlah

Kata orang Kabih sampun pejah. Maka sahut Patih Adam Dimene kang sampun pejah kabih isun putra dalam iki belane sunpadi. Ayat tersebut membawa maksud Biarlah habis mati semuanya, akan aku anak orang ini pun padalah. (halaman 159)

c)Bahasa SiamKata Maharaja Dewa Sura, Kwai, Kwai yang bererti perlahan-lahan (halaman 74)

d) Bahasa ParsiArayat juna bakhsanat sultan khasad yang bererti rakyat itu umpama akar, yang raja itu umpama pohon (halaman 127)

BAHASA BERLAPISAntaranya:

a). Jikalau layu rumput di halaman Yang Dipertuan, sahaja seperti titah yang maha mulia itu patik kerjakan (halaman 126). Ayat ini membawa maksud: jika tuanku mangkat, wasiat Tuanku itu akan disempurnakan.

b). Hai, hai lihatlah Seri Maharaja, anak harimau diajarnya makan daging, dia kelak ditangkapnya (halaman 139 ). Ertinya ialah memberi manja atau menggalakkan untuk melakukan kekejaman.

c). Nyaris lepas tangan membawa maksud meninggal dunia

d). Basuhkan arang di mukaku ini membawa maksud menuntut bela di atas penghinaan.

SIMILEa).Seperti ular berbelit-belit lakunya (halaman 175)

b). Baginda pun melambung diri seperti ayam disembelih (halaman 176)

MONOLOGa). Maka gajah itu dilanggarkan baginda ke balairong baginda sendiri, habis roboh-roboh. Maka titah baginda Demikianlah kelak balairong raja Melaka kulanggarkan dengan gajahku ini (halaman 173)

b) Baginda pun terlalu murka, titah baginda Kits diperbuatnya oleh raja Melaka seperti kera, mulut disuapnya pisang, pantat dikaitkan dengan onak. (halaman 174)

Ciri-ciri Karya Agung dalam Sulalatus Salatin

1. Ciri-ciri Karya Agung dalam Sulalatus SalatinUntuk melayakkan sesebuah karya diangkat sebagai karya agung, hasil karangan tersebut perlulah mengambil kira beberapa ciri yang penting. Ciri-ciri yang dimaksudkan ialah lambang atau pesanan yang disampaikan oleh karya itu, nilai seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup bangsa, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa.i. Isi dan pesananKarya ulung seperti Sejarah Melayu membentangkan alam yang cukup luas dalam penulisannya. Hasil tulisan pengarang telah berjaya membawa khalayak pembaca merentas kawasan setempat dan kawasan Nusantara sehingga mereka mampu menerokai dunia-dunia lain, alam maya dan tidak ketinggalan juga dunia kayangan. Manusia yang memenuhi ruang hikayat ini tidak hanya datang dari kawasan Nusantara dan dari dunia manusia biasa lain seperti Rom, India, China dan Dunia Arab, bahkan juga turut melangkau sempadan para dewa dan dewi ataupun makhluk super-manusia. Isi yang terkandung dalam karya ini sarat dengan kepelbagaian episod, peristiwa dan kejadian. Melaluinya, kita dapat melihat kisah untung nasib dan gelagat para raja, putera-puteri yang elok rupa parasnya, tiada tolok banding dengan manusia lain, para hulubalang yang gagah perkasa serta para dewa dan dewi dari kayangan yang membawa tuah dan kuasa ajaib kepada manusia biasa. Selain itu, kita juga dapat menonton kisah peperangan, persengketaan istana, kekejaman, peristiwa fitnah, hasad dengki dan akibatnya, malapetaka. Melalui pengamatan dan pengalaman yang dilalui oleh pengarang semasa hayatnya, panorama ceritera yang sangat besar dan luas itu menjadi landasan kepada pengarang untuk diketengahkan ke dalam penulisan. Dalam erti kata lain, pengarang mengangkat hal-hal yang berlegar di sekitar kehidupannya untuk dijadikan tema atau fokus utama penulisan. Pengarang Sejarah Melayu telah mengangkat kisah kebesaran dan kekuasaan raja atau kerajaan Melayu. Bagi memastikan pemerintah digeruni oleh raja-raja lain di dunia ini, raja Melayu itu mesti diberikan kuasa yang luar biasa. Untuk tujuan ini, mitologi digunakan sebagai sumber kuasa raja. Tidak dapat dinafikan bahawa teks-teks sejarah Melayu pada kurun ke-14 hingga ke-19 mempunyai unsur-unsur mitologi. Karya sejarah dalam bentuk babad atau susur galur biasanya ditulis atas titah sultan, bertujuan untuk memuji pemerintah atau mempromosikan kepentingan dan pandangan keluarga penaung. Apabila seorang pengarang babad memasukkan suatu cerita ajaib atau mitos dalam karyanya, sudah tentu ada sesuatu maksud atau mesej yang cuba disampaikan. Oleh hal yang demikian, kita sebagai pembaca perlu memahami makna maklumat tersebut dan mesej yang hendak dikemukakan. Dalam Sejarah Melayu, terdapat juga beberapa cerita mengenai asal usul raja-raja Melayu. Raja Melayu dikatakan berasal daripada Iskandar Zulkarnain, raja besar bangsa Yunani, beragama Islam, iaitu yang beriman dengan agama tauhid Nabi Ibrahim. Alam ketahui olehmu, kepada zaman dahulukala, dan pada masa yang telah lalu, kata yang empunya ceritera, bahawa Raja Iskandar, anak Raja Durab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zul-Karnain gelarannya...

(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 4)Selain asal usulnya yang luar biasa, tema keagungan kerajaan Melayu-Islam ini dikembangkan lagi dengan memaparkan kepintaran orang Melayu yang menandingi kepintaran rakyat China sehingga raja China memilih raja Melaka sebagai menantunya. Selain itu, turut dimuatkan kisah raja China yang gering dan tidak dapat diubati oleh tabib China. Hanya setelah meminum air basuhan kaki raja Melaka, iaitu menantu raja China, penyakit baginda sembuh. Hal ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menggambarkan kekuasaan, kebesaran dan keagungan raja beserta kerajaan yang dinaunginya. ii. Nilai budaya / Pandangan Hidup Menerusi Sejarah Melayu, kebudayaan masyarakat Melayu turut diselitkan oleh pengarangnya untuk tatapan khalayak pembaca. Gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan Ramadhan dan pelbagai lagi.Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan kekuningan larangan; tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam... Dan larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung, tiada terletak ke tanah; dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; dan jikalau perahu, bertingkat berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk dan teterapan keris, sebesar-besar orang keluaran tiada dapat bergelang kaki emas, dan jikalau berkeroncong emas berkepala perak tiada boleh.

(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 74) Di samping itu, pengarang Sejarah Melayu juga turut mempersembahkan kepada pembaca perihal istiadat perkahwinan Diraja Johor-Pahang.Setelah genaplah empat puluh hari empat puluh malam berjaga-jaga itu, kepada keesokan harinya, maka Raja Omar dan Raja Fatimah pun dihiasi oranglah dengan pakaian kerajaan yang bertatahkan ratna mutu intan baiduri. Setelah itu maka Raja Omar pun dinaikkan orang ke atas gajah, Tun Nara Wangsa di kepala, dan Tun Mat Ali, anak Laksamana Hang Nadim di buntut, maka diaraklah dengan selengkap alat kerajaan dan dengan segala bunyi-bunyian, gendang, serunai, nafiri...

(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 300)Selain itu, pengarang turut menggambarkan hubungan individu sesama masyarakat dalam penulisannya. Sebagai contoh, sikap hormat menghormati. Umpamanya, seorang rakyat tetap mematuhi perintah ketua atau pembesar. Contohnya apabila mengetahui yang Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan ini. Walau bagaimanapun, penentangan tersebut dihalang oleh Tun Mutahir kerana tindakan tersebut dianggap menderhaka. Akhirnya, pengikut-pengikut beliau tidak jadi menentang.Sultan Melaka pada waktu itu juga sangat menghormati golongan ulama. Hal ini dapat dilihat semasa Sultan Mahmud Syah ingin berguru dengan Maulana Yusoff. Ulama tersebut tidak membenarkan Sultan Mahmud Syah datang menemuinya dengan menunggang gajah. Dengan perasaan hormat, baginda akur dengan permintaan gurunya. Pandangan dan falsafah hidup bangsa Melayu banyak sekali diungkapkan oleh masyarakat ketika itu. Hal ini demikian kerana, masyarakat Melayu begitu kaya dengan keindahan bahasa yang diperturunkan dalam bentuk puisi. Bentuk puisi yang dikarang adalah seperti pantun, syair dan seloka serta nyanyian. Puisi-puisi yang terdapat di dalam Sejarah Melayu mempunyai unsur-unsur tersirat yang bertujuan memuji atau sebaliknya menyindir. Misalnya, kota sepenampang di Pahang yang terbakar belum dibersihkan sisa kebakarannya. Lalu, diciptakan nyanyian oleh penduduk setempat.Kota Pahang dimakan api,Sampai ke tepi hampir titian,Bukan kularang kamu berlaki,Bukan begini perjanjian.

(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 239)Kebanyakan puisi yang dihasilkan adalah berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku. Contohnya seperti pantun di bawah,Teluk Itik dari Senggora,Pandan terletak dilangkahi,Darahnya titik di Singapura,Badannya terhantar di Langkawi.

(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 68)Pantun ini terhasil ekoran daripada peristiwa hukuman bunuh terhadap Tun Jana Khatib. Hal ini berpunca daripada perasaan iri hati Paduka Seri Maharaja terhadap beliau yang dituduh cuba menggoda Raja Perempuan dengan memperlihatkan kemahirannya menilik pohon pinang sehingga terbelah dua. Semasa beliau dibunuh, satu kejadian aneh telah berlaku iaitu darahnya menitik setitik manakala badannya ghaib. Selain itu, turut terselit puisi berbentuk seloka. Seloka ini dihasilkan ekoran peristiwa Singapura dilanggar todak.Carek baju dilompati todak,Baharu menurut kata budak. (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 68)Terdapat juga puisi yang dibuat oleh masyarakat ketika itu untuk memuji golongan pembesar dan raja. Tetapi ianya disampaikan dalam bentuk nyanyian. Contohnya:Pada suatu hari raja Maluku meminjam kuda pada Maulana Yusuf, itulah dibuat orang nyanyian:Raja Maluku meninjam kuda,Meminjam kuda pada Maulana,Tuanku nyawa orang muda,Arif bertambah bijaksana.(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 180)Di sebalik pujian, terdapat juga sindiran yang ditujukan kepada golongan pemerintah. Contohnya pantun dan seloka ini:Asa-asaan gigi si Mambang, hendak makan ikan;Dalam telaga lagi bertelur, sisiknya gilang gemilang.Maka di sahut oleh bunga tanjung, katanya:Dang Nila memangku puan,Berembang buah pedada,Adakah gila bagimu tuan,Burung terbang dipipiskan lada.Maka dijawab oleh bunga telipuk:kuning Ledang bagai dikarang,Riang-riang disambar wakab,Hairan memandang dunia sekarang,Bayang-bayang hendak ditangkap.(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 214) Seloka dan pantun ini sebenarnya bertujuan untuk menyindir Sultan Mahmud yang ingin berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang. Oleh hal yang demikian, terbuktilah bahawa puisi-puisi yang dihasilkan ini sebenarnya menggambarkan pujian atau sindiran kepada golongan pemerintah selain menggambarkan peristiwa yang berlaku. Masyarakat Melayu begitu kaya dengan budaya dan budi pekertinya. Hal ini telah berjaya digambarkan oleh Tun Seri Lanang dalam karyanya, Sejarah Melayu. Adat istiadat Diraja turut dimuatkan dalam karangan beliau bagi memperlihatkan kedaulatan Raja-raja Melayu.iii.Nilai IlmuIlmu merupakan salah satu unsur kehidupan intelektual terpenting. Kadar perkembangan dan penyebaran ilmu pada pandangan umum menunjukkan darjah kemajuan kesedaran sosial dan perkembangan masyarakat. Apabila ilmu kuat dan penting dalam masyarakat Melayu dan mempengaruhi kehidupan manusia, hal ini pasti tercermin di dalam penulisan pengarang. Kajian yang dilakukan ke atas sumber sejarah Melayu, khususnya sejarah Melayu Islam menjelaskan bahawa di dalamnya terdapat banyak maklumat yang berkaitan dengan ilmu. Semua bahan yang dirakamkan di dalamnya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:1. Istilah umum2. Bidang ilmu3. Para ilmuwan, karyawan, pengarang (penyalin), guru dan orang alim yang lain4. Karya ilmiah dan buku, serta sistem pengajaran dan pelajaran5. Unsur-unsur ilmiah / tekstologi dalam teks-teks sejarahDalam kategori istilah umum, pelbagai kata dan definisi berkaitan ilmu, pelajaran, pengajaran, karangan, daya cipta dan lain-lain dimasukkan ke dalam penulisan karya. Misalnya, ilmu, kitab, karangan, cerita, buku, membaca, mengajar, guru, mursyid, murid, intiha, konon, kabar (khabar), kaul dan sebagainya. Istilah-istilah tersebut mempunyai makna yang sangat luas dan digunakan dalam pelbagai bidang kehidupan intelektual. Jika diteliti dalam karya agung Sejarah Melayu, antara kosa kata yang ditemukan ialah ilmu, alkisah, kitab, cerita (ceritera), kabar (khabar), kaul, membaca, mengajar (ajar), mengarang (karang, karangan), mengaji, alim, murid dan guru. Kebanyakan istilah umum yang terdapat dalam teks kebanyakannya berasal daripada bahasa Arab. Akan tetapi, kata-kata Arab ini sudah terserap ke dalam bahasa Melayu dan dianggap sebagai kosa kata bahasa Melayu. Melalui penggunaan kata-kata ilmiah yang pelbagai bentuk dan banyak bilangannya, hal ini dapat mencerminkan dan membuktikan bahawa pengarang dan pembaca pada masa itu mahir dalam definisi ilmiah dan juga bahasa Arab. Bagi kategori bidang ilmu pula, dalam teks-teks karya agung ada disebutkan beberapa bidang ilmu. Dalam Sejarah Melayu, terkandung beberapa tulisan tentang ilmu falsafah (didaktik, tasawuf, akhlak), ilmu agama (fardhu ain, ilmu tafsir, ilmu tilawah, ilmu usuludin), ilmu sejarah, ilmu fiqah (syariah, ilmu hukum), ilmu bahasa (etimologi, saraf, nahu), ilmu perubatan tradisional dan pelbagai lagi. Kategori para ilmuwan juga turut tercatat dalam karangan Sejarah Melayu. Antara orang atau pelaku yang disebut berkaitan dengan ilmu ialah khatib, haji, sayyid (syed dari tanah Mekah), syeikh, mursyid, makhdum, kadi dan maulana.

Maka makhdum pun dibawa baginda naik gajah, lalu dibawa ke istana baginda. Maka bendahara dan segala orang besar-besar pun masuk agama Islamlah. Maka segala orang Melaka kecil besar semuanya disuruh raja masuk Islam sekalian. Maka raja pun berguru pada makhdum Sidi Abdul Aziz.(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 51)Sebermula pada masa itu kadi di Melaka Kadi Yusuf namanya, cicit pada Makhdum Sayid Abdul Aziz yang mengislamkan segala orang Melaka. Maka Kadi Yusuf tiada berguru pada Maulana Abu Bakar kerana ia terlalu alim. Sekali persetua Kadi Yusuf hendak pergi sembahyang Jumaat maka lalu betul pintu Maulana Abu Bakar. Tatkala itu Maulana Abu Bakar ada berdiri di pintunya. Maka dilihat oleh Kadi Yusuf akan Maulana Abu Bakar dikeliling oleh cahaya seperti sumbu dian yang dikelilingi apinya. Demikian rupanya. Maka Kadi Yusuf pun segera berlari datang menyembah pada Maulana Abu Bakar. ... Maka Kadi Yusuf pun berguru pada Maulana Abu Bakar. Maka Kadi Yusuf pun jununlah. Maka ia lalu memecat dirinya daripada kadi. (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 100)... Maulana Abu Bakar turun dari atas kapal membawa kitab Durr Manzum...Maka Sultan Mansur pun berguru pada Maulana Abu Bakar...banyak ilmu diperolehlah baginda. Maka Sultan Mansur Syah Durr Manzum itu disuruh baginda ertikan ke Pasai.(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 98)... bertanyakan suatu masalah Segala isi syurga itu kekallah ia dalam syurga dan bagi isi neraka itu kekallah ia dalam neraka? ... Maka kata Tun Makhdum Muda Isi syurga kekallah ia dalam syurga, isi neraka kekal dalam neraka... kerana sabit dengan dalil Quran mereka itu kekal dalam syurga selama-selamanya. (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 98-99)Semua nama yang disebutkan dalam petikan di atas merupakan tokoh Islam. Para ilmuwan tersebut adalah sangat berwibawa dan pangkatnya tinggi dalam masyarakat Melayu Islam khususnya. Golongan ini juga turut memberi pelbagai nasihat kepada raja dan anak-anaknya, mengajar sultan dan orang besar-besar, mengepalai musyawarah, membantu mencapai muafakat dalam perdebatan dan konflik dan lain-lain lagi. Dalam teks Sejarah Melayu, terdapat banyak maklumat tentang karya ilmiah dan agama yang diajarkan dan dibaca dalam masyarakat Melayu. Buku-buku tersebut berkaitan dengan ilmu agama, falsafah, fiqah, sejarah, bahasa dan sebagainya. Kitab yang sering disebutkan ialah al-Quran al-Azim dan pelbagai Surahnya. Contohnya,... Maka belayar pula nakhoda Ismail. Berapa lamanya maka sampai kepada sebuah negeri pula Thobri (Lamri) namanya. Maka orang Thobri itu pun masuk Islam. Maka kafir pun naik ke darat membawa al-Quran. Maka disuruhnya baca pada orang Thobri itu surat itu. Seorang pun tiada dapat membaca dia. (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 56)Alkisah maka tersebutlah perkataan seorang pendita, Maulana Abu Ishak namanya, terlalu faham pada ilmu tasauf... Maka dikarangnya sebuah kitab dengan dua bahasa, suatu bahasa zat, kedua bahasa sifat; dinamainya Duril-mazlum.

(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 156-157) Berdasarkan kepada beberapa pecahan nilai ilmu yang telah dipaparkan dalam Sejarah Melayu, hal ini dengan jelas menunjukkan ciri penting keagungan karya agung Melayu terletak pada ketamadunan ilmu yang dipancarkan oleh karya itu. Melaluinya, pengarang telah berjaya memperlihatkan keupayaan dan keterbukaan mindanya untuk menyerap ilmu dan nilai baru, yang dipelajari daripada Islam, untuk menilai dan memperkukuh tradisi bangsanya. Mantera mula diganti dengan doa, berguru kepada orang pertapa diganti dengan berguru kepada syeikh atau makhdum, adat dan tradisi keadilan Melayu digandingkan dengan keadilan menurut hukum Allah dan pelbagai lagi. Inilah proses perkembangan ilmu yang dipaparkan dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. iv.Teknik KepengaranganJika diteliti isi kandungan Sejarah Melayu, pengarangnya dilihat sebagai seorang intelek Melayu yang berminat kepada sejarah dan suasana pergolakan politik di Melaka waktu itu. Selain itu, pengarang amat berminat membaca berbagai-bagai naskhah hikayat daripada kesusasteraan asing yang diterap daripada kesusasteraan Hindu. Misalnya, pengarang dapat menggarap unsur-unsur sastera Hindu sewaktu mengisahkan pengembaraan Raja Suran ke negeri bawah laut dan kisah di Bukit Si Guntang Mahameru. Pengarang juga turut mengaitkan binatang suci Hindu iaitu lembu putih.Pengaruh kesusasteraan Jawa seperti cerita panji dan Cerita Damar Wulan turut dibawa masuk oleh pengarang. Contoh-contoh dari hasil sastera Jawa dapat dilihat melalui gambaran peristiwa utusan Melaka pergi ke Majapahit dan peristiwa peminangan Puteri Galuh Cendera Kirana. Dalam peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang, dikaitkan pula dengan permintaan mas kahwin yang luar biasa. Pengarang juga amat mahir menggarap corak penulisan kesusasteraan Parsi dan Arab. Hal ini dapat dibuktikan melalui gaya penulisan pendahuluan teks yang mempunyai gaya masnawi. Selain itu, pengarang turut memasukkan petikan syair dan bidalan Arab, termasuklah juga ayat-ayat al-Quran. Penggunaan kalimah-kalimah Arab juga amat ketara dalam Sejarah Melayu.Pengarang dilihat sangat kreatif dan berseni kerana dapat menampilkan karya tersebut dalam bentuk yang menarik dan indah dari segi persembahannya. Tun Seri Lanang berupaya melukis segala kisah atau gambaran masyarakat Melayu dengan hidup dan indah. Beliau juga berupaya menceritakan sesuatu episod dengan nyata dan jelas sehingga berjaya mengusik perasaan pembaca sama ada sedih, menyayat hati, lucu, meriah dan riang gembira. Misalnya, peristiwa peperangan digambarkan dengan penuh suasana ngeri dan ganas. Maka dikeluari oleh orang Singapura terlalu sabur berperang; tetak menetak, parang-memarang, tikam-menikam, serta dengan tempik soraknya, gegak-gempita, tiada sangka bunyi lagi. Maka darah di tengah peperangan itu seperti air sebak, merah rupanya pasir itu, datang sekarang ada lagi. Maka patahlah perang orang Singapura, lalu sekaliannya undur masuk ke dalam kota; pintu kota pun ditutup, dan dilawan berperang dari dalam kota kira-kira sebulan lamanya.

(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 70)Pengarang juga berupaya melukis watak dengan lebih hidup, istimewa dan bercampur dengan unsur lucu. Contohnya ketika menggambarkan watak Tun Mai Ulat Bulu, Seri Bija Diraja, Seri Wak Raja, MiaRuzul dengan kambing randuk dan lain-lain. Selain itu, pengarang berjaya menerapkan gaya bahasa yang indah, menarik dan bermutu tinggi. Di samping itu, pengarang juga turut menggunakan pelbagai teknik penceritaan. Antara teknik tersebut ialah dialog, monolog dalaman, menyelitkan puisi seperti pantun, syair dan bidalan Arab yang secara tidak langsung menimbulkan kesan keindahan semasa membaca karya tersebut. v.Seni BahasaBangsa Melayu meletakkan keutamaan yang tinggi kepada ketajaman akal, kecerdasan berfikir, kebijaksanaan berbahasa dan mengungkapkan bahasa. Bentuk-bentuk lisan seperti teka-teki dan pantun ialah manifestasi kepada keutamaan yang diletakkan kepada kecerdasan berfikir. Menurut Noriah Taslim (2000), masyarakat silam/lisan wujud dalam satu bentuk budaya yang disebut budaya rhetorical, manusianya wujud dalam situasi persaingan kata-kata (verbal combat) atau pertikaman lidah: pantun perlu dibalas, teka-teki perlu dijawab, sindiran dijawab dengan sindiran. Hal ini menuntut kecerdasan berfikir dan kelancaran mengungkapkan bahasa yang amat tinggi. Bentuk-bentuk peribahasa menjadi cerminan kepada keintelektualan minda Melayu yang tiada tandingan. Bermula daripada alam kepada manusia, abstrak kepada konkrit, peribahasa memanfaatkan keindahan untuk menajamkan keintelektualan.Jika ditinjau dalam Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan seni bahasa pengarang dalam sisi yang berbeza. Sebagai contoh, dalam peristiwa pemeritahan di Temasik/Singapura. Dalam peristiwa ini, Temasik digambarkan oleh pengarang sebagai sebuah negeri yang tidak pernah aman. Kita juga tidak pernah didedahkan dengan usaha pemerintahnya, Parameswara, untuk memajukan Singapura. Hal ini demikian kerana, di Temasik/Singapura terdapat nilai yang tidak baik. Istilah Singapura dikatakan berasal daripada binatang yang bernama singa dan sikap singa itu pula suka berpura-pura. Sikap berpura-pura merupakan nilai yang tidak baik. Singapura dikatakan tidak aman kerana diperintah oleh raja yang berhati pura-pura. Bukan tidak ada pembesar yang membantu raja, namun pembesarnya juga berhati pura-pura. Ketaatan kepada raja bukan kerana mahu mendaulatkan raja, tetapi kerana mahu merebut nikmat material. Dalam Sejarah Melayu, ada generasi yang cuba membawa pembaharuan, memajukan Singapura, malangnya mereka pula yang dilenyapkan. Terdapat ulama, Tun Jana Khatib, yang boleh membantu, tetapi disebabkan salah sangka, ulama itu dibunuh. Selain itu, digambarkan juga bagaimana akal seorang budak yang telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa manusia dan menjadi aset negara, telah dikhianati oleh pihak pemerintah pada masa itu. Hal ini dibuktikan dalam petikan di bawah, Maka sembah orang besar-besar, Tuanku, budak ini terlalu besar sekali akalnya. Sedang ia budak lagi demikian, jikalau ia besar berapa lagi banyak akalnya? Baiklah ia kita bunuh. (Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 69)

Membunuh akal bererti membunuh intelektual. Membunuh budak bererti membunuh generasi warisan. Lebih-lebih lagi membunuh budak berakal besar, yang bermaksud membunuh kemajuan yang bakal berlaku. Kezaliman pemerintah yang sedemikian telah melenyapkan riwayat Singapura dalam Sejarah Melayu. Secara halus, pengarang menyampaikan mesej bahawa Singapura tidak akan maju kerana gejala negatif menjadi pegangan pemerintahnya. Mesej tersebut dsampaikan secara amat berseni. Pengarang tidak menyatakan kekejaman pemerintah, sebaliknya pengarang menggambarkan perlakuan kejam pemerintah. Perlakuan-perlakuan itu pula disertakan dengan alasan yang mungkin dapat diterima oleh masyarakat pada zaman itu. Di sinilah seni kebijaksanaan pengarang mengkritik golongan pemerintah. Seorang budak yang berakal besar semasa kecilnya tentunya akan lebih besar apabila ia mnginjak dewasa.

Disebabkan oleh sistem nilai yang dipegang oleh masyarakat dahulu berpaksikan siapa kuat dia berkuasa, maka kebimbangan raja dan pembesar itu adalah wajar. Pembunuhan terhadap akal dan budak itu menjadi halal pada mereka. Namun demikian, dalam prinsip halal mereka itu, pengarang sebenarnya ingin menggambarkan kekejaman pemerintah kerana pengarang turut menggambarkan pembunuhan terhadap ulama dan gundik raja. Penyusunan siri pembunuhan ini dapat memberi kefahaman kepada kita tentang kebijaksanaan berbahasa yang terdapat pada pengarang.

Terdapat tiga pembunuhan yang disebabkan oleh tiga faktor yang masing-masing menggambarkan keburukan golongan pemerintah. Pertama, pembunuhan terhadap ulama bernama Tun Jana Khatib yang disebabkan rasa cemburu dan syak wasangka. Ulama merupakan lambang yang membawa cahaya kebenaran dan keimanan. Apabila ulama sudah tiada, ini bererti kerajaan itu berada dalam kegelapan. Kedua, pembunuhan terhadap budak berakal besar disebabkan kebimbangan terhadap akal budak itu yang dikatakan akan menggugat kuasa pemerintahan. Budak berakal besar melambangkan keintelektualan, kesarjanaan dan kemajuan. Oleh sebab digambarkan masih budak, mungkin pengarang bermaksud Singapura akan menerima kemajuan atau kemajuan masih dalam proses pembinaan, dan mungkin Singapura maju dari segi pentadbiran keduniaan, bukan kerohanian. Ketiga, pembunuhan terhadap anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang menjadi gundik bongsu raja disebabkan fitnah oleh para gundik. Gundik bongsu dapat difahami sebagai lambang kelahiran. Yang dimaksudkan di sini, mungkin anak-anak yang bakal dilahirkan lebih berkualiti berbanding anak-anak gundik yang lain ataupun permaisuri. Dalam ketiga-tiga peristiwa pembunuhan itu, terlihat kebijaksanaan pengarang mengolah bahasa untuk mengkritik raja. Seni bahasanya terletak pada cara pengarang menggambarkan kekejaman dan kesan baik yang dapat diteladani daripada tindakan raja.

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

KEINDAHAN GAYA BAHASA PERSONAFIKASI (MAKNA LUARAN) BERDASARKAN KARYA AGUNG SULALATUS SALATIN.Dalam Sulalatus Salatin, Tun Sri Lanang menggunakan gaya bahasa yang indah untuk memerikan sesuatu hal. Selain itu, penyisipan beberapa unsur lain dapat mengindahkan bahasa supaya mempunyai nilai seni tinggi dan menarik. Sulalatus Salatin turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat yang panjang, banyak menggunakan kata pangkal ayat dan istilah-istilah klasik. Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahasa dalam penghasilannya berdasarkan kepada makna dalaman dan makna luaran. Setiap makna tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan bidangnya sangat luas untuk dibincangkan. Makna dalaman merupakan makna yang hanya diketahui oleh penulis dan mereka sahaja yang boleh merumuskannya. Manakala, Makna luaran merupakan makna yang disepakati oleh pembaca. Oleh itu, makna luaran kelihatan lebih menari untuk diketengahkan kerana ia memberi fokus terhadap pembaca. Kita dapat melihat bagaimana bangsa Melayu dahulukala dapat berfikir secara kreatif, bijaksana dan mendalam dalam bahasanya sendiri. Mereka mampu berfikir melalui bahasa figuratif, bahasa metafora, tidak hanya melalui bahasa literal dan melalui fikiran yang linear tetapi juga secara lateral dan kreatif. Terdapat pelbagai aspek sastera yang menarik dapat dilihat menerusi karya Sulalatus Salatin. Misalnya dalam aspek gaya bahasa. Penelitian karya sastera pada waktu sekarang banyak ditujukan pada penerangan struktur ceritanya seperti tema, watak, latar dan persoalan. Akan tetapi, penelitian terhadap gaya bahasa merupakan salah satu aspek penting terhadap kesusasteraan Melayu klasik ini. Pada umumnya, gaya bahasa yang sering digunakan dalam karya sastera adalah personifikasi. Hal ini demikian kerana, penggunaan gaya bahasa yang berkesan mampu menghasilkan sebuah karya sastera bukan sahaja lebih nyata, tetapi juga menjadikan sebuah karya sastera tersebut lebih menarik dan untuk dibaca. Sehubungan dengan itu, aspek gaya bahasa personifikasi tergolong dalam komponen makna luaran sesuatu karya terutamanya karya Melayu klasik. Aspek ini membawa kepada keindahan yang berbeza terhadap karya Melayu klasik yang sukar diperoleh dalam karya-karya moden yang dihasilkan oleh penulis-penulis muda pada hari ini. KONSEP KEINDAHAN, GAYA BAHASA DAN PERSONIFIKASI DALAM KONTEKS MAKNA LUARAN.Sulalatus Salatin mempunyai pelbagai gaya bahasa yang seiring dengan tarafnya sebagai sebuah karya agung Melayu klasik. Karya agung ini merangkumi dua aspek makna, iaitu makna dalaman dan makna luaran. Makna yang menjadi fokus utama dalam perbincangan ini ialah makna luaran. Makna luaran merupakan makna yang disepakati oleh pembaca termasuk gaya bahasa. Gaya bahasa yang ingin diketengahkan ialah gaya bahasa personifikasi. Oleh itu, penting untuk mengetahui konsep keindahan, gaya bahasa dan personifikasi sebelum dikaitkan dengan penggunaannya di dalam karya Sulalatus Salatin tersebut agar dapat diketahui makna luarannya.1.1 Keindahan Melayu klasikIstilah keindahan merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu menurut V.I. Braginsky (1994:16), beliau merumuskan bahawa terdapat tiga aspek yang dinyatakan dalam karya-karya sastera menerusi penggantian perkataan indah dengan kata-kata yang seerti. Menurutnya, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh dan manfaat yang terkandung di dalamnya. Keindahannya karya Melayu klasik ini terletak pada tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa, latar masyarakat serta nilai dan pengajaran .2.2 Gaya bahasa.Maksud gaya dalam bidang penghasilan karya bertulis ialah corak, bentuk, rupa atau pengetahuan tentang penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat. Gaya juga merupakan satu cara menulis atau bercakap. Menurut Nik Safiah Karim (1981), bahasa dapat didefinisikan sebagai lambang-lambang pertuturan yang arbitrari, bersistem dan digunakan oleh masyarakat untuk berkomunikasi. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), bahasa adalah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain). Gaya bahasa merupakan cara penyampaian para intelektual meluahkan buah fikiran mereka mengikut pengetahuan penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat untuk menimbulkan seni dalam hasil karya kesusasteraan, secara tidak langsung akan dapat memikat dan seterusnya menarik minat pembaca terhadap karya-karya sastera. Gaya bahasa juga adalah bertujuan untuk melembutkan lagi makna percakapan dan juga untuk mengindahkan lagi bahasa itu. Menurut Gory Keraf, (1985:113) gaya bahasa adalah cara mengungkapkan fikiran melalui bahasa secara khas yang memperlihatkan jiwa dan keperibadian penulis (pemakai bahasa). Sesebuah gaya bahasa yang baik harus mengandungi tiga unsur penting seperti kejujuran, sopan-santun dan menarik. Gaya bahasa adalah pemakaian kata-kata kiasan dan perbandingan bagi menggambarkan sesuatu maksud. Pelbagai gaya bahasa dapat dilihat melalui sesuatu bahasa.Secara keseluruhan, gaya bahasa adalah satu corak, bentuk kata-kata dan penyusunan kalimat yang digunakan sewaktu berhubung di antara satu sama lain sama ada secara lisan mahupun tulisan. Pada umumnya, terdapat empat jenis gaya bahasa iaitu gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa sindiran, gaya bahasa penegasan dan gaya bahasa pertentangan. Namun begitu, dalam penulisan ini, kajian memfokuskan hanya kepada gaya bahasa perbandingan dan melihat kepada skop yang lebih kecil lagi iaitu personifikasi yang terdapat dalam karya Sulalatus Salatin. 1.2 Personifikasi.Personifikasi dikenal juga sebagai pengorangan atau penginsanan. Maksud personifikasi ialah tindakan pengarang memberikan sifat manusia, sama ada dari segi perasaan, perwatakan, atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang lebih abstrak. Personifikasi adalah memberi watak manusia kepada yang bukan manusia. Misalnya, daun kelapa yang disifatkan sebagai manusia yang boleh melambai, menggamit, bersiul dan sebagainya. Lalu ditulis sebagai daun nyiur melambai-lambai, daun kelapa menggamit manja dan sebagainya. Oleh itu, terdapat banyak gaya bahasa yang ada dalam karya Sulalatus Salatin yang dikarang semula dalam versi yang lain oleh beberapa orang tokoh seperti A. Samad Ahmad dan Muhammad Haji Salleh. Antaranya ialah gaya bahasa personifikasi dalam karya Sulalatus Salatin.KEINDAHAN GAYA BAHASA PERSONIFIKASI DALAM SULALATUS SALATIN.Tun Seri Lanang menganugerahkan generasi moden kini dengan sejumlah kata, baris dan citra, yang kekal dalam bahasa Melayu yang diwarisi dari Sulalatus Salatin. Kata dan frasa yang tepat serta dapat menyampaikan maknanya ini pasti diciptakan berkat daripada bakatnya dan dijelmakan dalam adunan situasi yang memerlukan pemikiran yang tinggi bagi memahami makna yang ingin disampaikan termasuk makna luaran. Oleh itu, keindahan gaya bahasa personifikasi telah menyerlahkan identiti Sulalatus Salatin sebagai sebuah karya Melayu klasik yang mempunyai nilai estetika tersendiri. Dalam karya Sulalatus Salatin, terdapat banyak penggunaan gaya bahasa personifikasi bagi menggambarkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan suasana, pemerintah atau raja-raja Melayu, pembinaan sesuatu kerajaan, perutusan dari satu pihak kepada pihak yang lain dan sebagainya lagi. Perkara-perkara ini telah menggunakan sifat yang ada pada manusia dan dikaitkan pada unsur-unsur alam seperti haiwan, pasir, angin, pokok dan lain-lain. Penggunaan unsur-unsur ini bagi menggambarkan keindahan makna sesuatu perkara supaya dapat difahami oleh pembaca. Antara contoh-contoh penggunaan gaya bahasa personifikasi dalam karya ini adalah seperti berikut.Sekira-kira empat keruh bumi jauhnya berjalan maka bertemulah dengan rayat Raja Syulan lalu berparang, tiada sangka bunyinya lagi, bunyi segala yang bergajah berjuangkan gajahnya dan segala yang berkuda bergigitkan kudanya dan segala yang memegang panah berpetikkan pana(h)nya dan segala (yang) memegang lembing bertikamkan lembingnya dan segala yang (memegang) tombak bertikamkan tombaknya, dan segala yang memegang pedang bertetakan pedangnya. (Muhammad Haji Salleh, 1997: 13)

BIBLIOGRAFI.A. Samad Ahmad (1986). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasadan Pustaka.

Abdul Wahab Ali (2002). Kritikan Estetik Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

D. Kathiresan (1998). Kajian Teks Sastera: Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Longman.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Keris Mas (1988). Perbincangan Gaya Bahasa sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana (2004). Sastera Melayu Klasik: Warisan Keemasan. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Rahman Shaari (1993). Memahami gaya bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

KEINDAHAN RETORIK MELAYU KLASIK DALAM TUHFAT AL - NAFIS KARANGAN RAJA ALI HAJI

KONSEP RETORIKRetorik ialah seni penulisan atau pengucapan yang berkesan iaitu seni yang memberikan tumpuan kepada gaya, strategi, bahan, dan khalayak. Selain itu, retorik juga merupakan seni atau kepandaian komunikasi yang efektif. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), retorik bermaksud teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Justeru, ragam bahasa yang pelbagai diperlukan sebagai cara untuk mempengaruhi pendengar atau pembaca. Menurut Lanham (1991), retorik merupakan seni dalam mendapatkan keyakinan seseorang melalui wacana bahasa. Hal yang sama turut dikemukakan oleh Raminah Sabran (2002), iaitu retorik ialah seni penulisan. Retorik menyentuh hal yang berkaitan dengan cara menyampaikan pendapat, idea dan saranan atau cara menghuraikan sesuatu wahana kepada penulis untuk mempersembahkan pemikirannya, tanggapannya atau perasaannya dengan jelas dengan gaya yang berkesan. Pemahaman penulis tentang retorik dan kecekapan menerapkannya amat penting untuk membolehkannya menghasilkan penulisan yang terdiri daripada wacana yang kukuh. Menurut Asmah (1998), retorik bermakna kajian tentang penggunaan bahasa secara berkesan. Berdasarkan konteks yang sesuai, retorik juga dapat diertikan sebagai keupayaan menggunakan bahasa secara berkesan, atau juga ciri-ciri yang berkesan dalam bahasa. Retorik menyentuh hal yang berkaitan dengan cara menyampaikan pendapat, idea, dan saranan, atau cara menghuraikan sesuatu wahana kepada penulis untuk mempersembahkan pemikirannya, tanggapannya, atau perasaannya dengan jelas dengan gaya yang berkesan. Pemahaman penulis tentang retorik dan kecekapan menerapkannya amat penting untuk membolehkannya menghasilkan penulisan yang terdiri daripada wacana yang kukuh.

Beberapa jenis retorik yang lazim digunakan dalam sesuatu penulisan atau karya ialah retorik pendedahan atau eksposisi, naratif, deskriptif, penghujahan dan pemujukan. Antara jenis tersebut, retorik pendedahan atau eksposisi merupakan retorik paling umum digunakan dalam penulisan, malah dianggap retorik paling asas. Retorik jenis ini digunakan dalam membuat pendedahan sesuatu isu, konsep, pandangan, proses dan sejarah sesuatu dengan menggunakan teknik sama ada deduktif, induktif atau analogi. Secara lebih mendalam, retorik pendedahan merupakan cara penulis menyampaikan idea atau pandangan, menginterpretasi peristiwa, menganalisis masalah sosial dan isu politik, menghuraikan hasil kajian, menerangkan konsep, memberikan definisi, dan sebagainya. Malah dalam mengaplikasi retorik jenis-jenis lain sama ada jenis naratif, deskriptif, penghujahan, atau pemujukan, unsur retorik pendedahan turut digunakan sebagai penerapan. Retorik pemujukan bermatlamat memujuk pembaca berbuat sesuatu, seperti yang diharapkan penulis. Keupayaan penulis untuk menguasai audiens amat penting. Diksi yang tepat dan jalinan ayat yang kemas dan pelbagai memainkan peranan penting kerana kedua-duanya dapat memberikan tenaga kepada penulisan untuk menarik perhatian pembaca. Hal yang sama turut dikemukakan oleh Stott dan Avery (2001) yang menyatakan bahawa sesuatu penulisan yang baik memerlukan gaya yang berkesan. Gaya merupakan perkataan yang digunakan untuk menjelaskan cara penutur atau penulis melahirkan idea atau perkara yang ingin disampaikan kepada pendengar atau pembaca. Dalam kajian tersebut, antara aspek yang diteliti ialah aspek pemilihan kata, struktur ayat dan susunan kata, penggunaan bahasa kiasan seperti metafora dan simile, dan penggunaan unsur-unsur retorik.

BAHASA MELAYU KLASIKTakrifan tentang Bahasa Melayu Klasik perlu dibuat terlebih dahulu sebelum kita memahaminya. Menurut Kamus Dewan (1986), perkataan klasik sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai. Perkataan klasik juga turut diberikan beberapa definisi oleh pengkaji bahasa. Antaranya ialah Asmah Hj.Omar (1993), bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik. Bahasa Melayu klasik pula menurut Ismail Hussein (1966), pembahagian bahasa Melayu Klasik di buat oleh adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu. Pembahagian ini dibuat mengikut zaman politik iaitu zaman Srivijaya, Majapahit, Melaka, dan sebagainya. Contohnya pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya yang beragama Hindu dan Buddha, menggunakan tulisan yang dibawa dari India, sasteranya dipenuhi oleh cerita-cerita sastera India dan bahasa Melayunya dengan pinjaman kata-kata Sanskrit. Permulaan zaman bahasa Melayu klasik adalah pada abad ke -13 apabila pengaruh agama Islam menjadi makin dominan di Nusantara. Perkembangan agama Islam membawa bersama-samanya bahasa Arab. Zaman ini memperlihatkan kemasukan perkataan Arab dan tulisan Jawi yang menggunakan huruf-huruf Arab. Menurut Ismail Hussein (1966), bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-14 dan beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan apabila di seluruh kepulauan Melayu setelah kedatangan agama Islam. Kenyataan ini disokong dengan bukti catatan Marco Polo tentang pengislaman Pasai pada tahun 1292M sewaktu beliau melawat Sumatera Utara. Selain itu, permulaan bahasa Melayu klasik boleh ditandai dengan kemunculan dan keagungan kerajaan Melayu Melaka dan bahasa Melayu klasik menjadi medium dalam pemerintahan, perhubungan, perdagangan, dan penyebaran agama Islam. Perkembangan bahasa Melayu klasik pula bermula dengan kedatangan pengaruh agama Islam dan bahasa Arab yang telah menyebabkan bahasa Melayu melangkah setapak lagi dengan wujudnya sistem tulisan, iaitu tulisan Jawi. Daripada wujudnya sistem tulisan ini maka terhasillah karya-karya yang besar dan agung daripada tokoh-tokoh seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.Bahasa Melayu klasik, mempunyai beberapa ciri-ciri bahasa. Antara ciri tersebut ialah ayat yang panjang, berulang, dan berbelit-belit. Ayat yang digunakan kebanyakannya ialah ayat pasif dan songsang. Selain itu dalam bahasa Melayu klasik terdapat penggunaan kata pangkal ayat yang agak meluas contohnya seperti "syahadan", "maka", "alkisah", "hatta", "arakian", "kata sahibul hikayat", "maka, tatkala" dan "adapun. Kata-kata seperti itu bukan sahaja digunakan untuk memulakan sesuatu perenggan, malah digunakan juga pada awal ayat-ayat dalam perenggan. Bahasa Melayu klasik juga terdapat gabungan beberapa ayat tunggal yang dicantumkan dengan menggunakan kata-kata hubung yang tertentu, terutamanya "dan" dan "atau" ataupun dengan menggunakan tanda koma dan tanda koma bertitik sahaja. Contoh ayat bahasa Melayu Klasik seperti ayat berikut Maka apabila dibawalah akan mereka itu ke penghadapan Tajul Muluk, demi terpandang akan anak si peladang itu, mesralah ke dalam hatinya, diberinya wang yang tiada berhisab banyaknya serta disuruh perbela akan dia baik-baik.Dalam bahasa Melayu klasik juga, terdapat perubahan dari aspek bentuk ayat yang digunakan. Bentuk ayat yang lebih lumrah digunakan, ialah bentuk ayat pasif, iaitu bentuk ayat yang lebih mengutamakan objek pelaku atau subjek. Sebagai contoh, Hatta datanglah kepada suatu hari maka Hamzah dan Umar Umayyah dibawanya oleh Khoja Abdul Mutalib kepada mualim . Selain itu, dalam bahasa Melayu klasik juga banyak menggunakan partikel pundan lah. Contoh perkataan yang digandingkan dengan partikel ialah seperti adapun, bertitahlah, dan berebutlah. Manakala contoh penggunaan partikel dalam ayat pula ialah seperti berikut; Maka Bendahara pun hairanlah kalam raja seperti dikhatankan orang rupanya. Sehubungan itu terdapat pengaruh daripada beberapa bahasa lain dalam bahasa Melayu klasik kerana di kepulauan Melayu ketika itu bahasa Arab dan Sanskrit bertapak kukuh lantaran aktiviti perdagangan dan penyebaran agama Islam. Contoh penggunaan bahasa Arab ialah Allah Taala, makhdum, mualim daulat, wallahualam, takzim. Bagi bahasa Sanskrit pula ialah dosa, pahala, dan raja . Bahasa Melayu Klasik juga menerima fonem Arab seperti kh, dz, dan sy. Contoh perkataan seperti khamis, zakat, syarat. Bahasa Melayu Klasik juga lebih banyak menggunakan kiasan dan perbandingan serta penggunaan laras bahasa puisi, seperti pantun, syair, seloka dan gurindam dalam karya prosa. Buktinya ialah terdapat banyak dalam hikayat-hikayat Melayu lama. Mungkin disebabkan oleh sifat sastera Melayu klasik itu sendiri, yang pada asalnya dalam bentuk lisan dan penggunaan unsur-unsur tersebut dikatakan dapat menghidupkan suasana penceritaan. Ketika itu juga banyak menggunakan laras bahasa istana. Ringkasnya kosa kata daripada bahasa Arab banyak digunakan. Penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dalam beberapa buah karya seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Misa Melayu, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Negeri Johor dan banyak lagi karya yang ditulis dalam tulisan Jawi.TUHFAT AL-NAFISTuhfat al-Nafis pula merupakan sebuah hasil sejarah Melayu yang penting. Karya sejarah ini memperlihatkan betapa besarnya Raja Ali Haji sebagai seorang ahli sejarah dan pencatat peristiwa zamannya. Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, kandungannya memperkatakan hal-hal yang berlaku sebelum zamannya yang merangkumi lapan puluh peratus daripada kandungannya. Sementara bahagian kedua, memperkatakan sejarah semasa yang ditulis berlaku ketika hayatnya. Ini dapat diperjelaskan dengan melihat peristiwa atau episod-episod tertentu yang diperihalkan oleh pengarangdalam teks ini. Antaranya adalah seperti berikut :

a)Perihal Raja Kecil dan Opu Bugis Lima bersaudara.

Pada awal teks ini lagi, kita dapat meneliti bagaimana Raja Ali Haji dalam mengarang teks ini. Tuhfat al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji pada 3 Syaaban 1282H/1865M dikatakan sebagai kelanjutan dari Salasilah Melayu dan Bugis ini dapat dibuktikan dengan caranya mengungkapkan hal-hal yang berkaitan dengan Raja Kecil dan Opu Bugis Lima Bersaudara. Ini dapat di teliti melalui bahagian-bahagian yang diperihalkan oleh raja Ali Haji dalam teks ini, misalnya:

Adalah Encik Pong itu dipakai memang oleh baginda itu, telah bunting memeng, konon. Waktu baginda mangkat, orang-orang tengah bergadukan hal baginda itu. Maka encik Pong dilarikan oleh Panglima Bebas, dibawanya ke Pagar Ruyung, kepada puteri Janilan, lalu encik Pong beranak disitu, iaitu laki-laki.(edisi 1965, hlm. 13)Laki-laki yang dimaksudkan disitu adalah perihal kelahiran Raja Kecil. Dalam masa yang sama beliau memerihalkan latar belakang Upu-upu Bugis Lima Bersaudara. Keadaan ini sebenarnya adalah bertujuan untuk memberi gambaran kepada para pembaca bahawa Upu-upu Bugis merupakan daripada keturunan kaum Bugis. Maka tidak hairanlah, perihal-perihal Upu-upu Bugis terdapat banyak dalam Tuhfat al-Nafis, contohnya:

Adalah puteranya (Tendari Burung Daeng Ralaka) yang lima orang itu baik-baik belaka parasnya, serta dengan sikap pahlawannya. Akan tetapi Upu Daeng Celak yang tersangat baik parasnya, memberi ghairah hati perempuan-perempuan memandangnya(edisi 1965, hlm. 15)b) Peristiwa Perjanjian Antara Bugis dengan Minangkabau untuk menyerang Johor-Riau

Dalam menceritakan peristiwa berkenaan perjanjian antara Bugis dengan Minangkabau untuk menyerang Johor-Riau, Raja Ali Haji juga telah memerihalkan peristiwa tersebut. Raja Ali Haji mengatakan (berdasarkan teks), Raja Kecil telah berjumpa dengan Upu-upu Bugis Lima bersaudara untuk melanggar Johor. Akan tetapi, pihak Bugis telah menolak pelawaan tersebut kerana pada fikiran mereka, itu adalah tipu dan muslihat Raja Kecil sahaja. Justeru itu, Raja Ali Haji mengungkapkan dalam teks ini :

Syahdan di dalam tengah-tengah bersiap akan alat peperangan itu maka Opu-opu Bugis yang berlima beradik itu pun tibalah ke Bengkalis datang daripada mengembara. Maka berjumpalah ia dengan Raja Kecil. Maka Raja Kecil pun mengajaklah ia melanggar negeri JohorMaka tiada ia mahu. Maka didalihkannya hendak ke Langat dahulu, mencari muafakat dengan Bugis yang di Langat itu. Maka tiadalah jadi Bantu membantu itu.(edisi 1965, hlm. 16)C) Bantuan Bugis Kepada Johor-Riau Untuk Mengalahkan Raja Kecil.

Di dalam episod ini, Raja Ali Haji telah menyebut kisah bantuan Bugis kepada Johor-Riau dan perjanjian selepasnya. Perjanjian ini sebenarnya adalah perjanjian yang dibuat atas permintaan Opu Bugis tersebut. Dengan melihat petikan, Raja Ali Haji memberi satu gambaran terhadap Opu-opu Bugis Lima Bersaudara berhubung bagaimana kedatangan mereka ke Johor khasnya dan Tanah Melayu, umumnya. Maka berkatalah ia Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis :

Maka Menjawablah Opu Dahing Parani, seperti saya semua adik-beradik sama saja yang patut kepada hati baginda Sultan Sulaiman saya terimalah, akan tetapi yang saya seorang, tiada saya mahu jadi raja kerana saya ini yang tua sekali, tiada lain hanyalah mencari ketetapan saudara saya yang berempat ini.Maka menjawab pula Opu Dahing Menambu, saya ini tiada sanggup menjadi Yang Dipertua Muda di tanah barat ini. Kerana saya sudah berjanji dengan Sultan Mantan akan memelihara akan negeri Mempawa, tiadalah saya mahu mengecilkan hati mertua saya itu. Maka menjawablah dahing Celak , saya ini selagi ada abang saya ini, iaitu Kelana Jaya Putera, tiada saya mahu menjadi Yag Dipertua Muda. Maka menjawablah Opu Dahing Kemasi , adapun saya ini tada berhajat manjadi Yang dipertua Muda di tanah barat kerana jauh amat dengan Bugis, bersalahanjikalau seperti di Manatan dan Sambas itu mana kemuafakatan abang-abang sayalah . Menjawab pula Kelana Jaya Putera, Adapun saya jikalau bercerai dengan saudara-saudara saya, tiada saya mau menjawab Yang Dipertua Muda di tanah barat ini. Demikianlah kata sekalian Opu-opu Bugis itu.(edisi 1965. hlm. 83)

d) Yam Tuan Muda Johor membunuh Seluruh Keluarganya.

Raja Ali Haji telah menceritakan peristiwa Yam Tuan Muda membunuh seluruh keluarganya. Beliau memerihalkan episod inidalam Tuhfat al-Nafis, seperti berikut:

.Maka Raja Muda pun mengamuk pula, kerana fikirnya daripada isterinya diambil Minangkabau, diperbuatnya gundik, terlebih baik biar hilang sekali. Kemudian Yam Tuan Muda itu mengamuk menyerbukan diri(edisi 1965, hlm. 43)e) Raja Kecil Memperolehi semula Isterinya, Tengku Kamariah.

Manakala dalam episod ini, Raja Ali Haji menceritakan peristiwa bagaimana keingkaran Raja Kecil terhadap perjanjian yang dibuatnya dengan Sultan Sulaiman. Maka berkata Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis selepas peristiwa Raja Kecil mengingkari perjanjian tersebut:

Maka raja Kecil pun sudah berubah akalnya maka apabila Sudah hilang Tengku Kamariah itu, maka Raja Kecil pun selalunya gila sekali, lalu ia tidur di kubur isterinya Maka Raja Kecil pun jatuhlah sakit sangat di dalam gilanya itu, Maka tiada berapa lamanya mangkatlah, innalilahi wa inna ilahi rajiun (edisi 1965, hlm. 92-93)Kemangkatan Raja Kecil setelah jatuh sakit dikatakan sebagai kembali memperolehi isterinya Tengku Kamariah.

f)Peperangan Antara Minagkabau dengan Bugis di Kedah dan kemangkatan DaengParani.

Sementara dalam episod ini, kita dapati Raja Ali Haji telah menyatakan bahawa kemangkatan Daeng Parani bukannya dibedil oleh Raja Kecil. Sebaliknya beliau mengatakan kemangkatan Daeng Parani dengan takdir Allah Taala serta sampai janjinya. Raja Ali Haji dalam episod tersebut mengatakan :

.maka dengan takdir Allah Taala serta dengan sudah sampai janjinya, maka Opu Dahing Parani pun kenalah peluruh meriam tentang dadanya. Maka iapun mangkatlah(edisi 1965, hlm. 92)Justeru itu, merujuk petikan di atas, ia menunjukkan kepada kita bahawa Raja Ali Haji memberi gambaran sedemikian untuk menunjukan kehandalan Opu Bugis Lima Bersaudara yang tidak dapat dikalahkan oleh raja kecil melainkan takdir allah.

RETORIK DALAM TUHFAT AL-NAFISBeberapa jenis retorik yang lazim digunakan dalam sesuatu penulisan atau karya ialah retorik pendedahan atau eksposisi, naratif, deskriptif, penghujahan dan pemujukan. Retorik dalam Tuhfat al-Nafis akan cuba di kupas oleh penulis untuk menunjukkan bahawa keindahan retorik terdapat dalam teks Melayu klasik khususnya dan Tuhfat al-Nafis amnya. Justeru itu penulis akan memberikan beberapa contoh retorik yang ditemui dalam Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji ini. Contoh retorik yang digunakan adalah retorik pendedahan atau eksposisi. retorik pendedahan atau eksposisi merupakan cara penulis menyampaikan idea atau pandangan, menginterpretasi peristiwa, menganalisis masalah sosial dan isu politik, menghuraikan hasil kajian, menerangkan konsep, memberikan definisi, dan sebagainya. Contoh retorik pendedahan dalam Tuhfat al-Nafis adalah :

Syahadan apabila mangkatlah ia menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Mahmud bergelar Sultan Mahmud Syah. Maka masa kerajaan baginda inilah, ia membunuh saudaranya itu, iaitu yang berama Raja Zainal, kerana Raja Zainal itu baik parasnya cantik manis, memberi ghairat segala hati perempuan melihatnya. Dan banyaklah anak-anak orang Melaka berahi akan dia hingga anak isteri orang tiadalah berketentuan mengidah Raja Zainal itu dengan bunga bergubah dan sirih bersulur. Mana-mana yang perkenan diambilnya dan mana-mana yang tiada berkenan diberikannya pada segala juak-juaknya. Maka cabullah negeri Melaka itu dengan hal yang demikian itu.Maka menitahkan Sultan Mahmud itu akan seorang hambanya menikam (saudaranya) Raja Zainal itu malam-malam, pada tempat peraduannya itu. Maka telah mangkatlah Raja Zainal itu digemparkan oleh orangnya dalam negeri itu mengatakan Raja Zainal itu mangkat ditikam pencuri konon adanya. (edisi 1991. hlm. 135)Retorik pendedahan dalam Tuhfat al-Nafis ini mendedahkan akan masalah sosial dan isu politik di negeri Melaka. Kisah Raja Zainal yang menggunakan ketampanannya untuk berpoya-poya dengan perempuan di negeri Melaka. Manakala kisah Raja Mahmud yang sanggup membunuh saudaranya Raja Zainal kerana cemburukan kelebihan yang dimiliki oleh saudaranya itu.

Pengarang Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis juga turut menggunakan retorik penghujahan. Retorik penghujahan ini mampu menyakinkan pembaca terhadap kewajaran sesuatu perkara dan seterusnya bersetuju dengan perkara itu. Terdapat dua ciri utama retorik ini iaitu penulisan itu mesti mengandungi gagasan atau usul dan harus disertakan dengan bukti. Contoh penggunaan retorik penghujahan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis adalah seperti berikut : Kemudian telah putus(lah) musyawarah itu lalulah Yang Dipertuan Muda menyerahkan Pulau Karimun (dan Kundur) itu kepada (saudara( ((sepupunya)) Raja Abdullah, dan Pulau Kundur itu jadi ketetapan selama-lamanya kepada Raja Ali Haji berdua bersaudara dengan Raja Abdullah ((itu pada)) mengamanahkan(nya) pada meramaikannya, dan hasil(hasil)nya dibahagi lima seperti yang tersebut di dalam surat kuasanya itu. Melainkan Pulau Kundur tiada masuk bahagian yang lima itu.(edisi 1991, hlm. 616)Kandungan Tuhfat al-Nafis ini menjelaskan tentang ketetapan bahawa penyerahan Pulau Karimun dan Pulau Kundur kepada Raja Abdullah supaya dapat dimajukan oleh Raja Abdullah. Hasil yang kemajuan yang diperolehi akan dibahagikan kepada lima seperti mana yang telah diputuskan dalam surat perjanjian penyerahan Pulau Karimun kepada Raja Abdullah itu.

Tuhfat al-Nafis juga turut mengandungi retorik lain iaitu retorik pemerian. Retorik pemerian adalah bertujuan untuk memerihalkan sesuatu. Penulisan itu semata-mata cerminan benda atu perkara sebenar yang diperihalkan, iaitu penulisan yang memaparkan sesuatu bagaimana adanya. Retorik pemerian terbahagi kepada dua jenis iaitu bersifat saintifik dan fakta. Penulisan jenis ini berasaskan fakta sebenar yang ada pada sesuatu objek. Jenis yang kedua pula bersifat imaginatif iaitu memberikan gambaran yang abstrak yang memerlukan audiens menggunakan daya imaginatif dan daya fikir untuk menghayatinya. Contoh yang di berikan oleh Raja Ali Haji seperti :

Maka lalu dikeluarinya oleh orang Siak (itu), serta orang Siantan, mana-mana (yang) sebelah dia. Maka lalulah (beramuk-amukan mula-mulanya), berbedil-bedilan dengan meriam (dan) lela. Kemudian berapat berbedi(-bedil)an dengan senapang (dan) pemuras. Kemudian berapat (bercencangkan kelewang dan pedang dan) bertikamkan (lembing, tombak. Kemudian berapat bertikamkan) keris (pendek, ada yang bertikam bercengkeng pinggang sama seorang). Maka sangat ramainya (perang itu), kerana sama(sama) tiada mau undur (anak-anak Selangor dengan anak Siak).(edisi 1991, hlm. 279)Retorik pemerian yang diatas adalah retorik pemerian imaginatif yang memerlukan pembaca menggunakan daya imaginatif dalam menggambarkan suasana peperangan yang berlaku di antara Selangor dan Siak. Suasana peperangan yang menggunakan senjata seperti keris, senapang dan sebagainya.

Retorik lain yang ingin diketengahkan adalah retorik pemujukan. Retorik pemujukan menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Ciri-ciri pemujukan seperti menggunakan bahasa yang manis, menarik dan mementingkan kehalusan berbahasa serta berunsurkan aspek psikologi. Dua jenis pemujukan iaitu pemujukan rasional ( penghujahan, penyampaian fakta, dan data adalah lengkap) dan pemujukan tidak rasional (melibatkan emosi). Contoh retorik pemujukan yang ditemui oleh penulis dalam Tuhfat al-Nafis adalah :

Maka berkatalah Pengeran Dipati itu kepada Gusti Jameril, Adapun cucuku ini aku hendak (ambil) buat menantu. Cucuku pilihlah anaku yang dua orang itu mana-mana suka cucuku. Maka jawab Gusti Jameril, adapun (yang) seperti kehendak nenda belumlah patik boleh menentukan bermohonlah patik mengadap paduka anak anda Pangeran Emas Seri Nagara dahulu. (edisi 1991, hlm. 232)Pemujukan yang di atas adalah pemujukan tidak rasional yang melibatkan emosi iaitu apabila Pengeran Dipati memujuk Gusti Jameril untuk memilih antara dua cucunya bagi dijadikan isteri buat Gusti Jameril. Gusti Jameril meminta izin untuk beliau berjumpa dengan ayahnya sebelum beliau membuat keputusan.

Begitulah retorik yang berjaya ditemui oleh penulis untuk menunjukkan bahawa penulis Tuhfat al-Nafis iaitu Raja Ali Haji telah berjaya memperindahkan karyanya dengan penggunaan retorik Melayu klasik yang akhirnya karya ini diangkat menjadi karya agung Melayu.

PENUTUPBerdasarkan huraian di atas jelaslah bahawa penulisan retorik Melayu klasik mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Pada zaman inilah pelbagai kosa kata telah diambil khususnya dari barat seperti Arab, Portugis, Belanda dan Inggeris untuk diasimilasikan dengan situasi tempatan. Ini secara tidak langsung telah menambah kosa kata termasuk juga hasil-hasil kesusasteraan Melayu seperti Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji. Raja Ali Haji meninggalkan beberapa banyak karya yang terkenal dan menjadi kajian intelektual baik peringkat alam Melayu mahupun peringkat antarabangsa, iaitu Gurindam Dua Belas, ( 1846 M ), Bustanul- Katibin Lissubyanil-Mutaalimi,(1267 H/1850 M ), Kitab Pengetahuan Bahasa (1865 M), Salasilah Melayu dan Bugis (1860 M) Tuhfat al-Nafis (1865 M), Thamarat al-Muhimmat Li Jafahli al umara Wal Kubara Li Ahli al Mahkamah, Syair Nikah, Syair Gemala Mustika, Syair Abdul Muluk, Jauharat Makmunah, Syair Suluh Pegawai dan lain-lain. Faktor yang menganggap Raja Ali Haji sebagai pelopor penulisan sejarah Melayu di kalangan tokoh-tokoh sejarah tradisional yang lain ialah kerana kesedarannya dalam menulis sejarah, serta motif penulisannya adalah untuk kepentingan sejarah. Tegasnya bahasa Melayu Klasik pada masa itu berperanan sebagai bahasa intelektual.Kritikan sastera bermula kira-kira 2400 tahun dahulu iaitu pada zaman Plato (427-347 S.M) namun ketika itu perbalahan antara penulis dengan pengkritik tentang realiti sastera . Golongan idealis menganggap sastera sebagai dunia dalam, dunia subjektif penulis atau pengkritik dan dengan demikian tiada pengukuran objektif untuk menilainya, ia dikenali sabagai teori kritik sastera perasaan.Golongan materialis menganggap sastera sebagai objektif yang bebas dari penciptanya dan dari manusia dan nilaian .dibuat atas dasar ianya struktur, teknik atau bentuk semata-mata. Kritikan ini digelar kritikan sastera Fomalisme. Kassim Ahmad berpendapat kedua-dua teori ini salah kerana hakikat dan konsep sastera yang salah. Sastera mempunyai sumber-sumber di luar sastera iaitu manusia dan masyarakat. Alam ini adalah realiti yang objektif yang memberikan sifat objektif kepada sastera. Sastera yang dicipta meninggalkan sifat subjektif pada sastera. Dengan demikian sastera adalah satu gambaran artistic kepada hubungan antara subjek dan objek, antara manusia individu dan manusia kolektif. Tegasnya sastera yang dinamik berdasarkan teori kritik yang saintifik.Dalam sejarah kesusasteraan Melayu, bidang kritikan dapat dianggap sebagai yang muda berbanding dengan genre sajak, cerpen, drama, dan novel. Kelahiran kritikan adalah kesan tindak balas berikutan daripada kelahiran genre yang lain. Fungsi utama kritikan ialah memberi pandangan, mengkritik, menghayati, memberi reaksi dan seumpamanya, kritikan dalam kesusasteraan Melayu secara formal juga lahirdengan fungsinya yang memperkatakan atau memberi pandangan terhadap karya Melayu. Kritikan yang terawal dapat dikesan kritikan teks Sejarah Melayu atau Sulalatus- Salatin karya Tun Seri Lanang.

KRITIKAN DALAM KESUSASTERAAN

Istilah kritikan berasal daripada perkataan Yunani Krino (menghakimi), Krites (hakim), Kritikos (hakim kesusasteraan)yang dipakai sejak abad keempat sebelum masihi. Secara umumnya kritikan sastera ialah segala perbicaraan tentang hasil karya yang meliputi pelbagai aspek seperti aspek teoretis, pengarang dan kepengarangan dan segala hal yang berhubung dengan fenomena masyartakat dalam sesebuah karya sastera.Fungsi kritikan ialah membuat penilaian untuk melihat kelebihan atau kelemahan sesebuah karya sastera. Pengkritik yang berwibawa akan membuat penilaian atau pertimbangan secara jujur dan tidak emosional. M.K Danziger dan W.S Johnson berpendapat kritikan sastera sebagai suatu seni menilai, sinama ada untuk mengecam atau memuji sesuatu karya sastera. Dewasa ini istilah kritikan telah diperluaskan pengertiannya yang merangkumi analisa, huraian, dan penafsiran tentang kesusasteraan. Pengkritik mengakui bahawa pemikiran latar belakang sejarah juga penting dalam membuat penilaian sesebuah karya sastera.Hashim Awang pula berpendapat bidang kritikan merupakan amalan dan kegiatan yang secara perseorangan. Ia bersifat individu. Dengan mengambil bentuk sifat yang demikian maka kritikan melahirkan keadaan dan tujuan yang berlainan antara seorang pengkritik dengan pengkritik yang lain. Ia tidak melaksanakan kegiatan dan tujuan untuk semua pengkritik. Sifatnya ini juga memberikan satu petunjuk lain tentang kritikan, iaitu ia tidak pernah lahir dalam bentuknya yang benar-benar mutlak, yang amat betul atau tepat sifatnya. Beliau juga berpendapat kritikan ini terbahagi kepada tiga tunjangan iaitu tunjangan penghasilan, tunjangan kedudukan dan tunjangan kewujudan.Apabila wujudnya sesebuah karya maka terdapat mesej yang hendak disampaikan kepada khalayak pembaca disitu letaknya fungsi pengkritik yang menjelaskan kekaburan-kekaburan yang tidak difahami oleh sesetengah pembaca, boleh dikatakan juga pengkritik merupakan golongan penterjemah sesebuah karya. Menurut Arbaie Sujud, dalam sesebuah karya sastera terdapat pemikiran yang cuba disampaikan oleh pengarang. Kadangkala mesej yang cuba disampaikan itu tidak kesampaian. Oleh itu dapat dilihat betapa pentingnya peranan kritikus.Para kritikus perlu memahami terlebih dahulu isi sesebuah karya sastera,kemudian ditafsir dan dihuraikan sehalus mungkin pengertian secara jujur.Para pengkritik juga perlu jujur dalam menghasilkan kritikan ini kerana kritikan sedemikian dapat merangsang pengkarya untuk menilai dan mempelajari serta membaiki kelemahan karyanya, ini akan merangsang dan member motivasi untuk terus berkarya dan berupaya menghasilkan karya yang lebih baik. Dari segi pihak pembaca juga dapat menilai berbagai jenis hasilan karya dan dapat menikmati karya yang bermutu.Pengkritik perlu bersikap tegur-menegur daripada mengecam. Pendekatan kritikan yang banyak melakukan kecaman memberikan kesan yang adakalanya negatif dikalangan para pengkarya dan ianya tidak membantu dalam penghasilan karya yang baik , oleh itu para pengkritik perlu melakukan teguran-teguran yang membina. Teguran membina ini juga menjadi perangsang atau memotivasikan pengkarya.Karya sastera moden di Negara kita ketika diawal kemunculannya merupakan karya kritikan yang dipelopori oleh Abdullah Munsyi, iaitu kritikan kepada masyarakat dalam bentuk kutbah, seterusnya penghasilan karya selepas itu mempunyai bentuk penulisan yang hampir sama. Dengan terhasilnya kritikan teks terhadap karya Tun Seri Lanang iaitu Sejarah Melayu, telah mengubah isi dan bentuk karya yang dihasilkan. Hasilnya terhasilah pelbagai karya hingga kini, ini menunjukkan kehadiran pengkritik telah membantu penglahiran karya sastera yang bermutu.Perbezaan antara latar belakang pendidikan, budaya hidup dan keadaan persekitaran memberikan perbezaan dalam kritikan. Faktor ini menyebabkan berlakunya perbezaan dapat dalam gaya dan bentuk kritikan, contohnya perbezaan latar pendidikan dapat dinilai dalam mutu ilmiahnya dan kefahaman dalam menyampaikan kritikan yang bermutu seperti kritikan seorang ahli akedemik lebih bermutu jika dibandingkan gaya kritikan seorang penggemar sastera.

KESIMPULAN

Kritikan dalam kesusasteraan mengalami perubahan yang agak ketara jika dibandingkan pada awal kemunculannya di zaman Plato hinggalah sekarang. Kritikan terhadap hasil sastera terus berkembang mengikut perkembangan zaman.pelbagai pandangan sarjana baik barat mahupun sarjana tempatan mewarnai maksud kritikan itu sendiri.Kritikan dalam kesuasateraan ialah ia merupakan faktor yang menyumbang penghasilan sesebuah kritikan sastera. Khasnya kepada pengkarya kita bermula dengan kritikan teks buku Sejarah Melayu hingga kini. Para pengkritik berperanan menganalisis menilai dan mengkritik sesebuah karya semestinya memahami konsep kesusasteraan, mengapa sesebuah karya itu dihasilkan seperti tujuan dan motifnya.Sesebuah hasilan yang dihasilkan berhubungan dengan masyarakat. Pengkritik perlu bijaksana, tidak emosional, mempunyai pembacaan yang luas, dan mengetahui setiap perkembangan masyarakat .