Upload
surasmt
View
3.629
Download
5
Embed Size (px)
DESCRIPTION
Cara-cara untuk mengembleng segala sumber organisasi bagi mencapai matlamat organisasi
Citation preview
KEPIMPINAN DAN MENCAPAI MATLAMAT ORGANISASI PENDIDIKAN
Pengenalan
Organisasi bergerak berasaskan matlamat. Manusia, seperti pemimpin dan pengikut
juga mempunyai matlamat mereka sendiri. Pemimpin yang berkesan perlu
memimpin agar matlamat organisasinya, dirinya, dan pengikutnya tercapai.
Organisasi didefinisikan sebagai kelompok yang merangkumi manusia, bahan-
bahan, peralatan dan pelbagai kemudahan yang diselaraskan agar mencapai
sesuatu matlamat yang spesifik yang telah ditetapkan. Kepemimpinan pula
mengikut Yukl (1989) merupakan satu proses di mana seorang individu
mempengaruhi ahli-ahli kumpulan bagi mencapai matlamat tertentu kumpulan atau
organisasi manakala Harold Koontz & Heinz Weihrich (1995) pula menyatakan
kepemimpinan sebagai pengaruh, seni atau proses mempengaruhi orang supaya
mereka akan berjuang dengan rela hati dan penuh semangat ke arah pencapaian
matlamat kumpulan. Dalam hubungan ini, fungsi pemimpin ialah menyatu dan
menyelaraskan semua pendapat, usaha dan tenaga untuk mencapai matlamat
organisasi dan fokus kepemimpinan adalah menggerakkan anggota-anggota
organisasi dengan dorongan yang tidak memaksa. Matlamat pula merupakan suatu
kedudukan atau keadaan pada masa hadapan yang apabila tercapai akan memberi
sumbangan terhadap tercapainya misi sebuah organisasi..
Di negara kita terdapat banyak contoh organisasi yang mencipta kecemerlangan dan
mencapai matlamat yang telah ditetapkan hasil keberkesanan kepemimpinan seperti
Petronas, Bank Public, Tabung Haji dan Syarikat Penerbangan Air Asia. Di bidang
pendidikan, terdapatnya banyak contoh organisasi yang berjaya mencapai matlamat
masing-masing, hasil keberkesanan kepemimpinan pendidikan di Jabatan Pelajaran
1
Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah atau sekolah. Setiap pemimpin organisasi
bertanggungjawab menentukan masa hadapan organisasi. Dalam hal ini, seorang
pemimpin boleh saya umpamakan seperti kapten kapal yang mengetuai satu misi
pelayaran. Kapal sebagai organisasi, kelasi sebagai para pengikut dan penumpang
pula merupakan pelanggan yang mengharapkan perkhidmatan yang berkualiti.
Untuk mempastikan semuanya selamat sampai ke destinasi yang dituju, serta dapat
memenuhi hasrat penumpang, kapten perlu melaksanakan tugas-tugas
kepemimpinan, antaranya seperti menetapkan arah dan laluan yang perlu dilalui
serta merancang tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan semasa pelayaran dan
pelbagai tindakan alternatif yang akan diambil sekiranya menghadapi masalah di
lautan yang bergelora.
Oleh itu kepemimpinan organisasi yang baik perlu mempunyai wawasan yang jelas
mengenai matlamat yang hendak dicapai dan arah tujuan yang perlu diikuti. Dengan
cara itu barulah seorang pemimpin mampu memberikan panduan dan
menggembleng semua sumber dan kepakaran yang ada bagi melaksanakan segala
pelan tindakan yang telah dirancangkan dengan lebih sistematik dan berkesan.
Sehubungan itu, sebagai pemimpin seseorang itu perlu menentukan matlamat
organisasi serta mempunyai perancangan strategik yang sesuai untuk mencapai
matlamat organisasi. Di samping itu, pemimpin itu mesti memiliki kemahiran dan
kualiti kepemimpinan yang bertepatan supaya dapat mempengaruhi anggota-
anggotanya bekerja ke arah matlamat organisasi.
Matlamat organisasi pendidikan iseperti sekolah merangkumi pencapaian
kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan seperti pengurusan dan
pentadbiran, kurikulum, kokurikulum, sahsiah, sukan dan permainan. Sumber
2
manusia yang merupakan faktor paling penting dalam keberkesanan kepimpinan
pendidikan ialah semua pegawai, pentadbir, guru-guru dan staf sokongan yang ada
di dalam organisasi itu. Sebagai pemimpin organisasi, tercapai atau tidaknya
matlamat organisasi bergantung kepada keupayaan pemimpin mendorong,
merangsang, membangun dan menggemblengkan sepenuhnya tenaga kerja,
kepakaran dan peralatan yang ada di organisasi bagi mencapai matlamat yang telah
ditetapkan.
Usaha-usaha Untuk Merealisasikan Matlamat Organisasi
Pelbagai usaha boleh dilakukan sebagai pemimpin bagi merealisasikan matlamat
sesebuah organisasi. Antara usaha-usaha yang boleh dirancang dan dilaksana
untuk tujuan itu adalah seperti berikut:
i. Budaya Kerja Cemerlang
Budaya kerja dalam sesebuah organisasi biasanya dikaitkan dengan sistem nilai,
norma, sikap dan etika kerja yang dipegang bersama oleh setiap ahlinya. Empat
elemen ini menjadi asas untuk mengawal perlakuan anggota-anggota, cara mereka
berfikir, berhubung antara satu sama lain dan berinteraksi dengan persekitarannya.
Budaya kerja yang difahami dan dikongsi bersama boleh menjadi pendorong kepada
anggota-anggota organisasi untuk menghapuskan sifat-sifat negatif seperti malas
bekerja, tiada disiplin, membazir, cuai dan tidak amanah. Secara tidak langsung
anggota-anggota organisasi yang enggan memajukan diri, bermuka-muka, lembab
dan tidak berkesan akan secara terpaksa mengubah cara bekerja mereka untuk
disesuaikan dengan budaya kerja yang lebih dominan ini. Didapati bahawa pegawai
atau staf yang kurang produktif terpaksa mengubah sikap dan gaya kerja apabila
diletakkan di organisasi yang mempunyai budaya kerja cemerlang. Usaha
penerapan budaya kerja cemerlang dalam kalangan anggota yang merangkumi nilai
3
dan etika dalam perkhidmatan awam amat diperlukan oleh sesebuah organisasi. Ini
adalah bertepatan dengan Gerakan Budaya Kerja Cemerlang yang bertemakan
“Kualiti Teras Kejayaan” yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia
ketika itu pada 27 November 1989. Tujuan utama budaya kerja itu adalah untuk
memupuk satu budaya kerja yang berorientasi kualiti dalam mewujudkan
perkhidmatan awam yang cemerlang. Berdasarkan program tersebut, usaha-usaha
bagi menerapkan budaya kerja cemerlang dalam kalangan anggota-anggota seperti
yang disenaraikan dan dicadangkan dalam Pekeliling-Pekeliling Kemajuan
Perkhidmatan Awam (PKPA) mesti dilaksanakan. Antara program-program yang
akan diberikan keutamaan seperti dalam PKPA termasuklah Pengurusan Kualiti
Menyeluruh (TQM), Strategi-Strategi Peningkatan Kualiti Dalam Perkhidmatan
Awam, Peningkatan Produktiviti Dalam Perkhidmatan Awam dan Pelaksanaan MS
ISO 9000.
Seseorang pemimpin pendidikan mesti memastikan Etika Kerja Kementerian
Pelajaran Malaysia yang merangkumi Objektif Etika Kerja, Prinsip Etka Kerja, Nilai
Utama Dalam Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia dan juga Tonggak Dua
Belas sentiasa diamalkan oleh semua anggota. Di samping itu, kepentingan budaya
kerja cemerlang ini mesti dikaitkan dengan matlamat organisasi Untuk memastikan
pengamalan budaya kerja cemerlang secara berterusan, maka satu jawatankuasa
khas perlu ditubuhkan bagi memantau dan memberi pelaporan sejauh mana budaya
kerja cemerlang itu dilaksanakan oleh ahli-ahli organisasi. Dengan cara ini, usaha-
usaha penambahbaikan akan dapat dilakukan bagi memantapkan budaya kerja
cemerlang dalam sesebuah organisasi..
4
Kewujudan budaya itu akan dapat mendorong dan merangsang anggota-anggota
organisasi untuk bekerja dengan lebih cekap dan berkesan. Ini adalah kerana
budaya kerja seperti yang disarankan dalam PKPA dan Etika Kerja Perkhidmatan
Awam memberikan panduan dan bimbingan kepada semua anggota berkaitan
tatacara melaksanakan kerja yang terbaik. Jika semua ini diamalkan, maka semua
anggota akan dapat menyumbang kepada kejayaan mencapai matlamat. Oleh itu,
seseorang pemimpin mesti memastikan proses pembinaan budaya sentiasa
dilakukan sehingga budaya kerja cemerlang ini menjadi sebati dalam jiwa dan
amalan dalam kalangan semua anggota organisasi pendidikan.
ii. Komunikasi Berkesan
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, didapati 75% masalah di tempat kerja
adalah disebabkan oleh faktor komunikasi (Chris Cole, 1993). Menurut Henry
Mintzberg komunikasi ialah suatu proses yang dilakukan melaluinya seseorang
manusia mencuba berkongsi pengertian menerusi mesej-mesej simbolik. Fungsi
komunikasi ini ialah memberitahu hasrat dan isyarat kefahaman di pihak lain agar
hasrat dan harapan dapat ditunaikan. Oleh itu usaha seterusnya yang perlu
dilakukan ialah melaksanakan komunikasi berkesan. Komunikasi ini perlu dilakukan
dengan berkesan supaya hasrat dan matlamat organisasi dapat dijelaskan, difahami,
dihayati dan seterusnya dilaksana oleh anggota-anggota.
Dengan adanya komunikasi , peluang menjelaskan strategi-strategi yang mesti
diambil dan dilaksanakan oleh anggota-anggota bagi pencapaian matlamat
organisasi dapat dilakukan. Ini boleh dilakukan menerusi mesyuarat, taklimat, dialog,
bengkel, seminar, kursus dan perjumpaan berkala. Perjumpaan-perjumpaan seperti
ini terutama yang berbentuk dua hala akan membolehkan maklumbalas status
5
pencapaian matlamat diterima dan dipantau dari masa ke semasa dan seterusnya
memungkinkan langkah-langkah tindakan susulan diambil bagi memastikan
matlamat organisasi boleh dicapai. Ini termasuklah juga tindakan-tindakan susulan
atau penambahbaikan untuk mengatasi masalah yang melibatkan prosedur kerja,
latihan, kebajikan anggota-anggota, arahan kerja, konflik dalaman dan pengiktirafan.
Sebagai pemimpin, perkara-perkara ini mesti diatasi dengan segera kerana
semangat anggota-anggota untuk bekerja kemungkinan besar terjejas. Jika perkara-
perkara itu berjaya dilakukan, maka kepuasan dan komitmen anggota-anggota
terhadap pemimpin mereka akan dapat dipertingkatkan.
Selain melalui lisan, komunikasi berkesan boleh juga dilakukan melalui penggunaan
peralatan seperti media cetak atau media elektronik. Ini termasuklah penggunaan
peralatan ICT seperti komputer, kemudahan internet dan emel serta pembinaan
laman web untuk mengumpul, menganalisa serta menyalurkan segala maklumat
berkaitan organisasi. Dengan menggemblengkan segala tenaga kerja, kepakaran
dan peralatan yang ada maka matlamat organisasi termasuklah visi, misi dan
strategi-strategi mencapai matlamat akan dapat disampaikan dan disebarkan
kepada semua warga organisasi. Pembentukan pasukan webmaster dari kalangan
anggota yang memiliki kepakaran dalam pembinaan laman web atau portal akan
dapat membantu menyalur dan menyebar segala maklumat dengan cepat untuk
makluman dan tindakan warga organisasi. Akses kepada kepada laman web
organisasi boleh dilakukan pada bila-bila masa dan maklum balas kepada setiap
pelaksanaan program dan aktiviti untuk mencapai matlamat akan dapat dibuat
dengan pantas. Kaedah lain yang boleh digunakan ialah melalui media cetak dan ini
termasuklah peralatan yang digunakan seperti mesin cetak, mesin faks dan mesin
6
pendua. Maklumat daripada laman web boleh juga dicetak dan disebar atau dipamer
untuk makluman anggota-anggota.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa komunikasi berkesan dapat membantu organisasi
merealisasikan matlamatnya. Oleh itu segala saluran komunikasi perlu digunakan
dengan sebaik mungkin untuk tujuan itu. Keberkesanan komunikasi ini dapat
ditingkatkan lagi dengan penggunaan peralatan atau teknologi termasuk ICT secara
optimum.
iii. Kepimpinan Melalui Teladan
Usaha selanjutnya yang boleh dilakukan ialah mengamalkan Kepimpinan Melalui
Teladan. Menurut Robert J.House dan Terence R.Mitchell darjah kepuasan dan
motivasi subordinat bergantung kepada sejauh mana kelakuan pemimpin
mempengaruhi kebolehan subordinat mencapai matlamat. Oleh itu, sebagai
pemimpin tingkah laku perlu dijaga pada setiap masa dan ketika kerana perkara ini
sentiasa diperhatikan oleh semua anggota dan kegagalan melakukan ini akan
memberi padah yang buruk sebagai pemimpin. Kepentingan kepimpinan melalui
teladan telah disedari oleh pemimpin-pemimpin negara kita. Oleh itu, tidak hairanlah
jika Kempen Kepimpinan Melalui Teladan telah dilancarkan pada tahun 1983 oleh
YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada ketika
itu. Tujuan kempen itu ialah untuk menanam dan memupuk ciri-ciri kepimpinan
berkesan yang boleh dicontohi, dihayati dan diamalkan oleh segenap lapisan
anggota perkhidmatan awam.
7
Pemimpin yang tidak memberikan teladan yang baik serta tidak mematuhi undang-
undang, prosedur dan peraturan yang ditetapkan akan kehilangan integriti dan
kewibawaan. Dalam struktur organisasi, kewibawaan menjadi asas yang penting
untuk mewujudkan suasana yang dapat meningkatkan prestasi seseorang pekerja.
Pemimpin yang mempunyai sifat yang unggul akan dihormati dan disegani oleh ahli -
ahli organisasi dan segala arahan serta keputusan yang dikeluarkan akan mudah
dipatuhi oleh orang bawahannya tanpa bantahan atau keraguan. Tambahan pula
memberi contoh yang baik adalah sangat dituntut oleh Islam. Dalam konteks ini,
Prinsip Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia mesti dihayati dan prinsip-
prinsip itu ialah niat yang betul, perlakuan yang baik, penggerak ke arah kebaikan,
memperkotakan apa yang dikatakan, berdisiplin dan beradab serta menghargai dan
bertanggungjawab terhadap hasil usaha organisasi.
Disamping itu Nilai-Nilai Utama Dalam Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia
perlu juga diamalkan iaitu amanah, benar, bijaksana, bersyukur, dedikasi, ikhlas dan
penyayang. Sebagai contoh atau role model janganlah menjadi pemimpin cakap
tidak serupa bikin atau seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Ini akan
menyebabkan segala usaha dan tindakan yang dijalankan tidak dapat dipatuhi oleh
anggota-anggota dan segala teguran dan saranan akan menjadi seperti menuang air
ke daun keladi. Yang paling membimbangkan ialah kewibawaan pemimpin akan
terhakis dan krisis kepimpinan mungkin berlaku dan keadaan seperti ini akan
menjejaskan segala proses kerja organisasi.
Oleh itu, sebagai pemimpin etika kerja yang tinggi dan penghayatan Kepimpinan
Melalui Teladan dalam setiap tindak tanduk mesti diamalkan supaya dapat
8
mendorong dan merangsang anggota-anggota untuk melakukan perkara yang
sama. Sekiranya ini dipandang ringan, lambat laun integriti pemimpin akan terjejas
dan akhirnya matlamat organisasi gagal dicapai.
iv. Gaya Kepemimpinan Organisasi
Satu lagi usaha yang boleh dilakukan ialah pengamalan gaya kepemimpinan yang
berkesan. Untuk itu pemimpin pendidikan mesti memahami dan menguasai gaya
atau stail kepemimpinan yang berkesan. Contoh-contoh gaya kepemimpinan yang
ada ialah seperti kepemimpinan transformasi, kepemimpinan situasi, kepemimpinan
transaksional, kepemimpinan instruksional dan kepemimpinan karismatik. Menjadi
cabaran kepada seseorang pemimpin untuk menggunakan gaya kepimpinan terbaik
bagi menemukan titik keperluan untuk mendorong, merangsang dan membangun
keupayaan dan kepakaran anggota-anggota organisasi.
Dengan gaya kepemimpinan yang sesuai, elemen-elemen yang difikirkan dapat
mengisi keperluan anggota bagi mencapai matlamat organisasi dapat dipenuhi.
Sebagai pegawai pendidikan sudah tentulah kepimpinan pengajaran menjadi salah
satu bentuk kepemimpinan yang mesti dikuasai. Ini adalah bertepatan dengan
penegasan yang telah dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Semenjak
beberapa tahun lalu, ramai pegawai pelajaran dan pentadbir sekolah telah
didedahkan dengan kepemimpinan pengajaran. Apakah itu kepemimpinan
pengajaran? Kepemimpinan pengajaran ialah satu bentuk kepemimpinan sekolah
yang mengambil peduli (cakna) terhadap pengajaran guru dan pembelajaran pelajar
serta perkembangannya dan sentiasa membina suasana dan iklim pembelajaran
yang kondusif di sekolahnya bagi memacu kecemerlangan sekolah. Kepemimpinan
9
pengajaran merupakan satu bentuk kepemimpinan yang menekankan kepada
keberkesanan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Elemen-elemen kepemimpinan instruksional adalah seperti berikut :
Perancangan Strategik dalam Pengurusan Kurikulum Cemerlang
Strategi Meningkatan Pencapaian Murid
Headcount dan Post-mortem
Pengurusan Kurikulum Cemerlang
Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan
Pencerapan, Penyeliaan dan Program Memperkasakan Guru
Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan
Oleh itu sebagai pemimpin pendidikan, penguasaan kepemimpinan pengajaran
adalah sangat penting kerana dengan itu proses memberi bimbingan dan
pemantauan akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Dalam proses
pemantauan, dorongan dan rangsangan akan dapat dilakukan oleh pemimpin. Di
samping itu, maklumat keperluan latihan dan pembangunan sumber manusia akan
dikumpulkan. Berdasarkan kepada penerangan-penerangan di atas, tidak syak lagi
bahawa penguasaan pelbagai gaya kepemimpinan termasuklah kepemimpinan
pengajaran ini mesti dilaksanakan bagi mencapai matlamat sesebuah organisasi
pendidikan.
v. Pengurusan Strategik Organisasi
Usaha seterusnya yang boleh dilakukan sebagai pemimpin untuk merealisasikan
matlamat organisasi ialah melaksanakan pengurusan strategik. Haines dan McCoy
(1995) menyatakan bahawa pengurusan strategik merupakan satu cara
melaksanakan urusan seharian berdasarkan perancangan strategik dan muhasabah
10
setiap hari sepanjang perjalanan organisasi, menjadikannya sebagai landasan dan
tumpuan kepada setiap aktiviti organisasi manakala perancangan strategik pula
ialah suatu proses formal bagi menentukan bidang tugas yang merangkumi visi,
misi, objektif, faktor-faktor kejayaan yang penting dan strategi-strategi bagi sesebuah
organisasi. Dengan melaksanakan pengurusan strategik, seseorang pemimpin akan
dapat melakukan perkara yang betul, untuk sasaran yang betul, pada tempat yang
betul, dan pada masa yang betul serta dalam peruntukan yang betul. Di samping itu,
peluang akan dapat diberikan kepada semua warga pendidik dalam proses
merancang strategi bagi mencapai matlamat organisasi. Ini akan mendorong dan
merangsang anggota organisasi meningkatkan semangat kerja berpasukan dan
penghayatan hala tuju yang sama.
PELAN TAKTIKAL & TINDAKAN
KAWALAN&
PENILAIAN
KAWALAN&
PENILAIAN
VISI
MISI
MATLAMAT STRATEGIK
STRATEGI
ANALISISSWOT
ISU STRATEGIKISU
STRATEGIK
TOWS MATRIKS
INDIKATORPRESTASI
TOWS MATRIKS
INDIKATORPRESTASI
PELAKSANAAN
PRA PERANCANGAN
(MANDAT)
PRA PERANCANGAN
(MANDAT)
11
Rajah 1: Langkah-Langkah Dalam Membina Perancangan Strategik
Berdasarkan kepada penerangan di atas, maka pengurusan strategik sangat
mustahak untuk dilaksanakan oleh sesebuah organisasi. Pelaksanaan pengurusan
strategik itu melibatkan pengemblengan semua tenaga, kepakaran dan peralatan
yang ada di pejabat ini untuk mengejar matlamat yang telah ditetapkan. Strategi
yang diambil adalah berdasarkan analisis kekuatan (strengths), kelemahan
(weaknesses), ancaman (threats), peluang (opportunities). Akronimnya ialah analisis
KLAP atau SWOT . Langkah-langkah yang diambil dalam membina perancangan
strategik organisasi adalah seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.
Untuk membina dan melaksanakan perancangan strategik organisasi, maka amatlah
penting sesi pendedahan dan pembengkelan diadakan untuk semua anggota
organisasi. Dengan cara ini kefahaman membina perancangan strategik dan
kepentingannya akan dapat diterapkan dalam kalangan anggota. Di samping itu,
kesedaran bahawa kerjasama secara bersepadu merupakan faktor kritikal dalam
kejayaan organisasi mencapai matlamat dan ini mesti disemat dalam pemikiran
setiap anggota organisasi. Bagi memastikan tercapainya perancangan strategik itu,
jawatankuasa pelaksana di peringkat daerah perlu ditubuhkan dengan mengambil
kira aspek-aspek seperti kurikulum, ko-kurikulum, sahsiah, hal ehwal murid, sukan,
pembangunan dan bekalan. Keanggotaan dalam jawatankuasa tersebut mesti
melibatkan ahli-ahli yang memilki kepakaran dalam pelbagai aspek seperti yang
telah dinyatakan. Adalah amat penting sebagai pemimpin organisasi, penjelasan
tentang peranan dan tugas setiap ahli diberikan. Di samping itu, visi, misi dan
matlamat organisasi yang digubal perlu juga dihebahkan dan diperjelaskan kepada
anggota-anggota di daerah supaya mereka mengetahui, memahami, menghayati
dan jelas tentang matlamat yang ingin dicapai oleh organisasi. Semua ini dapat
dilakukan melalui komunikasi berkesan seperti yang telah diterangkan terlebih
12
dahulu. Untuk mencapai matlamat organisasi, strategi-strategi yang terbaik dipilih
melalui analisis SWOT. Setiap strategi yang dilaksanakan mesti mempunyai pelan
tindakan dan pelan kontigensi. Pelan tindakan ini sama ada berbentuk taktikal atau
operasional menyatakan tindakan atau aktiviti yang mesti dijalankan oleh setiap
peringkat organisasi bagi mencapai matlamat. Aspek lain yang penting dalam
pelaksanaan strategi adalah pemantauan iaitu melihat secara berkala pelaksanaan
pelan strategik. Antara kepentingan pemantauan ialah untuk memastikan usaha
yang dijalankan adalah selari dengan apa yang dirancang dan juga membolehkan
tindakan pembetulan dilakukan. Penilaian dan pelaporan pelaksanaan perancangan
strategik oleh semua pihak termasuk jawatankuasa pelaksana sangat penting untuk
memastikan usaha-usaha yang dijalankan menuju ke arah matlamat yang
disasarkan.
Kesimpulannya ialah dengan melaksanakan pengurusan strategik ini, pegawai-
pegawai atau warga pendidik dapat didorong, dirangsang dan dibangunkan potensi
mereka untuk memikir, menyusun, merancang dan melaksanakan secara sistematik
perancangan strategik bagi setiap aspek pendidikan dan seterusnya memastikan
matlamat organisasi tercapai.
v. Pengiktirafan
Pengiktirafan adalah salah satu aspek yang sangat penting dalam sesebuah
organisasi. Oleh itu, sebagai pemimpin usaha ke arah ini mesti dilaksanakan.
Pengiktirafan boleh mengambil pelbagai bentuk seperti pujian lisan, surat
penghargaan, pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, pemberian insentif,
pergerakan gaji, kenaikan pangkat dan anugerah pingat serta boleh diberikan
kepadaa individu atau kumpulan. Pengiktirafan ini boleh diberikan atas sebab-sebab
13
seperti inovasi dan kreativiti yang dihasilkan, pencapaian cemerlang dalam pelbagai
bidang pendidikan dan juga kejayaan dalam mencapai matlamat organisasi .
Kepentingan pengiktirafan ini tidak dapat dinafikan kerana boleh menjadi pendorong
dan perangsang kepada ahli-ahli organisasi untuk bekerja bersungguh-sungguh dan
seterusnya membantu pencapaian matlamat organisasi. Usaha-usaha seperti ini
adalah bersesuaian dengan Model Tingkat Kehendak Maslow yang merangkumi
fisiologi, jaminan, gangguan, penghormatan dan peringkat tertinggi. Berdasarkan
Maslow, anggota-anggota akan cuba memenuhi kehendak terbawah dahulu dan
naik setingkat demi setingkat bagi merealisasikan kecemerlangan organisasi
mereka. Penyediaan tempat bekerja yang kondusif seperti penyediaan ruang,
cahaya, hawa dingin dan lain-lain lagi akan memenuhi keperluan fisiologi individu.
Galakan penyertaan dalam merancang matlamat organisasi akan memberikan
kepuasan sosial kepada anggota-anggota untuk memberikan sumbangan yang
berkesan kepada organisasi. Pujian, pemberian tugas atau tanggungjawab yang
besar dan mencabar serta sokongan untuk kenaikan pangkat oleh pentadbir akan
memotivasikan pegawai-pegawai dalam mencapai keperluan harga diri. Penyediaan
peluang melalui program latihan dan pembangunan kerjaya oleh pemimpin pula
akan menggalakkan mereka berusaha untuk mencapai kesempurnaan diri yang
akhirnya boleh disumbangkan kepada usaha untuk mencapai matlamat organisasi.
Insentif-insentif yang diberikan akan menggerakkan mereka bekerja dengan lebih
gigih kerana wujudnya dorongan secara ekstrinsik ataupun intrinsik. Dorongan
secara ekstrinsik akan menjadi perangsang kepada ahli-ahli organisasi untuk
mendapat ganjaran dalam bentuk kewangan, faedah, pangkat, pujian dan status
simbol dalam organisasi. Dorongan secara intrinsik pula akan memberikan
kepuasan dalam diri untuk mendapat harga diri yang tinggi serta mencapai
14
kesempurnaan diri yang diinginkan. Kesemua faktor-faktor dorongan diri seperti
keperluan, kepuasan, harapan dan sasaran yang digabungjalinkan dengan
kebolehan untuk melaksanakan tugas ini akan membuahkan hasil yang diharapkan
dalam organisasi Kejayaan untuk memenuhi matlamat yang ditetapkan oleh
organisasi akan mencerminkan kecekapan dan keberkesanan pemimpin dalam
mengurus sumber manusia yang ada. Mungkin individu yang sering dikritik akan
berasa lebih teruja untuk berusaha dengan gigih apabila diberikan pujian sebaliknya
individu yang sering mencipta kejayaan sudah lali dengan pujian sebaliknya
memerlukan dorongan berbentuk harga diri yang tinggi ataupun kesempurnaan diri
daripada pemimpin.
Sebagai kesimpulan boleh dikatakan dorongan, perangsang dan peluang
membangunkan kerjaya dalam bentuk pengiktirafan dapat menggerakkan anggota-
anggota untuk bekerja dengan lebih gigih lagi untuk mencapai matlamat organisasi.
Pengiktirafan berbentuk kumpulan pula akan dapat menggemblengkan semua
tenaga dan kepakaran yang ada di pejabat ini untuk menghasilkan pencapaian kerja
yang lebih cemerlang. Seseorang pemimpin mesti memastikan anggota-anggota
yang telah menghasilkan kerja yang cemerlang dan menepati matlamat organisasi
diberikan pengiktirafan yang sewajarnya dan pengiktirafan kepada mereka tidak
boleh ditangguh begitu lama kerana ini boleh menjejaskan motivasi anggota-anggota
dan juga matlamat organisasi. Paling penting kejayaan anggota-anggota mesti
diraikan secara beramai-ramai dengan kehadiran barisan kepemimpinan organisasi.
15
vi. Pembangunan Sumber Manusia
Pekerja merupakan aset yang paling berharga kepada sesebuah organisasi. Ini
adalah kerana pekerja merupakan tenaga penggerak dan penentu kejayaan bagi
sesuatu organisasi. Keupayaan sesebuah organisasi mencapai matlamatnya sangat
bergantung kepada kecekapan dan keberkesanan anggota-anggotanya
melaksanakan tugas. Oleh itu , sebagai pemimpin adalah amat penting untuk
memastikan anggota-anggota menjadi cekap dan berkesan melalui pelaksanaan
pembangunan sumber manusia. Pembangunan sumber manusia perlu dilaksanakan
kerana dapat :
meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anggota-anggota dalam bidang kerja
masing-masing
membentuk sikap dan mind-set anggota pejabat ke arah penerapan dan
pengamalan nilai dan etika kerja yang sesuai dengan organisasi
meningkatkan komitmen anggota-anggota terhadap visi, misi dan matlamat
organisasi
memberikan tumpuan terus kepada memberikan latihan dan kemajuan kerjaya
anggota-anggota
Pembangunan sumber manusia merangkumi tiga komponen penting iaitu
pendidikan, latihan dan pembangunan diri seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2
di bawah. Melalui program ini pengetahuan, kemahiran dan kepakaran anggota-
anggota organisasi boleh ditingkatkan dari masa ke semasa dan mengikut keperluan
16
Pembangunan Sumber Manusia
PendidikanPembelajaran bagi menyediakan seseorang individu meghadapi kerja yang berbeza tetapi yang telah dikenal pasti
LatihanProses meningkatkan kompetensi individu yang berkait rapat dengan tugasnya semasa
PembangunanUsaha menyediakan individu supaya dapat bertugas dengan berkesan dan cekap untuk jangka masa yang panjang
Rajah 2 : Komponen Utama Dalam Pembangunan Sumber Manusia
organisasi. Sebagai contoh, dalam era teknologi maklumat dan komunikasi yang
berkembang pesat pada hari ini, peralatan komputer menjadi enabler bagi
mempercepat dan meningkatkan proses kerja organisasi. Di samping itu, teknologi
bukan sahaja merujuk kepada mesin-mesin atau peralatan elektronik seperti
komputer, mesin taip elektrik atau mesin faksimili tetapi juga merangkumi
pengetahuan dan kaedah-kaedah bekerja yang saintifik. Semua ini tidak akan
terlaksana sekiranya tiada latihan disediakan oleh pemimpin organisasi. Selain itu,
pengisian program pembangunan sumber manusia mestilah merangkumi aspek-
aspek penting seperti budaya kerja cemerlang, pengurusan strategik, kerja
berpasukan, etika kerja, integriti, lawatan sambil belajar termasuk juga program
penandarasan. Penandaarasan adalah merupakan satu proses melaksanakan
amalan-amalan terbaik daripada organisasi yang sama atau daripada organisasi lain
untuk mencapai prestasi unggul. Ini akan dapat membantu organisasi untuk
meningkatkan profesionalisme anggota..
17
Seseorang pemimpin mesti mengalakkan anggota-anggota untuk memajukan diri
supaya dapat memperbaiki prestasi kerja dan meningkatkan kerjaya mereka ke
tahap lebih tinggi. Di samping itu, sedapat mungkin anggota-anggota perlu
ditempatkan mengikut kesesuaian berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan
kemahiran yang ada pada mereka. Selain itu, langkah-langkah memperkayakan
kerja, pusingan kerja dan perluasan tanggungjawab akan dilaksanakan bagi
mencabar dan mencungkil potensi yang mereka miliki.
Sebagai kesimpulan, matlamat sesebuah organisasi tidak akan tercapai sekiranya
anggota-anggotanya kurang cekap, kurang berkesan atau tidak kompeten dalam
melaksanakan tugas. Oleh itu Program Pembangunan Sumber Manusia mesti
dijalankan dari masa ke semasa atau mengikut keperluan untuk memastikan
matlamat organisasi boleh dicapai dan dalam tempoh yang telah ditetapkan dengan
adanya anggota-anggota yang cemerlang. .
vii. Kerja Berpasukan
Usaha terakhir yang boleh dilakukan sebagai pemimpin ialah memastikan semangat
dan amalan kerja berpasukan sentiasa diutamakan pada setiap masa dan ketika.
Setiap organisasi biasanya mempunyai beberapa unit yang saling berinteraksi dan
bekerja secara bersepadu untuk mencapai matlamat organisasi. Benarlah kata
orang-orang tua dahulu bahawa Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh dan
Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat. Kerja
berpasukan bermakna semua anggota organisasi bersatu padu dan bekerjasama
ke arah mencapai matlamat yang sama dengan menggunakan strategi-strategi
18
yang telah dipersetujui secara bersama. Tali pengikat kesatuan anggota-anggota
organisasi ini ialah pemimpin yang berkesan.
Rumusan
Matlamat adalah sangat penting kepada sesebuah organisasi. Tanpa keberkesanan
kepemimpinan matlamat organisasi gagal dicapai kerana tenaga kerja, kepakaran
dan segala peralatan yang ada di organisasi tidak dapat dimanfaat oleh pemimpim.
Kalau dapat dimanfaatpun mungkin hala tuju atau matlamat organisasi kurang jelas
kepada anggota-anggota. Ini mungkin diburukkan lagi apabila pemimpin tidak
berupaya memberi dorongan, rangsangan dan membangun potensi anggota-
anggota dalam organisasi. Tambahan pula tiada inisiatif oleh pemimpin untuk
menggemblengkan tenaga kerja, kepakaran dan peralatan bagi menjayakan segala
program dan aktiviti yang telah dirancangkan untuk organisasi. Pemimpin yang tidak
berupaya ini umpamakan sebagai seorang general yang cedera parah dalam
peperangan. Maka sebagai pemimpin, usaha-usaha seperti yang telah
dihuraikan di atas perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan secara
berterusan. Dengan izin tuhan, segala usaha-usaha yang diambil itu akan
membantu merealisasikan matlamat organisasi.
19
Rujukan :
Dr. Hjh. Asmah bt. Ahmad (2003). Pembangunan Sumber Manusia Serta Latihan &
Pembangunan Staf: Satu Tinjauan Persamaannya. Jurnal Pengurusan dan
Kepimpinan Pendidikan, Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia
Jilid 13 Bil. 02 Disember 2003, 89-95
Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 6 Tahun 1991. Panduan Mengenai
Peningkatan Produktiviti Dalam Perkhidmatan Awam. Jabatan Perdana Menteri
Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 7 Tahun 1991. Panduan Mengenai
Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK). Jabatan Perdana Menteri
Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 1 Tahun 1999. Garis Panduan
Pelaksanaan Penandaarasan Dalam Perkhidmatan Awam. Jabatan Perdana Menteri
Ahmad Sarji Abdul Hamid (1994). Perkhidmatan Awam Malaysia ke Arah Wawasan2020. Kuala Lumpur : Kerajaan Malaysia.
Conrad, C. (2004). Strategic Organizational Communication In A Global Economy.5th . Edition. Florida : Holt, Rinehart & Winston, Inc.
Noran Fauziah Yaakub (1987). Pengantar Sosiologi. Petaling Jaya : Fajar Bakti.
20