20
PENGENALAN Apakah yang anda fikirkan apabila kita berbicara tentang makroekonomi? Apakah yang dimaksudkan dengan makroekonomi? Makroekonomi adalah analisis struktur dan perkembangan ekonomi negara serta dasar kerajaan dalam mempengaruhi keadaan ekonomi. Ahli ekonomi teruja untuk mengetahui faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kerana jika ekonomi berkembang, ia akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan, barang dan perkhidmatan. Seterusnya, ia juga dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat. T T o o p p i i k k 1 1 Pengenalan Makroekonomi Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. Membincangkan maksud makroekonomi dan lima isu utama dalam makroekonomi; 2. Menghuraikan dua dasar utama makroekonomi di samping dasar lain yang berkaitan; 3. Membincangkan empat objektif makroekonomi; 4. Menjelaskan dua fasa ekonomi dalam kitaran perniagaan; 5. Membezakan antara teori Klasikal, Keynesian, Monetaris dan jangkaan rasional serta hubungannya dengan makroekonomi; dan 6. Meneliti maksud permintaan dan penawaran agregat dalam ekonomi. HASIL PEMBELAJARAN Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Pengenalan Makroekonomi

  • Upload
    dangthu

  • View
    384

  • Download
    4

Embed Size (px)

Citation preview

Page 1: Pengenalan Makroekonomi

PENGENALAN

Apakah yang anda fikirkan apabila kita berbicara tentang makroekonomi? Apakah yang dimaksudkan dengan makroekonomi? Makroekonomi adalah analisis struktur dan perkembangan ekonomi negara serta dasar kerajaan dalam mempengaruhi keadaan ekonomi. Ahli ekonomi teruja untuk mengetahui faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kerana jika ekonomi berkembang, ia akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan, barang dan perkhidmatan. Seterusnya, ia juga dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat.

TTooppiikk

11 Pengenalan

Makroekonomi

Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. Membincangkan maksud makroekonomi dan lima isu utama dalam makroekonomi;

2. Menghuraikan dua dasar utama makroekonomi di samping dasar lain yang berkaitan;

3. Membincangkan empat objektif makroekonomi;

4. Menjelaskan dua fasa ekonomi dalam kitaran perniagaan;

5. Membezakan antara teori Klasikal, Keynesian, Monetaris dan jangkaan rasional serta hubungannya dengan makroekonomi; dan

6. Meneliti maksud permintaan dan penawaran agregat dalam ekonomi.

HASIL PEMBELAJARAN

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 2: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

2

Tahukah anda bahawa pergerakan makroekonomi dapat dinilai dengan cara mengujinya dengan teori yang tertentu? Pengujian ini dapat memaparkan bagaimana ekonomi berfungsi secara keseluruhan di mana teori ini digunakan untuk meramal kesan dasar atau peristiwa tertentu. Bagaimanakah pula dengan konsep lain? Mari kita pelajari tentangnya dengan meneruskan pembelajaran kita dalam subjek yang menarik ini.

MAKROEKONOMI

Berikut adalah satu lagi definisi makroekonomi daripada ahli ekonomi:

1.1.1 Isu dalam Analisis Makroekonomi

Tahukah anda terdapat lima isu yang berkaitan dengan analisis makroekonomi? Isu analisis makroekonomi adalah seperti berikut: (a) Apakah Penentu Pertumbuhan Ekonomi dan Taraf Kehidupan Negara?

Sejak seabad yang lalu, negara membangun telah mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi di mana hasilnya adalah peningkatan taraf hidup masyarakat. Makroekonomi menentukan sebab di sebalik pertumbuhan ekonomi yang rancak dalam negara membangun dan memahami sebab mengapa pertumbuhan tersebut adalah berbeza antara satu negara dengan negara yang lain. Rajah 1.1 berikut menunjukkan keluaran sebenar Malaysia (diukur dengan keluaran dalam negara kasar) daripada tahun 1980 hingga 2010.

Makroekonomi merupakan bidang ekonomi yang mengkaji hubungan antara pemboleh ubah agregat seperti pendapatan, kuasa beli, harga dan wang. Ini bermakna, makroekonomi menilai fungsi ekonomi sebagai sistem yang melihat bagaimana permintaan dan penawaran barang berlaku, selain bagaimana perkhidmatan dan sumber ditentukan serta faktor yang mempengaruhinya.

1.1

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 3: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 3

Rajah 1.1: Keluaran sebenar Malaysia

Berdasarkan Rajah 1.1 ini, kita boleh lihat bahawa terdapat peningkatan dalam keluaran negara sepanjang tempoh tersebut. Namun, terdapat penurunan ekonomi dari tahun: (i) 1985 hingga 1986 akibat krisis harga komoditi;

(ii) 1997 hingga 1998 akibat krisis kewangan Asia; dan

(iii) 2008 hingga 2009 akibat krisis ekonomi global. (b) (b) Produktiviti

Purata produktiviti buruh atau keluaran bagi setiap buruh adalah penting untuk menentukan taraf hidup. Makroekonomi akan menyiasat faktor yang menentukan kadar pertumbuhan produktiviti buruh. Mari kita lihat Rajah 1.2 berikut. Apakah yang anda boleh katakan tentang graf ini?

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 4: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

4

Rajah 1.2: Produktiviti per buruh di Malaysia

Rajah 1.2 menunjukkan purata produktiviti per buruh di Malaysia dari tahun 1982 hingga 2008. Secara ringkasnya, produktiviti per buruh adalah meningkat, kecuali bagi tahun 1985 hingga 1986, 1997 hingga 1998 dan 2008 hingga 2009 kerana berlakunya kemelesetan ekonomi.

(c) Apakah Penyebab kepada Penurunan dan Pertumbuhan Ekonomi?

Sebarang ekonomi pasti akan melalui penurunan dan pertumbuhan. Maka, makroekonomi akan melihat kepada sebab berlakunya perubahan ekonomi dan dasar kerajaan yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah ekonomi tersebut. Rajah 1.3 berikut menunjukkan kadar pertumbuhan ekonomi di Malaysia antara tahun 1980 hingga 2010.

Bolehkah produktiviti buruh menurun walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah keluaran? Jelaskan.

AKTIVITI 1.1

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 5: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 5

Rajah 1.3: Kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia

Rajah 1.3 tadi menunjukkan kedua-dua pertumbuhan dan penurunan ekonomi. Sebagai contoh, penurunan ekonomi di Malaysia jelas berlaku pada tahun 1985 hingga 1986 kerana krisis harga komoditi dari tahun 1997 hingga 1998 kerana krisis kewangan Asia dan pada tahun 2009 kerana krisis ekonomi global. Ketiga-tiga situasi ini memperlahankan ekonomi Malaysia dan telah menyebabkan kadar pertumbuhan menjadi negatif bagi tempoh tahun 1985, 1998 dan 2009.

(d) Apakah Faktor Pengangguran? Apakah maksud kadar pengangguran? Kadar pengangguran bermaksud terdapat tenaga buruh yang ingin bekerja tetapi tiada pekerjaan. Kadar pengangguran akan meningkat apabila berlaku penurunan dalam ekonomi, namun pengangguran juga boleh berlaku dalam keadaan ekonomi yang baik. Makroekonomi akan menjelaskan sebab pengangguran, jenis pengangguran dan cara untuk mengatasi pengangguran tersebut. Mari kita lihat Rajah 1.4 berikut yang menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 6: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

6

Rajah 1.4: Kadar pengangguran di Malaysia

Berdasarkan Rajah 1.4 tadi, kita boleh katakan bahawa kadar pengangguran adalah paling tinggi dalam tempoh tahun 1985 hingga 1986 kerana penurunan ekonomi (kejatuhan harga komoditi). Selepas tahun 1986, kadar tersebut jatuh tetapi meningkat semula pada tahun 1998 hingga 1999 kerana krisis kewangan Asia. Kemudian, kadar pengangguran jatuh semula pada tahun 2000. Selepas itu, kadar tersebut kekal menjadi dalam lingkungan antara 3.3% hingga 3.6%.

(e) Apakah Faktor Peningkatan Harga Umum atau Inflasi?

Apakah maksud inflasi? Inflasi adalah peningkatan dalam tingkat harga umum dan biasanya ia melalui perubahan indeks harga pengguna. Soalan yang timbul dalam makroekonomi adalah:

(i) Apakah faktor inflasi?

(ii) Mengapa kadar inflasi berbeza dari semasa ke semasa?

(iii) Mengapa kadar inflasi berbeza bagi setiap negara? Rajah 1.5 berikut menunjukkan kadar inflasi di Malaysia dari tahun 1980

hingga 2010. Apakah yang boleh anda simpulkan tentang graf ini?

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 7: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 7

Rajah 1.5: Kadar inflasi di Malaysia

Seperti yang dapat dilihat, kadar inflasi adalah tinggi dalam tahun 1981 kerana krisis harga minyak kedua. Walau bagaimanapun, pada tahun 1974, kadar inflasi tertinggi dicatatkan disebabkan peningkatan harga minyak. Selepas tahun 1981, kadar inflasi di Malaysia semakin rendah dan kurang daripada 5%, terutama dalam tahun 1986 dan 1988. Walau bagaimanapun, dalam tahun 1998 dan 2008, kadar inflasi meningkat.

Di Malaysia, harga adalah lebih tinggi pada tahun 2003 berbanding pada tahun 1980. Adakah ini bermaksud kualiti kehidupan rakyat Malaysia adalah lebih baik pada tahun 1980? Anda bersetuju? Berikan sebab anda.

AKTIVITI 1.2

1. Definisikan inflasi.

2. Bezakan kadar inflasi di Malaysia sebelum dan selepas krisis kewangan Asia yang berlaku dari tahun 1997 hingga 1998.

LATIHAN 1.1

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 8: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

8

POLISI MAKROEKONOMI

Kajian makroekonomi adalah berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi negara. Walaupun banyak faktor seperti sumber semula jadi, sumber manusia, stok modal, teknologi dan pilihan manusia yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, namun dasar kerajaan juga memainkan peranan dalam perkara ini. Oleh itu, pentingnya anda memahami kesan pelbagai dasar ekonomi kerajaan terhadap ekonomi dan keperluan untuk membentuk dasar yang lebih baik kerana ia adalah matlamat penting dalam makroekonomi. Dasar makroekonomi memberi kesan kepada keseluruhan prestasi ekonomi. Terdapat dua dasar makroekonomi iaitu dasar kewangan dan dasar fiskal. Walau bagaimanpun, terdapat juga dasar lain yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk mempengaruhi prestasi ekonomi negara. Antaranya adalah dasar pendapatan dan dasar penawaran sampingan. (a) Dasar Kewangan atau Dasar Monetari

Apakah tujuan dasar?

Ahli ekonomi percaya bahawa perubahan penawaran wang akan mempengaruhi pemboleh ubah ekonomi yang penting seperti keluaran negara, tenaga buruh, kadar bunga, inflasi, harga saham dan tukaran wang asing. Dasar kewangan dikawal oleh bank pusat, di mana ia merupakan agensi kerajaan (di Malaysia, ia diuruskan oleh Bank Negara). Rajah 1.6 berikut menunjukkan penawaran wang (M2) di Malaysia dari tahun 1960 hingga 2000 di mana terdapat pertumbuhan yang stabil terutamanya dalam tahun 1990an.

Tujuan dasar kewangan adalah untuk mempengaruhi penawaran wang dalam ekonomi.

1.2

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 9: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 9

Raja 1.6: Penawaran wang M2 di Malaysia

(b) Dasar Fiskal

Tahukah anda bahawa alat yang digunakan dalam dasar fiskal adalah cukai dan perbelanjaan kerajaan? Oleh itu, imbangan yang baik antara perbelanjaan dan hasil kerajaan adalah penting. Apabila kerajaan berbelanja lebih daripada hasil cukai yang dipungut, ia akan menyebabkan kurangan (defisit) bajet. Sebaliknya, jika hasil kerajaan melebihi perbelanjaan, maka kerajaan akan ada lebihan bajet.

(c) Dasar Pendapatan Dasar ini digunakan oleh kerajaan untuk mengawal harga dan upah. Kerajaan akan menetapkan jumlah maksimum bagi harga dan upah yang boleh ditingkatkan secara spesifik. Namun, kadang kala terdapat tawar-menawar antara kerajaan dengan persatuan firma atau buruh dalam menentukan harga dan upah tersebut.

(d) Dasar Penawaran Sampingan

Dasar ini memfokuskan kepada penawaran agregat dan bagaimana pengeluaran dapat ditingkatkan. Instrumen atau alat utama dalam dasar penawaran sampingan adalah sistem cukai. Dengan pengurangan dalam cukai individu, pekerja akan lebih bersemangat untuk bekerja dan seterusnya, ini akan meningkatkan penawaran buruh.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 10: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

10

OBJEKTIF MAKROEKONOMI

Adakah anda tahu objektif makroekonomi? Berikut adalah empat objektif utama makroekonomi: (a) Mencapai Guna Tenaga Penuh

Ini tidak bermaksud tiada penganggur sama sekali atau kadar pengangguran sifar dalam negara. Secara dasarnya, ahli ekonomi bersetuju bahawa masih ada pengangguran walaupun ekonomi telah mencapai tahap guna tenaga penuh. Ini bermakna, mereka yang mampu dan ingin bekerja boleh mendapat pekerjaan. Kita akan lihat perkara ini dengan lebih lanjut dalam Topik 7 nanti tentang konsep dan isu pengangguran.

(b) Kestabilan Harga Umumnya, kestabilan harga bermaksud tiada perubahan dalam tingkat harga umum. Ini juga bermaksud, terdapat harga sebahagian barang dan perkhidmatan yang akan meningkat di samping terdapat sebahagian harga lain yang akan turun dalam masa yang sama. Apabila sebahagian besar harga kekal stabil, maka tiada inflasi dan deflasi yang akan berlaku dengan pantas.

(c) Pertumbuhan Ekonomi yang Baik

Mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik adalah salah satu matlamat makroekonomi. Ini bermaksud, terdapat pertumbuhan dalam pendapatan per kapita benar dari tahun ke tahun.

(d) Kerancakan Aktiviti Perdagangan Antarabangsa Semua negara yang menyertai perdagangan antarabangsa ingin mendapat manfaat daripada pengkhususan dan perdagangan. Kajian empirikal menunjukkan bahawa negara yang secara aktif menyertai perdagangan antarabangsa mendapat manfaat dari segi pengeluaran dan tahap penggunaan yang lebih tinggi.

1.3

Apakah perbezaan antara dasar kewangan atau monetari dengan dasar fiskal?

SEMAK KENDIRI 1.1

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 11: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 11

KITARAN PERNIAGAAN

Sekarang, mari kita beralih kepada kitaran perniagaan. Apakah yang dimaksudkan dengan kitaran perniagaan?

Pertumbuhan dan kejatuhan ekonomi secara amnya melibatkan seluruh negara dan dunia. Ia memberi kesan kepada hampir keseluruhan aktiviti ekonomi dan melibatkan lebih daripada kuasa beli dan pengeluaran. Tahukah anda terdapat perbezaan beberapa fasa dalam aktiviti ekonomi? Mari kita lihat fasa tersebut dalam subtopik seterusnya.

1.4.1 Fasa dalam Aktiviti Ekonomi

Aktiviti ekonomi boleh dibahagikan kepada dua fasa utama iaitu fasa pengembangan (pertumbuhan) dan fasa penguncupan (kejatuhan). (a) Fasa Pengembangan

Ini adalah fasa di mana aktiviti ekonomi adalah dalam keadaan meningkat seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan dalam pengeluaran domestik.

Kitaran perniagaan merujuk kepada tahap turun naik aktiviti ekonomi berulang yang dialami oleh sesebuah ekonomi dalam satu tempoh masa yang panjang.

1.4

Mari kita rujuk laman web Bank Negara: www.bnm.gov.my dan Jabatan Statistik Negara: www.statistics.gov.my. Bolehkah anda cari kadar inflasi dan pengangguran di Malaysia pada tahun 2004? Apa yang boleh anda simpulkan tentang dua keadaan tersebut?

AKTIVITI 1.3

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 12: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

12

(b) Fasa Penguncupan Terdapat dua jenis penguncupan iaitu: (i) Kemelesetan

Jika ekonomi merudum sangat teruk, maka ia dinamakan sebagai kemelesetan. Walaupun tiada definisi yang tetap, kemelesetan adalah penurunan yang tiba-tiba dalam pengeluaran negara, diikuti dengan peningkatan dalam kadar pengangguran, di mana ia berakhir dalam tempoh lebih setahun.

(ii) Resesi Resesi adalah kejatuhan ekonomi sederhana, di mana ia melibatkan kejatuhan dalam jumlah pengeluaran dan kuasa beli, selalunya berakhir dalam masa enam bulan.

Rajah 1.7 berikut menunjukkan ringkasan bagi beberapa fasa dalam aktiviti ekonomi.

Rajah 1.7: Fasa aktiviti ekonomi

Sekarang, mari kita lihat Rajah 1.8 pula di mana ia menunjukkan contoh kitaran perniagaan.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 13: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 13

Rajah 1.8: Kitaran perniagaan

Rajah 1.8 tadi menunjukkan kitaran perniagaan dengan aktiviti ekonomi dan pergerakan di sepanjang garis pertumbuhan jangka panjang. Resesi wujud apabila pertumbuhan ekonomi sebelumnya mencapai kemuncak dan jatuh ke jurang, dikenali sebagai lompang. Kemudian, ekonomi akan mula meningkat semula selepas pengalaman resesi dan ia seterusnya tumbuh sehingga mencapai kemuncak yang baru. Oleh itu, titik daripada satu puncak ke satu puncak dikenali sebagai kitaran. Begitu juga titik daripada lompang ke lompang, seterusnya juga dikenali dengan kitaran lengkap. Mari kita lihat kitaran perniagan yang lain. Rajah 1.9 berikut menunjukkan kitaran perniagaan dari tahun 1960 hingga 2000 di mana ia menggambarkan kadar pertumbuhan keluaran sebenar.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 14: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

14

Rajah 1.9: Kitaran perniagaan di Malaysia

Mari kita rujuk kembali Rajah 1.9 tadi di mana kita boleh melihat bahawa Malaysia menghadapi resesi sepanjang tempoh antara tahun 1974 hingga 1975, 1985 hingga 1986, 1997 hingga 1998 di mana ekonomi pada masa tersebut berada dalam tahap lompang.

Pada pendapat anda, adakah ekonomi Malaysia sekarang berada di tahap pertumbuhan? Apa yang anda faham tentang resesi, lompang dan pemulihan?

AKTIVITI 1.4

Apakah maksud kitaran perniagaan? Bagaimana perubahan dalam kadar pengangguran berkait dengan kitaran perniagaan? Bolehkah kadar pengangguran menjadi sifar? Jelaskan.

LATIHAN 1.2

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 15: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 15

PERANAN MAKROEKONOMI

Tahukah anda terdapat lima peranan makroekonomi? Makroekonomi menggunakan kepakarannya untuk melaksanakan lima perkara berikut:

(a) Unjuran makroekonomi;

(b) Analisis makroekonomi;

(c) Penyelidikan makroekonomi;

(d) Membentuk dan menilai teori ekonomi; dan

(e) Mengumpul data.

SEJARAH PEMBENTUKAN MAKROEKONOMI

Adakah anda tahu sejarah pembentukan makroekonomi? Terdapat empat pandangan yang membentuk sejarah makroekonomi. Ia adalah Klasikal, Keynesian, Monetaris dan Jangkaan Rasional.

Sekarang, mari kita pelajari setiap satu pandangan ini dengan lebih lanjut dalam bahagian seterusnya.

(a) Pandangan Klasikal Pandangan Klasikal adalah berdasarkan tanggapan bahawa individu dan

firma atau syarikat perniagaan bertindak mengikut minat dan keinginan mereka sendiri. Upah dan harga akan berubah dengan pantas untuk mencapai keseimbangan pasaran. Pandangan Klasikal melihat ekonomi sebagai telah dikawal oleh „tangan-tangan tidak nampak‰, di mana ekonomi pasaran bebas akan menyelesaikan semua masalah secara tersendiri dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi adalah sangat terhad.

1.6

1.5

Senaraikan lima aktiviti utama makroekonomi. Apakah peraturan analisis bagi setiap aktiviti ini?

LATIHAN 1.3

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 16: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

16

(b) Pandangan Keynesian Teori Keynesian menyatakan bahawa upah dan harga tidak berubah

dengan pantas dan tidak tertakluk kepada pandangan „tangan-tangan tidak nampak‰ untuk menyelesaikan semua masalah secara efektif. Berdasarkan perspektif ini (kerana upah dan harga berubah secara perlahan-lahan), pengangguran akan kekal pada kadar yang tinggi dalam tempoh masa yang panjang. Keynesian percaya bahawa campur tangan kerajaan pasti akan membantu memulihkan pertumbuhan ekonomi negara.

(c) Pandangan Monetaris Profesor Milton Friedman adalah ketua kepada pandangan ini di mana

beliau membangkitkan isu stagflasi yang berlaku pada 1970an. Apakah maksud stagflasi?

Berdasarkan pandangan ini, kebanyakan ketidakseimbangan dalam ekonomi

sepatutnya boleh dielakkan jika penawaran wang tidak dikembangkan dengan pesat. Penyokong Monetaris berhujah bahawa penawaran wang patut tumbuh pada kadar yang sama dengan pertumbuhan purata keluaran benar (Y).

(d) Jangkaan Rasional Pandangan ini mula terbentuk pada tahun 1970an dan mendapat banyak

perhatian selepas kemunculan masalah stagflasi. Berdasarkan pandangan ini, ia mengandaikan manusia mempunyai maklumat lengkap mengenai situasi ekonomi dan mereka bertindak secara rasional. Sebagai contoh, berdasarkan maklumat dan pengalaman lepas, ahli ekonomi tahu bagaimana inflasi ditentukan dan mereka menggunakan model ini untuk mengunjurkan kadar inflasi pada masa hadapan.

Stagflasi adalah situasi di mana tingkat harga umum meningkat dengan pesat dalam tempoh resesi atau pengangguran yang tinggi.

Bandingkan pandangan Klasikal dan Keynesian dalam perubahan upah dan harga. Apakah implikasi perbezaan antara dua pandangan ini?

LATIHAN 1.4

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 17: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 17

PERMINTAAN DAN PENAWARAN AGREGAT

Dalam subtopik ketujuh ini, kita akan mempelajari tentang empat konsep yang berkaitan dengan permintaan dan penawaran agregat. Mari kita lihat keempat-empat konsep ini secara satu per satu. (a) Keluaran Agregat dan Tingkat Harga

Apakah yang dimaksudkan dengan keluaran agregat?

Bagaimana pula dengan permintaan agregat?

Tingkat harga dalam ekonomi adalah purata harga berwajaran bagi semua barang dan perkhidmatan seperti makanan, rumah, pakaian, hiburan, pengangkutan, kesihatan dan semua barang.

(b) Keluk Permintaan Agregat

Tahukah anda apakah yang digambarkan oleh keluk permintaan agregat?

Mari kita lihat Rajah 1.10 berikut yang menunjukkan keluk permintaan agregat (AD).

Keluk permintaan agregat adalah graf yang menunjukkan hubungan antara tingkat harga ekonomi dengan jumlah keluaran agregat dalam tempoh tertentu. Ia mengandaikan semua faktor lain adalah tidak berubah.

Permintaan agregat adalah jumlah barang dan perkhidmatan yang diminta dalam ekonomi pada tingkat harga tertentu pada tempoh masa tertentu.

Keluaran agregat adalah jumlah pengeluaran ekonomi, di mana jumlah keseluruhan pengeluaran barang dan perkhidmatan dalam tempoh tertentu.

1.7

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 18: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

18

Rajah 1.10: Keluk permintaan agregat

Rajah 1.10 tadi menunjukkan keluk permintaan agregat, di mana paksi menegak (paksi-y) menunjukkan tingkat harga purata dan paksi mendatar (paksi-x) menunjukkan keluaran agregat atau keluaran dalam negara kasar (KDNK) (KDNK akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Topik 2 nanti). Cerun negatif keluk permintaan agregat merujuk kepada hubungan songsang antara keluaran agregat dengan tingkat harga. Ini bermakna, jika tingkat harga menurun, pengguna akan meminta lebih barang dan perkhidmatan, seterusnya ini akan meningkatkan perbelanjaan.

(c) Keluk Penawaran Agregat Keluk penawaran agregat menunjukkan kuantiti keluaran yang sanggup dikeluarkan oleh firma pada tingkat harga tertentu. Selalunya, terdapat hubungan positif antara penawaran agregat dengan tingkat harga.

(d) Keseimbangan Persilangan antara permintaan dan penawaran agregat akan menentukan keseimbangan antara tingkat harga dengan keluaran ekonomi, seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.11 berikut.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 19: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI 19

Rajah 1.11: Keseimbangan

Berdasarkan keluk Rajah 1.11 tadi, keseimbangan adalah di „E‰ di mana ia merupakan titik keluk AD dan AS bertemu. Tingkat harga keseimbangan adalah di P*, manakala keluaran agregat keseimbangan adalah di Q*.

Makroekonomi adalah bidang yang berkaitan dengan hubungan antara pemboleh ubah agregat yang menganalisis ekonomi sebagai satu sistem.

Makroekonomi tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi negara di mana ia diukur berdasarkan pendapatan negara.

Lima isu utama makroekonomi adalah keluaran benar, produktiviti, pertumbuhan ekonomi, pengangguran dan inflasi.

Dua dasar penting makroekonomi adalah dasar kewangan dan fiskal. Dasar ini akan digunakan untuk mencapai objektif makroekonomi seperti guna tenaga penuh, kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang memuaskan. Walau bagaimanapun, terdapat juga dasar lain yang boleh digunakan iaitu dasar pendapatan dan dasar penawaran sampingan.

Perubahan ekonomi adalah berkait dengan turun naik keluaran. Ia boleh dilihat dalam kitaran perniagaan.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Page 20: Pengenalan Makroekonomi

TOPIK 1 PENGENALAN MAKROEKONOMI

20

Terdapat empat objektif makroekonomi. Antaranya adalah kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang baik.

Selalunya, kitaran perniagaan mempunyai dua fasa iaitu fasa pengembangan dan fasa penguncupan. Ini boleh dilihat dengan terperinci daripada tingkat yang berbeza; puncak, kemelesetan, lompang, pemulihan dan pengembangan.

Sejarah pembentukan makroekonomi boleh dikaji dari perspektif Klasikal, Keynesian, Monetaris dan Jangkaan Rasional.

Keluk permintaan agregat yang bercerun negatif menunjukkan hubungan songsang antara tingkat harga dengan keluaran agregat yang diminta. Sebaliknya, keluk penawaran agregat menunjukkan hubungan positif antara tingkat harga dengan kuantiti keluaran agregat yang ditawarkan. Persilangan antara kedua keluk ini akan menentukan keseimbangan antara tingkat harga dengan keluaran agregat dalam ekonomi secara keseluruhan.

Dasar fiskal

Dasar kewangan

Dasar penawaran sampingan

Dasar pendapatan

Fasa

Inflasi

Keluaran benar

Kemelesetan

Keseimbangan

Kitaran perniagaan

Objektif

Penawaran agregat

Pengangguran

Permintaan agregat

Pertumbuhan ekonomi

Produktiviti

Resesi

Stagflasi

Copyright © Open University Malaysia (OUM)