Upload
-
View
713
Download
4
Embed Size (px)
DESCRIPTION
kejayaan usahawan
Citation preview
Rahsia Kejayaan Tan Sri Lim Goh Tong
Perniagaan menuntut sepenuh perhatian, tenaga, masa dan pengorbanan yang seluruh kerana
perniagaan merupakan bidang yang sangat serius. Jika kita berani mengambil risiko, perniagaan kita
akan terus maju. Jika tidak, angan-angan hangat tahi ayam ini akan berhenti dipertengahan jalan dan
maruah diri sendiri yang terpaksa digadai. Perniagaan boleh diibaratkan sebagai maruah seseorang
kerana tiada seorang pun yang mahu hidupnya gagal dan diperlekehkan pihak lain. Orang yang bijak
dalam perniagaan mampu merasai kehidupan yang sebenar dengan memiliki semua keinginan dan
impian. Seperti memiliki banglo seperti istana, memandu kereta mewah, mempunyai kewangan yang
stabil, bercuti di serata pelusuk dunia dengan pelbagai kemudahan lain. Menjurus kepada topik asal,
perniagaan dengan Orang Cina adalah sangat sebati dan sukar untuk dipisahkan. Boleh dikatakan
bahawa rahsia kejayaan Orang Cina adalah melalui perniagaan. Disebabkan hal itu, ramai golongan
jutawan Malaysia terdiri daripada golongan Orang Cina. Golongan ini mampu hidup mewah hasil
daripada peluang perniagaan yang diceburi mereka. Lebih jelas lagi jika kita katakan bahawa sebarang
jenis perniagaan di Malaysia dimonopoli oleh golongan ini. Sejak awal penubuhan Tanah Melayu,
golongan ini yang datang berhijrah dari China telah memegang tampuk pentadbiran dalam urus niaga
terutamanya perusahaan lombong.
Senarai terbaru kedudukan jutawan Malaysia menurut Malaysian Business 2011, kedudukan tempat
pertama ialah Raja Gula Malaysia, iaitu Tan Sri Robert Kouk. Beliau merupakan seorang Cina yang
memegang aset bernilai RM 50.04 billion. Perniagaan gula yang diusahakannya telah meletakkan
statusnya pada tahap tertinggi hari ini. Tempat kedua disusuli oleh seorang taikun komunikasi, T Anand
Krishnan dengan aset bernilai RM 45.78 billion. Tangga ketiga juga dikuasai oleh Orang Cina iaitu
Pengerusi Public Bank, Tan Sri The Hong Piow dengan aset bernilai RM 12.77 billion. Tangga keempat
sehingga tangga keenam turut dimonopoli golongan Cina dan tangga ketujuh adalah Orang Melayu iaitu
Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary daripada Yayasan AlBukhary dengan aset bernilai RM 8.84 billion.
Golongan ini mempunyai cara yang tersendiri untuk terus maju dan meluaskan lagi empayar perniagaan
mereka.
Contoh yang paling rapat dengan kita adalah pembukaan pusat pelancongan terbesar iaitu Genting
Highlands Resort. Kedatangan beliau sebagai seorang yang sangat miskin menyebabkan beliau
berusaha lebih keras untuk membaiki taraf hidup. Pengasas Genting Group merangkap hartawan Asia,
Tan Sri Lim Goh Tong pernah mendedahkan beberapa tips yang diamalkannya sendiri sehingga berjaya
menjadikan Genting Highlands Resort sebagai pusat hiburan dan percutian terkemuka dunia. Sebagai
rakyat Malaysia, kita patut berbangga dan menjadikannya sebagai inspirasi untuk terus maju dalam
perniagaan. Mendiang Tan Sri merupakan pengasas Genting Group dan presiden seumur hidup. Beliau
meninggal dunia pada tahun 2007 sebagai orang terkaya Asia Tenggara dengan aset bernilai RM 421.8
billion!
Merendah Diri, Bersopan Santun dan Menghormati Orang Lain
Perasaan rendah diri dan tidak bongkak dengan kemewahan yang dimiliki akan menjadikan diri
seseorang lebih berwaspada dengan usaha yang dilakukan. Serta tidak pernah lalai dengan wang yang
banyak. Jadi, wang yang dikumpul sentiasa menjanjikan pulangan modal yang dapat digunakan pada
masa depan dan wang itu juga boleh mula disimpan. Amalan merendah diri akan membuatkan ramai
orang yang suka berdamping dan suka berkawan dengan kita. Walaupun kita sudah menjadi antara
usahawan yang terkenal, nilai untuk menghormati orang lain jangan dilupa. Kerana nilai ini
menggambarkan sikap secara keseluruhannya. Selain itu, Tan Sri juga mengamalkan sikap dengan
menepati masa yang telah dibuat. Beliau juga akan hadir 10 minit lebih awal dari masa yang telah
dijanjikan. Beliau sendiri tidak pernah memungkiri janji yang telah dibuat. Kerana perkara seperti ini akan
menjejaskan hubungan yang telah dibina. Seboleh-bolehnya, jauhi kelakuan ini untuk menjamin
hubungan yang baik. Tan Sri juga mengamalkan amalan bangun tidur awal dan kembali ke bilik tidur
lambat. Jika mahu berjaya dalam perniagaan, mari kita cuba tips beliau.
Berkerja Keras & Sedaya Upaya
Orang Cina sentiasa positif dalam dunia perniagaan. Kerana, dunia perniagaan menjanjikan peluang
untuk menikmati kehidupan yang sangat manis. Untuk menjadi senang kita tidak mempunyai pilihan
selain bekerja kuat atas usaha diri sendiri. Mengikut perkiraan Orang Cina, apabila mereka hidup dalam
kemewahan, secara sendirinya kebahagiaan itu akan hadir. Pemikiran Orang Cina dengan bangsa lain
adalah sangat berbeza. Orang Melayu contohnya hanya berharap untuk berkhidmat dalam kerajaan
selepas menamatkan pengajian di universiti. Hal ini membuatkan mereka tidak berfikir di luar kotak untuk
mencuba sesuatu yang baru atau cuba untuk membaiki taraf hidup yang lebih selesa. Pemikiran lama ini
sering sahaja menghantui hidup bangsa Melayu dan membuatkan golongan ini gagal untuk berada pada
kedudukan yang selesa setaraf juwatan Malaysia. Rata-rata usahawan Cina yang berjaya bekerja 18 jam
sehari. Mereka hanya ada masa yang terhad untuk merehatkan diri. Sebab itulah mereka menghargai
masa sebaiknya. Jika kaum lain, cukuplah apabila keluar bekerja pukul 8 pagi dan pulang dari tempat
kerja pada pukul 5 petang. Hanya tunggu hujung bulan apabila gaji boleh dikeluarkan.
Golongan ini juga sentiasa bersikap tamak dan tidak pernah berpuas hati dengan keselesaan yang sedia
dinikmati. Mereka tidak pernah jemu untuk menjadi kaya. Sikap ini menjadi pembakar semangat mereka
untuk berusaha dengan lebih gigih. Jika hendak dibandingkan dengan kaum lain seperti Melayu sendiri,
mereka akan cepat merasa puas dan selesa dengan apa yang mereka miliki. Mereka kurang berminat
untuk memperbaiki hidup yang selesa untuk menjadi lebih selesa lagi. Itulah kelemahan kaum Melayu.
Mungkin mereka baik dalam bidang lain, bukan dalam bidang pernigaan. Rata-rata kaum lain tidak
berminat untuk menambahkan masalah sakit kepala apabila beban dan tanggungjawab kerja semakin
bertambah. Bagi kaum lain, orang tamak selalu rugi, tetapi tidak bagi Orang Cina. Semakin tamak,
semakin baik. Orang kaya akan semakin kaya, dan orang yang malas akan terus susah. Orang Cina
bersikap tamak untuk mengumpul aset yang dimiliki dan untuk kesenangan generasi mereka. Mungkin
juga mereka dipengaruhi oleh faktor yang telah diketahui ramai bahawa Orang Cina sangat bijak dalam
selok-belok perniagaan. Disebabkan hal inilah menjadi faktor pendorong untuk menjadikan mereka terus
kaya. Bimbang jika air muka mereka jatuh.
Amalan Menyimpan Wang
Tan Sri mengamalkan sikap dengan menyimpan wang yang diperolehi bukan untuk dibelanjakan tetapi
untuk dibuat pusingan modal dan pelaburan yang akan datang. Jika tidak, hanya sekali sahaja kita akan
untung, selepas itu hanya kerugian sahaja yang diterima. Adat berniaga pasti ada untung rugi. Tetapi jika
hanya rugi, tandanya perniagaan itu sudah tidak mampu bertahan lama. Wang modal perniagaan dengan
wang perbelanjaan harian mesti disimpan secara berasingan. Hal ini bagi mengelakkan masalah
pengeluaran perbelanjaan untuk keperluan yang tidak sepatutnya. Apabila melihat wang yang banyak,
tanpa berfikir panjang pasti kita akan menggunakan wang itu tanpa menyedari itu adalah wang untuk
pusingan dan pelaburan yang seterusnya. Manusia sememangnya mudah alpa, nampak sahaja
kemudahan yang ada, mulalah lupa dunia. Wang yang sepatutnya disimpan silap-silap habis
dibelanjakan pula. Apabila perniagaan semakin maju, modal juga semakin besar. Apabila mempunyai
wang yang besar untuk dilaburkan maka keuntungan juga semakin tinggi. Mempunyai kedudukan yang
kukuh dalam perniagaan adalah harapan bagi semua peniaga dan usahawan yang berjaya. Dalam kata
yang paling mudah, modal besar untung juga pasti besar.
Bermula dari Bawah
Beliau bekerja dari peringkat yang paling bawah. Beliau bekerja sebagai tukang kayu sebelum membuka
syarikat pembinaan Kien Huat dan bergelar kontraktor kelas A. Tan Sri sendiri merupakan seorang budak
miskin semasa mula berhijrah ke Tanah Melayu. Kemudian, usaha gigih beliau membuahkan hasil yang
lumayan. Pelbagai pekerjaan yang dilakukan sebelum bergelar jutawan. Orang Cina berharap untuk
menjadi terkenal sejak awal pembabitan dalam dunia perniagaan. Harapan adalah satu, tidak mahu kaum
dan keturunan mereka terus susah. Beliau sendiri pernah dikatakan gila apabila mengatakan hasrat
untuk membagunkan Gunung Ulu Kali. Lihat, sekarang impian itu telah menjadi kenyataan. Gunung Ulu
Kali telah bertukar menjadi Genting Highlands. Setiap titik peluh yang mengalir telah memberikan kita
keselesaan sehingga dikenali seluruh dunia. Secara tidak langsung, penubuhan Genting Highlands juga
telah memberikan peluang pekerjaan kepada semua kaum.
Tidak Bermain Kotor dalam Perniagaan
Berikutnya, beliau sentiasa berpesan agar tidak bermain kotor dalam perniagaan. Jangan mengambil
jalan pintas jika mahu perniagaan yang diusahakan bertahan lama sehingga boleh diwariskan kepada
generasi yang berikutnya. Beliau sentiasa mengingatkan Orang Cina dan semua orang yang mahu terjun
ke dunia perniagaan agar tidak membuat helah. Kerana tiada jalan pintas untuk berjaya selain dengan
usaha diri sendiri. Minat yang mendalam akan menjadi pendorong dan pembakar semangat dalam
pekerjaan yang dilakukan. Minat merupakan ubat yang paling berkesan untuk memajukan perniagaan.
Peniaga harus sentiasa sedar diri dan percaya pada kawan sekeliling dan juga percaya kepada Tuhan
dan memohon berkat daripadanya. Hendak memulakan perniagaan bukan suatu perkara yang mudah,
jika mempunyai musuh, kelak perniagaan itu tidak mampu bertahan ekoran ada musuh yang menikam
dari belakang. Pendek kata, berbuat baik pada semua orang adalah kuncinya.
Berani Menanggung Risko
Sebarang kemungkinan untuk jatuh mesti kita sedia terima dengan tabah dan menjadikannya sebagai
batu loncatan untuk terus membina masa depan yang cerah. Jika tidak berani, hasrat untuk memulakan
perniagaan harus dilupakan. Kemunculan pusat perlancongan bertaraf dunia itu adalah hasil idea
seorang lelaki Cina yang pernah dilabel sebagai gila suatu ketika dahulu. Ejekan yang diterima dijadikan
pembakar semangat untuk maju. Orang pernah mengatakan bahawa idea itu tidak akan kemana dan
pelaburannya tidak menjanjikan pulangan modal berikutan tiada siapa yang berminat dengan perniagaan
seperti itu. Beliau telah menyahut cabaran itu dengan bekerja 2 syif sepanjang minggu bagi menjimatkan
kos. Beliau dan kawan-kawannya terpaksa tinggal di dalam hutan dan gua bedekatan. Beliau merupakan
orang pertama yang bekerja mengikut syif 24 jam sehari sepanjang minggu untuk memastikan cita-cita itu
tercapai. Beliau juga akan menjadi orang yang pertama sampai ke tempat kerja dan menjadi orang yang
terakhir untuk pulang dari tempat kerja. Beliau sentiasa menjaga pekerja-pekerjanya dan beranggapan
bahawa semua pekerjanya adalah aset yang paling berharga. Kini, First World Hotel merupakan antara
hotel terbesar di dunia.
Secara kesimpulannya, semua orang mempunyai hak untuk berjaya dan mereka wajar diberi peluang
untuk mencuba nasib. Kerana semua manusia itu mempunyai cita-cita. Mereka boleh menjadikan mana-
mana tokoh sebagai inspirasi untuk berjaya. Usaha keras akan membuahkan hasil dalam setiap
pekerjaan yang hendak dilakukan. Sesungguhnya setiap cita-cita dan impian menagih sepenuh perhatian
dan pengorbanan yang paling tinggi. Sebelum itu, rasanya kita patut membaca biografi bertajuk “Cerita
Saya”. Buku ini mengandungi kisah disebalik kejayaan Tan Sri Lim Goh Tong sebelum berjaya
mendirikan sebuah empayar besar bertaraf dunia. Tahniah!
Rahsia Kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary
Banyak yang diperkatakan mengenai seorang tycoon bumiputera terkenal di Malaysia iaitu Tan Sri Syed
Mokhtar Al Bukhari. Menjadi Bumiputera yang paling kaya dalam Malaysia dengan aset sebanyak 167
bilion, namanya amat masyhur baik di dalam mahupun di luar negara. Dengan banyak kepentingan
dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk pengangkutan dan logistik, perladangan, pembangunan
hartanah, pertahanan dan gudang senjata serta generasi kejuruteraan dan kuasa, beliau adalah seorang
tokoh simbolik yang memegang falsafah bahawa ‘pendidikan tidak menjamin kejayaan dalam hidup,
tetapi kerja keras’.
Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari dilahirkan ke dalam keluarga kelas pertengahan rendah di utara
Semenanjung Malaysia. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan
menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya
ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan
menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga. Tan Sri Syed
Mokhtar Al Bukhari mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Beliau hidup
dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan
Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.
Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia
9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Baru.
Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari
kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga
ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s. Pendidikan yang tertinggi adalah hanya sehingga tingkatan
lima, dan dia tidak pernah pergi ke universiti. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak mempunyai
pengetahuan. Banyak pengetahuan dan pengalaman beliau telah diperoleh melalui pengalaman
keusahawanan sendiri semasa mudanya.
Disebabkan oleh latar belakang keluarga yang miskin, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari terpaksa
melangkah ke dunia bekerja dalam kehidupan awal beliau, pada masa yang sama mengikuti pengajian
rendah dan menengah. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu ibunya menanam dan menjual
sayur-sayuran di pasaran dan juga menjual roti canai. Pengetahuan angka beliau digunakan untuk
membantu bapanya dalam melakukan buku simpanan harian.
Selepas tamat sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu bapanya dalam perniagaan lembu
penternakan tetapi hanya untuk melihat perniagaan itu muflis akibat penyakit kaki dan mulut. Walau
bagaimanapun, beliau mengambil alih perniagaan dan mula semula dengan menjual daging. Beliau pergi
dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya
membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-
restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan
keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.
Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun
1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman
sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes
911LS. Tan Sri Syed Mokhtar kemudian menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras.
Pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada
Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas dan berjaya mendapat kontrak bagi
membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu
anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.
Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang
peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala
Chong Tan pula pengilang beras. Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52
peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus.
Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini
masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd.
kini mencecah RM250 juta.
Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, beliau
kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan. Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat
pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan
pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Beliau kemudiannya
membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan
Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Apabila Amtek Holdings disenaraikan di
Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian
yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian
berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan
pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.
Sekitar tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari menumpukan usaha beliau kepada bidang yang
membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di
Malaysia. Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin
Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan
pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung
Pelepas Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.Kejayaannya dapat dilihat
dengan penguasaan sebanyak 90 peratus ke atas Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd pada tahun 1993.
Beliau juga telah berjaya mendapat satu projek mega apabila Seaport diberi penyerahan selama 30
tahun untuk membina Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Seaport memiliki 60 peratus daripada projek
Pelabuhan Tanjung Pelepas dan menjadikan beliau sebagai pemegang saham yang terbesar. Beliau
telah mendapat pujian oleh kerajaan kerana kejayaannya mengendalikan Pelabuhan Tanjung Pelepas
(PTP) dimana beliau berjaya menguruskan pelabuhan tersebut menjadi satu pelabuhan yang cergas di
bahagian Selatan Semenanjung Malaysia. PTP berjaya menarik minat syarikat perkapalan Taiwan
Evergreen Marine Corporation seperti yang diumumkan akan memindahkan seluruh operasi kontenanya
ke Johor daripada Singapura. Ia merupakan satu projek yang akan memacu rencana kerajaan Malaysia
untuk membangunkan negara sebagai hak perkapalan yang termaju di rantau ini.
Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment
Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun. Di samping itu,
beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining
Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Johor Port Berhad,
Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi. MMC telah bergabung dengan Gamuda
Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum
ianya dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga
dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.
Secara persendirian, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga memiliki SKS Ventures Sdn. Bhd di mana
beliau telah diberi tanggungjawab menjalankan projek membina 2100MW tapak ‘gas-fired‘ di Tanjung Bin,
Johor. Beliau juga mempunyai kepentingan di dalam PERNAS di mana Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari
memiliki 32% saham melalui syarikat Restu Jerneh. Beliau juga turut memiliki kepentingan di dalam
Fiamma Holdings Berhad di mana terdapat 18.68% saham diperoleh melalui Syarikat Perdana Padu Sdn
Bhd dan Corak Kukuh Sdn Bhd miliknya. Tan Sri Syed Mokhtar juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah
Syarikat Bina Puri Holdings Berhad di mana beliau merupakan pemegang saham secara individu
sebanyak 7.34 %.
Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimiliki beliau membuatnya tidak
pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah. Malah, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari mengingatkan
supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan. “Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh
merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Al Bukhary menjadi
tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita,” pesan Tan Sri Syed Mokhtar Al
Bukhari. Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang diasaskan beliau telah membina dan menguruskan Muzium
Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur. Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan
lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, Yayasan al-
Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar
Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia. Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary
mendermakan sejumlah RM775 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian
Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut
Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan
Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah. Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang
dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada
projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh
organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM1 juta bagi Projek
Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek
pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran
antaranya Panglima Setia Mahkota (P.S.M) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong
yang membawa gelaran Tan Sri dan Dato’ Setia mahkota Kedah (D.S.D.K) oleh KDYMM Sultan Kedah
yang membawa gelaran Dato’.
Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari merupakan seorang yang tidak pernah mengenal erti kegagalan dan
beliau sentiasa belajar dari apa juga kesilapan yang dilakukan. Beliau juga merupakan seorang yang
berhati-hati dalam perniagaan terutamanya soal pembelian dan pengambilalihan kepentingan dalam
sesebuah syarikat dan projek. Beliau seolah-olah memikirkan kepentingan orang ramai terutamanya
bumiputera sebelum membuat apa-apa keputusan penting dalam perniagaan. Beliau memiliki peribadi
unggul yang wajar dicontohi semua pihak.
Rahsia Kejayaan Chef Wan
WANG, populariti dan glamor. Siapa pun tidak dapat menafikan bahawa seorang chef juga boleh
menandingi kehebatan seorang artis, ahli politik atau ahli sukan yang terkenal. Sejak lebih 20 tahun
dahulu, chef dianggap antara profesion yang amat menarik dan menguntungkan untuk diceburi. Seorang
chef boleh mengundang rasa kekaguman ramai atas kebolehan dan kreativiti mereka dalam
menyediakan pelbagai jenis masakan dengan gabungan seni kulinari.
Kita sering mendengar seorang chef mengatakan bahawa, masakan yang enak datangnya daripada hati
yang ikhlas. Kata-kata itu mempengaruhi sebahagian besar daripada kita apabila memasak di dapur. Apa
pun, daya penariknya, ramai yang mahu menjadi chef kerana kerjaya yang dikuasai oleh kaum lelaki itu
mampu meraih pendapat yang lumayan. Ada di antara mereka menimba pengalaman dengan bekerja di
hotel-hotel, kemudiannya membuka restoran sendiri dengan menjalankan perniagaan katering, ada yang
menghasilkan buku dan beberapa chef terkenal tampil di televisyen mengendalikan rancangan-
rancangan masakan mereka sendiri.
Dalam pada itu, minat orang ramai terhadap rancangan-rancangan masakan dan penyediaan makanan di
televisyen membuatkan golongan ini terus mendapat perhatian. Di kebanyakan negara, rancangan yang
dikendalikan atau dihoskan oleh chef-chef terkemuka mereka ini mendapat rating yang tinggi.
Di Malaysia, Datuk Chef Wan merupakan chef paling terkenal dan dikatakan menerima pendapatan
tertinggi berbanding dengan chef lain di negara ini. Beliau yang hampir 30 tahun menceburi bidang itu
bermula dari bawah dan kini bakatnya dalam bidang tersebut diiktiraf di peringkat dunia dan menjadi
kebanggaan negara.
Dilahirkan pada tahun 1958 di Singapura, pemilik nama Redzuawan Ismail ini merupakan pengacara
masakan No 1 di Malaysia. Pada usia tiga tahun, keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur kerana
ayahnya dipindahkan dari The British Royal Air Force ke The Malaysian Air Force. Menetap di pangkalan
Angkatan Tentera Udara, di sinilah beliau mengembangkan bakat memasak. Seni memasak yang
dipelajari daripada ibunda dan nenda tercinta serta didorong rasa ingin tahu dan sering melakukan
eksperimen, telah mengasah bakat Chef Wan di dapur.
Menerima gelaran Datuk baru-baru ini, penat lelah selama lebih 30 tahun yang dipikul beliau dalam
mengharumkan nama negara akhirnya terbalas. Figura terkenal ini telah berjaya membuka mata banyak
pihak bukan saja dalam negara malahan di peringkat antarabangsa dalam bidang masakan yang rata-
ratanya dimonopoli oleh kaum Hawa.
Memasak untuk personaliti terkenal seperti Sultan Brunei dan bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill
Clinton, kehebatan beliau bukan pada penghasilan hidangan istimewa tetapi pada celoteh dan keletahnya
yang unik dan mampu memukau penonton sepanjang hari. Antara trademark beliau ialah menggunakan
leteran nenek di kampung dalam interaksi dengan penonton yang tidak pernah gagal untuk memikat hati
penonton. Beliau juga digelar Jamie Oliver di Britain dan Martha Stewart di Amerika tetapi versi
Malaysia
Tidak ramai yang tahu bahawa tukang masak kesayangan rakyat Malaysia ini adalah seorang akauntan
bertauliah. Dek kerana minat yang amat mendalam dalam bidang masakan, beliau berhenti kerja, ambil
ijazah dalam Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academy di San
Francisco, Amerika Syarikat dan berusaha gigih untuk menjadi seorang chef yang kreatif, berinovasi dan
profesional. Beliau mengambil keputusan drastik dengan membuat belok terbesar dalam hidupnya pada
17 tahun dulu walaupun keputusan itu akan mengecewakan bapanya. Tidak mampu lagi untuk
membohongi diri, berpakaian kemas dan menjalani kehidupan korporat bukanlah sesuatu yang ingin
dilakukannya dalam hayat ini. Tujuh tahun bekerja untuk sebuah bank membuatkan beliau rasa terseksa
dan mengatakan pada diri bahawa enough is enough. Beliau terdesak untuk melakukan perubahan
kerjaya dan mahu melakukan sesuatu yang dicintainya iaitu makanan. Mengimbas kembali pada turning
point beliau, tiada siapa yang menyangka bahawa Chef Wan tidak pernah menyesal akan keputusan
untuk beralih profesion. Walaupun beliau harus bermula daripada bawah dengan membasuh pinggan
mangkuk dan pada masa yang sama membiayai pengajiannya sendiri, beliau puas. Selain daripada
ijazah yang diperoleh, beliau turut memiliki Diploma dari Hotel Ritz, Paris.
Mewarisi bakat masakan daripada ibunda, figura yang petah berbicara ini berpendapat bahawa makanan
adalah senjata terbaik untuk menghubungkan masyarakat dari seluruh dunia dan makanan juga
menunjukkan budaya dan bangsa. Tambahan beliau lagi, bidang masakan ini terlalu luas, semakin
banyak yang diteroka, semakin banyak peninggalan yang diwariskan oleh orang dulu-dulu.
Sepanjang penglibatan beliau dalam rancangan masakan, antara program masakan yang paling diingati
rakyat Malaysia ialah The Kuali Cook Show, Chef Wan, dan yang paling terbaru iaitu Citarasa Sedunia
Bersama Gas Petronas. Tetapi rancangan masakan TV antarabangsa seperti A Taste of Australia with
Chef Wan (Australian ABC Network), Flavours of Asia (Prime 12, Singapore), Market Kitchen (UK Food
Network), Flavours of the World (TV4, Sweden) dan Chef Wan and Gino’s Specials (Orge TV, Norway)
yang membuka jalan ke kemasyhuran di seluruh dunia. Untuk semua dedikasi kepada industri makanan,
Chef Wan telah dinamakan Chef Selebriti televisyen Terbaik di Anugerah Buku Masakan Dunia
Gourmand tahun lepas di Perancis.
Pada masa masyarakat menjangka Chef Wan akan berehat bersama keluarga, beliau baru sahaja
selesai penggambaran program masakan Ekspedisi Chef Wan musim kedua untuk TV9. Beliau telah
pergi ke Thailand, Vietnam, Hong Kong, Macau, Bali dan London untuk penggambaran. Untuk musim
ketiga dan keempat, beliau akan ke Mauritius, Turki, Korea, Mesir, Sweden, Lebanon dan Syria. Terkenal
sebagai seorang yang bekerja kuat, beliau pada masa ini sedang sibuk berdiskusi dengan TV3 untuk
menghasilkan rancangan temu bual sendiri yang bakal menggabungkan topik-topik makanan seperti
yang kerap disentuh Oprah Winfrey dan Martha Stewart. Dan seolah-olah yang tidak cukup dengan
rencana harian yang padat, beliau bakal melancarkan pelbagai set pinggan mangkuk dan dapur, yang
dinamakan Chef Wan Lifestyle dengan cara jualan langsung.
Seorang yang menghargai kecantikan, beliau gemar belajar tentang budaya setiap negara yang beliau
lawati. Bagi beliau, setiap budaya mempunyai definisi sendiri tentang keindahan, maka beliau sering
membawa pulang sekurang-kurangnya satu barang cantik yang menjadi simbol budaya negara yang
telah dilawati sebagai kenang-kenangan dan biasanya dipamerkan di ruang tamu rumah beliau.
Anak sulung daripada tujuh adik beradik ini merupakan Duta Makanan yang dilantik oleh Kementerian
Pelancongan pada 2010 kerana menghargai sumbangannya memperkenalkan makanan Malaysia ke
peringkat antarabangsa. Pada tahun lalu, sumbangannya sekali lagi diiktiraf di peringkat antarabangsa
apabila menerima dua anugerah berprestij daripada National Critics Choice. Anugerah berkenaan ialah
Life Time Achievement South East Asia Cuisine menerusi kategori The Hospitality and Dining Awards
2011/2012 dan juga Best Editor‘s Choice Award yang diberikan berdasarkan kejayaan buku masakannya,
Best of Wan Taste of Malaysia. Pada tahun yang sama, beliau telah diberi penghormatan bagi
menjayakan program bual bicara pagi, NBC Today yang disiarkan secara langsung untuk saluran NBC di
AS. Program televisyen itu berlintas langsung dari taman rekreasi Suria KLCC dan berlatar-belakangkan
bangunan berkembar KLCC yang disaksikan oleh jutaan rakyat AS. Dan yang terbaru, Kerajaan Thailand
memberinya gelaran Friends of Thailand Award pada September 2010. Sejurus selepas itu, beliau dipilih
sebagai Malaysia Airlines (MAS) Holiday Travel Icon Ambassador pada November 2010 yang
berperanan untuk menjelajah dunia dengan pelbagai jenis masakan.
Menurut Chef Wan, kelebihan menjadi seorang chef ialah mampu membuatkan orang gembira. Beliau
percaya bahawa makanan membawa kegembiraan. Tidak kira lah sama ada masalah hidup yang
dihadapi kecil atau besar, tiada masalah sebesar kebuluran! Tetapi beliau tidak ingin menjadi chef biasa,
disebabkan nature beliau yang agak ‘gila-gila’, beliau suka melancong, berlakon, menyanyi, menulis dan
yang paling biasa dilihat iaitu bercakap Beliau memasang impian untuk membawa keamanan kepada
dunia melalui makanan. Makanan mampu menyatukan pelbagai jenis manusia daripada pelbagai jenis
bangsa dan kebudayaan kerana apabila semua duduk makan bersama, figura hebat ini yakin bahawa
semua masalah dapat diselesaikan.
Juga aktif di laman maya, Chef Wan melalui laman Facebooknya berkongsi pandangan mengenai
kehidupan sesetengah orang yang tertekan dengan kekangan kewangan atas pelbagai faktor sampingan.
Tidak menyalahkan mana-mana pihak, Chef Wan menegur sikap segelintir masyarakat yang menjalani
gaya hidup mewah serta banyak melepak merupakan punca utama kehidupan seseorang itu umpama
“kais pagi makan pagi kais petang makan petang”. Berdasarkan pengalamannya, Chef Wan dikatakan
sudah banyak kali bertemu dengan orang malas berusaha dan membiarkan masa berlalu begitu sahaja.
Chef Wan menegur supaya individu berkait tidak menuding jari terhadap orang lain jika berlakunya
sesuatu kesusahan.
Chef Wan mempunyai dua orang anak, seorang daripadanya Serina Redzuawan, seorang pelakon yang
telah muncul dalam beberapa siri drama Malaysia. Anak Chef Wan, Muhammad Nazri bin Redzuawan,
mengikuti jejak langkah ayahnya dengan menjadi seorang tukang masak juga. Beliau merupakan
seorang bapa yang bertanggungjawab dan tegas dalam mendidik anak lelaki dan perempuannya.
Setelah mendapat segala-galanya, kemasyhuran dan kesenangan, Chef Wan berharap dapat
bekerjasama dengan chef-chef tempatan untuk menghasilkan buku ensiklopedia masakan mengandungi
semua masakan dari setiap negeri, senarai rempah ratus, petua masakan dan resipi. Ia buku rujukan
lengkap mengenai masakan. Beliau sendiri sudah mula mengumpul bahan sejak empat tahun lalu dan
dalam memberikan yang terbaik, beliau sanggup meredah kampung mencari resipi terkenal di sesuatu
daerah itu. Menurut beliau lagi, beliau sanggup bayar asalkan mendapat resipi tradisi yang lengkap dan
betul.
Kisah kejayaan Pengasas Sendayu Tinggi
Puan Rozita Ibrahim adalah seorang usahawan wanita yang berjaya dengan jenama Sendayu Tinggi.
Bila membaca kisah kejayaan beliau, kita pasti akan mendapat motivasi kerana walau apa jua latar
belakang kita, jika kita berusaha, pasti akan mendapat kejayaan. Jom baca artikel dibawah.
Hidup ini ada penawar dan racun
WANITA ini mengakui pernah menjadi penoreh getah, hidup penuh kedaifan
dan serba kekurangan hinggakan pada suatu ketika bayinya diberi minum sirap bagi menggantikan susu.
Kepayahan dan penat jerihnya tidak berbayar dengan kesenangan malah ia pernah meragut nyawa anak
keduanya yang sakit dan lumpuh ekoran tidak berwang untuk mendapatkan rawatan terbaik.
Pepatah hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat sungguh terkesan di hati dan mencabar
dirinya untuk bekerja lebih kuat bagi memperoleh pendapatan yang selesa.
Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan empayar perniagaan sendiri, Rozita Ibrahim mengakui
pelbagai peristiwa duka melingkari perjalanan hidupnya.
Ketabahan, kekuatan dan sentiasa yakin terhadap usaha sendiri dibalas dengan kejayaan yang
mengangkat dirinya menjadi usahawan yang disegani. Baru-baru ini beliau dianugerahkan Usahawan
Wanita 2005 oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Kepada wartawan RAHANA MD dan
jurugambar MOHD. SHAHARANI SHAIBI, Rozita berkongsi sedikit pengalaman hidupnya di ibu pejabat
Sendayu Tinggi yang terletak di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
Boleh ceritakan sedikit apakah yang mendorong anda untuk berubah?
ROZITA: Kesusahan yang melingkari hidup sejak kecil. Dek kerana kemiskinan yang diwarisi daripada
keluarga, saya hidup serba kekurangan. Saya dikahwinkan dalam usia belasan tahun dengan lelaki yang
bukan daripada golongan senang menjadikan kepayahan yang terbeban berganda.
Di sisi suami, saya menoreh getah dan menjalankan perniagaan kedai runcit namun kami tetap susah.
Jodoh kami tidak lama, di mana akhirnya membawa saya ke kota dan membuat macam-macam kerja
daripada kerja kilang, penyambut tetamu, eksekutif promosi dan pemasaran hinggalah ke perniagaan
jualan langsung. Terasa lapang sedikit tetapi saya mahu lebih berjaya kerana enggan hidup melarat lagi.
Justeru, apakah yang anda lakukan seterusnya?
Selepas menjalani episod duka yang berterusan saya mengambil keputusan menghasilkan perniagaan
sendiri. Alam semula jadi paling hampir dengan kehidupan saya sejak kecil dan saya akui pernah
menggunakan tumbuhan hutan untuk mengubat anak kedua yang sakit dan lumpuh semasa saya hidup
susah.
Bermodalkan RM400 saya mulakan perniagaan dengan menjadikan herba sebagai sandaran. Untuk
meyakinkan pelanggan, saya gemukkan badan, kemudian makan dan amalkan produk yang dijual dan
hasilnya memuaskan. Saya lakukan sebanyak tiga kali dan mula menjual dari rumah ke rumah.
Sambutan yang diterima menggalakkan dan mendorong saya menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise
pada awal tahun 2000 dengan menyewa kedai di Plaza Majlis Perbandaran Klang.
Apakah anda berpuas hati dengan hasil yang dicapai ketika itu?
Syukur, seperti yang direncanakan, perniagaan saya berkembang maju dan sambutan terhadap produk
Sendayu Tinggi amat menggalakkan terutama produk pelangsingan badan. Kebetulan ketika itu
kebanyakan masyarakat kembali menggunakan produk warisan nenek moyang terutama herba yang
sekali gus meningkatkan jualan.
Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan yang penuh persaingan dan dugaan,
saya mengambil keputusan meluaskan empayar. Kini Sendayu Tinggi Enterprise menubuhkan Sendayu
Tinggi Holdings Sdn. Bhd. dan mempunyai sembilan anak syarikat termasuk Sendayu Tinggi Corporation
(M) Sdn. Bhd., Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd. dan Sendayu Tinggi Cosmetics &
Fragrances (M) Sdn. Bhd..
Apakah yang mendorong anda untuk terus mencipta kejayaan?
Anak-anak menjadi iltizam untuk saya terus berjuang meningkatkan pencapaian pendapatan dan
ekonomi. Saya pernah menjadi wanita yang hanya mengikut perintah melakukan pelbagai pekerjaan
tetapi apabila saya bangun dan berjalan, saya tidak akan menoleh lagi. Saya berjanji kepada anak-anak
untuk menjadi ibu yang baik kerana dahulu saya kurang limpahan kasih sayang. Namun, saya belajar
daripada pengalaman. Kasih sayang menjadi kunci kebahagiaan selama-lamanya.
Apakah yang anda kongsi dengan masyarakat?
Berkongsi ilmu kecantikan melalui konsep herba di samping menerapkan dalam diri mereka agar
berusaha gigih dan tidak putus asa. Selain menawarkan produk yang berkualiti kepada pelanggan, saya
turut menyalur sumbangan kepada masyarakat terutama golongan susah, ibu tunggal, anak yatim dan
warga tua. Walaupun wang ringgit tidak mampu menandingi nilai kasih sayang tetapi saya dapat
menggembirakan mereka. Saya sayangkan masyarakat dan ingin disayangi oleh masyarakat. Harapan
utama saya kini mahu membantu mereka terutama ibu tunggal yang susah atau sesiapa sahaja untuk
menceburi bidang perniagaan dengan menjadi pengedar Sendayu Tinggi untuk meningkatkan
pendapatan.
Apakah rahsia kejayaan yang anda raih?
Ada racun dan ubat dalam diri sesiapa sahaja dan terpulang kepada kita memilihnya. Saya berpegang
kepada kejujuran dan keikhlasan yang menjadi santapan rohani dalam urusan perniagaan dan
kehidupan. Saya percaya hidup ini umpama roda yang ada kala di bawah dan kemudian berada di atas,
lantas semasa di puncak saya minta kepada Tuhan agar tidak lupa diri.
Apakah pencapaian terkini anda?
Sendayu Tinggi telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional dan kilang ini telah
memperoleh lesan Amalan Perkilangan Baik (GMP) yang terletak di Pulau Indah, Klang, Selangor.
Jumlah pengedar kini lebih 2,000 orang di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan terbaru di Jepun,
China, Taiwan dan Korea.
Ke manakah hala tuju Sendayu Tinggi selepas ini?
Selepas berjaya memenuhi pasaran produk herba tradisional di pasaran Malaysia selama tujuh tahun,
saya bercita-cita membentuk usahawan wanita daripada golongan yang kurang bernasib baik dari segi
peribadi mahupun pencapaian karier. Kebanyakan jaringan Sendayu Tinggi berjaya dibimbing melalui
roadshow yang berbentuk motivasi.
Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kesusahan lampau saya kerana banyak majalah menyiarkan
cerita itu. Niat saya tiada lain, hanya mahu menjadi pencetus semangat untuk wanita di luar sana. Biar
mereka tahu, sebagai manusia jangan terlalu mengharapkan orang lain untuk berjaya dalam hidup.
Saya pernah jadi penoreh getah, sambil-sambil itu melakukan bermacam-macam kerja kampung untuk
menampung hidup. Malah pernah juga cuba berniaga kedai runcit, menyertai MLM dan bekerja kilang.
Apabila berjaya dengan perniagaan Sendayu Tinggi, saya mula sedar manusia perlu ada tiga sifat jika
mahu berjaya. Pertama, mereka mesti mengorak langkah untuk memulakan perkara kecil dalam diri.
Kemudian, jangan pernah berkata tidak sebelum mencuba kerana tiada apa yang mustahil. Ketiga,
jangan suka menyalahkan orang lain.
Nilai sepuluh sen
Bila sudah berjaya mengumpul kekayaan, tiap-tiap tahun saya pergi umrah. Ada banyak peristiwa yang
dialami di tanah suci namun ada satu pengalaman yang paling menarik. Ia berlaku ketika saya tidur lalu
bermimpi, satu suara menyuruh saya membaca beberapa ayat daripada surah Al-Baqarah.
Sekembalinya saya ke tanah air, saya terus mencari tafsir Al- Quran. Saya mendapati antara maksud
ayat yang disuruh baca itu ialah mereka yang mendapat hidayah namun jika memalingkan mukanya,
mungkin tiada lagi hidayah untuknya selepas itu.
Saya memang sudah lama terdetik mahu berganjak ke alam (fasa) lain sebaik sahaja usia mencecah 40
iaitu membuat persediaan untuk mati. Saya mula melihat betapa kehidupan di dunia ini sangat singkat,
indah dan perlu dinikmati. Saya sedih mengenang ramai orang yang berjaya dalam perniagaan tetapi
hidup tidak bahagia.
Ketika saya mengejar dunia, hidup dirasakan huru-hara. Pernah saya beli sebuah kereta dengan harga
RM1 juta. Setiap kali tiba di satu-satu tempat, saya senang melihat banyak mata memandang dan
berbisik-bisik kagum. Namun lama-kelamaan saya tersedar, rasa bangga melihat kekaguman orang itu
menimbulkan perasaan riak dan mahu menunjuk-nunjuk.
Jika syiling sepuluh sen terjatuh, pernah satu ketika saya tidak mahu mengutipnya semula. Waktu itu
saya memikirkan kelas sebagai seorang jutawan. Tetapi hari ini, saya tidak mahu lagi bersikap begitu.
Saya mahu buang rasa riak, sebab nilai duit sepuluh sen itu besar nilainya pada sesetengah orang dan
tidak patut dibazirkan begitu sahaja.
Saya tidak pandai mengaji dan tidak tinggi ilmu agama. Jadi saya mengupah seorang ustazah yang
tinggal bersama di rumah ini untuk mengajar serta seorang ustaz untuk berkongsi ilmu agama. Sehari
setiap minggu, rumah saya dibuka untuk orang ramai menyertai majlis ilmu yang dibuat di sini.
Impian saya yang masih belum tercapai ialah membina sebuah kompleks hasil perniagaan. Di kompleks
berkenaan saya mahu membangunkan aktiviti dakwah di samping memberikan kehidupan kepada fakir
miskin menerusi perkongsian ideologi perniagaan.
Saya tidak mahu golongan susah yang saya bantu ini memandang saya sebagai sumber kewangan.
Saya tidak memberikan mereka ‘ikan’ tetapi ‘pancing’ untuk mengubah kehidupan. Caranya saya beri
mereka produk untuk dipasarkan. Saya juga mengambil kuih, kerepek dan lain-lain daripada mereka
untuk dijual.
Satu lagi impian yang sedang diusahakan, saya mahu bina sebuah rumah perlindungan untuk anak yatim
piatu dan mualaf. Rumah sudah ada, tenaga pengajar pun tidak ada masalah. Cuma tinggal mencari bayi
dan kanak-kanak untuk dibesarkan dengan pendidikan akademik berserta ilmu agama di rumah tersebut.
Kini mula berpurdah
Purdah ini sudah lima bulan saya pakai. Bukan sebab alim, dan bukan juga sebab H1N1. Sebaliknya
inilah antara cara saya menjaga hati daripada dirasuk perasaan riak. Bila mengenakan purdah, tiada
orang yang mengenali saya jadi tiada lagi layanan istimewa yang biasa saya dapat.
Saya tidak malu untuk mengaku, selama ini memang saya pakai tudung tetapi hati masih kotor. Ini
kerana walaupun memakai tudung saya sering kalah bila syaitan berbisik supaya bersolek setiap kali ke
luar rumah sesuai status selaku pengasas produk kecantikan.
“Kau kenalah pakai baju yang menampakkan kelangsingan, barulah orang tahu produk kau bagus” – itu
juga antara bisikannya yang sering menewaskan saya. Barangkali ketika itu saya antara wanita akhir
zaman yang disebut dalam hadis ‘menutup aurat tetapi masih bertelanjang’ .
Sebagai majikan pula, kadangkala saya memarahi pekerja kerana mahu semuanya serba sempurna.
Saya menjadi sungguh takut apabila tersedar dan berfikir bagaimana pula saya di sisi majikan paling
besar iaitu Allah Taala? Dia pun berhak marahkan saya kerana sungguhpun solat, di mana zikir dan
amalan sunat bagi menyempurnakan lagi amalan kepadanya?
Syukurlah, perubahan yang dibuat melimpahkan bahagia dalam hidup. Anak-anak (Nurhayati, Alif Syukri,
Aiman Hazim, Nurazizah dan Nurain Sufiyah) dan suami melengkapkan lagi dunia wanita ini.
Kini hari-hari saya lalui sambil meneguk kelazatan ilmu akhirat. Melayan keletah anak-anak, mengulit
orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong, kari, limau purut dan pokok herba lain; juga melayan
burung, ayam, lampam, puyuh, puyu dan tilapia melengkapkan lagi kediaman bak syurga dunia yang
saya gelar Sorga Ammi.
Sesudah solat Subuh, tatkala berdiri di balkoni rumah menyaksikan kabus berlalu dibawa angin sambil
merenung kalam-kalam bukit , saya semakin yakin betapa perlunya saya bersyukur menjadi hamba yang
dilimpahi kasih sayangNya.
BIOGRAFI TAN SRI AZMAN HASHIM
Saya masih ingat lagi dengan satu seisi temuramah antara wartawan dengan seorang tokoh korporat
iaitu Tan Sri Azman Hashim. Dalam interview tersebut, beliau ditanya bagaimana dia boleh menjadi
antara orang terkaya di Malaysia sehingga berstatus Billionaire.
Dia menjawab, saya banyak membuat pelaburan. Dan saya banyak melabur dalam Precious Metal , saya
tak simpan dalam bentuk duit. Walaupun mempunyai bank sendiri tetapi beliau melihat kekayaan sebenar
adalah bentuk logam seperti emas dan perak. Mari kita sama-sama kenali sedikit tentang beliau.
Tan Sri Azman Hashim, satu nama besar industry perbankan dan pengerusi AmBank Group, adalah
seorang seorang yang tidak mudah diperlekehkan. Ketika berusia 14 tahun, beliau menamatkan Senior
Cambridge di Methodist Boy’s School di Sentul, Kuala Lumpur.
Pemegang biasiswa Yayasan Colombo itu kemudian melanjutkan pelajaran ke Australia dan pulang
sebagai akauntan bertauliah sebelum umurnya mencecah 21 tahun.
Pada mac 1988, ketika beberapa buah bank mengasak dan memaksa Datuk Syed Kechik Syed
Mohamed menjual Temerloh Rubber Estates Bhd sebagai jalan melunaskan hutangnya, Azman
menyelamatkan keadaan dan mengambilalih firma itu dan menjadi syarikat induknya. Dengan membuat
tawaran kukuh dan munasabah, disamping yakin apa yang dibuatnya, beliau memohon tempoh
seminggu kepada Jawatankuasa Pelaburan Asing sebelum memenangi bida ke atas firma tersebut.
Lahir di Kuala Lumpur, beliau adalah yang pertama dikalangan 13 adik beradik yang Berjaya melanjutkan
pelajaran ke luar Negara. Bapanya seorang pembantu pejabat di Lembaga Letrik Negara ( LLN ) ketika
itu dan ibunya, seorang guru, adalah ibubapa yang mengawal ketat anak mereka, terutama di bidang
pelajaran.
Seorang yang “tak tau duduk diam”, Azman sering mencari seseuatu yang mencabar dalam kerjayanya
setiap kali beliau merasa bosan atau menganggapnya sebagai terlalu “rutin”.
Dia mudah gelisah selepas empat tahun bekerja di Bank Negara Malaysia (BNM) dan kemudian meletak
jawatan untuk membentuk firma perakaunan Azman and Co. Pada 1964. Pada waktu itu, perakaunan
adalah bidang yang amat baru dan tidak aramai pengamalnya.
“tanggapan umum waktu itu ialah, sijil perakaunan dari Australia adalah kelas dua. Saya menganggapnya
sebagai satu cabaran dan mahu membuktikan tanggapan itu salah” kata beliau.”tahun-tahun awalnya
memanglah sukar tetapi tanpa saya sedari, ia memang menyeronokkan.”
Dengan reputasinya sejak bertugas di BNM, perniagaannya mula meningkat. Menjelang 1970, firmanya
ditukar nama kepada Azman Wong Salleh & Co makin kukuh, membabitkan empat rakan kongsi dan
lebih 100 pekerja. Azman pula sudah memikirkan perkara yang lain.
Kerana itu, apabila ditawarkan jawatan ketua pegawai eksekutif Malayan Banking Bhd ( Maybank) yang
menhgadapi beberapa masalah ketika itu, azman serta merta menjual kepentingannya dalam firma
perakaunan berkenaan dan menjadi ahli bank sepenuh masa walaupun langkah tersebut mengurangkan
pendapatan bulanannya sebanyak 50 peratus.
Sepanjang 10 tahun bersama Maybank, beliau Berjaya membuka rangkaian bank yang terbesar di Asia
Tenggara, memperkenalkan system perkomputeran dan akhirnya mengasaskan apa yang kini menjadi
bank yang terbesar di Malaysia. Pada awal 1970an, beliau mula mengumpul kekayaan menerusi sektor
hartanah dan pulangan pelaburan di bursa saham yang ketika itu melonjak naik.
Pada waktu itu juga, beliau menganggotai lembaga pengarah banyak syarikat dan terbabit dengan
penubuhan Pernas International Bhd. Pada 1980, beliau mengambil kesempatan dengan memberi satu
blok saham Kwong Yik Bank Bhd tetapi meletak jawatan kerana tidak mahu menjadi pemegang saham
minority bank berkenaan.
Oleh kerana dirasuk oleh demam keusahawanannya, beliau mula membeli satu persatu kepentinagn
firma besar. Pada 1982, beliau membeli 40 peratus saham Taiping TEXTILES (kini AMDB Bhd) dan 100
ekuiti Arab-Malaysia Development Bank Bhd ( kini AmMerchant Bank Bhd).
“Taiping Textiles akan kekal dalam kenangan” Azman pernah berkata. “itulah pendedahan awal saya di
dunia korporat.”
Sebagaimana kata pengarang buku Ethnicity and the Malaysian Economy, James Jusudason: “Azman
sebenarnya kurang berminat dengan tekstile tetapi menggunakannya sebagai asas korporat untuk
mengumpul kekayaan.”
Hari ini empayar Tan Sri Azman Hashim di bawah firma terbitan awam Arab-Malaysia Corporation Bhd
meliputi kewangan, hartanah, pembuatan dan penyiaran, dengan beberapa syarikat tersenarai di Bursa
Malaysia.
Pada Februari 2003, beliau disenaraikan oleh Malaysian Business sebagai usahawan ke 19 daripada 40
orang paling kaya di Negara ini dengan anggaran aset bernilai RM543.6 juta. Di satu segi, beliau
bolehlah dianggap sebagai seorang yang Berjaya. Bagi kebanyakan orang, jutawan sepertinya harus
berehat, makan angin dan bersenang lenang.
Tetapi bagi Azman, beliau sukakan cabaran di bidang itu. “Ini bukan soal wang, kalau nak ikutkan, dah
lama saya bersara.” Katanya. “selepas dapat satu atau dua juta ringgit, memanglah dah cukup.”
“Usahawan adalah orang yang cukup optimistik. Kita akan sentiasa rasa tercabar untuk mencuba benda
yang lebih susah. Makin besar sesuatu cabaran, makin kuatlah kita berusaha. Saya akan cuba
mendapatkan apa yang diidamkan. Saya tidak boleh berfikiran tertutup.”
Apa yang dikecap memang ada onak durinya. Disamping terselamat daripada nahas jalan raya pada
1989, beliau turut mengharungi dua detik getir, salah satu daripadanya hampir memusnah empayernya.
Yang pertama berlaku pada pertengahan 1980an. “Ia betul-betul sukar,” katanya. Saya memang tidak
pernah menghadapi kemelesetan seperti itu.” Berikutan pembelian dan pembesaran Taiping Textiles dan
Arab Malaysia Development Bank ketika itu, beliau memikul hutang yang amat besar. Pada ketika itu
penganalisis menganggarkan hutangnya menjangkau di antara RM350 dan RM400 juta.
Ibu pejabat Arab-Malaysian juga dibuka di Kuala Lumpur ketika itu. Untuk menarik minat penyewa, beliau
terpaksa menawarkan sewa serendah RM1.50 sekaki persegi berbanding RM5, disamping tiga bulan
sewa percuma.
Beliau bagaimanapun Berjaya keluar dari kemelut kewangan itu dan menerajui perniagaannya menjadi
antara kumpulan perbankan terunggul di Malaysia. Begitupun, beliau sering terkenang detik, lebih-lebih
lagi tentang ‘bank yang suka mengutip hutang; daripada membantu pelanggangnya.
“Ketika poket kita baik, ramai yang datang menawarkan pinjaman,” katanya. “Nasib baik ketika itu, ada
bank yang memahami masalah saya.”
Kira-kira sedekad kemudian, Azman dan kumpulannya terjebak dangan satu lagi masalah- krisis ekonomi
Asia 1997. “kita sedang ditimpa masalah,”katanya ketika itu. “Kita masih mencatat keuntungan, tetapi
keuntungan ini akan berkurangan.”
Kemerosotan pasaran hartanah, peningkatan hutang tidak berbayar dan hutang lain turut menggoncang
kumpulan perbankan beliau. Ujian paling besar ialah apabila firmanya hampir diserapkan di bawah Affin
Holding Group mengikut program penggabungan Bank Negara. Tetapi apabila jumlah kumpulan bank
induk ditambah daripada 6 kepada 10, kumpulan beliau kembali cergas.
Beliau terus merangka penubuhan kumpulan kewangan terbesar di Malaysia berikutan penggabungan
MBf Finance dengan Arab-Malaysian Finance Bhd, kini dikenali sebagai AMFB Holding Bhd.
Sebagaimana sifatnya, Azman tidak akan menyerah kalah kepada cabaran demikian. “Saya tak bertolak
ansur dengan kegagalan. Cuba tunjukkan saya bank mana yang tidak dibebani masalah hutang dan saya
akan tunjukkan pula sebuah institusi yang langsung tidak mengamalkan kaedah perbankan.”
Pada Jun 2002, beliau mengilhamkan nama baru – AmBank Group- dan warna korporatnya yang baru;
merah yang melambangkan kekayaan dan kuning keemasan yang menunjukkan kesungguhan dan
kesepakatan, bagi memulakan era baru korporatnya.
Sebagaimana kata seorang ahli bank asing: “Kumpulan perbankan Azman Berjaya keluar dari kemelut
dan kini muncul sebagai kumpulan yang harus disegani”. Kejayaan AmBank Group banyak dikaitkan
dengan kebijaksanaan dan ketetapan keputusan yang dibuatnya.
“Azman mempunyai kemampuan mengenal pasti sesuatu perkara dengan cepat.” Kata Patrick Low,
bekas pengarah eksekutif AHB. “ Bank banyak membabitkan perjanjian dan urusan diatas kertas. Sebab
itulah beliau sering menghadap kertas yang bertimbun, tetapi beliau mampu mengatasinya.”
Cirri-ciri ini ialah satu keperluan bagi Azman dalam sifatnya pengurus yang meneliti semua dokumen,
daripada pinjaman korporat sehinggalah wang untuk maksud derma. “Saya percaya dengan keputusan
yang cepat dan tepat” katanya. “Jika kita bertangguh, semuanya terjejas kerana akhirnya akan kembali
ke meja saya. Sebab itulah pelanggan mendapat jawapan secepat mungkin. Ini menjadikan kita cekap.
Sebarang cadangan dan buah fikiran baru dapat diketengahkan dan dilaksanakan secepat mungkin.
Kami seboleh-bolehnya ingin mengurangkan karenah birokrasi dalam urusniaga.”
Azman sering ‘meneropong’ pekerjanya sehinngga ke peringkat paling bawah. “Beliau amat teliti dengan
kewangan. Setiap kali kami membuat sesuatu, kami cuba menjimatkan kos dan meningkatkan mutu,”
kata seorang pekerjanya.
Disamping Arab-Malaysia, Azman juga terbabit dengan banyak lagi syarikat dan pertubuhan, antaranya
Malaysian South-South Corporation Bhd, MCM Technologies Bhd, Perbadanan Pembangunan
Multimedia Sdn Bhd, Persatuan Bank- Bank Saudagar Malaysia, Perbadanan Pengeluaran Negara,
Pasific Basin Economic Council Malaysia, Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia, Malaysian-British dan
Malaysia – China Business Council, Asean-Japan Business Meeting dan Malaysia Endurance Riding
Society.
Menjadi ahli Umno sejak 35 tahun lalu, beliau pernah menjadi Pengerusi Pemuda Kampung Baru pada
tahun 60an dan bendahari Umno Selangor pada 1970an.
Beliau pernah menerima pelbagai pengiktirafan tempatan dan antarabangsa, anataranya anugerah Asia’s
Banker of the ear oleh Asean Business Forum dan Manager of the Year 1995 oleh Harvard Business
School Alumni Club, Malaysia.
Walaupun sentiasa sibuk, bapa kepada lima anak ini tahu cara untuk berehat. “Kita perlu meluangkan
masa untuk hobi kita…ini penting,” katanya. “Kerja memang sentiasa menunggu, jadi kita harus pandai
mengimbanginya.”
Latar Belakang
Tan Sri Azman Hashim dilahirkan pada Julai 1939 di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau adalah anak
kepada seorang guru. Beliau adalah akauntan berkanun yang terlatih. Beliau memulakan kerjayanya
sebagai akauntan berkanun pada tahun 1955 di Messrs. OL Haines & Co. Australia.
Kerjaya dalam bidang perbankan
Beliau berpengalaman luas dalam industri perbankan dan mula terlibat dalam sektor perbankan sejak
1960 apabila beliau kembali dari Australia sebagai akauntan berkanun. Tan Sri Azman memulakan
kerjayanya dalam sektor perbankan di Bank Negara Malaysia.
Selepas beberapa tahun bekerja di Bank Negara Malaysia, Tan Sri Azman meletakkan jawatan pada
tahun 1964 bagi memulakan firma perakaunannya sendiri, iaitu Azman, Wong, Salleh & Co. Dua tahun
kemudian, beliau menjadi Pengarah Malayan Banking Berhad (Maybank) dan dilantik sebagai Pengarah
Eksekutif Maybank dari tahun 1971 hingga 1980.
Seterusnya, Tan Sri Azman dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Kwong Yik Bank yang kini dikenali
sebagai RHB Bank Berhad selama dua tahun, dari tahun 1980 hingga 1982. Pada tahun 1982, beliau
membeli Arab - Malaysian Merchant Bank yang kini dikenali sebagai AmBank dari usahawan Arab, iaitu
Hussain Najadi. Hussain mengasaskan bank itu pada tahun 1975 bagi membawa masuk pelaburan dari
negara - negara Arab ke Malaysia. Selepas pembelian itu, Tan Sri Azman dilantik sebagai pengerusinya.
Kepentingan dalam syarikat lain
Selain memegang 42% kepentingan dalam syarikat induk Kumpulan AmBank, iaitu Arab - Malaysian
Corporation Berhad (AMC), beliau juga mengawal beberapa syarikat seperti AMMB Holding Berhad
(AHB), Arab - Malaysian Finance Berhad yang kini dikenali sebagai AmFinance, Arab Malaysian
Development Berhad, Saouth Peninsular Industries Berhad, Redifussion Berhad, Hotel Equatorial dengan
30% kepentingan, dan anak syarikat Johnson & Johnson di Malaysia dengan 30% kepentingan.
Kejayaan
Banyak bank yang terjejas akibat krisis itu. Tetapi, lain pula dengan Tan Sri Azman. Selepas krisis
ekonomi asia 1997 / 98, Tan Sri Azman bukan sahaja berjaya mengekalkan kedudukannya dalam
Kumpulan Perbankan AmBank, malah berjaya menambahkan lagi penguasaannya dalam industri
perbankan dengan penggabungan MBF Finance dengan anak syarikat Kumpulan Perbankan AmBank,
iaitu Arab - Malaysian Finance Berhad.
Pengiktirafan
Tan Sri Azman pernah dan sedang memegang banyak jawatan lain. Anataranya adalah Ahli Lembaga
Pengarah Sistem Penerbangan Malaysia Berhad (MAS), Pengerusi Persatuan Bank Saudagar di
Malaysia, Pengerusi Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia Berhad (MIMOS) dan Pengerusi
Perbadanan Produktiviti Nasional dan banyak lagi.
Anugerah
Tan Sri Azman pernah menerima banyak anugerah. Antaranya ialah anugerah Doktor Kehormat oleh
Universiti Utara Malaysia pada tahun 1990. Pada tahun 1985, Tan Sri Azman dinamakan sebagai
Pengurus Bank Terbaik Asia oleh majalah Asian Finance.
Pada tahun 1993, beliau dinamakan sebagai Usahawan ASEAN Tahun 1993 oleh Forum Perniagaan
ASEAN. Pada tahun 1995 pula, beliau dinamakan sebagai Pengurus Terbaik Tahun 1995 oleh Kelab
Alumni Harvard Business School.
Sumbangan
Sebagai Pengerusi Perbadanan Produktiviti Nasional, Tan Sri Azman memainkan peranan penting dalam
menggalakkan produktiviti di Malaysia dan menjadikannya sebagai salah satu komponen yang relevan
dan penting dalam proses pembangunan negara.
Kejayaan membangunkan produktivtii ini dicapai melalui keyakinannya bahawa produktiviti perlu dirangka
sehingga dapat diuruskan dan diukur. Dibawah kepimpinan belaiu, Perbadanan Produktiviti Nasional
berjaya membangunkan metodologi pengukuran produktiviti di peringkart kebangsaan dan subsektor.
Sejak tahun 1994, Perbadanan Produktiviti Nasional menerbitkan laporan tahunan produktiviti yang
menganalisis prestasi produktiviti di peringkat kebangsaan, dan subsektor. Laporan tahunan itu dapat
diakses melalui Pangkalan data Rangkaian Tanda Aras Dalam Talian (BOND), iaitu pangkalan data
amalan terbaik dan petunjuk prestasi cemerlang. Melalui Perbadanan Produktiviti Nasional juga, Tan Sri
Azman banyak menyumbang kepada pergerakkan produktiviti di rantau Asia dan Pasifik.
Kisah usahawan beras Faiza
"SAYA ingin menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini." Itulah azam, pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Faiza Bawumi Sayed Ahmad ketika ditemui Kosmo!di Sri Gading, Batu Pahat, Johor.Wanita kelahiran Mesir itu berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya. Ketika kebanyakan wanita seusianya berehat di rumah, Faiza, 58 dan nenek kepada 32 cucu sibuk merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini.Faiza yang juga Pengarah Urusan Syarikat Faiza, sedang bertungkus-lumus mengeluarkan beberapa produk baru yang dijangka masuk ke pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan sejak tahun 1992 itu berada di landasan betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun.Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak kecil, Faiza pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang perniagaan."Kejayaan ini tidak datang dengan mudah, saya bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 selain menjual pelbagai barangan dapur."Kemudian, saya beralih membuat rempah kari di bawah jenama Bunga Raya yang dilakukan di rumah dan mengedarkannya di kedai-kedai," katanya yang mampu menguasai bahasa Melayu setelah tiga bulan berada di Malaysia.Ibu kepada tujuh anak itu menambah, modal daripada menjual rempah kari itu digunakan untuk membuka kedai runcit. Dari situ beliau mendapati pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain.Dengan mempunyai kedai sendiri, beliau mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Sebelum menjual beras, beliau terpaksa pergi dari satu kedai ke kedai lain bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya.Atas respons yang positif, Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam."Pada mulanya, saya buntu juga melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun saya nekad membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor."Sehingga kini, perniagaan beras keluaran syarikat saya mendapat sambutan. Meskipun saingan sengit, kami telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal," katanya yang kini mempunyai kilang di Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu.Pada tahun 1998, beliau terdorong mempromosi beras ponni dari India yang dipercayai baik untuk kesihatan, khususnya bagi penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi. Faiza berkata, bagi membuktikan kebaikan beras itu, syarikatnya telah meminta Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat kajian dan hasilnya memang positif."Saya melabur berjuta ringgit bagi produk Taj Mahal dan telah meminta hak eksklusif daripada Bernas," tambahnya yang gembira dengan sambutan orang ramai terhadap produk tersebut.Walaupun syarikatnya menumpukan produk beras dan rempah, kini beliau sedang meneroka bidang baru termasuk memasarkan bihun, sos cili dan kicap.Beliau yang mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak berkata, dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.Ketika ini, syarikatnya telah memasarkan bubur herba penghujung tahun lalu dan mendapat permintaan yang baik daripada para pelanggan.Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading.Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan bihun sehari, namun pada peringkat awal cuma memproses lima tan bihun dengan sasaran jualan sebanyak RM12 juta bagi tahun pertama.
KehidupanFaizah yang suka hidup bermasyarakat berkata, semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah.Sebab itulah, syarikatnya bekerjasama dengan TV3 selaku penaja utama sejak lapan tahun lalu menerusi program Bersamamu.Dari segi kehidupan berkeluarga, Faizah menerapkan pendekatan supaya anak-anaknya hidup berdikari. Sejak kecil anak-anaknya dilatih menjual dan mereka mendapat upah.Bagaimanapun katanya, pendidikan menjadi keutamaan dan mereka diberi peluang menuntut ilmu setinggi mungkin."Bukan semua anak saya terlibat dalam perniagaan, anak sulung dan kelima menjadi pensyarah dan lima yang lain membantu Syarikat Faiza," katanya.Bercerita tentang pengalaman menguruskan perniagaan tersebut, beliau pernah menangkap pekerja yang menipu dan mencuri."Macam-macam cara orang hendak menipu dan saya pernah menangkap pekerja yang menjual guni beras yang dimasukkan ke dalam lori. Guni beras ini harganya mahal di pasaran," katanya.
BERMULANYA BERAS FAIZA DI PASARAN
Atas respons yang positif, Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras.
Pada permulaannya, beliau agak buntu melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan
rumah, namun kerana tekad yang kuat, beliau nekad membungkus menggunakan jenama Bunga Raya
dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor.
Meskipun saingan agak sengit perniagaan beliau mendapat sambutan. Trend kesedaran masyarakat
terhadap kandungan pemakanan juga menjadi pemangkin kejayaan syarikat ini. Pada awal tahun 90an,
masyarakat mulai menjadi lebih peka kepada cara pembuatan dan kandungan makanan.
Pada tahun 1998, beliau terdorong mempromosi beras ponni dari India yang dipercayai baik untuk
kesihatan, khususnya bagi penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi. Pada ketika ini juga syarikat itu
telah mula diperkenalkan dengan sejenis kategori beras berkualiti dari Kartanaka, India. Beras ini adalah
jenis beras “Ponni”.
Faiza berkata, bagi membuktikan kebaikan beras itu, syarikatnya telah meminta Universiti Putra Malaysia
(UPM) membuat kajian dan hasilnya memang positif. “Saya melabur berjuta ringgit bagi produk Taj Mahal
FAIZA BAWUMI
dan telah meminta hak eksklusif daripada Bernas,” tambahnya yang gembira dengan sambutan orang
ramai terhadap produk tersebut.
Menerusi produk berkualiti dan berkhasiat sesuai untuk pesakit seperti pesakit diabetik, SFSB
memperkenalkan beras “Ponni” ini ke seluruh Malaysia.
PRODUK HALAL THOYYIBA
Syarikat beliau kini telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan
halal. Beliau kini mempunyai kilang di Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu.
Syarikat beliau kini mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak.
Syarikat Faiza kini juga meneroka bidang baru termasuk memasarkan bihun, sos cili dan kicap selain dari
beras dan rempah. Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu
akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading.
Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu akan diproses di
sebuah kilang lain juga di Sri Gading. Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan
bihun sehari, namun pada peringkat awal cuma memproses lima tan bihun dengan sasaran jualan
sebanyak RM12 juta bagi tahun pertama.
Beliau berharap dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang
Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.
Faizah berkata semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya
untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah.
Syarikat beliau adalah pembayar zakat terbesar dan kerap terlibat dalam program-program untuk
membantu masyarakat seperti BersamaMu dengan TV3.
SUMBANGAN
Sumbangan
Kesenangan yang ada perlu dikongsi bersama dengan mereka yang memerlukan,terutama golongan
miskin dan ibu tunggal, kata Faiza Bawumi Sayed Ahmad, tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan
tahun ini.
Faiza, yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, yang sinonim dengan program realiti
televisyen swasta tempatan yang berbentuk amal “Bersamamu” kerana syarikat itu merupakan penaja
utama rancangan tersebut, berkata hasratnya kini adalah untuk menubuhkan Yayasan Faiza bagi
membantu golongan tersebut.
“Pengalaman turun padang mendekati kehidupan golongan susah dan ibu tunggal membuatkan saya
berhasrat untuk menubuhkan Yayasan Faiza satu hari nanti bagi menguruskan hal kebajikan dan
sumbangan kepada orang ramai.
“Niat saya hanya satu, iaitu tujuan saya berniaga bukan untuk kekayaan diri sendiri, tetapi untuk
membantu orang lain terutama golongan miskin dan ibu tunggal menikmati kehidupan yang baik,”
katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Faiza juga turut menyarankan umat Islam di negara ini supaya hidup bersatu padu supaya tidak mudah
ditindas oleh bangsa lain, dan hubungan yang kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu
memajukan masyarakat Islam di negara ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi
masyarakat tersebut.
“Kita kena bersatu supaya tiada sesiapa dapat pecah-belahkan kita. Bila kita lemah, kita kena tindas.
Ibarat lidi, bila ia satu, maka ia mudah dipatahkan tetapi apabila ia banyak, maka tidak dapat dipatahkan
dengan mudah,” kata anak kelahiran Mesir yang berhijrah ke Malaysia mengikuti suaminya Allahyarham
Abu Bakar Ahmad yang merupakan rakyat Malaysia pada tahun 1964.
Faiza, 68, berkata semua masyarakat Islam juga perlu mengamalkan cara hidup dengan berpegang
kepada ajaran Al-Qur’an, dan bersikap sentiasa senang hati apabila melihat kesenangan orang lain, dan
bukannya berperasaan iri hati serta berhasad dengi apabila melihat kejayaan orang lain.
Faiza berkata pengalamannya berniaga, termasuk berurusan dengan bangsa lain membuka mindanya
untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap
tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa lain.
“Pernah seorang peniaga bukan Melayu meminta saya berfikir antara dua jenis ketam iaitu ketam Melayu
dan ketam bukan Melayu. Mulanya saya tidak faham apa yang dimaksudkannya dengan dua jenis itu
sehinggalah peniaga itu kemudian menjelaskan bahawa ketam Melayu akan menarik kawannya jatuh ke
bawah ketika berjalan mendaki bukit, manakala ketam bukan Melayu pula akan menolong kawan-
kawannya,” katanya.
Faiza yang memiliki diploma dalam bidang jahitan sebelum berjaya mendirikan perusahaannya sekarang
mula menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjahit pakaian, dan kemudian
mengusahakan perusahaan rempah giling yang dijual kepada jiran serta kedai, sebelum membuka kedai
runcit pada tahun 70-an.
Syarikat milik Faiza kini mengedar lebih 21 jenama beras di negara ini temasuk yang paling dikenali,
“Herba Ponni Taj Mahal” dan anak syarikatnya, iaitu Faiza Marketing Sdn Bhd pula melibatkan diri dalam
mengilang pelbagai jenis rempah termasuk rempah Raja Kari, rempah Bukhari dan terbaru, rempah
rendang.
AMALAN PUAN FAIZA
Ibu kepada tujuh orang anak dan mempunyai 32 orang cucu itu juga berharap masyarakat Islam sentiasa
mencontohi keperibadian Nabi Muhammad S.A.W dalam menjalankan kehidupan seharian, terutama
amanah dan gigihnya Baginda Rasullulah dalam menjalankan perniagaan serta dalam menjalankan
tanggungjawabnya sebagai pemimpin.
Faiza mengamalkan solat sunat tahajjud, solat sunat dhuha dan membaca Surah AlWaqiah hampir setiap
hari sebagai ikhtiar untuk sentiasa mendapat keberkatan dan kemurahan rezeki dalam perniagaan.
Kisah kejayaan syarikat Faiza diharapkan menjadi inspirasi dalam apa bidang sekali pun, niat yang murni
dengan usaha yang tidak mengenal jemu akan menghasilkan kejayaan.
Kejayaan juga tidak datang bergolek dan tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan sebenarnya.
Seperti pepatah melayu, tidak dapat sagu jika tidak dipecahkan ruyungnya. Setelah melakukan usaha,
seharusnya diiringi dengan berdoa dan bertawakal.