Upload
others
View
16
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
1
TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI TS. DR. DAING NASIR IBRAHIM
NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG SEMPENA
MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN ALUMNI SEMSAS DAN ANUGERAH KECEMERLANGAN SULTAN HAJI AHMAD SHAH 2018
PADA HARI SABTU, 21 APRIL 2018; PUKUL 8:00 MALAM DI DEWAN AL-KHAWARIZMI,
SEKOLAH MENENGAH SAINS SULTAN HAJI AHMAD SHAH, KUANTAN
SALUTASI
Saudara pengacara majlis;
Yang Berusaha Dr Haji Tajuddin Mohd Yunus,
Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang;
Yang Berusaha Puan Hajah Safiah Awang,
Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah;
Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Razali Mustafar,
Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan;
Yang Berusaha Encik Mohd Fuad Kamal Ariffin,
Presiden Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS;
2
Ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS;
Yang Hormat Dato’-dato’ dan Yang Berbahagia Datin-datin;
Warga alumni SEMSAS yang dikasihi;
Tuan-tuan dan puan-puan;
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Negaraku Sehati Sejiwa.
KATA PEMBUKA
1. Alhamdulillah, sukalah saya merafakkan setinggi-tinggi
kesyukuran ke hadrat Allah Ta’ala kerana dengan limpah,
rahmat, kurnia dan izin-Nya, maka saya dapat bersama hadirin
sekalian dalam Majlis Makan Malam Persatuan Alumni SEMSAS
ini.
3
2. Justeru terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima
kasih kepada Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS atau EXSAS
yang diterajui sahabat saya, Encik Mohd Fuad Kamal Ariffin
sebagai Presiden atas undangan untuk saya merasmikan acara
pada malam ini.
3. Pada hemat saya, acara pada malam ini bukan sahaja istimewa
dalam konteks reunion dan imbasan kenangan warga EXSAS
sekalian, tetapi lebih dari itu turut signifikan untuk mengekalkan
keakraban para alumni SEMSAS dengan alma mater mereka.
4. Keakraban tersebut pada hemat saya, tidaklah sekadar terhad
kepada bentuk-bentuk acara seumpama ini semata-mata, tetapi
merangkumi pelbagai inisiatif dan aktiviti lain yang berimpak
tinggi serta bernilai tambah kepada sumbangan bakti alumni
SEMSAS kepada para juniors anda yang masih menuntut di sini.
4
5. Hal ini tentu sekali memerlukan satu jalinan hubungan yang
harmoni di antara persatuan alumni dan pentadbir sekolah.
Berdasarkan pengamatan saya, SEMSAS amat bertuah kerana
persatuan alumninya iaitu EXSAS sentiasa proaktif membantu,
menyokong dan mendukung pelbagai program atau projek yang
dijalankan oleh pihak sekolah sama ada yang berbentuk
pembangunan fizikal, pengupayaan modal insan dan lonjakan
akademik.
SEMANGAT SUMBANGSIH ALUMNI
6. Tuan-tuan dan puan-puan,
Dengan sejarah panjangnya yang kini menjangkau usia 45
tahun, saya percaya bahawa SEMSAS telahpun mencapai satu
tahap kematangan yang tersendiri sebagai antara Sekolah
Berasrama Penuh yang kanan di negara ini.
5
7. Kematangan ini tidak hanya terpancar pada usia tersebut, tetapi
juga terletak pada keupayaan SEMSAS untuk melahirkan
generasi alumni cemerlang yang silih berganti sejak
penubuhannya pada bulan Januari 1973.
8. Dalam hubungan tersebut, saya percaya bahawa pentadbir
sekolah dan EXSAS sentiasa memantau dan meneliti
perkembangan bekas-bekas pelajar sekolah ini sama ada yang
masih menuntut di peringkat yang lebih tinggi mahupun yang
telah bekerjaya.
9. 45 tahun usia SEMSAS juga pastinya mengemukakan cabaran
kepada EXSAS khususnya untuk menguruskan jurang interaksi
antara generasi alumni yang pelbagai. Cabaran ini pada
pandangan saya, memerlukan strategi dan inisiatif yang khusus
serta kepimpinan yang bijaksana di pihak EXSAS.
6
10. Maka penganjuran Majlis Makan Malam dan Anugerah
Kecemerlangan Sultan Haji Ahmad Shah (AKSHAH) seperti ini
merupakan satu langkah yang amat berkesan bagi
menghimpunkan para alumni SEMSAS merentasi pelbagai
generasi.
11. Saya percaya bahawa setiap generasi alumni tersebut punya
kenangan masing-masing yang unik dan tersendiri mengenai
zaman dan pengalaman mereka menuntut di sini. Tidak kira apa
jua latar zaman pengajiannya, kehadiran anda pada malam ini
disatukan oleh semangat SEMSAS yang tunggal dan unggul.
12. Keakraban yang dicorakkan oleh semangat kesatuan inilah yang
mengekalkan kejelekitan anda dan menginspirasikan pula para
juniors anda untuk menuruti jejak langkah kejayaan seniors
mereka.
7
13. Justeru, selepas 45 tahun penubuhannya, maka adalah penting
untuk EXSAS dan pentadbir SEMSAS saling bersinergi dalam
memperkasa jati diri generasi pelajar SEMSAS hari ini dengan
mengembalikan ingatan mereka terhadap falsafah asal
penubuhan sekolah ini dan sejarah gemilang yang
ditempuhinya.
14. SEMSAS boleh berbangga dengan nama-nama besar yang
dilahirkannya dan hari ini kita dapat melihat bahawa ada dalam
kalangan anak-anak bekas pelajar sekolah ini turut menuntut di
sini sebagaimana yang ditempuhi oleh ibu bapa mereka suatu
ketika dahulu.
15. Kitaran inspirasi sebeginilah pada hemat saya, begitu signifikan
bagi memupuk dan mengekalkan perasaan cinta yang
mendalam dalam kalangan warga sekolah ini terhadap
SEMSAS.
16. Satu lagi dimensi cabaran yang turut memerlukan perhatian
EXSAS ialah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar
dan alumni sedia ada untuk kembali berbakti kepada sekolah ini.
8
17. Para alumni yang telah berjaya dalam bidang dan kerjaya
masing-masing perlu digembleng secara konsisten untuk
kembali berbakti kepada SEMSAS dalam apa jua bentuk yang
wajar.
18. Saya melihat bahawa kesedaran sedemikian boleh sahaja
dimunculkan sekiranya warga pelajar dan alumni SEMSAS
menginsafi akan semangat asal penubuhan sekolah-sekolah
sains berasrama penuh sebegini oleh kerajaan suatu ketika
dahulu.
19. Memetik kata-kata Tan Sri Omar Mohd Hashim iaitu mantan
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, ”daripada
sekolah sains seperti inilah kita berharap dapat melahirkan anak-
anak watan yang peka kepada perubahan-perubahan ekonomi,
sosial dan pendidikan, yang berdisiplin dan bersistem, serba
boleh serta berorentasikan sains. Mereka juga mempunyai
pegangan yang kukuh kepada tradisi dan nilai kebudayaan serta
agamanya dan tahu akan tanggungjawab dan peranannya.”
9
20. Oleh yang demikian, kita dapat melihat bahawa kesedaran dan
keinsafan yang saya sebutkan tadi adalah sebahagian daripada
cabaran suntikan nilai patriotisme melalui sistem pendidikan
kepada generasi hari ini.
21. Mana mungkin generasi SEMSAS pada hari ini dapat disedarkan
mengenai falsafah dan semangat asal penubuhannya sekiranya
suka duka pengalaman sejarah dan pengorbanan generasi silam
sekolah ini tidak diceritakan kembali kepada mereka. Sebagai
generasi lebih berusia yang telah melalui proses tersebut,
tanggungjawab tersebut sewajarnya kita pikul bersama.
10
UMP DAN SEMSAS
22. Tuan-tuan dan puan-puan,
Sebagai Naib Canselor UMP, saya juga melihat SEMSAS
sebagai rakan dan jiran yang penting buat Universiti ini. Bukan
sahaja kerana kedudukan SEMSAS yang berdekatan dengan
UMP Kampus Gambang, tetapi ramai juga alumni SEMSAS
yang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di UMP, dan
ada juga yang berkhidmat di Universiti ini.
23. Saya juga amat sukacita kerana sejak tahun 2012, SEMSAS
juga merupakan salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan
yang ditindikkan Kementerian Pendidikan Malaysia kepada
UMP.
24. Perkembangan tersebut membolehkan SEMSAS dan UMP
menjalinkan hubungan yang lebih erat dan akrab khususnya
dalam konteks pembangunan akademik dan pembudayaan
inovasi.
11
25. Dengan sinergi yang berterusan antara kedua-dua pihak dari
semasa ke semasa, saya amat positif bahawa lebih banyak lagi
inisiatif kerjasama yang dapat dirintis dan diteroka oleh SEMSAS
dan UMP dalam bidang-bidang yang berkaitan.
26. Hal ini saya percaya dapat dimudahcara dengan lebih berkesan
memandangkan Presiden EXSAS kini iaitu Encik Mohd Fuad
Kamal Ariffin juga merupakan salah seorang tokoh yang dilantik
Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Ahli Lembaga Pengarah
UMP.
27. Maka, saya amat sukacita apabila dimaklumkan Encik Mohd
Fuad bahawa SEMSAS telah mencatatkan keputusan
cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
tahun 2017 dan muncul sebagai Sekolah Bantuan Kerajaan
yang terbaik di negeri Pahang dengan rekod pencapaian Gred
Purata Sekolah (GPS) 2.00.
12
28. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada warga SEMSAS
kerana sekolah ini telah berjaya melahirkan calon tunggal di
negeri Pahang yang memperolehi straight A+ dalam semua
subjek bagi peperiksaan SPM 2017.
29. Sehubungan dengan itu, komitmen dan dedikasi yang telah
diperlihatkan para guru, alumni, pelajar dan ibu bapa dalam
mengangkat kecemerlangan SEMSAS sewajarnya diberikan
penghargaan dan pengiktirafan.
30. Oleh yang demikian, pihak pengurusan UMP telah bersetuju
untuk menaja wang saguhati dan cendera kenangan kepada dua
pelajar terbaik SEMSAS bagi peperiksaan SPM 2016 dan 2017
dengan nilai hadiah RM1,000.00 setiap seorang. Tajaan ini
merupakan sebahagian daripada Anugerah Kecemerlangan
Sultan Haji Ahmad Shah 2018 (AKSHAH) yang akan
disampaikan pada malam ini.
13
KATA PENUTUP
31. Tuan-tuan dan puan-puan,
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin
merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada
EXSAS atas peluang yang diberikan kepada saya untuk
berinteraksi dengan warga SEMSAS pada malam ini.
32. Saya berdoa mudah-mudahan Allah Ta’ala memberkati usaha
murni ini dan melimpahkan rahmat peliharaan-Nya kepada kita
semua dengan naungan kesejahteraan, kemakmuran, kesihatan
dan kejayaan, Amin.
33. Justeru, dengan harapan dan doa tersebut serta lafaz yang mulia
Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis
Makan Malam Persatuan Bekas Pelajar SEMAS dan Anugerah
Kecemerlangan Sultan Haji Ahmad Shah 2018.
Sekian, Wabillahi taufiq walhidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.