Upload
trandan
View
237
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
UCAPAN BAJET 2012
OLEH
Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HJ. AMAN
KETUA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN SABAH
DI
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA
18 NOVEMBER 2011 (JUMAAT)
“MELONJAKKAN KESEJAHTERAAN DAN KEMAKMURAN
NEGERI”
2
Bismillahir Rahmannir Rahim,
Tuan Speaker,
01. Saya mohon mencadangkan Bajet negeri Sabah bagi tahun 2012
untuk kelulusan Dewan yang mulia ini.
Pendahuluan
02. Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan
izin dan limpah kurnia-Nya jua, saya dapat terus menunaikan amanah
serta tanggungjawab dalam membentangkan Bajet negeri Sabah bagi
tahun 2012 di Dewan yang mulia ini.
03. Seperti yang kita sedia maklum, dalam Bajet Nasional 2012 yang
telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerajaan
telah menyediakan pelbagai insentif dan kemudahan untuk kepentingan
dan manfaat kepada semua lapisan rakyat. Seperti tahun-tahun sebelum
ini, negeri Sabah turut mendapat manfaat melalui penyediaan peruntukan
yang agak besar dalam Bajet Nasional 2012. Untuk ini, Kerajaan Negeri
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada
Kerajaan Pusat khususnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri
merangkap Menteri Kewangan Malaysia, yang bukan sahaja meneruskan,
bahkan telah meningkatkan lagi keprihatinan dan komitmen yang tinggi
terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat di seluruh pelusuk
negeri. Sebagai melengkapkan agenda pembangunan negara, melalui
Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan
3
Model Baru Ekonomi, Kerajaan Negeri melalui strategi Bajet Negeri 2012,
antara lain akan menyediakan peruntukan yang diperlukan bagi
melaksanakan program-program pembangunan di negeri Sabah demi
kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri yang tercinta ini.
Ekonomi Dunia
Tuan Speaker,
04. Pembentangan Bajet 2012 ini adalah mengambilkira senario ekonomi
global, negara dan negeri. Kadar pertumbuhan ekonomi dunia dijangka
sederhana iaitu menghampiri 4% pada tahun 2012 berbanding lebih 5.1%
pada tahun 2010 dan 4% pada tahun 2011. Ekonomi Amerika Syarikat
dijangka berkembang pada kadar 1.5% pada tahun 2011 dan 1.8% pada
tahun 2012. Ekonomi Kesatuan Eropah dijangka berkembang pada kadar
1.6% pada tahun 2011 dan 1.1% pada tahun 2012. Sementara itu,
bencana gempa bumi, Tsunami dan kebocoran loji nuklear yang melanda
Jepun bukan sahaja telah menjejaskan nyawa dan harta benda, bahkan
turut menjejaskan ekonomi negara tersebut. Pertumbuhan keseluruhan
ekonomi Jepun dijangka berada pada kadar negatif 0.5% pada tahun 2011
dan 2.3% pada tahun 2012. Manakala ekonomi negara-negara maju
diramalkan berkembang pada kadar 1.6% pada tahun 2011 dan 1.9% pada
tahun 2012.
05. Prospek pertumbuhan ekonomi di negara-negara ekonomi
membangun (developing economies) dan ekonomi baru muncul (emerging
economies) dijangka agak teguh pada kadar 6.4% pada tahun 2011 dan
6.1% pada tahun 2012. Pertumbuhan ekonomi serantau akan terus
4
diterajui oleh negara China dan India. Ekonomi China dijangka mencapai
kadar pertumbuhan sebanyak 9.5% pada tahun 2011 dan 9.0% pada tahun
2012. Ekonomi India juga diramalkan berkembang pada kadar yang tinggi
sebanyak 7.8% pada tahun 2011 sebelum menurun kepada 7.5% pada
tahun 2012. Ekonomi ASEAN-5 yang terdiri daripada Indonesia, Malaysia,
Filipina, Thailand, dan Vietnam dijangka berkembang pada kadar 5.4%
pada tahun 2011 dan 5.7% pada tahun 2012.
Ekonomi Malaysia
Tuan Speaker,
06. Prestasi ekonomi Malaysia pula mencatatkan kadar pertumbuhan
yang positif sebanyak 4.4% pada separuh tahun pertama 2011. Walaupun
terdapat ketidakpastian dalam ekonomi global, ekonomi Malaysia dijangka
berkembang antara 5.0% hingga 5.5% pada tahun semasa. Momentum
pertumbuhan ini dijangka meningkat pada separuh kedua tahun 2011.
07. Dalam tempoh separuh tahun pertama 2011, nilai jualan sektor
pembuatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.8% atau
RM33.3 bilion daripada RM307.7 bilion kepada RM341.0 bilion. Sektor
perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,
menyumbang hampir 58% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Di bawah Rancangan Malaysia ke-10, Kerajaan mensasarkan sektor ini
menyumbang 60% kepada KDNK menjelang tahun 2015.
5
Ekonomi Sabah
Tuan Speaker,
08. Walaupun ekonomi global tidak menentu, dalam tempoh separuh
tahun pertama tahun ini, eksport negeri masih mencatatkan pertumbuhan
dengan kadar sebanyak 4.0%. Manakala jumlah import meningkat
sebanyak 13.2% disebabkan oleh kos import yang tinggi bagi bahan
makanan dan keluaran-keluaran petroleum. Imbangan dagangan sebanyak
RM8.31 bilion yang dicatatkan dalam tempoh separuh tahun pertama tahun
ini adalah lebih rendah berbanding imbangan dagangan yang dicatatkan
dalam tempoh separuh tahun pertama tahun lepas iaitu sebanyak RM9.18
bilion. Walaupun jumlah eksport bagi kebanyakan komoditi utama negeri
telah berkurangan namun, nilai eksport negeri terus mencatatkan
pertumbuhan positif disebabkan oleh harga komoditi yang tinggi bagi
kebanyakan komoditi utama negeri ini.
09. Sungguhpun prestasi sektor luar negeri adalah kurang
menggalakkan, namun, sukacita saya memaklumkan bahawa jumlah
pelaburan swasta di negeri ini telah meningkat. Bagi tempoh tujuh bulan
pertama tahun ini, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor
pembuatan di negeri ini ialah sebanyak RM955 juta berbanding RM270.15
juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2010.
10. Pada tahun ini, walaupun terdapat peningkatan dalam pelaburan dan
penggunaan swasta, ekonomi negeri yang didominasi oleh sektor luar
negeri dijangka hanya berkembang sebanyak 3% hingga 4% disebabkan
oleh permintaan global dan pertumbuhan eksport yang lemah.
6
11. Untuk tahun hadapan, suasana ekonomi negeri dijangka akan lebih
mencabar akibat bertambahnya ketidakpastian dalam ekonomi global.
Seperti mana yang telah dimaklumkan sebelum ini, sumber-sumber
pertumbuhan negeri sebahagian besarnya dijangka akan disumbangkan
oleh sektor domestik, kerana sektor luar negeri dijangka berkembang pada
kadar yang sederhana dan perlahan. Pelaburan awam dan swasta serta
penggunaan domestik dijangka akan terus merangsang pertumbuhan
ekonomi negeri iaitu melalui pelaksanaan pelbagai projek awam dan
swasta serta pemberian pelbagai insentif oleh kerajaan untuk merangsang
penggunaan domestik seperti mana yang telah diumumkan dalam Bajet
Negara 2012. Di sebalik senario ini, ekonomi negeri diramal akan
berkembang di antara 4.5% hingga 5 % dalam tahun 2012.
Prestasi Kewangan Negeri
Tuan Speaker.
12. Kerajaan Barisan Nasional negeri Sabah sentiasa komited untuk
mencapai sasaran yang kita rancang melalui disiplin kewangan dan
perbelanjaan yang teratur. Sasaran jangka panjang kita untuk menjadi
negeri yang maju dan makmur pasti dicapai kerana fundamental ekonomi
adalah kukuh ditambah lagi dengan kekayaan hasil bumi negeri ini. Untuk
makluman Ahli-ahli Dewan yang mulia ini, prestasi Kerajaan Negeri yang
ditadbir oleh Kerajaan Barisan Nasional kian menyerlah seperti yang
dicerminkan melalui pencapaian-pencapaian seperti berikut:
7
(i) Merupakan antara negeri yang terbaik dalam pengurusan
kewangan dengan mempertahankan Sijil Bersih yang
dianugerahkan oleh Ketua Audit Negara selama 11 tahun
berturut-turut;
(ii) Mencapai penarafan tertinggi “AAA” oleh RAM Rating Services
Berhad selama 3 tahun berturut-turut kerana kedudukan fiskal
negeri yang mantap dengan lebihan yang berterusan dan
mengumpulkan rizab yang kukuh di samping hubungan baik
dan sokongan padu daripada Kerajaan Pusat;
(iii) Mendapat persijilan ISO oleh Moody International untuk
pengurusan bajet negeri yang efisien dan teratur bagi tempoh 3
tahun berturut-turut; dan
(iv) Laporan Ketua Audit Negara tahun 2010 menunjukkan
beberapa angka sebenar yang merupakan pencapaian tertinggi
dalam sejarah kewangan negeri seperti:
Rizab Negeri melebihi RM3 billion;
Hasil Negeri melebihi RM4 billion;
Lebihan sebenar berjumlah RM730 juta;
Perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.17
bilion; dan
Tiada tunggakan bayaran ke atas pinjaman
Kerajaan Pusat (we paid all the dues);
8
Tuan Speaker,
13. Dengan rekod-rekod yang begitu cemerlang, Kerajaan Barisan
Nasional Negeri berasa amat bersyukur dan bangga serta akan terus
komited dalam membangunkan negeri yang tercinta ini ke tahap yang
lebih tinggi untuk kesejahteraan dan kemakmuran semua. Kerjasama dan
ketekunan kita semua telah membuahkan hasil. Kita akan terus melipat
gandakan daya upaya dan mencurahkan tenaga demi merealisasikan
semua program dan agenda pembangunan yang telah dirancang.
14. Bagi tahun 2012, Kerajaan Negeri dijangka akan mengutip hasil
yang tertinggi dalam sejarah penyediaan Bajet Tahunan negeri iaitu
sebanyak RM3,690.53 juta. Dengan kedudukan kewangan negeri yang
kukuh dan surplus sebenar yang berterusan, khasnya surplus sebanyak
RM730 juta pada tahun 2010, maka untuk memesatkan lagi pembangunan
dan memantapkan lagi kesejahteraan dan kemakmuran negeri yang
dicintai ini, izinkan saya membentangkan perbelanjaan bagi tahun 2012
yang merupakan satu rekod perbelanjaan yang terbesar dalam sejarah
kewangan negeri ini. Sejajar dan bertepatan dengan tema Bajet 2012
iaitu, “MELONJAKKAN KESEJAHTERAAN DAN KEMAKMURAN
NEGERI”, saya mencadangkan perbelanjaan tahun 2012 berjumlah
RM4,048.28 juta.
15. Salah satu objektif Bajet 2012 adalah untuk merangsang
pertumbuhan ekonomi negeri dengan penekanan ke atas
penambahbaikan infrastruktur asas serta kemudahan prasarana awam
bagi manfaat rakyat dan para pelabur. Dengan bajet yang begitu besar,
9
beberapa perbelanjaan dan komitmen telah disusun untuk menyokong
perkembangan ekonomi kita. Selain daripada sistem perbankan yang
efesien dan infrastruktur asas yang mencukupi seperti jalan raya,
jambatan, bekalan air dan elektrik serta kemudahan prasarana yang lain,
kita juga komited dalam mengutamakan infrastruktur kewangan (financial
infrastructure) yang berkualiti dengan menerapkan disiplin kewangan,
urus tadbir yang baik termasuk juga sistem laporan dan kawalan kewangan
yang berkesan.
16. Dengan amalan dan sistem kewangan yang teratur, semua
kementerian, jabatan dan agensi kerajaan telah berusaha memastikan
peruntukan-peruntukan dibelanjakan untuk maksud yang ditetapkan.
Syabas kepada jentera kerajaan yang telah menunjukkan komitmen dan
akauntabiliti mereka dalam memastikan penggunaan sumber kewangan
dan hasil bumi secara telus dan berhemah (value for money).
Objektif dan Strategi Bajet 2012
Tuan Speaker,
17. Peruntukan-peruntukan bagi tahun 2012 akan dibelanjakan dengan
beberapa objektif dan strategi yang sama seperti tahun lalu, iaitu seperti
berikut:
a. mengukuhkan kewangan negeri;
b. mengekalkan momentum ekonomi negeri;
10
c. menambah baik infrastruktur asas dan kemudahan awam;
d. mempercepatkan pencapaian halatuju;
e. membangunkan belia dan modal insan yang berkualiti dan
bernilai;
f. menghapuskan kemiskinan; dan
g. pembangunan seimbang antara kawasan.
Hasil Negeri 2012
Tuan Speaker,
18. Hasil negeri Sabah dianggarkan berjumlah RM3,690.53 juta pada
tahun 2012. Anggaran Hasil disemak bagi tahun 2011 dijangka berjumlah
RM3,820.45 juta iaitu peningkatan sebanyak RM1,072.51 juta atau 39%
berbanding anggaran asal sebanyak RM2,747.94 juta. Lima sumber hasil
utama iaitu Cukai Jualan atas Minyak Sawit Mentah, Royalti Petroleum,
Perolehan dan Faedah dari Pelaburan serta Tanah dan Perhutanan
menyumbang kepada peningkatan hasil disemak bagi tahun 2011.
Kesemua sumber ini merangkumi lebih 80% hasil disemak. Kerajaan
Negeri berkeyakinan bahawa hasil negeri akan mencapai prestasi yang
sama pada tahun 2012. Namun demikian, Kerajaan Negeri haruslah
berhemat dengan mengambil pendekatan konservatif dalam penyediaan
anggaran hasil memandangkan kebanyakan sumber hasil utama negeri
adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri terutama dalam penentuan harga
dan pengeluaran bagi minyak sawit mentah dan petroleum.
11
19. Hasil Negeri diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu Hasil Cukai,
Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Hasil Cukai dijangka
menyumbang sebanyak RM1,165.10 juta atau 32%. Daripada jumlah
berkenaan, sebanyak RM1,100.00 juta disumbangkan oleh Cukai Jualan.
Cukai Jualan atas Minyak Sawit Mentah di bawah kategori ini dijangka
menyumbang RM1,000.00 juta.
20. Hasil Bukan Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM2,189.12
juta atau 59%. Dua penyumbang utama dalam kategori ini ialah Faedah
dan Perolehan dari Pelaburan dengan anggaran berjumlah RM805.46 juta
dan Royalti Petroleum dengan anggaran sebanyak RM774.46 juta.
Sebanyak RM336.31 juta atau 9% adalah dari kategori Terimaan Bukan
Hasil. Kategori ini kebanyakannya adalah geran dan sumbangan daripada
Kerajaan Pusat.
Anggaran Perbekalan Dan Pembangunan Tahun 2012
Anggaran Perbekalan
Tuan Speaker,
21. Dengan mengambil kira keadaan kewangan yang kukuh, anggaran
hasil sebanyak RM3,690.53 juta dan Objektif Bajet seperti yang
disebutkan tadi, saya mencadangkan sejumlah RM4,048.28 juta wang
negeri disediakan bagi Perbelanjaan Perbekalan untuk tahun 2012. Ia
melibatkan kenaikan sebanyak RM979.62 juta ataupun kenaikan 31.92%
12
berbanding Anggaran Perbelanjaan bagi tahun 2011 iaitu sebanyak
RM3,068.66 juta.
22. Cadangan Anggaran Emolumen bagi tahun 2012 adalah sebanyak
RM623.66 juta dengan kenaikan sebanyak RM26.10 juta atau 4.37%
berbanding dengan anggaran sebanyak RM597.56 juta dalam tahun 2011.
Peningkatan perbelanjaan emolumen antaranya disebabkan usaha
Kerajaan memenuhi keperluan pewujudan dan pengisian jawatan yang
benar-benar diperlukan sebagai jentera penggerak pentadbiran dan
pemangkin pembangunan.
23. Anggaran sebanyak RM1,120.85 juta adalah disyorkan untuk
Perbelanjaan Berulang bagi tahun 2012. Ini melibatkan kenaikan sebanyak
RM63.14 juta atau 5.97% berbanding dengan anggaran sebanyak
RM1,057.71 juta dalam tahun 2011. Peningkatan perbelanjaan berulang
disebabkan oleh antaranya kenaikan perbelanjaan kos pengurusan operasi
sektor awam bagi memastikan keberkesanan sistem penyampaian
(delivery system).
24. Cadangan sebanyak RM2,303.77 juta untuk Perbelanjaan Khas bagi
tahun 2012 menunjukkan kenaikan sebanyak RM890.38 juta atau
sebanyak 63% berbanding dengan anggaran sebanyak RM1,413.39 juta
bagi tahun 2011. Antara program/aktiviti yang mengalami peningkatan
peruntukan ialah Pelaburan Ekuiti, Pembayaran kepada Konsesi Air,
Bangunan Kerajaan, Perbelanjaan Untuk Penyediaan Infrastruktur
Sokongan dan Caruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
13
Anggaran Pembangunan
Tuan Speaker,
25. Sejumlah RM881.87 juta peruntukan negeri akan disediakan untuk
perbelanjaan pembangunan negeri pada tahun 2012.
26. Sesuai dengan teras dan halatuju pembangunan negeri, Bajet
Pembangunan Negeri pada tahun 2012 akan terus memberi tumpuan
kepada program dan aktiviti pembangunan yang dapat mempercepatkan
pertumbuhan ekonomi negeri dan mewujudkan suasana serta persekitaran
yang lebih selesa, aman dan sekaligus mempertingkatkan lagi kualiti
kehidupan di negeri ini.
27. Justeru, sebahagian besar bajet pembangunan tahun 2012, iaitu
sebanyak RM545.91 juta atau 64.08%, adalah disalurkan kepada sektor
ekonomi. Sektor sosial diperuntukkan sebanyak RM256.9 juta atau
30.16%. Pelan Strategik Pembangunan Negeri atau lebih dikenali sebagai
Halatuju Pembangunan negeri Sabah akan mendapat peruntukan
sebanyak RM617.43 juta atau 72.5% daripada jumlah keseluruhan
anggaran peruntukan bajet pembangunan untuk tahun 2012.
Agihan Peruntukan Mengikut Kementerian
Tuan Speaker,
14
28. Sejajar dengan peranan, tanggungjawab dan fungsi masing-masing
sebagai agensi pelaksana utama Kerajaan, agihan peruntukan Perbekalan
dan Pembangunan 2012 yang dicadangkan mengikut Kementerian adalah
seperti berikut:
Kementerian Agihan
Perbekalan (RM) juta
Pembangunan (RM) juta
Kementerian Kewangan 1,918.62 18.58
Kementerian Pembangunan Infrastruktur 679.31 310.40
Jabatan Ketua Menteri 432.03 190.94
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan 282.94 131.99
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna
133.03 7.14
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
105.39 24.65
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan
88.48 34.50
Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat
87.37 5.00
Kementerian Pembangunan Luar Bandar 67.04 99.72
Kementerian Belia dan Sukan 56.14 24.18
Kementerian Pembangunan Perindustrian 10.06 19.77
Perbelanjaan yang tidak termasuk dalam Kementerian-kementerian
23.97
Perbelanjaan Tanggungan 163.9
Simpanan Luar Jangka 15.00
Jumlah 4,048.28 881.87
15
Peruntukan Mengikut Sektor
Tuan Speaker,
29. Bajet 2012 akan terus menjurus dan memberi peruntukan yang besar
bagi menaik taraf serta meneruskan pembangunan infrastruktur asas dan
kemudahan awam bagi menyokong tiga sektor Halatuju yang meliputi
sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan. Penekanan juga akan
diberikan kepada program-program pembangunan luar bandar yang
berkaitan dengan pembasmian kemiskinan, modal insan serta program-
program sosial dan kebajikan am demi melonjakkan kesejahteraan rakyat
dan kemakmuran negeri.
Pembangunan Infrastruktur Asas Dan Kemudahan Awam
Tuan Speaker,
30. Infrastruktur asas dan kemudahan awam merupakan pemangkin
kepada pembangunan negeri. Bajet 2012 akan memfokuskan kepada
kemajuan infrastruktur bagi memastikan pembangunan seimbang di antara
bandar dan luar bandar serta menepati keperluan pembangunan sektor
pertanian, pelancongan dan pembuatan dalam memacu lagi
perkembangan sosio ekonomi di negeri ini.
31. Dalam tahun 2012, usaha akan diteruskan untuk melaksanakan
strategi terancang yang dikenalpasti iaitu antara lain untuk menaiktaraf dan
menyelenggara rangkaian jalanraya, meningkatkan kapasiti loji-loji air dan
16
kumbahan, memperluaskan lagi rangkaian paip air, mengurangkan kadar
air tidak berhasil, meningkatkan lagi perkhidmatan dan operasi di jeti dan
pelabuhan. Untuk membiayai program Pembangunan Infrastruktur asas
dan kemudahan awam, sebanyak RM1,284.78 juta disediakan. Daripada
jumlah di atas, sebanyak RM458.80 juta adalah untuk bekalan air,
RM270.63 juta untuk jalanraya dan RM63.58 juta untuk pembetungan.
Pembangunan Sektor Pertanian
Tuan Speaker,
32. Sebagai salah satu pemangkin kepada pembangunan negeri,
Kerajaan akan terus berusaha untuk memantapkan sektor pertanian agar
ia dapat mengalami pertumbuhan yang pesat, bersifat lestari, relevan,
berdaya saing dan diusahakan secara komersil. Dengan yang demikian,
bagi merealisasikan hasrat kerajaan tersebut, sejumlah RM335.95 juta
yang meliputi RM173.62 juta perbelanjaan mengurus dan RM162.33 juta
perbelanjaan pembangunan diperuntukkan bagi pembangunan sektor
pertanian termasuk perikanan, haiwan dan pengairan dalam Bajet 2012.
33. Penumpuan akan diberikan terhadap penggunaan sumber-sumber
bagi menghasilkan pengeluaran tertinggi bahan makanan tempatan;
pengukuhan jaringan integrasi perniagaan tani; peningkatan peranan
sektor swasta dan pengukuhan khidmat sokongan utama.
34. Agensi-agensi seperti Korporasi Pembangunan Desa, Lembaga
Industri Getah dan Ko-Nelayan memainkan peranan penting dalam
17
memajukan sektor pertanian dan oleh yang demikian sejumlah RM39.20
juta akan disalurkan kepada agensi-agensi tersebut pada tahun hadapan.
Pembangunan Sektor Pelancongan
Tuan Speaker,
Pergi berkelah di tepi pantai
Sambil membawa jiran sekampung
Negeri Sabah indah dan permai
Jadi tumpuan para pelancong
35. Bagi memantapkan lagi pembangunan sektor pelancongan,
pemeliharaan warisan budaya dan konservasi alam sekitar, Kerajaan akan
memperuntukkan sejumlah RM158.84 juta kepada Kementerian
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta enam (6) agensi di
bawahnya dan juga kepada Jabatan Perhutanan dan Sabah Biodiversity
Centre yang meliputi RM139.70 juta untuk perbelanjaan mengurus dan
RM19.14 juta bagi program pembangunan berkaitan pelancongan,
kebudayaan dan alam sekitar untuk dilaksanakan pada tahun 2012.
36. Bagi tempoh Januari hingga September 2011, Sabah merekodkan
pendapatan pelancongan berjumlah RM1,450 juta bagi pelancong
antarabangsa, RM2,212 juta bagi pelancong domestik menjadikan
keseluruhan pendapatan sebanyak RM3,662 juta. Manakala, jumlah
ketibaan pelancong ke Sabah dalam tempoh sembilan bulan tahun ini telah
mencecah 2.09 juta pelancong, meningkat sebanyak 14.5% berbanding
18
jumlah ketibaan pelancong dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.
Oleh itu, sejumlah RM59.50 juta adalah pemberian kepada Lembaga
Pelancongan Sabah, Lembaga Kebudayaan Sabah dan Taman-taman
Sabah untuk memastikan peningkatan berterusan dalam sektor
pelancongan baik dalam jangka pendek mahupun jangka panjang.
Pembangunan Sektor Pembuatan
Tuan Speaker,
37. Dalam Bajet 2012, peruntukan sejumlah RM98.15 juta disediakan
untuk pembangunan sektor pembuatan. Peruntukan ini bertujuan untuk
meningkatkan usaha-usaha yang akan memacu pertumbuhan sektor
pembuatan supaya sumbangannya kepada nilai eksport negeri Sabah
akan bertambah.
38. Bagi merealisasikan peningkatan sumbangan sektor pembuatan
kepada ekonomi negeri Sabah, projek-projek sokongan sektor pembuatan
seperti penyediaan infrastruktur asas perindustrian akan terus dipergiat.
Pembangunan kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), POIC
Lahad Datu dan POIC Sandakan akan diberi tumpuan yang khusus agar
sumbangannya terhadap pertumbuhan ekonomi negeri Sabah dapat
direalisasikan. Untuk itu, peruntukan sebanyak RM35.05 juta disediakan.
Kawasan-kawasan perindustrian ini diharapkan akan terus menjadi pusat
operasi kilang-kilang yang dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan
perniagaan kepada belia dan usahawan muda negeri ini.
19
Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Luar Bandar Dan Membasmi
Kemiskinan Tegar
Tuan Speaker,
39. Keperitan hidup golongan kurang berkemampuan sentiasa
menggamit keperihatinan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional Negeri
dan Pusat. Pembasmian kemiskinan terus menjadi antara agenda utama
Kerajaan di bawah RMK10 di mana program-program Kerajaan Negeri dan
Kerajaan Pusat mensasarkan pensifaran miskin tegar dan pengurangan
miskin relatif. Pelbagai program pembasmian kemiskinan telah dan akan
terus dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin,
sekaligus merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar
bandar.
40. Program-program Kerajaan Negeri seperti Mini Estet Sejahtera
(MESEJ), Ladang PPRT serta Program Peningkatan Ekonomi Setempat
(PPES) berjaya melibatkan ramai Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT)
sekaligus meningkatkan pendapatan mereka bagi melepasi Pendapatan
Garis Kemiskinan (PGK) miskin tegar.
41. Sejak awal tahun 2010 sejumlah 1,167 KIRMT di daerah Tongod dan
Tawau telah mula dibayar dividen sebanyak RM400 sebulan melalui
Ladang PPRT tanaman Kelapa Sawit di Kalabakan dan Tongod. Rumah-
rumah juga telah disiapkan di kedua-dua ladang tersebut bagi
menempatkan KIRMT yang bersedia bekerja dalam ladang di samping
20
menerima dividen. Ladang-ladang tersebut adalah usahasama antara
Kerajaan Negeri dan Sawit Kinabalu Berhad.
42. Pada masa ini, sejumlah 30 buah MESEJ pertanian dan 8 buah
MESEJ akuakualtur yang sedang dalam pelbagai tahap pelaksanaan
antaranya di Kg. Lok Butun Semporna; Kg. Nala Tungku; Kg. Panimbawan
Tuaran; Kg. Pangi Kunak; Pulau Sakar Lahad Datu; dan Pulau Jambongan
Paitan telah mula mendatangkan pendapatan kepada peserta. Pada
keseluruhannya sejumlah 1,600 KIRMT dijangka akan dapat menikmati
faedah dan berjaya dikeluarkan daripada kemiskinan tegar apabila
kesemua projek-projek tersebut beroperasi sepenuhnya. Sebagai
meneruskan kesinambungan usaha kita dalam tahun 2012, sejumlah
RM168.95 juta akan disediakan.
Pembangunan ICT
Tuan speaker,
43. Teknologi maklumat adalah penggerak nadi kehidupan kita masa ini.
Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini menjadikan
dunia yang luas tanpa sempadan. Kerajaan dan rakyat semakin dekat;
jurang digital antara bandar dan luar bandar juga dapat dirapatkan melalui
State ICT Blueprint yang merangkumi Infostruktur ICT seperti Portal e-
konstituensi dan Portal Masyarakat Elektronik (eMas). Di samping itu,
beberapa pusat e-Desa akan terus dibangunkan demi memperkasakan
rakyat selaras dengan usaha kerajaan membangunkan ekonomi
berasaskan pengetahuan (K-based economy). Untuk itu, sejumlah RM
71.91 juta akan diperuntukkan dalam Bajet 2012.
21
Modal Insan dan Belia
Tuan Speaker,
44. Modal insan adalah menjadi satu landasan, khazanah dan
pemangkin untuk mencetuskan suatu idea baru bagi melonjakkan
kesejahteraan dan kemakmuran negeri Sabah sebagai salah sebuah
negeri yang maju di Malaysia menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian
kualiti dan nilai murni modal insan akan terus diterapkan kepada
kakitangan kerajaan dan rakyat terutamanya golongan belia. Dalam
merealisasikan usaha ini, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah
RM204 juta untuk program pembangunan modal insan.
45. “Belia tunjang negara, mantap belia, kukuhlah negara”. Kerajaan
sentiasa berusaha menyedia dan meneroka setiap ruang untuk menjana
potensi belia agar mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan,
berkeperibadian mulia, berkemampuan melaksanakan semua bidang yang
diceburi secara kreatif dan terus kompetitif, sama ada dalam sektor awam
atau sektor swasta termasuk penglibatan dalam perniagaan dan
keusahawanan. Golongan ini perlu disediakan hala tuju yang jelas dan
diberikan peluang mendapatkan kemahiran dan kerjaya supaya mereka
akan menjadi modal insan yang boleh memberi sumbangan positif kepada
masyarakat. Untuk ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak
RM58.27 juta pada tahun 2012 bagi menjalankan pelbagai Program
Pembangunan Belia seperti penganugerahan Biasiswa, Program-Program
Kemahiran, Program Bersama Persatuan Belia Akar Umbi, Program
Kempen Pendaftaran Persatuan Belia Akar Umbi, Program Patriotisme dan
22
Kenegaraan, Program Kemasyarakatan dan Kesukarelawan, Program
Cinta Alam, Program Cabaran dan Rekreasi, Program Gaya Hidup Sihat,
Program Bersama Persatuan Beruniform dan Program Bersama Institut
Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Sekolah.
46. Menyedari kepentingan dan keutamaan rangkaian berpersatuan,
Kerajaan Negeri akan menambah peruntukan sumbangan kepada badan-
badan belia supaya Gerakan Budaya Berpersatuan di negeri ini dapat
dimantapkan lagi. Berdasarkan statistik daripada Pejabat Pendaftar
Pertubuhan (ROS), setakat Julai 2011 terdapat 299 Persatuan Belia Akar
Umbi yang sah berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di
seluruh negeri Sabah. Untuk ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan
sebanyak RM7.5 juta pada tahun 2012.
47. Sememangnya menjadi hasrat kerajaan untuk merealisasikan dan
mewujudkan belia yang progresif, inovatif, sihat, cergas, berdisiplin dan
berdaya saing. Ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk
memperbanyakkan lagi atlit yang mampu mengharumkan nama negeri
sekaligus negara di persada antarabangsa. Untuk membangunkan Sukan
Prestasi Tinggi, Kerajaan akan terus menghantar atlit ke kejohanan
peringkat kebangsaan dan antarabangsa, melatih jurulatih sambilan dan
sepenuh masa, menganjurkan kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan
dan antarabangsa. Dalam masa yang sama, kerajaan akan terus
menubuhkan pusat-pusat cemerlang di peringkat daerah dan negeri serta
melaksanakan aplikasi Sains Sukan di semua peringkat. Adalah suatu
yang membanggakan kerana dengan bilangan kompleks sukan sebanyak
tigabelas buah, negeri Sabah telah dicatatkan sebagai negeri yang
23
mempunyai bilangan kompleks sukan yang terbanyak di negara ini.
Kerajaan akan terus membina prasarana sukan di semua peringkat, di
seluruh negeri Sabah agar semua lapisan masyarakat dapat melibatkan
diri dalam aktiviti membudayakan sukan. Untuk memfokuskan kepada
pembangunan sukan berprestasi tinggi, Kerajaan akan memperuntukkan
RM35.45 juta bagi tahun 2012.
Pembangunan Sosial Dan Kebajikan Am
Tuan Speaker,
48. Bak kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, ‘cubit
peha kiri, peha kanan terasa juga’. Justeru, bajet yang disediakan ini akan
merangkumi semua lapisan masyarakat. Kerajaan sentiasa prihatin,
mendengar rintihan serta denyutan nadi dan sama sekali tidak lupa
terhadap kesejahteraan golongan yang istimewa, warga tua, papa dan
keluarga yang bermasalah. Kerajaan Negeri akan sentiasa menyediakan
perkhidmatan, kemudahan dan bantuan melalui pelbagai program seperti
Skim Bantuan Am, Skim Bantuan Anak Yatim, Tabung Derma, Bantuan
Alat-alat Ortopedik dan sebagainya untuk meringankan beban rakyat yang
kurang berkemampuan. Untuk itu, sejumlah RM89.34 juta diperuntukkan
dalam bajet tahun hadapan.
Pembangunan Wanita Dan Institusi Kekeluargaan
Tuan Speaker,
24
49. Kerajaan Negeri tidak meminggirkan penyertaan kaum wanita dalam
pentadbiran dan pembangunan di negeri ini. Malah Kerajaan Negeri tetap
menghargai peranan dan sumbangan kaum wanita dalam semua segi, baik
dari sektor awam atau pun swasta, kecil atau pun besar, yang berjawatan
tinggi atau pun yang berpangkat rendah; kerajaan tetap mengiktiraf peri
pentingnya peranan kaum wanita, sebagaimana juga peranan yang
dimainkan oleh kaum lelaki.
Kembang melati di kebun nyonya
Harum mewangi di tengah laman
Sumbangan wanita tinggi nilainya
Kekal abadi sepanjang zaman
50. Justeru, bagi meningkatkan lagi penyertaan wanita dalam pasaran
tenaga kerja, pelbagai usaha akan dilaksanakan sama ada bersifat jangka
pendek mahupun jangka panjang. Program-program latihan kemahiran
yang bersesuaian akan digerakkan dengan mengambil kira keperluan
pihak industri dan bidang tumpuan di Sabah. Begitu juga dengan program-
program keusahawanan melibatkan wanita yang terus dipergiat dan
dikembangkan bersesuaian dengan kecenderungan golongan wanita
dalam bidang perniagaan. Bagi menyokong usaha ini, Kerajaan Negeri
telah menyediakan pelbagai galakan dan insentif sama ada dalam bentuk
bantuan kewangan, khidmat nasihat dan latihan yang bersesuaian untuk
manfaat golongan wanita.
51. Kerajaan mengambil berat betapa pentingnya pengukuhan dalam
institusi kekeluargaan kerana keluarga adalah asas pembentukan
25
masyarakat yang bertanggungjawab. Bagi tahun 2012, antara program
keluarga bahagia yang dirancangkan adalah kesedaran mengenai isu-isu
dan cabaran keluarga masa kini. Kerajaan akan melaksanakan program-
program seperti Persidangan Keluarga, Program Kesejahteraan Remaja
dan seminar Keibubapaan. Bagi melaksanakan program pembangunan
wanita dan institusi kekeluargaan seperti yang disebutkan tadi serta
peruntukan kepada Pertubuhan-pertubuhan Wanita bukan Kerajaan dan
Yayasan Usaha Maju (YUM), sejumlah RM10.98 juta akan diperuntukkan
untuk tahun 2012.
Kerajaan Tempatan
Tuan Speaker,
52. Kerajaan Tempatan memainkan peranan penting dalam menyokong
agenda-agenda pembangunan Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti
memberi perkhidmatan dan menyedia kemudahan awam yang bermutu
tinggi dalam sektor perumahan, pelancongan, perniagaan, kesihatan,
keselamatan, alam sekitar dan lain-lain. Untuk memenuhi peranan yang
disebutkan, sebanyak RM122.97 juta akan disediakan kepada pihak
Berkuasa Tempatan pada tahun 2012. Daripada jumlah peruntukan
tersebut, sejumlah RM88.48 juta adalah untuk perbelanjaan di bawah
perbekalan dan RM34.49 juta untuk program pembangunan seperti
penyediaan infrastruktur, kemudahan-kemudahan asas dan
membangunkan pekan-pekan baru dan perumahan di beberapa daerah di
negeri Sabah.
26
Peruntukan Persekutuan
Tuan Speaker,
53. Selain peruntukan daripada sumber negeri, kita juga akan mendapat
sumbangan peruntukan sebanyak RM1,520.76 juta untuk pembangunan
daripada Kerajaan Pusat pada tahun 2012. Sumbangan tersebut akan
disalurkan dalam bentuk Bayaran Balik Persekutuan sebanyak RM 40.46
juta, Pinjaman Persekutuan sebanyak RM36.18 juta dan Pemberian
Secara Langsung (Geran) sejumlah RM1,444.12 juta. Pemberian secara
langsung berjumlah RM1,444.12 juta adalah untuk pelbagai program dan
projek seperti berikut:
Bekalan Air Luar Bandar ……… RM572.77 juta
Bekalan Elektrik Luar Bandar ……… RM382.50 juta
Jalan raya dan Jambatan ……… RM444.35 juta
Keretapi ……… RM 33.50 juta
Lembaga Industri Getah ……… RM 5.00 juta
Hutan ……… RM 4.80 juta
Perikanan ……… RM 1.20 juta
54. Tidak dinafikan bahawa peruntukan ini akan meletakkan keupayaan
negeri ke tahap yang lebih tinggi untuk membangunkan negeri Sabah.
Oleh itu, saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan setinggi-
tinggi penghargaan kepada Kerajaan Pusat di atas sumbangan ini.
27
Peranan Badan Berkanun Dan Syarikat Kerajaan Negeri
Tuan Speaker,
55. Semasa pelancaran buku Tadbir Urus Korporat Untuk Badan
Berkanun Negeri pada 17 Oktober 2011, saya telah menekankan bahawa
Badan-badan Berkanun dan Syarikat Kerajaan Negeri kini berada dalam
persekitaran ekonomi dan sosial yang mencabar. Adalah penting bagi
setiap Badan Berkanun dan Syarikat Kerajaan Negeri mempunyai
Perancangan Perniagaan yang teratur dan Key Performance Indicator
(KPI) sebagai pengukur pencapaian organisasi.
56. Kerajaan Negeri akan terus mengambil inisiatif untuk memastikan
Badan-badan Berkanun dan Syarikat-syarikat Kerajaan Negeri supaya
terus relevan, berdaya maju dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam
melaksanakan dasar dan polisi kerajaan serta menyumbang kepada
pembangunan ekonomi Negeri.
57. Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Kewangan akan
mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu yang bertanggungjawab
melaksanakan kajian dan penilaian komprehensif terhadap pencapaian,
kedudukan dan perancangan masa depan Badan-badan Berkanun dan
Syarikat-syarikat Kerajaan Negeri.
28
Tuan Speaker,
58. Saya merakamkan penghargaan kepada Badan-badan Berkanun
dan Syarikat-syarikat Kerajaan Negeri yang telah membayar dividen pada
tahun 2011. Antara mereka yang telah mengisytiharkan dividen kepada
Kerajaan Negeri ialah Rakyat Berjaya Sdn. Bhd, Sabah Berjaya Sdn.Bhd,
Sawit Kinabalu Bhd, Warisan Harta Sabah Sdn Bhd, Borneo Samudera
Sdn.Bhd, Sabah Development Bank Berhad, Perbadanan Pinjaman
Sabah, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, Sabah Energy
Corporation Sdn.Bhd dan Progressive Insurance Bhd. Saya berharap
dividen ini akan terus meningkat di masa hadapan. Ke arah ini, Badan-
badan Berkanun dan Syarikat-syarikat Kerajaan Negeri hendaklah berkerja
dengan lebih gigih lagi dan menunjukkan komitmen dalam meningkatkan
prestasi masing-masing.
Pengumuman Khas
Tuan Speaker,
59. Dengan keadaan ekonomi yang memberangsangkan pada ketika ini,
Kerajaan Negeri yakin bahawa kutipan hasil sebenar pada tahun hadapan
boleh menampung perbelanjaan yang dianggarkan. Oleh itu, pada tahun
2012, kita akan terus berusaha untuk mengurangkan beban rakyat, dan
sebagai kerajaan yang prihatin serta bertanggungjawab, suka saya
menegaskan bahawa tiada cukai baru yang akan diperkenalkan pada
tahun hadapan.
29
60. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bahawa dalam Bajet 2011
Kerajaan telah pun menaikkan peruntukan khas Ahli-ahli Yang Berhormat
daripada RM600 ribu sebelum itu kepada RM1.0 juta. Menyedari akan
keperluan rakyat yang kian bertambah dan bagi membantu meringankan
bebanan mereka, sukacita saya memaklumkan bahawa melalui Bajet
2012, peruntukan ‘sentuhan kasih’ sebanyak RM500 ribu akan diberikan
kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, iaitu tambahan kepada
peruntukan khas sebanyak RM1.0 juta yang sedia ada, sebagai tanda
keprihatinan dan penghargaan kita kepada rakyat yang dikasihi.
Tuan Speaker,
61. Saya bersetuju dengan Y.A.B Perdana Menteri merangkap Menteri
Kewangan Malaysia yang kita kasihi, bahawa tahap kesihatan dan jangka
hayat rakyat negara kita telah meningkat di mana kemahiran dan
kepakaran penjawat awam dalam bidang masing-masing telah bertambah
dan masih relevan untuk kemajuan negara. Oleh itu, Kerajaan Negeri turut
menyokong keputusan kerajaan pusat untuk melanjutkan umur bersara
wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.
62. Kerajaan Barisan Nasional menganggap bahawa penjawat awam
adalah rakan kongsi pentadbiran negeri dan negara yang perlu dibela dan
dihargai sumbangan mereka. Oleh itu, penjawat awam tidak akan dilupai
jasa dan bakti mereka yang turut sama bertungkus lumus, mentadbir serta
memajukan negeri dan negara yang tercinta.
30
Hujung minggu makan ambuyat
Dihidang dengan air kelapa
Dalam berjuang membela rakyat
Warga pekerja tidak dilupa
63. Sehubungan dengan itu, bagi menghargai sumbangan dan jasa para
penjawat awam negeri, saya dengan sukacitanya mengumumkan
pemberian bonus setengah bulan gaji atau dengan bayaran minimum
RM500 sebagai tambahan kepada jumlah yang telah diberi pada bulan
Ogos yang lalu. Pembayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan
Disember tahun ini.
Penutup
Tuan Speaker,
64. Kerajaan Barisan Nasional Negeri bertanggungjawab untuk
menyediakan masa depan yang cemerlang untuk rakyat negeri ini. Saya
bersama rakan-rakan Barisan Nasional Negeri akan memastikan semua
program pembangunan yang dirancang melalui Bajet 2012 ini akan
dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan dan kemakmuran
semua.
65. Sayugia diingat, bahawa dalam memikul amanah dan tanggungjawab
yang berat ini, Kerajaan sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran
dan rintangan. Pihak pembangkang tidak akan berhenti daripada terus
menidakkan segala kebaikan dan kemajuan yang Kerajaan telah lakukan.
31
Golongan pembangkang juga tidak akan memperakui kejayaan dan
pencapaian cemerlang Kerajaan. Pun begitu, Kerajaan Barisan Nasional
percaya, rakyat kini sudah pandai menilai dan bijak menganalisis – yang
mana intan dan yang mana kaca, yang mana batu dan yang mana
permata. Kemajuan yang telah kita capai dan kemakmuran yang kita
kecapi selama ini, adalah berpunca daripada kerja keras kita yang tidak
kenal penat lelah untuk terus berkhidmat dan berbakti demi rakyat dan
negeri tercinta, sesuai dengan tingginya makna pantun ini :
Sajak dicipta bersimpul ayat
Ilham datang di waktu pagi
BN berjuang membela rakyat
Bukan BN siapa lagi?
Tuan Speaker,
66. Dengan prestasi dan rekod yang cemerlang, Kerajaan Barisan
Nasional akan terus berjuang dan berbakti, membela dan memakmurkan
rakyat dan negeri bertuah ini. Tidak kira di kota atau di desa, nasib rakyat
akan terus dibela. Sesungguhnya, Kerajaan Barisan Nasional amat
memahami keperluan dan kehendak rakyat. Lantaran itu, kita mewajibkan
amalan “turun padang” bagi semua wakil rakyat Barisan Nasional, dengan
sokongan padu para penjawat awam, supaya keluhan dan harapan
golongan akar umbi dapat didengar, dibantu dan dipenuhi sesuai dengan
agenda dalam Gagasan 1 Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan.
32
Naik perahu pergi ke seberang
Bawa pukat panjang berjela
Dari dahulu hingga sekarang
Rakyat jelata terus dibela
Tuan Speaker,
67. Kerajaan Barisan Nasional yakin, di tahun-tahun yang mendatang,
Sabah akan terus bergerak maju, membangun dan progresif dengan
hebatnya, sebagaimana yang kita semua harapkan. Waima berhadapan
dengan gelombang ekonomi global yang tidak menentu, namun kita tetap
bertekad dan terus berusaha demi memastikan ekonomi Sabah diurus
dengan cekap dan efisien, berdasarkan pengalaman serta kepakaran, di
samping “political will” yang kuat untuk kita pertingkatkan pembangunan
dan kemakmuran demi kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.
68. Suka saya mengingatkan sekali lagi, bahawa bagi memastikan
kejayaan dan pencapaian sepenuhnya matlamat dan objektif Bajet 2012,
sokongan padu rakyat serta semua pihak, adalah sangat mustahak.
Sesungguhnya, perjalanan kita memerlukan gandingan dan kerjasama erat
semua pihak untuk melonjakkan dan menjadikan negeri kita yang tercinta
ini sejahtera dan makmur selama-lamanya.
69. Justeru, dalam menunaikan apa yang telah dijanjikan; dalam
memenuhi apa yang dikehendaki; dan sebagaimana peribahasa ibunda
yang berbunyi “Kata Mesti Dikota”, maka Kerajaan Barisan Nasional ini
bertekad menyusun segala perancangan dan strategi agar rakyat dan
33
negeri tercinta ini sentiasa dalam kesejahteraan dengan menikmati
kemajuan, keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.
70. Bersempena Pembentangan Bajet 2012 pada hari Jumaat yang
mulia ini dan penuh keberkatan, sama-samalah kita berdoa semoga Allah
SWT akan terus memberikan hidayah dan kekuatan serta melimpahkan
kemakmuran kepada rakyat dan negeri yang tercinta ini demi
kesejahteraan kita dan generasi yang akan datang. Kita merancang, kita
berusaha dan kita memerintah dengan hati yang satu dan ikhlas, kerana
kesatuan dan keikhlasan itulah, tunjang kekuatan dan keteguhan kita
selama ini.
Tuan Speaker,
Saya mohon mencadangkan.