Upload
trannguyet
View
279
Download
3
Embed Size (px)
Citation preview
MALAYSIA
RANCANGAN MALAYSIA
KESEMBILAN
2006-2010
UCAPAN YAB PERDANA MENTERI
DI DEWAN RAKYAT
31 MAC 2006
YAB DATO’ SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
UCAPAN PERDANA MENTERIYAB DATO’ SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
SEMASA MEMBENTANGKAN USUL MENGENAIRANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN, 2006-2010
DI DEWAN RAKYAT PADA 31 MAC 2006JAM 3.30 PETANG
4
MEMBINA TAMADUN MENJULANG MARTABAT NEGARA
Tuan Yang di-Pertua,
1. Dengan sukacitanya saya berdiri di Dewan yang mulia
ini untuk mengemukakan satu usul seperti berikut:
“Bahawa Dewan ini,
menyedari akan pertumbuhan ekonomi serta pencapaian
sosioekonomi yang baik semasa pelaksanaan Rancangan
Malaysia Kelapan di sebalik persekitaran global yang
begitu mencabar;
merestui usaha Kerajaan untuk melaksanakan Misi
Nasional sebagai rangka dasar (dan pelaksanaan)
pembangunan yang terdiri daripada lima teras utama
bagi mencapai matlamat Wawasan 2020;
meluluskan Rancangan Malaysia Kesembilan yang
merangkumi strategi, program dan peruntukan yang
diperlukan bagi tujuan untuk merealisasikan Misi Nasional
dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju,
saksama dan bersatu padu seperti dibentangkan dalam
Kertas Perintah CMD. 1 Tahun 2006;
Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia
Kesembilan, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat
5
Malaysia supaya berusaha dengan keazaman dan iltizam
yang teguh untuk membangunkan negara bersama-sama
Kerajaan ke arah menjadi negara yang makmur, progresif,
adil, berdaya tahan dan berdaya saing.”
2. Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, saya membentangkan
Rancangan Malaysia Kesembilan bagi tempoh 2006-2010
beserta Misi Nasional untuk dibahaskan oleh Ahli-ahli Yang
Berhormat di Dewan yang mulia ini.
PENDAHULUAN
3. Kita bersyukur ke hadrat ALLAH S.W.T. kerana dengan
izin dan kurniaNya juga, saya dapat membentangkan
Rancangan Malaysia Kesembilan. Sesungguhnya, ALLAH
S.W.T. memerintahkan manusia untuk memakmurkan kehidupan
seperti firman Nya:
Terjemahan: “Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah)
dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya”
(Surah Hud 11:61)
4. Rancangan Malaysia Kesembilan ini, dengan hasrat untuk
membina kemakmuran, merupakan antara Rancangan Malaysia
yang penting dalam sejarah negara, memandangkan negara
6
kini berada pada titik pertengahan dalam perjalanan ke arah
tahun 2020. Kita telah melalui fasa lima belas tahun yang
pertama Wawasan 2020. Pelbagai rintangan serta cabaran
telah kita hadapi. Pertumbuhan negara yang begitu pesat
pada tahun 1990-an terjejas akibat krisis kewangan Asia.
Situasi negara beransur pulih menjelang tahun 2000; tetapi
peristiwa 11 September 2001 memberikan cabaran baru. Di
samping itu, pelbagai peristiwa lain turut melanda negara
dan rantau ini, antaranya wabak SARS dan selsema burung,
gempa bumi dan tsunami.
5. Alhamdulillah, berkat kegigihan pemimpin dan ketekunan
rakyat, negara berjaya menyatukan usaha – menggabung
tenaga, mencapai pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial
yang membanggakan. Meskipun menghadapi pelbagai cabaran
dalam masa lima belas tahun lalu, negara berjaya mencatat
pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak
6.2 peratus setahun antara 1991 dengan 2005. Pertumbuhan
ini dapat dilihat dalam peningkatan lebih sekali ganda
pendapatan isi rumah daripada 1,169 ringgit sebulan dalam
tahun 1990 ke 3,249 ringgit sebulan dalam tahun 2004. Semua
sektor ekonomi negara menampakkan kemajuan termasuklah
pengembangan sektor ekonomi baru seperti teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT). Hasil pertumbuhan ini, jumlah eksport
negara meningkat pada kadar purata 13.5 peratus setahun
dalam tempoh 1991–2005 menjadikan negara kita negara
pedagang yang ke-18 terbesar dunia.
6. Dari segi sosial, negara terus memperlihatkan kemajuan.
Kadar kemiskinan menguncup, daripada 22.8 peratus pada
7
tahun 1990 kepada 5.7 peratus pada tahun 2004. Keperluan
asas seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta
perumahan lebih banyak disediakan, demikian juga dengan
pembangunan prasarana dan utiliti.
7. Meskipun kita telah berjaya melalui lima belas tahun
yang lalu dengan baik, kita harus mengubah cara pemikiran
bagi fasa lima belas tahun yang seterusnya. Saya melihat
fasa kedua sebagai tempoh yang lebih mencabar. Keadaan
dunia sekarang dan akan datang jauh berbeza. Persekitaran
kita telah menjadi semakin mencabar. Peningkatan harga
minyak dunia membawa kesan mendalam kepada kehidupan
setiap insan. Persaingan bagi pelaburan dan peluang pekerjaan
menjadi lebih sengit. Di samping menghadapi saingan hebat
dari negara China dan India, negara-negara membangun lain
di rantau Asia semakin gigih membangunkan ekonomi masing-
masing. Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak
terlindung daripada persekitaran yang semakin kompetitif,
lebih-lebih lagi dengan bermulanya era ICT.
8. Pada masa yang sama, kita turut menghadapi cabaran
baru dari dalam negara. Kehidupan masyarakat Malaysia
pada umumnya telah berubah. Ramai penduduk bertumpu ke
kawasan bandar. Dengan peningkatan pendidikan, kumpulan
berpendapatan menengah semakin bertambah. Mutu
kehidupan yang dinikmati rakyat bertambah baik. Walau
bagaimanapun, jurang pendapatan dan kekayaan tetap wujud
terutamanya antara kaum dan antara kawasan luar bandar
dengan kawasan bandar. Polarisasi kaum masih boleh dilihat
8
di sekolah, di tempat kerja dan dalam kehidupan awam
keseluruhannya.
9. Malaysia perlu mengatasi pelbagai cabaran ini dengan
bijak lagi berkesan. Kita perlu menetapkan bagaimana cabaran-
cabaran tersebut dapat diatasi dalam hasrat mencapai matlamat
Wawasan 2020. Kita perlu bertindak pantas. Hanya 15 tahun
sahaja yang tinggal antara sekarang sehingga 2020. Kita
perlu menjadikan tempoh 15 tahun ini tempoh yang paling
produktif dan paling bermakna, demi mencapai cita-cita kita.
Kita mesti menjadikan 15 tahun ini, tahun-tahun yang terbaik
dalam usaha kita untuk berdiri megah pada tahun 2020 nanti
mengumumkan bahawa wawasan yang kita gagaskan telah
tercapai.
MISI NASIONAL, 2006-2020
Tuan Yang di-Pertua,
10. Kita kini memulakan langkah selanjutnya, langkah fasa
kedua ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020. Kita
mahu negara menjadi negara maju, dengan ciri-ciri tersendiri.
Kita mahu kemajuan yang bersifat holistik, merangkumi
kesemua sembilan cabaran yang terkandung dalam Wawasan
2020. Kita mahu kemajuan yang dapat dinikmati semua,
secara saksama tanpa mengira agama atau kaum. Kita mahu
membina tamadun negara, seiring dengan kecemerlangan
9
tamadun Islam dan tamadun-tamadun lain, selaras dengan
pendekatan Islam Hadhari.
11. Sebagai panduan bagi perjalanan seterusnya, Kerajaan
telah menggubal dan akan melaksanakan Misi Nasional –
satu rangka kerja bagi agenda pembangunan negara dengan
menggariskan langkah-langkah utama yang harus diambil
bagi tempoh lima belas tahun akan datang. Misi Nasional
akan menumpukan usaha negara kepada bidang-bidang utama
yang akan membawa kepada pencapaian Wawasan 2020.
Bidang-bidang utama ini meliputi keupayaan negara untuk
bersaing di peringkat global, pembangunan modal insan,
integrasi nasional, hubungan antara kaum, pengagihan
pendapatan dan kekayaan, serta mutu hidup rakyat. Dengan
menumpukan usaha kepada bidang-bidang tersebut, kita dapat
memperolehi hasil lebih baik dan impak pembangunan lebih
ketara.
12. Misi Nasional yang dirangka merangkumi lima teras utama:
❑ Teras Pertama: Meningkatkan nilai ditambah dalam
ekonomi negara. Melalui teras ini, Kerajaan
mensasarkan untuk meningkatkan nilai tambah sektor
ekonomi sedia ada, serta mewujudkan aktiviti
berasaskan pengetahuan dan peluang pekerjaan
dalam bidang ICT, bioteknologi, nanoteknologi dan
perkhidmatan. Di samping itu, Kerajaan akan turut
mewujudkan persekitaran kondusif bagi sektor swasta
menerajui pembangunan ekonomi negara.
10
❑ Teras Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan,
kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda
kelas pertama’. Kejayaan masa hadapan bergantung
kepada mutu modal insan yang dimiliki, bukan sahaja
dari segi intelek tetapi juga keperibadian. Sejajar
dengan teras ini, Kerajaan akan melaksanakan usaha
penambahbaikan sistem pendidikan negara secara
menyeluruh, dari peringkat pra-sekolah hinggalah
ke peringkat tinggi dan vokasional. Persekitaran yang
menggalakkan akan diwujudkan untuk menjana lebih
banyak usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pada masa yang sama, penekanan akan diberi
kepada usaha memupuk masyarakat berbudaya dan
memiliki kekuatan moral.
❑ Teras Ketiga: Menangani masalah ketidaksamaan
sosioekonomi secara membina dan produktif.
Kerajaan mendokong matlamat untuk membasmi
kemiskinan, menjana pembangunan lebih seimbang,
serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati
rakyat secara adil dan saksama.
❑ Teras Keempat: Meningkatkan tahap dan
kemampanan kualiti hidup. Kerajaan akan terus
menyediakan keperluan asas seperti air, tenaga,
perumahan, pengangkutan dan kemudahan lain,
namun penekanan harus diberikan kepada usaha
menangani isu-isu berhubung penyenggaraan,
penaiktarafan dan keberkesanan penggunaan sumber.
11
❑ Teras Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan
pelaksanaan negara. Kejayaan perancangan terletak
pada keupayaan untuk melaksana. Untuk itu, Kerajaan
komited menambah baik sistem penyampaian
perkhidmatan awam di semua peringkat. Di samping
itu, Kerajaan juga akan menangani isu-isu berhubung
rasuah dan integriti di dalam sektor awam dan swasta,
mahupun di kalangan masyarakat umum.
RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN, 2006-2010
Tuan Yang di-Pertua,
13. Rancangan Malaysia Kesembilan, adalah rancangan
lima tahun pertama daripada tiga rancangan lima tahun yang
akan memacu Misi Nasional ke arah mencapai Wawasan
2020. Rancangan ini merupakan kesinambungan perancangan
Kerajaan membentuk sebuah negara yang maju ekonominya;
seimbang pembangunan sosialnya; memiliki warga yang bersatu
padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran
maju dan berpandangan jauh. Sesungguhnya, bagi
melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan, kita perlu
melipatgandakan usaha menggarap kejayaan lebih unggul
demi Membina Tamadun dan Menjulang Martabat Negara.
14. Kerajaan akan memastikan bahawa kedudukan makro
ekonomi negara kekal stabil supaya usaha-usaha pembangunan
dapat berlangsung secara lancar lagi berkesan. Kita akan
12
memastikan bahawa tekanan inflasi sentiasa terkawal. Kita
akan memastikan dasar fiskal terus menyokong pertumbuhan
negara, sementara defisit Kerajaan Persekutuan dikurangkan
secara beransur daripada 3.8 peratus pada tahun 2005 kepada
3.4 peratus pada tahun 2010. Kerajaan akan menguruskan
akaun awam secara berhemat dan mengambil langkah tegas
untuk memastikan keberkesanan kos perbelanjaan.
15. Dijangkakan bahawa permintaan dalam negeri beserta
pelaburan swasta akan memacu pertumbuhan. Pelaburan
swasta dijangka berkembang pada kadar purata 11.2 peratus
setahun dan dijangka mengatasi jumlah pelaburan sektor
awam buat pertama kalinya sejak krisis kewangan Asia. Pada
masa yang sama, sumbangan produktiviti faktor keseluruhan
(“total factor productivity”) dijangka meningkat daripada 29
peratus kepada 35.8 peratus selaras dengan peralihan kepada
ekonomi yang berpaksikan pengetahuan dan mengutamakan
kecekapan.
16. Eksport Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang
dijangka menggalakkan dengan eksport kasar berkembang
pada kadar 8.5 peratus setahun. Dalam tempoh Rancangan
Malaysia Kesembilan, jumlah dagangan dijangka melepasi
satu trilion ringgit buat pertama kalinya.
17. Matlamat pertumbuhan KDNK sebenar adalah pada kadar
purata 6.0 peratus setahun dalam Rancangan ini. Berdasarkan
kadar pertumbuhan ini, keluaran negara kasar (KNK) per
kapita dijangka meningkat pada kadar purata 5.9 peratus
13
setahun mencecah 23,573 ringgit pada tahun 2010. KNK per
kapita dari segi pariti kuasa beli pula dijangka meningkat
kepada 13,878 U.S. Dollar pada tahun 2010.
18. Pertumbuhan ekonomi tidak terpisah daripada pengaruh
luaran. Kita akan mengamalkan dasar luar negara yang
dapat memberi manfaat sepenuhnya bagi mencapai Misi
Nasional. Kita akan berusaha menggalakkan persekitaran
luar yang kondusif untuk mencapai matlamat Rancangan
Malaysia Kesembilan. Kita akan berusaha ke arah
mengukuhkan kerjasama serta keamanan dan kestabilan di
dalam dan luar rantau ini, kerana tanpanya ekonomi negara
sukar berkembang. Kita akan mengambil inisiatif secara
agresif meneroka pasaran, mempromosi eksport, menarik
pelaburan dan meningkatkan pelancongan. Kita akan berunding
dan menyertai perjanjian perdagangan dua hala dan serantau
yang dapat memberikan manfaat kepada kita. Untuk itu, kita
akan memperbaiki kapasiti dalam pelbagai institusi yang
bertanggungjawab untuk memulihara dan mempromosikan
kepentingan kita di luar negara.
MELAKSANAKAN MISI NASIONAL
Tuan Yang di-Pertua,
19. Izinkan saya seterusnya menggariskan dasar dan
program utama Rancangan Malaysia Kesembilan, bertujuan
untuk mencapai teras dan objektif Misi Nasional.
14
Teras Pertama: Meningkatkan Nilai Ditambah dalam
Ekonomi Negara
20. Globalisasi telah meningkatkan persaingan dalam
pasaran antarabangsa. Bukan sahaja struktur dan persekitaran
ekonomi makro domestik yang perlu diperkukuhkan, malah
elemen ekonomi mikro seperti prestasi sektor-sektor ekonomi
dan syarikat-syarikat tempatan juga perlu dimantapkan. Untuk
meningkatkan daya saing jangka panjang negara, Kerajaan
terus menggalakkan peralihan kepada aktiviti yang mempunyai
nilai ditambah yang tinggi dalam tiga sektor utama ekonomi,
iaitu pertama, pembuatan; kedua, perkhidmatan; dan ketiga,
pertanian. Sumber pertumbuhan baru dalam sektor-sektor
tersebut telah dikenal pasti dan akan digalakkan bagi menjana
pendapatan tambahan dan mewujudkan kekayaan baru.
Meningkatkan Nilai Ditambah dalam
Pembuatan, Perkhidmatan dan Pertanian
21. Sektor pembuatan dijangka berkembang pada kadar
6.7 peratus setahun dan akan terus beralih kepada aktiviti
berteknologi tinggi dan berintensif pengetahuan, dengan nilai
ditambah yang tinggi merangkumi pelbagai industri terutamanya
elektrik dan elektronik, petrokimia, bioteknologi, nanoteknologi,
jentera dan peralatan, aeroangkasa dan maritim. Kerajaan
akan menyediakan insentif khusus untuk menarik pelaburan
termasuk FDI berkualiti bagi aktiviti sektor pembuatan yang
digalakkan. Di samping itu, kita akan menggalakkan perusahaan
15
kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai keupayaan inovasi
tinggi untuk menyertai rantaian pembekal dunia.
22. Antara projek utama yang akan dilaksanakan bagi
mempertingkat sektor pembuatan termasuk perluasan Taman
Teknologi Tinggi Kulim, penubuhan Taman Teknologi Sarawak
dan Taman Teknologi Perak, pembangunan 20 taman industri
dan PKS di seluruh negara, serta penaiktarafan prasarana di
kawasan industri sedia ada. Kerajaan juga akan membangunkan
beberapa kelompok industri, iaitu kelompok industri elektrik
dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang dan Taman Teknologi
Tinggi Kulim, dan kelompok industri petrokimia di Pahang
dan Terengganu. Sebagai usaha untuk meningkatkan akses
kepada sumber kewangan, Kerajaan akan mewujudkan
beberapa dana seperti Dana Pelaburan Strategik, Dana
Penyusunan Semula Industri, Dana Automasi, dan dana-dana
khusus untuk bioteknologi, produk Halal dan kraf tangan.
23. Menyedari kelebihan Malaysia dalam sektor halal,
terutamanya dari segi pensijilan dan logo, kita akan memacu
pertumbuhan industri halal untuk menjadikan Malaysia sebuah
hab antarabangsa bagi produk dan perkhidmatan halal.
Perbadanan Kemajuan Industri Halal akan ditubuhkan bagi
memajukan industri ini secara lebih tersusun dan menyeluruh.
24. Sektor perkhidmatan akan diberi anjakan lebih tinggi
bagi merealisasikan potensi sepenuhnya. Sektor ini dijangka
berkembang 6.5 peratus dalam tempoh Rancangan. Pada
masa ini, industri perkhidmatan begitu tertumpu di Lembah
16
Klang. Bagi meluaskan sektor perkhidmatan di lokasi lain,
Wilayah Ekonomi Johor Selatan akan dibangunkan sebagai
hab perkhidmatan serantau yang dinamik dengan
memanfaatkan lokasi dan kelebihan semula jadi wilayah
tersebut. Bagi meningkatkan akses kewangan dalam sektor
ini, Dana Perkhidmatan Eksport dan Dana Sektor Perkhidmatan
PKS akan ditubuhkan.
25. Pendapatan daripada industri pelancongan meningkat
hampir dua kali ganda antara tahun 2001 dengan 2005. Bagi
mengekalkan momentum ini, kita akan menjadikan Malaysia
antara destinasi pelancongan utama dunia dan meningkatkan
pelancongan domestik. Kelebihan Malaysia sebagai pusat
persidangan, penganjuran acara, kemudahan sukan, pameran
dan konvensyen serta kekayaan eko-pelancongan, kebudayaan
dan seni, juga pusat membeli belah serta rekreasi, perlu
dipromosikan secara agresif. Untuk itu, pengurusan Perbadanan
Pembangunan Pelancongan Malaysia akan mengamalkan urus
niaga secara swasta agar menjadi lebih dinamik. Selain itu,
program utama yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk
meningkatkan akses dan kemudahan bagi kemasukan
pelancong, serta menaik taraf dan menyenggara kemudahan
dan prasarana. Peruntukan sebanyak 1 bilion ringgit disediakan
untuk tujuan penyenggaraan. Menjelang tahun 2010, kita
mensasarkan untuk menarik seramai 24.6 juta pelancong
setahun.
26. Kita juga akan menjadikan Malaysia sebagai pusat
pelancongan kesihatan serantau bagi rawatan perubatan
17
tradisional dan moden. Bagi tujuan ini kita perlu membangunkan
pakej perkhidmatan kesihatan yang komprehensif. Usaha
promosi juga akan ditingkatkan dengan mewujudkan jenama
perkhidmatan kesihatan Malaysia yang dikenali sebagai ‘Health
Malaysia’.
27. Bagi perkhidmatan pendidikan, kita akan menggandakan
usaha membangunkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan
serantau pendidikan peringkat tertiari. Kita akan mempromosi
dan mengeksport pendidikan tinggi melalui pendekatan
pemasaran yang lebih strategik dan penjenamaan produk
pendidikan.
28. Dalam perkhidmatan kewangan, usaha akan ditumpu
ke arah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat
perbankan dan kewangan Islam antarabangsa. Di samping
meliberalisasikan sektor perkhidmatan kewangan secara
progresif, kita turut menggalakkan institusi kewangan tempatan
yang kompetitif untuk memasuki pasaran serantau.
29. Kerajaan juga akan menggalakkan pembangunan industri
menyenggara, membaiki dan membaik pulih (MRO) pesawat
dan kapal serta industri logistik bersepadu. Bagi tujuan ini,
Kerajaan akan membangunkan hab industri penerbangan yang
komprehensif untuk menggalak lebih ramai penyertaan syarikat
tempatan dan antarabangsa. Insentif dan program
pembangunan juga akan diberi untuk mengembangkan
perkhidmatan perniagaan, profesional dan pakar runding supaya
lebih berdaya saing.
18
30. Sektor pertanian disasarkan berkembang sebanyak 5
peratus. Sektor ini akan diberi nafas baru untuk menjadi
tunggak ketiga pertumbuhan ekonomi. Kita perlulah berfikiran
progresif dengan keyakinan kita akan berjaya mengubah
tanggapan tidak tepat bahawa pertanian merupakan aktiviti
ekonomi yang mempunyai sedikit nilai ditambah serta menjana
pendapatan yang rendah. Sektor tani sesungguhnya
merupakan sumber kegiatan utama ekonomi masyarakat luar
bandar. 37 peratus warga Malaysia berada di luar bandar. 7
daripada 13 buah negeri di Malaysia mempunyai kawasan
luar bandar yang luas lagi ketara. Bumiputera merupakan
golongan tertinggi dalam tahap kemiskinan pada kadar 8.3
peratus. Mereka merupakan majoriti penduduk luar bandar.
11.9 peratus kemiskinan terdapat di luar bandar, lebih dua
kali ganda kadar kemiskinan nasional. Dengan itu,
pembangunan sektor pertanian bukan hanya dapat menjana
sumber pertumbuhan baru, malah dapat membantu usaha
merapatkan jurang sosioekonomi di dalam negara, sekali
gus memenuhi agenda membasmi kemiskinan. Dengan itu,
Kerajaan akan membangunkan program ‘Pertanian Baru’
dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan nilai
rantaian serta meneroka aktiviti berasaskan pertanian yang
mempunyai nilai ditambah yang tinggi; perladangan komersial
berskala besar, dan menggunakan ICT serta memanfaatkan
sepenuhnya potensi dalam bioteknologi.
31. Inisiatif akan diambil untuk meningkatkan produktiviti,
kecekapan serta peluang menjana pendapatan dan kekayaan,
penggunaan kaedah pertanian moden dan teknologi secara
19
meluas, peningkatan R&D dan inovasi, penambahbaikan
akreditasi perladangan, piawai dan kualiti produk, serta
penambahbaikan keupayaan pemasaran dan infrastruktur.
Kerajaan akan menggalakkan peningkatan penyertaan sektor
swasta termasuklah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), PKS,
siswazah, usahawan tani dan tenaga kerja mahir bagi
meningkatkan tahap profesionalisme dalam sektor ini. Negara
berhasrat untuk menjadi negara pengeksport bersih bagi
makanan menjelang tahun 2010.
32. Bagi merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan,
sebanyak 11.4 bilion ringgit diperuntukkan kepada sektor
pertanian; merupakan peningkatan 70 peratus berbanding
peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kelapan. Sebahagian
besar daripadanya akan diperuntukkan bagi pembangunan
prasarana berkaitan pengairan dan saliran, R&D, peningkatan
kemudahan kredit dan pelaksanaan program pembangunan
usahawan. Program penyatuan dan pemulihan tanah seluas
lebih 100,000 hektar akan dilaksanakan manakala lebih
daripada 380,000 hektar tanah akan ditanam semula dengan
getah dan kelapa sawit. Projek utama lain termasuklah
mewujudkan 28 Taman Kekal Pengeluaran Makanan dengan
kawasan seluas hampir 2,400 hektar, Agropolis di Serdang
dan Terminal Makanan Negara (TEMAN) di Ipoh dan Kota
Bharu. Kita juga akan menambah kawasan pembangunan
kelompok industri minyak sawit, lembah ternakan, lembah
buah-buahan, taman akuakultur dan taman makanan
halal.
20
33. Sektor pertanian yang sedang rancak dibangunkan oleh
Kerajaan meliputi industri asas tani yang ketika ini telah
mencapai nilai ditambah bernilai 16.9 bilion ringgit pada tahun
2005, dan berpotensi menyediakan 128,000 pekerjaan baru
secara langsung dalam jangka masa lima tahun akan datang.
Potensi sektor ini tiada batasannya jika diusahakan dengan
teliti. Sektor pertanian perlu dilihat dengan kanta baru, dengan
keyakinan baru; dibangunkan dengan azam baru – semangat
baru – agenda baru. Menjelang tahun 2020, sektor pertanian
perlu berada di tahap kejayaan yang membantu membina
imej sebuah negara maju.
Menjana Sumber Kekayaan Baru melalui ICT dan Bioteknologi
34. Kerajaan akan terus mengambil langkah untuk
memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan bagi
pelaburan berkaitan ICT. Malaysia akan memanfaatkan
potensinya dengan terus menggalakkan pertumbuhan industri
perkongsian perkhidmatan dan penyumberan luar (“shared
services and outsourcing industry”). Syarikat tempatan akan
digalakkan menerokai perkhidmatan penyumberan luar dan
aktiviti berkaitan bernilai tinggi. Kerajaan akan membangunkan
bidang baru seperti industri kandungan digital tempatan dan
bio-informatik. Perhatian khusus akan diberi bagi menggalakkan
penggunaan e-dagang secara lebih luas. Pembangunan Koridor
Raya Multimedia (MSC) pula akan ditumpukan kepada
pembangunan rangkaian koridor, merangkumi tiga bandar
21
siber sedia ada dan empat pusat siber yang akan dibangunkan,
di samping meningkatkan kemudahan di Cyberjaya. Bagi
memudahkan akses kepada sumber kewangan, pelbagai tabung
dan program akan ditubuhkan sementara dana sedia ada
akan diperkukuhkan.
35. Bioteknologi merupakan satu industri penting, berpotensi
menjana sumber kekayaan baru. Usaha akan dipergiat bagi
membangunkan industri bioteknologi sebagai peneraju baru
pertumbuhan ekonomi. Tumpuan akan diberi kepada
penggunaan bioteknologi dalam pertanian, penjagaan
kesihatan, aktiviti perindustrian dan bio-informatik. Bagi
menyokong pembangunan industri ini, kita akan menambah
baik rangka kawal selia pelaburan bioteknologi, membangunkan
infrastruktur berkaitan, memudahkan akses kepada
pembiayaan, mempertingkat kadar pengkomersialan penemuan
R&D, menambah bilangan tenaga kerja mahir bioteknologi
dan penyelidik, serta menarik rakan kongsi asing bagi R&D.
Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 2 bilion ringgit bagi
menggalakkan pembangunan industri bioteknologi sebagai
melengkapi pembiayaan sektor swasta. Syarikat tempatan
dan asing berstatus ‘Bio-Nexus’ akan ditawarkan pakej insentif
menarik.
Meningkatkan Pewujudan Pekerjaan
Tuan Yang di-Pertua,
36. Sejumlah 1.6 juta pekerjaan telah diwujudkan dalam
tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. Untuk meneruskan
22
pertumbuhan ekonomi, kita turut meletakkan kepentingan tinggi
kepada pewujudan pekerjaan baru bagi memastikan kadar
pengangguran kekal rendah dan memastikan siswazah dan
tenaga kerja mahir memperoleh pekerjaan yang setaraf dengan
kelulusan mereka. Rakyat perlu dilengkapi dengan
pengetahuan dan kemahiran yang memenuhi keperluan
majikan. Bagi tujuan ini, latihan berfungsi (“functional training”)
akan disediakan bagi membekalkan kemahiran spesifik kepada
tenaga kerja supaya mereka kekal relevan dengan keperluan
industri.
37. Setiap tahun, diunjurkan seramai 220,000 orang akan
memasuki pasaran tenaga kerja. Seramai 44,000 daripada
mereka memiliki kelulusan tertiari yang meletakkan cabaran
besar kepada negara untuk menyediakan peluang kerja bagi
kumpulan tersebut. Cabaran kritikal yang perlu ditangani
adalah sikap tenaga kerja tempatan yang tidak bersedia
menyertai sektor-sektor kerja di paras rendah. Keadaan ini
memaksa negara bergantung kepada sumber tenaga kerja
asing. Ketika ini, terdapat 1.8 juta tenaga kerja asing yang
berdaftar. Keadaan ini telah meletakkan negara menghadapi
satu masalah sosial yang baru. Kerajaan sedang menyusun
program yang akan merangkumi bina semangat dan jasmani
serta penerapan nilai-nilai murni yang dapat membina jati diri
bagi mengubah paradigma minda dan sikap remaja Malaysia
terhadap pekerjaan.
23
Menjadikan Sektor Swasta Peneraju Pembangunan Ekonomi
38. Penyertaan PKS dalam aktiviti ekonomi perlu ditingkatkan.
Walaupun melebihi 90 peratus daripada bilangan syarikat
komersial, PKS hanya menyumbang 46 peratus daripada
keluaran negara. Dengan sokongan sewajarnya, PKS berupaya
meningkatkan penglibatan ekonominya secara lebih berkesan.
Inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk
menambah baik akses kepada pembiayaan melalui Bank SME
serta penyediaan pembiayaan modal teroka bagi PKS baru.
Program khusus akan diperkenal bagi mengukuhkan lagi jalinan
dan kerjasama antara PKS dengan syarikat besar domestik
dan multinasional (MNC). Usaha akan turut dilaksanakan
bagi meningkatkan keusahawanan dan keupayaan teknikal
PKS.
39. Kerajaan dan sektor swasta perlu bekerja erat bagi
memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
Pelaksanaan program penswastaan sejak dua dekad lalu
telah menyediakan satu landasan kerjasama antara Kerajaan
dengan sektor swasta. Program penswastaan turut
menyumbang kepada peningkatan penyertaan sektor swasta
dalam ekonomi dan seterusnya menjadikan sektor swasta
peneraju pertumbuhan ekonomi. Namun begitu, beberapa
aspek dalam program penswastaan akan diperkemas dan
diperbaiki bagi menjadikannya lebih berkesan.
24
40. Perubahan yang akan dibuat termasuk memberi tumpuan
kepada projek yang dicadangkan oleh Kerajaan berdasarkan
keutamaan pembangunan nasional. Inisiatif pembiayaan swasta
(PFI) akan diperkenalkan sebagai pendekatan baru di bawah
program penswastaan. Kerajaan bercadang untuk memperluas
pelaksanaan projek PFI dalam tempoh Rancangan untuk
merangsang lagi pelaburan sektor swasta dalam negara
menerusi pembangunan prasarana dan utiliti. Pendekatan
ini juga akan membantu merangsang industri binaan yang
selama lima tahun telah menguncup.
41. PFI akan digunakan dalam dua keadaan. Pertama, PFI
dapat memudahkan pelaksanaan projek Kerajaan dengan
lebih cekap dan menyeimbangkan perkongsian risiko dan
ganjaran antara Kerajaan dengan pihak swasta. Kedua, PFI
boleh digunakan dengan Kerajaan memberi bantuan untuk
meningkatkan daya maju projek sektor swasta yang
dikategorikan sebagai strategik atau dalam bidang yang
dipromosikan. Antara projek yang telah dikenalpasti oleh
Kerajaan yang boleh dilaksanakan menggunakan kaedah PFI
termasuk perkhidmatan pengangkutan awam dan pembangunan
infrastruktur pendidikan. Dengan pelaksanaan yang teliti, PFI
akan mengurangkan kos pemilikan aset yang perlu ditanggung
oleh Kerajaan serta mempergiatkan pelaburan sektor swasta
bagi tujuan pembangunan kawasan dan wilayah yang
dikenalpasti.
25
Memperluas Pasaran bagi Produk dan Perkhidmatan Malaysia
42. Untuk terus berdaya saing, inisiatif untuk memperluas
pasaran bagi produk dan perkhidmatan Malaysia akan
diperhebat dengan mengukuhkan kedudukan dalam pasaran
tradisional dan menerokai pasaran baru. Inisiatif liberalisasi
di bawah WTO dan AFTA serta perdagangan bebas dua hala
yang sedang diusahakan dengan beberapa negara di Asia
Timur, Asia Selatan dan Asia Pasifik akan memperluas
jangkauan global dan memberi peluang tambahan kepada
perdagangan dan pelaburan Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
Teras Kedua: Meningkatkan Keupayaan Pengetahuan
dan Inovasi Negara serta Memupuk
‘Minda Kelas Pertama’
43. Rakyat adalah aset negara paling berharga.
Pembangunan modal insan dan anjakan minda dan pemikiran
warga merupakan salah satu cabaran terbesar. Sekiranya
kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan,
jika kita mahu menjadi negara maju dan kekal pada tahap
tersebut, pembangunan modal insan harus diutamakan. Dalam
konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi adalah satu
keperluan, bukan lagi satu kemewahan.
26
44. Usaha membangunkan modal insan berkualiti akan
digiatkan. Pendekatan kepada pembangunan modal insan
haruslah secara holistik, menekankan pembangunan ilmu
pengetahuan, kemahiran, modal intelektual termasuk ilmu
sains, teknologi dan keusahawanan, dan juga pembudayaan
sikap progresif serta nilai etika dan moral yang tinggi. Inilah
yang dikatakan modal insan berminda kelas pertama. Tiga
strategi utama untuk melahirkan modal insan kelas pertama
akan dilaksanakan:
❑ Pertama, Meningkatkan Keupayaan dan Penguasaan
Ilmu Pengetahuan
❑ Kedua, Memperkukuh Keupayaan Sains, R&D dan
Inovasi
❑ Ketiga, Memupuk Masyarakat Berbudaya dan Memiliki
Kekuatan Moral
Meningkatkan Keupayaan dan Penguasaan Ilmu Pengetahuan
a. Meningkatkan Akses Kepada Pendidikan dan Latihan
Berkualiti di Semua Peringkat
45. Lebih banyak peluang pendidikan di peringkat prasekolah,
pendidikan rendah dan pendidikan menengah yang
dilengkapkan dengan kemudahan lebih baik akan disediakan.
Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan membina 180 buah
27
sekolah rendah dan 229 sekolah menengah dan sekolah
berasrama penuh. Sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak
akan diganti. Dalam pada itu, Kerajaan sedar bahawa 1,598
sekolah di Malaysia masih tidak mempunyai bekalan air awam
dan 809 sekolah tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam.
Justeru itu, sebanyak 1.15 bilion ringgit diperuntukkan untuk
memperbaiki dan menambahbaikkan kemudahan sekolah luar
bandar, khususnya di Sabah dan di Sarawak.
46. Bagi pendidikan peringkat tertiari, Universiti Darul Iman
di Terengganu dan Universiti Darul Naim di Kelantan serta
beberapa politeknik akan dibina. Kerajaan juga akan
meningkatkan kemudahan latihan kemahiran dengan membina
beberapa Kolej Komuniti, Pusat Giat MARA dan Pusat Teknologi
Lanjutan.
47. Langkah-langkah juga akan diambil untuk meningkatkan
pencapaian akademik pelajar sekolah, terutamanya pelajar
luar bandar. Penambahbaikan kualiti pengajaran dan
pembelajaran sekolah luar bandar, termasuk kemudahan ICT,
akan ditekankan. Pendidikan dan latihan guru pula ditekankan
untuk melahirkan guru-guru berkualiti, mahir, bertanggungjawab
dan bangga menjadi pendidik. Maktab-maktab perguruan
akan dinaiktaraf menjadi Institut Pendidikan Guru yang dapat
menganugerah ijazah sarjana muda perguruan. Bagi keselesaan
para guru, peruntukan sebanyak 690 juta ringgit disediakan
untuk membina rumah guru, hampir setengah daripada
peruntukan tersebut untuk rumah guru di luar bandar.
28
b. Menjadikan Sekolah Kebangsaan sebagai ‘Sekolah
Pilihan’
48. Sekolah merupakan tapak semaian penting bagi
memupuk perpaduan negara dan menyemai semangat integrasi
nasional. Kita perlu memastikan berlakunya keseimbangan
komposisi kaum di kalangan murid dan guru di sekolah
kebangsaan. Pelbagai langkah perlu dilaksanakan ke arah
memperkasa sekolah kebangsaan supaya ianya menjadi
sekolah pilihan semua kaum. Kualiti pengajaran di sekolah
kebangsaan akan ditingkatkan. Kurikulum dan aktiviti
kokurikulum akan dikaji untuk memastikan ia menyediakan
asas kukuh bagi pembangunan kompetensi asas dan
bersesuaian dengan kehendak semasa. Mata pelajaran bahasa
seperti Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan sebagai mata
pelajaran elektif.
49. Usaha memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai
sekolah pilihan juga merangkumi langkah-langkah untuk
menjadikan semua sekolah kebangsaan sedia ada sebagai
‘bestari’. Bagi tujuan ini, sebanyak 284 juta ringgit diperuntukkan
untuk Program Pembestarian Sekolah dan 1.51 bilion ringgit
untuk Program Pengkomputeran Sekolah. Peluang pendidikan
bagi kanak-kanak istimewa dan yang mengalami masalah
pembelajaran akan juga ditingkatkan.
29
c. Meningkatkan Tahap Kemahiran Teknikal dan
Vokasional
50. Keupayaan dan keberkesanan latihan untuk melahirkan
tenaga kerja berkemahiran akan ditingkatkan dengan
membanyakkan institusi latihan awam, menambah kursus
lanjutan dalam bidang-bidang teknikal, mengukuhkan sistem
piawaian dan kualiti pendidikan teknikal, serta menggalakkan
penyertaan sektor swasta dalam bidang latihan teknikal.
Pengambilan pelatih teknikal akan bertambah dua kali ganda
dengan pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional. Kurikulum
teknikal akan diperbaiki dengan kerjasama dan input industri.
d. Melahirkan Institusi Pengajian Tinggi Bertaraf
Antarabangsa
51. Langkah untuk mempertingkat kualiti pendidikan tertiari
akan terus dilaksanakan. Institusi pengajian tinggi tempatan
akan ditanda aras mengikut piawaian antarabangsa. Kualiti
ahli akademik akan dipertingkat merangkumi ketokohan,
kepakaran dan komitmen. Negara mensasarkan 60 peratus
daripada jumlah tenaga akademik memiliki ijazah Doktor
Falsafah menjelang tahun 2010. Bagi memperkukuh keupayaan
penyelidikan di universiti tempatan, jalinan kerjasama dengan
institusi terkemuka antarabangsa dan juga swasta akan
dilaksanakan. Institusi pengajian tertiari juga hendaklah
meneliti kursus-kursus yang ditawarkan sejajar dengan
keperluan semasa sumber manusia.
30
Memperkukuh Keupayaan R&D, Sains dan Inovasi
52. Kerajaan amat komited untuk meningkatkan keupayaan
R&D, keupayaan saintifik dan keupayaan inovasi. Negara
tidak mungkin menjadi negara maju tanpa kapasiti sains dan
teknologi yang ketara. Perbelanjaan sektor awam bagi aktiviti
R&D diperuntukkan 3.9 bilion ringgit, ditingkatkan dua kali
ganda berbanding peruntukan dalam Rancangan Malaysia
Kelapan. Kerajaan akan terus berusaha untuk mencapai
sasaran perbelanjaan R&D negara sebanyak 1.5 peratus
daripada KDNK menjelang tahun 2010. Penyelidikan asas
bagi maksud memperkembang dan mendalami ilmu akan
digalakkan. Bagi meningkatkan impak daripada perbelanjaan
R&D, kita akan menyenaraikan fokus utama dan menyepadukan
usaha R&D serta memberi perhatian yang lebih terhadap
pengkomersialan penemuan R&D. Sehubungan ini, Kerajaan
akan memperkenalkan Tabung Sains dan Tabung Tekno bagi
mempermudahkan akses kepada sumber kewangan.
53. Tumpuan akan diberi untuk mengeluarkan lebih ramai
penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) dengan meletakkan
sasaran 50 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang
tahun 2010. Bagi mencapai sasaran ini, Program Pembangunan
Sumber Manusia S&T berjumlah 500 juta ringgit akan
ditubuhkan. Sebagai langkah permulaan, Program Brain Gain,
program untuk melibatkan atau menarik ke Malaysia para
penyelidik, saintis dan jurutera yang cemerlang, termasuk
warganegara Malaysia di luar negara, akan dilancarkan.
31
Memupuk Masyarakat Berbudaya dan Memiliki
Kekuatan Moral
54. Masyarakat “berminda kelas pertama” adalah masyarakat
yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja
cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral. Masyarakat
tersebut juga tahu menghayati dan menghargai budaya,
kesenian dan warisan serta sejarah negara, bangsa dan
agamanya. Identiti nasionalnya kekal terserlah melalui
pembinaan jati diri yang kukuh dan tidak mudah dihanyutkan
oleh arus globalisasi. Prinsip-prinsip kepercayaan kepada
Tuhan dan kesetiaan kepada Raja dan negara senantiasa
dijunjung. Semangat Islam Hadhari yang menekankan kepada
pegangan prinsip-prinsip berasaskan nilai-nilai universal yang
luhur, akan diterapkan.
55. Penglibatan langsung rakyat dalam aktiviti budaya,
kesenian dan warisan akan turut menyumbang kepada
pembangunan insan yang holistik, di samping membantu
mengukuhkan perpaduan negara. Kerajaan akan berusaha
meningkatkan kesedaran rakyat mengenai peranan budaya,
kesenian dan warisan dalam kehidupan harian, di samping
mempromosikan industri budaya dan kesenian negara.
Memperkasa Belia dan Wanita
56. Belia merupakan aset, sumber berharga negara.
Merekalah yang akan mewarisi pimpinan untuk meneruskan
hala tuju warga. Rancangan yang digubal ini, Misi Nasional
dan Wawasan 2020 adalah satu persiapan untuk diwariskan
32
kepada mereka. Apresiasi para belia dan penghayatan mereka
terhadap Misi Nasional bagi mencapai Wawasan 2020 perlu
dipupuk. Bakat kepimpinan mereka perlu diasuh dan diasah.
Mereka harus dibawa bersama dalam usaha pembangunan
negara di peringkat perancangan, kepimpinan dan pelaksanaan.
Kepimpinan belia dan pertubuhan belia haruslah memenuhi
cita rasa belia. Badan-badan belia hendaklah menjadi forum
bagi para belia menyuarakan aspirasi generasi mereka. Untuk
itu kepimpinan dan keanggotaan pertubuhan-pertubuhan belia
sewajarlah diserahkan kepada generasi belia. Kerajaan kini
dalam proses menggubal Akta Belia Negara untuk dijadikan
kompas panduan hala tuju belia di negara ini.
57. Malaysia sentiasa menghormati prinsip kesaksamaan
gender. Wanita telah menunjukkan keupayaan cemerlang
apabila diberikan peluang yang saksama; sememangnya wanita
tetap mempunyai tempat di dalam semua arena pembangunan
negara. Sumbangan wanita terhadap usaha pembangunan
hendaklah dilihat secara menyeluruh. Wanita yang tidak
bekerja sepenuh masa, wanita yang membantu urusniaga
keluarga, wanita yang memilih menjadi suri rumah sepenuh
masa; mereka sebenarnya memberikan sumbangan besar
dari sudut ekonomi dan sosial, dari aspek pembangunan
keluarga dan pembangunan insan. Kerajaan akan terus
memudahkan penyertaan lebih ramai wanita dalam tenaga
kerja, termasuklah menyediakan lebih banyak peluang latihan,
menggalakkan waktu kerja fleksibel dan juga mewujudkan
‘special window’ dalam program pembiayaan perniagaan sedia
ada. Kerajaan juga akan terus mengkaji semula undang-
undang dan peraturan sedia ada yang mempunyai potensi
untuk mendiskriminasikan wanita.
33
Tuan Yang di-Pertua,
Teras Ketiga: Menangani Masalah Ketidaksamaan
Sosioekonomi Secara Membina dan
Produktif
58. Serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru untuk
membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat
dilahirkan setelah mengambil pengajaran daripada peristiwa
13 Mei. Peristiwa pahit tersebut berpunca daripada keresahan
hubungan antara “kumpulan berada” dengan “kumpulan kurang
berada” serta ketegangan hubungan antara kaum kerana
agihan kemakmuran ekonomi yang tidak seimbang. Dasar
tersebut bertujuan menangani jurang sosioekonomi melalui
pertumbuhan kek ekonomi yang semakin membesar, tanpa
menafikan hak mana-mana kumpulan. Dengan pelaksanaan
dasar tersebut, ketidakseimbangan di dalam negara mula
ditangani. Kemajuan kelihatan dicapai dari segi pengurangan
kadar kemiskinan, peningkatan kualiti hidup rakyat, peningkatan
jumlah profesional Bumiputera, serta perkembangan kelas
menengah Bumiputera dan bukan Bumiputera.
59. Walau bagaimanapun, kemajuan yang dicapai dari segi
pengagihan tidak meningkat sejak awal tahun sembilan puluhan
dengan bermulanya proses liberalisasi, dan mula merosot
apabila negara dilanda krisis kewangan 1998.
Ketidakseimbangan dari segi pendapatan, terutama antara
kaum, antara yang kaya dengan yang miskin, serta antara
kawasan bandar dengan luar bandar kembali ketara. Ini
34
menunjukkan bahawa walaupun pembangunan ekonomi negara
mampu meningkatkan tahap pendapatan dan kualiti hidup
rakyat, namun ia secara sendiri tidak mampu untuk memastikan
manfaat dari pembangunan tersebut dapat dinikmati oleh
semua rakyat secara lebih luas dan saksama.
60. Bahawa sasaran yang ditetapkan masih belum tercapai
sepenuhnya. Kita tidak boleh memejamkan mata dan berpura-
pura tidak melihat realiti yang berlaku. Kita harus berani
menyatakan yang benar. Keberanian menyatakan realiti secara
tegas, membolehkan kita mengambil langkah pembetulan.
Keadaan ketidakseimbangan ini, jika tidak ditangani, ibarat
duri dalam daging, menjadi punca yang boleh menggugat
perpaduan kaum dan kestabilan negara, seterusnya menggugat
pembangunan ekonomi negara.
61. Justeru itu, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan,
kita akan memberi penekanan semula kepada usaha menangani
keadaan ketidaksamaan sosioekonomi, atas kesedaran bahawa
sasaran yang telah ditetapkan masih belum tercapai
sepenuhnya. Dalam menangani isu ini, kita akan memperhalus
dan memperkemas strategi kita berdasarkan keterbukaan
ekonomi global dan berlandaskan pengalaman yang telah
kita pelajari. Bagi menangani keadaan ketidakseimbangan
pencapaian sosioekonomi dengan lebih berkesan, strategi
yang akan dilaksanakan dilandaskan kepada prinsip-prinsip
berikut:
❑ Pertama, membasmi kemiskinan supaya tidak ada rakyat
yang ditinggalkan dari arus pembangunan, dan dengan
35
itu memperkukuh landasan sosioekonomi negara agar
ekonomi nasional dapat terus dibangunkan secara
mampan;
❑ Kedua, menjana arus pembangunan yang lebih
seimbang, terutamanya di kawasan yang kurang
mengalami pembangunan, dan seterusnya membuka
lebih banyak peluang penyertaan dalam ekonomi
negara; dan
❑ Ketiga, memastikan bahawa manfaat daripada
pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat
secara adil dan saksama.
Membasmi Kemiskinan
62. Usaha untuk membasmi kemiskinan, tanpa mengira
kaum, kawasan, wilayah mahupun negeri, perlu ditingkatkan.
Pembasmian kemiskinan wajib dijadikan sasaran utama dalam
usaha besar menangani ketidakseimbangan pencapaian
sosioekonomi negara, demi memastikan bahawa nasib warga
terbela, landasan sosioekonomi negara kukuh, perpaduan
dan kestabilan negara dikekalkan, dan ekonomi negara terus
dibangunkan.
63. Bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan
dengan lebih berkesan, kita harus tahu secara tepat dan
terperinci siapa dan di mana sasaran kemiskinan di negara
ini. Untuk menambah baik proses penyasaran, Kerajaan
36
telah mengkaji semula ukuran Pendapatan Garis Kemiskinan
(PGK). Banyak perubahan telah berlaku dari segi struktur
harga, corak perbelanjaan dan taraf hidup rakyat sejak tahun
1977 apabila PGK diperkenalkan buat pertama kalinya. Di
samping membolehkan maklumat mengenai kemiskinan yang
lebih tepat diperoleh, PGK yang baru akan membantu
meringankan beban golongan yang nyata miskin tetapi tidak
dikategorikan miskin di bawah PGK lama, contohnya golongan
miskin di bandar.
64. Berdasarkan PGK baru, kadar kemiskinan dalam negara
berada di tahap 5.7 peratus dan miskin tegar di tahap 1.2
peratus pada tahun 2004. Kerajaan menetapkan sasaran
untuk mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada
2.8 peratus dan membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar
menjelang tahun 2010.
65. Program membasmi kemiskinan akan memberi tumpuan
kepada usaha bina upaya di kalangan golongan miskin dengan
menambah baik akses kepada pendidikan dan kemahiran,
memupuk nilai positif serta membina keyakinan dan motivasi
diri. Ini bertujuan menggalakkan penyertaan golongan
berpendapatan rendah secara aktif dalam aktiviti ekonomi.
Bagi menyokong penyertaan golongan miskin di dalam arus
ekonomi perdana, akses kepada kemudahan pembiayaan
akan dipertingkat dan prasarana lebih baik akan disediakan.
Program khusus akan dilaksanakan bagi menangani kemiskinan
di kawasan luar bandar dan bandar, di kalangan Bumiputera
di Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Walau
bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa masih ada golongan
37
yang tidak berdaya untuk menyertai aktiviti ekonomi secara
terus, Kerajaan tetap akan memberi bantuan kewangan secara
terus kepada golongan warga emas dan golongan kurang
upaya serta daif.
Mencapai Pariti Pendapatan
66. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan, walaupun
pendapatan isi rumah purata meningkat, jurang pendapatan
keseluruhan dan antara kawasan bandar dengan luar bandar
terus melebar. Usaha bersepadu perlu dilaksanakan ke arah
mencapai parit i pendapatan dan merapatkan jurang
pendapatan. Kita menetapkan beberapa sasaran bagi
mencerminkan komitmen Kerajaan untuk menangani isu ini.
Jurang pendapatan antara Bumiputera dengan etnik Cina
akan dikurangkan daripada nisbah 1:1.64 pada tahun 2004
kepada nisbah 1:1.50 pada tahun 2010 dan antara Bumiputera
dengan etnik India daripada nisbah 1:1.27 pada tahun 2004
kepada nisbah 1:1.15 pada tahun 2010. Jurang pendapatan
antara luar bandar dengan bandar akan dikurangkan daripada
1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1:2 pada tahun 2010. Kerajaan
juga menetapkan sasaran untuk meningkatkan peratusan
pendapatan isi rumah kumpulan penduduk 40 peratus terendah.
Memacu Pembangunan Wilayah
67. Bagi mengurangkan jurang pembangunan antara
kawasan luar bandar dengan bandar dan antara wilayah yang
38
kurang membangun dengan wilayah yang membangun,
Kerajaan akan menambah peruntukan pembangunan luar
bandar serta pembangunan wilayah kurang membangun.
Namun menambah peruntukan semata-mata, tidak cukup dalam
era ekonomi global. Kita perlu memperkenalkan formula
pembangunan yang lebih bersepadu, menyeluruh lagi dinamik.
Sudah sampai masanya, pusat perkembangan dan
pertumbuhan tidak harus hanya tertumpu di Lembah Klang.
Justeru itu, Kerajaan akan membangunkan kawasan-kawasan
pertumbuhan baru, termasuk mengambil pendekatan merentasi
sempadan negeri untuk membolehkan sesuatu projek memberi
manfaat kepada beberapa negeri secara serentak. Bagi tujuan
ini, Koridor Utara Semenanjung yang merangkumi kawasan
di negeri Perlis, Kedah, Perak Utara dan Seberang Perai;
Koridor Timur yang merangkumi Kelantan, Terengganu dan
Pahang Timur; serta Sabah dan Sarawak, akan dibangunkan.
68. Selain itu, pusat pertumbuhan baru akan dikenal pasti
bagi menjana pembangunan negara seterusnya. Wilayah
Ekonomi Johor Selatan akan dibangunkan secara komprehensif
dan sistematik. Di samping itu, pembinaan Jambatan Kedua
Pulau Pinang akan menjadi satu kemudahan bagi rakyat dan
merangsang pertumbuhan di kawasan berdekatan, merangkumi
Pulau Pinang, Kedah dan Perak Utara, serta memangkinkan
kegiatan-kegiatan ekonomi, terutama kepada para pedagang
yang mendapat manfaat daripada kemudahan pelabuhan dan
perkhidmatan kargo udara.
39
69. Pembangunan kawasan secara bersepadu akan
dilaksanakan bagi menyatukan kampung serta mewujudkan
pusat pertumbuhan. Kerajaan akan menambah baik kemudahan
prasarana dan menggalakkan pertumbuhan peluang baru
ekonomi untuk menjana pendapatan dan pekerjaan terutamanya
berkaitan pertanian baru, industri asas tani dan sektor
perkhidmatan. Sejumlah 1.2 bilion ringgit akan dibelanjakan
bagi menambah baik bekalan air ke kawasan luar bandar, 1.0
bilion ringgit bagi bekalan elektrik luar bandar, 2.7 bilion
ringgit bagi pembinaan jalan raya luar bandar dan 900 juta
ringgit bagi jalan kampung. Lembaga Kemajuan Wilayah baru
akan ditubuhkan di Sabah dan di Sarawak bagi membangunkan
kawasan pedalaman dan pusat pertumbuhan desa.
Mengurangkan Jurang Kekayaan
Tuan Yang di-Pertua,
70. Bahawa Kerajaan komited untuk mencapai sasaran
sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera.
Dari segi realitinya, ia akan dapat dicapai dalam jangka masa
lebih panjang. Sehubungan itu, kita memutuskan untuk
mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan
ekuiti Bumiputera menjelang tahun 2020. Program penswastaan
akan terus berperanan sebagai landasan bagi membantu
Bumiputera berkelayakan untuk menyertai perniagaan. Di
samping itu, kita akan membangunkan sumber modal
Bumiputera, seperti tanah dan harta wakaf di bawah tanggung
40
jawab pihak berkuasa agama Islam negeri. Pihak berkuasa
agama Islam negeri perlulah mengambil tanggung jawab fardu
kifayah, berperanan aktif membangunkan ekonomi umat Islam
dan membantu usaha pembangunan insan. Pemilikan kekayaan
Bumiputera akan diperluas termasuk pemilikan harta kediaman
dan perniagaan, terutama di kawasan bandar. Bagi tujuan
ini, Perbadanan UDA akan ditubuhkan semula untuk melengkapi
usaha Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera. Usaha juga
akan dilaksanakan untuk menggalakkan lebih banyak pemilikan
harta intelektual oleh Bumiputera.
71. Kita juga akan membantu membangunkan tanah adat
dan tanah pribumi di Sabah dan Sarawak. Untuk memesatkan
pembangunan masyarakat Orang Asli, satu pelan pembangunan
komprehensif akan dilaksanakan. Usaha ini termasuk
mewujudkan peluang penjanaan pendapatan menerusi Skim
Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dan skim
penempatan semula serta memperkenalkan program
keusahawanan luar bandar.
72. Langkah sewajarnya juga akan diperkenal untuk
meningkatkan pemilikan ekuiti etnik India kepada 3.0 peratus
menjelang tahun 2020. Di samping menggalakkan
keusahawanan, peluang latihan kemahiran untuk belia India
akan ditambah dengan memberi tempat di Pusat Giat MARA
dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) serta penubuhan
Pusat Putra. Kerajaan juga akan terus memperbaiki keadaan
dan kemudahan di kampung baru. Dengan itu, semua kaum
41
akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada peluang-peluang
ekonomi yang disediakan di bawah Rancangan ini.
Menstruktur Semula Pola Pekerjaan
73. Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan berusaha
untuk memastikan bahawa pola pekerjaan (“employment
pattern”) benar-benar mencerminkan komposisi kaum
masyarakat Malaysia. Sektor swasta hendaklah secara
bersama memainkan peranan memacu penyertaan Bumiputera
dalam sektor-sektor yang masih kurang disertai oleh
Bumiputera. Di samping itu, usaha untuk meningkatkan
penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor awam dan sektor-
sektor yang kurang disertai oleh bukan Bumiputera akan
dilaksanakan secara lebih tegas lagi. Kemajuan dalam usaha
penstrukturan semula sektor pekerjaan akan dipantau dengan
cermat dan menyeluruh.
Membangunkan Masyarakat Perdagangan
dan Perindustrian Bumiputera Generasi Baru
74. Pembangunan Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera (MPPB) akan diteruskan dalam
memenuhi agenda menyusun semula masyarakat dan
memastikan penyertaan lebih bererti Bumiputera dalam sektor
ekonomi. Fasa Kedua program MPPB akan dilancarkan;
42
bertujuan untuk membangunkan usahawan Bumiputera yang
berdikari, berdaya tahan dan berdaya saing serta PKS
Bumiputera yang mantap. Bagi menambah baik pelaksanaan
program MPPB, keupayaan agensi amanah, GLC dan koperasi
akan ditingkatkan. Penglibatan usahawan Bumiputera dalam
bidang pertumbuhan baru akan digalakkan. Program
pembangunan francais dan vendor akan diperkukuhkan.
Pendekatan lebih sistematik dan berfokus akan diguna pakai
ke arah pembangunan usahawan luar bandar, khususnya
PKS asas tani dan PKS kraftangan.
Mencapai Pembangunan Lebih Seimbang dan Bermakna
75. Untuk merealisasikan pembangunan yang lebih seimbang
supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh setiap
warga secara lebih saksama, komitmen yang tinggi harus
wujud antara pihak Kerajaan, sektor swasta, badan bukan
kerajaan serta setiap warga Malaysia. Langkah-langkah yang
akan diambil bagi mewujudkan keseimbangan sosioekonomi
tidak pernah bermaksud mengambil alih kekayaan yang sedia
ada daripada mana-mana pihak. Sebaliknya, ia bertujuan
mengembangkan dan mengagihkan semula pertumbuhan
ekonomi negara pada masa akan datang secara beransur,
melalui penyertaan secara aktif dan langsung semua pihak
dalam proses penjanaan pertumbuhan ekonomi.
76. Kajian menunjukkan bahawa dengan mengambil langkah-
langkah yang saya nyatakan tadi, termasuk langkah-langkah
43
pengagihan, menjelang tahun 2010, pendapatan isi rumah
akan dapat dipertingkat sebanyak 25 peratus secara purata
dari tahap hari ini. Dalam erti kata lain, semua kaum akan
menikmati peningkatan pendapatan mereka. Apa yang perlu
ditekankan adalah hakikat bahawa dengan melaksanakan
dasar pengagihan, bukan sahaja Bumiputera, malah kaum-
kaum lain turut menikmati manfaatnya.
77. Namun Kerajaan sedar bahawa dasar dan program
pengagihan harus dirancang, dilaksanakan dan dipantau
dengan baik supaya berlaku adil kepada semua pihak kerana
pelaksanaan yang kurang baik dan pemantauan yang kurang
berkesan memungkinkan berlakunya ketir isan dan
penyelewengan, lalu manfaat dasar tersebut akan hanya
dinikmati oleh sekumpulan kecil sahaja. Keadaan ini sama
sekali tidak harus dibenarkan berlaku. Dalam merealisasikan
pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan bermakna,
kita harus menerima hakikat bahawa dasar pembangunan
yang tidak memberi peluang penyertaan secara bermakna
kepada semua golongan, terutama golongan majoriti, adalah
satu dasar yang tidak “viable” dalam jangka masa panjang.
78. Dengan itu, Kerajaan komited untuk melaksanakan dasar
dan program pengagihan dengan adil, baik lagi berkesan.
Kerajaan akan memastikan bahawa struktur serta proses
pelaksanaan dan pemantauan diwujudkan segera supaya impak
daripada dasar dan program dapat dilihat dalam tempoh
terdekat. Merealisasikan pembangunan yang lebih seimbang
dan bermakna adalah satu amanah untuk menjamin keadilan
44
sosial dan memupuk keharmonian rakyat. Amanah ini perlu
dilaksanakan dengan ikhlas, dengan tegas lagi berani supaya
landasan ekonomi lebih kukuh dan kompetitif dapat dibina
bagi mencapai cita-cita membina masa hadapan negara-bangsa
yang lebih cerah bagi generasi sekarang dan generasi akan
datang.
Tuan Yang di-Pertua,
Teras Keempat: Meningkatkan Tahap dan Kemampanan
Kualiti Hidup
79. Bahawa kemajuan sesebuah negara turut dinilai
berdasarkan kualiti hidup warga. Kerajaan akan terus
memastikan seluruh warga mendapat manfaat daripada
program pembangunan dan hasil kemakmuran negara.
Bahawa pembangunan akan menjadi lebih bermakna sekiranya
kita berjaya melakukan agihan kemakmuran secara saksama
hingga dapat meningkatkan kualiti hidup warga.
Memenuhi Keperluan Perumahan dan
Menambah Baik Perkhidmatan Perbandaran
80. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan, bilangan
rumah yang dibina mengatasi sasaran. Kualiti rumah kos
rendah turut bertambah baik. Kita akan terus memastikan
penyediaan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu
untuk dimiliki atau disewa oleh warga Malaysia terutama di
45
kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Kerajaan
akan membina kira-kira 43,800 unit rumah kos rendah melalui
Program Perumahan Rakyat. Usaha ini akan diperlengkap
dengan pembinaan kira-kira 29,000 rumah kos rendah dan
kos sederhana rendah oleh Syarikat Perumahan Negara
Berhad. Pihak swasta hendaklah bersama membantu usaha
Kerajaan dengan turut membekalkan rumah kos rendah melalui
projek pembangunan bercampur.
81. Usaha terus dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti
dan kecekapan perkhidmatan perbandaran dengan menyusun
semula Pihak Berkuasa Tempatan dan mengguna pakai sistem
KPI bagi memantau prestasi perkhidmatan. Pihak Berkuasa
Tempatan berperanan penting memantau keadaan persekitaran
yang bersih dan mesra alam supaya kondusif kepada kehidupan
dan kegiatan ekonomi warga. Keadaan persekitaran yang
kondusif, bersih dan mesra alam di kawasan kediaman dan
perniagaan akan secara langsung membantu pembentukan
minda kelas pertama di kalangan warga. Pihak Berkuasa
Tempatan berperanan penting membantu menjayakan agenda
nasional negara dari segi menyediakan premis dan ruang
niaga Bumiputera secara teratur dan menarik. Penggunaan
sistem ICT juga akan diperluas untuk meningkatkan
kecekapan pengendalian. Kerajaan juga akan melaksanakan
Pelan Strategik Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan.
Dasar Perbandaran Nasional akan digubal untuk
membantu perancangan dan pelaksanaan perkhidmatan
perbandaran.
46
Menambah Baik Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan
82. Usaha penambahbaikan status kesihatan penduduk akan
diutamakan untuk melahirkan masyarakat yang cergas dan
cerdas. Kemudahan sedia ada akan dinaikkan taraf manakala
kemudahan baru akan dibina bagi menyediakan pakej
perkhidmatan yang komprehensif termasuk membina 8 hospital
baru, menggantikan 14 hospital usang dan membina beberapa
pusat pakar. Bilangan klinik bergerak akan ditambah
terutamanya untuk mempertingkat penjagaan kesihatan di
kawasan luar bandar. Perkhidmatan penjagaan kesihatan
primer, sekunder dan tertiari akan digabung melalui satu
sistem rujukan yang cekap dan berkesan, bagi menyediakan
sistem yang bersepadu. Menyedari terdapat kekurangan
meruncing pelbagai kategori anggota perubatan dan kesihatan,
satu pelan tindakan sumber manusia akan dirangka dan
sebanyak 1.0 bilion ringgit diperuntukkan kepada pembangunan
sumber manusia dalam penjagaan kesihatan.
Menambah Baik Kemudahan dan Prasarana
Pengangkutan
Tuan Yang di-Pertua,
83. Sistem pengangkutan awam berkualiti yang dapat
memenuhi keperluan warga adalah salah satu ciri negara
maju. Kesesakan jalan raya disebabkan kapasiti jalan yang
terhad dan kejadian kemalangan jalan raya yang tinggi amatlah
47
tidak produktif kepada negara. Ini ditambah pula dengan
peningkatan harga bahan bakar petroleum dan keadaan harga
yang tidak menentu. Kerajaan memiliki kesungguhan politik
untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam secara
berkesan. Penubuhan ‘Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan
Awam’ adalah antara langkah awal yang telah dirintis.
84. Sistem komuter, LRT dan monorel yang diperkenalkan
merupakan satu pelaburan yang terbukti berkesan. Namun
ia perlu diperlengkap dengan pelaksanaan secara bersepadu,
komprehensif dan jaringan lebih meluas supaya menjadi sistem
pengangkutan pilihan utama. Perkhidmatan ini perlu
diperkemas dengan sistem ‘feeder’ yang lengkap, menepati
waktu perjalanan, meningkatkan kekerapan dan mengurangkan
waktu menunggu. Perancangan pengangkutan perlu
diselaraskan dengan pertumbuhan kawasan penempatan baru,
pusat dan kompleks komersial yang baru, pembinaan prasarana
awam yang baru serta pertumbuhan dan kepadatan penduduk.
85. Sebuah suruhanjaya nasional akan ditubuhkan untuk
mengawal selia sistem pengangkutan awam, sementara sebuah
suruhanjaya khusus akan ditubuhkan bagi kawasan Lembah
Klang. Terminal pengangkutan bersepadu di Gombak dan
Bandar Tasik Selatan akan dibina sebagai hab transit ke
Kuala Lumpur. Kerajaan juga akan melaksanakan beberapa
projek utama di seluruh negara, termasuk Monorel Pulau
Pinang dan Lebuh Raya Hubungan Penyuraian Timur di Johor.
86. Kerajaan juga akan meneruskan pembinaan jalan baru
dan menaik taraf jalan sedia ada untuk meningkatkan akses
48
kepada kawasan kurang membangun, terutamanya bagi
menghubungkan pusat pertumbuhan wilayah dengan kawasan
yang mempunyai potensi untuk pelancongan.
Menjamin Bekalan Tenaga yang Mampan
87. Bekalan tenaga bermutu dan mencukupi adalah satu
keperluan pembangunan negara. Rakyat harus sedar betapa
berharga dan sukar didapati sumber tenaga. Budaya
menggunakan tenaga secara cermat perlu dipupuk. Reka
bentuk bangunan harus mengambil kira kadar penggunaan
tenaga secara minimum tetapi berupaya memenuhi keperluan
optimum. Kerajaan akan mengambil langkah-langkah bagi
meningkatan kecekapan penggunaan tenaga (“energy
efficiency”) di seluruh negara bagi mengurangkan pembaziran
sekaligus mempertingkat lagi pembekalan tenaga mencukupi
(“energy sufficiency”). Kerajaan juga berazam untuk
mengurangkan pergantungan kepada keluaran petroleum
melalui peningkatan penggunaan bahan api alternatif termasuk
biofuel dan biodiesel serta sumber tenaga yang boleh
diperbaharui.
Mempertingkat Sistem Pembekalan Air
dan Menangani Banjir
Tuan Yang di-Pertua,
88. Air adalah sumber kehidupan yang amat penting. Apa
yang sedang berlaku kepada sumber air di negara ini amatlah
49
menyentuh hati saya – ianya sangat menyedihkan. Pencemaran
yang berlaku telah membunuh kehidupan di air. Sungai pada
satu ketika dahulu kaya dengan kehidupan seperti ikan, udang
dan tuntong yang menjadi sumber bekalan protein memenuhi
keperluan manusia. Segala-galanya telah pupus. Kejernihan
air sungai menjadi keruh dan kini berbau busuk.
89. Segala bala ini adalah balasan bumi kepada perbuatan
zalim manusia yang diperlihatkan oleh ILAHI. Tabiat buruk
manusialah yang menjadi pencetus kepada bala yang mungkin
terpaksa kita hadapi. Aktiviti membalak yang berlebihan,
pencerobohan ke kawasan tadahan air, kerakusan manusia
yang tamak kebendaan, perbuatan membuang sampah sarap
ke sungai dan longkang, adalah antara puncanya. Tuhan
telah merahmatkan bumi ini dengan hujan sepanjang masa
dan sungai-sungai yang mengalir dari bukit ke lembah. Insaflah
akan betapa perlunya anugerah ILAHI ini dihormati dan
dipelihara baik. Lihatlah penderitaan yang dihadapi oleh
ramai penduduk dunia yang ketandusan air. Jika kita tidak
berhati-hati, negara kita akan mengalami krisis air dalam
tempoh yang tidak terlalu lama. Untuk itu, kita seharusnya
menguruskan sumber air secara lebih cekap dan
bertanggungjawab.
90. Dengan itu, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada
peningkatan kualiti, liputan serta jaminan bekalan air.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mengawal
selia mutu bekalan air di seluruh negara bagi menjaga
kepentingan pengguna. Prasarana bekalan air akan dibina
50
dan dinaikkan taraf. Antara projek utama yang akan
dilaksanakan termasuk Projek Penyaluran Air Mentah antara
Negeri dari Pahang ke Selangor, Skim Bekalan Air Triang
dan Batu Hampar di Negeri Sembilan, Sandakan Fasa 2 di
Sabah dan Loji Rawatan Air Langat Fasa 2 di Selangor.
Kerajaan akan turut memperuntukkan 1.48 bilion ringgit bagi
pemulihan rangkaian pengagihan bagi mengurangkan kadar
air tidak terhasil daripada 38 peratus pada tahun 2005 kepada
30 peratus menjelang tahun 2010.
91. Usaha berterusan akan turut diambil bagi mengurangkan
ancaman banjir di seluruh negara. Pembangunan di Koridor
Timur dan wilayah lain tidak mungkin berhasil tanpa usaha
menangani masalah banjir. Kerajaan akan membelanjakan
hampir 4 bilion ringgit bagi projek tebatan banjir, berbanding
1.79 bilion ringgit dalam Rancangan Malaysia Kelapan. Selain
itu, langkah mencegah banjir akan juga dilaksanakan menerusi
kawalan penggunaan tanah serta sistem bersepadu jangkaan,
amaran dan respons yang cekap.
Memastikan Pemuliharaan Alam Sekitar
dan Pengurusan Sumber Secara Mampan
92. Alam semula jadi di negara kita adalah satu lagi rahmat
anugerah ILAHI. Ia adalah sumber kekayaan yang dapat
memenuhi keperluan manusia dan keperluan makhluk ciptaan
ILAHI. Ia dapat memenuhi keperluan pemakanan dan
perubatan. Keindahan pantai dan laut, bukit dan sungai,
51
hutan tropika dengan flora dan fauna adalah khazanah negara
yang mempunyai nilai tinggi dari segi eko-pelancongan. Amatlah
mendukacitakan, keindahan alam semula jadi dimusnahkan
oleh perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab, dari
kalangan mereka yang rakus meraih kekayaan diri untuk
jangka pendek. Berlakulah kerosakan, pemusnahan dan
pencemaran. Maka pupuslah khazanah negara, hilanglah
anugerah kurniaan ILAHI. Segala yang telah berlaku perlu
dijadikan pengajaran untuk digariskan sempadan.
93. Untuk itu Kerajaan bertanggungjawab memastikan
keseimbangan antara keperluan pembangunan dan
pemuliharaan alam sekitar, dengan meningkatkan
penguatkuasaan serta langkah pencegahan dan rawatan. Antara
projek utama yang akan dilaksanakan adalah membersih,
memulihara dan mengindahkan sungai dengan peruntukan
510 juta ringgit, pengurusan pantai sebanyak 350 juta ringgit,
penanaman semula hutan sebanyak 200 juta ringgit dan
pengurusan hidupan liar dan kawasan dilindungi sebanyak
70 juta ringgit.
Membangunkan Sukan
94. Sukan berperanan penting dalam memperkukuh
keharmonian dan perpaduan negara, memupuk semangat
patriotisme dan membangunkan masyarakat yang berdisiplin
dan berdaya saing. Malaysia akan terus mempromosikan
sukan massa dan sukan berprestasi tinggi. Kita akan memberi
52
penekanan ke arah menyemai budaya bersukan di kalangan
warga di samping berusaha mencapai kecemerlangan sukan
di peringkat antarabangsa. 13 Kompleks Sukan Komuniti akan
dibina. Sektor swasta amat digalakkan untuk menyediakan
kemudahan sukan dan rekreasi dan membiayai program-
program sukan dan rekreasi.
Menjamin Pertahanan Negara dan Ketenteraman Awam
95. Keselamatan negara dan ketenteraman awam sangat
mempengaruhi iklim politik dan iklim ekonomi. Negara yang
bebas daripada ancaman dalam dan luar dapat meningkatkan
keyakinan pelabur dan menjamin kestabilan politik. Kadar
jenayah di dalam negara akan ditangani dengan berkesan.
Langkah memperbaiki keberkesanan perkhidmatan polis, amat
diberikan perhatian. Demikian juga pentingnya dipertingkat
dan dimodenkan mekanisme pertahanan negara supaya
kemerdekaan negara kekal berdaulat. Di samping peranan
utama anggota tentera dan pasukan polis, seluruh warga
diseru bersama membantu menjamin kestabilan sebuah negara
Malaysia yang kukuh bersatu – teguh berpadu. Pihak media,
parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan serta orang
perseorangan perlulah prihatin akan isu-isu sensitif berhubung
agama, kaum, budaya dan bahasa; serta tidak juga mencetus
isu sensasi yang boleh menjejas ketenteraman awam dan
keselamatan negara.
53
Tuan Yang di-Pertua,
Teras Kelima: Mengukuhkan Keupayaan Institusi dan
Keupayaan Pelaksanaan Negara
96. Misi Nasional beserta Rancangan Malaysia Kesembilan
dirangka berasaskan input, pandangan dan maklum balas
pelbagai pihak. Perancangan yang dibuat mungkin belum
sempurna, dan akan terus diperbaiki. Namun apa yang lebih
penting ialah pelaksanaan yang bersungguh, cekap lagi
berkesan. Rakyat mahu melihat keazaman politik dan
ketegasan Kerajaan melaksanakan Rancangan ini, sebagai
langkah pertama Misi Nasional untuk mencapai matlamat
Wawasan 2020.
97. Maka menjadi tugas Kerajaan untuk menyusun jentera
pelaksanaan, pemantauan dan penilaian yang lebih efektif.
Menjadi tanggungjawab Kerajaan membina upaya jentera
tersebut dengan pembangunan modal insan kelas pertama.
Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk menambah baik dan
meminda peraturan serta undang-undang sedia ada, agar
dapat memudahkan pembangunan dan mengurangkan
halangan.
98. Dengan itu, Kerajaan meletakkan pengukuhan institusi-
institusi negara serta peningkatan keupayaan pelaksanaan
sebagai teras kelima Misi Nasional. Kerajaan akan mengambil
langkah penambahbaikan dari segi struktur organisasi; dari
segi kemudahan dan persekitaran kerja; dari segi mutu tenaga
54
pekerja; dan dari segi rangka peraturan dan undang-undang.
Dengan langkah-langkah demikian, Kerajaan berazam untuk
memperbaiki prestasi perkhidmatan agensi barisan hadapan
Kerajaan serta meningkatkan sistem penyampaian
perkhidmatan swasta terutamanya di kalangan GLC.
99. Sebagai langkah khusus bagi memantapkan mekanisme
pelaksanaan, pemantauan dan penilaian negara, sukacita
saya memaklumkan di Dewan ini bahawa struktur dan hala
cara Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan disusun
semula untuk memberi penumpuan kepada pelaksanaan
program dan projek dan memastikan terdapat sistem
penyampaian yang berkesan. Saya juga bercadang untuk
menubuhkan dua Badan Bertindak Pelaksanaan Negara
(BBPN); satu untuk memantau projek-projek Rancangan
Malaysia Kesembilan yang mempunyai impak tinggi bagi rakyat;
dan badan kedua bagi memantau program Masyarakat
Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera Generasi Baru
(MPPB2). Kedua-dua Badan Bertindak ini akan dipengerusikan
oleh Perdana Menteri dengan keanggotaan yang disertai oleh
Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri berkaitan serta
Ketua Setiausaha Negara. Badan-Badan Bertindak tersebut
akan disokong oleh sebuah Direktorat Pelaksanaan Negara
(DPN) yang akan dianggotai oleh pakar-pakar dalam
pengurusan program dan projek.
100. Selain itu, pembangunan modal insan dalam
perkhidmatan Kerajaan akan digiatkan lagi. Institusi dalam
dan luar negara akan terlibat dalam usaha pendidikan dan
55
latihan. Sementara itu, peraturan dan undang-undang yang
melewatkan pembangunan akan dikaji semula dan dipinda.
Untuk itu, sebuah Jawatankuasa Bertindak Sektor Awam-
Sektor Swasta akan ditubuhkan bagi mengemukakan cadangan
pindaan kepada peraturan dan undang-undang yang berkaitan.
101. Saya ingin mengingatkan bahawa kejayaan pelaksanaan
bukan sahaja bergantung kepada usaha sektor awam; institusi-
institusi lain seperti sektor swasta, masyarakat sivil, Parlimen
dan pihak media, semuanya memainkan peranan penting.
Sesungguhnya, gabungan keupayaan setiap institusi tersebut
akan menentukan tahap pencapaian negara baik dari segi
peningkatan ekonomi mahupun kemajuan sosial.
Tuan Yang di-Pertua,
102. Saya menekankan sekali lagi bahawa jentera
pelaksanaan negara perlu diasaskan kepada sifat amanah
dan integriti dalam meningkatkan akauntabiliti dan tahap urus
tadbir di dalam negara. Tanpa nilai integriti, negara tidak
boleh dikatakan negara maju dalam erti kata sebenar, meskipun
maju dari segi ekonomi, sosial mahupun kualiti hidup.
103. Pelan Integriti Nasional (PIN) telah digubal, mengandungi
pelan dan strategi bagi membentuk masyarakat berintegriti.
Pelaksanaan PIN akan diperkukuhkan. Institut Integriti Malaysia,
akan mempergiatkan aktiviti pendidikan dan kesedaran
mengenai integriti di sektor awam, sektor swasta dan di
56
kalangan anggota masyarakat supaya prinsip integriti
dipraktikkan dalam pekerjaan dan kehidupan harian.
104. Kita kekal tegas memerangi rasuah walaupun kita perlu
menongkah arus. Patah sayap bertongkat paruh, namun
hasrat tidakkan luntur. Untuk menyokong usaha ini, keupayaan
penguatkuasaan akan ditingkatkan. Kerajaan bercadang
meningkatkan kapasiti badan penguatkuasa dengan menambah
tenaga pekerja serta bilangan peralatan bagi memenuhi
keperluan. Badan Pencegah Rasuah akan meningkatkan tahap
kemahiran pegawai penyiasat dengan teknik penyiasatan terkini.
Pada masa yang sama, badan-badan kawal selia seperti
Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan
memastikan syarikat-syarikat sektor swasta meningkatkan
mutu tadbir urus korporat dan mematuhi peraturan yang
berkaitan. Bagi meningkatkan kecekapan pengawalseliaan
di dalam sektor korporat negara, Suruhanjaya Sekuriti dan
Suruhanjaya Syarikat akan bergabung dan melaksanakan
hampir kesemua undang-undang berkaitan syarikat di Malaysia.
PERUNTUKAN PEMBANGUNAN
Tuan Yang di-Pertua,
105. Bagi mencapai Misi Nasional dalam tempoh Rancangan
Malaysia Kesembilan, Kerajaan Persekutuan akan
memperuntukkan sebanyak 200 bilion ringgit bagi perbelanjaan
pembangunan, 30 bilion ringgit lebih tinggi daripada peruntukan
57
Rancangan Malaysia Kelapan. Di samping itu, projek bernilai
20 bilion ringgit lagi akan dilaksanakan melalui inisiatif
pembiayaan swasta (PFI). Daripada jumlah keseluruhan
peruntukan, 44.9 peratus akan diagih kepada projek
pembangunan di bawah sektor ekonomi, 37.5 peratus sektor
sosial, 10.6 peratus sektor keselamatan, dan 6.9 peratus
sektor pentadbiran am.
106. Dari segi sub-sektor, pendidikan dan latihan akan
diperuntukkan peratusan terbesar, 20.6 peratus, selaras dengan
keazaman Kerajaan untuk meningkatkan kualiti modal insan.
Sub-sektor pengangkutan akan diperuntukkan sebanyak 15.9
peratus; kemudahan awam dan tenaga, 10.9 peratus;
perdagangan dan perindustrian, 9.9 peratus; pertanian, 5.7
peratus; kesihatan, 5.4 peratus; dan perumahan, 5.0 peratus.
Dari segi agihan peruntukan mengikut negeri, kita telah
mengambil kira keperluan untuk merapatkan jurang
pembangunan antara negeri dan antara wilayah. Kerajaan
yakin peruntukan yang disediakan berupaya merealisasikan
hasrat dan matlamat Rancangan ini dengan baik.
KESIMPULAN
Tuan Yang di-Pertua,
107. Rancangan Malaysia Kesembilan membuka ruang untuk
kita mengenal pasti apa yang telah kita capai, mengenal
pasti kelemahan dan seterusnya untuk meletakkan kita di
58
landasan perjalanan mencapai taraf negara maju menjelang
tahun 2020. Misi Nasional menyediakan perspektif jangka
panjang; dirangka bagi menghasilkan prestasi lebih baik dan
meningkatkan impak daripada gabungan usaha pembangunan
negara.
108. Amatlah penting dipastikan pelaksanaan menepati jadual;
supaya kita mendapat pulangan sebenar daripada apa yang
dibelanjakan. Mekanisme pelaksanaan, mekanisme
pemantauan dan mekanisme penilaian perlu diperkukuhkan.
Unit Perancang Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan
di bawah Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab
memastikan program yang dilaksanakan adalah selari dengan
teras pembangunan dan mencapai objektif. Saya sendiri
dengan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri akan mengetuai
jawatankuasa di peringkat tertinggi bagi memantau pelaksanaan
Rancangan Malaysia Kesembilan ini.
109. Komitmen dan tindakan bersama setiap pihak adalah
perlu bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Rancangan
Malaysia Kesembilan. Saya menegaskan bahawa setiap warga
mempunyai peranan penting dalam menjayakan usaha negara-
bangsa. Sektor swasta perlu menjadi peneraju pertumbuhan
ekonomi sementara sektor awam sebagai pemudah cara
pertumbuhan ekonomi dan penyedia kemudahan sosioekonomi.
Masyarakat sivil perlu berperanan sebagai rakan kongsi
pembangunan. Sesungguhnya, usaha untuk merealisasikan
aspirasi menjadi sebuah negara maju memerlukan komitmen
dan kesanggupan setiap rakyat untuk bekerja keras,
59
meningkatkan jati diri dan sentiasa memperkayakan diri dengan
ilmu pengetahuan.
110. Semoga akan tercapai hasrat membina negara yang
lebih makmur – lebih maju; lebih progresif – lebih dinamik;
negara yang berupaya menyediakan kualiti hidup lebih baik
kepada warga. Semoga akan terbina tamadun agung yang
dihormati di persada dunia. Semoga segala keikhlasan dan
kegigihan mendapat keberkatan ILAHI.
111. Ya Allah, Engkaulah juga yang Maha Perkasa lagi Maha
Mengetahui atas segalanya, antara yang baik dengan yang
buruk, antara yang nyata dengan yang ghaib. Lindungilah
kami daripada bencana dan mala petaka – daripada kekacauan
dan persengketaan, makbulkanlah doa dan usaha kami;
pandulah kami dengan hidayah dari Mu untuk melakukan
kebaikan dan menemui jalan yang Engkau redhai, bekalkanlah
kami dengan barisan warga yang berniat ikhlas, bersifat
amanah, berpekerti mulia dan bersifat jujur, bertanggungjawab
membina sebuah negara yang maju – membina barisan warga
yang bersatu – senantiasa memohon keredaan MU, ‘Bersama
Ke Arah Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.
DICETAK OLEHPERCETAKAN NASIONAL MALAYSIA BERHADKUALA LUMPUR, 2006www.printnasional.com.myemail: [email protected]