Upload
gy-tan
View
7
Download
1
Embed Size (px)
DESCRIPTION
J
Citation preview
Penggunaan media sosial dalam pembelajaran dan pengajaran adalah konsep yang
menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam sistem pendidikan. Ia adalah
satu perkembangan pendidikan hasil daripada proses ledakan teknologi maklumat yang
merujuk kepada penggunaan teknologi ke arah mempertingkatkan pengetahuan dan
prestasi pelajar. Menerusi penggunaan teknologi Web 2.0, para pelajar tidak lagi
mencapai web untuk mendapatkan maklumat semata-mata, sebaliknya mereka
mencapai dan membina pengetahuan secara kolektif menerusi interaksi sosial
(Maloney, 2007). Dengan adanya teknologi, ianya dapat meningkatkan lagi
pembelajaran dan interaksi dalam kalangan pelajar dan guru. Menurut (Pempek et.al.,
2010), teknologi Web 2.0 adalah sebahagian daripada alatan dimana guru dapat
memanfaatkannya untuk merancang dan membantu pembelajaran pelajar.
Memandangkan pengguna alatan rangkaian sosial terdiri daripada golongan muda,
mereka pastinya telah mempunyai kepelbagaian pengalaman, kebiasaan, sikap dan
pengharapan terhadap teknologi atas talian. Oleh itu, penggunaan media sosial oleh
pelajar seperti Facebook, Twitter, Youtube dan sebagainya dapat meningkatkan potensi
dalam pembelajaran dan pengajaran(P&P).
Penggunaan media sosial yang dimanfaatkan oleh guru yang berkemahiran
akan dapat meningkatkan tahap pembelajaran pelajar dan memudahkan pembangunan
kemahiran pelajar seperti kolaborasi, pemikiran kreatif dan pembinaan pengetahuan. Ini
bukan membawa maksud kemahiran penting tidak boleh diajar tanpa teknologi, namun
kerjasama antara pelajar daripada pelbagai latar belakang akan menambahkan dan
mendalamkan lagi pengalaman pelajar. (Asniza dan Zaidatun, 2011). Menurut
(Batchelder, 2010), pengalaman dan aktiviti-aktiviti rangkaian sosial turut memberi
pengetahuan baru kepada pelajar tentang sesuatu konsep berdasarkan aktiviti dan
keinginan mencari maklumat yang berterusan. Contohnya, guru boleh menggunakan
media sosial iaitu blog. Blog boleh digunakan untuk memberi ruang kepada pelajar
menulis pengalaman sebenar, guru dapat memberi maklum balas kepada pelajar
dengan cepat dan pelajar juga memberi maklum balas sesama mereka. Selain itu,
menggunakan komen dan maklum balas dalam blog dapat menggalakkan pelajar
membantu antara satu sama lain dalam penulisan mereka dan mendapatkan respon
yang berbeza antara pelajar terhadap topik yang dibincangkan. Guru boleh mengadakan
perbincangan dengan pelajar mengenai isu atau topik yang boleh melahirkan pelajar
berfikiran kritis dan kreatif. Blog juga membolehkan para guru dan pelajar menulis idea
mereka untuk dikongsikan dengan mudah. Rangkaian yang merangkumi guru, rakan
sebaya dan tambahan maklumat akan membuatkan sesuatu pembelajaran itu lebih
menarik.
Selain itu, media sosial ini dapat memberi peluang kepada guru untuk
menyebarkan bahan pengajaran dan dapat diakses oleh para pelajar pada bila-bila
masa. Berdasarkan kajian yang dianalisis oleh (Siti Salwa & Jamaluddin, 2013), majoriti
guru-guru muda sememangnya bersemangat dan sentiasa ke arah inovasi dengan
mengambil langkah positif iaitu menggunakan medium rangkaian sosial Google Plus
dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka. Seperti yang kita ketahui, Google
Plus dilihat sebagai medium baru dan ramai pengguna tidak mengetahuinya, namun
sesetengah guru sanggup meluangkan masa mempelajari dan meneroka rangkaian
sosial ini untuk membuat pembaharuan dalam pengajaran di sekolah yang bercorak
maya. Sesetengah guru yang terdiri dari kalangan pendidik yang inovatif, Google Plus
dilihat sebagai suatu medium yang mudah dipelajari kerana ia bersifat mesra pengguna.
Guru-guru berpendapat Google Plus menjadi bahan pengajaran yang sangat efektif
kepada pelajar. Bahan pengajaran yang guru muat naik di Google Plus mudah dikemas
kini dari masa ke semasa. Guru boleh menghantar apa-apa saja bahan berbentuk nota
pelajaran, kuiz mahupun latihan dengan mudah. Hasil kajian ini mendapati, kebanyakan
guru yang menggunakan aplikasi Google Plus ini pada bila-bila masa boleh menghantar
tugasan untuk dilengkapkan oleh pelajar. Jika guru tidak dapat masuk ke kelas, pelajar
hanya perlu mengakses laman sosial Google Plus untuk mendapatkan latihan atau
sebarang nota yang dihantar oleh guru. Hal ini memudahkan sama ada pihak guru
mahupun pelajar dalam memastikan P&P berjalan dengan lancar.
Di samping itu, media sosial juga dapat menjadikan pengajaran dan
pembelajaran pelajar lebih berkesan dan mampu menarik minat pelajar untuk
mempelajari sesuatu topik. Aplikasi YouTube merupakan salah satu rangkaian sosial
yang sangat popular dalam kalangan masyarakat sekarang. Kini, laman sosial YouTube
bukan lagi sekadar digunakan untuk berkongsikan video peribadi, pemasaran dan
sebagainya, malah YouTube juga telah digunakan sebagai salah satu medium
pembelajaran. Menurut (Mohamad Amin Embi, 2012), video boleh menjadi satu alat
pendidikan dan motivasi yang amat berpengaruh. Namun, kekuatan sesuatu pengajaran
bukan terletak pada video itu sendiri tetapi cara video itu digunakan oleh guru. Video itu
sendiri bukanlah satu bahan atau sasaran tetapi merupakan satu cara ke arah mencapai
objektif dan matlamat pembelajaran. Video pendidikan yang efektif bukanlah pengajaran
yang berbentuk televisyen kepada pelajar tetapi pengajaran guru kepada pelajar dengan
video sebagai satu alat untuk penzahiran (Duff, 2008). Berdasarkan pendapat
(Mohamad Johdi & Ariegusrin, 2009) dalam kajian mereka iaitu “Transformasi
Pengajaran Sejarah Berasaskan Multimedia”, berpendapat bahawa penggunaan video
dalam mata pelajaran Sejarah mampu membantu guru dalam meningkatkan mutu
pengajarannya di samping dapat menjadikan pengajaran lebih menarik. Oleh itu,
jelaslah bahawa video boleh menimbulkan minat dan seterusnya menggerakkan
keinginan pelajar untuk memahami sesuatu topik dengan lebih terperinci. Selain itu,
video juga dapat menghilangkan rasa bosan pelajar. Contohnya dalam subjek Sejarah,
dimana dahulunya hanya menggunakan buku teks. Pelajar akan berasa bosan
mempelajari fakta melalui pembacaan. Oleh itu, guru boleh mencari pelbagai video
dalam Youtube sebagai bahan pengajaran supaya pelajar tidak berasa bosan dengan
subjek tersebut.
Media sosial juga dapat meningkatkan interaksi yang baik di kalangan pelajar
dan guru. Pelajar tidak berasa malu kerana interaksi adalah secara maya tanpa
bersemuka dengan orang lain. Hal ini kerana semua pelajar di dalam kelas tidak
mempunyai sikap yang sama. Ada yang berasa malu apabila ditanya oleh guru dan
pasif dalam aktiviti kumpulan. Pelajar sebegini selalunya lebih menunjukkan penglibatan
mereka ketika berinteraksi secara maya, contohnya dalam penggunaan media sosial
Facebook. Lebih-lebih lagi pelajar zaman sekarang sudah mempunyai akaun Facebook
sendiri. Kelebihan aplikasi Facebook adalah dapat meningkatkan interaksi antara guru
dengan pelajar dan juga sesama pelajar dalam bentuk komunikasi berasaskan web.
(Mohamed Amin Embi, 2012). Ini menjadikan P&P yang dijalankan di kelas tidak tamat
begitu sahaja tetapi pelajar boleh berinteraksi dengan guru ketika di rumah.
Penggunaan Facebook menyebabkan komunikasi antara guru dan pelajar tidak lagi
dibatasi oleh waktu dan juga jarak geografi. Kaedah menggunakan laman sosial ini juga
dapat menarik minat dalam berkomunikasi kerana ia menjadikan pengguna lebih aktif
apabila dapat membina pengetahuan menerusi penggunaan internet. Hal ini bermaksud
pengguna menggunakan laman rangkaian sosial untuk meningkatkan lagi hubungan
dengan rakan dan dunia luar tanpa perlu risau akan sempadan geografi. (Faridanura,
2014). Oleh itu, ianya dapat mengekalkan hubungan baik antara guru dengan pelajar
dan memudahkan komunikasi ketika P&P berlangsung di dalam kelas.