1
ISBN : 978-967-0582-32-0
Peranan Integriti dalam Sistem Sokongan Orang Kurang Upaya Fizikal
Norfatihah Syed Ali & Ferlis Hj. Bullare @ Bahari Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk mengkaji peranan integriti dalam sistem
sokongan Orang Kurang Upaya-Fizikal (OKU-F). Seramai 29 responden
yang terdiri daripada golongan kurang upaya fizikal dijadikan responden kajian. Kajian ini dijalankan di sekitar negeri Sabah dengan menggunakan
pendekatan kualitatif. Kaedah pengumpulan data melibatkan dua cara iaitu
temubual dan pemerhatian. Protokol temubual telah dibentuk sendiri oleh kumpulan penyelidik. Dapatan kajian kualitatif menunjukkan aspek
integriti dalam sistem sokongan OKU-Fizikal mempunyai kaitan yang
penting. Sistem sokongan yang dimaksudkan seperti sokongan daripada penjaga/keluarga, sokongan rakan, sokongan peralatan dan sokongan
daripada institusi. Keempat-empat sokongan ini memberi pengaruh kepada
kesejahteraan dan kualiti hidup OKU-F. Implikasi dan kesimpulan turut
dibincangkan.
Kata Kunci: Integriti, Sistem Sokongan, Orang Kurang Upaya-Fizikal
(OKU-F)
Pembentang:
Norfatihah Syed Ali
Sesi :
2.30 – 4.30 Ptg
BS 4
2
PENGENALAN
Malaysia mempunyai bilangan penduduk sebanyak 28 juta orang (Var et al, 2011) (dlm. Seow, 2013). Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dianggarkan bahawa
bilangan orang kurang upaya yang terdapat di Malaysia ialah 2.8 juta orang. Namun demikian,
bilangan orang kurang upaya yang bendaftar dengan Jabatan Kebajiakan Masyarakat hanya dianggarkan 280 ribu orang iaitu hanya 10% sahaja daripada jumlah yang sepatutnya. Golongan ini
perlu diberi perhatian sewajarnya agar mereka tidak terasa diabaikan dan dipinggirkan. Pergaulan
dengan masyarakat juga tidak berlangsung dengan baik kerana keterbatasan yang mereka alami dan
kurangnya perhatian khusus untuk mereka dari pelbagai segi menyebabka mereka semakin jauh ke belakang.
Terdapat banyak kajian lepas yang telah dijalankan oleh penyelidik terdahulu antaranya menyatakan bahawa mitos dan stereotaip negatif mengenai OKU telah melahirkan sikap prejudis yang
sukar dikikis mengenai OKU dan keadaan ini akan dapat dilihat dalam bentuk sikap dan tingkah laku
negatif terhadap mereka dalam konteks sosial, pendidikan dan vokasional (Rao, 2004). Memang benar apa yang dikata kerana tidak semua masyarakat suka melihat kehadiran OKU di sekeliling mereka.
Namun, tidak mustahil juga masyarakat akan berkelakuan baik terhadap OKU sekiranya mereka
diberikan pendedahan yang lebih banyak mengenai OKU seperti kajian lepas mendapati lebih banyak
maklumat mengenai OKU yang diketahui oleh masyarakat, maka semakin kuranglah stereotaip yang negatif mengenai OKU dan semakin positif sikap mereka terhadap OKU (Katz, Haz & Bailey, 1988;
Ibrahim & Herr, 1982) (dlm. Hasnah Toran, 2008). Begitu juga dengan hubungan secara langsung
dengan OKU, iaitu semakin kerap masyarakat berhubung secara langsung dengan OKU semakin baik sikap mereka terhadap OKU (Mc Carthy & Campbell, 1993).
Bermula tahun 2008, pihak kerajaan mula memberikan perhatian yang serius terhadap
golongan orang kurang upaya ini. Malah, sebuah akta telah dibentuk dalam Undang-Undang Malaysia yang khusus untuk golongan ini dan dikenali sebagai Akta Orang Kurang Upaya 2008. Akta ini
dibentuk untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan
dan kesejahteraan orang kurang upaya, penubuhan Majlis Kebangsaan bagi orang kurang upaya, dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Orang kurang upaya didefinisikan sebagai mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai
halangan boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat (Akta Orang
Kurang Upaya, 2008). Terdapat banyak jenis kekurangupayaan namun kertas kerja ini hanya akan
memberi penekanan kepada orang kurang upaya dari sudut fizikal.
Orang kurang upaya dan integriti sangat berkait rapat. Hal ini demikian kerana integriti
dianggap mampu menaikkan semangat OKU apabila elemen ini diterapka dalam layanan yang diberikan kepada OKU. Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir masyarakat yang menganggap
bahawa integriti sebagai isu remeh yang tidak memberi kesan kepada OKU. Oleh itu, masyarakat
perlu disedarkan daripada lena yang panjang kerana OKU juga berhak mendapat layanan yang sama rata dan bukan hanya dipandang sebelah mata. Integriti merupakan salah satu daripada elemen-elemen
universal (elemen kesepakatan manusia sejagat) dan elemen ini dianggap memberikan pengaruh
kepada kesejahteraan dan kualiti hidup ornag kurag upaya fizikal. Oleh itu, pihak kerajaan dan pihak
berwajib perlu berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan integriti dalam kalangan sistem sokongan OKU bagi membentuk personaliti diri OKU terutamanya Orang Kurang Upaya Fizikal.
Konsep integriti sangat luas. Oleh itu, terdapat beberapa definisi yang boleh dikaitakn dengan integriti. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, integriti ialah kejujuran; keadaan sempurna dan utuh;
keutuhan. Manakala menurut Jamiah Manap (2005) pula, integriti merujuk kepada pengetahuan,
kesedaran, penghayatan dan pegangan teguh kepada nilai-nilai murni secara konsisten yang disertai
komitmen sepenuhnya terhadap nilai-nilai tersebut dalam setiap perkataan dan tindakan untuk mencapai kecemerlangan diri dan organisasi. Integriti juga sangat ditekankan dalam Islam. Oleh itu,
3
integriti boleh ditafsirkan sebagai sifat amanah yang lahir pada individu yang jelas pandangan alamnya
tentang dirinya, Tuhannya serta kehidupan persekitarannya.
Kertas kerja ini tidak akan lengkap sekiranya tidak menceritakan tentang sistem sokongan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, sistem sokongan ialah hasil menyokong;apa-apa yang diberikan
sebagai bantuan; pertolongan. Oleh itu, sistem sokongan yang terlibat dengan OKU-F ini ialah sokongan daripada keluarga/penjaga, sokongan rakan, sokongan peralatan dan sokogan daripapa
institusi. Keempat-empat sokongan ini memberi pengaruh kepada kesejahteraan dan kualiti hidup
OKU-F. Tanpa kehadiran sistem sokongan ini, maka amat sulit untuk OKU-F mencapai kesejahteraan
hidup kerana telah terbukti bahawa OKU-F sangat memerlukannya.
METODOLOGI KAJIAN
Sampel dan Lokasi Kajian
Sampel kajian ialah 29 orang responden yang terdiri daripada golongan orang Kurang Upaya Fizikal
dipilih berdasarkan kepada senarai yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Am Negeri Sabah. Lokasi kajian ialah sekitar negeri Sabah. Penyelidik telah menjelajah ke seluruh negeri Sabah untuk
mencari responden yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai responden kajian. Hasilnya, sebanyak 29
orang responden telah berjaya memenuhi cita rasa yang dikehendaki oleh penyelidik dan seterusnya
mengambil mereka sebagai responden. Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Am Negeri Sabah, seramai 17 orang (58.6%) responden masih tinggal bersama keluarga,
seramai lapan orang (27.6%) pula tinggal di institusi OKU iaitu Sabah Cheshire Home manakala
seramai empat orang (13.8%) tinggal sendiri. Selain itu, lebih separuh responden yang terlibat dalam kajian ini tinggal di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu dan tinggal di Sabah Cheshire Home (58.6%),
diikuti oleh mereka yang tinggal di Tuaran (13.8%), Sandakan (13.8%), Telipok (6.9%), Kota Belud
(3.4%) dan Beaufort (3.4%) (dalam Ferlis, 2014).
Kaedah Analisis Data Kualitatif
Strauss dan Corbin (1990) (dlm. Ferlis Bullare @ Bahari, 2014) menyatakan bahawa metod kualitatif
boleh digunakan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai fenomena yang masih belum diketahui. Selain itu, metod kualitatif juga membolehkan penyelidik lebih mengetahui tentang
perspektif pembaca selain perspektif penyelidik itu sendiri sepertimana yang dinyatakan oleh Lincoln
dan Guba (1985) iaitu “if you want people to understand better that they otherwise might, provide them information in the form in which they usually experience it”. Dalam kajian ini, penyelidik
menggunakan Grounded Theory Methodology (GTM) iaitu merupakan sebuah set hipotesis konseptual
yang berintegrasi secara sistematik menjana penghasilan sebuah teori mengenai bahagian substantif
(Glaser & Holton, 2004). GTM merupakan kaedah untuk menjana teori daripada data. Pencipta teori ini Glaser dan Strauss (1967) (dlm. Ferlis Bullare @ Bahari, 2014) menamakan kaedah ini sebagai
“grounded” kerana sebuah teori tersebut diperolehi secara bersistematik daripada sekumpulan data
yang luas melalui proses perbandingan berterusan yang teliti. Proses metod Classical Grounded Theory yang telah dipelopori oleh Glaser dan Strauss dan terbitan seterusnya oleh Glaser (1978, 1992,
1998) (dlm. Ferlis Bullare @ Bahari, 2014) melibatkan beberapa proses iaitu (1) Pra-anggap yang
minimum; (2) Pengumpulan data dan pengekodan terbuka; (3) Penulisan Memo (4) Pengekodan Terpilih; (5) Persampelan Teoritikal; (6) Pengekodan Teoritikal; (7) Susun atur memo; (8) Penulisan
teori substantif secara jalan cerita.
Protokol Temubual Protokol kajian dibina sendiri oleh penyelidik yang terdiri daripada 4 bahagian iaitu Bahagian A,
Bahagian B, Bahagian C dan Bahagian D. Bahagian A ialah mengandungi aspek maklumat diri
responden, maklumat keluarga, dan maklumat mengenai ketidakupayaan fizikal subjek. Bahagian B merupakan surat kebenaran merekod perbualan temubual mendalam (in-depth interview), temubual
kumpulan berfokus (Focus Group Interview), mengambil gambar, video dan mendapatkan sumber
dokumen penting seperti maklumat pada kad OKU-F dan laporan diagnos ketidakupayaan daripada
Doktor. Bahagian C adalah berkaitan garis panduan sesi temubual mendalam dan tembual kumpulan berfokus. Bahagian D merangkumi soalan mengenai kajian penyelidik. Pembentukan soalan kajian
4
adalah berbeza dari peringkat mula kajian sehingga temubual responden semasa peringkat ketepuan
teoritikal iaitu menggunakan soalan berbentuk soalan terbuka, soalan separa-struktur dan soalan
berstruktur.
Semasa penyelidik menjalankan temubual mendalam ke atas responden yang pertama,
penyelidik memulakan soalan “Boleh anda ceritakan mengenai diri dan keluarga anda?”. Soalan ini berbentuk soalan terbuka. Soalan terbuka yang dikemukakan oleh penyelidik adalah berdasarkan
saranan yang dikemukakan oleh Glaser (1978) (dlm. Ferlis Bullare @ Bahari, 2014). Selepas tembual
ke atas responden pertama, penyelidik kemudiannya telah membentuk soalan dalam bentuk separa-
struktur. Pembentukan soalan separa-struktur adalah hasil daripada tembual yang telah dilakukan ke atas responden pertama. Soalan separa-struktur ini telah diajukan kepada responden kedua iaitu seperti
“Cuba fikirkan tentang kehidupan anda diumpamakan seperti sebuah buku dengan setiap bahagian
hidup anda merupakan sebuah bab di dalam buku itu. Apakah bab pertama buku itu? Apakah bab yang seterusnya? Soalan separa-struktur ini telah dipetik dan diubahsuai daripada McAdams (1993) (dlm
Ferlis Bullare @ Bahari, 2014). Setelah penyelidik memperoleh kategori teras, soalan berbentuk
soalan berstruktur telah dibentuk dan digunakan semasa temubual seterusnya dengan OKU-F.
HASIL ANALISIS KAJIAN
Sokongan Keluarga/Penjaga Antara bentuk sokongan yang diperlukan oleh golongan OKU-F ini termasuklah sokongan daripada
penjaga atau keluarga. Dalam kehidupan OKU-F selain daripada keluarga, terdapat juga OKU-F yang
berada di bawah jagaan yang disebut sebagai penjaga. Penjaga merupakan insan yang sangat diperlukan oleh seorang OKU-F. Mereka bukan sahaja berperanan menjaga sebaliknya perlu
memberikan perhatian yang sewajarnya kepada golongan OKU-F. Kebanyakan golongan OKU-F
mengharapkan keyakinan, kepercayaan dan kebebasan daripada keluarga dan penjaga. Mereka sangat
memerlukan ini kerana mereka tidak mahu secara berterusan berada di bawah jagaan keluarga atau penjaga ini.
Manakala dari pihak keluarga pula, betapa sumbangan ikhlas mereka sangat diperlukan dalam memberikan perhatian kepada golongan ini. Hal ini disebabkan terdapat juga golongan yang
disisihkan oleh keluarga kerana mereka dianggap menyusahkan dan mereka terabai dari sudut
penjagaan malah tidak dilayan dengan seadilnya akibat daripada ketidakupayaan fizikal yang mereka alami. Justeru, penjaga yang bukan daripada ahli keluarga terdekat juga perlu memainkan peranan
untuk mengambil peranan dan tugas menjaga OKU-F.
Penjaga atau pun keluarga perlu bersedia dalam memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah swt ini. Mereka memainkan peranan penting kepada golongan OKU-Fizikal.
Seandainya tidak, ke mana lagi mereka harus meminta perhatian dan kasih sayang yang sepatutnya
menjadi hak mereka. Salah seorang responden ada menyatakan perasaan sedihnya ketika tinggal di kampung bersama-sama dengan pak ciknya kerana seringkali dimarah, ditinggalkan serta acap kali
berlaku pergaduhan dalam keluarga.
“Selama saya di kampung kan, tidak pernah saya rasa saya bahagia, saya rasa saya
selalu sedih, lepas tu, saya selalu kena marah” (R7).
Responden lain turut menyatakan bahawa dia berasa sedih apabila bukan OKU tidak dapat menerima dirinya, “Saya rasa sedihlah (bila OKU tidak terima OKU), macam rasa tiada kawan”
(R15).
Sementara itu, OKU-F akan berasa kesunyian sekiranya tidak ada orang atau kawan datang ke
rumah untuk bergaul dan bercerita dengan dengan mereka,“tak ada orang lain yang datang ke rumah
bang ... sunyi saya kalau tak ada orang datang...” (R2). Keadaan yang sama juga turut dialami oleh
OKU-F yang mengalami kecederaan saraf tunjang yang tinggal dan menerima rawatan di wad pemulihan iaitu dia berasa sunyi ketika tinggal di wad jika tidak ada penjaga,“Sebab kan, tanpa
5
diorang (penjaga), saya berasa sunyi” (R3). Perasaan kesunyian juga turut dikongsi bersama oleh
responden lain iaitu apabila dia sering ditinggalkan bersendirian di rumah oleh keluarga, “Sebab,
kalau di rumah saya selalu sendirian, pun kalau di rumah keluarga saya selalu jalan, lepas tu diorang balik waktu malam, lepas tu saya sendiri lah juga di sana. Ya, kalau diorang pergi KK, satu hari tu
saya satu orang sendiri di rumah” (R7).
Berdasarkan kajian yang dijalankan didapati bahawa responden menyatakan bahawa
kebahagiaan subjektif banyak dipengaruhi oleh sokongan daripada penjaga atau keluarga. Tidak dapat
dinafikan bahawa terdapat segelintir golongan ini yang tidak diberikan sokongan oleh penjaga atau
keluarga iaitu bentuk bantuan sama ada bantuan secara berterusan ataupun tidak berterusan, komitmen dan kesetiaan, dan sokongan secara psikologikal dan moral.
Sememangnya bentuk penjagaan bagi golongan ini berbeza antara satu sama lain disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kategori dan tahap keterukan yang dialami oleh OKU-F. Misalnya,
OKU-F yang mengalami ketidakupayaan sejak dari kecil sangat memerlukan bantuan dan pertolongan
secara berterusan daripada keluarga. Begitu juga dengan yang mengalami ketidakupayaan secara acquired seperti kecederaan saraf tunjang, putus kaki, dan putus tangan, mereka memerlukan
sokongan emosi, semangat dan motivasi daripada pihak penjaga atau keluarga yang menjaga dan
memastikan keadaan mereka berada dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera. Antara bentuk dan
jenis bantuan yang diberikan oleh penjaga/keluarga kepada OKU-F antaranya mengangkat badan dan mengangkat kerusi roda, bantu transfer, memandikan OKU-F, mengambil dan menyuap makanan,
memakaikan pakaian, menggerakkan dan menolak kerusi roda, dan memberi sokongan psikologikal
dan moral kepada OKU-F. Hal ini dapat diperhatikan pada petikan berikut,
“… sebab orang (ibu, bapa, adik lelaki, mak cik dan adik perempuan) terpaksa
angkat saya untuk ambil air wuduk kat bawah, susah tu … mandi family tolong …
pakai baju adik-adik dan makcik tolong … ambilkan makanan, family yang tolong … nak naik kerusi roda family yang tolong... sebab tu saya katakan family banyak
sangat-sangat bantu saya” (R2).
“Saya bahagia sebab keluarga saya support, support dari segi emosi, kewangan,
fizikal, semua support. Lagi-lagi saya punya mama lah. Sejak saya kecil, dia bukan
macam suka kongkong bah. Biarpun OKU, kau pergi main bola sana; dari kecil lagi, mama saya bilang kau pergi main, balik sebelum maghrib, family lah yang banyak
support, makcik juga bagi support. Macam rasa bahagialah” (R14).
Kesetiaan dan kesabaran amat diperlukan dalam menjaga golongan OKU-F ini. Bantuan dan sokongan keluarga atau penjaga bukan sekadar untuk beberapa hari atau bulan, malah bantuan dan
sokongan yang diberikan kepada OKU-F adalah berterusan. Bantuan yang diberikan ini akan
berkurangan secara perlahan-lahan mengikut satu tempoh, keadaan dan tahap ketidakupayaan fizikal yang dialami oleh OKU-F, sehingga satu saat, golongan ini mampu melakukan pergerakan tanpa
bantuan daripada keluarga atau penjaga. Salah seorang responden kecederaan saraf tunjang membuat
pengakuan bahawa bantuan yang diberikan adalah secara berterusan daripada isteri terutamanya di awal kehidupan menjadi OKU-SCI, “sebelum memandu, mesti bekas isteri bawa, dia turunkan WC
transfer, dia kena angkat sentiasalah” (R1). Situasi ini turut dialami oleh responden GBS yang
menyatakan penjaga begitu sabar dan setia mengangkat OKU-F ke tandas, memandikan OKU-F dan
memakaikan pakaian sehingga penjaga merasa penat dan letih. Demikian merupakan butir bicara responden GBS dan salah seorang responden yang mengalami lumpuh sebelah badan (hemiplegia),
“saya dah puas menyuruh family bang ... tentu diorang penat ... serba serbi
semuanya diorang tolong saya tak kira diorang penat atau tidak, mesti diorang
tolong … saya tak dapat hidup tanpa keluarga saya... itu lah kenyataannya bang...
kalau diorang tak ada, saya tak dapat buat apa-apa” (R2).
6
“sokongan keluarga, walau keadaan saya macam ni langsung tak dapat ke mana-
mana mereka tetapi memberi perhatian terhadap saya, kadang-kadang saya pun
macam berat hati minta bantuan mereka sebab terpaksa diangkat pergi mandi dan tidur, tapi tetap juga bagi bantuan walau keadaan terpaksa” (R23).
Keluarga atau penjaga seharusnya memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada kebolehan dan kemampuan golongan ini. Contohnya, seorang responden yang mengalami kecederaan saraf
tunjang (paraplegia) menyatakan bahawa penjaga atau keluarganya tidak percaya dengan kebolehan
yang ditunjukkan olehnya, hal ini dapat diperhatikan pada petikan perbualan tersebut,
“Macam ayah saya selalu bantu saya sebab ayah saya tidak begitu percaya dengan saya”
(R9). Dia berharap agar penjaga atau keluarga juga haruslah menaruh harapan dan
kepercayaan kepada kemampuan dan kebolehan OKU-F. Situasi ini juga turut dialami oleh seorang responden lain iaitu mengatakan dia berasa lebih dikongkong oleh keluarga sebelum
keluar dan berinteraksi dengan masyarakat, “secara peribadi la, sebelum ini, saya hidup
dalam kelompok keluarga yang sentiasa dijaga, tinggal di rumah, tidak boleh ke mana-mana kerana takut kalau ada apa-apa yang berlaku. Pergaulan terbatas hanya di kampung dan
keluarga yang terdekat.Tetapi hati saya sangat kuat untuk keluar dari kelompok ini” (R24).
Selain sokongan fizikal, sokongan emosi juga diperlukan bagi golongan ini. Terdapat responden mengaku tidak menerima sokongan ini kerana telah ditinggalkan sejak kecil,“Mama tahu
tapi bapa jaranglah sebab dia pun 2 kali kahwin, bapa saya dari saya lahir, dia sudah lari pergi ke
Sarawak, tidak pernah jumpa sampai umur saya 33 tahun, 33 tahun lah saya tidak pernah jumpa dia. Khabar dia sekarang dia hidup atau mati pun, saya tidak tahu” (R7). Perasaan yang sama turut
dikongsi oleh seorang OKU-F yang mengalami kecederaan putus kaki akibat terjatuh bangunan
menyatakan bahawa “bini tengok saya dalam keadaan begitu, lari terus bawa duit dan anak habis dia
bawa” (R21). Bertambah rumit lagi apabila, dia juga tidak menerima layanan yang baik ketika tinggal bersama dengan salah seorang adik-beradiknya, “mau tumpang saudara punya rumah pun ada juga
masalah” (R21).
Sokongan Rakan
Rakan merupakan pengganti keluarga bagi golongan OKU-F. Hal ini kerana keterbatasan yang
dimiliki oleh OKU-F untuk melakukan sesuatu membuatkan mereka akan berasa kekurangan. Ke mana sahaja mereka pergi pasti memerlukan bantuan orang lain walaupun hakikatnya mereka tidak
menginginkan bantuan tersebut. Namun, mereka tidak mampu menidakkan keadaan diri mereka yang
sememangnya perlukan bantuan. Di rumah, ahli keluarga merupakan orang yang boleh diharapkan
untuk memberikan bantuan kepada OKU-F. Bagaimana pula keadaannya jika di luar rumah? Siapakah yang akan diharapkan sekiranya bukan rakan-rakan yang sudi menghulurkan bantuan tanpa paksaan?
Mencari insan yang benar-benar ikhlas untuk membantu mereka yang memiliki kecacatan fizikal
bukanlah perkara yang mudah. Hatta keluarga sendiri pun kadang kala tidak ikhlas dalam menghulurkan bantuan kepada OKU-F apatah lagi orang luar yang tidak mempunyai perkaitan dengan
golongan seumpama ini.
Memiliki rakan yang setia dan sanggup bersusah-payah demi kelangsungan hidup golongan
OKU-F merupakan nikmat yang tidak ternilai harganya. Berdasarkan petikan berikut, didapati bahawa
rakan yang setia dan sanggup melakukan sesuatu tanpa paksaan menjadikan golongan OKU-F ini
tidak merasa terpinggir sebaliknya mereka merasakan bahawa diri mereka sama seperti insan lain walaupun hakikatnya mereka mempunyai kekurangan. Justeru, kehadiran rakan yang sering membantu
mereka membuatkan golongan OKU-F mampu menjalani hidup seperti biasa walaupun mereka berada
di luar rumah dan tanpa bantuan ahli keluarga kerana rakan-rakan telah mengambil alih tanggungjawab itu. Keikhlasan rakan-rakan dalam memberikan sebarang bentuk pertolongan
menjadikan hidup golongan OKU-F sangat bermakna di sebalik kekurangan yang dimiliki oleh
mereka.
7
“… banyak bang ... saya kalau kat sekolah tak boleh ambil buku sendiri kat kelas. jadi
masa belajar, kawan-kawan yang tolong … selain tu kat sekolah ada masa solat, jadi
kawan-kawan yang angkat saya kat masjid ... selepas itu, diorang yang ambilkan saya air wuduk … diorang (rakan) juga (bantu). sampai diorang ketakutan sebab kalau jatuh
mesti berdarah … sebab saya tak pernah hidup seorang-seorang ... mesti ada teman …
sebab tanpa kawan-kawan tak dapat lah saya study sama-sama diorang … kalau masa kemahiran hidup, kawan-kawan yang buat … selalu masuk dan keluar sekolah dia yang
tolong. kalau saya penat duduk kat kerusi roda dia angkat saya kat sofa tolong saya
baring... banyak juga bang ... pernah dia suap saya guna tangannya sendiri ... sebab
saya ni tak boleh makan guna tangan... jadi dia lupa bawa sudu... jadi dia suap saya la … kalau masa raya dia (rakan setia) yang bawa saya jalan-jalan” (R2).
Sokongan rakan dalam membentuk peribadi golongan OKU-F adalah sangat penting. Rakan yang ceria, ikhlas membantu tanpa paksaan dan sentiasa memberikan kata-kata semangat akan
menerbitkan kebahagiaan yang luar biasa buat golongan ini. Hal ini kerana kesedihan yang dialami
oleh golongan OKU-F tidak sama dengan kesedihan yang dialami oleh manusia tipikal atau normal. Untuk menyelami kesedihan mereka memerlukan penghayatan yang tidak berbelah bagi. “Sebab
kawan-kawan pun ada juga. jadi rasa sedih taklah dalam sangat” (R1). Berdasarkan petikan di atas,
didapati bahawa kesedihan yang dialami oleh golongan OKU-F akan berkurangan sekiranya mereka
mempunyai rakan yang setia bersama mereka. Selain itu, sikap rakan yang tidak pernah lelah dalam membantu menguruskan golongan ini akan membuatkan golongan OKU-F terasa sangat dihargai.
Oleh itu, mereka tidak akan merasa dipinggirkan dengan adanya rakan-rakan yang tidak jemu
mendampingi mereka.
Sebagai manusia yang normal, memiliki pekerjaan yang bersesuaian dengan keinginan
merupakan kepuasan kepada semua orang. Tidak terkecuali juga dengan golongan OKU-F. Mereka
juga berhak untuk mendapat tempat dalam dunia pekerjaan. Walaupun mereka mengalami kecacatan fizikal, namun kemahiran mereka tidak boleh dipandang enteng. Walaupun mereka mengalami
kecacatan fizikal, namun kemahiran mereka mampu menyaingi kemahiran manusia normal jika
mereka diberikan peluang dan kesempatan.
“Ohhh, memang ada yang membantu sebab saya tidak mampu buka sendiri bah
syarikat, jadi hasil daripada perjumpaan dengan kawan saya Ahmad (bukan OKU), dia ni graduan engineering bahagian robotik, jadi kami macam bincanglah yang saya
bilang, dia ada modal, saya ada kepakaran, macam gitu, kami bincang untuk gabung
buat benda nilah, dari kedai kopi, hari-hari di kedai kopi bincang-bincang, bincang
modal, apa yang nak dibeli sampailah jadi Syarikat A ni, kami cari office” (R1).
Berdasarkan petikan respondan di atas (dalam Ferlis, 2014), dapat diperhatikan bahawa
golongan OKU-F juga mampu meningkat naik melalui kemahiran yang dimiliki oleh mereka. Kehadiran rakan-rakan yang mengiktiraf dan mempercayai kemahiran dan kelebihan yang dimiliki
oleh golongan OKU-F membuatkan golongan ini mendapat tempat untuk melangkah lebih jauh. Di
samping itu, petikan tersebut jelas membuktikan bahawa persepsi segelintir masyarakat adalah salah apabila menganggap golongan OKU-F ini tidak boleh mencipta kejayaan disebabkan oleh kekurangan
yang mereka miliki. Walaupun mempunyai keterbatasan fizikal, namun kepercayaan yang diberikan
oleh rakan-rakan membuatkan golongan OKU-F lebih bersemangat untuk meneruskan kelangsungan
hidup kerana peluang yang dihidangkan kepada mereka telah digunakan dengan sebaik mungkin. Dengan ini jelas menunjukkan bahawa rakan-rakan yang baik tidak akan membuatkan golongan OKU-
F merasakan diri mereka terpinggir dan jauh daripada masyarakat.
Sokongan peralatan
Istilah peralatan juga disebut sebagai alat bantuan atau alat sokongan tiruan. Peralatan yang digunakan
oleh responden seperti kerusi roda, kusyen kerusi roda, kaki palsu, dan catheter (Ferlis, 2014).
Kebergantungan kepada peralatan sokongan membuatkan golongan OKU-F merasakan diri mereka serba kekurangan dan tidak berguna kerana menyukarkan pergerakan mereka. Apatah lagi sekiranya
8
mereka memperoleh peralatan yang tidak mesra OKU-F. Keadaan ini akan membuatkan mereka
merasakan bahawa diri mereka tidak berguna seperti yang diungkapkan oleh responden dalam petikan
berikut, “Kalau kerusi roda rosak, terus jatuh hati (down bah) (semua gelak). Ini kerusi roda macam umpama kita punya kaki bah, kalau kerusi roda ni kita duduk kita tidak selesa, macam lain pula bah”
(R17).
Penyediaan peralatan yang tidak telus memberikan impak kepada pengguna terutamanya
golongan OKU-F yang sememangnya mengharapkan peralatan tersebut untuk memudahkan
pergerakan mereka dan menjadi sumber kebergantungan mereka yang paling utama. Sekiranya
peralatan tersebut tidak mesra OKU, amat sukar untuk mereka mencapai kepuasan dengan peralatan tersebut dan seterusnya beranggapan bahawa diri mereka dipinggirkan kerana fasiliti yang disediakan
tidak memenuhi kepuasan mereka malah boleh menyebabkan mereka kelihatan tidak berguna.
Kepentingan sokongan peralatan kepada golongan OKU-F tidak boleh dipertikaikan. Oleh itu,
menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk menyediakan peralatan yang berkualiti bagi
memberikan kepuasan dan menyenangkan golongan ini. Sekiranya penyediaan peralatan seumpama ini tidak diselia dengan baik, maka ia akan menjejaskan mentaliti golongan OKU-F yang akan
merasakan mereka adalah golongan yang diabaikan. Di samping itu, dengan keadaan peralatan yang
tidak berkualiti dan selesa akan menyebabkan keyakinan golongan ini jatuh merundum kerana
ketidakyakinan mereka terhadap peralatan tersebut. Kajian yang telah dijalankan oleh Dr. Ferlis (2014) membuktikan bahawa peralatan yang berkualiti dan mesra OKU-F akan meningkatkan
keyakinan dalam diri OKU-F. Hal ini dibuktikan melalui petikan berikut;
“Kusyen penting, yang paling penting kalau saya, bila kau duduk itu WC, kau sesuai
dengan kau punya stable, saiz, selesa lah, kira comfortable lah orang bilang kerana
kita perlu pakai kerusi roda itu sentiasa bah. Macam kehidupan tu serasi dengan
peralatan itu kan, jadi kalau boleh kerusi roda tu yang the best lah. Lagi kerusi roda bagus, lagi kau punya confident kan tinggi bah” (R17).
Bukan semua golongan OKU-F memiliki pendapatan tetap malah terdapat golongan ini yang tidak mempunyai pekerjaan. Oleh itu, agak sukar untuk mereka mendapatkan peralatan yang berkualiti
dan memenuhi kepuasan mereka. Walaupun mendapat bantuan daripada Jabatan Kemajuan
Masyarakat, namun bantuan tersebut tidak mencukupi untuk mendapatkan peralatan yang bermutu dan menepati ciri-ciri yang diinginkan oleh OKU-F. Hasilnya, mereka hanya mampu mendapatkan
peralatan yang tidak berkualiti mengikut kemampuan mereka.
“Macam saya pula, kaki juga penting, mula-mula bila dapat bantuan EPF saya, saya beli kaki palsu harga RM3 ribu, kaki tu boleh pakai juga; tapi kalau orang yang kali
pertama pakai kaki palsu tidak sesuai pakai kaki palsu yang harga RM3 ribu, sebab di
bawah tu, dia kayu saja, apabila dia tidak berasa biasa dalam latihan dia tu, apabila terkena ja macam batu, dia pandai jatuh. Saya pernah alami begitu.”(R20)
Kebanyakan golongan OKU-F bukanlah datang daripada keluarga yang berpendidikan yang tinggi. Oleh itu, mereka menghadapi kesukaran untuk menentukan peralatan yang bersesuaian untuk
kegunaan mereka. Tambahan pula, sikap segelintir pihak yang tidak cekap dalam memberikan
penerangan yang benar tentang sesuatu peralatan membuatkan golongan OKU-F tidak mengetahui
peralatan yang sepatutnya mereka gunakan. Pengetahuan sedia ada OKU-F mengenai sesuatu peralatan tidak mencukupi dan masih memerlukan bimbingan daripada pihak yang lebih
berpengetahuan mengenai peralatan tersebut. Dalam hal ini, peranan pihak yang bertanggungjawab
adalah sangat penting untuk menerangkan peralatan yang terbaik untuk kegunaan OKU-F dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sehingga mengakibatkan kesusahan kepada golongan ini.
Kebergantungan kepada peralatan memerlukan golongan OKU-F perlu memilih peralatan yang terbaik
kerana akan digunakan seumur hidup mereka (bergantung kepada jenis penyakit yang dialami).
Petikan di bawah jelas menunjukkan bahawa kekurangan informasi tentang sesuatu peralatan
9
menyebabkan golongan OKU-F terpaksa menggunakan peralatan yang tidak bersesuaian dengan
mereka.
“tugas saya, saya kena educate, saya kena educate untuk staf lah, jangan bagi budak
kecil WC orang tua, orang tua bagi WC yang mahal, orang SCI bagi WC yang murah,
begitu bah” (R1).
Sokongan Institusi
Seterusnya tidak dinafikan peranan institusi sangat penting dalam memberi sokongan kepada orang
kurang upaya fizikal (OKU-F). Berdasarkan kajian yang dijalankan didapati bahawa golongan OKUF ini sangat memerlukan sokongan institusi seperti rumah amal, sokongan pihak kerajaan, sokongan
kejiranan, sokongan hospital dan sokongan daripada pihak sekolah. Bermula dari institusi ini, OKU-F
akan dapat belajar pelbagai perkara dan secara tidak langsung mereka akan menjadi orang yang lebih berdikari dan bijak dalam pergaulan dengan masyarakat. Institusi ini bukan sahaja menjaga kesihatan
tetapi turut menyediakan dan menganjurkan pelbagai aktiviti yang boleh disertai oleh golongan ini.
Misalnya Sabah Cheshire Home menyediakan kursus pastry kepada OKU-F bagi tujuan memberikan kemahiran kepada golongan ini.
Dari segi sokongan yang diberikan dari institusi, didapati bahawa institusi perlu prihatin
terhadap kehendak golongan ini. Mereka juga mempunyai perasaan ingin rasa kebersamaan seperti orang normal. Dalam hal ini, institusi perlu bertindak memberikan sokongan motivasi kepada
golongan OKU-F dengan baik dan mantap. Melalui pedekatan ini, mereka akan lebih bersedia untuk
menghadapi dunia yang nyata. Mereka akan melalui cabaran mencari kerja, berhadapan dengan pelbagai ragam manusia, dan hidup yang ada pasang surutnya. Semua ini memerlukan kekuatan yang
maksima dari segi fizikal dan mental. Justeru, apabila mereka telah dididik dengan sebaik mungkin,
sudah tentu mereka akan lebih berkeyakinan untuk menghadapi kehidupan yang mendatang tanpa ada
rasa gentar.
Pada hari ini, dunia pekerjaan yang semakin sengit memerlukan usaha yang lebih daripada
masyarakat dan tidak terkecuali golongan OKU-F. Persediaan ini perlu mereka lengkapkan sejak dari institusi lagi. Mereka perlu mempersiapkan diri dalam pelbagai bidang demi memajukan diri agar
mudah mendapatkan pekerjaan kelak. Hasil usaha mereka kelak, pasti akan memberikan keyakinan
kepada mereka untuk menghadapi golongan yang berjawatan tinggi. Kebiasaannya golongan ini akan berasa segan untuk berinteraksi dengan mereka yang mempunyai jawatan yang tinggi. Kenyataan ini
disokong melalui petikan yang berikut;
“Kalau dulu kan, kami dilawati oleh orang luar kan, saya segan ohh, saya baru habis
kerja kan, belum kerja lagi kan, belum boleh keluar sendiri, tapi selepas dapat kerja, saya hero lah di luar” (R17).
Melalui realiti hidup yang pernah dihadapi oleh salah seoarang responden juga menunjukkan bagaimana suasana ketika berada berhadapan dengan majikan,
“Ahhh (interaksi dengan majikan) ... anulah saya punya majikan lah, Mr Lim (bukan
nama sebenar). Bila dia interview (maksud interview ialah interview kerja) saya kan, dia ternganga juga tengok kerusi roda, sebab enda pernah nampak, kita ni tidak
nampak orang di kerusi roda, di sanalah dia nampak saya pun terus ambil saya kerja”
(R1).
Institusi yang wujud di negara ini juga perlu cakna dengan kehendak golongan ini. Mereka
sememangnya sering menjadi mangsa kutukan dan ejekan rakan-rakan apabila berada di luar rumah.
Misalnya apabila berada di sekolah, terdapat rakan-rakan sebaya mereka akan mengejek mereka dan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Hal ini dapat dilihat melalui tutur kata dari salah
seorang responden yang mengatakan dia berasa gembira bersama rakan-rakan di institusi yang
mengambil kursus pastry,
10
“ kalau di sini (Sabah Cheshire Home), ok, tiada yang nakal-nakal tiada yang ejek-
ejek. Saya rasa happy di sini sebab ada kawan-kawan. Happy perlu juga dalam hidup”
(R10).
Berdasarkan ayat yang diutarakan didapati bahawa OKU-F pernah mengalami satu situasi
yang membuatkan mereka berasa tersisih. Mereka menerima cemuhan daripada orang luar membuatkan mereka kurang keyakinan untuk berdepan dengan masyarakat. Pihak institusi perlu
memainkan peranan pada ketika ini dengan memastikan mereka membetulkan persepsi mereka agar
tidak merasa disisihkan oleh masyarakat luar. Institusi juga perlu memberikan perhatian terhadap
emosi mereka dengan memberikan layanan yang baik, nasihat dan memberikan sebrang bentuk bantuan kepada golongan ini sekiranya diperlukan. Semangat kesukarelaan dari pihak institusi
diperlukan dalam memastikan golongan ini tidak terus berasa terpinggir. Mereka perlu disedarkan
bahawa dalam hidup ini mereka tidak bersendirian sebaliknya mereka sentiasa disokong oleh orang yang berada di sekeliling mereka walaupun pada dasarnya tidak jelas kelihatan pada pandangan mata.
Misalnya apa yang dapat diperhatikan daripada tutur kata seorang responden yang mengatakan
bahawa:
“Saya gembira bila saya gembira di sini (Sabah Cheshire Home), sebab di sini ramai
kawan, dapat jumpa OKU yang lain, bukan sahaj OKU, orang normal pun saya boleh
jumpa” (R7)
Melalui apa yang dikatakan oleh responden didapati bahawa salah satu manfaat yang boleh
diperolehi ketika berada di institusi ialah perasaan gembira berasama rakan-rakan dengan semangat yang wujud daripada kawan bukan OKU, dapat diperhatikan melalui bait kata-kata ini“bukan saja
sama-sama OKU saya dapat semangat tetapi juga saya dapat semangat dari orang normal, itu salah
satu yang buat saya gembira”.
Tidak dinafikan, pihak institusi perlu memastikan bahawa setiap OKU-F terdidik dengan baik
walaupun mereka berasa tersisih pada mulanya. Mereka perlu disedarkan bahawa dalam kehidupan ini
sememangnya manusia akan menghadapi pelbagai situasi yang memerlukan mereka berinteraksi dengan orang ramai. Golongan ini tidak atau jarang berinteraksi dengan masyarakat luar disebabkan
responden tidak mahu dipandang kasihan oleh masyarakat bukan OKU-F. selain itu juga disebabkan
wujudnya perasaan risau dan takut apabila berinteraksi dengan orang bukan OKU. Hal ini dapat dilihat melalui hasil dapatan yang diperolehi,
“sebab saya tidak mahu berbuallah … saya ni jarang bergaul dengan orang, saya
bilang, orang kesian sama saya, sebab tu saya tidak mahu bergaul dengan orang” (R2).
“kalau sikit ja tak ada apa (jumpa orang). tapi kalau ramai rasa sejuk kaki dan tangan
… berdebar sebab tak pernah saya jumpa dengan orang-orang yang berjawatan besar ni” (R2).
Ketika berada di institusi mereka akan berasa lebih selesa dan dari situ juga keyakinan mereka dapat dibina. Sebahagian daripada mereka akan lebih bersedia dan berani berinteraksi dan bergaul
dengan orang yang mereka kenal berbanding orang yang mereka belum kenal. Kenyataan ini dapat
diperhatikan pada petikan temubual yang berikut,
“Saya mahu cuba biasakan diri saya dengan orang yang saya jumpa lah” (R4).
“Tengok orang tu lah, kalau orang tu saya tak kenal, saya tunggu dia tegur dulu lah. kalau dia terlampau diam sangat, saya tegurlah dia. Kalau orang yang lain, saya tidak
mahu lah dulu tegur, nanti kalau saya tegur, diorang cakap, apalah kau ni busy body …
palah kau ni sibuk-sibuk, nah takut juga saya orang cakap begitu” (R7).
11
“Kalau saya biasa dengan orang tu, saya lah dulu (berinteraksi), sebaliknya kalau saya
tidak biasa dengan orang tu, saya perlu orang tu dulu mula bercakap, tidak kira sama
ada lelaki atau perempuan” (R13).
Ketika berada di institusi juga, suara mereka ini perlu didengar, dengan kata lain mereka perlu
diberikan perhatian. Mereka sepatutnya diberikan peluang bersuara agar mereka berasa yakin untuk diterima dalam masyarakt. Sekiranya tidak, mereka akan berasa seperti disishkan. Hal ini dapat
diperhatikan pada petikan perbualan tersebut,
“Lagipun bang, segan saya nak bersuara ... nanti pendapat tak diterima pula oleh
masyarakat; tak pernah saya bagi pendapat dalam kelas ... diam ja. kalau kawan-kawan berdebat saya tengok ja. padahal di kepala ingin bersuara tapi nanti dipulaukan pula” (R2).
Hakikatnya, golongan ini juga mempunyai keinginan untuk bersuara malah mereka bersedia andainya pendapat mereka tidak dipersetujui. Hal ini dapat diperhatikan pada ayat tersebut,
Tidak juga rasa kecil hati, kalau dia tidak terima pendapat saya, tidak apalah,
mungkin ada orang lain yang boleh terima. Janganlah kalau dia tidak terima kita bilang, “ehh, saya tidak mahu lagi bercakaplah dengan kau, bikin malu saja saya” ahh,
itu salahlah” (R7)
Selain itu juga, mereka yang tinggal di institusi seperti rumah amal juga boleh meningkatkan keyakinan diri dan motivasi mereka dengan melakukan sesuatu perkara di luar kemampuan mereka
berserta bantuan bukan OKU dan akhirnya Berjaya melakukan perkara yang diingini. Seperti yang
diperkatakan oleh salah seorang responden,
Sebab kita tidak tahu itu benda, strategi dia saya cuba untuk melangkah lah. Macam si
bos (Pengurus Cheshire Home) bawa saya ke Filipina, itu di luar kemampuan saya
bah, saya tidak pandai Bahasa Inggeris, saya tidak pernah buat begitu, saya tidak mahu pergi sana, tapi saya buat juga. Sebab si bos support saya kan, saya buat saja,
tapi boleh!, tidaklah yakin sepenuhnya, tapi saya ingin mencuba lagi. Saya malas sudah
berdiam diri bah. Saya rasa saya perlu bangkit bah, sebab selama ini saya selalu berdiam diri, tapi memang saya jenis yang pendiam bah, tapi tidak tahu kenapa, tapi
saya tidak suka menunjuk-nunjuk bah. Walaupun saya ada kelebihan, saya tidak suka
menunjuk-nunjuk, kelebihan saya saya tidak tahu, orang saja boleh nampak. Saya tidak pandai Bahasa Inggeris, saya tidak pernah buat begitu, saya tidak mahu pergi sana,
tapi saya buat juga. Sebab si bos support saya kan, saya buat saja, tapi boleh! (R13).
CADANGAN DAN KESIMPULAN
Responden dalam kajian ini berpendapat bahawa elemen integriti memang memberikan impak yang
sangat besar dalam kehidupan mereka. Para responden bersetuju bahawa nilai-nilai yang terkandung dalam elemen integriti seperti kepercayaan, keyakinan, kesetiaan, keikhlasan dan banyak lagi begitu
mempengaruhi kesejahteraan dan kualiti hidup OKU-Fizikal. Sokongan daripada keluarga/penjaga,
sokongan rakan, sokongan peralatan dan sokongan daripada institusi memberikan satu erti kebahagian dalam diri OKU-Fizikal. Kehadiran elemen integriti dalam keempat-empat sistem sokongan ini
menjadikan hidup OKU-Fizikal lebih bererti dan merasakan bahawa diri mereka tidak dipinggirkan
sebaliknya mereka diberikan layanan yang sama rata sama seperti manusia tipikal atau normal.
Hasil kajian yang diperoleh ini didapati telah menyokong kajian lepas bahawa lebih banyak
maklumat mengenai OKU yang diketahui oleh masyarakat, maka semakin kuranglah stereotaip yang
negatif mengenai OKU dan semakin positif sikap mereka terhadap OKU (Katz, Haz & Bailey, 1988; Ibrahim & Herr, 1982). Oleh itu, dapatlah dikatakan di sini bahawa masyarakat turut menjadi
penyumbang ke arah melahirkan warga OKU-Fizikal yang sejahtera agar mereka tampil lebih yakin
dan berani.
12
Kajian ini juga telah mendapati bahawa OKU-F yang mempunyai sistem sokongan kelihatan
lebih terurus, lebih berkeyakinan dan gembira dalam menjalani kehidupan. Lantaran itu, sistem
sokongan ini perlu diperkukuhkan kerana kebolehpercayaan OKU-F terhadap sistem sokongan sangat tinggi.
Sehubungan dengan itu, sewajarnya semua pihak yang terlibat perlu menerapkan nilai-nilai integriti dalam diri dengan lebih jitu agar kehidupan OKU-F lebih sejahtera dan kualiti hidup mereka
akan lebih terjamin serta terhindar daripada sikap murung, bermuram durja dan pelbagai sikap yang
boleh menjejaskan kehidupan mereka.
KESIMPULAN
Daripada pemerhatian dan temubual yang dijalankan ke atas responden yang terlibat, didapati bahawa peranan integriti dalam sistem sokongan sangat mempengaruhi kehidupan OKU-F. Sistem sokongan
yang terlibat ialah sokongan keluarga/penjaga, sokongan rakan, sokongan peralatan dan sokongan
institusi. Keempat-empat sistem sokogan ini memberi pengaruh kepada kesejahteraan dan kualiti hidup OKU-Fizikal dan menjadikan mereka lebih berkeyakinan dalam menjalani kehidupan.
RUJUKAN
Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685). Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad.
Glaser, B. & Holton, J. (2004). Remodeling Grounded Theory. Forum Qualitative
Sozialforschung/Forum: Qualitative Social Research in Nursing and Health 5(2), Retrieved
from http://www.qualitative-research.net/fqstexte/2-04/2-04glaser-e.htm
Hasnah Toran, Mohd Hanafi Mohd Yasin, Mohd Mokhtar Tahar dan Norasuzaini Sujak. 2008.
Sokongan dan halangan yang dihadapi pelajar-pelajar kurang upaya di sebuah institusi
pengajian tinggi di Malaysia. AJTLHE, 1, 18-29.
Jamiah Manap (2005). http://jurnalakademik.blogspot.com/2007/06/metodologi-pembentukan-
integriti.html Lincoln, Y. S. & Guba, G.S. (1985). Naturalistic inquiry. Beverly Hills, CA: Sage.
Rao, S. (2004). Faculty attitudes and students with disabilities in higher education: A Literature
Review. College Students Journal, 38, 191-198.
Seow, Ta Wee, Sanmargaraja, Shalini, Jamiran, Mohd Nur Syufaat, Zainal Abidin, Zainal Zulhilmi,
Mohd Sam, & Siti Aminah. (2013). Kajian awal terhadap penyediaan fasiliti orang kurang upaya (OKU) di Taman Negara Negeri Johor: Kajian kes di Pulau Kukup, Tanjung Piai, Gunung Ledang dan Endau-Rompin (PETA). Prosiding Seminar Serantau ke-2 Pengurusan Persekitaran
di Alam Melayu , 6-7 Mei 2013, Provinsi Riau, Indonesia.