PERANAN GURU PENDIDIKAN MORAL DALAM MEREALISASIKAN ASPIRASI
NEGARA
Peranan Guru Pendidikan Moral dalam Rukun Negara
Dalam usaha untuk mencapai kesepaduan antara kaum dan semangat bersatu padu tanpa
berbelah bahagi, pendidikan dilihat sebagai satu wadah yang amat berkuasa untuk
merealisasikannya. Oleh itu, peranan yang dimainkan guru memberikan impak yang besar
buat semua individu. Dari jawatan kecil hinggalah jawatan yang hebat, semuanya adalah
hasil didikan seorang guru. Seiring dengan perkembangan dunia tanpa sempadan juga,
peranan yang digalas guru juga semakin besar.
Dalam merealisasikan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara, guru
Pendidikan Moral sememangnya memainkan peranan yang amat penting kerana mereka
adalah guru yang mengajar secara langsung tentang amalan murni dan nilai patriotik di
sekolah, tidak seperti guru-guru lain yang hanya menggabung- jalin nilai-nilai ini ke dalam
mata pelajaran teras.
Prinsip pertama dalam Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan. Faktor
kepercayaan kepada agama merupakan perkara utama yang harus ditekankan oleh guru
Pendidikan Moral kepada murid-murid. Ibu bapa mengharapkan agar pihak sekolah dan
juga guru dapat meningkatkan kepercayaan anak-anak mereka kepada Tuhan dan agama.
Perkara ini menjadi lebih kritikal dalam era globalisasi. Hal ini kerana, kehidupan yang begitu
mementingkan materialistik, teknologi dan hiburan dapat menjejaskan keinginan manusia
kepada Tuhan. Dalam kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu
kerohanian melalui pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan
melahirkan akal yang sihat, jasmani yang cergas dan sahsiah yang terpuji dalam kalangan
murid. Pembinaan kekuatan dalaman ini akan lebih mudah dilaksanakan jika guru
melaksanakan tugasnya sebagai ibadah dengan matlamat membangunkan modal insan.
Prinsip kedua Rukun Negara ialah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Prinsip
kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal
kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh
taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agung dan negara. Di peringkat negeri
pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri
tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan
Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia
yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah “payung negara” yang menaungi
seluruh rakyat di negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau
dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.
Guru sebagai penyampai ilmu (Mu’allim), perlu mendedahkan kepentingan
mengenali dan hormati institusi raja dengan memberi pendedahan tentang Sejarah
Kesultanan Melayu, sistem Raja Berpelembagaan dan Majlis Raja-Raja. Guru
perlu menyampaikan ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni tersebut dengan
menyampaikan isi kandungan pendidikan dengan lebih berkesan tanpa mengabaikan nilai-
nilai murni dalam menyampaikan apa juga disiplin ilmu. Contohnya, menimbulkan perasaan
kasih sayang terhadap pemimpin, raja dan negara dan kesan-kesan negatif andainya
perasaan tersebut diabaikan seperti berlakunya rusuhan dan negara tidak akan aman
sekiranya perasaan sayang pada negara tidak wujud. Murid-murid juga perlu memikirkan
kesan terhadap dunia ini sekiranya mereka tidak menyayangi dan taat kepada negara, raja
dan pemimpin.
Demi memberi kesan yang lebih baik, guru boleh membuat lawatan sambil belajar ke
Muzium Negara dan Perpustakaan Negara bagi mencari maklumat. Di samping itu murid
dapat menyaksikan barang-barang bersejarah agar dapat menimbulkan perasaan bangga
dengan sistem pemerintahan yang terdapat di Malaysia. Guru juga perlu membimbing murid
membuat peta minda tentang peranan dan fungsi raja dalam sistem pemerintahan negara
supaya mereka sedar besarnya peranan pemerintahan raja pada kerajaan Melayu lama.
Dengan demikian, murid-murid akan mengenali dan menghormati institusi raja yang terdapat
di Malaysia.
Prinsip ketiga adalah Keluhuran Perlembagaan. Perlembagaan menjadi asas penting
untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf
yang sama di sisi undang-undang. Justeru, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak
asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara ini.
Sebagai guru Pendidikan Moral, guru perlu menegaskan tentang kepentingan
kesepaduan antara kaum yang sentiasa menjadi perkara asas dalam membina kerukunan
dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa. Antara perkara yang boleh dipraktikkan
oleh guru ialah menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pertuturan seharian.
Penggunaan bahasa yang sama antara kaum lain dapat memupuk semangat perpaduan
kaum yang jitu selain dapat meningkatkan lagi semangat cinta akan tanah air. Bahasa
Melayu merupakan bahasa yang paling wajar digunakan oleh pelajar semasa berkomunikasi
dengan bangsa lain di Malaysia tambahan pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan di Malaysia telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu.
Prinsip keempat ialah Kedaulatan Undang-undang. Kedaulatan undang-undang
bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa
sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun kedudukan. Dalam mendidik murid untuk
sentiasa menjadi warganegara yang sentiasa mengamalkan peraturan dalam kehidupan
seharian, guru Pendidikan Moral boleh memulakannya dengan perkaran yang kecil dan
mudah sahaja contohnya sentiasa menggalakkan murid-murid untuk mengikuti peraturan
sekolah seperti hadir ke sekolah tepat pada masanya dan tidak membuang sampah merata-
rata. Walaupun hal ini kedengaran tidak penting, namun apabila kita menerapkan murid
dengan asas yang kukuh, maka tidak mustahil jika ia berkembang ke arah yang lebih baik
pada masa hadapan.
Guru juga haruslah sentiasa meningkatkan amalan pedagogi dalam pengajaran,
sesuai dengan ragam murid yang pelbagai. Kepelbagaian dalam cara mengajar
membolehkan murid terus fokus dan tidak bosan serta objektif pembelajaran yang dirancang
juga dapat dicapai. Ini secara tidak langsung dapat mengelakkan masalah ponteng sekolah
akibat pengajaran guru yang tidak memberangsangkan, secara tidak langsung murid-murid
sendiri dapat mengamalkan peraturan sekolah dengan lebih berintegriti.
Prinsip kelima ialah Kesopanan dan Kesusilaan. Guru sentiasa menjadi perhatian
umum dari hujung rambut ke hujung kaki. Apa sahaja yang dipakai, diperkatakan, dilakukan
atau ke mana sahaja guru pergi, mereka tetap menjadi perhatian masyarakat. Guru
mu’addib adalah guru yang mengajarkan adab dan budi pekerti. Dalam hal ini, guru
berusaha memastikan adab dan budi pekertinya adalah ditahap yang cemerlang. Ini adalah
kerana guru merupakan model kepada murid-murid dan masyarakat sekelilingnya. Guru
tidak seharusnya umpama ketam mengajar anaknya berjalan betul. Guru Mu’addib bukan
sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai murni tersebut.
Melalui aktiviti main peranan, guru bolehlah memainkan peranannya sebagai
Mu’addib iaitu sebagai pendidik adab dan budi pekerti dalam aktiviti ini. Guru mewujudkan
situasi perayaan Deepavali. Guru mengarahkan beberapa murid memainkan peranan
sebagai tuan rumah dan tetamu yang datang ke rumah untuk beraya bersama-sama. Dalam
aktiviti ini akan memainkan ramai pelajar bagi mewujudkan suasana sebenar sesuatu
perayaan. Penerapan adab budi pekerti melayan tetamu dan hormat menghormati amat
ditekankan dalam aktiviti main peranan. Cara meminta maaf ketika hari perayaan agama
juga akan ditekankan agar murid memahami pentingnya saling memaafkan antara satu
sama lain.
Recommended