Transcript
Page 1: Malaysia Nanban : Tiada Sijil Kelahiran Tiada Tempat Di Sekolah

SEGERA DENGAN FAKS

Ruj. Kami : JPN.PT:163/2/3/1 Klt.30 (6) Tarikh : 1 Ogos 2013

Ketua Pengarang Malaysia Nanban Tuan, MAKLUMBALAS ADUAN AKHBAR MALAYSIA NANBAN BERTAJUK “TIADA SIJIL KELAHIRAN TIADA TEMPAT DI SEKOLAH” BERTARIKH 29 JULAI 2013, ISNIN – M.S:.MUKA DEPAN & 8 Dengan segala hormatnya, saya diarah merujuk kepada aduan mengenai perkara di atas. 2. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ingin menjelaskan isu yang dikemukakan oleh Puan Menaga berkenaan permasalahan beliau yang masih belum mempunyai sijil kelahiran. 3. Untuk makluman, hasil dari pelaporan tersebut, pihak JPN Daerah Teluk Intan telah mengadakan perjumpaan dengan pejabat MIC Teluk Intan bagi mengenalpasti permasalahan sebenar yang dihadapi oleh pengadu. Hasil temubual tersebut, pihak JPN dimaklumkan bahawa beliau yang masih tiada dokumen kelahiran. Puan Menaga pernah membuat carian daftar kelahiran dan telah memiliki JPN.LM14, namun hasil semakan pada rekod data jabatan mendapati tiada rekod berkaitan dijumpai. 4. Sehubungan dengan itu, pihak JPN Teluk Intan mohon kerjasama Puan Menaga untuk membuat permohonan daftar lewat beliau dan anak bongsu beliau di JPN. Puan Menaga juga telah diberikan penerangan dan 2 set borang daftar lewat kelahiran untuk dilengkapkan dan seterusnya dikemukakan ke pejabat JPN bagi membolehkan permohonan daftar lewat kelahiran beliau dan anak beliau diproses dan seterusnya dikeluarkan sijil kelahiran lewat sebagaimana yang diperuntukan oleh undang-undang Negara ini. 5. Untuk makluman, berkenaan catatan bukan warganegara pada sijil kelahiran anak-anak beliau ianya disebabkan tiada tuntutan taraf kewarganegaraan Malaysia secara kuatkuasa undang-undang kerana tiada dokumen pembuktian yang menunjukkan bahawa ibubapa mereka bertaraf warganegara Malaysia. Pendaftaran kelahiran anak-anak beliau merupakan pendaftaran di bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Page 2: Malaysia Nanban : Tiada Sijil Kelahiran Tiada Tempat Di Sekolah

6. Ingin ditegaskan lahir di Malaysia dan memiliki sijil kelahiran Malaysia tidak menjadikan seseorang itu sebagai warganegara Malaysia secara automatik dan dalam hal ini pemegang sijil kelahiran berstatus warganegara Malaysia sahaja yang akan dikeluarkan kad pengenalan kemudiannya. Berdasarkan Perkara 14(1)(b) Seksyen 1(a) Bahagian II Perlembagaan Persekutuan, tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara Malaysia atau pemastautin tetap maka anaknya adalah warganegara Malaysia secara kuatkuasa undang-undang. Walaubagaimanapun ianya perlulah daripada perkahwinan yang sah berdasarkan perundangan Negara ini. 7. Sehubungan dengan itu, pihak jabatan menyarankan beliau mengemukakan permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sebelum anak beliau mencapai umur 21 tahun di mana- mana pejabat JPN yang berdekatan dengan tempat tinggal beliau. Sekian, terima kasih. “BERKHIDMAT UNTUK NEGARA” Saya yang menurut perintah. (JAINISAH BINTI MOHD NOOR) Pegawai Perhubungan Awam, b.p Ketua Pengarah, Jabatan Pendaftaran Negara, Malaysia. : 03-88807077 : 03-88808288 : [email protected] s.k.: 1. YBhg. Dato’ KPPN 2. YBhg. Datin Seri TKPPN (P) 3. YBrs. Tuan TKPPN (O) 4. YBrs. Tuan TKPPN (ICT)