Transcript
Page 1: Pendekatan Pengajaran Kontekstual  Dalam Membentuk  Tingkah Laku Positif Pelajar Masalah Pembelajaran

1

PENDEKATAN PENGAJARAN KONTEKSTUAL DALAM MEMBENTUK TINGKAH LAKU POSITIF PELAJAR MASALAH PEMBELAJARAN

Muhamad bin Sidek & Mardhiah binti Abu Zahar

Guru Pelatih DPLI UKM

ABSTRAK Pelbagai kaedah pengaran dan ilmu keguruan yang lain telah dipelajari oleh guru pelatih. Kajian yang dijalankan ini menggunakan kaedah pengajaran secara kontekstual di mana untuk menarik minat pelajar terhadap sesi pengajaran yang berlangsung. Kajian ini bertujuan bagi mengkaji modifikasi tingkah laku pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran daripada tingkah laku negatif disruptif kepada tingkah laku yang lebih positif iaitu duduk diam dalam masa lebih 10 minit. Kajian yang dijalankan hanya melibatkan seorang pelajar bermasalah pembelajaran di kelas Pendidikan Khas. Pendekatan pengajaran secara kontekstual ini diaplikasikan semasa pengajaran subjek Bahasa Melayu dan Sains. Data dikumpul melalui pemerhatian dan temubual serta kaedah kuantitatif yang berbentuk jadual. Kaedah kuantitatif ini dijalankan bagi mendapatkan laporan kekerapan pelajar keluar kelas sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan bahawa kaedah kontekstual yang dilaksanakan berjaya membentuk tingkah laku positif pelajar supaya duduk diam di dalam kelas selama lebih 10 minit dalam satu- satu sesi pengajaran (1sesi=40minit). Ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian pelajar dan terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru pelatih yang bertindak sebagai pengkaji dalam kajian ini dapat memperbaiki mutu pengajaran seterusnya meningkatkan tahap tumpuan pelajar terhadap pembelajaran mereka. PENGENALAN Pengajaran secara kontekstual ialah proses pengajaran guru yang mengaitkan ilmu yang dipelajari dengan pengalaman seharian perseorangan, masyarakat dan alam pekerjaan. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands – on dan minds – on iaitu pemikiran dan pengalaman guru untuk memberi kefahaman kepada pelajar kerana proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri melibatkan pelajar, pengajar dan bahan pengajaran. Selain daripada itu, pengajaran ini juga menghubungkan isi pengajaran dengan dunia sebenar, proses interaksi antara pelajar dengan pelajar yang lain serta menjadikan situasi pengajaran di kelas sebagai simulasi kepada persekitaran luar.

“Students’ involvement in their schoolwork increases significantly when they are taught why they are learning the concepts and how those concepts can be used outside the classroom. And most students learn much more efficiently when they are allowed to work cooperatively with other students in groups or teams” (Hull 1997)

Menurut Hull (1997), kaedah pengajaran secara kontekstual mempunyai ciri-ciri yang perlu dilaksanakan agar pengajaran lebih berkesan. Ciri yang utama ialah guru menghubungkaitkan pengajaran dalam konteks pengalaman hidup. Guru perlu membantu pelajar memahami tujuan mempelajari sesuatu tajuk dan menghubungkaitkan pengetahuan baru dan pra-pengetahuan pelajar.

Page 2: Pendekatan Pengajaran Kontekstual  Dalam Membentuk  Tingkah Laku Positif Pelajar Masalah Pembelajaran

2

Rajah 1: Pendekatan pengajaran kontekstual.

Menurut Wan Absah (1997) perkara ini akan membolehkan pelajar mendapat gambaran yang jelas tentang perkaitan apa yang dipelajari dengan penggunaan harian dan pelajar mengetahui penggunaan ilmu dalam bidang pekerjaan serta memberi pendedahan kepada pelajar tentang profil pekerjaan. Pembelajaran berlaku apabila murid dapat memproses maklumat atau pengetahuan baru dengan cara yang bermakna dalam rangka minda mereka. Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan pakar pedagogi, John Dewey yang menyebut bahawa: “A curriculum and teaching methodology tied to the child’s experiences and interests.”

Dalam pengajaran, guru memberi pendedahan, penemuan dan penciptaan kepada pelajar. Guru dikehendaki melibatkan pelajar secara aktif dalam membuat ujikaji dan menemui idea dan fakta. Ini akan menjadikan pelajar dapat melibatkan diri dengan ujikaji secara menyeluruh dan membentangkan hasil kerja mereka dengan lebih yakin. Dengan itu, pelajar telah memperoleh pengalaman yang berguna dalam pembelajaran di kelas (Wan Absah, 1997). Antara ciri lain pengajaran secara kontekstual ialah aplikasi. Dalam hal ini, guru menyalurkan sesuatu pengajaran kepada pelajar dan seterusnya pelajar boleh menggunakan maklumat yang ada untuk menyelesaikan masalah yang mungkin dihadapi dalam alam pekerjaan pada masa akan datang. Semasa pengajaran dijalankan, para pelajar didedahkan dengan aktiviti- aktivit yang membolehkan mereka mengaplikasikan aktiviti dalam kelas dengan aktiviti di luar.

Ciri yang seterusnya ialah bekerjasama iaitu pengajaran dalam konteks berkongsi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Guru memainkan tugas penting dalam mewujudkan sikap bekerjasama yang baik dalam pengajaran dan menjadikan proses pengajaran lebih aktif dengan mempelbagaikan aktiviti yang melibatkan pelajar (Pedrotti,1997). Kesannya, membolehkan individu mengenalpasti minat dan keperluan pembelajaran yang unik, perbezaan individu dan pelajar lebih memahami aspirasi kumpulan.

Pemindahan pembelajaran iaitu pengajaran dalam konteks penyaluran pengetahuan oleh guru merupakan antara cirri dalam pengajaran kontekstual. Guru akan menyalurkan pengetahuan mereka melalui kaedah- kaedah yang disarankan dalam kaedah pengajaran secara kontekstual dengan cara timbal balik. Guru akan membimbing pelajar menemui pengetahuan baru melalui penerokaan, pengujian dan mencari jawapan. Kesimpulannya, semua ciri- ciri ini dapat dilaksanakan dengan bantuan penggunaan media pengajaran yang berkesan (Hull, 1997). Pemindahan ini juga akan menyebabkan pelajar lebih mudah membuka peluang sedia ada mereka melalui pelbagai situasi pembelajaran. Ciri- ciri ini juga menunjukkan penglibatan pelajar secara maksimum dan berpotensi menarik minat pelajar terhadap isi pengajaran guru. Kaedah kontekstual merupakan sesuatu usaha pengajaran yang efisien dan sesuai diaplikasikan pada setiap langkah isi pengajaran tidak kira sama ada semasa set induksi, pengembangan isi pengajaran mahupun penutup. Setiap langkah ini boleh disesuaikan dengan pelbagai teknik dan cara sama ada permainan, tayangan video dan gambar, main peranan ataupun demonstrasi.

Page 3: Pendekatan Pengajaran Kontekstual  Dalam Membentuk  Tingkah Laku Positif Pelajar Masalah Pembelajaran

3

Kajian ini dicetuskan berdasarkan masalah tingkah laku seorang pelajar pendidikan khas bernama Abu (bukan nama sebenar) di sekolah yang pengkaji menjalani latihan mengajar. Melalui pemerhatian menunjukkan bahawa Abu cenderung untuk keluar kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Abu sentiasa memberi pelbagai alasan untuk keluar apabila ditegur guru. Dia tidak duduk diam dalam jangka masa waktu yang pendek. Jika dia tidak dapat keluar kelas dia akan mengganggu pelajar lain dan berbuat bising. Justeru, pengkaji sebagai guru pelatih ingin mencuba kaedah pengajaran kontekstual untuk mengkaji modifikasi tingkah laku pelajar pendidikan khas daripada tingkahlaku negatif disruptif kepada tingkah laku yang lebih positif iaitu duduk diam dalam masa lebih 10 minit. Kajian ini memilih pendekatan kontekstual sebagai medium pengajaran kerana individu mengekalkan maklumat dengan lebih berkesan melalui pengalaman mereka sendiri dan setiap individu memiliki pelbagai jenis kecerdasan. Tambahan lagi, pembelajaran kontekstual mengambil kira pelbagai gaya pembelajaran dan boleh divariasikan mengikut kreativiti dan keupayaan guru itu sendiri. PENYATAAN MASALAH Pengkaji sebagai guru pelatih telah melakukan kajian awal melibatkan temu bual dengan guru- guru Pendidikan Khas di sekolah yang pengkaji menjalani latihan mengajar. Soalan yang diajukan adalah tidak formal namun menjurus kepada masalah tingkah laku seorang pelajar bernama Abu (bukan nama sebenar) yang sering dilihat keluar kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Antara soalan yang diajukan adalah seperti “Adakah Abu sering keluar kelas semasa cikgu mengajar?”, “Kenapa Abu sering keluar kelas?” dan “Bagaimanakah cikgu mengatasinya?” Secara keseluruhannya, melalu laporan temu bual ini dapat disimpulkan bahawa guru- guru di kelas pendidikan khas turut mengalami keadaan dan isu yang sama iaitu Abu kerap keluar kelas semasa mereka mengajar. Hal ini menyebabkan guru- guru perlu memberi tumpuan lebih kepada Abu sehingga mengganggu tumpuan pelajar yang lain. Pengkaji telah membuat rekod catatan kekerapan keluar kelas pelajar dalam bentuk jadual. Tinjauan ini dijalankan sebanyak tiga kali yang melibatkan 3 hari persekolahan secara rawak. Satu waktu kelas pengajaran ialah 40 minit dan dalam masa sehari proses pengajaran dan pembelajaran kelas pendidikan khas ialah 8 waktu (tidak termasuk waktu rehat). Dapatan menunjukkan Abu yang paling kerap keluar kelas.. Ini menunjukkan bahawa Abu mempunyai tingkah laku negatif keluar kelas yang ketara berbanding pelajar pendidikan khas yang lain. Ini menyebabkan Abu menjadi subjek penting dalam kajian ini. Pelajar ini tidak dapat duduk diam walaupun dalam tempoh yang singkat dan mengikuti sesi pengajaran dengan baik. Pengajaran secara kontekstual ini diharapkan dapat membentuk tingkah laku positif pelajar supaya kekal di dalam kelas dan mengikuti pengajaran guru. Pengajaran secara kontekstual bersifat mesra pelajar dan diharap mampu memupuk minat pelajar terhadap pengajaran. Ini secara tidak langsung dapat membentuk tingkah laku positif dalam diri pelajar itu sendiri. Objektif kajian Objektif utama kajian ini ialah untuk meneroka penggunaan pendekatan pengajaran kontekstual agar:

i) pelajar dapat duduk diam dan tidak keluar kelas selama lebih 10 minit sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

ii) pelajar dapat mengawal tingkah laku disruptif di dalam kelas.

Page 4: Pendekatan Pengajaran Kontekstual  Dalam Membentuk  Tingkah Laku Positif Pelajar Masalah Pembelajaran

4

KAJIAN KEPUSTAKAAN Kontekstual jika diambil daripada ayat asalnya dalam Bahasa Inggeris (asal bahasa Latin con = with + textum = woven) bermaksud mengikut konteks atau dalam konteks. Konteks pula membawa maksud keadaan, situasi dan kejadian. Secara umum, kontekstual membawa pengertian ; yang berkenaan, releven, ada hubungan atau kaitan langsung, mengikut konteks dan turut membawa erti maksud, makna dan kepentingan (meaningful). Oleh itu, kaedah kontekstual iaitu kaedah yang dibentuk berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, seharusnya mampu membawa pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan atau releven bagi mereka, dan juga memberi makna dalam kehidupan seharian mereka. Kebanyakan pelajar di sekolah tidak mampu membuat kaitan antara apa

yang mereka pelajari dengan bagaimana pengetahuan itu dapat dimanfaatkan (Depdiknas,

2002). Ini berlaku oleh sebab cara mereka memproses maklumat dan perasaan motivasi

untuk pelajar tidak tersentuh melalui kaedah pengajaran yang lazim digunakan (iaitu kaedah syarahan yang abstrak), namun mereka amat perlu memahami konsep itu untuk memudahkan mereka mengaitkannya dengan suasana dan juga dalam menempuh kehidupan masyarakat di mana tempat mereka menjalani kehidupan dan bekerja. Secara lazimnya, pelajar dijangkakan mampu membuat kaitan ini dengan sendiri apabila berada di luar bilik darjah.

Pengajaran dan pembelajaran kontekstual merupakan satu konsepsi pengajaran dan pembelajaran yang membantu guru mengaitkan bahan subjek yang dipelajari dengan situasi dunia sebenar dan memotivasikan pelajar untuk membuat perkaitan antara pengetahuan dengan aplikasinya dalam kehidupan harian mereka sebagai ahli keluarga, warga masyarakat dan pekerja. Pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas amat penting. Kaedah yang sesuai akan meningkatkan keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran pelajar. Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam kelas akan dapat membantu para pelajar mencapai objektif pengajaran guru dan seterusnya meningkatkan penguasaan ilmu yang disampaikan. Menurut Fontana(1988) media perlu dilihat sebagai sesuatu yang dinamik yang dapat merangsang tindakbalas luaran atau dalaman yang kadang-kadang mempengaruhi psikologi seseorang.

Pendekatan kontekstual tertumpu pada aspek pelbagai bagi mana-mana persekitaran pembelajaran, sama ada dalam bilik darjah, dalam makmal, dalam makmal komputer, tempat atau lokasi kerja, atau di ladang tanaman. Pendekatan ini menggalakkan pendidik memilih dan/atau membina persekitaran pembelajaran yang menggabungkan seberapa banyak bentuk pengalaman yang boleh termasuk aspek sosial, fizikal, psikologikal, ke arah mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan (McNiff, 1993).

Dalam aspek sosial, pengurusan tingkah laku perlu ditekankan untuk menjadikan suasana pengajaran di dalam kelas lebih lancar dan berkesan. Tingkah laku terbahagi kepada dua iaitu tingkah laku positif dan tingkah laku negatif. Tingkah laku positif merupakan tingkah laku yang baik untuk perkembangan mereka kerana dengan adanya tingkah laku ini, kanak- kanak akan lebih bersemangat untuk melibatkan diri dalam dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Tingkah laku negatif pula merupakan tingkah laku yang mampu memberikan masalah dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Tingkah laku disruptif merupakan antara tingkah laku negatif yang berlaku di kalangan pelajar (Asrin et al. 2008) Pelajar yang yang mempunyai tingkah laku disruptif merupakan kanak- kanak yang suka bergerak, suka ketawa dengan kuat dan sering menunjukkan tingkah laku agresif kepada rakan- rakan- yang lain. Jenis – jenis tingkah laku disruptif termasuklah tingkah laku hiperaktif, perubahan yang melampau, kebisingan, pergerakan pelajar yang tidak perlu, mengganggu rakan, gelak ketawa yang kuat dan kelakuan agresif fizikal seperti tolak menolak atau tumbuk- menumbuk di dalam kelas. Tingkah laku disruptif merupakan tingkah laku yang boleh menjejaskan kelicinan perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran (Sumrah, Sudirman & Ahmad, 2008). Struktur asas pembinaan kaedah kontekstual ialah menghubungkait, mengalami, mengaplikasi, bekerjasama dan pemindahan.

Page 5: Pendekatan Pengajaran Kontekstual  Dalam Membentuk  Tingkah Laku Positif Pelajar Masalah Pembelajaran

5

METODOLOGI KAJIAN Reka bentuk kajian tindakan merangkumi keseluruhan proses. Ia merupakan perancangan bagaimana kajian akan dilakukan dan berdasarkan kepada langkah-langkah tindakan. Pengkaji telah menggunakan Model McNiff, iaitu model yang dipanggil Tindakan-Refleksi (action-reflection) di mana melibatkan kitaran proses seperti 'memerhati - mereflek - bertindak - menilai – mengubahsuai. Proses ini berlaku secara berterusan. Namun, adalah lebih tepat lagi untuk mengatakan bahawa konsep yang ditekankan melalui kitar demi kitar itu pasti akan melalui tahap di mana pengkaji mengambil tindakan (bertindak atau implementasi rancangannya) dan kemudian merefleksi daripada apa yang diperhatikan berlaku terhadap perkara kajian (hasil tindakan). Namun begitu, walaupun kita mencapai satu tahap di mana kita berasa apa yang lakukan itu satu kepuasan, tahap itu akan membentuk satu masalah atau persoalan lain pula, dan seterusnya kitaran tersebut akan bermula lagi.

Rajah 2: Model McNiff Tindakan Refleksi Kajian ini telah dijalankan ke atas seorang pelajar lelaki Abu (bukan nama sebenar) berusia 16 tahun yang bermasalah pembelajaran. Dari segi tahap kecerdasan, Abu merupakan pelajar pendidikan khas yang berada di kelas kedua terbawah daripada empat kelas yang ada. Abu ialah anak yatim piatu dan dipelihara oleh kakaknya. Dia seorang yang rajin ke sekolah dan tidak pernah ponteng kecuali cuti sakit. Namun, Abu sering dilihat gemar keluar kelas ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Dua guru pelatih menjadi pengkaji utama kajian ini.

Semasa kajian dijalankan, kaedah yang digunakan untuk mendapatkan data adalalah melalui pemerhatian dan temubual. Pengumpulan data secara kuantitatif pula melibatkan jadual senarai semak kekerapan pelajar keluar kelas tanpa sebab dan arahan guru. Pengumpulan data dijalankan pada sebelum dan selepas pengajaran secara kontekstual digunakan dengan konsisten semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya pengkaji melakukan refleksi terhadap proses pengajaran kontekstual yang triangulasikan dengan data pemerhatian, temu bual dan senarai semak.

Pengkaji menggunakan Model Tindakan Refleksi McNiff yang melibatkan kitaran proses seperti 'memerhati - mereflek - bertindak - menilai – mengubahsuai. Proses ini berlaku secara berterusan. Namun begitu, walaupun pengkaji telah mencapai satu tahap di mana apa yang dilaksanakan telah mencapai satu kepuasan, tahap itu akan membentuk satu masalah atau persoalan lain pula, dan seterusnya kitaran tersebut akan bermula lagi.

Reka bentuk kajian ini merupakan model daripada Jean McNiff yang diubahsuai daripada model sebelum itu, iaitu hasil pemikiran beliau dan rakan-rakan (McNiff et al. 2003). Model yang dipaparkan adalah suatu kitar tindakan-refleksi (Action-Reflection Cycle)

Page 6: Pendekatan Pengajaran Kontekstual  Dalam Membentuk  Tingkah Laku Positif Pelajar Masalah Pembelajaran

6

yang berbentuk bulatan atau nombor 6 seperti yang ditunjukkan sebelum ini. Kajian tindakan ialah satu cara apabila seseorang pengkaji ingin mencari sesuatu yang pada asalnya kita tidak tahu apakah ia (masalah). Apa yang penting pengkaji perlu tahu aturan atau strategi yang perlu ada untuk melakukan kajian tindakan. Kajian tindakan yang dilakukan oleh penyelidik akan memberi kesan kepada dirinya. Penemuan baru yang diperoleh akan menghasilkan ilmu baru yang tidak pernah diketahui sebelumnya.

Langkah Prosedur

Memerhati

Langkah pertama sebelum kajian tindakan dilakukan adalah pengkaji mendalami isu yang akan diselidiki dan menentukan apa dan kenapa matlamat itu perlu dicapai. Kebiasaannya kajian tindakan ini akan menimbulkan satu isu yang berbentuk persoalan dan penyelidik akan mencari jawapan terhadap persoalan tersebut. Contohnya 'Bagaimana saya boleh membentuk Abu untuk duduk diam tanpa keluar kelas semasa P&P berlangsung?' Ini bermaksud, pengkaji menjadi peneraju utama dalam kajian tindakan serta memfokuskan kepada peningkatan diri sendiri dan mengubah pelajar bertingkahlaku positif (duduk diam tanpa keluar kelas).

Merefleksi

Setelah mengenal pasti permasalahan, pengkaji akan menentukan penyelesaian yang boleh diambil bagi mengatasi permasalah yang timbul. Contohnya menggunakan kaedah kontekstual dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi menggantikan kaedah tradisional yang terlalu berpusatkan guru.

Bertindak

Pengkaji seterusnya bertindak sesuai dengan penyelesaian yang telah dirancang terlebih dahulu. Misalnya, sekiranya kaedah kontekstual yang telah dipilih bagi membentuk tingkah laku positif pelajar untuk fokus terhadap pengajaran dan tidak keluar kelas tanpa sebab. Maka pengkaji akan bertindak menggunakan kaedah itu dalam proses pengajaran dan membuat pemerhatian.

Menilai Hasil daripada pemerhatian tersebut, pengkaji seterusnya menilai hasil daripada pemerhatian tersebut.

Ubahsuai

Sekiranya pengkaji mendapati kaedah yang telah dipilih tersebut membawa hasil yang positif, maka pengkaji akan mengubah suai kaedah pengajaranya sesuai dengan hasil yang telah diperolehi daripada kajian tindakan tersebut. Proses tersebut akan berterusan untuk menghasilkan kaedah yang terbaik buat para pelajar.

Kitar proses ini akan berterusan walaupun proses mencapai satu tahap kejayaan yang dikatakan sementara tetapi sudah memuaskan (provisional point), pada tahap tersebut akan terjana lagi soalan-soalan baru dan kitar akan bermula semula.

Page 7: Pendekatan Pengajaran Kontekstual  Dalam Membentuk  Tingkah Laku Positif Pelajar Masalah Pembelajaran

7

DAPATAN DAN PERBINCANGAN Penerangan berikut dikemukakan bagaimana pengkaji menggunakan pendekatan kontekstual ini dalam usaha modifikasi tingkahlaku Abu.

a) Relating (Menghubungkait) iaitu belajar dalam konteks menghubungkaitkan pengetahuan baru dengan pengalaman hidup. Pelajar melakukan aktiviti mencari serangga di sekitar sekolah sebagai bahan dalam eksperimen sains bagi topik pengajaran haiwan. Menerusi pengalaman ini pelajar dapat mengaitkan aktiviti yang dilakukan dengan kepelbagaian haiwan dan habitatnya.

b) Experiencing (Mengalami) iaitu belajar dalam konteks penerokaan, penemuan dan

reka cipta. Pelajar dibawa ke kebun Pendidikan khas dan ditunjukkan demonstrasi bagi cara penanamaan jagung dengan langkah yang betul. Pelajar berpeluang melakukan aktiviti kebun dimana setiap pelajar diberi bijih benih sendiri untuk ditanam dan dijaga. Pengalaman ini boleh digunakan oleh pelajar untuk melakukannya sendiri di rumah pada masa lapang ataupun alam pekerjaan nanti.

c) Applying (Mengaplikasi) iaitu belajar dalam konteks bagaimana pengetahuan atau informasi boleh digunakan dalam situasi lain. Pelajar mempelajari teori dan konsep haiwan memerlukan makanan untuk hidup. Mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan ini apabila bertemu situasi di mana seekor kucing di tepi jalan kelaparan mencari makanan. Justeru, pelajar akan prihatin dan memberi makanan kepada kucing tersebut. Ini menunjukkan nilai- nilai murni kasih- sayang yang menjadi amalan harian manusia.

d) Cooperating (Bekerjasama) iaitu belajar dalam konteks bekerjasama, memberi

maklum balas dan berkomunikasi. Pelajar ditugaskan secara berkumpulan untuk melukis kitaran hidup katak dan rama- rama. Aktiviti ini memerlukan mereka berbincang dan bekerjasama dengan ahli kumpulan masing-masing . Hasil yang diperolehi adalah lebih baik berbanding secara individu kerana mereka menyelesaikan masalah/ tugasan secara bekerjasama.

e) Transfering (Memindahkan) iaitu belajar dalam konteks pengetahuan sedia ada

dengan menggunakan atau membina daripada apa yang telah diketahui. Pelajar mempelajari cara untuk menambah tiga nombor 2 digit secara serentak. Pelajar boleh memindahkan pengetahuan konsep penambahan ini ketika membeli makanan di kantin.

Dalam kajian ini, kekerapan Abu bagi keluar kelas dalam sesi pengajaran dicatatkan oleh guru-guru dalam kelas yang dijalankan selama 4 hari dalam 6 sesi pengajaran iaitu 3 sesi dengan menggunakan pengajaran biasa dan 3 sesi lagi dengan pengajaran kontekstual mengikut jadual hari yang sama. Hasil tinjauan yang ditunjukkan di atas ialah dapatan kajian menunjukkan bahawa Abu ada keluar kelas dalam setiap tempoh 10 minit bagi kedua- dua hari tersebut. Ini menunjukkan bawah Abu tidak boleh duduk diam dan tekun dengan pengajaran guru. Ini dapat dikaitkan dengan rasa bosan pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang sama dan tidak variasi

Namun, tingkah laku keluar kelas Abu menunjukkan perubahan di mana Abu telah duduk diam di kelas tanpa keluar kelas dalam tempoh melebihi 10 minit semasa pendekatan kontekstual dijalankan. Antara aktiviti kontekstual yang dilaksanakan ialah penceritaan, permainan, tayangan video dan aktiviti berkumpulan. Ini menunjukkan perkembangan positif dalam perubahan tingkah laku pelajar ini. Pengkaji telah melaksanakan proses pengajaran secara kontekstual dalam langkah set induksi, perkembangan dan penutup. Pendekatan kontekstual dalam pengajaran berjaya membentuk tingkah laku positif pelajar supaya duduk diam dan menumpukan pada pembelajaran mereka. Pengajaran secara kontekstual yang

Page 8: Pendekatan Pengajaran Kontekstual  Dalam Membentuk  Tingkah Laku Positif Pelajar Masalah Pembelajaran

8

menarik minat Abu mampu membuat pelajar ini mengikuti pengajaran dengan tekun walaupun hanya 10- 15 minit.. Kaedah kontekstual merupakan sesuatu aktiviti yang mesra pelajar dan mampu memberi keseronokan kepada Abu.

Secara kesimpulannya, pengajaran secara kontekstual memberi kesan terhadap pembentukan tingkah laku positif di mana pelajar dapat duduk diam dan tidak keluar kelas selama lebih 10 minit sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Ini secara langsung dapat mengawal tingkah laku disruptif pelajar di dalam kelas tersebut. Berdasarkan dapatan kajian menunjukkan pelajar bertingkah laku positif, iaitu duduk diam dalam masa lebih 10 minit setelah pendekatan pengajaran secara kontekstual dilaksanakan. Selain itu, tingkah laku disruptif pelajar dapat dikurangkan apabila guru memberi tumpuan lebih kepada pelajar ini. Menurut pendapat Abu sendiri, dia suka akan cara pengajaran yang meliputi pelbagai aktiviti dan melibatkan pelajar lain seperti permainan, aktiviti luar kelas dan demonstrasi serta aplikasi yang dekat dengan dirinya. Abu tidak berasa bosan dan boleh menumpukan pengajaran pada satu- satu tempoh yang lama. Kaedah kontekstual tidak hanya berpusatkan guru dan aktiviti yang dijalankan menggalakkan penglibatan pelajar secara maksimum.

Antara ciri kaedah pembelajaran kontekstual ialah melibatkan kerjasama dimana diaplikasikan melalui perbincangan dan aktiviti berkumpulan. Peranan ciri kerjasama ini merupakan medium penting dalam mengurangkan masalah tingkah laku negatif disruptif pelajar. Ini kerana pelajar turut serta bersama- sama dalam kumpulannya menyelesaikan masalah yang ditugaskan kepada mereka. Konsep kerjasama perlu diterapkan dalam satu organisasi kelas kerana mereka berkomunikasi dalam tempoh waktu yang lama sepanjang proses pembelajaran. Tambahan pula strategi tersebut selaras dengan konsep KBSM dan konsep sekolah bestari yang mementingkan gerak kerja kumpulan. Sebagai langkah yang lebih efektif, guru perlu mengajar pelajar secara „one to one‟ supaya pelajar dapat meningkatkan tahap kefahaman dalam pengajaran dan tidak berpeluang keluar kelas tanpa alasan atau mengganggu rakan lain. CADANGAN DAN RUMUSAN Beberapa kelemahan telah dikenalpasti sepanjang kajian ini dilaksanakan. Kelemahan- kelemahan ini perlu diperbaiki bagi meningkatkan mutu kajian dalam pendidikan pada masa akan datang. Antara cadangan bagi mengatasi kelemahan yang wujud ialah:

i) Tingkah laku pelajar lain turut diberi perhatian dan kaedah secara pengajaran kontekstual ini dijalankan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu semata- mata kepada pelajar yang dikaji sahaja.

ii) Guru perlu lebih kreatif dan rajin dalam mempelbagaikan aktiviti pengajaran supaya pelajar tidak berasa bosan dengan aktiviti.

iii) Guru perlu sentiasa prihatin terhadap perubahan tingkah laku pelajar dan sentiasa bersedia untuk meningkatkan mutu pengajaran di dalam kelas.

iv) Aktiviti pengajaran perlu lebih mesra dan dekat dengan pelajar pendidikan khas (mengikut tahap kecerdasan mereka).

Page 9: Pendekatan Pengajaran Kontekstual  Dalam Membentuk  Tingkah Laku Positif Pelajar Masalah Pembelajaran

9

RUJUKAN Asrin, B. et al. (2008). Pengurusan Tingkah Laku Kanak-kanak Pra sekolah. Perak:

Universiti Pendidikan Sultan Idris, Depdiknas (2002). Pendekatan Kontekstual ; Contextual Teaching and Learning. Jakarta: Direktorat PLP. Hull D. (1995). Opening Minds, Opening Doors. Waco, Texas: CORD. Hull D. (1997). Who Are You Calling Stupid? Waco: CORD Communication, Inc. McNiff, J. (1993). Teaching as Learning: an action research approach. London: Routledge. Pedrotti, L. S. (1997). An effective System Of Education For Many Secondary And Post secondary Students. A Presentation For Friends Of Education In Malaysia, Center

For Occupational Research and Development, Waco, Texas. Soon Sang (2002). Pendidikan Di Malaysia. Subang Jaya, Selangor: Kumpulan Budiman

Sdn. Bhd.

Sumrah,S.,Sudirman, S. & Ahmad, R. (2008). Kaedah menangani kanak- kanak bermasalah tingkahlaku. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Wan Absah bte Wan Kadir (1997). Perlaksanaan Pendekatan Pembelajaran Secara Kontekstual Di Sekolah Menengah Teknik. Persidangan Kebangsaan Tech Prep 18-

20 September 1997.