Rindunya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz
Tarikh : Thursday, October 09 @ 15:43:35 MYT
Topik : Tazkirah
Baru satu abad telah berlalu, namun keadaan umat Islam jauh sekali
berbeza berbanding dengan zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya
dahulu. Bibit-bibit jahiliyah yang dihapuskan Rasulullah s.a.w. telah mula
berputik kembali. Sifat suka mementingkan kabilah, semangat berpuak dan
mengutama saudara sendiri menjadi ciri-ciri baru kerajaan Islam pada masa
itu. Kerajaan tidak lagi dinilai dengan neraca al-Quran dan as-Sunnah,
tetapi diukur atas keperluan semasa dan kepentingan negara. Pemimpin-
pemimpin Islam sudah pandai bermewah-mewah, melakukan penindasan
dan bermegah diri. Sehinggakan Baitul Mal, jadikan sebagai harta peribadi
mereka.
Masyarakat Islam pula semakin kaya dan leka, mereka semakin
meninggalkan penghayatan ilmu dan nilai-nilai Islam. Kekuatan hawa nafsu
dan bisikan syaitan telah mencampak mereka ke lembah kealpaan.
Kasih sayang tuhan mengatasi segala-galanya. Dia tidak ingin melihat umat
Islam tergelincir ke dalam kegelapan. Dalam cahaya suram yang kelam,
terpancarlah sinar yang membawa seribu harapan. Khalifah Umar Abdul
Aziz menyelamatkan Islam dan umatnya dengan mengembalikan Islam
seolah-olah ke zaman permulaannya.
Umar Abdul Aziz adalah seorang bangsawan yang berbudi halus dan wara’.
Walaupun dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan, beliau tidak hanyut
dan leka. Beliau menjadi kegilaan anak gadis kerana ketampanannya, dan
sering menjadi ikutan pemuda pada zaman itu. Sejak kecil lagi beliau didik
dengan ilmu agama. Minat dan kecenderuangan beliau kepada
ilmu, membawa beliau ke kota Madinah. Di sanalah beliau mempelajari dan
mendalami ilmu agama dari tokoh-tokoh Islam zaman itu. Semasa
pemerintahan al-Walid ibn Abdul Aziz, beliau telah menjadi gabenor
Madinah selama 7 tahun. Di sini beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang
pemimpin Islam sejati. Sehingga Anas ibn Malik berkata: “Aku tidak pernah
menjumpai Imam selepas Rasulullah s.a.w. yang menyerupai
sembahyangnya seperti Rasulullah s.a.w. kecuali pemuda ini, Umar Abdul
Aziz iaitu gabenor Madinah”
Sebaik saja dilantik sebagai khalifah, Umar Abdul Aziz terus membersihkan
kerajaan dengan memecat gebenor dan pegawai yang kejam dan tidak adil.
Hamba sahaya milik keluarga di raja juga telah dimerdekakan, semua
barang kemas dan hadiah yang diterima beliau dan isterinya semasa
pertabalan telah diserahkan semuanya kepada Baitul Mal. Istana pula telah
dihias secara sederhana sahaja. Umar Abdul Aziz menganggap dirinya
sebagai pengganti kepada datuknya iaitu khalifah Umar al-Khattab. Kerana
itulah beliau digelar sebagai Umar II. Hidup beliau telah berubah sama
sekali, kemewahan dan kemegahan telah ditanggalkan dan digantikan
dengan kehidupan yang penuh zuhud dan kesederhanaan.
Pernah suatu ketika, Umar Abdul Aziz memerhatikan anak-anak
perempuannya menutup mulut dengan tangan ketika berbual dengannya.
Selepas menyiasat, beliau dapati hanya bawang dan kacang sahaja yang
terdapat dirumahnya. Anak-anaknya berbuat demikian kerana takut
menganggu beliau dengan bau bawang. Dengan berlinangan air mata beliau
berkata: “Wahai anakkku adakah kamu inginkan makanan yang enak
sedangkan ayahmu dihumban ke dalam neraka?”
Beliau adalah khalifah kepada sebuah empayar terbesar zaman itu, namun
tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk menunaikan haji. Sehinggalah
sampai satu masa, beliau diberitahu khadamnya, duit untuk menunaikan
haji telah mencukupi hasil dari pendapatannya sebagai khalifah. Akan tetapi
Umar menjawab: “Kami telah mengambil manfaat harta ini sekelian lama.
Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya.” Kemudian beliau
memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal. Pernah juga
Umar Abdul Aziz datang untuk lewat menghadiri solat Jumaat kerana
terpaksa menunggu bajunya yang sehelai itu kering.
Beliau adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Jika ada mana-
mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan
peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan
dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah mengguna air panas
daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.
Dalam pentadbiran pula, Umar Abdul Aziz telah mengubah kerajaannya
sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat utama. Sebelum Umar,
perhatian negara hanya terhad kepada memungut hasil cukai dan
pembangunan material tanpa memberi penumpuan kepada pembangunan
rohani dan keagamaan. Sebaliknya, semasa pemerintahan beliau, sangat
sukar untuk berjumpa dengan pengemis atau fakir miskin yang berhak
menerima zakat. Pernah Yahya Ibn Sa’id meriwayatkan, Umar melantik
beliau memungut zakat di Afrika, setelah selesai memungut zakat beliau
mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tatapi gagal bertemu
seorang pun yang boleh diberi bantuan. Lalu beliau membeli beberapa
orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum
muslimin.
Umar Abdul Aziz selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan
kehendak agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi.
Dengan keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya,
semakin ramai orang bukan Islam memeluk Islam.
Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa
perubahan yang lebih besar lagi dalam kerajaannya iaitu mangubah
kecenderungan dan sikap rakyat jelata. Jika semasa zaman Khalifah al-
Walid, perbincangan rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina
kerana itulah kecenderungan al-Walid, Khalifah Sulaiman pula minat
kepada perempuan dan majlis makan yang besar, dan itulah menjadi
keasyikan dan perbualan rakyatnya. Tetapi dalam masa pemerintahan Umar
Abdul Aziz, tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah
menjadi topik perbualan utama. Masing-masing bermuhasabah untuk
meningkatkan nilai ibadah mereka.
Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam adalah hasil
pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan
takut kepada Allah s.w.t. dan keyakinan terhadap hari pembalasan
menjadikan beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam. Sehingga
ada orang mengatakan beliau adalah khalifah Islam yang kelima daripada
Khulafa ar-Rasyidin selepas Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali.
Andai kata beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia
Islam akan menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek
kehidupan. Tetapi kehendak tuhan mengatasi keinginan dan impian
manusia. Beliau telah dipanggil mengadap Ilahi setelah dua tahun
lima bulan memayungi umat Islam dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah
s.a.w.
Oleh: Ibad Ahmady
http://al-futhuhat.blogspot.com