Transcript

1

Ziarah Madinah

Madinah Al-Munawwarh merupakan kota suci kedua Islam selepas Makkah Al-Mukarramah.

Terletak di sebelah utara kota Makkah. Ia berada di atas ketinggian 625 meter dari paras laut.

Batas Tanah suci Madinah adalah di antara Jabal `Iyr di sebelah selatan dan Jabal Thawr di

sebelah utara. Jaraknya lebih kurang 16 Kilometer. Di sebelah timur dan barat disempadani

dengan dua batuan hitam dipanggil Harrah Syarqiah dan Harrah Gharbiyah.

Sejarah Madinah

Kota Madinah pada asalnya dikenali dengan nama Kota Yathrib sempena orang yang

membuka kota ini iatu Yathrib ibnu Ubayl Ibnu `Iwadh berketurunan dari Nabi Nuh a.s.

melalui anaknya Sam ibnu Nuh. Selepas itu `Amalek Bani Imlak telah membuka penempatan

dan ladang.

Dari sebuah penempatan kecil Yathrib berkembang menjadi sebuah kota dan didiami oleh dua

bangsa utama iaitu Yahudi dan Arab. Bangsa Yahudi terdiri dari tiga puak utama Bani

Qainuga`, Bani Nadhir dan Bani Qurayzah. Mereka menguasai ekonomi kota Yathrib ini.

Sementara itu bangsa Arab pula terdiri dari suku Aus dan Khazraj. Mereka selalu bertelagah

sesama sendiri sehingga kedatangan hamba Allah yang Mulia ke kota mereka.

Hijrah Rasulullah saw.

Ketika Rasulullah sampai di Quba` sebuah tempat di selatan Madinah baginda berhenti di

rumah Kalthum Ibnu Hidam dan baginda membangunkan Masjid di sana. Masjid ini

kemudiannya diberi nama Masjid Qubba` dan ia merupakan masjid yang pertama didirikan

oleh Rasulullah saw.

2

Setelah Rasulullah saw berkampung di sana selama tiga hari , baginda kemudiannya bertolak

ke Madinah. Kebetulan hijrah Rasulullah saw itu pada hari Jumaat, apabila masuk waktu zohor

Rasulullah saw solat di suatu tempat dan terbinanya masjid yang dikenali sebagai Masjid

Jumuah.

Apabila Rasulullah saw tiba di Kota Madinah dengan menunggang untanya, orang ramai

berebut-rebut memegang tali untanya. Namun baginda dengan penuh adab sopan dan

dipolomasi meminta mereka membiarkan unta tunggangannya bergerak bebas dan memilih

tempat perhentiannya sendiri.

Baginda telah berhenti di atas sebidang tanah tempat mengeringkan buah tamar yang dimiliki

oleh dua orang anak yatim peliharaan As`ad ibnu Zurarah. Anak yatim itu bernama Sahlun

Ibnu Amru dan Suhaiyl ibnu Amru.

As`ad ibnu Zurarah telah memberikan tanah tersebut sebagai hibah (hadiah) kepada

Rasulullah saw tetapi baginda menolaknya. Baginda membeli tanah tersebut dengan harga 10

dinar dan dibayar oleh Abu bakar al-Siddiq.

Rasulullah saw kemudiannya menjadi tetamu Abu Ayyub Khalid ibnu Zayd al-Ansari.

Rumahnya terletak betul-betul di hadapan tanah tersebut. Hampir setahun Rasulullah saw

menetap di sana.

Masjid Nabawi

Pembinaan Masjid Nabawi bermula pada hari kedua ketibaan Rasulullah saw di kota Madinah.

Pada asalnya terdapat pohon tamar dan pohon-pohon qharqad yang berduri dan perkuburan

bukan orang Islam di tanah tersebut.

Setelah kawasan tersebut dibersihkan dan perkuburan lama dipindahkan, Rasulullah saw

bersama sahabat-sahabat baginda memulakan pembinaan masjid meliputi kawasan seluas

kira-kira 850.5 meter persegi dan 2.9 meter tinggi. Dindingnya dalah dari campuran batu dan

3

tanah. Tiangnya dari batang-batang tamar dan atapnya dari pelepah tamar manakala

lantainya dari tanah liat.

Ia juga tidak mempunyai mihrab dan mimbar pada permulaan pembinaannya.

Ziarah Madinah

Ziarah Madinah boleh dibahagikan kepada dua perkara. Pertama Ziarah dalam dan kedua

ziarah luar.

Ziarah Dalam.

Kebiasaannya jemaah haji yang tiba di Madinah akan bermukim di sana lebih kurang lapan

hari. Pada pagi hari pertama jemaah haji tiba, mereka akan dibawa ziarah dalam. Jemaah haji

akan ditunjukkan Babus Salam. Bagi Jemaah lelaki mereka akan masuk melalui Babus Salam

kemudian terus ke ruang solat untuk solat tahiyatul masjid. Setelah solat jemaah haji akan

ditunjukkan rawdah iaitu kawasan yang disebut oleh Nabi muhammad saw “ Taman di antara

taman-taman syurga”. Jika berkesempatan jemaah akan dapat masuk untuk solat dan berdoa

di dalamnya. Jika terlalu ramai jemaah haji hendaklah terus menuju Babul Baqi`.

Selepas melalui mihrab, di sebelah kiri terdapat ruang yang telah dikepung dengan dinding

dan jaring besi yang berukir. Di tengah-tengahnya terdapat tiga lubang yang besar sekali

seakan-akan permukaan hajar aswad. Setentang dengan tempat inilah Rasululah saw

dimaqamkan. Disebelah baginda kemudiannya kubur saidina Abu Bakar dan diikuti Saidina

Umar. Setelah memberi salam dan membaca doa jemaah haji hendaklah terus keluar ke Babul

Baqi`.

Di luar masjid, setentang dengan Babul Baqi` terletak perkuburan bagi`. Jika berkesempatan

jemaah haji lelaki bolehlah menziarahi perkuburan Baqi`. Perkuburan Baqi` biasanya dibuka

diantara selepas subuh sehingga jam 8.30 pagi dan selepas asar sahaja.

4

Bagi jemaah haji wanita mereka akan dibawa ke hadapan Babus Salam sahaja. Kemudian

mereka akan dibawa di hadapan Masjid Nabawi. Di sana jemaah haji wanita akan ditunjukkan

Qubbatul Khadra` (kubah hijau). Di bawah kubah hijau itulah Rasulullah saw bersemadi.

Jemaah wanita hanya memberi salam kepada Rasulullah saw dan dua orang sahabatnya dari

kawasan berkenaan kemudian mengadap kiblat untuk membaca doa.

Jemaah haji wanita kemudian ditunjukkan perkuburan Baqi` dari luar. Setelah membaca doa

untuk ahlul Baqi` mereka kemudiannnya memasuki masjid melalui Babul Ali atau pintu

bernombor 29. Sebelum ke rawdah jemaah haji terpaka menunggu giliran untuk memasuki

kawasan rawdah secara kumpulan. Kebiasaanya jemaah haji wanita dibenarkan masuk ke

kawasan rawdah mengikut kumpulan benua.

Ziarah luar.

Pada pagi keesokkannya jemaah haji akan dibawa ziarah luar. Jemaah haji akan dibawa

melawat kawasan yang bersejarah.

Masjid Quba`.

Masjid Quba` terletak di perkampungan Bani Amru ibnu Auf iaitu kira-kira tiga kilometer ke

selatan dari Kota Madinah.

Rasulullah saw tiba di Quba` pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal bersamaan 20 September 622M.

Masjid in dibina di atas sebidang tanah tempat pengeringan tamar milik Kulthum ibnu Hadam.

Ia dinamakan Masjid Quba` sempenan nama sebuah perigi yang berada di tempat tersebut.

Setelah selesai pembinaan masjid Rasulullah saw bersama sahabat solat berjemaah secara

terbuka berkiblatkan Baitul Maqdis.

5

Masjid ini mempunyai kelebihannya tersendiri. Allah swt merakamkan di dalam surah al-

Taubah ayat 108 tentang kelebihan bersolat di dalamnya. Firman Allah swt yang bermaksud:

Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa sejak hari pertama adalah lebih patut

kamu bersolat di dalamnya..”

Rasulullah saw bersabda:

“ Barangsiapa yang keluar dari rumahnya kemudian sampai di Masjid Quba` dan

bersembahyang di dalamnya baginya ganjaran pahala seperti menunaikan umrah.:

-Riwayat Nasa`iy dan ibn Majah.

Uhud

Jabal Uhud atau bukit Uhud berwarna kemerah-merahan terletak 5 kilometer ke utara Kota

Madinah. Ia memanjang membatasi kawasan shuhada` Uhud.

Terdapat satu bulatan besar atau roundabout besar dibina di sekeliling perkuburan shuhada

Uhud. Di belakangnyalah terletak bukit yang kemerah-merahan di kenali sebagai Jabal Uhud

manakala di dalam bulatan besar itu terletak perkuburan shuhada`, Bukit Rumah iaitu bukit

yang ditempatkan 50 orang pemanah dan sebuah masjid yang dinamakan Masjid Uhud.

Di kawasan masjid inilah Saidina Hamzah terbunuh dan gugur syahid. Beliau dikebumikan di

tempat jasadnya terbunuh. Selain saidina Hamzah dua kibarul muslimin antaranya Abdullah

ibn Jubair al-ansari (ketua barisan pemanah) dan Mus`ab ibn Umair (pemegang panji-panji

Islam). Hampir 70 orang ahabat terbunuh, enam di kalangan mereka dari Muhajirin dan

bakinya dari al-Ansar.

Ketika pasukan pemanah turun dari Bukit Rumah kerana menyangkakan perang sudah tamat,

pasukan berkuda yang dipimpin Khalid ibn Walid dan Ikrimah ibn Jahal telah membunuh baki

tentera pemanah di atas bukit rumah. Lantaran itu, tentera muslimin terkepung dari sebelah

depan dan belakang (barat daya).

6

Ketika perang berkecamuk inilah, sahabat Rasulullah merapatkan barisan, membentengi

Rasullullah saw. Saidina Hamzah telah dilembing oleh tentera musuh. Abdullah ibn Zubair

telah dibunuh di atas bukit Rumat mempertahankan amanat baginda rasul. Pada ketika itulah,

Mus`ab ibn Umair mempertahankan Rasulullah saw. Tangan kanannya terputus akibat ditetak

oleh musuh. Beliau menggunakan tangan kirinya untuk berlawan. Terputus tangan kirinya,

beliau menggunakan kedua-dua lengannya untuk memegang panji-panji Islam.

Tatkala Rasulullah saw terperosok akibat tentangan musuh dan hampir-hampir dipenggal oleh

tentera musyrikin, Mus`ab membantingkan badannya untuk melindungi Rasulullah saw dari

dibunuh. Maka terbunuhlah Mus`ab ibn Umair, syahid mempertahankan nyawa semulia-mulia

makhluk. Lalu panji-panji itu disambutlah oleh Ali Karamallahhuwajhah.

Sahabat-sahabat Nabi membawa baginda berundur ke belakang lalu terus menaiki Bukit Uhud.

Bukit Uhud bergoyang kerana malu tubuhnya dinaiki makhluk yang paling mulia. Bersabdalah

Nabi saw:” Isbat ya Uhud”. Tetaplah engkau wahai uhud. Bukankah makhluk yang paling muli

berada di atasmu bersama shahidain(dua sahabat yang akan syahid iaitu Umar dan Uthman).

Setelah berundur di atas Bukit Uhud, Rasulullah di tempatkan di sebuah gua yang kecil yang

hanya menempatkan empat orang di dalamnya. Rasulullah asw terbaring tidak sedarkan diri

manakala para sahabat berkubu di bawah bukit bagi menyekat serangan kaum musyrikin.

Terselamatlah Islam dengan terselamatnya utusan Allah dan penulis telah melawat gua ini.

Memang benar kata orang, bau yang harum dapat dirasai sehingga ke hari ini.

Masjid Al-Qiblatain

Masjid ini merupakan tempat mengerjakan solat bagi Bani Salamah terletak kira-kira di barat

laut Kota Madinah. Masjid ini diberi nama Qiblatain sempena peristiwa turunnya wahyu dari

Allah swt agar Rasulullah saw menukarkan qiblatnya dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram.

7

Peristiwa turunnya ayat wahyu Allah saw ketika Baginda sedang solat zohor pada rakaat yang

kedua. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 144”Maka sesungguhnya kami akan

memalingkan kamu ke arah kiblat yang kamu sukai, oleh itu palingkanlah mukamu ke aras

masjidil haram...”

Rasulullah saw segera mengubah arah kiblat dengan berpusing ke belakang (180 darjah) lalu

mengadap ke baitullah berbetulan dengan al-Mizan (Pancur Emas).Lantaran itu, pada waktu

asar semasa di Masjid Nabawi, Rasullah saw membetulkan kiblatnya setentang dengan Masjidil

Haram.

Masjid Tujuh atau Khanda`

Salah satu tempat yang perlu dilawati oleh jemaah haji ialah masjid tujuh atau tempat

berlakunya perang khanda`. Masjid tujuh ini terletak di atas Bukit Sila`.Tujuh Masjid ini dibina

di atas tujuh khemah perkubuan sahabat.

Perang Khanda` ini berlaku pada bulan syawal tahun ke lima hijrah. Rasulullah saw menerima

pandangan Salman al-Farisi untuk membina parit besar. Panjangnya lebih kurang 2.5 km,

lebarnya empat meter dan dalamnya tiga meter.

Musyrikin Makkah datang dari arah selatan Kota Madinah tetapi terpaksa menuju ke utara kota

ini kerana bahagian selatan dipenuhi oleh bukit-bukau. Strategi Khanda` inilah yang

digunakan oleh Rasulullah saw untuk menentang tentera Ahzab.

Ketika saat genting inilah Yahudi Bani Quraizah mengkhianati Nabi saw. Nabi memerintah

sekumpulan sahabat memerangi mereka. 600 sahabat diketuai oleh Saidina Ali mengepung

dan menawan mereka.

8

Ketika tiada perubahan dan saat semakin genting, tiada apa-apa perubahan beberapa sahabat

termasuk Salman dan seorang sahabat lagi yang baru masuk Islam memohon keizinan

Rasulullah saw untuk memecah-belahkan musuh dengan meniupkan perasaan curiga

mencurigai. Apakah jaminan engkau bahawa kaum musyrikin tidak akan meninggalkan engkau

jika mereka kalah memerangi Muhammad kata sahabat ini. Pemimpin Bani Quraizah pantas

meminta jaminan kepada Abu Sufian. Sebelum itu, Abu Sufian telah dihasut bahawa Bani

Quraizah telah belot kepada Rasulullah dan akan datang meminta jaminan. Maka sahlah

khabar dari sahabat nabi ini maka mulalah terpecahnya benteng kepercayaan tentera Ahzab.

Sementara itu, Rasululah saw berulang-alik ke tempatnya bermunajat. Kali ketiga Rasulullah

saw bermunajat lalu baginda bersembahyang dua rakaat memohon pertolongan Allah.

Lantaran itu, Allah kabulkan permintaan baginda lalu dikirimkan ribut pasir sehingga kaum

musyrikin ketakutan dan bertempiaran lari ke Makkah.

Rumusan.

Demikianlah, kisah-kisah tempat bersejarah yang boleh dilawati oleh bakal-bakal haji.

Terdapat banyak lagi tempat bersejarah dan menarik untuk dilawati dan dihayati kisahnya oleh

bakal-bakal haji di antaranya perigi Uthman yang berhampiran dengan Masjid Quba` dan

Khal`ah berhampiran masjid Jumuah.

Semoga menziarahi Madinah ini menepati hadith Nabi yang bermaksud: kembalinya iman di

Madinah itu seperti kembalinya ular ke sarang. Wallahu a`lam.

Penulis : Haji Mohd Razali bin Zakaria

Pengurus (Penerbitan Haji)

Lembaga Tabung Haji