View
15.203
Download
4
Category
Preview:
DESCRIPTION
Citation preview
SEKOLAH KEBANGSAAN BANDAR
114 JALAN OMAR
81900 KOTA TINGGI
JOHOR
Nama Pengkaji
ZAMATUN NASRAH BINTI MARWAN
Tajuk Kajian
MENINGKAT PENGUASAAN MURID DALAM OPERASI DARAB
NOMBOR TIGA DIGIT DENGAN DUA DIGIT YANG MELIBATKAN
PENGUMPULAN SEMULA
1.0 PENGENALAN
1.1 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU
Sebagai seorang guru matematik, saya dapati empat orang murid daripada Tahun 5 Abu Daud
tidak dapat menjawab latihan yang diberikan dengan betul terutama sekali soalan yang melibatkan
pendaraban nombor tiga digit dengan dua digit yang melibatkan pengumpulan semula. Apabila saya
bertanyakan kepada murid, bahagian topik yang mereka rasa amat mengelirukan dan tidak boleh
dijawab, mereka menyatakan bahawa mereka langsung tidak faham tentang apa yang dipelajari dalam
bab ini. Jawapan murid yang saya terima ini memberikan saya satu tamparan yang hebat sebagai
seorang guru matematik. Saya rasakan penyampaian saya dalam pengajaran dan pembelajara kurang
berkesan kepada mereka. Apabila murid ini tidak dapat menjawab soalan yang yang diberikan, secara
tiadak langsung murid menjadi tidak berminat untuk menjawab dan membuat latihan yang diberikan
oleh guru. Murid ini juga tidak mahu mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran yang
dijalankan. Pada sangkaan saya, penerangan bersama contoh, aktiviti dan penekanan beserta
penyertaan murid dan latihan latih tubi yang diberikan di dalam bilik darjah sudah cukup untuk murid
ini menguasai konsep ini. Sangkaan ini meleset apabila mendapati masih ada murid yang belum dapat
menguasainya.
Daripada masalah yang saya hadapi ini, timbul pelbagai persoalan di dalam minda. Apakah
yang patut saya lakukan untuk membantu murid mempelajari dan menguasai topik ini? Apakah
tindakan yang boleh saya ambil untuk mengatasi masalah ini? Saya telah berusaha dalam memberikan
contoh yang banyak dalam pelbagai bentuk kepada murid tetapi masalah ini masih belum dapat
diselesaikan. Ini membuatkan saya teruja untuk mengkaji permasalahan ini. Tajuk ini menjadi tajuk
kajian tindakan yang bakal saya jalankan.
1.2 SOALAN KAJIAN
Sejauh mana penggunaan alatan Pistol dan Tukul ini akan dapat membantu murid-murid
tahun 5 Abu Daud ini untuk memperbaiki tahap penguasaan murid-murid ini di dalam
operasi darab tiga digit dengan dua digit yang melibatkan pengumpulan semula.
1.3 OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian ini selesai dijalankan, murid-murid diharap akan mencapai objektif
berikut:
1.3.1 OBJEKTIF UMUM
Meningkatkan penguasaan murid dalam operasi darab.
1.3.2 OBJEKTIF KHUSUS
1.3.2.1 Meningkatkan penguasaan murid dalam operasi darab bagi nombor
tiga digit dengan dua digit yang melibatkan pengumpulan semula.
1.3.2.2 Menimbulkan minat murid-murid terhadap mata pelajaran Matematik
dan kemahiran mendarab.
1.3.2.3 Mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang ceria dan
harmonis.
1.4 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian ini diharapkan dapat membantu guru-guru khususnya, ibubapa dan pihak
sekolah dalam menyediakan pelbagai kaedah pembelajaran seperti Kaedah Pistol dan Tukul
supaya pelajar dapat melalui dan merasai peluang belajar yang seronok dan bermakna.
Menurut Mahmud (2001), adalah perlu aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan
kaedah yang sesuai supaya dapat digunakan di kalangan murid-murid yang lemah bagi
menarik minat mereka dalam mata pelajaran matematik. Dengan adanya maklumat ini juga
dapatlah guru mengubahsuai kaedah pengajaran dan pembelajaran mereka agar murid dapat
mempelajari matematik dengan lebih seronok dan bermakna .
Adalah diharapkan penemuan awal kajian ini dapat dijadikan asas perancangan
pendidikan kepada pihak-pihak yang terlibat dengan pengurusan pendidikan khususnya
Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPN Johor), pejabat-pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah-
sekolah. Sebagai usaha lanjutan, pihak yang relevan dan bertanggungjawab dapat
menyambung usaha ini dengan bekerjasama dengan membantu pihak Jabatan Pelajaran
Peringkat Negeri Johor dan Daerah mengatasi masalah pembelajaran Matematik, terutamanya
bagi sekolah-sekolah di luar bandar yang serba kekurangan dan lemah pula dalam mata
pelajaran Matematik.
Dengan menggunakan data-data dan penemuan kajian sebagai landasan untuk
memulakan sesuatu usaha bagi memahami faktor dalaman diri pelajar seperti faktor sikap.
Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pula
dapat menjadikan dapatan kajian, untuk menganalisis dan menilai kurikulum Matematik yang
sedia ada.
Daripada analisis yang dibuat, satu penilaian yang lebih tepat dapat dilakukan
terhadap keupayaan kurikulum Matematik bagi meningkatkan profisiensi murid-murid dalam
mata pelajaran ini.
Adalah menjadi tanggungjawab Pusat Perkembangan Kurikulum untuk merangka satu
sukatan pelajaran dan modul-modul pembelajaran yang lebih menarik dan dinamik sifatnya
selaras dengan prinsip-prinsip psikologi pembelajaran supaya dapat membentuk sikap yang
positif dan meningkatkan motivasi murid dan guru terhadap pengajaran Matematik pada
masa kini.
Kepada guru-guru, dapatan kajian seumpama ini dapat menjadi sebahagian daripada
sumber data untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran., khususnya dalam
mata pelajaran Matematik. Hakikatnya bahawa mata pelajaran Matematik di sekolah
merupakan antara pelajaran yang kurang diminati dan menimbulkan kebosanan. Ianya
bukanlah lagi satu rahsia khususnya pelajar-pelajar di luar bandar. Tambahan pula, sekarang
Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris, ini tentu membebankan lagi murid-murid. Jika
fenomena ini dibiarkan berterusan murid-murid semakin tidak bermotivasi dan akan
membentuk sikap dan tanggapan yang negatif terhadap mata pelajaran Matematik.
Dapatan kajian ini akan menjadi maklum balas bagi tujuan merancang pengajaran dan
pembelajaran yang lebih bermakna. Dalam konteks ini guru dapat menumpukan aspek
metodologi dan psikologi yang utama untuk membentuk sikap yang positif dan meningkatkan
motivasi murid-murid terhadap mata pelajaran Matematik.
1.5 FOKUS KAJIAN
Kefahaman tentang sesuatu konsep dan minat adalah penting dalam sesuatu pembelajaran.
Howard Gardner (1983) ada mengatakan tentang ketidak serasian antara kaedah mengajar dengan
profil kecerdasan murid boleh menyebabkan seseorang murid itu gagal atau hilang minat terhadap
sesuatu mata pelajaran. Bagi pendapat saya, kaedah pengajaran guru Matematik itu boleh diperbaiki
dari semasa ke semasa mengikut profil kecerdasan murid di dalam bilik darjah. Namun, jika murid
hilang minat terhadap sesuatu mata pelajaran amat merbahaya kepada diri seseorang murid itu
khususnya dan sekolah amnya. Saya berasa amat yakin jika saya dapat membantu meningkatkan
kefahaman serta minat murid terhadap pelajaran ini atau sekurang-kurangnya mengekalkan minat
sedia ada.
Selain daripada itu, guru Matematik yang mengajar kelas tersebut dapat meneruskan proses
proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan pelbagai pendekatan di dalam
bilik darjah dan seterusnya meningkatkan prestasi akademik murid Tahun 5 Abu Daud dalam
mata pelajaran Matematik.
Fokus kajian kes saya ini ialah untuk menyelesaikan masalah murid saya yang gagal dalam
menyelesaikan masalah pendaraban nombor tiga digit dengan dua digit yang melibatkan pengumpulan
semula kepada empat orang murid Tahun 5 Abu Daud di Sekolah Kebangsaan Bandar, Kota Tinggi.
Kemahiran mendarab adalah amat penting dalam Matematik. Jika ia tidak dapat dikuasai oleh
murid , mereka akan menghadapi kesulitan dalam menjawab soalan pendaraban dan soalan-soalan
yang berkaitan dalam tempoh masa akan datang. Dengan membantu murid untuk menguasai konsep
ini, pelajar akan dapat menunjukkan minat yang mendalam ketika membuat latihan atau aktiviti bagi
topik ini dan dapat menjawab soalan yang diberikan dengan betul dalam ujian dan peperiksaan
sekolah.
2.0 TINJAUAN LITERATURE
Kepentingan Matematik
Matlamat wawasan negara dapat dicapai melalui masyarakat yang berilmu
pengetahuan dan berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik. Antara usaha ke
arah mencapai wawasan ini, perlu memastikan masyarakat membudayakan matematik dalam
kehidupan seharian. Justeru itu, kemahiran penyelesaian masalah dan berkomunikasi dalam
matematik perlu dipupuk supaya dapat membuat keputusan dengan berkesan. Matematik
merupakan jentera atau penggerak kepada pembangunan dan perkembangan dalam bidang
sains dan teknologi. Dengan itu, penguasaan ilmu matematik perlu dipertingkatkan dari
semasa ke semasa bagi menyediakan tenaga kerja yang sesuai dengan perkembangan dan
keperluan membentuk sebuah negara maju. Selaras dengan hasrat untuk mewujudkan sebuah
negara yang berorientasikan ekonomi berasaskan pengetahuan, kemahiran penyelidikan dan
pembangunan dalam bidang matematik perlu dibina dari peringkat sekolah.
Di Malaysia dan di seluruh dunia, matematik telah dikenal pasti sebagai satu mata
pelajaran yang penting dan oleh kerana itu, ia diajar di semua peringkat pendidikan. Namun,
matematik terkenal sebagai mata pelajaran yang tidak menarik, kering, sukar dan
membosankan jika dibandingkan dengan mata pelajaran lain seperti bahasa, sastera, latihan
fizikal (Aplin dan Saunders,1996; Lee dan Cockman, 1995) dan juga sains (Allchin, 1999;
Tan, 1997; Proctor, 1991). Masalah ini didapati berpunca salah satunya, daripada cara pelajar
melihat matematik.
Matematik dilihat sebagai mata pelajaran yang tidak mempunyai kaitan secara
langsung dengan kehidupan seharian dan ini menyebabkan perbincangan tentang mata
pelajaran ini menjadi kaku. Fakta-fakta yang dibincangkan dianggap asing, seolah-olah ia
berada di satu dunia yang lain.
Bagi menjadikan mata pelajaran ini menarik, bermakna dan berguna, ramai penyelidik
masa kini (seperti Chien Chin dan Fou Lai Lin, 2001; Seligman, Olson, dan Zanna, 1996;
Taplin, 2002) berpendapat aspek nilai matematik perlu disemai dan diberi penekanan dalam
pengajaran matematik. Ini kerana nilai matematik membangkitkan rasa keindahan terhadap
matematik, membangkitkan kefahaman tentang kepentingan matematik dan dapat membantu
seseorang menguasai kekuatan matematik dengan lebih baik (National Council of Teachers
of Mathematics, 1989; Kementerian Pendidikan Malaysia, 1998).
Kebolehan menyelesaikan masalah matematik merujuk kepada kemampuan murid
menyelesaikan masalah matematik yang merangkumi masalah rutin dan masalah bukan rutin.
Menurut Aziz (2002), sekiranya penyelesaian masalah hanya mengaplikasikan algoritma
yang telah dipelajari, maka ia disebut sebagai masalah rutin. Manakala sekiranya seseorang
murid perlu berfikir secara mendalam untuk mengaplikasikan konsep asas matematik untuk
menyelesaikan masalah yang diberikan, ia dinamakan masalah bukan rutin. Masalah yang
berkait dengan kurikulum sekolah rendah lazimnya merupakan masalah rutin yang berbentuk
masalah bersimbol dan masalah berayat (Ong & Yoong, 2003).
Menurut Noor Azlan (1995), dalam sejarah perkembangan pendidikan matematik di
Malaysia, kurikulum mata pelajaran itu telah mengalami banyak perubahan sejak merdeka
hingga sekarang. Kementerian Pelajaran Malaysia peka terhadap kualiti pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah. Banyak usaha telah dijalankan untuk meningkatkan mutu
pengajaran dan pembelajaran matematik. Justeru, pihak kerajaan telah memperkenalkan
pelbagai pendekatan yang kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kebolehan murid dalam
menyelesaikan masalah matematik.
Bukan semua kanak-kanak yang tidak pandai di dalam kelas malas belajar ataupun
tidak bersungguh-sungguh semasa belajar. Sebenarnya terdapat berbagai faktor yang
menjadikan mereka demikian. Faktor lain yang menyebabkan kanak-kanak lemah atau tidak
pandai terutamanya dalam mata pelajaran matematik ialah disebabkan pengajaran guru yang
sangat biasa.
Menurut Brooks (1993) lima amalan guru yang biasa dilakukan dalam pengajaran
Matematik ialah :
I. guru menyampaikan pengetahuan matematik dan pelajar dihasratkan meniru apa-apa
yang disampaikan.
II. guru bergantung pada buku teks sebulat-bulatnya dalam pengajaran di bilik darjah.
III. pembelajaran secara koperatif jarang atau tidak dilaksanakan.
IV. kemahiran berfikir di kalangan pelajar tidak diberi keutamaan.
V. pelajar tidak digalakkan untuk membina pengetahuan tetapi dikehendaki menguasai
pengetahuan matematik yang mantap dan tetap.
Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Pendidikan Matematik
Pelbagai perubahan yang berlaku mempengaruhi kandungan dan pedagogi dalam
pendidikan matematik di sekolah menengah. Perubahan ini memerlukan kepelbagaian cara
matematik diajar di sekolah.
Penggunaaan sumber untuk membantu murid membentuk konsep-konsep matematik
adalah sesuatu yang amat perlu. Guru perlu menggunakan objek sebenar atau objek konkrit dalam
pengajaran untuk memberikan pengalaman dan membantu murid membina idea-idea yang
abstrak, mereka cipta, membina keyakinan diri, menggalakkan sifat berdikari dan memupuk
sikap bekerjasama.
Bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan mengandungi unsur diagnostik
kendiri supaya murid dapat mengenal pasti sejauh mana mereka telah memahami sesuatu
konsep dan kemahiran yang telah dipelajari.
Penerapan unsur sejarah matematik perlu diberi penekanan sewajarnya dalam usaha
untuk mewujudkan murid yang menghargai dan menghayati keindahan matematik. Unsur
sejarah seperti riwayat hidup dan peristiwa tertentu tentang ahli-ahli matematik atau sejarah
ringkas tentang sesuatu konsep dan simbol dapat merangsang lagi minat murid terhadap
sesuatu tajuk itu.
Bagi membantu murid membentuk sikap dan sahsiah yang baik, nilai-nilai intrinsik
matematik seperti kejituan, keyakinan dan pemikiran bersistem perlu diterapkan sepanjang
kursus pengajian ini. Di samping itu, nilai-nilai murni boleh diterapkan dalam konteks yang
sesuai secara bersahaja tetapi terancang. Misalnya, pembelajaran secara kumpulan boleh
membantu murid menerap kemahiran sosial serta memupuk sikap kerjasama dan membina
keyakinan diri terhadap matematik.
Dalam mata pelajaran matematik, unsur patriotisme boleh dipupuk dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah secara terancang melalui tajuk-tajuk yang diajar.
Penekanan yang dibuat adalah secara merentas kurikulum melalui pendekatan menyeluruh dan
bersepadu.
Kepelbagaian pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh digunakan untuk
memastikan murid menguasai apa yang telah dipelajari. Pendekatan yang dipilih perlu
mempertimbangkan perkara-perkara berikut
• Kaedah mengajar yang menarik dan berpusatkan murid.
• Tahap kebolehan dan gaya pembelajaran murid untuk memahami sesuatu
perkara.
• Penggunaan bahan bantu belajar yang sesuai dan berkesan.
• Penilaian formatif untuk menentukan keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran.
Pemilihan sesuatu pendekatan yang bersesuaian akan dapat merangsang suasana
pengajaran dan pembelajaran di dalam mahu pun di luar bilik darjah.
Dalam proses untuk membantu murid-murid ini menguasai mata pelajaran Matematik
khususnya dalam kemahiran mendarab tiga digit dua digit dengan mengumpul semula,
pendekatan yang difikirkan sesuai ialah pendekatan konstruktivisme.
Konstruktivisme merupakan satu teori mengenai pengetahuan dan pembelajaran yang
menarik minat, memotivasikan serta memudahkan pemahaman pelajar. Disamping itu,
konstruktivisme menyarankan kanak-kanak membina pengetahuan secara aktif berdasarkan
pengetahuan sedia ada mereka. Saunders (1992) juga menjelaskan bahawa konstruktivisme
ialah suatu proses di mana seseorang membina kefahamannya sendiri terhadap sesuatu ilmu
yang telah dipersembahkan kepadanya dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan
lepas yang diadaptasikan olehnya. Dalam pendekatan konstruktivisme ini, persekitaran
pembelajaran berpusatkan murid-murid menjadi asas yang penting dan guru bertindak
sebagai fasilitator.
Menurut http://www.my-rummy.com dalam matematik, kanak-kanak biasanya akan
diajar dengan menggunakan benda-benda konkrit supaya mereka memperolehi pengalaman
yang akan diguna pakai untuk dikaitkan dengan pembelajaran matematik yang akan dipelajari
pada masa yang akan datang.
Implikasi daripada pendekatan konstruktivisme ini, dapatlah dinyatakan bahawa:
a) pengajaran dan pembelajaran adalah berpusatkan murid.
b) guru berperanan sebagai fasilitator yang membantu murid membina pengetahuan
dan menyelesaikan masalah.
c) guru berperanan sebagai pereka bentuk bahan pengajaran yang menyediakan
peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru.
d) guru akan mengenal pasti pengetahuan sedia ada murid dan merancang kaedah
pengajarannya dengan sifat asas pengetahuan tersebut.
e) pengetahuan yang dipunyai oleh murid adalah hasil daripada aktiviti yang
dilakukan oleh murid tersebut dan bukan pengajaran yang diterima secara pasif.
Kesimpulannya pendekatan konstruktivisme adalah seperti yang dinyatakan oleh
Nik Aziz Nik Pa dalam Pusat Perkembangan Kurikulum (2001), konstruktivisme adalah tidak
lebih daripada satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuan
sendiri. Ini bermakna bahawa sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang individu
adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh indidvidu tersebut dan bukan sesuatu
maklumat atau pengajaran yang diterima secara pasif daripada luar. Pengetahuan tidak boleh
dipindahkan daripada pemikiran seseorang individu kepada pemikiran individu yang lain.
Sebaliknya, setiap insan membentuk pengetahuan sendiri dengan menggunakan
pengalamannya secara terpilih.
Pendekatan Konstrukvisme
Antara pelopor konstruktivisme ialah Piaget (1970), Brunner dan Brand (1966),
Dewey (1938) dan Ausubel (1963). Menurut Caprio (1994), McBrien dan Brandt (1997) dan
Nik Aziz (1999), kelebihan teori konstruktivisme ialah murid-murid berpeluang membina
pengetahuan secara aktif melalui proses saling pengaruh antara pembelajaran terdahulu
dengan pembelajaran terbaru. Perkaitan ini dibina sendiri oleh murid.
Menurut teori konstruktivisme, konsep-konsep yang dibina pada struktur kognitif
seseorang akan berkembang dan berubah apabila ia mendapat pengetahuan atau pengalaman
baru. Rumelhart dan Norman (1978) menjelaskan seseorang akan dapat membina konsep
dalam struktur kognitifnya dengan menghubungkan pengetahuan baru dengan pengetahuan
yang sedia ada padanya dan proses ini dikenali sebagai accretion. Selain itu, konsep-konsep
yang ada pada seseorang boleh berubah selaras dengan pengalaman baru yang dialaminya
dan ini dikenali sebagai penalaan atau tuning. Seseorang juga boleh membina konsep-konsep
dalam struktur kognitifnya dengan menggunakan analogi, iaitu berdasarkan pengetahuan
yang ada padanya. Menurut Gagne, Yekovich dan Yekovich (1993) konsep baru juga boleh
dibina dengan menggabungkan konsep-konsep yang sedia ada pada seseorang dan ini
dikenali sebagai parcing.
Pendekatan konstruktivisme sangat penting dalam proses pembelajaran kerana murid
digalakkan membina konsep sendiri dengan menghubungkaitkan perkara yang dipelajari
dengan pengetahuan sedia ada pada mereka. Dalam proses ini, murid dapat meningkatkan
pemahaman mereka tentang sesuatu perkara.
Kajian Sharan dan Sachar (1992, disebut dalam Sushkin, 1999) membuktikan bahawa
kumpulan murid yang diajar menggunakan pendekatan konstruktivisme telah mendapat pencapaian
yang lebih tinggi dan signifikan berbanding kumpulan murid yang diajar menggunakan pendekatan
tradisional. Kajian Caprio (1994), Nor Aini (2002), Van Drie dan Van Boxtel (2003), Curtis (1998),
dan Lieu (1997) turut membuktikan bahawa pendekatan konstruktivisme dapat membantu murid
untuk mendapatkan pemahaman dan pencapaian yang lebih tinggi dan signifikan.
Teori konstruktivisme menjelaskan kepada kita bagaimana konstruktivisme membantu murid
membina sendiri makna sesuatu pengetahuan berasaskan pengetahuan sedia ada mereka. Pengetahuan
itu diaplikasikan dengan persekitaran mereka.
Banyak jurnal telah menerbitkan intipati kajian dalam bidang konstruktivisme, antaranya ialah
Needham (1987), Caprio (1994), dan Beybee (1993). Oleh yang demikian, kajian ini memberikan
tumpuan terhadap kesan penggunaan pendekatan konstruktivisme dalam pengajaran mata pelajaran
Matematik. Pendekatan konstrutivisme dipilih kerana terdapat persamaan antara mata pelajaran
Matematik dengan Sains, iaitu pelajar harus memahami konsep dan fakta
Teori Konstruktivisme
Teori konstruktivisme merupakan satu pandangan baru tentang ilmu pengetahuan dan
bagaimana manusia memperoleh ilmu. Pembelajaran berasaskan teori konstruktivisme telah
digunakan secara meluas dalam mata pelajaran Sains. Menurut Susan (1994), konstruktivisme bukan
satu konsep yang baru. Konstruktivisme memang telah lama diamalkan dalam bidang falsafah,
sosiologi dan antropologi, psikologi dan pendidikan. Beliau menambah, teori konstruktivisme ialah
satu teori pembelajaran yang sangat dominan dalam sistem pendidikan terutamanya dalam mata
pelajaran Sains dan Matematik mulai tahun 1980-an. Penggunaan teori konstruktivisme sangat
penting kerana ia merupakan satu perubahan paradigma daripada pendekatan behaviourisme kepada
pendekatan yang berasaskan teori kognitif.
Selain itu, ia boleh digunapakai bagi guru untuk menjalankan aktiviti yang berpusatkan
murid.
Pengajaran Berpusatkan Murid (Student Centre Learning)
Pembelajaran merupakan suatu proses yang berlaku dalam akal fikiran atau lebih
dikenali sebagai kognitif dan kesan dari proses ini akan dapat dilihat melalui perubahan
dalam tingkah laku dan percakapan. Di dalam proses pembelajaran pelbagai kaedah serta
teori telah diutarakan bagi memastikan proses pembelajaran ini akan lebih berkesan kepada
murid-murid serta para pelajar. Salah satu teori yang ditemui ialah teori konstruktif.
Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) berdasarkan konstruktif ini menyeimbangkan peranan
guru dan pelajar untuk saling bersandar di antara satu sama lain. Peranan guru hanya dilihat
sebagai pengawal bilik darjah selain mereka seharusnya menerima murid-murid sebagai
individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza. Melalui teori ini ia dapat
membuka ruang serta peluang kepada guru untuk memilih kaedah yang sesuai dalam
memperolehi sesuatu konsep dan pengetahuan.
Pengajaran berpusatkan murid adalah suatu kaedah untuk meningkatkan penglibatan
murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan bertujuan untuk menggalakkan murid
menjadi aktif dan tidak pasif, meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi, menambahkan
keyakinan diri, memberi murid peluang membuat penyampaian dan bercakap, menggalakkan
murid menghasilkan idea dan memberi pendapat, menggalakkan murid membina ilmu dan
mewujudkan suasana kerjasama di kalangan murid.
Saya memilih konsep berkenaan kerana sebagai guru yang bijak melaksanakan
tugasnya seharusnya bijak mencari ruang dan peluang utuk memilih kaedah mengajar yang
sesuai dalam memperolehi sesuatu konsep dan pengetahuan. Menurut Borich & Tombari
(1997)-Educational Phychology, A Contemporary Approach halaman 177 menyebut:
“Constructivisme...an approach to learning in which learners are provided the opportunity
to construct their own sense of what is being learned by building internal or relationship
among the ideas and fact being taught”.
Petikan ini dapat difahami sebagai pendekatan pembelajaran yang menyediakan
peluang kepada pelajar untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan
mewujudkan jaringan antara idea serta fakta yang sedang diajar atau dipelajari. Konsep ini
dapat di kaitkan dengan pengajaran kepelbagaian pelajar melalui idea yang dikupas daripada
teori konstruktivisme.
Konstruktif atau konstruktivisme adalah pendekatan yang memberi hak dan peluang
untuk murid-murid belajar untuk belajar (learn how to learn) dengan membina makna dan
kefahaman yang tinggi dalam kerangka minda masing-masing. Berdasarkan kepada
pengalaman dan persekitaran yang sedia ada. Keadaan ini menuntut agar guru lebih prihatin
terhadap keperluan dan kehendak murid secara individu. Walaupun begitu konstruktivisme
merupakan suatu anjakan yang perlu diaplikasikan bertujuan untuk memberi peluang dan
membuka ruang kepada murid di dalam merealisasikan dalam kehidupan seharian mereka.
Selain itu, pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme memberi peluang
kepada guru untuk memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan
menentukan sendiri masa yang diperlukan untuk memperolehi sesuatu konsep atau
pengetahuan. Di samping itu, guru dapat membuat penilaian kendiri dan menilai kefahaman
orang lain supaya kefahamannya tentang sesuatu bidang pengetahuan dapat ditingkatkan lagi.
3.0 KUMPULAN SASARAN
Kumpulan sasaran saya terdiri daripada empat orang murid Tahun 5 Abu Daud yang didapati
mempunyai masalah mendarab nombor tiga digit dengan dua digit yang melibatkan pengumpulan
semula. Murid-murid ini adalah dari kalangan murid-murid yang sederhana dan berumur dalam
lingkungan 11 tahun.
4.0 TINDAKAN YANG DICADANGKAN
4.1 TINJAUAN MASALAH
Tinjauan terhadap masalah mengenalpasti kelemahan mereka. Langkah
pembetulan hanya dilakukan berdasarkan tinjauan yang dijalankan terhadap
mereka. Tinjauan dilakukan adalah berdasarkan kepada beberapa cara :-
4.1.1 Pemerhatian
Saya akan menggunakan kaedah pemerhatian dalam kajian ini. Pemerhatian
ini dibuat semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah,
melalui respon kepada soalan-soalan yang diajukan, latihan bertulis yang
dibuat di dalam buku tulis dan juga lembaran kerja dan ujian pra. Ia juga
tidak dirakamkan dalam audio tape.
Pemerhatian ini tidak dijadualkan secara formal kerana ia berlaku
secara spontan di dalam bilik darjah. Walaubagaimana pun, catatan perlu
dibuat bagi menjawab pelbagai persoalan iaitu Who, What, When, Where,
Why dan How.
4.1.2 Temu Bual
Kaedah lain yang saya gunakan ialah melalui temu bual yang mana ia
dilakukan secara tidak formal terhadap murid-murid kumpulan sasaran. Temu
bual ini secara tidak langsung dapat mengenali punca sebenar murid tidak
dapat menguasai kemahiran mengingat dan menghafal. Ianya dilakukan
secara rambang terhadap murid-murid yang saya dapati mempunyai masalah
dalam mendarab tiga digit dengan dua digit.
Antara soalan-soalan yang akan dikemukakan ialah:
Adakah kamu meminati mata pelajaran Matematik?
Bolehkah kamu membaca sifir 12?
Bagaimanakan kamu mendarab nombor tiga digit dengan dua digit?
Adakah kamu rasa kaedah yang saya ajar ini mudah atau sukar?
4.1.3 Soal Selidik
Boring soal selidik disediakan dan diedarkan kepada murid-murid untuk
mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan mata pelajaran Matematik
dan mendarab nombor tiga digit dengan dua digit yang melibatkan
pengumpulan semula. Borang ini diisi oleh murid-murid untuk mendapatkan
maklumat yang tepat.
4.1.4 Ujian Pra
Ujian pra dijalankan untuk menguji tahap sebenar pencapaian murid-murid
dalam tajuk ‘Pendaraban Nombor Bulat Hingga 1 000 000’. Ujian pra
dijalankan sebelum sesi bimbingan bermula. Soalan Ujian Pra terdiri
daripada 10 soalan subjektif dan murid-murid dikehendaki menunjukkan
jalan kerja mengira di atas kertas ujian tersebut. Ianya adalah menggunakan
kaedah “Kertas dan Pensel”. Tempoh masa menjawab adalah 30 minit.
Murid-murid ini akan dipanggil dan ditempatkan di dalam sebuah
bilik darjah untuk menjalankan ujian pra ini. Jarak tempat duduk di antara
murid ditetapkan iaitu dalam jarak empat kaki untuk mengelakkan mereka
daripada meniru di dalam ujian tersebut. Murid-murid ini akan diingatkan
bahawa mereka tidak dibenarkan untuk meniru kerana ia akan menyebabkan
hasil dapatan daripada ujian pra ini akan diragui.
4.2 AKTIVITI “PISTOL DAN TUKUL”
4.2.1 Kaedah Pelaksanaan
Aktiviti ini merupakan aktiviti berkumpulan yang melibatkan aktiviti murid.
4.2.1.1 Aktiviti 1 : Membina pistol dan tukul
Setiap murid akan menggunakan empat helai kertas lutsinar
yang berlainan warna.
Murid perlu membuat kotak yang sama besar pada setiap
kertas tersebut.
Murid melakar pistol dan tukul dengan menggunakan dua
helai kertas lutsinar yang berlainan warna.
Kemudian, ianya digunting.
Guntingkan bahagian tengah setiap kotak untuk dijadikan
lubang nombor.
ContohContoh ::
Hammer
Pistol
Dengan menggunakan kertas lutsinar yang lain, lakarkan
tangga dan kotak jawapan. Buat dan guntingkan lubang di
bahagian tengah kotak.
4.2.1.2 Aktiviti 2 : Mengisi nombor dan menyelesaikan operasi darab.
Setelah pistol dan tukul dibina, murid akan memulakan
aktiviti kedua dengan mengisi nombor dan menyelesaikan
masalah hasil darab nombor 3 digit dengan 2 digit.
o Langkah 1: guru memberikan soalan dalam bentuk
ayat matematik untuk diselesaikan oleh murid.
Contoh:
246 x 12 = ?
o Murid akan mula mengisi nombor pada pistol
dahulu.
Tangga
Kotak Jawapan
o Cara untuk mengisi nombor ialah dengan meletakkan
“pistol” di atas sehelai kertas dan mulakan dengan
mengisi nombor di dalam kotak “pistol”. Kemudian
cari hasil darabnya.
o Langkah 2: Setelah selesai mencari jawapan pada
“pistol”, letakkan bentuk “tukul” pada kertas yang
sama, dengan bertindih pada “pistol”.
o Murid akan mula mengisi nombor dan
menyelesaikan jawapannya. Pada langkah ini, murid
hanya perlu mengisi satu nombor sahaja lagi kerana
barisan nombor pertama telah diisi dalam bentuk
“pistol”.
o Langkah 3 : Setelah jawapan “pistol” dan “tukul”
dapat diselesaikan, murid akan menggunakan bentuk
“stairs” untuk diisikan dengan jawapan yang telah
dibuat.
o Langkah akhir ialah menggunakan kotak jawapan.
Murid akan mencari hasil tambah bagi jawapan
“pistol” dan “tukul”. Jawapan ini akan diisikan ke
dalam kotak jawapan.
5.0 JADUAL PELAKSANAAN KAJIAN
BIL AKTIVITI TARIKH
PELAKSANAAN
1 Mengenal pasti masalah dan pengumpulan data awal 1 minggu
2 Menulis proposal kajian 2 minggu
3 Merancang tindakan 1 minggu
4 Ujian Pra 1 hari
5 Melaksanakan tindakan 1 hari
6 Membincangkan masalah yang timbul dalam tindakan 1 minggu
7 Ujian Pos 1 hari
8 Refleksi kajian 1 minggu
9 Menulis laporan kajian 2 minggu
10 Pembentangan dapatan kajian 1 minggu
6.0 JUMLAH PERUNTUKAN YANG DIPOHON
BIL JENIS BAHAN
KUANTITI X HARGA
SEUNIT
JUMLAH
KOS
1 Kertas A4 2 x RM 8.90 RM 17.80
2 4 helai kertas transparent yang berlainan
warna
4 x RM 5.00 RM 20.00
3 Printer Cartridge 1 x RM 75.00 RM 75.00
4 Fotokopi bahan dan laporan kajian - RM 50.00
5 Buku Catatan 1 x RM 3.50 RM 3.50
JUMLAH RM 166.30
SOALAN KAJI SELIDIK
Jantina: L/P
Bulatkan jawapan mengikut skala:
1-Amat Tidak Setuju 2-Tidak Setuju 3-Setuju 4-Amat Setuju
Item Skala
1) Matematik adalah mata pelajaran yang saya minati. 1 2 3 4
2) Saya seronok belajar operasi darab dalam matematik. 1 2 3 4
3) Saya selalu membuat latihan pendaraban sendiri di rumah. 1 2 3 4
4) Semakin banyak saya mempelajari operasi darab dalam
matematik, saya semakin menyukainya.
1 2 3 4
5) Saya berasa bangga apabila dapat menjawab soalan operasi
darab dengan betul.
1 2 3 4
6) Saya akan cuba menjawab semua soalan operasi darab yang
diberikan.
1 2 3 4
7) Saya telah menghafal sifir 1 hingga sifir 12. 1 2 3 4
8) Saya suka latihan berbentuk pendaraban dalam matematik. 1 2 3 4
9) Saya akan bertanya guru apabila menghadapi masalah dalam
pendaraban.
1 2 3 4
10) Saya selalu mengisi masa lapang dengan membuat latihan
tambahan soalan pendaraban.
1 2 3 4
Recommended