View
110
Download
0
Category
Preview:
Citation preview
PENGENALAN
Perkembangan ekonomi yang pesat telah menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia pada
masa ini. Setiap individu mempunyai pilihan tersendiri dalam memilih kerjaya yang bersesuaian
dan boleh mendatangkan jaminan kepada mereka pada masa hadapan. Kerjaya ibarat penentu
dalam menentukan sama ada seseorang itu berjaya dalam hidupnya atau sebaliknya. Setiap
individu mempunyai kecenderungan dan minat yang berbeza terhadap sesuatu perkara.
Begitu juga dalam pemilihan kerjaya, pilihan yang tepat perlu dibuat supaya tidak
menyesal di kemudian hari. Pemilihan kerjaya yang tepat dapat memberikan keseronokan dan
kepuasan kepada setiap orang. Sebaliknya, pemilihan kerjaya yang kurang tepat boleh
mendatangkan rasa bosan malah boleh memusnahkan masa depan seseorang. Oleh itu, adalah
penting bagi seseorang mengambil kira faktor-faktor yang boleh memberikan kebaikan kepada
mereka terhadap kerjaya yang dipilih.
Persediaan pelajar untuk melangkah kepada satu tahap lagi iaitu dalam kerjaya di
peringkat institusi pengajian tinggi adalah penting agar mereka berada pada jalan yang betul
berdasarkan kepada kebolehan dan kemahiran yang mereka ada untuk sesuatu bidang yang telah
dipilih. Pemilihan kerjaya ini mungkin mengambil masa yang panjang untuk pelajar memahami
apa yang sesuai mengikut kemahiran atau bakat yang mereka ada. Ibubapa juga memainkan
peranan dalam kerjaya anak mereka. Setiap ibubapa mempunyai impian yang besar terhadap
anak mereka dan sentiasa memastikan anak mereka mendapatkan yang terbaik lebih lagi
melibatkan masa depan mereka.
1
DEFINISI
Defenisi Kerjaya
Mengikut kamus dewan (1997), kerjaya adalah sebagai satu perjalanan atau kemajuan seseorang
dalam sesuatu lapangan kehidupan yang dijadikan bidang profesion atau pekerjaan pilihan
sebagai satu cara untuk mencari nafkah. Kerjaya merupakan satu perkara yang penting kepada
kehidupan seseorang. Sesuatu pekerjaan perlu dilakukan untuk mencari nafkah untuk
menanggung kos perbelanjaan kehidupan.
Menurut Sidek Mohd Noah (2002), kajian yang telah dilakukan oleh Tolbert (1994) telah
mendefinisikan kerjaya sebagai satu rangkaian pekerjaan yang melibatkan diri seseorang
individu. Sesetengah individu mungkin akan kekal dengan satu pekerjaan sahaja sepanjang
hidupnya sementara individu lain mungkin akan bertukar-tukar pekerjaan. Menurut Sidek Mohd
Noah (2002) lagi, kajian yang telah dijalankan oleh Super (1957, 1972) menjelaskan kerjaya
merangkumi persediaan-persediaan yang dilakukan oleh seseorang individu sebelum bekerja dan
juga peranan-peranan lain yang dilakukan olehnya selepas bersara.
Super juga menjelaskan bahawa kerjaya ialah satu siri keadaan yang berlaku secara
berturutan dalam kehidupan seseorang yang berkaitan dengan pemilihan kerjaya, peranan yang
dimainkan serta status seseorang itu sepanjang kehidupannya. Kerjaya adalah satu siri pekerjaan
yang dilakukan oleh seseorang individu (Nazly Hulwany, 2001).
Definisi Institusi Pengajian Tinggi
Institusi pengajian tinggi merupakan satu institusi yang menjadi penghubung antara pelajar-
pelajar dengan alam pekerjaan yang mana setiap institusi membawa persediaan yang
2
komprehensif kepada pelajar dari segi kemahiran yang spesifik dan pengetahuan yang luas
secara profesional berdasarkan kursus yang diikuti oleh pelajar. Pelajar seharusnya didedahkan
kepada alam pekerjaan yang bakal ditempuhi supaya mereka mempunyai pengetahuan kerjaya
dan pengalaman yang luas dan mampu untuk membuat persediaan (Norshahanis Abd. Karim,
2002).
Teori Pemilihan Kerjaya
Teori Anne Roe
Teori pemilihan kerjaya yang digunakan dalam kajian ini ialah teori Anne Roe yang mana
menumpukan kepada bahagian iaitu personality dan klasifikasi pekerjaan bagi melihat hubungan
semua bidang pekerjaan dengan latar belakang keluarga dan pengalaman layanan ibu bapa ketika
kanak-kanak. Mengikut teori ini pengalaman awal kanak-kanak di rumah bersama ibu bapa
merupakan asas kepada pembentukan personality dan sikap terhadap pemilihan kerjaya.
Pengalaman-pengalaman yang berkaitan dengan perhubungan pada masa lalu dengan orang lain
yang signifikan adalah penting dan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang individu (Brown
& Brooks 1984).
Mengikut Roe individu akan mewarisi kecederungan untuk menyalurkan tenaga dalaman
kearah kerjaya yang tetentu. Kecedungan tersebut biasanya dipengaruhi oleh gaya layanan yang
diterima anak-anak daripada ibu bapa mereka. Teknik-teknik asas gaya layanan ibu bapa semasa
mereka berinteraksi dengan anak-anak mereka, iaitu gaya layanan mesra ialah, dingin dan
menempu.
Terdapat tiga gaya layanan ibu bapa yang diketengahkan oleh Anne Roe iaitu gaya
layanan mesra yang mana ibu bapa yang mengamalkan gaya layanan jenis ini memberikan kasih
3
sayang yang sederhana kepada anak mereka. Namun demikian, ibu bapa tetap member perhatian
kepada anak-anak apabila ada masa lapang. Mereka bersikap sambil lewa, tetapi mempunyai
peraturan yang tidak dilaksanakan. Manakala, gaya layanan mesra pengasih pula ibu bapa ialah
anak-anak diberi kasih sayang oleh ibu bapa mereka. Anak-anak akan dibantu dalam
menyelesaikan masalah-masalah penting dan rumit. Pujian dan kebebasan yang munasabah
diberikan kepada anak-anak.
Manakala bagi ibu bapa yang mengamalkan gaya layanan dingin pula, terbagi kepada dua
iaitu dingin terabai dan juga dingin mengelak. Bagi ibu bapa yang mengamalkan gaya digin
mengabai, mereka kuran memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak. Ibu bapa
hanya member penjagaan fizikal yang minimum dan selalu tidak menepati janji. Manakala bagi
ibu bapa yang mengamalkan gaya layanan dingin mengelak biasanya bersifat lebih dingin, tidak
mengambil berat, selalu merendah-rendahkan kebolehan anak-anak dan seringkali menghina
kanak-kanak.
Bagi gaya layanan jenis menumpu pula lebih bersifat keterlaluan yang mana ibu bapa
mungkin akan besikap terlamapau melindungi atau terlampau menuntut. Bagi ibu bapa yang
mengamalkan gaya layanan terlampau melindungi akan memenuhi segala keperluan fisiologikal
anak-anak mereka. Minat anak-anak diberi perhatian, anak-anak juga turut dimanjakan namun
ibu bapa kurang member kebebasan kepada anak-anak. Pujian yang diberikan kepada anak-anak
juga berlebihan-lebihan serta seringkali mencampuri urusan anak-anak.
Bagi ibu bapa yang mengamalkan gaya layanan menumpu jenis terlampau menurut pula
sering menyediakan piawaian yan tinggi untuk diikuti oleh anak-anak. Peraturan yang dibuat
sangat keras, tegas dan anak-anak pula tidak boleh membantah ataupun memberikan pendapat.
4
Anak-anak harus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang berguna pada pandangan mereka.
Mereka juga gemar mendenda dan membatasi hubungan anak-anak dengan rakan sebaya.
Hasil daripada gaya layanan berkenaan menyebabkan Anne Roe mengemukakan lima
hipotesis untuk menghubungkaitkan gaya asuhan dengan pembentukan orientasi dan seterusnya
pemilihan pekerjaan. Ibu bapa yang bersifat melindungi, menuntut dan pengasih akan
menghasilkan anak-anak yang berkecederungan ke arah berorientasikan manusia dan begitu juga
dalam pemilihan pekerjaan. Bagi ibu bapa yang menolak, mengabai dan bersahaja akan
menghasilkan anak-anak yang bekecederungan kea rah tidak bermotivasikan manusia dan begitu
juga dalam pemilihan pekerjaan.
Bagi anak-anak yang terlampau dituntut dan terlampau dilindungi berkemungkinan
berada dalam keadaan helah bela diri dan menjadi tidak berorientasikan manusia. Bagi individu
yang berasal daripada keluarga yang ibu bapanya menolak iaitu, mengabai dan mengelak
berkemungkinan akan memilih kerjaya berorientasikan manusia dalam usaha mencari kepuasan.
Layanan dan asuhan yang mencukupi kepada anak-anak oleh ibu bapa yang pengasih dan
bersahaja di samping factor lain seperti kebolehan individu mungkin menjadikan keperluan
hubungan interpersonal lebih daripada keperluan personal.
Teori Pemilihan Kerjaya Holland.
Dalam teori pemilihan kerjaya Holland ini, tidak terdapat perkaitan ataupun campur tangan ibu
bapa dalam pemilihan kerjaya anak-anak kerana teori ini lebih berfokuskan untuk menjelaskan
tingahlaku vokasional dan idea-idea untuk menolong individu dalam pemilihan kerja, menukar
kerja serta memperoleh kepuasan bekerja ( Holland 1978, 1985, 1996). Teori ini juga
memberikan perhatian yang sewajarnya dalam membincangkan jenis personality, perubahan
5
personality, kebolehan personal, tingkahlaku kerjaya, tingkahlaku pendidikan dan tingkahlaku
social.
Sehubungan itu, Holland (1985, 1996) mencadangkan pemilihan kerjaya adalah penglahiran
perlakuan yang mencerminkan motivasi, pengetahuan, personality dan kebolehan seseorang.
Holland mengatakan bahawa pemilihan kerjaya adalah ekspresi personality individu.
Dalam teori ini pemilihan kerjaya adalah berdasarkan kepuasan kerja, pencapaian,
produktiviti dan stabiliti adalah berkadar terus dengan darjah keselerasan antara jenis personality
individu dengan jenis persekitaran tempat individu tersebut bekerja. Ini bermakna semakin
tinggi darjah keselarasan antara jenis personality dengan jenis persekitaran tempat individu
tersebut bekerja, semakin tinggi kepuasan kerja, pencapaian, produktiviti dan stabiliti.
MINI KAJIAN
Tujuan kajian
Tujuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti sejauh mana kebenaran pernyataan berikut, “parent
has a say in children career decision making.” Hasil kajian ini dapat menunjukkan kepada
pengkaji sama ada benar atau tidak pernyataan tersebut.
Persoalan kajian
Adakah benar pernyataan “parent has a say in children decision making”?
Objektif kajian
Untuk mengenalpasti kebenaran pernyataan, “parent has a say in children decision making.”
6
Reka bentuk kajian
Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif, di mana temu bual telah dijalankan bagi
mendapatkan maklumat tentang perkara yang dikaji.
Sampel kajian
Seramai 10 orang responden telah dipilih secara rawak iaitu terdiri daripada 6 orang
pelajar IPTA dan 4 orang awam.
Kaedah Pengumpulan Data
Pengkaji menggunakan dua jenis data dalam kajian ini, iaitu data jenis primer dan data jenis
sekunder. Kedua-dua data ini akan dapat memberi maklumat dan digunakan sebagai gambaran
kepada kajian yang dilakukan. Data primer adalah data utama yang diperoleh daripada temu bual
yang dijalankan secara rawak. Data sekunder turut digunakan dalam kajian ini di mana ia dapat
membantu dalam menguatkan lagi kajian dan dapat mengukuhkan hasil kajian. Data sekunder ini
diperoleh daripada sumber-sumber yang dipercayai dan berbentuk dokumentari seperti buku-
buku rujukan, artikel, jurnal, informasi daripada internet serta tesis-tesis kajian terdahulu yang
berkaitan dengan tajuk kajian. Data-data ini akan dapat membantu sebagai rujukan ilmiah yang
berguna dalam kajian ini.
Dapatan Hasil Temubual
Temubual telah dijalankan ke atas 10 orang responden yang terdiri daripada 4 orang awam dan 6
orang pelajar IPTA. Dapatan hasil temubual adalah seperti berikut:
7
Responden 1
Respondent 1 merupakan seorang pembantu kedai dan merupakan ibu kepada 2 orang anak yang
berada di institusi pengajian tinggi. Menurut beliau, beliau memberi kebebasan kepada anak
beliau untuk memutuskan IPTA yang ingin dimasuki dan kursus yang ingin diceburi. Ditanya
mengenai keputusan memilih kerjaya, beliau juga tidak akan menghalang kerjaya yang diingini
oleh anak-anak beliau tetapi beliau akan memastikan kerjaya itu selamat. Jika sebaliknya, beliau
akan memberi cadangan dan terpulang kepada anak untuk menerima pandangan beliau.
Responden 2
Responden ke-2 merupakan seorang pemegang tender makanan. Beliau merupakan lepasan
diploma dalam pengajian perniagaan (Business Studies) daripada salah sebuah Politeknik Mara.
Beliau mempunyai anak yang masih kecil. Ditanya mengenai kerjaya yang beliau ceburi
sekarang, beliau mengatakan ianya merupakan bantuan dan sokongan daripada ibu dan ahli
keluarganya. Menurut beliau, ibu dan kakak beliau yang membuat permohanan untuk beliau ke
Politeknik Mara.
Urusan seperti mengisi borang, menguruskan kemasukan dan sebagainya turut dibantu
oleh keluarga beliau. Ditanya mengenai hak ibu bapa dalam pemilihan kerjaya anak-anak, beliau
berpendapat ibu bapa perlu mendahulukan minat anak-anak. Jika minat anak bersesuaian dengan
kerjaya yang dicadangkan oleh ibu bapa, perkara itu tidak menjadi masalah. Jika anak- anak
mempunyai minat yang lain, ibu bapa seharusnya memberi galakan dan sokongan kepada anak-
anak.
8
Responden 3
Responden ke-3 merupakan seorang pekerja kontrak yang berasal dari Indonesia. Beliau berumur
65 tahun dan mempunyai 2 orang anak perempuan dan 2 orang anak lelaki. Beliau sudah
menetap di Malaysia selama 25 tahun. Ditanya mengenai pemilihan kerjaya anak-anaknya,
beliau memberi kebebasan kepada anak-anaknya untuk memilih pekerjaan yang diminati. Beliau
akan memantau sama ada pekerjaan itu terjamin atau tidak untuk mengelakkan daripada ditipu.
Menurut beliau lagi, suatu ketika dahulu beliau banyak menghalang dan menetapkan pekerjaan
anak beliau, tetapi kini beliau memberi kelonggaran kepada anak-anaknya. Beliau akan memberi
nasihat berdasarkan pengalaman jika diperlukan.
Responden 4
Responden ke-4 merupakan seorang surirumah dan ibu kepada 10 orang anak. Anak bongsu
beliau kini sedang memilih IPTA yang ingin dimasuki dan sedang mencari kursus yang sesuai.
Ditanya mengenai pemilihan kerjaya dan IPTA anak-anaknya, beliau memberi kebebasan kepada
anak-anaknya untuk membuat keputusan bergantung kepada minat mereka. Menurut beliau lagi,
beliau tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai kerjaya dan IPTA, oleh itu beliau
menggalakkan anak-anak beliau mencari maklumat daripada orang lain dan memberi sokongan
kepada keputusan yang dilakukan oleh anak-anak.
Reponden 5
9
Reponden ke-5 merupakan seorang pelajar IPTA. Ditanya mengenai keputusan untuk memilih
IPTA, beliau mengatakan ibu bapa beliau tidak terlibat semasa proses membuat keputusan
tersebut. Ibu bapa beliau jarang mengambil tahu perkembangan semasa beliau hanya membantu
menghantar beliau ke IPTA tersebut. Ditanya mengenai hak ibu bapa dalam pemilihan kerjaya
anak-anak, beliau berpendapat ibu bapa mempunyai hak untuk memberi cadangan dan nasihat
kepada anak-anak. Ibu bapa seharusnya memberi kebebasan kepada anak- anak untuk memilih
IPTA dan kerjaya yang mereka minati.
Responden 6
Responden ke-6 merupakan seorang pelajar IPTA. Pada pendapat beliau, beliau sangat bersetuju
dengan penglibatan ibu bapa dalam pemilihan kerjaya pelajar/pemilihan ke IPT kerana sejak
daripada sekolah sehingga ketika pelajar ingin memasuki IPT, pelajar tidak tahu di manakah atau
apakah minat pelajar itu sendiri sebenarnya. Sejak daripada bangku sekolah lagi, pelajar biasanya
akan bertanya kepada ibu bapa, apakah jurusan atau aliran yang sesuai diambil. Dengan itu,
sebenarnya telah berlaku sedikit penglibatan ibu bapa dalam pemilihan kerjaya pelajar/pemilihan
IPT.
Biasanya ibu bapa akan memberi pendapat atau pandangan. Beliau juga mengatakan
bahawa ibu bapa lebih terbuka untuk menilai situasi ekonomi zaman sekarang dan situasi kerjaya
pada masa kini. Oleh itu, beliau merasakan bahawa pendapat dan penglibatan ibu bapa sangat
penting. Bagi beliau sendiri, beliau mempunyai 8 orang adik beradik dan kesemuanya telah
ditentukan oleh ibu bapa beliau. Wujud sedikit pemberontakan, tetapi apabila mereka telah
menceburi bidang yang ditentukan, baru lah mereka sedar bahawa sememangnya bidang tersebut
10
yang patut mereka pilih kerana bagi pendapat beliau, ibu bapa lebih kenal anak-anak mereka
sendiri sejak kecil hingga dewasa.
Responden 7
Responden ke-7 adalah seorang pelajar IPTA. Beliau tidak bersetuju sangat dengan penglibatan
ibu bapa dalam pemilihan kerjaya pelajar/pemilihan ke IPT. Pada pandangan beliau, pemilihan
tersebut adalah kecenderungan minat ibu bapa itu sendiri. Mungkin ibu bapa lakukannya untuk
kebaikan pelajar dan mahukan pelajar tersebut berjaya. Tetapi kalau hendak dibandingkan
dengan minat pelajar itu, nanti akan timbul masalah di kemudian hari. Maksudnya, pelajar
tersebut mungkin tidak akan dapat tangkap ataupun tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam
sesuatu bidang itu jika pelajar tersebut mengikut kehendak ibu bapanya. Menurut beliau lagi,
sepatutnya mungkin pelajar memilih bidang mengikut minat sendiri, jangan terlalu ikut ibu bapa.
Responden 8
Responden ke-8 kurang bersetuju dengan pendapat dan pernyataan mengenai penglibatan ibu
bapa dalam pemilihan kerjaya pelajar/pemilihan ke IPT. Beliau merupakan seorang pelajar
IPTA. Menurut beliau, ibu bapa sekarang tidak tahu minat anak-anak mereka sebenarnya. Jika
pemilihan kerjaya pelajar/pemilihan ke IPT ditentukan oleh ibu bapa, mereka mungkin tidak
akan bersungguh-sungguh dalam bidang tersebut.
Anak –anak akan ikut apa ibu bapa mereka katakan, tetapi mungkin di pengakhirannya
nanti, anak-anak akan bekerja atau belajar dengan tidak sepenuh hati mereka. Bagi beliau sendiri,
beliau memilih bidang yang beliau minat sendiri iaitu bidang Matematik. Ibu bapa hanya
memberi pandangan dan nasihat. Tetapi bahagian membuat keputusan dan pemilihan adalah
11
pada tangan beliau sendiri. Ibu bapa beliau memberikan kebebasan untuk beliau membuat
keputusan sendiri.
Responden 9
Responden ke-9 adalah seorang pelajar IPTA. Beliau mengatakan separuh-separuh (50-50) iaitu
di antara setuju dan tidak setuju dengan pernyataan penglibatan ibu bapa dalam pemilihan
kerjaya pelajar/pemilihan ke IPT. Ibu bapa beliau sendiri tidak menentukan sangat bidang
kerjaya/pemilihan ke IPT beliau. Ibu bapa beliau ada memberikan pandangan, tetapi pilihan
dibuat oleh beliau sendiri. Bagi pendapat beliau, ada baik dan buruknya apabila ibu bapa terlibat
dalam pemilihan kerjaya pelajar/pemilihan ke IPT. Kabaikannya, mungkin ibu bapa lebih tahu
apa yang baik untuk anak-anak. Keburukannya pula apabila anak-anak mengikut pilihan kerja
oleh ibu bapa, ia akan menyusahkan anak-anak itu sendiri kerana mereka melakukan perkara
yang mereka tidak suka atau tidak mahu sebenarnya. Maka, beliau tidak menyokong sangat
dengan pernyataan tersebut.
Responden 10
Responden ke-10 merupakan pelajar IPTA. Ibu bapa beliau turut campur tangan dalam
pemilihan kursus yang beliau pilih sekarang. Tetapi beliau menjelaskan kepada ibu bapa beliau
sebab-sebab mengapa beliau memilih kursus atau fakulti beliau sekarang supaya mereka faham,
jelas dan tidak risau. Jadi sebenarnya, ibu bapa beliau tidak campur tangan secara terus. Ibu bapa
beliau hanya bertanya kenapa beliau memilih bidang yang ingin beliau pilih dan beliau telah
menjelaskannya. Akhirnya, beliau katakan bahawa beliau tidak setuju dengan pernyataan
tersebut dan bagi ibu bapa beliau sendiri, mereka tidak masuk campur sangat.
12
PERBINCANGAN
Pemilihan kerjaya merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan seseorang individu.
Pemilihan kerjaya yang baik sedikit sebanyak akan membantu menjamin perjalanan masa depan
seseorang. Terdapat pelbagai faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang
individu. Kajian ini memberi penekanan kepada penglibatan ibu bapa dalam pemilihan kerjaya
anak-anak. Tujuan utama kajian ini ialah meninjau sejauh mana penglibatan ibu bapa dalam
mempengaruhi proses membuat keputusan anak-anak dalam memilih kerjaya mereka. Selain itu,
kajian ini bertujuan menjawab sejauh mana kebenaran pernyataan ‘Parent has a say in children
decision making’.
Salah satu faktor yang dikaji dalam pemilihan kerjaya ialah pengaruh ibu bapa. Ibu bapa
mempunyai pengaruh yang amat besar dalam kehidupan seseorang termasuklah dalam aspek
pemilihan kerjaya. Sejak kecil lagi, ibu bapa banyak mempengaruhi pendapat dan nilai anak
mereka. Ini adalah kerana ibu bapa adalah orang yang pertama memindahkan kepada anak-anak
segala warisan sosial, kebudayaan dan nilai serta adat kebiasaan melalui pengalaman mereka
(Salehuddin & Mahadi, 2005).
Dapatan kajian menunjukkan majoriti responden menyatakan bahawa mereka tidak
bersetuju bahawa pemilihan IPT dan pemilihan kerjaya mereka ditentukan ibu bapa mereka.
Responden memilih IPT adalah atas kehendak dan kemahuan diri mereka sendiri. Mereka
menyatakan keputusan yang diambil oleh mereka adalah berdasarkan minat.
Dapatan ini selari dengan kajian yang dijalankan oleh Noor Azlan Bin Ahmad Zanzali &
Noridah Binti Rahmat (2010) yang mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan
kerjaya perguruan di kalangan pelajar-pelajar Fakulti Pendidikan di Universiti Teknologi
Malaysia. Dalam kajian mereka, faktor tertinggi ialah faktor minat. Manakala pengaruh ibu bapa
13
menunjukkan nilai min yang paling rendah. Ini menunjukkan hanya sedikit sahaja nilai pelajar
yang dipengaruhi oleh ibu bapa dalam memilih kerjaya perguruan.
Dapatan kajian ini juga selari dengan kajian yang dijalankan oleh Asnul, Kandar &
Hartini (2010) yang mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan pelajar-pelajar aliran
vokasional untuk memilih kerjaya dalam bidang yang dipelajari menunjukkan bahawa faktor
jangkaan pendapatan merupakan faktor yang tertinggi sekali dan baru diikuti faktor minat.
Seperti kajian Azlan, faktor ibu bapa merupakan faktor yang terendah sekali.
Kajian lepas yang dijalankan oleh Yahya & Khodijah yang mengkaji Faktor-Faktor
Yang Mempengaruhi Pemilihan Kerjaya Perguruan Di Kalangan Pelajar Tahun Dua Sarjana
Muda Teknologi Serta Pendidikan menyokong dapatan kajian ini. Kajian mereka mendapati
bahawa faktor minat dan faktor ganjaran telah mempengaruhi pelajar dalam membuat pemilihan
kerjaya sebagai profesion perguruan. Manakala bagi faktor keluarga dan faktor rakan sebaya
merupakan faktor yang sederhana dalam pengaruhnya terhadap pemilihan kerjaya sebagai
profesion perguruan.
Dapatan ini diperolehi daripada item 15 di mana responden tidak bersetuju dengan
penyataan memilih kerjaya perguruan atas kemahuan ibu bapa mereka. Hal ini kerana pelajar
sememangnya berminat dalam arena perguruan bagi menyampaikan ilmu pengetahuan dan ingin
mendidik anak bangsa supaya terus maju kehadapan bagi menyahut seruan kerajaan dan negara.
Daripada dapatan kajian yang diperolehi, faktor dorongan menjadi faktor ketiga responden
memilih profesion perguruan secara keseluruhannya.
Walau bagaimana pun, tidak dapat dinafikan ibu bapa memainkan peranan semasa
pemilihan kerjaya anak-anak. Majoriti responden yang memberikan respon negatif mengakui ibu
bapa memberi sokongan dan galakan terhadap minat mereka. Menurut Salahudin (2005),
14
dorongan orang lain dalam kehidupan kita sedikit sebanyak memberi kesan kepada pemilihan
kerjaya. Pengaruh ibu bapa diperolehi dari didikan yang diberikan sejak dari kecil dengan
mempengaruhi pendapat dan nilai mereka. Oleh kerana ibu bapa adalah orang yang pertama
memindahkan kepada anak-anak segala warisan sosial, kebudayaan dan nilai serta adat kebiasaan
melalui pengalaman mereka, secara tidak langsung ibu bapa turut memainkan peranan di dalam
membentuk minat anak-anak mereka terhadap sesuatu perkara termasuklah di dalam soal
memilih pekerjaan.
Segelintir responden bersetuju dengan pemilihan kerjaya yang ditentukan oleh ibu bapa.
Bagi mereka, ibu bapa lebih berpengalaman dan mengetahui selok belok kehidupan. Mereka
menghormati keputusan ibu bapa mereka dan merasakan itu adalah yang terbaik. Mengikut
Margaret Mead (di dalam Canger, 1973), di dalam budaya yang stabil biasanya anak-anak
menghormati ibu bapa sebagai pembimbing mereka kerana ibu bapa dianggap lebih matang dan
mempunyai pengalaman yang luas.
Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa keluarga mempunyai pengaruh di
dalam menentukan kerjaya seseorang. Diantaranya ialah kajian yang menunjukkan keluarga
paling berpengaruh di dalam keputusan pemilihan kerjaya (Pornthip, 1989), penglibatan keluarga
akan memberi kesan ke atas pemilihan kerjaya (Tang, Fouad & Smith, 1999), kepuasan bekerja
dan juga kehidupan (Adam, King & King, 1996) dan sokongan keluarga stabil serta tidak
berubah (Procidano & Heller, 1983).
Kenyataan Margaret Mead menunjukkan penglibatan ibu bapa mempunyai kaitan
dengan aspek budaya. Bagi konteks masyarakat yang meletakkan ibu bapa sebagai sumber
rujukan mereka, ibu bapa memberi pengaruh yang besar dalam pemilihan kerjaya. Kenyataan ini
disokong melalui dapatan kajian yang dijalankan oleh Faizah & Zakaria (2011) yang mengkaji
15
Profil Personaliti Dan Faktor Pemilihan Profesion Perguruan Di Kalangan Pelajar Kejuruteraan
Fakulti Pendidikan UTM. Analisis item kajian mendapati 90% responden bersetuju bahawa
pemilihan profesion perguruan mesti dipersetujui oleh ibu bapa mereka.
Ini membuktikan, ibu bapa memainkan peranan penting dalam apa juga keputusan
yang ingin diambil oleh responden kajian mahupun pelajar lain dalam institusi pendidikan di
Malaysia. Dapatan kajian ini juga adalah selaras dengan kajian yang dijalankan oleh Mat Khailil
(2000) mengenai pemilihan kerjaya di kalangan remaja Melayu daerah Kinta. Dalam kajian Mat
Khalil, beliau mendapati pengaruh rakan sebaya tidak banyak memberi kesan dalam membuat
pilihan kerjaya. Sifat dan budaya Melayu yang masih mendengar dan taat kepada orang tua
membendung pengaruh rakan sebaya termasuklah dalam soal pemilihan kerjaya.
Ibu bapa hanya perlu memastikan anak-anak mereka berusaha bersungguh-
sungguh untuk mencapai impian dan minat mereka kepada sesuatu perkara. Menurut Griswold
(1986), ibu bapa perlu melibatkan diri dalam semua aktiviti dan tidak terhad kepada aktiviti
akademik sahaja untuk menggalakkan anakanaknya berjaya dalam pelajaran mereka. Tidak
semestinya anak-anak harus mewarisi pekerjaan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka, tugas ibu
bapa hanya memberi dorongan dan sokongan kepada anak-anak mereka supaya berjaya dalam
pelajaran dan memilih profesion yang mereka minat.
Menurut Mohd Fadilah (1997), ibu bapa bukan sahaja bertindak sebagai penjaga,
pendidik, pengasuh, pemimpin malah lebih daripada itu. Beliau telah mendalami lagi peranan ibu
bapa juga kawan, pengikut, pendorong (motivasi) dan pembuka minda serta rangsangan. Tidak
hairan jika ibu bapa boleh menjadi sumber rujukan dalam mendorong keputusan seseorang
dalam memilih sesebuah kerjaya. Dalam proses pemilihan profesion perguruan, tidak semestinya
ibu bapa bekerja sebagai guru boleh mendorong responden untuk memilih bidang perguruan.
16
Tetapi ibu bapa boleh memberi tunjuk ajar dan merangsang anak-anak untuk memilih profesion
yang mereka sukai.
Menurut salahudin (2005), Pengaruh guru tidak begitu menonjol dalam kajian yang
pernah dibuat di Malaysia. Menurut Obura (1974), pengaruh ibu bapa mengatasi pengaruh guru.
Dapatan yang sama diperolehi oleh Quek (1991) yang mendapati bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam mempengaruhi pilihan kerjaya dikalangan guru pelatih teknikal.
Faktor-faktor yang selalu diambil berat oleh ibu bapa dan cuba diserapkan dalam nilai
anak-anak dalam pemilihan anak-anak mereka ialah status kerjaya tersebut dan juga jaminan
masa depan. Ramai ibu bapa berharap supaya anak mereka menjadi guru kerana status kerjaya
ini yang mulia pada pandangan masyarakat. Mereka juga menganggap kerjaya ini terjamin
kerana terdapat elaun apabila bersara kelak (Azlan & Noridah, 2010).
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, hasil dapatan daripada temubual yang dilaksanakan menunjukkan
bahawa majoriti responden tidak bersetuju dan tidak menyokong dengan pernyataan penglibatan
ibu bapa dalam pemilihan kerjaya pelajar/pemilihan ke IPT. Kebanyakan mereka berpendapat,
ibu bapa hanya terlibat sedikit sahaja iaitu dengan memberi pandangan, nasihat dan bimbingan.
Tetapi pemilihan kerjaya atau pemilihan IPT ditentukan oleh pelajar itu sendiri kerana pelajar
mempunyai lebih banyak maklumat serta lebih mengetahui bidang kerjaya atau pemilihan ke IPT
yang mereka minati. Majoriti responden merasakan bahawa faktor minat dalam diri pelajar itu
lebih utama dan penting dalam pemilihan kerjaya ataupun pemilihan ke IPT. Walau
bagaimanapun, tidak dinafikan penglibatan ibu bapa masih berlaku secara tidak langsung. Maka,
didapati pernyataan, “Parents has a say in children career decision making” adalah benar.
17
RUJUKAN
Asnul Dahar Bin Minghat, Kandar Bin Selamat& Hartini Binti Mohd Rejab. 2010. Faktor-
Faktor Yang Mempengaruhi Kesediaan Pelajar pelajar Aliran Vokasional Untuk
Memilih Kerjaya Dalam Bidang Yang Dipelajari.UniversitiTeknologi Malaysia.
AziziYahaya&FarizaKassim. 2006. Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Pelajar Tingkatan
EmpatMemilihanAliranKejuruteraanLetrik Dan Elektronik Sebagai Pembentuk Awal
kerjayadi Sekolah Menengah Teknik Di Tawau, Sabah.Universiti Teknologi Malaysia.
Brown ,D.& L.Brook. 1984. Career Choice And Development. Sant Franciso : Jossey-Bas
Publisher.
FaizahBte. Abd.Ghani& Mustafa Bin Zakaria. 2011. Profil Personaliti Dan Faktor
Pemilihan Profesion Perguruan Di Kalangan Pelajar Kejuruteraan Fakulti Pendidikan
UTM. UniversitiTeknologi Malaysia.
Halimah Harun. 2006. Minat, MotivasidanKemahiranMengajar Guru Pelatih. Jurnal
Pendidikan.
Holland,J.L.1996. Making Vocational Choice: A Theory Of Vocational Personality And Work
Environment. Odessa, Florida: Pssychological Assessment Resources.
Holland,J.L.1985. Making Vocational Choice: A Theory Of Vocational Personality And Work
Environment. Englewood Cliff, New Jersey: Parentice-Hall,Inc.
Holland,J.L.1985. Manual For The Vocational Preference Inventory. Odessa, Florida:
Psychological Assessment Resources.
18
Holland,J.L.1978. Manual For The Vocational Preference Inventory. Palo Ato, California:
Consulting Psychologist Press.
Mohamed Najib Abdul Ghafar& M. Noor Ariffin. 2008. Kesan latihan perguruan keatas
Factor pemilihan perguruan. UniversitiTeknologi Malaysia.
Mohd Azlan Bin MohdNor& Mahmood Nazar Bin Mohamed. 2009. Faktor-Faktor Yang
Mempengaruh iKecenderungan Bekerja Penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik
(PUSPEN).
Mohd.KamaruzamanHarun. 2004. Faktor-faktor yang mempengaruhi Pelajar Memilih
Kursus Automotif Sebagai Pembentukan Awal Kerjaya di Sekolah Menengah Teknik di
Terengganu. Universiti Teknologi Malaysia.
Nazli Hulwany. 2001. Kajian Terhadap Minat Kerjaya Di Kalangan Pelajar Di Sekolah
Menengah Teknik Pengkalan Chepa. Tesis Dr. Fal, Jabatan Pendidikan Teknik dan
Vokasional, Kolej Universiti Tun Hussein Onn.
Norshahanis Abd. Karim. 2002. Tinjauan Keberkesanan Dan Penerimaan Pelajar-pelajar Tahun
Akhir Mengenai Perkhidmatan Dan Kaunseling Kerjaya Di Jabatan Perdagangan Polite
Knik Dalam Pemilihan Kerja. Tesis Dr. Fal, Jabatan Pendidikan Teknik dan Vokasional,
Kolej Universiti Tun Hussein Onn.
Noor Azlan Bin Ahmad Zanzali& Noridah Binti Rahmat. 2010. Faktor-Faktor Yang
Mempengaruhi Pemilihan Kerjaya Perguruan Di Kalangan Pelajar-Pelajar Fakulti
Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.Universiti Teknologi Malaysia.
Rusli Bin Hussin. 1999. Minat Pelajar-Pelajar Tahun 4 Perdana Yang Sedang Mengikuti
Pengajian Sarjana Muda Teknologi Serta Pendidikan (Kemahiran Hidup) Di Universiti
Teknologi Malaysia Skudai Johor Darul Takzim Terhadap Profesion Perguruan Satu
Tinjauan Projek Sarjana Muda.Universiti Teknologi Malaysia.
19
SalehudinHj. Sabar & MahadiHj. Khalid. 2005. KertasKonsepFaktor-FaktorGraduan
Berkerjaya Memilih Kursus Perguruan Lepas Ijazah–Pengkhususan Sekolah Rendah.
Jabatan Pendidikan Islam & Moral.
Sidek Mohd Noah. 2002. Perkembangan Kerjaya Teori & Praktis. Selangor: Universiti Putra
Malaysia.
Sheikh Othman Sheikh Salim, Md. Nor Hj. Ab. Ghani & Ibrahim Ahmad. 1997. Kamus Dewan
Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Syed Nasir Bin SayedMahadi. 1998. Faktor-FaktorPemilihanKerjayaPelajar. Universiti
Utara Malaysia.
Yahya Bin Buntat & Khodijah Bt Hassan. 2010. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi
Pemilihan Kerjaya Perguruan Di Kalangan Pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Teknologi
Serta Pendidikan, Fakulti Pendidikan , UTM. Universiti Teknologi Malaysia.
Zainudin Abu Bakar&FazilahBintiTumin. Hubungan Antara Minat Pelajar Dan Sikap Ibu
Bapa Dengan Prestasi Matematik Terbaik Pelajar Program Sarjana MudaSains Serta
Pendidikan (Matematik) Di FakultiPendidikan, UniversitiTeknologi Malaysia. Universiti
Teknologi Malaysia.
20
Recommended