View
38
Download
3
Category
Preview:
DESCRIPTION
Masyarakat Malaysia
Citation preview
MASYARAKAT MALAYSIA (LNS 2013)SEMESTER 3
TUGASAN BERKUMPULAN
DISEDIAKAN OLEH:
JAMALIAH BT SAMSUDDIN D20091036262NOORAINI BT RAMLI D20091036263MUNIRAH BT BAHARUDDIN D20091036271
NURAINI BT ROSLI D20091036315MUHAMMAD ZAINI B MUSTAPHA D20091036388
DISEDIAKAN UNTUK:
PROF. MADYA. DR. KHAZIN B MOHD TAMRIN
1.0 PENGENALAN
BINCANGKAN PERKEMBANGAN MASYARAKAT SERANI DI MALAYSIA
Seperti yang kita semua sedia maklum, Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan
etnik. Selain kaya dengan sumber-sumber alam, Malaysia juga kaya dengan pelbagai adat dan
budaya daripada pelbagai kaum. Umumnya, kewujudan masyarakat majmuk adalah disebabkan
penjajahan yang pernah berlaku di negara kita. Contohnya sewaktu kemasukan imigran secara
beramai-ramai ke Tanah Melayu serta pembukaan petempatan bagi para pedagang sewaktu Kota
Melaka menjadi pusat perdagangan yang termasyur. Rentetan daripada peristiwa itu, masyarakat
di negara kita telah membentuk sebuah masyarakat majmuk. Selain tiga kaum utama yang
terbesar di negara kita ini iaitu Melayu, Cina dan India, tanpa kita sendiri terdapat juga komuniti
lain turut menjadi sebahagian daripada masyarakat kita. Misalnya, masyarakat Serani yang
berada di Kota Melaka. Kemunculan masyarakat Serani adalah disebabkan perkahwinan campur
yang berlaku antara penjajah asing dengan penduduk tempatan.
Selain itu, masyarakat Serani juga dikenali sebagai nasrani iaitu merujuk kepada orang-
orang yang berdarah campuran antara orang-orang barat dan orang-orang timur. Bagi darah
campuran antara keturunan Portugis, Belanda atau Inggeris dengan keturunan Cina, India atau
Melayu juga dianggap sebagai Serani. Tetapi ini hanya berlaku jika bapa kepada anak yang
dianggap Serani itu berketurunan orang Portugis, Belanda atau Inggeris. Sebaliknya jika ibu
kepada anak tersebut sahaja yang berketurunan barat tetapi bapa pula dari keturunan India, Cina
atau Melayu adalah tidak dianggap Serani. Mereka hanya dianggap sebagai masyarakat
campuran. Pendek kata, terdapat pelbagai lagi masyarakat yang wujud di negara Malaysia ini.
Walaupun mereka berada di dalam bilangan atau kelompok yang kecil, kewujudan mereka tidak
dapat dipertikaikan.
2.0 KEDATANGAN PORTUGIS KE TANAH MELAYU
Portugis mula bertapak di bumi Melaka setelah mendapati bahawa negeri Melaka
merupakan pusat perdagangan yang mendapat tarikan ramai serta kaya dengan sumber-sumber
alam, sekaligus mampu memberi keuntungan yang lumayan buat mereka. Oleh yang demikian,
Portugis memasang strategi bagi menakluk negeri Melaka. Pada awalnya, Portugis telah
menghantar sepasukan peninjau dengan lima buah kapal yang diketuai oleh Diego Lopez de
Sequeira. Portugis mendarat di Melaka dengan membawa warkah dan hadiah kepada Sultan pada
11 Ogos 1509.1 Penduduk Melaka begitu terpegun dengan paras rupa serta warna kulit orang-
orang Portugis ini, mereka telah mengelar orang Portugis ini sebagai Benggali Putih. Angkatan
Portugis ini telah disambut baik oleh Sultan Melaka, namun setelah itu, Sultan Melaka mendapat
desakan yang kuat daripada orang-orang India dan Arab Muslim yang menyatakan Portugis
mempunyai niat yang jahat serta agendanya yang tersendiri. Justeru, satu perancangan telah
dibuat untuk menangkap orang-orang Portugis dan menyerang angkatan laut mereka.
Pada tahun 1511 sehingga 1526, terdapat juga beberapa serangan ke atas tentera Portugis
daripada Sultan Mahmud bagi merampas semula takhtah Kota Melaka, namun serangan-
serangan itu menemui kegagalan kerana kekuasaan Portugis yang kuat di lautan serta kehebatan
kapal-kapal mereka tiada tandingan dengan mana-mana kapal dari Asia. Namun, lama kelamaan
pihak Portugis tidak berdaya menyaingi kemampuan teknologi pembinaan kapal di lain-lain
negara Eropah. Misalnya, daripada Belanda dan Inggeris yang mula datang ke kawasan timur.2
Pendek kata, Portugis merupakan orang Eropah yang pertama datang ke timur dan
membawa bersama mereka budaya dan agama yang baru. Tambahan, orang-orang Portugis juga
digalakkan mengahwini wanita tempatan. Secara tidak langsung, hal ini telah mewujudkan
1Kedatangan Orang-Orang Portugis (1511 - 1624). Diperoleh pada Ogos 4, 2010 daripada http://sejarahmalaysia.pnm.my/portalBM/detail.php?section=sm01&spesifik_id=388&ttl_id=592 Ibid
komuniti Serani di Tanah Melayu. Disamping itu, komuniti ini turut berkembang sewaktu
penjajahan Belanda dan Inggeris di Tanah Melayu, mereka mengamalkan perkahwinan campur
dengan penduduk tempatan dalam kalangan mereka. Pada hari ini, komuniti Serani ini masih
wujud dan berada di Melaka dan di beberapa buah negeri yang lain di Malaysia, walaupun dalam
bilangan yang kecil.
3.0 PEMBENTUKAN PERKAMPUNGAN PORTUGIS
Menjelang abad ke-20, masyarakat Serani mula berhijrah ke merata tempat dan membuka
penempatan baru serta menetap secara kekal. Antara penempatan yang menjadi pilihan mereka
adalah seperti Bandar Melaka, kawasan pantai Tranquerah, Bandar Hilir, Bukit Baru, Ujong
Pasir serta Kuala Kubu. Memandangkan berlakunya situasi ini, dua orang Mubaligh Kristian
iaitu Rev. Fr. Alvaro Martin Coroado dan Rev. Fr Jules Pierre Francois telah mencadangkan
agar diwujudkan sebuah kampung bagi menghimpunkan kesemua masyarakat Serani. Idea ini
wujud lantaran dari aduan serta rayuan penduduk Serani di kawasan pantai Tranquerah yang
mengatakan bahawa tanah kediaman mereka semakin sempit akibat hakisan air laut.
Dua orang mubaligh Kristian ini mengemukakan isu ini kepada pihak kerajaan Inggeris
pada ketika itu. Pihak Inggeris bersimpati dan membelikan sebidang tanah dari pemilik Melayu
untuk membuka kampung. Tanah tersebut terletak kira-kira 2½ batu ke arah tenggara pusat
bandar dan dalam kawasan Majlis Perbandaran Melaka. Bagi mengelakkan dari terjadinya lagi
peristiwa hakisan tanah, jurutera Jabatan Kerja Raya yang bernama J. L Chambers telah
membina tambak laut berukuran 1,600 kaki di sepanjang persisiran pantai disitu dan tambak itu
dikatakan dapat dilihat sehingga ke hari ini.
Namun begitu, sambutan yang dingin diterima daripada masyarakat Serani mengenai
pembukaan kampung khusus untuk masyarakat Serani. Hal ini adalah kerana mereka sudah
mempunyai penempatan yang tetap. Terdapat juga segelintir masyarakat Serani yang tidak
mampu membina rumah di tanah perkampungan baru ini disebabkan faktor kemiskinan. Selain
itu, keadaan kemudahan yang kurang lengkap juga menyebabkan penduduk tidak tertarik untuk
menetap di situ. Bagi mengatasi masalah ketidakmampuan penduduk, pihak Inggeris telah
membina 10 buah rumah untuk disewa. Penambahan dibuat dari semasa ke semasa sehinggalah
31 buah rumah telah disewakan dengan harga sewa sebanyak $2.00.
3.1 Faktor Pertambahan Penduduk
Masyarakat Serani makin bertambah dari masa ke semasa. Terdapat tiga faktor
yang menyebabkan pertambahan penduduk di Kampung Portugis ini. Antara faktor
utamnya adalah faktor agama. Hal ini adalah disebabkan agama Roman Katolik tidak
membenarkan penganutnya mengambil ubat atau cara lain untuk tujuan perancangan
kehamilan, kecuali dengan satu cara iaitu ‘rhythm method’ iaitu tidak bersetubuh dengan
wanita pada waktu suburnya.
Faktor kedua adalah disebabkan oleh kadar buta huruf yang tinggi dalam
kalangan masyarakat Serani pada ketika itu menyebabkan mereka yang kurang
pendidikan ini kurang pengetahuan mengenai ilmu dalam merancang keluarga. Manakala
faktor ketiga adalah disebabkan oleh wanita-wanita Serani pada ketika itu berkahwin
pada usia yang muda, iaitu sebelum mencapa usia 21 tahun. Oleh yang demikian, faktor
untuk memperoleh anak yang ramai adalah besar.
Kesan dari pertambahan penduduk ini, berlakunya kesesakan dalam kampung
tersebut dan pihak Inggeris telah membuka satu kampung baru kepada penduduk iaitu di
Pasir Ujong.
4.0 KEBUDAYAAN MASYARAKAT SERANI
Aspek kebudayaan yang dimaksudkan adalah mengenai agama, bahasa, pakaian,
dan makanan serta unsur-unsur lain yang mewakili identiti masyarakat tersebut.
Masyarakat Serani di Melaka masih mengekalkan kebudayaan asli mereka serta masih
menganuti agama Katolik. Namun begitu, masyarakat Serani turut mengalami proses
asimilasi oleh unsur-unsur kebudayaan tempatan khususnya kebudayaan Melayu.
4.1 Agama
Sehingga tahun 1980an, semua anggota masyarakat Serani di perkampungan
Portugis beragama Kristian dari mazhab Roman Katolik. Kesetiaan masyarakat Serani
terhadap agama dapat dilihat malalui sambutan beberapa perayaan yang berkait rapat
dengan hal-hal keagamaan. Antaranya seperti Pesta San Pedro, Pesta Intrudo dan Pesta
San Juang yang dikatakan berasal dari abad ke 16 dan masih diamalkan sehingga hari ini.
4.2 Bahasa
Bahasa yang digunakan oleh masyarakat Serani di Melaka ialah bahasa Portugis
tua yang dikenali sebagai Bahasa Cristao3. Bahasa Cristao yang dipertuturkan oleh
masyarakat Serani sangat berbeza dengan Bahasa Portugis yang terdapat di negara
Portugal pada zaman ini. Bahasa Cristao yang digunakan adalah Medieval Portuguese
atau bahasa Portugis yang digunakan dalam zaman pertengahan. Bahasa Cristao telah
3 Carverth Wells, North of Singapore, Jarrols Publishers London, 1940, hal. 214.
menjadi salah sejenis bahasa Creoles, iaitu bahasa yang telah dipengaruhi oleh bahasa-
bahasa tempatan. Banyak perkataan bahasa Melayu telah dimodifikasikan dari segi
ejaannya dan dijadikan sebagai perbendaharaan bahasa Cristao. Contoh perkataan ‘kalu’
telah diubahsuaikan dari perkataan bahasa Melayu ‘kalau’. Manakala perkataan-
perkataan yang telah ditiru tanpa pengubahsuaian adalah seperti ‘keris’ dan ‘parang’.
Selain itu, dengan penjajahan Inggeris ke atas Melaka, bahasa Inggeris turut digunakan
dan telah bercampur dengan bahasa Cristao.
4.3 Makanan
Salah satu jenis makanan yang menunjukan persamaan kebudayaan masyarakat
Serani dengan masyarakat Melayu adalah sirih pinang. Daun sirih pinang dimakan
bersama sedikit gambir, kapur, cengkih dan tembakau. Di rumah orang-orang Serani
biasanya mempunyai sebuah bekas khas untuk menyimpan sirih pinang yang dipanggil
tepak sirih. Makanan asas masyarakat Serani adalah sama seperti masyarakat lain di
Malaysia iaitu nasi. Masyarakat Serani lebih gemar memasukkan secubit garam kedalam
nasi sebelum ia masak agar nasi itu mempunyai sedikit rasa masin. Makanan mereka
disajikan di atas meja berbeza dengan orang-orang Melayu yang menyajikan makanan di
atas lantai. Masyarakat serani lebih gemar kepada lauk pauk yang rasanya pedas dan
berempah4. Antara lauk pauk itu adalah ‘Curry Devil’ iaitu sejenis kari daging,
‘Kambrang Frisi Ku Tamber Inuk’ iaitu udang berempah yang bercicahkan air asam
jawa, ‘Beef Vindalo’ ialah daging lembu berkuah rempah, ‘Garlingga Frith Primeter’
ialah ayam goreng berlada, ‘Baked Pasi’ ialah masakan berempah yang dibungkus dalam
4 Di Negara Portugal, orang-orang portugis gemar menambahkan daun rempah atau bawang putih agar nasi berbau harum apabila ia masak nanti.
daun pisang5. Antara makanan orang Melayu yang digemari oleh masyarakat Serani ialah
pulut seri kaya, pulut enti, dodol, apam balik, dan apam berkuah. Mereka juga pandai
membuat kuih coklat, kuih suji, pang kuqis dan blida.
4.4 Pakaian
Pakaian yang digemari oleh wanita-wanita tua Serani ialah baju kebaya dan kain
sarung. Perempuan Serani sebagaimana perempuan Melayu menganggap tidak lengkap
memakai baju kebaya jika tidak disematkan dengan kerongsang. Biasanya tiga biji
kerongsang dijadikan sebagai butang baju kebaya. Kerongsang ini diperbuat daripada
intan berlian atau emas dalam berbagai bentuk. Amalan bersanggul juga wujud dalam
kalangan wanita Serani. Mereka selalunya melekatkan tiga batang cucuk sanggul yang
berukuran empat hingga enam inci panjangnya. Cucuk sanggul tersebut diperbuat
daripada emas atau perak, cara bersanggul ini telah diserap oleh nyonya-nyonya (Straits
Born Chinese) di Jalan Heeren dan Tranquerah serta wanita-wanita Ceti yang menetap di
kawasan Gajah Berang. Titik persamaan antara pakaian lelaki Serani dengan lelaki
Melayu cuma dari segi pemakaian kain sarung sahaja. Corak kain sarung biasanya
berjalur-jalur atau berpetak-petak dengan warna usang. Walau bagaimanapun, tidak
semua lelaki Serani memakai kain sarung, sebahagian lebih gemar memakai seluar
pendek atau panjang mengikut cara barat6.
5.0 EKONOMI DAN POLITIK
5.1 Ekonomi
5 The new straits times, 9.5.1987.
6 Steward Clyde, ‘Malacca Portuguese’ , The Straits Times Annual, 1955, hal. 44.
Masyarakat Serani tidak mendapat kedudukan yang tinggi sama ada dari segi
ekonomi, politik mahupun sosial semasa pemerintahan Portugis. Walaupun
mereka juga mempunyai darah berketurunan Portugis. Mereka sering dipandang
rendah dan dihina oleh orang-orang Portugis. Hal ini berlaku kerana masyarakat
Serani merupakan keturunan daripada perkahwinan campur antara lelaki yang
berketurunan Portugis dengan wanita tempatan.
Masyarakat Serani kebanyakannya terlibat dengan aktiviti pertanian di
kawasan luar dari Kota Melaka7. Mereka lebih tertumpu di kawasan Hilir dan
Tranquerah dimana mereka memiliki banyak ladang atau kebun yang mempunyai
tanah yang sangat subur untuk tanaman. Di samping itu, mereka juga
menjalankan aktiviti lain untuk menyara kehidupan seperti aktiviti menangkap
ikan.
Namun begitu, selepas pihak kerajaan Portugis berundur dari Melaka,
Belanda mengambil alih Melaka dan menindas masyarakat Serani kerana
perbezaan dari segi agama8. Kerajaan Belanda telah bertindak merampas dan
menjual ladang seta kebun milik masyarakat Serani. Hal ini telah menyebabkan
ramai anggota masyarakat Serani berpindah ke kawasan pedalaman seperti
Naning dan Rembau. Namun, ada segelintir daripada golongan masyarakat Serani
yang berkhidmat dengan kerajaan Belanda.
Pada tahun 1960-an dan 1970-an masyarakat Serani semakin kurang
berminat dengan pekerjaan sebagai nelayan. Ramai di antara mereka yang
7 .ibid
8 .ibid
mencari pekerjaan lain seperti buruh, budak pejabat, pemandu lori dan
sebagainya. Bagi yang berpendidikan tinggi pula, mereka bekerja sebagai guru,
kerani, mekanik dan pembantu makmal. Di samping itu, antara kemajuan lain
yang dapat dilihat ialah ramai orang-orang Serani yang melibatkan diri dalam
perniagaan kecil-kecilan. Hal ini menunjukan bahawa mereka tidak lagi
berpegang kuat pada sikap konservatif mereka, malah bersedia untuk maju ke
hadapan.
5.2 Politik
Kesedaran politik masyarakat Serani dapat dikesan sejak abad ke-20 apabila
tertubuhnya beberapa organisasi yang memperjuangkan kepentingan orang-orang
Serani di Tanah Melayu. Organisasi pertama yang ditubuhkan ialah Persatuan
Eurasia Pulau Pinang (1919), Persatuan Eurasia Selangor (1919), dan diikuti
Persatuan Eurasia Melaka (1934)9.
Selepas Perang Dunia Kedua, beberapa orang Serani mula menunjukkan
minat untuk terlibat aktif dalam parti-parti politik yang baru dibentuk seperti Parti
Demokratik Malaya. Faktor yang mempengaruhi sikap serta pandangan politik
mereka ketika itu adalah berpunca daripada keadaan persekitaran.
Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, golongan
minoriti ini tidak diabaikan. Mereka diberikan hak perwakilan oleh kerajaan
9 .ibid
apabila seorang pemimpin masyarakat Serani iaitu Datuk G.Shelly telah dilantik
menjadi senator untuk mewakili mereka10.
6.0 KEHIDUPAN MASYARAKAT PORTUGIS PADA MASA INI
Walaupun masyarakat Serani merupakan kaum minoriti di negara ini, namun begitu
golongan ini tidak pernah dipinggirkan oleh masyarakat major di negara ini. Kerajaan juga sering
mengambil inisiatif untuk memberikan kemudahan serta keistimewaan yang sama rata kepada
semua masyarakat Serani. Masyarakat Serani juga turut mempunyai perkampungan sendiri iaitu
Perkampungan Portugis Ujong Pasir yang berkeluasan 11.2 hektar dan mempunyai 118 buah
rumah yang dihuni kira-kira 2000 masyarakat Serani.11
Menurut ketua perkampungan itu ataupun dikenali sebagai regedor, Peter Thomas
Gomes, masyarakat Serani bebas mengamalkan agama dan adat resam yang diwarisi daripada
nenek moyang mereka. Mereka masih mengamalkan agama asal mereka iaitu Roman Katolik
dan mereka masih mempraktikkan tradisi mereka. Menurut Peter lagi, disebabkan oleh orang
Portugis yang berhijrah ke Malaysia dan berkahwin dengan penduduk tempatan, adat resam serta
bangsanya juga turut terpengaruh dengan unsur-unsur adat resam Melayu. Perkampungan yang
dibina adalah secara tersusun dengan reka bentuk rumah yang tidak jauh bezanya dengan rumah
masyarakat Melayu. Selain itu, masyarakat Serani di Melaka ini juga turut makan dengan
menggunakan tangan, dan mereka juga makan makanan orang Melayu iaitu cencaluk serta nasi
kerana menurut masyarakat ini, jagung dan kentang sukar untuk didapati.
10. ibid
11 Serani,(25 Ogos 2010), diperoleh pada 21 September 2010, daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Serani.
Menurut penerangan ketua Perkampungan Portugis tersebut, Ketika Tun Dr. Mahathir
Mohammad melawat perkampungan tersebut pada tahun 1980-an, beliau melihat rumah dan
wajah masyarakat Serani ini seperti orang Melayu. Oleh sebab itu, beliau ingin memberi satu
identiti yang melambangkan masyarakat Portugis dengan membina Portuguese Squre Melaka
seperti yang terdapat di Lisbon, Portugal.12
Banyak keistimewaan yang turut dinikmati oleh masyarakat Serani pada hari ini seperti
masyarakat major yang lain seperti dibenarkan melabur dalam saham amanah iaitu Amanah
Saham Nasional oleh kerajaan pusat.13 Kerajaan juga turut membantu dalam pendidikan anak-
anak masyarakat ini sehingga kebanyakan generasi muda masyarakat ini tidak lagi menjejak
langkah nenek moyang mereka yang bekerja sebagai nelayan. Terdapat juga masyarakat Serani
yang berpendidikan tinggi dan memegang jawatan dalam sektor swasta serta awam.14 Menurut
salah seorang daripada mereka, Erle Martin Carvalho, walaupun masyarakatnya merupakan
kaum minoriti di negara ini, kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka sebaliknya memberi
bantuan dan galakan dalam pelbagai aspek. Beliau kini bekerja sebagai seorang pegawai
kerajaan negeri Melaka.
Bulan Julai adalah tarikh yang terus menjadi ingatan kepada pelancong untuk melihat dan
merasai Pesta San Pedro atau dikenali sebagai Hari Nelayan yang diadakan setiap tahun. Pesta
itu diraikan selama seminggu setiap kali menjelangnya akhir bulan Jun setiap tahun. Pesta ini
mula disambut di Melaka pada tahun 1994 dan dijadikan pesta tradisi. Sepanjang seminggu pesta
ini disambut, semua bot nelayan kaum Portugis di kampung itu akan dihias indah. Sepanjang
12 Perkampungan Portugis: Masyarakat Portugis Tidak Terpinggir, (6 Januari 2008), diperoleh pada 5 Oktober 2010, daripada http://mforum1.cari.com.my/archiver/?tid-324189.html
13 .ibid
14 .ibid
seminggu pesta berlangsung, segala jenis makanan tradisi kaum itu juga akan disajikan kepada
tetamu sambil dihiburkan dengan nyanyian dan persembahan. Lebih menarik tarian kebudayaan
dan nyanyian dari kaum Portugis sendiri diserikan dengan kumpulan muzik yang diundang dari
luar Melaka.
Antara salah satu inisiatif kerajaan ialah memilih Pesta San Pedro sebagai salah satu
daripada 50 perayaan atau pesta di peringkat nasional di bawah program Tahun Melawat
Malaysia. Kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan bersukan dan rekreasi untuk
mereka di samping projek pembangunan yang mampu meningkatkan pendapatan masyarakat
tersebut. Fasa kedua pembangunan perkampungan itu yang melibatkan pembinaan sebuah hotel
yang diberi nama Hotel Lisbon dan penambakan kawasan laut, tentunya memberi banyak
manfaat kepada masyarakatnya. Keadaan ini menunjukkan walaupun masyarakat ini adalah
sebuah masyarakat yang bilangannya adalah sangat kecil, tetapi mereka tidak pernah
dipinggirkan oleh masyarakat setempat mahupun kerajaan.
7.0 Kesimpulan
Walaupun masyarakat Serani ini adalah sebuah masyarakat minoriti di negara ini, namun
begitu golongan ini tidak pernah dipinggirkan oleh kaum atau bangsa major yang lain. Selain itu,
golongan ini juga merupakan sebuah golongan yang lengkap dengan segala keperluan seperti
nilai-nilai tersendiri dan adat resam yang mengasingkan mereka dari kaum-kaum lain.
Masa depan masyarakat Serani ini lebih cerah kerana ketika zaman pentadbiran Tun
Mahathir telah memberi jaminan bahawa beliau akan memberi perhatian yang wajar kepada
kaum ini. Kesannya, masyarakat Serani ini telah dibenarkan melabur dalam Amanah Saham
Nasional, terdapat pembinaan rumah pangsa, pembinaan Medan Portugis dan banyak lagi.
Terdapat juga dalam kalangan masyarakat Serani telah diberi peluang untuk melanjutkan
pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam serta bekerja dengan kerajaan.
Keadaan ini menunjukkan bahawa mereka tidak pernah dipinggirkan. Sama seperti
masyarakat peranakan yang lain seperti Baba Nyonya dan Chitti, masyarakat Serani ini turut
mengamalkan adat resam serta kebudayaan mereka. mereka juga merupakan sebuah komuniti
yang unik yang dapat menarik golongan luar untuk mendekati mereka dengan lebih dekat di
samping dapat membanggakan masyarakat serta negara Malaysia.
8.0 BIBLIOGRAFI
Kedatangan Orang-Orang Portugis (1511 - 1624). Diperoleh pada Ogos 4, 2010
daripada http://sejarahmalaysia.pnm.my/portalBM/detail.php?
section=sm01&spesifik_id=388&ttl_id=59
Serani,(25 Ogos 2010), diperoleh pada 21 September 2010, daripada
http://ms.wikipedia.org/wiki/Serani.
Perkampungan Portugis: Masyarakat Portugis Tidak Terpinggir, (6 Januari 2008),
diperoleh pada 5 Oktober 2010, daripada http://mforum1.cari.com.my/archiver/?
tid-324189.html
Recommended