View
315
Download
3
Category
Preview:
Citation preview
29
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Pemantapan Tahap Kemahiran Asas Bahasa Arab Melalui
Kajian Tindakan
Hairun Najuwah Jamali1, Awatif Abdul Rahman2, Ku Fatahiyah Ku Azizan3, Siti
Nurhajariah Md Isa4
ABSTRAK
Bahasa Arab merupakan salah satu daripada subjek teras di Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor (KUIS). Bahasa Arab memerlukan penguasaan empat kemahiran
asas utama iaitu kemahiran mendengar, membaca, menulis dan bertutur. Walau
bagaimanapun, terdapat ramai pelajar kurang menguasai keempat-empat kemahiran
tersebut. Ini mungkin disebabkan teknik pengajaran yang digunakan sebelum ini kurang
mantap untuk pelajar menguasai bahasa Arab. Oleh itu, kajian tindakan ini dijalankan
bertujuan untuk memantapkan pengajaran bahasa Arab bagi membantu pelajar
menguasai keempat-empat kemahiran bahasa Arab tersebut. Seramai 90 orang pelajar
tahun 1 terlibat dalam kajian ini. Instrumen-instrumen yang digunakan sebagai alat
pengumpulan data ialah senarai semak, pemerhatian dan soal selidik. Strategi dan teknik
yang digunakan dalam melaksanakan kajian tindakan ini adalah berpandukan kepada
model PdP Bahasa Arab yang telah dihasilkan oleh pasukan penyelidik pada tahun 2012.
Hasil dapatan kajian tindakan yang dijalankan mendapati bahawa tahap keempat-empat
kemahiran pelajar berada pada tahap yang tinggi.
ABSTRACT
Arabic language is one of the core subjects at Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Selangor (KUIS). Arabic requires mastery of four key skills of listening, reading, writing
and speaking. However, there are many students did not master the four skills. This may
be due to the teaching techniques used previously less steady for the student to master the
Arabic language. Therefore, this action research was conducted to provide guidance to the
teaching of Arabic language teachers to help students master the four skills of the Arabic
language. A total of 90 students involved in the study. The instruments that are used as
data collection tool is a checklist, observation and questionnaires. Strategies and
techniques used in the execution of this action research model is based on teaching dan
learning techniques of Arabic language which was produced by a team of researchers in
2012. The findings of the study conducted action found that the four skills of students are
at a high level.
1 Hairun Najuwah Jamali, Pensyarah, Jabatan Bahasa Dan Pembangunan Insan, Pusat Pengajian Teras, Kolej
Universiti Islam Antarabangsa Selangor, hairunnajuwah@kuis.edu.my 2 Awatif Abdul Rahman, Pensyarah Kanan,, Jabatan Bahasa Dan Pembangunan Insan, Pusat Pengajian
Teras, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, awatif@kuis.edu.my 3 Ku Fatahiyah Ku Azizan, Pensyarah, Jabatan Bahasa Dan Pembangunan Insan, Pusat Pengajian Teras,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, kufatahiyah@kuis.edu.my 4 Siti Nurhajariah Md Isa, Pensyarah, Jabatan Bahasa Dan Pembangunan Insan, Pusat Pengajian Teras, Kolej
Universiti Islam Antarabangsa Selangor, hajariah@kuis.edu.my
30
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Pengenalan
Kajian tindakan adalah sejenis penyelidikan yang berbentuk renungan kendiri dan
melibatkan penyelidik sendiri mengkaji amalan yang lazim dilakukan dalam bidang tugas
mereka. Dalam bidang pendidikan, penyelidikan tindakan melibatkan penyelidik-
penyelidik seperti pensyarah, guru-guru, pengetua, atau penuntut (mereka ini boleh
menjadi sebagai penyelidik atau peserta yang diselidik) untuk memperbaiki dari segi
amalan sosial dan pendidikan kendiri, kefahaman terhadap amalan kendiri, situasi di mana
amalan tersebut dijalankan.
Proses dalam PdP amat penting kepada pelajar untuk menguasai bahasa Arab. Guru
perlu mengetahui masalah yang dihadapi oleh pelajar mereka tidak kira dalam penguasaan
kosa kata, tatabahasa, kemahiran lisan, membaca atau menulis. Pengetahuan guru terhadap
masalah pelajar akan membentuk tindakan susulan yang sesuai untuk diaplikasikan kepada
pelajar yang bermasalah. Ku Fatahiyah et.al (2014) dan Muhammad Ziyad (2012) turut
mengkaji berkaitan kemahiran asas ini dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.
Dapatan kajian mereka mencadangkan agar proses PdP itu berlangsung dengan adanya
hubungan baik antara tenaga pengajar, pelajar dan teknik penyampaian yang berkesan.
Secara umumnya, pasukan penyelidik telah mengesan beberapa masalah yang
dihadapi oleh pelajar-pelajar semasa proses PdP bahasa Arab berlangsung di dalam kelas.
Tinjauan awal kajian mula dijalankan pada minggu pertama pelajar tahun 1 memulakan
pengajian di dalam kelas. Antara masalah yang dihadapi oleh pelajar ialah membaca,
menulis, bertutur dan mendengar teks bahasa Arab.
Kajian tindakan ini dijalankan bertujuan untuk mengaplikasikan Model Cadangan
Penambahbaikan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab di KUIS, menganalisa
keberkesanan model terhadap penguasaan kemahiran Bahasa Arab dan memantapkan PdP
empat kemahiran asas bahasa Arab.
Kemahiran Asas Bahasa Arab
Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merupakan kemahiran asas dalam proses mempelajari bahasa (Nik
Mohd Rahimi, 2003). Seseorang pelajar yang mempunyai kemahiran ini dengan baik,
kebiasaannya, dapat memahami maksud serta membuat tafsiran daripada apa yang telah
didengarinya (Kamarudin Hj. Hussin, 1986). Nik Mohd Rahimi (2005) berpendapat latihan
kemahiran mendengar hendaklah dijadikan asas penggabungjalinan antara satu kemahiran
dengan kemahiran berbahasa yang lain. Namun, berdasarkan kajian beliau, teknik
pengajaran kemahiran mendengar bahasa Arab inilah yang sering diabaikan dan tidak
ditekankan dalam konteks pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa kedua di Malaysia.
Kenneth Beare (2009) berpendapat bahawa pengajaran kemahiran mendengar merupakan
salah satu tugas yang paling berat kepada para pendidik atau guru. Ini kerana kemahiran
mendengar yang berjaya memerlukan masa dan penumpuan serta latihan yang banyak.
Dalam pengajaran bahasa Arab, kemahiran mendengar ini amat penting. Dengan
kemahiran mendengar, pelajar dapat memahami sesuatu yang didengar dengan betul dan
jelas. Kemampuan mendengar yang baik akan membantu mereka menghasilkan pertuturan
yang baik. Proses pengajaran untuk mendapatkan kemahiran mendengar ini lazimnya
melalui suara guru di dalam kelas. Justeru, kemahiran mendengar merupakan kemahiran
asas dalam proses mempelajari bahasa yang diwajibkan ke atas para pelajar (Ibtisam &
Zamri, 2012).
31
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Kajian Mohd Ja’afar et al. (2006) mendapati kebanyakan guru bahasa Arab tidak
menekankan teknik latihan kemahiran mendengar pada teks dengan betul. Kajian beliau
mendapati pelajar tidak dilatih mendengar petikan dialog dan jenis naratif secara
berasingan atau tanpa melihat teks. Guru bahasa Arab lebih cenderung melatih kemahiran
mendengar dan menyebut huruf dan perkataan sahaja. To’imah (1989) menyatakan
bahawa latihan kemahiran mendengar bahasa Arab sebagai bahasa asing atau bahasa kedua
perlu diajar secara berasingan sebelum diikuti dengan latihan kemahiran berbahasa yang
lain seperti latihan kemahiran bertutur, latihan membaca dan latihan menulis. Ini bermakna
kemahiran mendengar merupakan kemahiran asas yang perlu diajarkan dan dipelajari oleh
para pelajar bermula pada peringkat permulaan pembelajaran bahasa mereka.
Kemahiran Bertutur
Matlamat kurikulum Bahasa Arab Komunikasi sebagaimana yang telah dinyatakan adalah
untuk membolehkan pelajar berkomunikasi secara lisan dalam kehidupan seharian mereka.
Mereka diharap dapat menguasai kemahiran-kemahiran berbahasa iaitu mendengar,
bertutur, membaca dan menulis dengan memberi perhatian kepada kemahiran bertutur.
Bahkan antara objektif penting mata pelajaran tersebut ialah agar pelajar membiasakan diri
mendengar bahasa Arab di samping dapat bertutur dengan fasih dan lancar mengeluarkan
pendapat dalam situasi-situasi tertentu. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002)
Kemahiran bertutur merupakan kemahiran lisan yang amat penting, sama ada
dalam situasi formal atau tidak formal. Kemahiran ini penting bagi seseorang itu dalam
hubungannya dengan orang lain. Pertuturan yang diadakan lazimnya membawa maksud
tertentu. Keupayaan menuturkan sesuatu bahasa itu dapat mempercepatkan pemahaman
pelajar, terutama yang berkaitan dengan komunikasi interpersonal. Pengajaran dan
pembelajaran kemahiran ini memerlukan pendekatan yang sesuai terutama apabila
berhadapan dengan kumpulan pelajar yang berlainan, seperti keperluan bagi mempelajari
bahasa pertama ataupun bahasa kedua (Chew Fong Peng & Abdul Jalil Othman, 2008).
Sebahagian besar pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) khususnya dalam aliran
pendidikan Islam masih belum mampu menguasai kemahiran bertutur walaupun telah
dapat pendedahan yang luas dalam bahasa Arab sejak berada di sekolah menengah
(Mastura 2013). Kajian Abd. Halim (2009) juga mendapati faktor-faktor yang menghalang
pelajar-pelajar bertutur di dalam bahasa Arab ialah malu bertutur dalam bahasa Arab,
merasa rendah diri, tidak yakin pada diri sendiri, takut ditertawakan rakan, takut disindir
rakan, tidak bersemangat berkomunikasi dalam bahasa Arab dan takut melakukan
kesilapan ketika menggunakan bahasa Arab.
Kemahiran Membaca
Proses membaca menurut To’imah (1989) ialah suatu proses pengecaman, pemahaman,
kritikan dan tindak balas yang merupakan suatu aktiviti akal fikiran yang memerlukan
penglibatan setiap aspek personaliti seseorang pembaca. Sehubungan itu, kepentingan
penguasaan kemahiran ini telah menjadikan kefahaman bacaan sebagai satu aspek
pelajaran yang wajib bagi pelajaran bahasa Arab di semua peringkat pengajian.
Oleh itu, berdasarkan teori To’imah (1989) menunjukkan bahawa aktiviti membaca
merupakan salah satu kemahiran bahasa yang penting untuk dikuasai sama ada dalam
bahasa ibunda atau bahasa kedua. Tidak lengkap mempelajari sesuatu bahasa itu
melainkan seseorang individu dapat menguasai kemahiran membaca bahasa yang
dipelajarinya. Malah dalam konteks pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing atau
kedua di Malaysia, kemahiran membaca boleh dianggap sebagai objektif utama yang perlu
32
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
dikuasai. Ini adalah kemahiran-kemahiran lain kurang dipraktikkan secara meluas (Nik
Rahimi, 1998). Kenyataan ini disokong oleh Kamarulzaman & Nik Rahimi (2004),
keperluan dan situasi sebenar dalam mempelajari bahasa ini dalam kalangan masyarakat
Malaysia dilihat lebih memerlukan tumpuan kepada kemahiran membaca
Menurut Maimun (2007) pengajaran membaca adalah satu kemahiran penerimaan di
mana pelajar menerima teks dan memecahkan makna-maknanya. Ini kerana dalam
pengajaran dan pembelajaran bahasa, kemahiran membaca ini merupakan kemahiran yang
penting di samping kemahiran mendengar, bertutur dan menulis. Antara tujuan pengajaran
kemahiran membaca adalah mengajar pelajar membaca bahasa Arab dengan mudah dan
santai dengan memahami maknanya secara langsung tanpa terhenti pada perkataan dan
ungkapan tanpa bantuan kamus ketika membaca.
Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merupakan kemahiran berbahasa tertinggi yang berkembang selari
mengikut perkembangan otak dan pengalaman berbahasa seseorang. Sebagai kemahiran
bahasa, fungsinya ialah untuk tujuan berkomunikasi dan menyelesaikan pelbagai urusan
dalam aktiviti harian yang meliputi bidang pendidikan, sosial, dan pekerjaan. Salleh Abdul
Majid al-Arabi (1981) menyatakan bahawa dalam proses penulisan ini terdapat beberapa
perkara utama yang perlu diberikan perhatian, antaranya termasuklah memulakan
penulisan dari kanan ke kiri, menulis huruf-huruf Arab, menulis perkataan dengan ejaan
yang betul, membentuk susunan ayat yang betul dan mampu difahami oleh pembaca, dan
menggunakan susunan ayat dalam perenggan dengan betul. Lantaran itu, kemahiran
menulis dilihat sebagai kemahiran terpenting yang perlu dikuasai oleh masyarakat
khususnya golongan pelajar. Namun, Roselan Baki (2003) berpendapat, menghasilkan
penulisan merupakan suatu proses yang kompleks. Oleh sebab itu, penulisan perlulah
dilaksanakan mengikut tahap-tahapnya secara sistematis.
Sebagai kemahiran bahasa, fungsinya adalah untuk tujuan berkomunikasi dan
menyelesaikan pelbagai urusan dalam aktiviti harian yang meliputi bidang pendidikan,
sosial, dan pekerjaan. Withthrow (1987) menyatakan bahawa kemahiran menulis
merupakan peringkat tertinggi yang hendak dicapai dalam pengajaran dan pembelajaran
bahasa. Lantaran itu, kemahiran menulis dilihat sebagai kemahiran terpenting yang perlu
dikuasai oleh masyarakat khususnya golongan pelajar.
Menurut (Hassan Basri Awang Mat Dahan, Jassem Ali Jassem, Mat Taib bin Pa, &
Jamilah Jahim, 2002), dalam aspek kemahiran menulis, tahap penguasaan pelajar berada
antara sederhana dan lemah. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan oleh beberapa
faktor: 1) Guru kurang memberi latihan; 2) Pelajar lemah perbendaharaan kata - kerana
kurang bacaan yang meluas disebabkan kurang bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Arab;
dan 3) Pengaruh bahasa pengajaran guru (yang menggunakan Bahasa Melayu sewaktu
mengajar); dan guru tiada keupayaan mengajar kemahiran menulis khususnya, penulisan
insya' dan pertuturan.
Objektif Kajian
Berlandaskan maklumat kepentingan dan permasalahan yang telah diperincikan sebelum
ini, penyelidik menggariskan kajian tindakan yang dijalankan adalah berasaskan objektif
berikut:
1. Menjalankan kajian tindakan melalui PdP empat kemahiran asas bahasa Arab.
33
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
2. Memantapkan PdP empat kemahiran asas bahasa Arab menggunakan Model
Cadangan Penambahbaikan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab.
3. Mengetahui penerimaan pelajar terhadap tindakan yang dijalankan melalui PdP
dalam kelas.
Metodologi Kajian
Kajian ini merupakan kajian kuantitatif menggunakan soal selidik sepenuhnya selepas
kajian tindakan dijalankan. Kajian tinjauan digunakan dalam kajian ini berdasarkan
maklumbalas responden terhadap perjalanan kajian tindakan melalui pengajaran dan
pembelajaran kemahiran asas bahasa Arab. Kajian tindakan yang dijalankan ini mencakupi
empat kemahiran asas bahasa Arab iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan
menulis. Responden melalui proses kajian tindakan ini selama satu semester pengajian dan
didedahkan dengan beberapa teknik pengajaran dan pembelajaran kemahiran asas bahasa
Arab yang sesuai bagi mencapai objektif kajian.
Aplikasi kaedah tinjauan ini membolehkan sesuatu isu dan persoalan diteliti
daripada pelbagai perspektif terutamanya dalam menghuraikan mengenai tahap, persepsi
dan sikap responden berkenaan sesuatu isu yang dikaji (Chua. 2006). Selain itu, reka
bentuk kajian tinjauan menggunakan saiz sampel yang besar, maka dapatan kajian boleh di
generalisasi kepada populasi dengan tepat dan berkesan.
Soal selidik yang dibina terdiri daripada 6 bahagian. Bahagian A mengandungi
item-item yang berhubungan dengan faktor demografi pelajar seperti jantina, tahun
pengajian, pendorong mempelajari bahasa arab, tahap penguasaan bahasa arab, tahap
penguasaan Jawi dan tahap penguasaan bacaan Al-Quran. Maklumat demografi seperti
jantina merupakan pemboleh ubah tidak bersandar yang akan diuji dalam kajian ini.
Bahagian B pula ialah berkaitan dengan kemahiran mendengar (8 item), diikuti oleh
bahagian C iaitu kemahiran bertutur (10 item), bahagian D iaitu kemahiran membaca (6
item), bahagian E iaitu penguasaan bahan bacaan (7 item) dan bahagian F iaitu kemahiran
menulis (14 item).
Kajian tindakan ini dijalankan mengikut gelung kajian tindakan Kurt Lewin seperti
di Rajah 1.
Rajah 1 Model Kajian Tindakan
Mengenal Pasti Isu & Masalah Kajian
Mengutip &
Menganalisis Data
Pelaksanaan
Tindakan
Pembentukan Pelan
Tindakan & Penetapan Alat
Kajian / Kaedah Penilaian
Refleksi & Penilaian
Konseptualisasi Masalah: Prinsip /
Teori berhubung dengan masalah
Menganalisis Masalah -Perbincangan penyelidik
Rajah 1 Model Kajian Tindakan
34
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Latar Belakang Responden
Seramai 90 orang pelajar telah menjadi responden kajian tindakan ini. Mereka merupakan
pelajar semester 1 diploma dalam pelbagai bidang pengkhususan Pengajian Islam seperti
al-Quran Sunnah, Tahfiz, Syariah dan Syariah dan Perundangan di Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor (KUIS). Pemilihan dibuat berdasarkan pengkhususan mereka
memandangkan mereka merupakan pelajar yang mempunyai pengalaman pembelajaran
bahasa Arab sejak peringkat sekolah menengah dan melebihi 5 tahun. Oleh itu, kajian
tindakan yang dijalankan adalah bertujuan untuk memantapkan keupayaan kemahiran asas
Bahasa Arab mereka dengan mengaplikasi Model Cadangan Penambahbaikan Pengajaran
dan Pembelajaran Bahasa Arab yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidikan pada tahun
2012.(Mohamad Rofian et. al, 2012).
Dapatan Kajian Dan Perbincangan
Jadual 1 menunjukkan taburan responden dan latar belakang pembelajaran bahasa Arab
dan tahap penguasaannya juga tahap penguasaan bahasa jawi serta al-Quran yang
membantu kepada pembelajaran bahasa Arab itu sendiri.
Jadual 1 Demografi Pelajar
Kategori Bilangan
Pelajar
Peratusan
(%)
Jantina Lelaki 51 56.7
Perempuan 39 43.3
Tahun Pengajian Tahun 1 90 100.0
Pernah mengikuti kursus Bahasa
Arab
Ada 33 36.7
Tiada 57 63.3
Pendorong mempelajari bahasa Arab Diri
Sendiri
67 74.4
Rajah 2
35
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Ibubapa/
Penjaga
13 14.4
Rakan-
rakan
5 5.6
Pensyarah 5 5.6
Tahap Penguasaan Bahasa Arab Sangat
Baik
1 1.1
Baik 11 12.2
Sederhana 49 54.4
Lemah 26 28.9
Sangat
Lemah
3 3.3
Tahap Penguasaan Jawi Sangat
Baik
21 23.3
Baik 39 43.3
Sederhana 27 30.0
Lemah 3 3.3
Tahap Penguasaan bacaan
Al-Quran
Sangat
Baik
20 22.2
Baik 47 52.2
Sederhana 22 24.4
Lemah 1 1.1
Jumlah 90 100.0
Kesemua data soal selidik dianalisis menggunakan perisian komputer melalui program
SPSS versi 21.0. Data-data ini dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif iaitu
frekuensi, peratusan, skor min dan sisihan piawai. Terdapat tiga tahap skor min yang telah
ditetapkan bagi semua item yang dikaji berdasarkan skor min iaitu 1.00 hingga 1.99 berada
pada tahap rendah, 2.00 hingga 2.99 berada pada tahap sederhana dan 3.00 hingga 4.00
berada pada tahap tinggi. Rajah 3 menunjukkan interpretasi kepada tahap skor min
tersebut.
Rajah 3 Interpretasi Julat Skor Min
Julat Tahap Skor Min
1.00 – 1.99 Rendah
2.00 – 2.99 Sederhana
3.00 – 4.00 Tinggi
Sumber: Rosnaini, Mohd Arif & Jalaludin (2011)
Analisis Min, Sisihan Piawai dan Interpretasi
i) Kemahiran Mendengar
36
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar dijalankan dengan menggunakan
kaedah pemerolehan bahasa. Manakala teknik yang digunakan ialah teknik dengar-faham
dan teknik dengar-ajuk yang diaplikasi dalam aktiviti ketika berada di dalam kelas.
Antara aktiviti-aktivitinya ialah pelajar menyebut semula huruf-huruf hijaiyyah,
perkataan-perkataan, dan ayat-ayat pendek dengan makhraj yang betul. Pelajar menulis
semula huruf-huruf hijaiah, perkataan-perkataan, dan ayat-ayat pendek dengan makhraj
yang betul. Pelajar memadankan ayat-ayat Arab yang didengar dengan gambar yang
disediakan. Pelajar memahami teks Arab yang diperdengarkan, serta menjawab soalan
yang disediakan.
Jadual 2 menunjukkan skor min, sisihan piawai dan interpretasi tahap kemahiran
mendengar. Kesemua item di dalam kemahiran mendengar berada pada tahap interpretasi
yang tinggi. Skor keseluruhan bagi kemahiran mendengar ialah (min = 3.55, sp = 0.40) dan
berada pada interpretasi yang tinggi.
Jadual juga menunjukkan maklumbalas responden yang positif ketika melalui
akiviti PdP kemahiran mendengar. Wan Izzuddin & Wan Hasni (1991) memberikan
pandangan bahawa ramai pelajar tidak mempunyai kemahiran mendengar yang baik
disebabkan mereka tidak memberikan daya tumpuan yang jitu terhadap guru yang sedang
mengajar di dalam kelas. Kadang-kadang pelajar gagal memberikan perhatian kepada guru
kerana mereka menjalankan aktiviti lain semasa mendengar seperti menulis, mencatat nota dan
ada pula yang cuba membaca buku. Sebaliknya, apabila kemahiran bertutur disampaikan oleh guru menggunakan teknik
dan aktiviti yang sesuai, proses pembelajaran yang dilalui oleh reponden dapat dimanfaatkan
dengan baik. Jadual 1 telah menunjukkan responden dapat mengikuti, memahami seterusnya
memantapkan pemahaman kemahiran mendengar bahasa Arab yang diikuti dan menghasilkan
interpretasi yang tinggi.
Jadual 2 Skor min, sisihan piawai dan interpretasi tahap kemahiran mendengar
No Item Min Sisihan
Piawai
Interpretasi
B1 Pensyarah saya memberi arahan tutup buku ( اغلق الكتاب)
ketika mengajar bahasa Arab
3.00 .924 Tinggi
B2 Pensyarah saya memberi arahan dengar baik-baik ( ستمع ا
sebelum membaca perkataan dan petikan bahasa (جيدا
Arab
3.73 .469 Tinggi
B3
Pensyarah saya meminta saya menulis perkataan-
perkataan Bahasa Arab yang mempunyai huruf Mad dan
perkataan tanpa huruf Mad yang diperdengarkan
3.48 .691 Tinggi
B4 Pensyarah saya memperdengarkan perkataan-perkataan
Bahasa Arab yang membolehkan saya membezakan Alif
Laam Shamsiyyah dan Alif Lam Qamariyyah
3.70 .608 Tinggi
B5 Pensyarah saya memperdengarkan ayat Bahasa Arab dan
meminta saya memadankan dengan gambar yang
diberikan
3.58 .687 Tinggi
B6 Pensyarah saya meminta saya menulis perkataan yang
diperdengarkan melalui audio (komputer)
3.58 .703 Tinggi
B7 Saya tidak dibenarkan melihat buku bahasa Arab ketika
latihan kemahiran mendengar.
3.69 .533 Tinggi
B8 Pensyarah memperdengarkan bacaan petikan bahasa
Arab beberapa kali dan pelajar tidak dibenarkan melihat
buku
3.68 .493 Tinggi
Skor Keseluruhan Kemahiran Mendengar 3.55 0.40 Tinggi
37
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
ii) Kemahiran Bertutur
Di dalam kajian tindakan ini, kemahiran bertutur menggunakan kaedah komunikatif
dengan mengaplikasi teknik main peranan dan pengumpulan kosa kata. Aktiviti yang
dijalankan pula sepenuhnya berpusatkan kepada pelajar dan guru bertindak sebagai
fasilitator. Pelajar dibahagikan kepada kumpulan kecil (lima hingga enam orang). Mereka
diberikan tajuk mengikut situasi dan beberapa perbendaharaan kata yang sesuai dengan
situasi diberikan. Kemudian dikehendaki menyediakan skirp lakonan berdasarkan situsasi
yang diberikan. Seterusnya dikehendaki melakonkan situsasi mengikut skrip yang
disediakan oleh mereka berdasarkan kreativiti mereka.
Bagi aktiviti teknik pengumpulan kosa kata, audien yang ada di dalam kelas
dikehendaki menulis perkataan atau istilah baru yang diperolehi melalui lakonan yang
dipersembahkan atas kertas warna yang disediakan. Pensyarah hanya akan membetulkan
kesalahan bertutur pelajar berdasarkan lakonan yang dipersembahkan selepas persembahan
dan menulisnya di atas papan putih. Ini sejajar dengan pendapat To’imah (t.t.) ketika
memberi panduan dalam pengajaran kemahiran bertutur, guru perlu mengurangkan
percakapan dan memberi arahan di dalam kelas kemahiran bertutur namun sebaliknya
pelajar perlu memperbanyakkan bertutur bahasa Arab. Bagi mengakhiri aktiviti kemahiran
bertutur, pelajar kemudiannya dikehedaki menyebut perkataan atau istilah yang telah
diperbetulkan oleh pensyarah secara berulang sehingga hadam.
Apabila selesai PdP kemahiran bertutur, borang soal selidik diedarkan bagi
menngetahui maklumbalas pelajar. Jadual 2 menunjukkan skor min, sisihan piawai dan
interpretasi tahap kemahiran bertutur. Kesemua item di dalam kemahiran bertutur berada
pada tahap interpretasi yang tinggi kecuali bagi item “Pensyarah saya tidak banyak
membuat pembetulan kesalahan di dalam pertuturan bahasa Arab” yang berada pada
tahap interpretasi yang sederhana dengan nilai skor min sebanyak 2.46.
Hal ini bertepatan dengan saranan To’imah (t.t.), guru tidak membangkang atau
memotong percakapan ketika pelajar bertutur bahasa Arab serta memperbanyakkan
pembetulan ketika pelajar bertutur bahasa Arab. Adalah satu kebiasaan sekiranya penutur
bahasa Arab sebagai bahasa kedua berasa lemah dalam mengeluarkan kata-kata dan
menyusun ayat bahasa Arab dengan sempurna. Namun perasaan ini akan bertambah
sekiranya percakapan mereka sering dipotong oleh guru. Pembetulan kesalahan pelajar
perlu dilihat dari dua segi: Sekiranya kesalahan pertuturan bahasa Arab pelajar boleh
merosakkan makna ayat, maka guru perlu memperbetulkan kesalahan pertuturan pelajar.
Namun jika kesalahan bahasa itu tidak merosakkan makna serta masih dapat
menyampaikan maksud percakapan, maka kesalahan itu perlu diabaikan. Walau
bagaimanapun, skor keseluruhan bagi kemahiran bertutur ialah (min = 3.49, sp = 0.39) dan
berada pada interpretasi yang tinggi.
Jadual 3 Skor min, sisihan piawai dan interpretasi tahap kemahiran bertutur
No Item Min Sisihan
Piawai
Interpretasi
C1 Pensyarah saya memperkenalkan kepada saya asas
kemahiran bertutur.
3.63 .608 Tinggi
C2 Pensyarah saya meminta saya menyebut perkataan
bahasa Arab yang dipelajari mengikut makhraj yang
betul.
3.66 .621 Tinggi
C3 Pensyarah saya meminta pelajar menjalankan perbualan
dalam bahasa Arab bersama rakan tanpa melihat teks.
3.42 .749 Tinggi
C4 Pensyarah saya meminta pelajar bercakap di hadapan
kelas dalam bahasa Arab tanpa melihat teks.
3.69 .593 Tinggi
38
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
C5 Pensyarah saya memperkenalkan kepada saya kosa kata
baharu untuk digunakan di dalam lakonan mengikut
situasi.
3.58 .519 Tinggi
C6 Pensyarah saya meminta pelajar menyebut secara lisan
kosa kata baharu bahasa Arab mengikut situasi.
3.56 .602 Tinggi
C7 Pensyarah saya meminta pelajar berlakon dalam bahasa
Arab mengikut situasi yang diberikan.
3.67 .581 Tinggi
C8 Pensyarah saya meminta pelajar menyebut ayat dalam
bahasa Arab mengikut nada dan intonasi yang betul
ketika berlakon.
3.53 .674 Tinggi
C9 Pensyarah saya memberi peluang kepada pelajar bertutur
dan berlakon dalam bahasa Arab.
3.73 .493 Tinggi
C10 Pensyarah saya tidak banyak membuat pembetulan
kesalahan di dalam pertuturan bahasa Arab.
2.46 1.062 Sederhana
Skor Keseluruhan Kemahiran Bertutur 3.49 0.39 Tinggi
iii) Kemahiran Membaca
Kemahiran asas bahasa Arab seterusnya ialah kemahiran membaca. Sesi PdP bagi
kemahiran ini mengaplikasi teknik baca senyap dan nyaring. Pelajar diperkenalkan terlebih
dahulu jenis-jenis bacaan (bacaan senyap dan terang). Lalu aktiviti kemahiran membaca
dimulakan dengan pelajar dibahagikan kepada kumpulan kecil mengadungi dua hingga
tiga orang ahli. Setiap kumpulan diberikan teks Arab berbaris dan dikehendaki membaca
teks yang diberi dengan bacaan senyap selama lima minit. Pelajar diminta untuk membaca
teks yang diberikan secara individu, kemudiannya dikehendaki membaca teks yang diberi
secara bersama dengan bacaan terang. Guru membaca sekali lagi teks arab yang diberikan
dengan bacaan, nada, intonasi dan rima yang betul dan pelajar dikehendaki mengajuk
bacaan pensyarah secara bersama. Guru kemudiannya memberi pekenan terhadap unsur-
unsur bacaan seperti mad, syaddah, al-qamariah, al-syamsiah yang terdapat dalam teks.
Setiap kumpulan dikehendaki membaca semula teks dengan bacaan, nada, intonasi dan
rima yang betul dengan menekankan unsur-unsur bacaan seperti mad, syaddah, al-
qamariah, al-syamsiah yang terdapat dalam teks.
Kaedah pengajaran membaca ini selari dengan To’imah (1985) dibahagikan kepada
dua iaitu; kaedah deduktif yang dimulakan dengan diperkenalkan huruf dan bunyi huruf
tersebut dan kaedah induktif yang dimulakan terus dengan memperkenalkan perkataan dan
ayat.
iv) Penguasaan bahan bacaan
Manakala aspek penguasaan bahan bacaan, guru memperkenalkan kepada pelajar dua
teknik bagi menguasai bahan bacaan iaiatu teknik SQ3R & KWLH. Teknik SQ3R
bermaksud S-survey, Q-question, R-read, R-recite dan R-review. KWLH pula bermaksud
K-know, W-want, L-learn dan H-how. Setiap kumpulan perlu memilih untuk
menggunakan teknik SQ3R atau KWLH bagi menguasai bahan bacaan yang diberikan.
Setiap kumpulan dikehendaki untuk membuat rumusan dalam bentuk carta minda
mengikut teknik yang dipilih. Aktiviti ini menyerlahkan kebolehan pelajar secara aktif
ketika mempelajari kemahiran membaca.
M. Khalilullah, S. Ag. (2011) dalam kajiannya tentang strategi pembelajaran bahasa
arab aktif (kemahiran qira’ah dan kitabah) menghuraikan bahawa pembelajaran aktif
memerlukan pelajar terlibat dalam proses belajar masing-masing dengan menerapkan apa
yang dipelajari. Pembelajaran aktif berorientasi kepada proses dan bukan hasil. Integrasi
39
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
antara ilmu atau fakta yang diperolehi dengan proses adalah penting. Dalam erti kata lain,
interaksi berlaku antara tenaga pengajar dan pelajar dalam proses pembelajaran. Strategi
pembelajaran adalah satu cara yang dilakukan oleh individu (guru) terhadap individu lain
(pelajar) untuk menghasilkan perubahan dalam aspek kognitif, afektif dan psikomotor
secara berkesinambungan.
Jadual 4 menunjukkan skor min, sisihan piawai dan interpretasi tahap kemahiran
membaca. Kesemua item di dalam kemahiran membaca berada pada tahap interpretasi
yang tinggi. Skor keseluruhan bagi kemahiran membaca ialah (min = 3.74, sp = 0.34) dan
berada pada interpretasi yang tinggi.
Jadual 4 Skor min, sisihan piawai dan interpretasi tahap kemahiran membaca
No Item Min Sisihan
Piawai
Interpretasi
D1 Pensyarah saya memperkenalkan teori membaca dengan
sebutan makhraj hijaiyyah yang betul.
3.83 .375 Tinggi
D2 Pensyarah saya meminta pelajar membaca petikan
bahasa Arab secara senyap dan terang untuk membaca
dengan sebutan dan makhraj hijaiyyah yang betul.
3.67 .519 Tinggi
D3 Pensyarah saya menyenaraikan asas bacaan yang betul
mengikut Mad, al-qamariyyah dan al-syamsiyyah dan al-
shaddah.
3.79 .437 Tinggi
D4 Pensyarah saya membetulkan dan membimbing pelajar
membaca ayat bahasa Arab mengikut asas bacaan yang
betul.
3.69 .554 Tinggi
D5 Pensyarah saya meminta pelajar membaca ayat bahasa
Arab dengan bacaan yang kuat dan jelas.
3.79 .437 Tinggi
D6 Pensyarah saya meminta pelajar membuat latih tubi
bacaan mengikut asas bacaan yang betul (Mad, al-
qamariyyah dan al-syamsiyyah dan al-shaddah).
3.64 .526 Tinggi
Skor Keseluruhan Kemahiran Membaca 3.74 0.34 Tinggi
Jadual 5 menunjukkan skor min, sisihan piawai dan interpretasi tahap penguasaan
bahan bacaan. Kesemua item di dalam penguasaan bahan bacaan berada pada tahap
interpretasi yang tinggi. Skor keseluruhan bagi penguasaan bahan bacaan ialah (min =
3.49, sp = 0.51) dan berada pada interpretasi yang tinggi.
Jadual 5 Skor min, sisihan piawai dan interpretasi tahap penguasaan bahan bacaan
No Item Min Sisihan
Piawai
Interpretasi
E1 Saya faham mengenai konsep KWLH. 3.26 .787 Tinggi
E2 Saya faham mengenai konsep SQ3R. 3.30 .771 Tinggi
E3 Teknik ini sesuai diintegrasikan dalam meningkatkan
penguasaan kemahiran membaca.
3.56 .655 Tinggi
E4 Teknik ini dapat meningkatkan penguasaan kefahaman
bahan bacaan dalam kelas.
3.56 .563 Tinggi
E5 Saya setuju jika teknik ini diaplikasi dalam pengajaran
dan pembelajaran bahasa khususnya bahan bacaan di
peringkat universiti.
3.53 .584 Tinggi
E6 Teknik bacaan ini dapat membantu pelajar menggunakan
kemahiran berfikir.
3.59 .538 Tinggi
E7 Teknik bacaan ini dapat mengaktifkan pemikiran pelajar
dalam menguasai bahan bacaan.
3.63 .570 Tinggi
Skor Keseluruhan Penguasaan Bahan Bacaan 3.49 0.51 Tinggi
40
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
iv) Kemahiran Menulis
Dalam mempelajari bahasa Arab, kemahiran membina ayat merupakan peringkat
permulaan dalam proses membina kemahiran menulis. Kemahiran ini dilihat sebagai
langkah awal dalam mengenali kemahiran penulisan. Pelajar yang dapat melepasi tahap
kemahiran membina ayat ini, sudah tentu dapat mempelajari kemahiran menulis dengan
baik. Ini adalah kerana kemahiran menulis memerlukan beberapa perkara asas seperti
kemampuan menulis perkataan, kemampuan menggunakan ayat dan kemampuan
mengungkapkan ungkapan supaya dapat ditulis dengan baik.
Oleh itu, guru memulakan pengajaran kemahiran menulis dengan teknik deduktif
dengan meminta pelajar untuk membuat latihan membentuk ayat menggunakan teknik
susun perkataan dalam masa yang sama menerangkan kepada pelajar jenis-jenis ayat Arab:
jumlah ismiyyah dan jumlah fi’liyyah. Guru kemudiannya mendedahkan kepada pelajar
kaedah membuat ayat Arab yang betul sambil membimbing pelajar membina ayat arab
dengan kaedah yang betul. Pelajar kemudiannya diminta untuk membina ayat
menggunakan teknik gambar untuk tujuan pengukuhan dan semakan ayat yang dibina dari
masa ke semasa.Pada akhir pengajaran, pelajar diminta untuk merumuskan kedah menulis
ayat yang dipelajari.
a) Teknik Menyusun Perkataan
Pelajar dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada tiga hingga empat orang
pelajar. Setiap kumpulan diberikan kad imbas berwarna yang mengandungi perkataan-
perkataan Arab. Perkataan-perkataan yang bercerai dikelaskan mengikut warna
berdasarkan jenis ayat; jumlah ismiyyah dan jumlah fi’liyyah. Setiap kumpulan
dikehendaki untuk menyusun perkataan-perkataan yang diberi untuk membentuk ayat yang
betul dan difahami mengikut berbantukan warna kad imbas. Pelajar juga diberikan ayat-
ayat Arab yang mengandungi perkatan-perkataan yang digugurkan, pelajar kemudiannya
dikehendaki memasukkan apa-apa perkataan yang sesuai untuk membentuk ayat Arab
yang lengkap dan betul.
b) Teknik Gambar
Pelajar dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada tiga hingga empat orang
pelajar. Setiap kumpulan diberikan 20 jenis gambar, dan mereka diminta untuk membina
satu ayat bagi setiap gambar. Setiap kumpulan seterusnya diberikan satu gambar, dan
mereka diminta untuk menghasilkan sebanyak mungkin ayat yang betul berdasarkan
gambar yang diberikan.
Jadual 6 menunjukkan skor min, sisihan piawai dan interpretasi tahap kemahiran
menulis. Kesemua item di dalam kemahiran menulis berada pada tahap interpretasi yang
tinggi. Skor keseluruhan bagi kemahiran menulis ialah (min = 3.49, sp = 0.47) dan berada
pada interpretasi yang tinggi.
Jadual 6 Skor min, sisihan piawai dan interpretasi tahap kemahiran menulis
No Item Min Sisihan
Piawai
Interpretasi
F1 Pensyarah menerangkan kepada pelajar jenis-jenis ayat
bahasa Arab.
3.58 .540 Tinggi
F2 Pensyarah saya mengajar pelajar menulis ayat menurut
kaedah tatabahasa bahasa Arab.
3.66 .523 Tinggi
F3 Pensyarah menunjukkan cara menulis ayat bahasa Arab
menurut kaedah tatabahasa yang betul.
3.66 .523 Tinggi
F4 Pensyarah saya membimbing pelajar menulis ayat
bahasa Arab menurut kaedah tatabahasa yang betul.
3.67 .581 Tinggi
41
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
F5 Pensyarah saya melatih pelajar menulis ayat bahasa
Arab bermula dengan paling mudah, sukar dan paling
sukar.
3.61 .575 Tinggi
F6 Pensyarah saya meminta pelajar menyusun perkataan-
perkataan yang diberi supaya menjadi ayat yang
lengkap.
3.67 .474 Tinggi
F7 Pensyarah saya meminta pelajar mengisi perkataan
sendiri di tempat kosong dalam ayat.
3.61 .575 Tinggi
F8 Pensyarah saya meminta pelajar menulis ayat bahasa
Arab berdasarkan lukisan atau gambar.
3.58 .670 Tinggi
F9 Pensyarah saya meminta pelajar menulis ayat bahasa
Arab berdasarkan perkataan yang diberikan.
3.61 .555 Tinggi
F10 Saya tahu jenis-jenis ayat dalam bahasa Arab. 3.24 .865 Tinggi
F11 Saya faham kaedah menulis ayat seperti yang
diterangkan oleh pensyarah saya.
3.37 .710 Tinggi
F12 Saya tahu cara menulis ayat bahasa Arab menggunakan
kaedah tatabahasa yang betul.
3.22 .858 Tinggi
F13 Saya mampu menyusun perkatan-perkatan Arab untuk
membentuk ayat yang betul.
3.22 .790 Tinggi
F14 Saya mampu menulis ayat bahasa Arab menggunakan
kaedah tatabahasa yang betul.
3.20 .824 Tinggi
Skor Keseluruhan Kemahiran Menulis 3.49 0.47 Tinggi
Secara keseluruhannya, dapatan jadual di atas menunjukkan pelajar dapat dibimbing
dengan kemahiran menulis dengan teknik dan aktiviti yang mampu diikuti oleh pelajar.
Aktiviti pemantapan kemahiran ini selari dengan Ahmad Khair Mohd. Nor (2005) dan
Yahya Othman (2005) menyatakan bahawa penguasaan kemahiran menulis bukan hanya
bergantung kepada bakat sahaja, bahkan ia dipengaruhi oleh pengajaran menulis yang
bersistem dan berkesan. Justeru, penguasaan peringkat asas dimulakan dengan menulis
huruf, perkataan, ayat dan akhirnya menulis sebuah wacana yang dapat difahami.
Kesimpulan
Berdasarkan kajian tindakan yang telah dijalankan, maklumbalas daripada responden
sangat memuaskan. Hal ini kerana PdP empat kemahiran asas bahasa Arab yang
menggunakan pelbagai teknik dan aktiviti memberi perangsang kepada mereka melalui
pembelajaran bahasa Arab yang menyeronokkan seterusnya dapat memantapkan lagi
penguasaan bahasa Arab mereka. Suasana pembelajaran di dalam kelas menjadi lebih
interaktif dengan memastikan setiap pelajar menyertai aktiviti yang dijalankan. Justeru,
dapatan kajian ini mencadangkan agar teknik dan kepelbagaian aktiviti PdP kemahiran
asas bahasa Arab yang telah diaplikasi boleh dimanfaatkan oleh tenaga pengajar mengikut
kesesuaian responden mereka. Adalah diharapkan dapatan ini mencetuskan buah fikiran
yang berfaedah ketika menjalan PdP kemahiran asas bahasa Arab.
Rujukan
Abdul Halim Mohamad.2009. Tahap komunikasi dalam Bahasa Arab dalam kalangan
pelajar Sarjana Muda Bahasa Arab di IPTA Malaysia. JIAE: Journal of Islamic and
Arabic Education, 1 (1). pp. 1-14
Chua Yan Piaw. (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan
Pendidikan. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill.
42
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Hassan Basri Awang Mat Dahan Mohd Azhar Zailaini. 2005. Pengajaran Bahasa Arab
Untuk Tujuan-Khusus: Satu Pandangan Awal, Universiti Malaya Masalah
Pendidikan, Universiti Malaya 233.
Ibtisam bt Abdullah Zamri bin Ahmad. 2012. Pengajaran Kemahiran Mendengar Bahasa
Arab Sebagai Bahasa Kedua. Persidangan Kebangsaan Pengajaran Dan
Pembelajaran Bahasa Arab 2012 (PKEBAR’12) Unit Bahasa Arab, Fakulti
Pengajian Islam,UKM.
Kamarudin Hj. Husin. 1986. Kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa. Subang Jaya:
Sarjana.
Kenneth Beare. 2009. The Challenge of Teaching Listening Skills. Dicapai pada 13 Mac
2017 daripada http://esl.about.com/cs/teachlistening/a/a-tlisten.htm.
Ku Fatahiyah Ku Azizan et.al. 2014. Tahap Kemahiran Asas Bahasa Arab di IPT
Malaysia. GSE E-Journal of Education .Vol 1 No 2 2014.
Mastura binti Arshad. 2013. Penggunaan Strategi Pembelajaran Aturan Kendiri
Kemahiran Bertutur Bahasa Arab Dalam Kalangan Pelajar Melayu Di Pusat Asasi
UIAM. Proceeding Of Ilcc 2013 International Language For Communication
Conference 2013
M. Khalilullah, S.Ag. 2011. Strategi Pembelajaran Bahasa Arab Aktif (Kemahiran
Qira’ah Dan Kitabah). Jurnal Sosial Budaya, Vol. 8 No. 01 Januari – Juni 2011.
Mohammad Rofian et.al. 2012. Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab Di
Institusi Pengajian Tinggi Awam Dan Swasta Di Malaysia. Bangi: Kolej Universiti
Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Mohamad Ziyad bin Mukhtar & Izuddin bin Muhammed. 2012. Penguasaan Asas Bahasa
Arab Dalam Kalangan Pelajar Ppismp Gstt- Pai: Satu Kajian Kes
https://www.academia.edu/8003852/ dicapai pada 13 mac 2017.
Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff. (1998). Bahasa Arab untuk kemahiran komunikasi: Satu
kajian tentang perlaksanaannya dan cabaran pengajaran dan pembelajaran di abad
ke-21. Prosiding isu-isu pendidikan negara, Bangi.
Nik Mohd Rahimi. 2003. Pengajaran kemahiran mendengar Bahasa Arab: Antara tradisi
dan
inovasi. Prosiding Wacana Pendidikan Islam (siri 3), p. 200-213.
Nik Mohd Rahimi. 2005. Penilaian kemahiran mendengar dalam Kurikulum Bahasa Arab
Komunikasi. Tesis Dok. Fal. Fakulti Pendidikan, Bangi UKM.
Roselan Baki. 2003. Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Shah Alam: Karisma
Publications Sdn. Bhd.
Rosnaini Mahmud et.al. 2011. Tahap Kemahiran dan Pengintegrasian ICT dikalangan
Guru Sekolah Bestari. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia Jilid 1, Nombor 1,
Mac 2011.
Salleh Abdul Majid al Arabi. 1981. Ta’alumil lughatul haiyyah wa ta’alimuha. Beirut:
Maktabah Lubnan.
To’imah, Rushdi Ahmad. 1989. Ta’lim al-’Arabiyyah li ghairi natiqiin biha. Rabat:
Mansyurat al-munazzamah al-Islamiyyah li-tarbiyyah wa al-ulum wa thaqafah-
Esesco.
Toimah, R.A. t.t. Al-Marji’ Fi Ta’lim al-Lughah al-Arabiyyah Li Al-Natiqiin bi Lughatin
Ukhra. Jilid2: Jami’ah Ummul Qura: Maa’had al-Lughah al-Arabiyyah.
Toimah, R.A. 1985. Dalil ‘Amal fi I’dad al-Mawaad al-Ta’limiyyah li Baramij Ta’lim al-
Arabiyyah. Jamia’ah Ummul Qura: Ma’had Al Lughah Al Arabiy Li Ghair Natiqiina
Biha.
Wan Izzuddin Wan Sulaiman & Wan Hasni Wan Sulaiman.1991. Strategi belajar yang
berkesan. Kuala Lumpur: Sabha-DTP Services.
43
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Withrow, Jean. 1987. Effective writing: writing skills for intermediate students of
Ametican English. Cambridge: Cambridge University Press.
Yahya Othman. 2005. Trend dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Kuantan: PTS
Profesional.
Recommended