Artikel 1

Embed Size (px)

Citation preview

1.0 PENDAHULUAN Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) merupakan satu program yang dirancang khusus untuk membantu murid tahun satu menguasai kemahiran asas iaitu membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Program ini telah dilancarkan secara rasminya oleh Yang Berbahagia Datuk Dr. Haji Ahamad bin Sipon, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada 20 April 2206 di Hotel Pearl International, Kuala Lumpur. Program ini berkait rapat dengan pelan induk pembangunan pendidikan (PIPP) pada teras utama yang keempat iaitu merapatkan jurang pendidikan. Matlamat program KIA2M ialah memastikan 100% murid Tahun 1 menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Bagi menyiapkan tugasan tinjauan literatur ini, saya merujuk kepada tiga buah artikel. Artikel pertama ialah Tinjauan Terhadap Pencapaian dan Masalah Murid-Murid di Sekolah Kebangsaan Logongan, Sekolah Kebangsaan Pensiangan dan Sekolah Kebangsaan Salinatan, Nabawan, Sabah oleh Abdul Latib bin Abd Rahman dan Nor Azzam bin Ariffin. Artikel kedua pula merujuk kepada artikel Tahap Penguasaan dan Kesukaran Membaca dan Menulis Dalam Kalangan Murid KIA2M oleh Hasnalee bin Tubah. Artikel ketiga ialah artikel yang bertajuk KIA2M Perangi Keciciran Ilmu. Apa Peranan Penerbit oleh Roslan Yahya. 2.0 TINJAUAN LITERATUR Berdasarkan pembacaan yang telah dilakukan, beberapa perbandingan dapat dibuat antara ketiga-tiga artikel. Dalam artikel pertama tulisan Abdul Talib bin Abd Rahman dan Nor Azam bin Ariffin, penulis menyatakan hasil kajian yang dijalankan di tiga buah sekolah berkaitan murid KIA2M. Terdapat beberapa aspek yang tidak dinyatakan dalam artikel kedua dan ketiga. Daripada hasil kajian tersebut, kita boleh lihat ramai murid luar bandar yang mempunyai masalah kemahiran membaca dan menulis berdasarkan bilangan murid yang terlibat dalam program KIA2M di sekolah-sekolah tersebut. Terdapat juga murid yang masih mempunyai masalah yang sama walaupun telah menyertai program KIA2M. Selain itu, dalam artikel ini juga ada menyatakan berkenaan masalah

pendidikan yang dihadapi oleh murid dari segi kekurangan guru, kekurangan kemudahan infrastruktur, kurang kesedaran ibu bapa dan sebagainya. Seterusnya, terdapat beberapa aspek yang diketengahkan dalam artikel kedua tulisan Hasnalee bin Tubah tidak terdapat dalam artikel pertama dan ketiga. Antaranya ialah, penulis artikel kedua ada menyatakan tinjauan literatur beliau terhadap beberapa kajian oleh beberapa orang pengkaji berkenaan masalah membaca. Antara hasil kajian yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji tersebut, terdapat 18 peratus daripada 25 buah sekolah luar bandar mengalami masalah membaca dan 75 peratus murid semakin boleh membaca jika dibimbing dengan betul. Di samping itu, kita dapat lihat dalam artikel kedua, penulis menerangkan dengan lebih terperinci mengenai permasalahan murid dalam kemahiran membaca dan menulis. Terdapat beberapa bentuk kesukaran membaca yang dihadapi oleh murid KIA2M seperti kesukaran mengenal abjad, mengeja konsonan dan abjad, membatang suku kata KVKV dan mengingat bunyi suku kata KVKV serta masalah dominan yang dihadapi oleh murid ialah kekeliruan dan tidak konsisten. Dari segi asas menulis pula, antara bentuk kesukaran yang dinyatakan ialah kesukaran tulis huruf secara terbalik, menulis secara tidak normal dan menulis huruf besar dan kecil. Di samping itu, dalam artikel kedua juga ada menyatakan mengenai faktor-faktor berlakunya permasalahan

membaca dan menulis dalam kalangan murid KIA2M di mana aspek ini tidak dibincangkan dalam artikel pertama dan ketiga. Antara faktor berlakunya permasalahan tersebut adalah keadaan keluarga berpendapatan rendah, faktor genetik, masalah mental seperti sukar untuk menghafal dan juga masalah motivasi kendiri. Dalam artikel ketiga tulisan Roslan Yahya, penulis ada menyatakan pandangan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada tahun 2006, Datuk Dr Ahamad Sipon terhadap KIA2M. Menurut beliau, program KIA2M mesti dijalankan dan semua pihak perlu bertanggungjawab bagi memastikan program ini berjalan dengan jayanya. Kita lihat pula aspek yang dibincangkan dalam artikel pertama dan ketiga berkenaan bilangan murid yang tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca dan menulis di mana informasi ini tidak dinyatakan dalam artikel kedua. Dalam artikel ketiga ada menyatakan bahawa

Kementerian Pelajaran Malaysia mendapati 138,271 murid Tahun Satu di Semenanjung Malaysia tahun ini tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Jumlah keciciran murid untuk menguasai kemahiran asas tersebut diperoleh selepas 392,029 murid Tahun Satu menduduki pentaksiran asas menulis, membaca, dan lisan yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Dalam artikel pertama pula ada menyatakan pencapaian murid di dua buah sekolah di mana dijalankan kajian terhadap pelajar KIA 2M. Bagi sekolah Sekolah Kebangsaan Logongan seramai 23 orang tidak boleh membaca dan menulis pada tahun 2009 manakala di Sekolah Kebangsaan Pekan Pensingan, seramai 16 orang belum boleh membaca dan menulis. Selain itu, dalam artikel pertama dan kedua ada menyatakan berkenaan cadangan mengatasi masalah yang dalam program KIA2M. Dalam artikel pertama menyatakan cadangan kepada semua pihak yang terlibat sama ada kerajaan, sekolah, guru dan ibu bapa manakala dalam artikel kedua lebih fokus kepada bagaimana guru untuk menangani masalah dalam program KIA2M. Pada pandangan saya, terdapat beberapa aspek yang tidak dikemukakan oleh ketiga-tiga penulis tetapi perlu diambil kira. Antaranya ialah sejarah bagaimana wujudnya program KIA2M. Seperti mana yang kita ketahui, sebelum ini program intervensi 3M telah dilaksanakan. Namun, pada tahun 2006, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjalankan kajian dan mendapati seramai 138,271 murid Tahun 1 di semenanjung Malaysia tidak menguasai kemahiran membaca dan menulis. Bagi membendung masalah ini, program KIA2M telah dilancarkan secara rasminya pada tahun 2006. Di samping itu, pengajaran kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan murid-murid KIA2M perlu menekankan konsep penggabungjalinan dan penerapan. Jadi, bagaimana cara guru menjalankan penggabungjalinan dan penerapan dalam pengajaran perlu dititikberatkan. Guru menggabungjalinkan ilmu dan kemahiran serta menerapkan nilai murni semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Penggabungjalinan Bahasa Melayu dan tiga mata pelajaran yang lain iaitu Pendidikan Seni, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Jasmani sangat penting bagi memberi kefahaman kepada murid di samping menjadikan proses

pengajaran dan pembelajaran lebih menarik. Di samping itu, aspek yang perlu dibincangkan ialah kesan KIA2M positif dan negatif terhadap murid dan juga guru. Antara kesan positif ialah penguasaan murid dalam aspek membaca dan menulis meningkat, murid dapat menunjukkan sikap positif dan berani untuk bertanya dan proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih mudah. Namun, antara kesan negatif yang kita boleh lihat ialah murid akan berasa rendah diri apabila tidak melepasi Ujian Pelepasan dan akan hilang motivasi diri. Dalam meningkatkan kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan murid, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil beberapa langkah yang proaktif. KPM cuba untuk memastikan KIA2M berjalan dengan jayanya. Guru-guru yang mengajar KIA2M juga diberi kursus bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam pengajaran. Namun, KIA2M tidak berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan. Berdasarkan beberapa kajian, masih terdapat ramai murid yang tidak boleh membaca dan mengira. Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil langkah untuk menambah baik program KIA2m dengan menggantikan KIA2M dengan Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS). Jika KIA2M menyasarkan objektif selama setahun, melalui program LINUS KPM telah menyasarkan bahawa semua murid yang tidak mempunyai masalah pembelajaran berkeupayaan menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikut pendidikan rendah. Guru memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani masalah membaca dan menulis. Kursus seharusnya diberikan kepada guru-guru tentang pengetahuan dan kemahiran mengajar murid yang mempunyai masalah membaca dan menulis. Guru juga harus menggunakan strategi yang sesuai mengikut tahap pemikiran murid. Ibu bapa memainkan peranan ketika di rumah. Ibu bapa harus menyediakan keperluan asas anak-anak dan memberikan pendidikan yang sewajarnya ketika di rumah. Media massa memainkan peranan dengan menyiarkan rancangan ataupun slot berkaitan dengan pendidikan. Akhir sekali, masyarakat berperanan menyokong apa yang dilaksanakan oleh masyarakat dan mengambil berat terhadap perkara yang berlaku di sekeliling seperti membantu golongan yang susah.

2.0 PENUTUP Secara kesimpulannya, setiap pihak berperanan dalam mengatasi masalah membaca dan menulis di kalangan murid sekolah rendah. KIA2M merupakan satu usaha yang sangat baik namun memerlukan penambahbaikan supaya objektif yang ditetapkan tercapai. Setiap orang berpeluang untuk mendapat pendidikan dan setiap murid berpotensi jika mendapat bimbingan yang sewajarnya. Penguasaan asas membaca dan menulis lebih berkesan jika murid diberi peluang yang luas dan pelbagai untuk memahami sesuatu konsep. Jadi, program KIA2M yang kini diganti dengan LINUS perlu diteruskan supaya masalah buta huruf dalam kalangan rakyat Malaysia dapat ditangani.