Upload
umimaira
View
898
Download
3
Embed Size (px)
Citation preview
BAB 2
KOSA ILMU
2.1 PENDAHULUAN
Sesuatu kajian yang ingin dilakukan perlulah mengambil kira kajian-kajian lepas yang
telah dilakukan oleh para pengkaji sebelumnya. Kajian-kajian lepas ini lebih dikenali
sebagai kajian literatur atau kajian kosa ilmu. Kajian kosa ilmu ini sangat penting
dilakukan kerana ia membawa seseorang pengkaji itu mendapatkan lompang dalam
bidang yang ingin dikaji. Dalam hal ini, Berg (2001) mengemukakan pendapatnya
mengenai kepentingan kajian kosa ilmu dalam memberi gambaran awal tentang kajian
oleh seseorang pengkaji:
“The basic intention of a literature review is to give a comprehensive
review of previous works on the general and specific topics considered in the
report. At least to some extent, the literature reviews foreshadows the
researcher’s own study.”
Pengkajian tentang KPA dalam bahasa Melayu pernah dibincangkan oleh para
pengkaji terdahulu sejak tahun 1930-an baik dalam bidang persejarahan, perkamusan,
peristilahan dan cabang-cabang linguistik yang lain. Kajian-kajian ini semakin
berkembang maju selaras dengan peredaran zaman di mana pelbagai aspek bahasa
dibincangkan demi mencari satu rumusan tentang penyerapan bahasa Arab ke dalam
bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang dilakukan ini sebahagian
besarnya adalah cenderung kepada bentuk penyenaraian dan penghuraian kasar semata-
mata, meninggalkan segala persoalan tanpa jawapan yang berpada dan boleh diambil
17
manfaat sepenuhnya oleh masyarakat. Terdapat juga sebilangan kajian yang cuba
mengupas permasalahan linguistik KPA dalam bahasa Melayu, namun masih lagi tidak
menggunakan sebarang teori kukuh sebagai landasan kajian. Ketiadaan kajian KPA
berteraskan teori ini dilihat menjadi punca segala permasalahan yang membelenggu ahli
bahasa dan masyarakat tidak dapat dirungkaikan. Akibatnya, pertelingkahan dan
pertikaian terus-terusan berlaku, dan banyak perkara yang sepatutnya telah pun dapat
dibuat rumusan dan keselarasan masih tidak dilakukan.
2.2 ULASAN KOSA ILMU
Dalam kajian ini, penulis telah mengumpulkan beberapa kajian lepas yang
berkaitan dengan kajian KPA dalam bahasa Melayu ini. Seterusnya, untuk memudahkan
penelitian dilakukan, maka penulis membahagikan kajian-kajian kosa ilmu tersebut
kepada tiga kategori. Kategori-kategori tersebut dilabelkan sebagai Kajian KPA
Linguistik Deskriptif, Kajian KPA Linguistik Teoritis, dan Kajian KPA Bukan
Linguistik.
2.2.1 Kajian KPA Linguistik Deskriptif
Kajian KPA Linguistik Deskriptif adalah merujuk kepada kajian KPA yang
menyentuh aspek linguistik secara umum dan bersifat huraian sahaja tanpa penjelasan
yang berpada. Kajian KPA Linguistik Deskriptif ini dibahagikan pula kepada dua, iaitu
umum dan khusus. Umum di sini bermaksud kajian KPA tersebut membincangkan
pelbagai disiplin linguistik dalam satu kajian secara serentak, manakala khusus pula ialah
kajian yang memberi fokus kepada sesuatu bidang linguistik sahaja tanpa
membincangkan bidang-bidang linguistik yang lain.
18
2.2.1.1 Kajian KPA Linguistik Deskriptif (Umum)
Kajian Muhammad Abdul Jabbar Beg (1977)
Buku yang diterbitkan pada tahun 1977 ini secara jelas mempamerkan fokus
kandungannya melalui judulnya iaitu kajian perbandingan tentang penyerapan KPA ke
dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, kajian ini bukanlah sekadar kajian
perbandingan semata-mata sebaliknya banyak aspek-aspek lain yang diterokai dan
dihuraikan berkenaan KPA dalam bahasa Melayu. Buku ini dibahagikan kepada sepuluh
bab yang merangkumi asal-usul dan sejarah perkembangan bahasa, penyerapan KPA ke
dalam bahasa Melayu serta bilangan kehadirannya, penulisan-penulisan terdahulu tentang
KPA dalam bahasa Melayu, perbandingan KPA dalam bahasa Melayu dengan KPA
dalam bahasa-bahasa yang lain, penggunaan KPA dalam bahasa Melayu, ulasan kritis
etimologi KPA dan juga senarai KPA dalam bahasa Melayu.
M.A.J Beg mendahului kajiannya dengan pendahuluan yang cukup menarik iaitu
sejarah penyerapan kosa kata KPA ke dalam bahasa Melayu. Pengkaji tidak sekadar
menyatakan bilakah kedatangan kosa kata Arab ke bumi Melayu sebaliknya
mempamerkan beberapa gambar artifak seperti syiling emas dan perak dengan tulisan
Arab yang menjadi bukti kedatangan Islam seterusnya kemasukan kosa kata Arab ke sini.
Pengkaji seterusnya mengupas warna-warni kata pinjaman dalam bahasa Melayu khasnya
KPA. Di sini, pandangan-pandangan cendekiawan terdahulu terhadap KPA diulas.
Pengkaji mula menjurus ke arah ilmu perkamusan apabila usaha-usaha
pengumpulan KPA dalam bahasa Melayu yang pernah dilakukan oleh beberapa orang
pengkaji dan penulis kamus seperti Za’ba (1965), Abdul Hamid bin Ahmad (1951),
Muhammad Said (1939), Muhammad Sanusi bin HJ. Mahmood (1976), T.Iskandar
(1970), dan Kadir et. al (1975) turut disebut di dalam buku ini. Persoalan tentang bilangan
kehadiran KPA ke dalam bahasa Melayu tidak hanya terhenti dengan menyebut beberapa
nama, sebaliknya segala pertikaian dan ketidakselarasan jumlah KPA yang dikumpulkan
oleh para pengkaji diulas dengan terperinci. Beberapa judul kamus dimuatkan dengan
19
tujuan membuat perbandingan antara satu kamus dengan kamus yang lain dalam hal
jumlah kosa kata Arab yang terkumpul.
Ulasan tentang KPA di dalam buku ini diteruskan dengan pendapat-pendapat
pengkaji terdahulu tentang bidang-bidang yang dipengaruhi oleh KPA dalam bahasa
Melayu misalnya R.O Winstedt (1952) mengatakan bahawa KPA dalam bahasa Melayu
adalah bersangkutan dengan hal ehwal agama dan perundingan. Pengkaji juga melalui
hasil kajiannya menyangkal pendapat Winstedt yang mengatakan bahawa KPA dalam
bahasa Melayu adalah terhad. Hakikatnya, terlalu banyak KPA yang telah sebati dalam
bahasa Melayu sehingga tidak dapat dikesan asal-usulnya. Seterusnya pengkaji
mengemukakan pendapat Za’ba (1965) yang bertentangan dengan pandangan Winstedt
dan Marsden berikutan penemuan lebih banyak KPA yang dapat dibahagikan kepada
beberapa bidang seperti keagamaan, pembelajaran, pemikiran, perundangan, adat dan
kemasyarakatan serta bidang perubatan. Langkah Za’ba kemudiannya dicontohi oleh
seorang lagi pengkaji iaitu Mr. G. Soosai (1976), seorang penulis prolifik di Malaysia,
Singapura, Brunei dan Indonesia. Beliau yang juga seorang guru bahasa turut membuat
penyenaraian KPA dalam bahasa Melayu.
Seterusnya, fokus utama kajian ini dikupas dengan terperinci, iaitu perbandingan
antara KPA dan bahasa-bahasa lain seperti Hausa, Argobba, Gurage, Tigre, Tingriya,
Amharic, Somali, Spanish dan Latin, Tibetan, Oriya dan Bengali. Menurut Beg (1977),
tujuan kajian perbandingan ini dibuat adalah untuk mengeluarkan satu teori bahawa KPA
dalam bahasa yang berlainan akan menghasilkan output yang berbeza dari segi ejaan dan
penggunaan. Hal ini dikatakan terjadi akibat proses penyesuaian atau naturalisasi yang
berbeza, bergantung kepada bahasa yang meminjam KPA tersebut.
Dalam membincangkan proses naturalisasi KPA dalam bahasa Melayu, pengkaji
membuat beberapa rumusan iaitu;
i. Konsonan rangkap sama ada di tengah atau di akhir kata akan digugurkan salah
satunya, misalnya dallal = dalal, dajjal = dajal, shakk = shak dan banyak lagi.
20
ii. Penggunaan huruf /k/ bagi menggantikan /q/ dalam bahasa asal seperti qamus =
kamus, qubbah = kubah, qiyamah = kiamat.
iii. Penggunaan /p/ dalam bahasa Melayu berbeza dengan penggunaan /f/ dalam
bahasa Arab. Contoh-contoh yang diberi antaranya; kafir = kapir, faham = paham,
fasiq = pasik.
iv. Penambahan atau penyisipan /u/ di akhir kata berlaku dalam sesetengah perkataan
yang dipinjam seperti ‘ilm = ilmu, qalb = kalbu, nafs = nafsu.
v. Penyisipan /i/ di akhir kata yang dipercayai akibat pengaruh bahasa Parsi dalam
bahasa Melayu, contohnya ahl = ahli, ‘abd = abdi, rizq = rezeki.
vi. Penggunaan /e/ bagi menggantikan /a/ pada suku kata pertama KPA, seperti sabab
= sebab, barakah = berkat, fiqh = fekah, qirtas = kertas dan lain-lain.
vii. /s/ dalam bahasa Melayu adalah berkoresponden dengan bunyi /th/ dalam bahasa
Arab, di mana /salji/ digunakan menggantikan /thalj/, /waris/ menggantikan
/warith/, /bahas/ menggantikan /bahth/.
viii. Huruf Arab /z/ adalah sama dengan /l/ bahasa Melayu, dibuktikan dengan
perkataan lohor yang asalnya zuhr, lahir menggantikan zahir dan hafal
menggantikan hifz.
ix. Huruf /ḍ/ adalah sama dengan /dh/ dan /dz/ dalam bahasa Melayu. Antara
perkataan yang diambil sebagai contoh ialah qaḍi = kadhi, raḍiy = radzi, radhi dan
haiḍ = haidh
x. Huruf /dh/ (dhal) dalam bahasa Arab digantikan dengan /z/ dalam bahasa Melayu
seperti ladhdhah = lazat, mubadhdhir = membazir, tadhkirah = tazkirah.
xi. Huruf /t/ digunakan dalam bahasa Melayu bagi menggantikan / ṭ /, misalnya
perkataan talak bagi menggantikan ṭalaq, tabib menggantikan ṭabib.
xii. Huruf /ع/ mengikut sistem ejaan baru direpresentasikan dengan huruf /k/ seperti
la’nah = laknat, ni’mah = nikmat dan ta’ziah = takziah.
Pengkaji juga memberikan senarai fonem yang tidak terdapat dalam bahasa
Melayu dan fonem-fonem yang digunakan menggantikan fonem asal yang tidak wujud
itu. Pengkaji seterusnya membuat perbandingan antara bahasa Melayu dan bahasa-bahasa
21
lain seperti yang dinyatakan di atas, perbezaan dan persamaan yang berlaku setelah
peminjaman kosa kata Arab dilakukan.
Kajian ini juga menyentuh beberapa aspek penggunaan KPA dalam bahasa
Melayu, antaranya dalam bidang seni bina, tasauf, kewartawanan, nama manusia, sajak,
gurindam, pantun, peribahasa dan kiasan. Penemuan ini sememangnya menarik dan
pengkaji dapat membuktikan bahawa sebahagian besar daripada karya sastera klasik
tersebut menggunakan KPA.
Kajian ini diakhiri dengan perbahasan isu kata pinjaman bahasa Arab atau bukan
bahasa Arab. Hal ini kerana terdapat segelintir pengkaji terdahulu terutamanya penulis
kamus telah menimbulkan keraguan dan menyatakan sesetengah perkataan yang bukan
berasal daripada bahasa Arab sebagai KPA. Contohnya, perkataan kurma dan khenduri
didakwa berasal daripada bahasa Arab. Hakikatnya, kurma dalam bahasa Arab ialah
tamar dan kenduri pula berasal daripada bahasa Parsi dan bukan bahasa Arab.
Kajian Amran Kasimin (1987)
Kajian ini merupakan sebuah kajian KPA bebas teori yang bersifat umum kerana
perbincangannya membicarakan beberapa disiplin linguistik seperti fonologi, semantik,
dan ilmu perkamusan secara umum. Walau bagaimanapun, Amran ternyata memberi
lebih perhatian kepada pengumpulan dan penyenaraian KPA dalam bahasa Melayu. Ini
terbukti dengan usaha pengkaji dalam membuat senarai KPA yang bersumberkan kamus-
kamus Melayu dan kitab-kitab agama yang digunakan secara meluas di Tanah Melayu
pada satu masa dahulu.
Selain senarai perbendaharaan kata KPA dalam bahasa Melayu, Amran turut
menyentuh aspek perubahan fonologi yang berlaku dalam kosa kata Arab yang menyerap
ke dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, pengkaji sekadar menyenarai dan
menunjukkan perubahan yang berlaku serta berpendapat bahawa perubahan ini bukanlah
satu hukum atau teori perubahan yang boleh dijadikan satu kaedah umum. Antara bentuk
22
perubahan yang dipamerkan ialah pengguguran satu daripada dua konsonan yang
berganda seperti haqq = hak, had = had, sAeah = sihat. Perubahan lain yang
dibincangkan adalah perubahan bunyi huruf selepas peminjaman seperti /f/ menjadi /p/,
/q/ menjadi /k/, /a/ menjadi /e/, /h/ menjadi /t/ dan penggunaan satu huruf rumi yang
mewakili dua atau tiga huruf Arab. Penggunaan kata jamak dan istilah yang berbeza
fungsinya setelah berlaku peminjaman juga dibincangkan secara ringkas.
Pengkaji juga membincangkan isu perkamusan dengan membincangkan kategori-
kategori perkataan yang disusun di dalam kamus, penandaan etimologi Arab yang tidak
menyeluruh, perkataan-perkataan yang tidak dimasukkan ke dalam daftar kamus dan juga
masalah transliterasi yang mengelirukan pembaca. Seterusnya isu makna dan pengertian
dibincangkan dengan mengambil beberapa contoh KPA dan perubahan makna yang
berlaku setelah berlakunya peminjaman. Peluasan makna didapati berlaku dalam contoh-
contoh KPA yang dibincangkan. Amran juga menyatakan pandangannya bahawa
transliterasi Arab-Rumi adalah perkara yang sangat penting agar tidak berlaku kekeliruan
makna dan sebutan di kalangan pengguna bahasa. Oleh itu, pengkaji menurunkan
transliterasi yang sepatutnya digunakan dalam mendeskripsi sebutan bahasa Arab.
Sebelum menyenaraikan perbendaharaan kata Arab dalam bahasa Melayu,
pengkaji menyingkap masalah yang dihadapi dalam menyusun perbendaharaan kata ini.
Menurut pengkaji, terdapat sebahagian perkataan yang disenaraikan didakwa tidak pernah
digunakan atau didengari oleh pengguna bahasa. Namun demikian, pengkaji menegaskan
bahawa perkataan-perkataan tersebut sebenarnya wujud dalam bahasa Melayu, namun
disebabkan ketiadaan pengetahuan bahasa Arab, pembacaan dan penggunaan bahasa yang
kurang meluas di kalangan masyarakat membuatkan perkataan-perkataan tersebut tidak
dikategorikan sebagai perbendaharaan kata Arab dalam bahasa Melayu. Pengkaji
mengakhiri kajiannya dengan senarai perbendaharaan kata Arab dalam bahasa Melayu
yang dikumpulkan daripada pelbagai sumber bermula dengan abjad A sehingga Z,
lengkap dengan transkripsi bahasa Melayu dan ejaan dalam bahasa Arab.
23
Kajian Awang Mohamad Amin (1993)
Kajian Awang Mohamad Amin (1993) ini bertujuan untuk menilai semula KPA yang
wujud dalam bahasa Melayu dengan memberi tumpuan kepada dua isu utama iaitu
kaedah sebutan KPA dan pengekalan sebutan Arab dalam konteks penggunaan
masyarakat di Malaysia. Pengkaji juga mengharapkan kajian ini dapat membantu sedikit
sebanyak pelajar bahasa Melayu yang tidak berpendidikan asas bahasa Arab dalam
mengkaji KPA.
Pengkaji ada menyentuh serba sedikit tentang sejarah kemasukan KPA ke dalam
bahasa Melayu dan juga bilangan KPA yang terkumpul di dalam kamus-kamus sama ada
kamus pada era 70-an ataupun kamus mutakhir. Pengkaji seterusnya membuat satu
senarai KPA yang dibandingkan dengan kata asalnya yang ditulis dengan menggunakan
tulisan jawi. Senarai ini dipersembahkan dalam bentuk jadual dan data yang terkumpul di
dalam jadual tersebut adalah hasil usaha kajian pengkaji sendiri berdasarkan ilmu
pengetahuanya dalam kedua-dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab.
Dalam senarai ini, pengkaji telah membuat penandaan asterisk (*) untuk
mengklasifikasikan KPA mengikut ciri-ciri penyerapannya. KPA yang tidak ditandai
dengan asterisk menunjukkan bahawa KPA tersebut telah meresap ke dalam bahasa
Melayu dan sebutannya adalah mengikut sistem sebutan bahasa Melayu. Dua asterisk
pula adalah KPA yang masih kekal dengan sebutan Arabnya kerana tugas perkataan
tersebut sebagai istilah agama Islam. KPA yang ditandai dengan tiga asterisk pula
menandakan bahawa perkataan tersebut sesuai dijadikan sebagai istilah, jika belum
dilakukan sedemikian. Satu asterisk pula adalah untuk KPA yang merupakan kata-kata
biasa dan dalam masa yang sama juga berfungsi sebagai istilah agama dan biasanya
sebutan Arabnya tidak begitu jelas kedengaran, contoh yang diberi bagi KPA dengan
asterisk ini ialah /reda/, /qariah/, /ibadat/, dan /kadi/.
Membincangkan tentang hal sebutan KPA dalam bahasa Melayu, pengkaji
berpendapat bahawa KPA yang asalnya menggunakan konsonan Arab yang tiada dalam
24
sistem konsonan bahasa Melayu seperti /ع/ dan /ق/, jika disebut dengan sebutan lidah
Melayu menjadi /// dan /k/ adalah tidak merupakan kesalahan kerana makna semantiknya
tidak berubah. Namun demikian, pengkaji mengakui bahawa sesetengah KPA yang
melibatkan istilah agama Islam wajar dikekalkan sebutan Arabnya demi memelihara
makna yang terkandung di dalamnya. Pengekalan sebutan Arab dalam semua KPA adalah
tidak wajar, kerana pengekalan tersebut boleh menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu
bahasa yang susah dan penuturnya seolah-olah tidak fasih kerana bertutur mengikut
bahasa asing.
2.2.1.2 Kajian KPA Linguistik Deskriptif (Khusus)
Kajian Ismail Ibrahim (1970)
Kajian yang dibuat oleh Ismail Ibrahim ini membuktikan bahawa fenomena perbezaan
sistem fonologi bahasa Arab yang berbeza dengan sistem fonologi bahasa Melayu telah
pun disedari sejak lama dahulu oleh para cerdik pandai bahasa Melayu. Kajian yang
diterbitkan pada tahun 1970 ini bermula apabila masalah penyerapan kosa kata bahasa
Arab didapati datang dalam bentuk yang tidak konsisten. Sebahagian kosa kata bahasa
Arab diambil dalam bentuk asalnya dengan mengekalkan konsonan rangkap yang wujud
dalam sistem fonologi bahasa Arab, namun ada sebahagian lagi kosa kata yang dipinjam
tidak membawa masuk bersama ciri-ciri tersebut, iaitu konsonan rangkap digugurkan
menjadi satu konsonan sahaja.
Pengkaji membahagikan perilaku konsonan rangkap dalam KPA ini kepada dua
keadaan, yang pertama ialah konsonan rangkap di posisi tengah kata dan yang kedua ialah
konsonan rangkap di posisi akhir kata. Bagi posisi yang pertama, iaitu konsonan rangkap
tengah kata, pengkaji telah mengemukakan pendapat Za’ba iaitu penentuan kehadiran
konsonan rangkap di tengah kata bergantung kepada bunyi yang didengar dalam sebutan
Melayunya. Jika bunyi yang didengari menunjukkan terdapat penggandaan konsonan,
maka itu bermakna konsonan rangkap hadir di situ, contohnya bagi perkataan Allah,
25
hatta, muhibbah, wassalam. Sebaliknya jika tiada unsur penggandaan didengari, maka
konsonan rangkap dikatakan tidak wujud, sebagai contoh dalam perkataan awal, dajal,
hujah dan sihat.
Menurut pendapat seorang cendekiawan Indonesia, Drs. Muhadjir (1968), sistem
bahasa Indonesia menolak konsonan rangkap menyebabkan lazimnya hanya tinggal satu
konsonan sahaja pada KPA dalam bahasa Indonesia. Pendapat Drs. Muhadjir dilihat lebih
jelas dan nyata, sedangkan pendapat Za’ba (1964-1965) boleh menimbulkan kekeliruan,
kerana ‘sebutan Melayu’ yang standard itu tidak diketahui ukurannya. Walau
bagaimanapun, secara praktikalnya kedua-dua hujah ahli bahasa ini boleh dipertikaikan
kerana dalam masyarakat, kewujudan konsonan rangkap dalam KPA adalah tidak selaras.
Demi menyelesaikan kekeliruan tersebut, pengkaji berpendapat bahawa konsonan
rangkap dalam KPA yang tidak melibatkan istilah keagamaan perlu digugurkan,
manakala KPA yang melibatkan istilah keagamaan wajar dikekalkan.
Dalam membincangkan kehadiran konsonan rangkap di posisi akhir kata, pengkaji
menjelaskan mengapakah terjadinya konsonan rangkap tersebut. Sekiranya kosa kata
yang dipinjam tidak mengekalkan tiga kasus yang berupa akhiran (an, in, un), maka
berlakulah konsonan rangkap di akhir kata yang tertinggal. Sebagai contoh, kata sabrun
menjadi sabr apabila akhiran (-un) digugurkan. Seterusnya, konsonan rangkap tersebut
disesuaikan dengan sistem fonologi bahasa Melayu iaitu penyisipan vokal /a/, /i/, atau /u/
di antara dua konsonan rangkap tersebut. Senarai perkataan yang mempunyai konsonan
rangkap dan telah mengalami penyisipan dalam penyesuaiannya dalam sistem bahasa
Melayu turut dipaparkan. Namun demikian, pengkaji juga menyedari bahawa terdapat
juga KPA yang tidak mematuhi penyisipan sedemikian sebaliknya diambil dengan
kasusnya sekali.
Melengkapkan lagi kajiannya, pengkaji turut menyatakan bahawa fenomena
konsonan rangkap sejenis pada posisi akhir kata ditangani dengan pengguguran satu
daripada konsonan tersebut, seperti ‘amm menjadi am, shakk menjadi shak.
26
Kajian Nor Hayati Mohamed (2005)
Kajian yang dilakukan pada tahun 2005 ini merupakan tesis sarjana pengkaji. Di
peringkat awal kajiannya, pengkaji menerangkan serba sedikit perkembangan bahasa
Arab dalam dialek Kelantan, iaitu melalui kemasukan agama Islam ke Kelantan pada
abad ke-16 Masihi. Seterusnya bahasa Arab disebarkan menerusi pendidikan agama
secara formal dan tidak formal.
Kajian Nor Hayati (2005) adalah dalam bentuk pemerhatian (observatory) di
mana pengkaji banyak menyenaraikan bentuk-bentuk perubahan fonologi yang berlaku
dalam KPA yang masuk ke Kelantan. Pengkaji dapat mengenal pasti perubahan fonologi
yang berlaku terhadap KPA yang masuk ke dalam dialek Kelantan meliputi perubahan
vokal dan juga perubahan konsonan. Antaranya, vokal pendek dalam suku kata akhir bagi
perkataan Arab yang mempunyai tiga huruf, ditengahnya sukun digugurkan apabila
masuk ke dalam dialek Kelantan. Contoh yang diberi adalah seperti di bawah:
Jadual 2.1 Perkataan Arab tiga huruf di tengahnya sukun
Bahasa Arab Dialek Kelantan
mahr maha
fajr faja
qadr qada
qasr qɔsa
kafn kape
matn mate
Kajian ini juga memaparkan KPA yang dikekalkan vokal panjangnya apabila
masuk ke dalam dialek Kelantan walaupun konsonan akhir telah digugurkan. Di bawah
adalah contoh-contoh perkataan yang masih kekal konsonan panjangnya dalam dialek
Kelantan.
27
Jadual 2.2 KPA dialek Kelantan dengan vokal panjang
Bahasa Arab Bahasa Melayu
hala:l hala:
bila:l bila:
khaya:l khaya:
riya:l riya:
istighfa:r istighfa:
Selain perubahan melibatkan vokal, pengkaji menemui lebih banyak perubahan
yang melibatkan konsonan terhadap KPA yang masuk ke dalam dialek Kelantan.
Konsonan-konsonan yang berubah ini melibatkan penggunaan di akhir kata. Bunyi-bunyi
konsonan yang terlibat adalah bunyi /b/, /d/, /h/,/q/ yang berubah menjadi ///, /kh/, /f/, /s/,
/T/, /ṣ/ menjadi /h/ dan /m/, /n/ di akhir kata berubah menjadi /N/. Contoh-contoh
perubahan konsonan dapat di lihat seperti di bawah:
Jadual 2.3 Bunyi /b/ menjadi ///
Bahasa Arab Dialek Kelantan
adab ada/
arnab arna/
ijab ija/
junub junu/
28
Jadual 2.4 Bunyi /d/ menjadi ///
Bahasa Arab Dialek Kelantan
abad aba/
hasad hasa/
tajwid tajwi/
sujud suju/
Jadual 2.5 Bunyi ta’ marbutah menjadi ///
Bahasa Arab Dialek Kelantan
aurah aura/
darurah darura/
fadilah fadila/
khianah khiana/
Jadual 2.6 Bunyi /q/ menjadi ///
Bahasa Arab Dialek Kelantan
akhlaq akhla/
asyik asyi/
masbuq masbu/
ufuq ufu/
Selain pengkategorian mengikut perubahan-perubahan vokal dan konsonan yang
berlaku, pengkaji juga menyenaraikan perubahan-perubahan yang berlaku terhadap ism
‘alam (kata nama khas) yang berlaku, contohnya perubahan kepada nama-nama manusia
29
dan juga nama tempat. Aspek morfologi juga disentuh dan pengkaji mendakwa bahawa
peminjaman bahasa Arab ke dalam dialek Kelantan adalah dengan mengabaikan ziyadah
(huruf tambahan) yang ada dalam sesuatu perkataan yang dipinjam itu.
2.2.1.3 Kajian KPA Linguistik Teoritis
Kajian Nurdekawaty Binti Salleh (2006)
Kajian ini memberi tumpuan kepada entri-entri KPA dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga
(KDEK). Pengkaji melihat entri-entri ini dari tiga sudut linguistik iaitu fonetik, morfologi
dan semantik. Tujuan kajian ini ialah untuk menambah maklumat-maklumat metabahasa
dalam sesebuah kamus Melayu agar bersifat mesra pengguna.
Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan data KPA dalam KDEK yang
mempunyai tanda etimologi (Ar) sahaja disebabkan kekangan masa. Dua teori digunakan
oleh pengkaji untuk mewajarkan sebarang hujah yang diberikan iaitu Teori Templat dan
Teori Relevans. Carta IPA (The International Phonetic Alphabet) 1993 juga digunakan
sebagai suatu pendekatan dalam analisis fonetik.
Terdapat beberapa perbezaan antara konsonan bahasa Melayu dan konsonan
bahasa Arab. Sesetengah fonem yang terdapat dalam bahasa Arab seperti [], [sA]
1, [d
A],
[tA], [Ω], [÷], [T], [X], [D] tidak terdapat dalam bahasa Melayu. Pertembungan fonem-
fonem asing ini dalam bahasa Melayu menyebabkan masyarakat Melayu memilih fonem-
fonem bahasa Melayu yang hampir sama dengan fonem-fonem bahasa Arab seperti [h],
[s], [d], [t], [z], [/] dan [k]. Justeru, fonetik memainkan peranan yang penting untuk
memandu masyarakat menyebut sesuatu perkataan dengan tepat mengikut bahasa
sumbernya dan bukan menyebut mengikut keselesaan individu itu sendiri. Pengkaji
berpendapat bahawa simbol fonetik dalam kamus adalah penting bagi mengelakkan
1 Lambang [A] di sini bermaksud faringalisasi atau perengkungan (Nor Hashimah 2007).
Faringalisasi juga biasa ditandakan dengan symbol [ ≥ ] (IPA 93/96).
30
penyelewengan makna pada sesuatu entri tersebut. Dalam kajiannya, pengkaji telah
membuat senarai konsonan Arab dan transliterasinya dalam bahasa Melayu. Aspek
pasangan minimal fonem Arab pada entri KPA diulas oleh pengkaji dengan contoh-
contoh seperti:
1)kiam
qiamullail
2)kariah
qariah
3)kadam
khadam
4)kamar
khamar
5)katib
khatib
Keselarasan bunyi [tA] menjadi [t], [sA] dan [T] menjadi [s], [] menjadi [h] dan
lain-lain didakwa akan memberikan impak yang tidak baik kepada masyarakat apabila
mereka ingin menulisnya semula dalam tulisan jawi atau Arab.
Selain perbezaan sebutan bagi fonem-fonem Arab dalam bahasa Melayu,
Nurdekawaty juga mengulas aspek pemanjangan vokal dalam KPA. Bunyi
suprasegmental seperti tekanan, panjang pendek dan tona sesuatu sebutan tidak bersifat
fonemis dan tidak menyebabkan perubahan makna. Oleh itu, pemanjangan vokal yang
penting bagi bahasa Arab sering diabaikan oleh penutur bahasa Melayu. Pengkaji tidak
bersetuju dengan pandangan sesetengah pengkaji beraliran Arab yang mencadangkan
ejaan dan sebutan KPA dikekalkan seperti bahasa sumber atas alasan perubahan bunyi
boleh membawa kepada perubahan makna. Hujahnya, dalam bahasa Melayu, sesuatu
perkataan itu mendapat makna daripada ejaan harfiahnya dan bukan pada sebutannya.
31
Namun demikian pengekalan ejaan dan sebutan KPA bagi istilah-istilah melibatkan
agama Islam adalah wajar.
Selain analisis fonologi KPA, turut dilaksanakan analisis dari sudut morfologi.
Data yang dikaji ialah data jamak KPA yang bertujuan untuk mencari kaedah yang paling
sesuai untuk memasukkan entri jamak KPA ke dalam kamus agar tidak didaftarkan secara
terpisah daripada kata tunggalnya. Teori templat diaplikasikan untuk menunjukkan
pembentukan kata jamak KPA dalam KDEK. Perkataan jamak yang dipilih adalah
/ajnas/, /akwal/, /asbab/, /asnad/, dan /arkan/, iaitu merupakan sekumpulan benda atau
perkara yang tidak bernyawa. Dengan menggunakan gagasan-gagasan asas teori
autosegmental seperti representasi yang bertingkat-tingkat, representasi skeletal KV dan
proses pemetaan, dapatlah dihuraikan bagaimana kata jamak terbentuk daripada kata
tunggalnya.
Analisis semantik turut dikaji dalam kajian ini dan aspek peluasan makna bagi
KPA dalam bahasa Melayu telah dikupas dengan terperinci. Pengkaji mendakwa
perlabelan sosial KPA dalam KDEK tidak disertakan sebaliknya hanya makna asal yang
dihuraikan sedangkan KPA yang menyerap ke dalam bahasa Melayu telah pun
mengalami peluasan makna mengikut konteks masyarakat Melayu. Teori Relevans telah
diaplikasikan untuk mencari makna sosial yang sepadan dengan konteks masyarakat
Melayu.
Kesemua analisis fonetik, fonologi, morfologi dan semantik yang dilakukan
adalah bertujuan untuk memperkemas penyusunan entri KPA dalam kamus agar lebih
bersifat mesra pembaca dan tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan penutur natif dan
juga penutur bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
32
2.2.1.4 Kajian KPA Bukan Linguistik
Kajian Kamariah Kamarudin, Pabiyah Hajimaming (2007)
Kajian yang dibentangkan dalam Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan
Bahasa Melayu ke-3/2007 ini bertujuan mengenalpasti perkataan Arab yang digunakan
dalam tiga buah novel Melayu yang dihasilkan oleh Zaid Akhtar. Pengenalpastian ini
seterusnya akan memaparkan bagaimanakah pengarang ini cuba membudayakan bahasa
Arab dalam bahasa Melayu.
Pengkaji dapat mengenalpasti tiga pendekatan yang digunakan oleh pengarang
muda ini dalam membudayakan bahasa Arab dalam penulisannya. Tiga pendekatan
tersebut ialah yang pertama dengan meletakkan terjemahan perkataan Arab dalam
kurungan seiring dengan perkataan Arab. Kedua, pengarang menyertakan glosari di
hujung novel karangannya dan ketiga, pengarang cuba menarik pembaca untuk
memahami kosa kata Arab yang dibawanya melalui konteks ayat.
Perkataan-perkataan Arab yang digunakan oleh pengarang ini dalam novel-
novelnya boleh diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu perkataan Arab yang sebati
digunakan dalam masyarakat Melayu seperti perkataan /mukadimah/, /tasawwur/, /hatta/,
/walhal/, /daif/, /kalbu/ dan lain-lain. Kategori yang kedua pula ialah perkataan Arab yang
asing dan belum diterima pakai dalam penggunaan masyarakat Melayu. Perkataan-
perkataan tersebut adalah /takharruj/, /maddah/, /alfu mubarak/, /mantiqah/, /imtihan/,
/thiqah/ dan banyak lagi. Kosa kata Arab ini dikemukakan dalam dua bentuk sama ada
dalam bentuk dialog atau ayat secara langsung. Selain itu, pengarang juga banyak
memetik ayat al-Qur’an dan Hadith serta kata-kata pujangga daripada pemikir Islam,
namun nas asalnya tidak ditulis, sebaliknya hanya terjemahannya sahaja yang digunakan.
Pengkaji membuat kesimpulan bahawa pengarang menampilkan perkataan-
perkataan Arab sesuai dengan latar tempat dan masa cerita tersebut digambarkan. Selain
itu, gagasan pemikiran pengarang yang jitu dalam penghayatan Islam dapat dilihat
33
melalui isu-isu yang dibangkitkan dan dikupas dalam karyanya. Memandangkan Islam
sangat berkait rapat dengan bahasa Arab, maka cubaan pengarang untuk membudayakan
bahasa Arab dalam penulisannya adalah dilihat wajar.
2.3 ANALITIS KRITIS
Dalam bab ini, perbincangan secara kritis akan dilakukan terhadap kajian-kajian
terdahulu berkaitan tajuk Kata Pinjaman Arab dalam bahasa Melayu ini. Kritikan juga
melibatkan kajian-kajian lampau yang dilakukan secara pemerhatian (observatory)
semata-mata tanpa disertakan huraian yang berpada. Kajian-kajian yang dilakukan tanpa
berlandaskan teori juga memerlukan kritikan yang membina. Dengan kata lain, kajian
yang dilakukan ini adalah bertujuan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.
Berdasarkan ringkasan kajian kosa ilmu di atas, didapati hanya Nurdekawaty
(2006) sahaja yang melakukan kajian menggunakan teori-teori tertentu seperti teori
templat untuk analisis morfologi dan teori relevans untuk analisis semantiknya. Walau
bagaimanapun, analisis morfologi yang dilakukan hanya melibatkan kumpulan kata
jamak bagi benda tidak bernyawa dan mengabaikan dua kumpulan kata jamak yang lain
iaitu manusia, perbuatan dan kepercayaan. Penulis mendapati bahawa kumpulan dua dan
tiga ini tidak menyamai pola yang berlaku dalam kumpulan satu. Penggunaan kedua-dua
teori ini telah membantu pengkaji dalam mengukuhkan lagi hujahnya berkenaan
penyusunan KPA dalam kamus. Namun demikian, pengkaji-pengkaji yang lain tidak
menggunakan sebarang teori dalam kajian mereka.
Kajian Abdul Jabbar Beg (1977) menunjukkan satu proses perubahan dan
penyerapan KPA ke dalam bahasa Melayu, namun tiada perbincangan untuk menjawab
bagaimana dan mengapakah proses yang dinamakan proses naturalisasi itu berlaku kerana
tiada kerangka teori yang digunapakai. Ismail Ibrahim (1970) menghasilkan sebuah
kajian yang baik walaupun ringkas. Namun demikian, cara menentukan konsonan
rangkap di posisi tengah kata dengan cara mendengar sebutan penutur Melayu adalah
tidak relevan. Masalah yang dibangkitkan ini mungkin dapat ditangani sekiranya teori
34
yang bersesuaian digunakan untuk mencari kaedah yang paling tepat. Tulisan Amran
Kasimin (1987) merupakan sebuah kajian yang amat signifikan dalam bidang kata
pinjaman Arab. Usaha pengkaji memerikan fenomena yang berlaku terhadap KPA dalam
pelbagai bidang amat membantu para pengkaji terkemudian dalam kajian-kajian mereka.
Namun kajian ini juga tidak menggunakan sebarang kerangka teori sama ada dalam
bidang fonologi, semantik, morfologi mahupun leksikografi. Oleh itu, kajian ini tidak
bersifat teoritis kerana tiada sebarang saranan berbentuk teoritis dikemukakan terhadap
perubahan-perubahan yang berlaku dalam KPA. Nor Hayati (2005), Kamariah dan
Pabiyah Hajimaming (2007) juga tidak menggunakan sebarang teori dalam kajian yang
dilakukan sebaliknya kajian yang dijalankan adalah bersifat pemerihalan semata-mata.
Jelaslah di sini bahawa kajian KPA dengan teori perlu dilakukan dengan lebih pesat agar
segala masalah yang timbul dapat ditangani dengan berkesan.
Data yang digunakan dalam sesuatu kajian memainkan peranan yang amat penting
dalam memastikan bahawa kajian tersebut adalah bersifat boleh percaya. Pengkaji-
pengkaji sebelum ini kelihatan begitu terikat dengan data-data daripada kamus,
terutamanya Kamus Dewan. Beg (1977), Amran (1987) dan Nurdekawaty (2006)
menggunakan data KPA yang didaftarkan di dalam kamus dalam kajian mereka. Hal ini
sememangnya suatu perkara yang biasa kerana kamus merupakan tempat himpunan
segala kosa kata yang telah digunakan oleh masyarakat. Walau bagaimanapun, timbul
sedikit kemusykilan dalam penandaan KPA dalam kamus. Masih banyak lagi KPA di
dalam kamus yang tidak ditandakan dengan etimologi Arab. Akibat penandaan etimologi
yang tidak menyeluruh itu, maka data yang terkumpul adalah tidak lengkap. Selain itu,
kamus juga masih lagi mengekalkan perkataan-perkataan yang tidak lagi aktif dalam
penggunaan masyarakat contohnya perkataan /kaul/, /ajnas/, /abrar/, /diat/, /haul/ dan
banyak lagi perkataan yang maknanya tidak lagi difahami oleh masyarakat hari ini.
Perkataan-perkataan ini mungkin digunakan oleh masyarakat terdahulu dalam urusan
harian mereka, namun ketidakaktifannya pada masa kini akan mengganggu kajian-kajian
yang dilakukan. Seharusnya, perkataan-perkataan ini ditandakan dengan kependekan
‘ark’ yang bermaksud arkaik iaitu jarang dipakai, penggunaan yang terbatas kepada
35
sesuatu daerah atau lingkungan sahaja, sudah kuno atau mati, atau disangsikan
kebenarannya (Kamus Dewan: 2005).
Demi menangani hal ini, penggunaan data korpus adalah jalan penyelesaian yang
terbaik kerana korpus merupakan himpunan cebisan bahasa atau teks yang dipilih dan
disusun mengikut kriteria linguistik yang eksplisit untuk digunakan sebagai sampel
sesuatu bahasa. Kriteria linguistik ini merangkumi aspek pelaku, waktu, persekitaran teks
atau cebisan bahasa yang dihasilkan dan fungsi kemunikatif masing-masing (Zaharani
2008: 24). Dengan penggunaan data korpus ini, isu data yang tidak mewakili masyarakat
secara keseluruhan, data bahasa yang tidak aktif dan jumlah data yang tidak bersifat
keterwakilan tidak lagi timbul. Hal ini kerana proses penyediaan sesuatu korpus telah
mengambil kira akan perkara-perkara ini, dirungkai dengan teori statistik, kaedah
persampelan dan kajian tipologi yang berkenaan demi menjamin penghasilan sebuah
korpus yang dapat menghasilkan dapatan yang sahih dalam kajian yang dilakukan
(Zaharani 2008). Melalui data korpus ini juga, permasalahan tentang sesetengah pihak
yang menyangkal akan kewujudan sebahagian perbendaharaan kata Arab dalam bahasa
Melayu di dalam kajian Amran (1987) juga dapat dipastikan kebenarannya.
Apabila sesebuah kajian melibatkan kata pinjaman dilakukan, sudah pasti bunyi-
bunyi bahasa yang asing dan tidak terdapat di dalam sesetengah bahasa akan turut terlibat.
Malah sesetengah bahasa adalah sangat berbeza bukan sahaja dari segi konsonan dan
vokalnya malah juga bentuk tulisannya seperti bahasa Arab, Jepun, China, Tamil dan
Thailand yang tidak munggunakan huruf roman. Oleh itu, satu tanda atau simbol
diperlukan bagi membolehkan semua pembaca memahami bunyi yang dibincangkan
walaupun tidak mempunyai pengetahuan dalam bahasa berkenaan.
Beg (1977), Ismail (1970) dan Kamariah dan Pabiyah (2007) tidak menggunakan
transliterasi Arab - bahasa Melayu ataupun transkripsi fonetik dalam kajian mereka.
Ketiga-tiga kajian ini hanya menggunakan ejaan rumi bahasa Melayu dan dieja mengikut
sebutan yang hampir sama dengan bunyi bahasa Arabnya. Oleh itu, akan timbul
kekeliruan bunyi sebutan bagi konsonan-konsonan Arab yang tiada dalam sistem bunyi
36
bahasa Melayu contohnya bunyi [], [“], [T] dan lain-lain lagi. Nor Hayati (2005) pula
tidak menggunakan sepenuhnya transkipsi fonetik dalam kajiannya, sebaliknya hanya
menggunakan simbol hentian glotis [/], vokal panjang [:] dan transliterasi [ṣ] di beberapa
tempat namun tidak secara menyeluruh. Penggunaan yang tidak konsisten ini akan
mengelirukan pembaca. Nurdekawaty (2006) pula menyarankan penggunaan transkripsi
fonetik dalam kamus dan juga melampirkan senarai transliterasi konsonan Arab dalam
bahasa Melayu yang bersumberkan Mohd Azidan Abdul Jabbar (2000) namun analisis
kajiannya tidak menggunakan kaedah-kaedah tersebut. Hal ini berkemungkinan
disebabkan pengkaji terikat dengan data yang diambil daripada kamus dewan, maka
pengkaji tidak mengalihnya ke dalam bentuk fonetik. Awang Mohamad Amin (1993)
pula menunjukkan sedikit kelainan dengan cara menyertakan tulisan jawi untuk
menunjukkan sebutan sebenar bagi perkataan Arab. Walau bagaimanapun, pada pendapat
penulis, kajian ini akan lebih bersifat linguistik sekiranya menggunakan kaedah
transkripsi fonetik kerana tidak semua pembaca boleh membaca tulisan Arab atau Jawi
dan transkripsi fonetik daripada carta IPA adalah lebih global sifatnya. Kajian Amran
(1987) yang menggunakan transliterasi Arab dalam bahasa Melayu juga seharusnya akan
menjadi lebih baik sekiranya transkripsi fonetik diaplikasikan.
Perihal pengekalan atau perubahan ejaan dan sebutan Arab dalam KPA masih lagi
menjadi suatu isu yang sentiasa dikupas dan diperdebatkan. Amran (1987) mewakili
golongan yang berpendidikan Arab mendakwa pengekalan sebutan Arab dalam KPA
adalah perlu demi memelihara makna perkataan terbabit. Namun demikian, Ismail
(1970), Awang (1993) dan Nurdekawaty (2006) tidak bersetuju dengan saranan tersebut
sebaliknya berpandangan bahawa hanya istilah-istilah keagamaan sahaja yang perlu
dikekalkan sebutan Arabnya. Penulis bersetuju dengan pendapat ketiga-tiga pengkaji ini
kerana proses peminjaman itu sendiri membenarkan proses modifikasi agar kata yang
dipinjam itu akan menjadi lebih natif.
37
2.4 KESIMPULAN
Berdasarkan kajian KPA dalam bahasa Melayu yang dibincangkan di atas, dapat
disimpulkan bahawa kajian KPA telah pun dilakukan sejak lama dahulu, namun kajian
tanpa teori membuatkan hujah yang diutarakan oleh para pengkaji tidak cukup utuh.
Kajian berlandaskan teori telah mula dilaksanakan namun masih terlalu kecil
bilangannya. Permasalahan data kajian juga menjadikan kajian-kajian yang dilakukan
sebelum ini boleh dipertikaikan kesahihan dapatannya. Kajian yang bakal penulis lakukan
akan mengaplikasikan teori demi menjana satu dapatan yang diperakui kesahihannya.
Data kajian yang digunakan juga tidak lagi bergantung kepada data kamus sebaliknya
menggunakan data korpus dengan jumlah yang besar dan berketerwakilan sifatnya serta
berupaya menjana satu dapatan yang bersifat autentik, disokong dengan transkripsi
fonetik berdasarkan carta IPA yang bersifat global.