Upload
others
View
8
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
198
HAJI ABDULLAH IDRIS SEBAGAI SUFI SURI TAULADAN
MOKHTAR LOTFI MOHAMED & SYED HADZRULLATHFI SYED OMAR
Abstrak: Ilmu tasawuf telah lama bertapak di Kelantan sebelum Tuan Tabal (1840-1894) mula bergerak
aktif menyebarkan tarekat Ahmadiyyah di Kota Bharu pada tahun 1870-an. Oleh itu apabila menyentuh soal
kehadiran tarekat di bumi Kelantan maka ianya merujuk kepada tarekat Ahmadiyyah sebagaimana Negeri
Sembilan kerana di kedua-dua negeri hanya tarekat Ahmadiyyah yang didapati luas bertapak. Kajian ini akan
membincangkan seorang lagi tokoh penggerak tarekat Ahmadiyyah di negeri Kelantan, beliau adalah Haji
Abdullah Idris murid dan penyambung kepada legasi Sidi Muhammad Azahari. Kajian ini akan
memfokuskan terhadap ketokohan Haji Abdullah Idris sebagai seorang sufi yang menjadi suri tauladan
kepada masyarakat. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah pengumpulan data dan analisis data. Bagi
memperolehi data yang tepat kaedah perpustakaan serta temubual telah digunakan. Hasil dari analisa kajian
dibahagiakan kepada tiga teras utama, pertama pendorong ke jalan sufi suri tauladan, kedua inti pengajaran
dari amalan serta pegangan para sufi, dan ketiga Intipati Perjuangan di Sahara Kesufian. Diharapkan kajian
ini akan menarik minat para pelajar serta membuka laluan kepada para penyelidik dan pengkaji sejarah lain
untuk menggali dengan lebih mendalam berbagai maklumat berkaitan tarekat Ahmadiyyah Kelantan
Kata Kunci: Ilmu Tasawuf, Penggerak Tarekat Ahmadiyyah, Haji Abdullah Haji Idris, Inti Pengajaran, Sufi,
Suri tauladan
PENGENALAN
Tarekat Ahmadiyyah ialah satu-satunya tarekat yang meluas bertapak di negeri Kelantan
(Sulaiman Ibrahim, 2002). Dalam persekitaran tasawuf dan tarekat Ahmadiyyah yang
sudah berkembang itulah Haji Abdullah Idris meningkat usia remaja. Ini sejajar dengan
situasi bandar Kota Bharu sedang bekembang pesat sebagai pusat pengajian pondok yang
ternama dan menjadi pusat tumpuan para penuntut dari serata pelusuk Alam Melayu.
Halaqah pengajian yang diterajui Tok kenali telah berkembang maju menjadi daya tarikan
penuntut sehingga pada suatu tahap mencecah seramai 300 orang pelajar. Mata pelajara
tasawuf juga diajar dalam halaqah ini dengan menggunakan kitab Siyar al-Salikin oleh
Syeikh Abdus Samad al-Palembani dan kitab Iqaz al Himam Fi Sharh al Hikam (Abdul
Razak, 2016).
Kajian ini akan cuba mengetengahkan ketokohan Haji Abdullah Idris sebagai
penggerak tarekat Ahmadiyyah dan menjadi suri tauladan kepada para ikhwan serta
masyarakat Kelantan. Keperibadiannya yang tidak begitu terserlah itu menjadi daya tarikan
utama kajian ini untuk membongkar dan menggali seluk belok kehidupan dan berbagai
sudut kegiatannya sedangkan beliau antara ahli tarekat sebaris dan seangkatan dengan Haji
Daud Bukit Abal (Pauzi Haji Awang: 86). Buat masa ini belum ada sebarang tesis, jurnal
atau buku yang menyentuh tentang tokoh ini secara akademik. Setakat ini hanya didapati
Pauzi Haji Awang (Tariqah Ahmadiyyah: History and Development), Hamdan Hassan
(Tarekat Ahmadiyyah di Malaysia Suatu Analisis Fakta Secara Ilmiah), Che Zarina Sa’ari
(Tarikat Ahmadiyyah: Satu Kajian di Negeri Kelantan) dan Ismail Che Daud (Tokoh-
Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu 1 dan 2), mereka ini adalah tokoh pengkaji tempatan
yang menyoroti sejarah pertumbuhan tarekat Ahmadiyyah di Malaysia termasuklah di
Kelantan. Semua maklumat oleh para penyelidik ini hanya menyentuh beberapa cebisan
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018 Penyunting: Mohamad Zaidin Mat @ Mohamad, Hanif Md Lateh @ Junid, Tengku Fatimah
Muliana Tengku Muda, Syh Noorul Madihah Syed Husin, Sharifah Norshah Bani Syed Bidin,
Sumayyah Abdul Aziz, Nooraihan Ali, Kamaruddin Awang Mat, Azzyati Mohd Nazim,
Nadhirah Nordin, Raja Hazirah Raja Sulaiman & Noorsafuan Che Noh
© Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
ISBN 978-967-0899-96-1 (2018), http: //www.fki.unisza.edu.my
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
199
maklumat dari perjalanan hidup Haji Abdullah Idris. Kaedah pengumpulan data melalui
perpustakaan dan temu bual khusus dengan kaum keluarga dan tokoh penyelidik terdahulu
dilakukan bagi mendapat maklumat yang benar tentang biografi tokoh dan penglibatan
beliau selaku tokoh penggerak tarekat Ahmadiyyah di Kelantan. Oleh itu diharapkan kajian
ini menjadi pendorong dan perintis kepada para penyelidik seterusnya untuk
memperdalami kajian yang berkaitan tokoh-tokoh tarekat di Kelantan, kerana masih ramai
tokoh-tokoh tarekat yang tidak diketengahkan secara kajian secara akademik.
BIOGRAFI HAJI ABDULLAH IDRIS
Nama penuh beliau ialah Haji Abdullah bin Haji Idris bin Haji Noh dilahirkan di Kampung
Gajah Mati, Kota Bahru Kelantan pada tahun 1909 bersamaan 1327 Hijrah. Mengikut buku
catatan ayahnya, Haji Idris bin Noh (1876-1938), beliau dilahirkan pada malam Ahad 24
Zulhijjah 1327. Beliau merupakan anak ketiga dari enam adik beradik (Auni Haji
Abdullah, temu bual). Haji Abdullah Idris mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu
Padang Garong selama tiga tahun. Kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Agama
Madrasah Muhammadiah Majlis Agama Islam Kelantan yang terletak di bangunan Majlis
Agama berhampiran Padang Merdeka Kota Baharu. Di samping belajar di Madrasah
Muhammadiah, beliau juga mengikuti kelas pengajian di pondok-pondok sekitar Kota
Bharu. Bermula dengan pondok Tok Khatib Haji Nik Abdullah Haji Abdul Samad, putera
ketiga Tuan Tabal, kemudian pondok Haji Ahmad Hakim Abdul Manan yang dikenali
sebagai Haji Ahmad Manan di Kubang Pasu dan akhirnya di Pondok Haji Yaakub Haji
Ahmad di Lorong Gajah Mati Kota Bahru Kelantan (Karimah Haji Abdullah, temu bual).
Pengalaman peribadinya dihadiahkan dengan sehelai jubah peribadi oleh Sidi
Muhammad Azahari dan diberikan panggilan seorang lelaki sejati dan berjiwa mulia (anta
rijal) semasa pertemuan tersebut banyak meninggalkan kesan peribadi yang mendalam
pada dirinya yang masih remaja itu dan mempengaruhi pendirian hidup serta menanam
iltizam untuk terus berpegang setia kepada kehidupan bertarekat dan pergi lebih jauh lagi
dalam menempuhi tahap-tahap perjalanan sebagai salah seorang peneroka ilmu kerohanian
(al-salikin) dan menghayati ilmu ketuhanan yang hakiki (ihsan al-din) (Anisah Haji
Abdullah, temu bual). Penglibatan beliau terawal sebagai seorang penggerak tarekat
Ahmadiyyah hanya dapat dikesani dengan jelas apabila beliau bertindak di belakang tabir
selepas berumah tangga pada 1934 apabila beliau sanggup merelakan dirinya membantu
mertuanya, Haji Abdus Salam Muhammad yang sudah mula bergiat mengetuai
sekumpulan pengikut dan pengamal tarekat yang kebanyakannya datang dari sekitar, Kota
Bahru, Kampung Laut selain mereka dari Kuala Krai dan Selatan Thailand (Anisah Haji
Abdullah, temu bual).
Di atas permintaan para pengikut tarekat, beliau dengan bantuan adik ipar yang amat
akrab dengan beliau, Ustaz Yahya Haji Abdus Salam, seorang guru di Maahad
Muhammadi telah berusaha menyusun sebuah risalah kecil, “Awrad al-Awlia”. Risalah
telah diterbitkan dan diedarkan secara percuma oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Kelantan dengan pengesahan semakan oleh Timbalan Mufti Kelantan, Haji Ismail
Yusuf. Dengan penerbitan risalah ini pada tahun 1988 oleh jabatan rasmi kerajaan dan
disemak pula oleh timbalan mufti, maka ia secara telusnya memberikan pengiktirafan
pihak berkuasa agama negeri kepada amalan dan gerakan tarekat Ahmadiyyah (Yahya
Abdus Salam, 1988). Ini ialah suatu pencapaian cukup bermakna dalam tinta sejarah
perkembangan tarekat Ahmadiyyah Kelantan. Kerana ia berupa suatu penghargaan dan
pengiktirafan yang belum pernah berlaku selepas hampir satu setengah abad tarekat ini
bertapak di bumi Kelantan. Penghargaan ini dengan sendiri menggerhanakan dan
seterusnya mematikan suara-suara sumbang yang kerap timbul dari semasa ke semasa cuba
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
200
melebalkan amalan tarekat Ahmadiyyah sebagai suat ajaran sesat. Risalah dengan
terjemahan bahasa Melayu dikeluarkan dengan menggunakan nama adik ipar sebagai
penyusun (Auni b. Abdullah, temu bual). Sehingga di saat menyahut panggilan Ilahi pada 4
Oktober 1994, beliau terus melayani mereka yang mengunjunginya untuk mendapat
bimbingan kerohanian dari beliau dan bertanyakan berbagai kemusykilan yang berkaitan
tarekat Ahmadiyyah dan sebagainya.
SUFI YANG MENYERLAHKAN SURI TELADAN
Hasil anaslisa daripada data-data yang diperolehi dapat disimpulkan bahawa berpaksikan
kepada landasan kerohanian, Haji Abdullah Idris telah berupaya memartabatkan
keunggulan kalbu sebagai pusat jati diri beliau. Kecekalan dan istiqamah beliau dalam
memelihara penerapan kalbu yang disinari nur ilahi, ternyata telah dapat melindungi
dirinya walaupun dilanda berbagai ujian kebendaan. Beliau telah terdedah dengan berbagai
godaan pangkat dan kemuliaan semasa mendampingi seorang pembesar negeri dan rasukan
kemewahan semasa menikmati kehidupan sebagai seorang usahawan. Dalam menempuhi
kedua-dua suasana yang sarat dengan godaan-godaan kebendaan ini, beliau dapat
mengekalkan dan meneruskan iltizam untuk berada dan terus bergelumang dalam
cakrawala keintelektualan dan cakrawala kerohanian. Tetapi pada saat-saat lewat dewasa,
beliau telah lebih mengutamakan dimensi kerohanian tanpa meninggalkan sama sekali
minat peribadinya dalam bidang pembacaan dan keilmuan.
Keupayaan Haji Abdullah Idris mempertahankan penampilan diri sebagai seorang
ulama yang mampu mempertahankan momentum dirinya supaya terus kekal di atas
landasan kerohanaian walaupun terpaksa merentasi berbagai halangan yang boleh
menyimpangkan beliau dari landasan adalah suatu pencapaian yang banyak boleh
dijadikan iktibar dan pengajaran. Sesungguhnya pengalaman peribadi beliau melalui
berbagai tahap kehidupan dari seorang belia yang bertugas dengan seorang peneraju
kerajaan kepada seorang saudagar dalam perniagaan kayu-kayan dan seterusnya berundur
diri dari memikul apa-apa tugas dengan hidup bergantung kepada bantuan keluarga
isterinya, tentulah banyak menyiratkan teladan dan panduan hidup.
Pendorong ke Jalan Sufian Suri Tauladan
Sebelum menyoroti dengan lebih jauh amat wajar sekali di teliti dan diselami apakah
suasana dan dorongan yang menjuruskan Haji Abdullah Idris begitu cekal dan iltizam
memelihara keperibadian beliau sebagai seorang sufi yang telah berikhtiar menghayati
nilai-nilai kemuliaan akhlak dan keutamaan budi pekerti terpuji sepertimana yang jelas
dianjurkan dalam dokterin-dokterin tasawuf. Selepas sekian lama bertungkus lumus
melawan nafsu dan mengendalikan naluri supaya tidak akur kepada godaan nafsu dan
hasutan iblis. Melalui pendekatan melonjakkan peningkatan kalbu menikmati keintiman
diri dengan Allah swt (al-uns) dan menjiwai rahsia-rahsia dari keindahan pengertian Asma
al-Husna, beliau telah berikhtiar pula untuk menghayati serta merealisasikan sifat-sifat
terpuji dan membentuk kesolihan peribadi dengan amal solih (Mahirah Abdullah, temu
bual). Antara faktor pendorong adalah:
Pesekitaran dan Keluarga
Sebagai seorang yang mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk menjadi seorang
pengikut dan pengamal tarekat Ahmadiyyah, pertumbuhan keperibadian Haji Abdullah
Idris sebagai seorang pengamal dan penggerak tarekat berjalan dalam suatu proses yang
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
201
penuh harmonis. Kerana sejak dari usia kanak-kanak lagi beliau telah terdedah kepada
persekitaran hidup yang penuh dengan nuansa keagamaan kerana kediamannya sibuk dan
riuh rendah dengan suara murid-murid membaca al-Qur’an dibawah bimbingan ibunya.
Selain itu kehidupan bapanya yang dilihat banyak mengasingkan diri beribadat dan
berzikir selepas menjalani urusan peniagaan kecilannya menjual kain barangan keperluan
dapur. Persekitaran inilah yang banyak menyemai benih kecenderungan peribadinya untuk
mendekati dan mendalami dunia tasawuf. Persekitaran inilah yang banyak menyemai benih
kecenderungan peribadinya untuk mendekati dan mendalami dunia tasawuf dan menceburi
kegiatan tarekat walaupun peribadi dirinya berbeza dari bapanya yang agak pendiam itu.
Bibit awal yang mencetuskan kecendrungan beliau dalam mengenali tasawuf dan
kegiatan tarekat banyak dipengaruhi oleh keperibadian dan perwatakan bapanya Haji Idris
bin Noh (1876-1939) yang memang dikenali dengan pembawaan hidup yang merendah
diri, warak dan tawaddu’ di kalangan masyarakat sekampungnya di Kampung Gajah Mati.
Haji Idris ini sebenarnya seorang yang mendalam ilmu agamanya tetapi lebih cenderung
bersikap merendah diri, hidup serba sederhana dan melakukan ibadat secara bersendirian.
Haji Abdullah Idris dari sejak kecil dikenali sebagai seorang anak yang rapat dan disayangi
bapanya. Pada zaman remajanya, Haji Abdullah Idris pernah mendengar dari orang tua dan
datuknya, Pak Mat Hassan tentang tasawuf dan kegiatan tarekat Ahmadiyyah termasuklah
suatu peristiwa disekitar tahun 1900-an apabila ramai penduduk Kota Bharu termasuklah
di sekitar Kampung Gajah Mati telah dihinggapi rasa tarikan kerohanian sehingga berada
tenggelam dan karam dalam dunia mereka sendiri (majzub) kerana beramal dengan zikir
dan wirid tarekat Ahmadiyyah. Peristiwa ini telah menerapkan keinginan kepada diri Haji
Abdullah Idris untuk memahaminya dan mencetuskan minat untuk mempelajari ilmu
tasawuf.
Sidi Muhammad al-Azahari
Seterusnya dorongan penting yang menyematkan iltizam kepada beliau untuk menjalani
kehidupan kesufian ialah pertemuan beliau pada usia 16 tahun dengan Sidi Muhammad
Azahari di Kuala Terengganu pada tahun 1925. Ianya adalah lawatan bersejarah bagi
peribadi Haji Abdullah Idris kerana dapat bertemu mata dengan seorang tokoh pemimpin
tarekat Ahmadiyyah yang amat disanjungi ramai pengikut di Kelantan dan Terengganu.
Pengalaman pertemuan ini amat bermakna sekali apabila beliau dihadiahkan jubah dan di
panggil dengan sapaan “anta al-Rijal” oleh Sidi Muhammad Azahari di depan gurunya,
Tok Khatib Haji Nik Abdullah dalam lawatan ke Kuala Terengganu.
Pemberian sehelai jubah sangat simbolik maknanya kerana ia adalah petanda
penghormatan seorang syeikh tarekat kepada seorang pengikutnya. Ternyata disini Sidi
Muhammad Azahari telah dapat menelah potensi kerohanian yang ada pada diri remaja ini.
Peristiwa ini merupakan suatu titik peralihan penting yang menerapkan keyakinan dan
serta menanam iltizam untuk terus bepegang setia kepada kehidupan bertarekat dan
berazam untuk beristiqamah menyusuri lebih jauh lagi dalam menempuhi tahap-tahap
perjalanan sebagai salah seorang peneroka ilmu kerohanian (al-salikin) dan menghayati
ilmu ketuhanan yang hakiki (ihsan al-din) (Mahirah Abdullah, temu bual). Uungkapan
“anta al-rijal” yang ditujukan kepada dirinya oleh Sidi Muhammad Azahari yang
bermaksud seorang pemuda yang berjiwa kental dan berani mengikut tafsiran gurunya,
Tok Khatib Haji Nik Abdullah merupakan satu ungkapan sakti yang sentiasa tersemat di
lubuk kalbu setiap kali menyedari ada godaan kebendaan dan hasutan keduniaan yang cuba
melenturkan keyakinan untuk berpegang teguh dengan kehidupan kesufian.
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
202
Haji Yaakub Ahmad
Perdampingan dengan gurunya, Haji Yaakub Ahmad Gajah Mati adalah satu lagi noktah
penting yang mewarna warnikan penerokaan Haji Abdullah Idris dalam samudera tasawuf
dan seterusnya memantapkan keterampilan sebagai seorang pengembara yang berusaha
menuju kepada makrifah dan al-qurbah. Pertemuan Haji Abdullah Idris dengan Haji
Yaakub Ahmad Gajah Mati buat julung kali semasa beliau mula belajar di Madrasah
Muhammadiyyah pada tahun 1919 adalah suatu titik perkenalan yang amat bermakna
kepada diri Haji Abdullah Idris kerana dapat melihat dari dekat perwatakan peribadi
seorang ulama sufi. Haji Abdullah Idris amat teruja dan kagum dengan keterampilan
gurunya semasa mengajar dengan watak serba sederhana dari segi percakapan dan gaya
pemakaian. Beliau juga tertarik dengan budi pekertinya yang wara’, pendiam dan tidak
suka membesarkan diri. Beliau terasa kagum serta hormat kepada guru yang merupakan
salah seorang murid ternama Tok Kenali ini. Apatah lagi keluarga masing-masing
berjiranan tinggal di kampung Gajah Mati. Pertemuan ini semakin mengobarkan hasrat
Haji Abdullah Idris untuk mempelajari ilmu tasawuf (Ismail Daud, temu bual).
Dalam mendalami ilmu tasawuf, beliau menganggap Haji Yaakub Ahmad sebagai
guru yang banyak memberi petunjuk (mursyid ) dalam menerokai, memahami dan
menghayati rahsia-rahsia ketuhanan dalam mencapai hakikat dan makrifat selain
memperkasakan keperibadian dengan menghiaskan diri dengan akhlak terpuji (mamduhah)
dan menjauhi yang keji (mazmumah). Kesempatan yang agak lama mendampingi gurunya
Haji Yaakub Ahmad yang terkenal dengan berbagai sifat kemuliaan akhlak yang menyaluti
peribadinya amat memberikan kesan kerohanian yang mendalam kepada pemantapan jati
diri Haji Abdullah Idris. Gurunya ini sentiasa membuka ruang yang selesa kepada murid
kesayangannya untuk datang bertanya dan berkongsi pengalaman pada bila-bila masa
tentang tentang berbagai gejolak kebatinan dan keheningan kerohanian yang dilalui diri
seorang peneroka (al-salik) menempuhi berbagai tahap perjalanan kerohanian (maqamat)
dan dari proses perubahan berbagai pengalaman kerohanian (ahwal) (Mahmud Rahman,
temu bual). Tahap-tahap perkongsian pengalaman kerohanian yang dialami dengan
bimbingan guru mursyidnya ini banyak sekali menyusup masuk ke lubuk kalbunya dan
menyuntik santapan rohani yang amat berkesan dalam pembentukan jati diri beliau.
Muhammad Yusof bin Ahmad (Tok Kenali)
Seterusnya Haji Abdullah Idris juga ikut dipengaruhi dengan susuk peribadi dan
penampilan diri Tok Kenali sebagai seorang ulama yang amat ketara membawa
perwatakan dan tingkah laku yang sarat dengan nuansa dan imej seorang sufi. Perjalanan
hidup tokoh ulama tersohor ini banyak sekali memaparkan ciri-ciri kehidupan seorang sufi
dalam urusan harian dan pergaulan dengan masyarakat. Sampai ke akhir hayatnya, Tok
Kenali diketahui tetap istiqamah berpegang dengan keperibadian seorang sufi tanpa
bergabung dalam mana-mana tarekat sepertimana kelaziman ramai ulama sezaman dengan
beliau. Apa yang menjadikan Haji Abdullah Idris amat teruja dengan keistimewaan tokoh
ulama ini kerana penampilan beliau sebagai seorang ulama sufi dan aktivis yang luar biasa
kemampuan intelektual dan kekuatan mindanya kerana mampu menggarap berbagai
persoalan hidup dan memiliki sikap yang begitu prihatin dengan persoalan politik,
ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan yang banyak dicurahkan dalam tulisan rencana
dan cerpennya (Auni Abdullah, temu bual; Ismail Daud, 2012; Ismail Daud, 2007).
Kehebatan Tok Kenali selaku seorang ulama sufi yang kuat asas keintelektualan dan
produktif dalam bidang penulisan amat selari dengan suara hati dan minat peribadi Haji
Abdullah Idris sendiri. Tok Kenali menjadi idola Haji Abdullah Idris dalam menteladani
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
203
jejak-jejak seorang ulama sufi yang aktif bergerak di tengah-tengah khalayak ramai serta
banyak menyumbangkan buah fikiran melalui artikel-artikelnya (Abdul Hayy, 1988;
Sedgwick, 1998).
Inti pengajaran dari amalan serta pegangan para sufi
Begitulah paparan tentang faktor pendorong yang banyak mencorakkan minat Haji
Abdullah Idris untuk terjun memperdalami ilmu tasawuf, menggali rahsia disebalik
kehidupan bertarekat dan mengamalkan perwatakan serta praktis seorang sufi yang
sentiasa berusaha mengawal ego dan membendung runtunan nafsu dalam kehidupan harian
dan pergaulan dengan berbagai lapisan masyarakat. Dengan mengambil pendirian beruzlah
mulai pada usia 39 tahun selepas mengundurkan diri dari dunia perniagaan, beliau terus
mengorak langkah berjalan, merantau dan mengembara di lautan kerohanian dengan
menempuhi berbagai ujian dan mengecapi nikmat kelazatan iman. Haji Abdullah Idris
tidak mengambil sikap memisahkan diri dari tanggungjawab terhadap masyarakat dan
negara. Dalam kesibukan memfokuskan diri kepada rutin amalan seorang pengamal
tasawuf dan pengikut tarekat, beliau tetap memberikan ruang kepada tugas tanggungjawab
sosialnya. Disini dibentangkan inti pengajaran dari amalan serta pegangan para sufi
ternama yang menjadi panduan dalam kehidupan kerohanian beliau sebagai seorang sufi
suri tauladan antaranya:
Zul-Nun al-Masri
Haji Abdullah Idris sering mengungkapkan pesanan Zul-Nun al-Masri yang menegaskan
keperluan kehidupan kesufian berpaksikan kepada empat tonggak berikut:
1. Jangan bergaul dengan Allah swt melainkan dengan muwafaqah (kepatuhan kepada
segala perintah-Nya).
2. Jangan bergaul dengan manusia dikecualikan dengan munasahah (mengamalkan
sikap saling menasihati sesama manusia).
3. Jangan bergaul dengan nafsu melainkan dengan mukhalafah (bersikap melawan
segala godaan dan runtunan nafsu).
4. Jangan bergaul dengan syaitan dikecualikan denga muharabah (bependirian
memerangi segala hasutan dan tipu daya syaitan).
Dalam perbualan dengan anggota keluarga, ungkapan pesanan Zul-Nun al-Masri
sentiasa di lafazkan oleh Haji Abdullah Idris sebagai panduan dan peringatan. Ini kerap
berlaku apabila mendengar isteri dan anak-anak perempuannya leka bersembang di
ruangan dapur apabila menyinggung hal keperibadian orang lain. Mereka dinasihatkan
beliau supaya jangan leka berbual dibuai oleh hasutan syaitan dan ayunan nafsu. Ungkapan
Zul-Nun al-Masri kerap digunakan dalam perbualan dengan para pengunjung yang
berhasrat mendapatkan bimbingan kerohanian selain berulang kali mengingatkan kepada
para pengikut dan ikhwan yang gagal menjiwai dan menerapkan kedalam relung kalbu
sepertimana saranan Zul-Nun al-Masri dijadikan neraca pertimbangan dan penapis moral
diri mereka sendiri (Auni Abdullah & Anisah Abdullah, temu bual).
Hassan al-Basri
Sehubungan dengan kepentingan dan keperluan supaya berwaspada dalam kehidupan
harian, perbualan dan pergaulan supaya tidak terjerumus hanyut dibuai menuruti nafsu dan
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
204
pujukan syaitan dan mengutamakan ego dan kepentingan diri. Haji Abdullah Idris kerap
mengungkapkan nasihat dan peringatan Hassan al-Basri yang bermaksud “bagaimanakah
aku tidak gementar takut dan berdukacita setiap ketika sedangkan Allah SWT sentiasa
melihat apa yang aku lakukan”. Kadang-kadang semasa melafazkan kata-kata ini, air mata
Haji Abdullah Idris memenuhi kelopak matanya dan tunduk penuh syahdu membisukan
diri sambil teresak-esak. Ungkapan kata Hassan al-Basri ini selari dengan pegangan
peribadi kesufiannya yang terkenal dengan pegangan kuat kepada prinsip gerun dan takut
kepada kekuasaan Allah SWT (khauful-Lah). Ini adalah salah satu ciri keistimewaan
tasawuf Hassan al-Basri dalam sejarah perkembangan tasawuf. Sampai ke akhir hayatnya,
Haji Abdullah Idris sentiasa mengikat diri dan perasaannya supaya jangan alpa dari
pendirian Hassan al-Basri itu (Mahmud Rahman, temu bual).
Rabi’at al-‘Adawiyah
Suasana kehidupan kerohanian Haji Abdullah Idris yang kerap diselubungi kewaspadaan
bercampur kegundahan dengan dokterin khauful-Lah itu telah diubati dan disejukkan
dengan dokterin cinta ilahi (al-hubbul-ilahi) yang menjadi pegangan sufi terkenal, Rabi’at
al-‘Adawiyah. Haji Abdullah Idris kerap mencetuskan kelebihan dokterin al-hubbul-ilahi
dihadapan keluarga terdekat dan segelintir pengikutnnya supaya tidak disalah tafsir dan
tidak dikelirukan sebagai sesuatu yang anih dan sukar difahami dan dihayati. Kerana
dokterin yang dianjurkan Rabi’at al-Adawiyah ini lebih bermaksud cinta dalam ertikata
tegas dan cekal dalam menuruti perintah Pencipta dan menjauhi tegahan-Nya. Selain itu
sentiasa memperbanyakkan pujian kepada-Nya, menyanjung kekudusan-Nya (al-taqdis)
dan memohon keampunan kepada-Nya kerana bimbang menjadi jauh dari pandangan-Nya.
Kerana lazimnya orang yang mencintai itu selalu berharap agar yang dicintanya selalu
mengawasi dirinya dan memandang ke arahnya. Bagi Haji Abdullah Idris dalam melalui
perjalanan kerohanian beliau, gabungan harmonis dan serasi di antara kedua-dua dokterin
ini amat bermakna bagi diri beliau kerana kegerunan yang berputik dari dokterin khauful-
Lah dapat diimbangi serta didinginkan oleh dokterin al-hubbul-ilahi. Selaku seorang
penyanjung dan pengkagum kesufian Rabi’at al-Adawiyah, Haji Abdullah Idris dalam
perbincang semasa memberi kupasan kepada para ikhwan kerap sekali melantunkan
beberapa rangkap syaer Rabi’at al-Adawiyah dengan penuh kerinduan mencurahkan rasa
cinta beliau kepada Pencipta. (Auni Abdullah, temu bual)
Abu Hussain al-Nuri
Adapun dalam menyantuni para pengunjung dan ikhwan yang telah hilang pedoman serta
terbayang keliruan dan kekaburan dalam fokus mereka sebagai pengamal tasawuf dan
pengikut tarekat yang lebih tertumpu memperkatakan espek ibadat, zikir dan wirid tarekat.
Beliau kerap mengingatkan mereka kepada anjuran nasihat seorang sufi ternama, Abu
Hussain al-Nuri yang mengingatkan bahawa tasawuf itu bukannya kesan-kesan lakaran
lukisan dan bukannya juga pelbagai ilmu tetapi ia adalah akhlak “laisa al-tasawuf rusuman
wala ‘uluman walakinnahu akhlaqun”. Bagi Haji Abdullah Idris peringatan al-Nuri ini
sangat tersirat maksudnya kerana cuba menarik pehatian kepada keperluan menampung
segala amalan zikir dan wirid tarekat serta amal ibadat dengan keutamaan prinsip
membersihkan diri dari sifat-sifat terkeji (al-takhalli) dan seterus menggantikannya dengan
menghiaskan diri dengan sifat-sifat terpuji (al-tahalli). Anjuran ini cuba mengingatkan
supaya fokus seorang pengamal tasawuf tidak semata-matanya perlu dijuruskan kepada
usaha membangun hubungan ketuhanan dengan mengabaikan dimensi hubungan serta
pergaulan dengan makhluk di alam semesta ini yang mana dari sinilah terpancar tahap
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
205
nilai-nilai akhlak mulia yang sepatutnya menjadi penghias diri setiap orang pendukung
kehidupan kesufian (Anisah Abdullah, temu bual).
al-Junayd
Penekanan Haji Abdullah Idris kepada kepentingan dimensi akhlak dalam kehidupan
kesufian ini ialah kerana beliau amat terpanggil dengan saranan al-Junayd, seorang tokoh
sufi yang amat disanjungi beliau. Al-Junayd ialah salah seorang sufi jempolan yang
menegaskan bahawa tasawuf itu himpunan akhlak iaitu dengan menjauhi akhlak yang
rendah demi untuk memakai akhlak yang tinggi. Bagi al-Junayd, tasawuf ialah
menjernihkan hati dalam hubungan dengan makhluk lain, menghindari godaan jasmani dan
mengikatkan diri dan kalbu dengan Pencipta. Berpegang kepada anjuran al-Junayd ini,
Haji Abdullah Idris dalam nasihat semasa mengupas berbagai liku perjalanan menempuhi
rahsia disebalik hidup kesufian, telah mengelakkan diri dari memperkatakan secara terbuka
dan nyaring tentang pengertian dari pengalaman fana’, baqa’, al-qabd, al-bast, al-ghaibah,
al-hudur, wahdat al-wujud dan seumpamanya. Kerana bagi diri beliau pengalaman
kerohanian seumpama ini bukannya matlamat yang perlu digembar gemburkan dan
diletakkan sebagai tujuan semasa menceburi masuk dalam dunia kesufian. Kerana
pengalaman-pengalaman seumpama ini sebenarnya lebih berupa natijah dan ganjaran dari
hasil kesungguhan serta ketekunan usaha seseorang pengamal tasawuf tarekat. Lazimnya
selepas lama bermujahadah dan menempuhi berbagai liku, mereka akan memperolehi rasa
jinak dengan Allah SWT, akan mendapat limpahan nur keimanan yang memancar ke
dalam kalbunya. Seterusnya kalbu mereka akan bercahaya secara mudah mendapat
petunjuk pembukaan dari-Nya (al-kasyf) (Mahirah Abdullah, temu bual).
Ibn ‘Ataillah
Selain itu beliau kerap mengingatkan kepada ungkapan kata Ibn ‘Ataillah yang amat besar
ertinya dalam usaha mencanai diri beliau sendiri sebagai seorang perantau di gurun
kerohanian. Ungkapan berbunyi “ghurub al-imdad bi-hasab il-‘isti’dad” yang bermaksud
bahawa “kedatangan bantuan-bantuan adalah dengan kadar persediaan”. Kata-kata penuh
hikmah ini menjadi penyuntik kekuatan sehingga diri beliau mampu cekal melakukan
berbagai tahap pemantapan diri demi menuju puncak impian kesufian beliau. Dengan
kekuatan inilah beliau mampu bertahan mengawasi dirinya sejak dari usia remaja supaya
tidak terseleweng dari landasan kerohanian. Inilah suatu natijah yang dikecapi beliau dan
telah membuahkan natijah yang amat bermakna. Ungkapan ini sering menjadi pesanan
kepada mereka yang dekat dengan beliau termasuk anak-anak, ahli keluarga, para ikhwan
dan para pengunjungnya dalam melakukan apa jua kerja termasuklah dalam pengembaraan
di alam kerohanian (Mahirah Abdullah, temu bual; Zulkifli Bakri, 2011).
Ahmad bin Idris
Sebahagian besar hidup beliau menumpukan fokus kepada kehidupan kerohanian, bibir
Haji Abdullah Idris tidak sunyi dari mencurahkan rasa amat bersyukur kerana diberi
kesempatan untuk mengamalkan tarekat Ahmadiyyah. Rasa terhutang budi beliau serta
rasa takzim beliau kepada keberkatan bimbingan kerohanian Sidi Ahmad Idris. Ini jelas
terpancar pada lidahnya yang sering mengungkapkan kata-kata dihadapan anak-anak,
anggota keluarga,dan murid terdekatnya yang berbunyi “dengan berkat Rasulullah SAW
dan Sidi Ahmad” pada setiap kali ditimpa sesuatu masalah yang sulit termasuk ditimpa
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
206
kesakitan atau mencari sesuatu benda yang hilang bahkan juga apabila mendengar kabar
baik tentang pencapaian anggota keluarga
Pada saat ini jugalah beliau kerap mengamalkan zikir “Ya Latif ” secara
berseorangan atau berduaan dengan isterinya apabila berbangkitnya sesuatu kesulitan atau
dugaan. Amalan zikir ini yang mencapai angka belasan ribu akan disempurnakan dengan
beberapa kali “Doa Ya Latif” yang ada terkandung dalam risalah Awrad al-Awlia’. Perkara
sama turut diamalkan oleh anak cucu beliau dan sudah menjadi tradisi dalam keluarga Haji
Abdulah Idris apabila ditimpa sesuatu masalah sulit akan berkumpul membaca zikir Ya
Latif secara beramai-ramai serta bersendirian untuk mendapat ketenangan, meredakan
kegusaran dan memperteguhkan keimanan dalam mencari penyelesaian terhadap masalah
yang dihadipi (Auni Abdullah, temu baul).
INTIPATI PERJUANGAN DI SAHARA KESUFIAN
Jika direnungi dengan mendalam, pendirian tegas dan berani Haji Abdullah Idris terawal
dalam memenuhi hasrat serta impian beliau untuk tetap istiqamah di atas landasan
kerohanian tergambar jelas dari sikap berani beliau menolak tawaran Dato’ Perdana untuk
menjadi kadi serentak dengan itu dijodohkan dengan anak seorang pegawai daerah.
Sebagai tanda penolakan, beliau telah sanggup berhenti bekerja dengan majikannya yang
bukan calang-calang orang iaitu seorang pentadbir negeri yang paling berkuasa. Tindakan
berani menolak kedudukan yang jelas menjamin masa depan hidup beliau ini diambil pada
usianya 24 tahun. Inilah ujian besar dan terawal yang mampu dilepasi beliau demi
merealisasikan hasrat seorang pengamal tasawuf dan pengikut tarekat dalam perjalanan
menuju kemuncak yang diidamkan. Jika direnungi langkah tegas beliau ini bertepatan
dengan telahan dan firasat Sidi Muhammad Azahari semasa memanggilnya “anta al-
rijjal”. Selepas berjaya melepasi ujian berat ini, Haji Abdullah Idris terus mara kedepan
tanpa berpaling ke belakang lagi dalam mencapai kemuncak impian murni beliau. Dari
satu sudut lain inilah pengorbanan yang terpaksa dibayar beliau demi hendak berada kekal
di atas landasan pilihannya.
Selepas itu memasuki dunia rumah tangga, Haji Abdullah Idris telah didatangi
berbagai cabaran dalam bentuk ujian kemewahan dan kesempitan dalam kehidupan. Ujian
kemewahan hidup telah dinikmatinya semasa menceburi bidang perniagaan kilang kayu.
Semasa sibuk menguruskan perniagaannya itu beliau sering diselubungi keresahan dan
ketidaktenangan kerana merasakan dirinya hanyut dalam kelekaan menjaga kepentingan
perniagaan dan di buai oleh kesenangan hidup dan pencapaian mengembangkan
perniagaan. Kadang-kadang beliau dilamun kebuntuan kerana merasa bersalah kerana tidak
dapat memelihara istiqamah beliau sebagai seorang pengikut tarekat. Justeru itu dalam
kesibukan mengurus bidang perniagaannya, beliau dalam kesempatan yang ada sering
mengunjungi dua orang guru kerohanianya, Haji Ahmad Manan dan Haji Yaakub Ahmad.
Selepas pemergian Haji Ahmad Mannan, Haji Yaakub Ahmad yang menjadi tumpuannya
untuk mendapat kekuatan batin kerana menyedari situasi pertarungan diri (Jihad al-nafs)
yang kadang-kadang terencat oleh kesibukan urusan perniagaan. Selain itu pada saat ini
jugalah beliau kerap bertemu teman seperguruan dan setarekat, Haji Nik Abdul Rahman
Khatib dan juga seorang teman lamanya, Haji Nik Muhammad Sidqi, cucu Tuan Tabal
agar sebarang kelesuan keimanan dari godaan kebendaan pada dirinya mendapat suntikan
kerohanian (Mahirah Abdullah, temu bual).
Biasanya dalam pertemuan ini Haji Yaakub Ahmad akan membekalkan beliau
dengan bahan bacaan kitab tasawuf yang banyak dalam simpanan gurunya itu sambil kerap
berpesan supaya jangan resah dalam perjalanan kerohanian selagi keazaman yang tinggi
(al-himmah) tertanam dilubuk kalbu. Di saat yang sama gurunya ini kerap mengingatkan
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
207
ungkapan Ibn ‘Ataillah bahawa dalam apa jua usaha (al-iradah wa al-tadbir) seseorang
pejalan (al-salik) tidak berupaya mengatsai tadbir Ilahi (isqat a-tadbir). Peringatan ini
berdasarkan ungkapan kata-kata hikmah Ibn ‘Ataillah berbunyi “arih nafsaka min al-tadbir
pama qama bihi ghairuka ‘anka la taqum bihi linafsika” yang bermaksud “Isterehatkanlah
dirimu daripada tadbir (urusan) ini. Justeru apa-apa yang telah dilakuklan orang lain,
sama ada perkara duniawi atau ukhrawi, maka engkau tidak perlu melakukannya bagi
dirimu”. Dengan bantuan nasihat gurunya serta kekuatan banteng kekuatan keohanian yang
sudah tertanam di kalbunya, Haji Abdullah Idris berupaya menangani berbagai godaan
kebendaan dan kebesaran serta terus cekal dalam menjalani kehidupan kesufian. Dengan
menggunakan kesempatan waktu malam beliau tetap istiqamah dalam memenuhi
kewajipan seorang pengikut tarekat. Sesungguhnya ujian bergelumang dalam perniagaan
ialah suatu tempoh pendidikan yang amat berguna bagi diri beliau. Sesungguhnya tempoh
bergelumang dalam dunia perniagaan yang agak panjang selama 12 tahun dan ditambah
pada masa itu masih muda remaja berusia 30-an tahun, merupakan tempoh mencabar yang
amat bermakna dalam pembentukan jati diri kesufian beliau (Zulkifli Mohamad, 2009;
Abu al-Wafa’ al-Ghunaimi al-Taftazani, 1969; Ibn ‘Ataillah al-Sakandar wa
Tasawwufuhu,129-145)
Selepas perniagaannya ditimpa kerugian kerana kilang beliau terbakar dan
perniagaannya terpaksa ditutup pada usia 39 tahun, Haji Abdullah Idris memasuki fasa
baru dalam perjalanan kerohanian beliau. Berpandukan peringatan Ibn ‘Ataillah itu, beliau
dapat menerima kerugian yang datang mendadak itu dengan tenang dan penuh pasrah. Haji
Abdulah Idris telah mengambil keputusan menutup perniagaannya tanpa cuba hendak
bangun kembali walaupun mertuanya Haji Abdus Salam bersedia membantunya untuk
memulihkan semula perniagaannya. Bertolak dari kerugian perniagannya itu, beliau
berazam untuk menjauhkan diri dari kesibukan mengejar kemewahan dan tumpuan
mencari rezeki. Beliau amat menginsafi bahawa kegagalannya dalam dunia perniagaan
adalah suatu rahmat Ilahi untuk mendurung beliau supaya meneruskan impian hidupnyan
untuk menerokai perjalanan kehidupan kerohanian. Bagi beliau pengalaman pahit manis
bergelumang dalam dunia perniagaan sudah lebih mencukupi untuk dijadikan panduan
hidup beliau dalam mencari matlamat kebahagiaan dan kepuasan hidup yang hakiki. Beliau
dengan penuh reda menerima segalanya itu sebagai suatu perancangan ilahi yang amat
bermakna dalam menjuruskan beliau supaya dapat menjalani kehidupan di alam
kerohanian dengan lebih intensif lagi.
Beliau mengalami ujian kesusahan pada usianya yang sudah semakin dewasa
memasuki usai 40-an tidak jauh bezanya dengan ujian kebesaran dan pangkat pada usia
remajanya semasa ditawarkan pangkat dan jaminan hidup masa depan oleh Dato’ Perdana
Nik Mahmud Ismail (Menteri Besar Kelantan). Ujian keduniaan dalam bentuk kesukaran
dan kesenangan yang pernah dialami ini telah mematangkan lagi beliau dalam menempuhi
cabaran terbaru ini. Beliau dengan tabah serta tenang menghadapi tahap ujian hidupnya ini
sedangkan isterinya begitu resah gelisah dengan ujian ini. Isterinya dengan dibantu anak-
anak perempuan sudah pun remaja terpaksa berusaha menjual kuih dan nasi bungkus yang
dibekalkan di gerai-gerai makanan di sekitar Kampung Kubang Pasu, Kampung Masjid
dan Padang Merdeka. Hanya selepas pemergian Haji Abdus Salam pada tahun 1962
barulah kehidupan keluarga menjadi agak selesa kerana dapat menikmati berbagai harta
pusaka peninggalannya dari hasil pendapatan ladang getah dan dari kutipan sewa beberapa
rumah kedai (Mahirah Abdullah, temu bual).
Pada saat beliau dilambung kesukaran hidup kebendaan tetapi sedang menikmati
kelazatan kehidupan kerohanian, beliau telah didatangi dengan berbagai ujian dalam
bentuk datangnya godaan yang berupa tawaran kerja yang boleh menyelamatkan keluarga
dan dirinya dari keperitan masalah ekonomi yang sedang dihadapi. Pada saat ini muncul
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
208
tawaran dari Dato’ Perdana telah pun bersara, cuba memujuk beliau supaya kembali
menjadi pembantunya untuk menyemak dan mengemaskinikan beberapa hasil karyannya.
Tetapi tawaran ini telah ditolak dengan baik oleh beliau mengenangkan keazamannya
untuk hidup tidak terikat dengan sebarang pekerjaan rasmi yang boleh mengongkong
kebebasan diri dan kelapangan masa demi hendak menjalani kehidupan kesufian. Malahan
beliau pernah dua kali menolak tawaran dari pihak Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu
Kelantan untuk menjadi tenaga pengajar di Jami’ Merbau al-Isma’ili (Ma’ahad al-
Muhammadi). Beberapa teman beliau yang menjadi guru di pusat pengajian terbesar di
Kelantan ini pernah datang memujuknya tetapi beliau tetap keberatan. Dari saat itu beliau
dan keluarganya hidup dalam keadaan yang serba sederhana dan berpegang dengan sikap
kecucukupan (al-qana’ah) dengan apa rezeki yang ada (Anisah Abdullah, temu bual).
Sesungguhnya beliau gagal bertindak bijak seumpama mertuanya dalam urusan
kebendaan kerana lebih banyak dipengaruhi oleh pegangan beliau kepada kehidupan
seorang sufi yang perlu memberi keutamaan menumpukan diri kepada kebesaran Allah
SWT (tawajjuh) bukannya leka dibawa arus mencari kebesaran dan kebanggaan duniawi
dengan melonggokkan harta kekayaan. Dalam melalui saat-saat sebegini Haji Abdullah
Idris kerap memetik ungkapan kata salah seorang sahabat terbilang, Abu ‘Ubaydah al-
Jarrah apabila Khalifah Omar menangis simpati dengan kehidupan temannya yang amat
sederhana sekali sedangkan beliau dimasa itu menjadi gabenor Syam yang makmur dan
kaya raya. Ungkapan itu berbunyi “Ya Amir al-Mukminin adakah tuan tangiskan nasib
saya sedangkan saya telah menjualkan dunia saya untuk membeli akhirat saya”. Pendirian
beliau ini juga ikut dipengaruhi oleh pengalaman peribadi melihat gelagat ramai manusia
dihantui keghairahan mengejar kekayaan dan kebesaran dunia. Ini dapat diresapi beliau
semasa bertugas dengan Dato’ Perdana Nik Mahmud Ismail dimana pejabat pembesar
negeri ini menjadi nadi kepada berbagai perkembangan, pergelutan dan konflik yang
berlaku di Kelantan. Dari sinilah beliau dapat melihat berbagai telatah manusia yang
hanyut mengejar kebendaan dan bagaimana bercelarunya kehidupan dunia dibawa arus
kebesaran sehingga pupusnya keimanan dan menyimpangnya kewarasan bertindak. Semua
ini menjadi iktibar dan pengajaran kepada beliau dalam menentukan haluan hidup beliau
sendiri terutamanya sikap mahu bebas dari pedaya-pedaya dunia dan tidak terikat dengan
apa-apa jawatan yang boleh merenggangkan jati dirinya dari paksi kerohanian (Auni
Abdullah, temu bual).
Kerana didorong oleh pendirian sedemikianlah Haji Abdullah Idris tidak cuba
menerokai pergi lebih jauh dalam bidang penulisan yang amat diminatinya. Walaupun
pada suatu ketika pernah berhasrat menjadi seorang penulis buku mengenai berbagai
bidang kemasyarakatan dari kacamata agama. Dengan tujuan itulah beliau membuat
koleksi pelbagai genre buku di luar bidang agama. Beliau telah mengubah haluan dan telah
bertekad hanya sekadar menjadi seorang penulis rencana sebagai sebahagian dari hasrat
memenuhi tanggungjawab sosial. Namun begitu beliau menikmati kepuasan kerana
sekurang-kurangnya masih dapat menggarap buah fikiran dan mencurahkan pandangan
beliau dalam berbagai isu-isu semasa berkaitan pendidikan, kebudayaan, kemasyarakatan
dan politik dengan menggunakan berbagai nama samaran menerusi banyak hasil tulisan
rencana demi pembangunan minda masyarakat. Dengan keyakinan yang sama jugalah
beliau tidak lagi menuruti sentimen dukungan material kepada mana-mana pertubuhan
sosial dan politik walaupun masih prihatin mengikuti perkembangan politik tempatan dan
antarabangsa.
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
209
KESIMPULAN
Dari beberapa paparan di atas ternyata sekali ketabahan serta kegigihan Haji Abdullah Idris
dalam meyelusuri lorong kerohanian. Beliau mampu melepasi berbagai ranjau ujian yang
berpotensi besar boleh mengalihkan suara kalbunya dari paksi kerohanian. Kecekalan ini
menyerlahkan dirinya sebagai seorang sufi suri teladan. Dengan berbekalkan pengalaman
dari berbagai sudut persekitaran hidup yang ditempuhinya Haji Abdullah Idris telah
mampu berdiri tegak untuk mengekalkan jati dirinya selaku seorang insan yang ada harga
dirinya kerana masih terpelihara berpegang dengan akar umbi kerohanian yang sudah
tertanam semakin mendalam dari sejak usia remajanya. Beliau tidak tergelincir dari
landasan kerohanian akibat dari pelbagai pancaroba kehidupan yang mengekorinya.
Sebagai seorang tokoh tarekat yang sentiasa beramal dan beruzlah, Haji Abdullah Idris
mampu memelihara sikap keterbukaan dalam bersosial selagi mana tidak melalaikan selari
dengan roh ajaran Islam. Pembacaan pelbagai kitab, buku dan majalah menjadikan diri
beliau bersikap terbuka dan memahami naluri manusia. Sesungguhnya dari perjalan
kerohanian yang agak panjang dan berliku itu jelas tersurat dan tersirat berbagai dimensi
keterampilan dan pembawaan jati diri yang terhias dengan kewangian keperibadian yang
dapat dimanfaatkan dan dijadikan panduan hidup.
Rujukan
Al-Qur’an al-Karim
Abd. Jalil Borham (1996), Sumbangan Ulama dalam Perkembangan Islam di Alam Melayu Jurnal Syariah,
j.4, bil. 2, Jul. 1996, Kuala Lumpur: Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam,Universiti
Malaya.
Abdul Hayy Abdul Syukur (1998), Pemikiran Tasawuf Tok Kenali, Pengasuh, bilangan 553, Julai-Ogos
1998.
Abdul Rahman Abdullah (2010), Sejarah Ikhtilaf Mazhab di Malaysia, Karisma Publications, Shah Alam.
Abdul Rashid Mohd Sa’id. 2005. Aurad Tariqah Ahmadiah-Idrisiyyah. (t.tp.t.pt).
Abdul Razak Mahmud (2002), Ikhtisar Sejarah Kelantan, Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
Abdul Razak Mahmud (2017), Biografi Singkat 40 Ulama Terpilih Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam
dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Ahmad Che Soh, Cucu Haji Che Min b. Che Wan, Temu bual pada 10hb. Mac 2017, di Rumah Kg. Bechah
Keranji, Kota Bharu, jam 10.00 am.- 12.00 am.
Ali Salih Karrar (1991), al-Tariqah al-Idrisiyyah fi al-Sudan, Dar al-Jayl, Beirut.
Anisah bt Haji Abdullah, anak kepada Haji Abdullah Idris, Temu bual pada 06hb. Mei 2017, di Rumah Kg.
Kubang Pasu, Kota Bharu, jam 09.30 pm - 12.00 pm.
Auni Abdullah (2015), Pemikiran Politik Islam Dalam Sejarah Persuratan Melayu, Penerbit Universiti
Malaya.
Auni Abdullah, anak kepada Haji Abdullah Idris, Temu bual pada 17hb. Ogos 2016, di Rumah Kg. Lundang,
Kota Bharu, jam 10.00 pm - 12.00 pm.
Che Zarina Sa’ari (2002), Haji Muhammad Sa’id Bin Jamaluddin al-Linggi: Amalan dan Sumbangan Dalam
Perkembangan Tarekat Ahmadiah Di Malaysia. Jurnal Usuluddin. Bil. 15. Hlm. 23-24. Selangor:
Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Che Zarina Sa’ari, “Tarekat Ahmadiyyah: Satu Kajian di Negeri Kelantan”. Tesis Sarjana Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.
Chua Yan Piaw (2006), Kaedah dan Statistik Penyelidikan (Kaedah Penyelidikan), Selangor: Mcgraw Hill.
Daud Umar al-Libadi (1982), Risalah al-‘Aqai’d wa al-Fawa’id, cetakan keempat.
Hasbullah Mustafa, anak kepada Mustafa al-Jiasi, Temu bual pada 12hb. Mac 2018, di Rumah Telipot Kota
Bharu, jam 10.00 am- 12.00 am.
Ishak Saat (2007) Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran, Karisma Publications, Shah Alam.
Ismail Che Daud (2007), Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (2), Kelantan: Majlis Agama
Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Ismail Che Daud (2012), Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1), Kelantan: Majlis Agama Islam Dan
Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
210
Ismail Che Daud, Penulis Buku Tokoh Ulama Semenanjung, Temu bual pada 17hb. Ogos 2016, di Rumah
Kg. Dusun Muda, Kota Bharu, jam 08.30 am.- 11.00 am.
Lotfi Ismail (1989), Intisari Tasauf, Pustaka Aman Press, Kota Bahru.
Mahyudin Ghazali, anak kepada Haji Ghazali, Temu bual pada 31hb. Disember 2017, di Rumah Kg. Telipot,
Kota Bharu, jam 08.00 pm- 10.00pm.
Mohammad Redzuan Othman (2001), Masjid al-Haram dan Peranannya Dalam Perkembangan
Intelektualisme Masyarakat Melayu,” Jurnal Usuluddin, bil.13, Jul. 2001, Kuala Lumpur: Bahagian
Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Mohd Murtadza Ahmad & Mahmood Saedon Awang Othman (t.th). Mengenal At-Tarekat Al Ahmadiyyah.
Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Negeri Sembilan.
Muhammad Yunan Mahmodd (t.t), 100 Tokoh Guru Maahad Muhammadi, Persatuan Bekas Pelajar (AMM)
Maahad Muhammadi.
Nik Abdul Aziz Nik Hassan (1977), Sejarah Perkembangan Ulama’ Kelantan: Sejarah Gerakan dan
Perkembangan Alam Pemikiran Islam di Jajahan Kota Bharu 1900 1940, Pustaka Aman Press Sdn.
Bhd. Kota Bharu Kelantan.
Pauzi Awang (2001), Tariqah Ahmadiyyah: History and Development, Intel Multi Media and Publication,
Petaling Jaya.
al-Qusyairi, Abu Qassim Abdul Karim bin Hawazin (tanpa tarikh), al-Risalah al Qusyairiyah, Maktabah wa
Matbu’ah Muhammad Ali Subayh wa Awladuduhu, Maydan al-azhar, al-Qahirah.
Rahimah Ibrahim, Cucu Haji Che Min b. Che Wan, Temu bual pada 10hb. Mac 2017, di Rumah Kg. Bechah
Keranji, Kota Bharu, jam 10.00 am.- 12.00 am.
Sedgwick, M.J.R. (1998), The Heirs of Ahmad IbnIdris: The Spread and Normalization of A Sufi Order,
1799 1996 University of Bergen.
Sedgwick, M.J.R. (2005), Saints and Sons: The Making and The Remaking of The Rashidi Ahmadi Sufi
Order, EJ Brill, Leiden.
Senn, P.R. (1971), Social Science and Its Methods, Boston: Holbrook.
Wan Mohd Shaghir Abdullah (1991), Syeikh Muhammad Sa’id Negeri Sermbilan, Mursyid Tarekat
Ahmadiyah Idrisiyah, Majalah Dakwah, Mac 1991.
Yahya Abdus Salam (1988), Awrad al-Awlia’, Majlis Agama Islam Kelantan.
Yahya Muhammad Ibrahim (1993), Madrasah Ahmad ibn Idris al- Maghribi wa Atharuha fi al-Sudan, Dar al
Jil, Beirut.
Zakaria Stapa. 2001. Institusi Tarekat Dalam Ilmu Tasawuf Satu Pengenalan. Perak: Majlis Agama Islam
Dan Adat Melayu Perak.