Isu Dan Trenda Dlm Pk

Embed Size (px)

Citation preview

Pengenalan Program Pendidikan Khas adalah salah satu usaha dan solusi bagi menyelesaikan masalah yang berlaku ke atas murid yang mengalami kesulitan dan kesukaran dalam pembelajaran dan menguasai sesuatu kemahiran terutamanya dalam kemahiran membaca, menulis dan juga mengira. Pendidikan khas adalah sebagai satu cara untuk membantu murid-murid yang tidak bernasib baik ini untuk mendapat pendidikan yang sama rata seperti murid-murid di aliran perdana yang lain. Pendidikan khas tidak sama dengan pengajaran yang lain dan berbeza cara dalam penyampaian ilmu kepada murid-murid khas ini. Guru yang mengajar juga mempunyai latihan yang tertentu dan terlatih supaya boleh mengikut rentak yang bersesuaian dengan tahap bagi membantu membetulkan kekurangan yang ada pada murid-murid ini. Oleh hal yang demikian, timbul isu-isu berkaitan dengan Pendidikan Khas yang melibatkan guru dan juga pihak-pihak yang berkaitan. Isu-isu ini kadangkala mengganggu perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran guru dan juga murid Pendidikan Khas itu sendiri. Antara isu yang sering dilihat dan berlaku dalam Program Pendidikan Khas ini melibatkan Guru Pendidikan Khas, Murid Pendidikan Khas, pihak atasan atau pentadbir sekolah, peruntukan dan dana yang diberi, bahan bantu belajar yang bersesuaian, penglibatan ibu dan bapa dan kemudahan fizikal yang disediakan.

ISU YANG BERKAITAN DENGAN PROGRAM PENDIDIKAN KHAS

1. Guru Pendidikan Khas Jika dilihat dari isu Guru Pendidikan Khas dan antara yang paling popular pada masa kini di mana ada di antara sekolah yang tidak mempunyai Guru Pendidikan Khas yang terlatih khusus untuk mengajar murid-murid istimewa ini. Walaupun sekolah itu mempunyai Program Pendidikan Khas, namun terdapat guru yang ditempatkan di program ini tidak mempunyai kelayakan dan latihan serta kepakaran dalam Pendidikan Khas. Isunya di sini, guru hanya masuk sekadar untuk memenuhi masa tanpa diisi dengan pelajaran yang sepatutnya diperolehi oleh murid-murid khas ini berdasarkan sukatan pelajaran. Sedikit membantu guru ini memahami proses sebenar untuk mengajar murid-murid ini adalah dengan menghadiri kursus yang berkaitan dengan Program Pendidikan Khas. Kursus-kursus yang dijalankan akan membantu guru-guru yang tiada dalam kepakaran fahan dengan dunia dan realiti Pendidikan Khas yang sebenar. Ada sesetengah guru aliran perdana di sesebuah sekolah yang tidak faham dengan tugas sebenar guru-guru Pendidikan Khas ini. Mereka ini beranggapan bahawa Guru Pendidikan Khas tidak dibebani dengan tugas-tugas yang berat seperti guru aliran perdana. Oleh yang demikian, Guru Pendidikan Khas ini diberi tugas seperti menggantikan kelas untuk kelas-kelas yang ketiadaan guru kerana menghadiri perkara yang lebih penting dan juga memikul tugas-tugas bukan mengajar menyiapkan padang sekolah untuk hari kejohanan sukan, mengecat, membaiki peralatan dan sebagainya yang tidak berkaitan dengan kerjaya seorang guru. Isu lain yang dilihat dalam Pendidikan Khas adalah sebilangan guru yang tidak berminat dan tidak mempunyai komited untuk mengajar murid Pendidikan Khas ini. Masalah ini berlaku mungkin disebabkan bidang ini dipilih sebagai jalan terakhir mereka untuk mendapatkan pekerjaan dan sebagai meningkatkan taraf hidup yang lebih baik. Namun, hal ini akan memberi kesan kepada murid-murid

Pendidikan Khas yang sepatutnya mendapat hak yang lebih baik dalam memperolehi ilmu untuk memajukan diri mereka ke arah yang lebih baik kerana ada ibu atau bapa yang sanggup menghantar anaknya ke sekolah dengan menaiki basikal walaupun jarak antara rumah dengan sekolah jauh bagi mendapatkan sesuatu apabila pulang ke rumah. Oleh itu, guru sepatutnya memberi ilmu yang terbaik kepada murid tersebut.

2. Murid Pendidikan Khas Isu yang sering berkaitan dengan Pendidikan Khas adalah strategi dan penempatan murid-murid khas untuk mengikuti Program Pendidikan Khas yang mana program ini sahaja yang membantu mereka untuk maju dalam kehidupan mereka. Isu ini seringkali dilihat berkaitan dengan penempatan seseorang murid itu. Sebagai contoh, ada murid yang tinggal berdekatan dengan sekolah namun tiada program Pendidikan Khas yang dibuka di sekolah tersebut. Menjadi satu masalah kepada murid itu untuk mengikuti pembelajaran di sekolah yang agak jauh jaraknya. Ini kerana bukan semua ibu bapa yang sanggup dan mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang agak jauh lokasinya dari tempat tinggal mereka. Selain lokasi yang agak jauh, tahap kesihatan ibu bapa atau murid khas itu sendiri turut mempengaruhi. Setiap murid itu juga, mempunyai perbezaan dari segi penyesuaian diri mereka di tempat-tempat tertentu. Ini boleh mendatangkan masalah kepada guru yang ingin menjalankan proses pengajaran sekiranya murid tersebut tidak dapat menyesuaikan diri di tempat baru contohnya keadaan yang memungkinkan murid lebih gemar untuk keluar dari kelas kerana terdapat bunyi yang menarik perhatian mereka seperti bunyi helikopter dan kapal terbang. Masalah ini tidak termasuk lagi dengan kecacatan yang dihadapi oleh setiap murid yang memerlukan keselesaan semasa belajar. Sesetengah tempat yang diberi sebagai penempatan mereka sebagai tempat belajar tidak bersesuaian dengan masalah mereka.

Terdapat program Pendidikan Khas yang berhampiran dengan jalan raya yang berkemungkinan besar murid yang mengalami masalah hiperaktif akan berlari keluar tanpa pengetahuan guru dan juga Pembantu Pengurusan Murid (PPM). Tanggungjawab sebagai guru Pendidikan Khas bukanlah untuk mengawal murid sepenuhnya seperti di pusat asuhan tetapi untuk mendidik murid-murid ini mendapat ilmu seperti murid-murid dalam aliran perdana walaupun tahap murid-murid ini sangat lemah dan rendah kognitifnya.

3. Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Dari segi strategi pengajaran dan pembalajaran (P&P) turut berbeza bagi muridmurid khas. Ini kerana mereka mempunyai masalah yang berlainan antara satu sama lain. Terdapat sebuah sekolah mencampurkan murid-murid ini dalam satu kelas untuk belajar sedangkan setiap murid memerlukan aktiviti P&P yang berlainan kerana inidividu istimewa ini mempunyai jangka masa fokus yang sangat pendek. P&P boleh dijalankan dan dilaksanakan sama ada secara individu atau berkumpulan. Bagi guru-guru Pendidikan Khas, pengajaran yang dijalankan sangat berbeza dengan murid yang berada di kelas perdana. Di kelas perdana murid-murid mudah dan boleh mendengar kata serta kurang masalah tingkah laku jika hendak dibandingkan dengan murid-murid di Pendidikan Khas. Pengajaran yang dijalankan secara individu bakal mengundang perasaan iri hati murid-murid yang tidak diberi perhatian oleh guru seperti yang diberi kepada rakan mereka. Ini boleh membawa kepada masalah tingkah laku di mana mereka membuat perkara-perkara negatif yang boleh menarik perhatian guru. Bagi pengajaran berkumpulan pula, bakal mendatangkan kebosanan kepada murid-murid dan mungkin hanya seorang dua murid sahaja yang memberi perhatian kepada apa yang sedang guru ajarkan di hadapan kelas. Isu lain sekiranya mengajar secara berkumpulan, murid yang berada dalam kumpulan lain memberontak untuk turut sama melaksankan aktiviti yang dijalankan pada

kumpulan yang satu lagi. Mereka tertarik untuk bermain atau melaksanakan aktiviti yang lebih menarik di situ.

4. Kemudahan dan Prasarana Seterusnya, kemudahan dan prasarana yang disediakan untuk kegunaan muridmurid khas. Seringkali kita lihat Program Pendidikan Khas dilihat sangat daif dan terletak di kawasan belakang sekolah jika dibandingkan dengan murid-murid aliran perdana yang berada di bangunan yang cantik dan cukup kemudahahn prasarana seperti alatan elektrik seperti kipas, lampu, papan hitam atau papan putih, kerusi meja dan lain-lain prasarana yang disediakan untuk memberi keselesaan murid semasa belajar. Namun, tidak bagi murid-murid khas di mana prasarana yang diberi menggunakan prisnip asal ada kerana mereka dianggap tidak belajar secara serius di dalam kelas dan belajar bukan untuk berjaya dalam peperiksaan. Kerusi atau alatan yang masih dan boleh digunakan akan ditempatkan dan diberi kepada program pendidikan khas untuk digunakan. Kebiasaanya juga, kelas Pendidikan Khas akan dihias dan dicantikkan sendiri oleh guru-guru Pendidikan Khas seperti mengecat, menampal bahan bantu belajar, mengindahkan kawasan dengan menanam pokok-pokok bunga dan sebagainya. Isu kemudahan fizikal untuk murid-murid khas adalah isu biasa kita dengar dalam Pendidikan Khas. Bukan semua sekolah diberi kemudahan fizikal yang selesa lebih-lebih lagi untuk setiap murid khas yang belajar di sekolah tersebut. Kemudahan fizikal yang biasa diberikan adalah kemudahan kerusi roda bagi murid yang tidak boleh berjalan dan juga kemudahan tandas untuk OKU dengan menyediakan kepelbagaian kemudahan. Namun,semua ini tidak disediakan selengkapnya terutama sekolahsekolah luar bandar. Daripada pengalaman melalui Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan juga praktikum, tandas bagi OKU kurang diberi perhatian

memandangkan

dan

wang

yang

diperuntukkan

juga

tidak

mencukupi.

Kadangkala mencukupi tetapi disalahgunakan oleh pihak lain untuk program yang dikatakan lebih penting dan bermanfaat.

5. Dana dan Kewangan Program Pendidikan Khas telah diberi dana yang secukupnya untuk digunakan sebagai keperluan membeli alatan terapi mahupun alatan bahan bantu belajar mereka sebagai bantuan mereka untuk belajar. Namun, dana dan kewangan yang diberikan kadangkala tidak mencukupi dan setaraf dengan nilai yang diberikan. Ini kerana pihak atasan yang memegang dana tersebut dan atas persetujuan pihak atasan sahaja dana tersebut boleh dikeluarkan untuk digunakan. Penyelaras ataupun guru Pendidikan Khas tidak diberi tugas unutk memegang dana tersebut yang menyebabkan kadangkala disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak faham dengan keperluan Pendidikan Khas. Isu kewangan yang berkaitan dengan elaun murid-murid khas sering disalahgunakan oleh ibu bapa. Akibat dari tabiat negatif sebilangan ibu bapa ini terdapat murid yang tidak membayar yuran atau tidak dapat menyelesaikan bayaran bagi mengikuti program-program yang dianjurkan di sekolah. Dari segi pemerolehan elaun guru-guru Pendidikan Khas yang menarik perhatian guru aliran perdana yang menyebabkan daripada permohonan guru aliran perdana ke aliran pendidikan khas mampu menjejaskan kualiti pengajaran kerana tidak mempunyai kemahiran dan tidak terlatih untuk mengajar dalam Pendidikan Khas. Bajet yang tidak memcukupi juga menyebabkan banyak alatan dan kemudahan fizikal tidak dapat disediakan dan program-program yang dirancang tidak dapat dijalankan dengan lebih banyak dan mengakibatkan murid akan

ketinggalan dan tidak berpeluang untuk merasa keseronakkan kerana hanya mengikuti P&P di dalam kelas sahaja.

6. Perlabelan, Pengasingan dan Stigma Masyarakat Isu seterusnya adalah isu pelabelan dan isu pengasingan di mana murid-murid Pendidikan Khas dan murid-murid di aliran perdana tidak akan disatukan dalam satu-satu program atau aktiviti yang dijalankan di sekolah. Ini sangat ketara apabila pihak sekolah menjalankan sesuatu aktiviti seperti aktiviti kejohanan sukan sekolah yang melibatkan semua murid. Apabila dikatakan melibatkan semua murid, sepatutnya murid aliran perdana mahupun Pendidikan Khas harus sama-sama merasai kemeriahan kejohanan tersebut. Tetapi sebaliknya pula berlaku di mana, murid Pendidikan Khas adakalanya sengaja dicutikan oleh pihak sekolah supaya tidak menganggu perjalanan kejohanan dan kebanyakkan murid-murid ini tidak terlibat dengan acara-acara yang dipertandingkan. Muridmurid ini adalah warga sekolah yang sepatutnya dilayan seperti murid-murid yang lain juga. Selain itu, murid khas juga diasingkan dari untuk sama-sama mengambil hadiah semasa hari anugerah cemerlang yang memberi penghargaan kepada murid-murid sekolah yang telah berjaya mendapat tempat terbaik di dalam kelas mahupun mata pelajaran. Sebaliknya, apa yang berlaku sekarang, murid-murid tidak akan terlibat untuk sama-sama naik ke pentas untuk mendapatkan hadiah hasil usaha mereka yang tidak seberapa namun boleh dibanggakan sepanjang tahun mereka bergelar murid di sekolah itu. Sesetengah pentadbir, tidak mahu mereka terlibat yang mana bakal mencacatkan suasana dengan tingkah laku mereka yang boleh mengganggu lebih-lebih lagi jemputan yang hadir mungkin dari bahagian-bahagian sektor atau jabatan yang terhormat. Hal ini sangat-sangat mendukacitakan kerana muridmurid ini turut mempunyai hak untuk merasa gembira terutama semasa mendapat hadiah daripada hasil usaha mereka.

Hasil dari pemerhatian saya juga, isu yang akan tetap ada di mana-mana sekolah yang mempunyai program Pendidikan Khas adalah waktu rehat yang diasingkan dengan murid-murid aliran perdana. Mereka seolah-olah tidak diberi peluang untuk bergaul sesama rakan sebaya dan melahirkan komunikasi positif antara murid-murid lain yang berada dalam satu keluarga besar di sekolah. Aktiviti kokurikulum juga dijalankan secara berasingan dan semua murid khas akan diletakkan dalam satu persatuan yang sama iaitu Unit Beruniform Pengakap. Murid-murid ini akan bergaul antara mereka sahaja dan kepelbagaian dalam persatuan pakaian seragam tidak wujud. Mereka hanya mengenal satu pakaian seragam iaitu pengakap. Murid-murid khas ini, telah diberi label bagi sesetengah pihak yang mungkin tidak memahami apa sebenarnya Pendidikan Khas dan murid serta pihak yang berada di sekeliling murid-murid ini. Murid-murid ini sering dilabelkan dengan penerima tegar sumbangan atau zakat terutama di musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan bulan puasa di mana jamuan-jamuan berbuka puasa dan seangkatan dengannya adalah dipenuhi dengan tetamu-tetamu ini yang diundang untuk menikmati hidangan yang dijamukan oleh pihak-pihak tertentu. Label ini seolah-olah telah melekat kerana mereka ini dianggap kebanyakkannya lahir dari keluarga yang susah dan berpendapatan kurang dan tidak bernasib baik. Selain itu, murid khas ini juga dianggap sebagai murid yang tidak dapat menguruskan diri mereka sendiri dengan baik. Murid-murid ini sering dipandang rendah oleh masyarakat bahawa mereka ini tidak tahu apa-apa mengenai kehidupan. Isu sistem sosial yang telah bersarang lama dalam sistem persekolahan di mana murid-murid ini sering dipandang jelek oleh sesetengah pihak dan menyusahkan orang lain. Stigma masyarakat telah disetkan dalam pemikiran bahawa murd-murid ini tidak layak untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama

rendah bersama-sama mereka. Seolah-olah murid-murid khas ini bakal menyempitkan pemikiran sesiapa sahaja yang terlibat dengan Pendidikan Khas.

7. Penglibatan Ibu Bapa Penglibatan ibu bapa yang kurang turut menjadi isu dalam Pendidikan Khas. Ibu bapa hanya meletakkan harapan kepada guru untuk membentuk anak-anak mereka yang sudah sedia maklum bukanlah dari golongan normal. Ibu bapa sepatutnya menjadi pendamping murid-murid ini kerana ibu bapa paling rapat dengan insan istimewa ini. Apabila anak mereka ini dibawa keluar dari sekolah oleh guru untuk mengikuti aktiviti seperti pertandingan boling, aktiviti perkemahan dan sebaginya, ada sebilangan ibu bapa yang meradang akibat murid lewat pulang ke sekolah yang menganggu masa ibu bapa untuk mengambil anak yang terlibat dengan program tersebut. Ibu bapa ini tidak sedikitpun berterima kasih kepada guru yang membawa anak-anak keluar dari kepompong kelas mereka supaya diberi hak untuk sama-sama merasa aktiviti yang dijalankan seperti rakan-rakan mereka yang normal di luar sana. Apabila perjumpaan bersama waris diadakan bilangan yang hadir tidaklah seperti yang dijangkakan kecuali perjumpan itu melibatkan pengagihan sumbangan wang atau apa saja bentuk kepada anak-anak mereka, barulah ibu bapa ini hadir untuk menerima yang dikatakan hak anak-anak mereka. Sesetengah ibu bapa tidak dapat dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka dilahirkan sebagai insan yang istimewa di atas muka bumi Allah ini. Bagi mereka yang tidak dapat menerima hakikat, murid-murid ini akan diberi tanggungjawab sepenuhnya kepada guru untuk membentuk dan mendidik. Selain itu, ada juga murid yang tidak dipelihara oleh ibu bapa tetapi oleh keluarga terdekat yang sanggup untuk memelihara.

Ibu

bapa

juga

kurang

mengajarkan

anak-anak

mereka

tentang

kepentingan menguruskan diri terutama membuang air besar, air kecil dan lebih menyedihkan lagi bagi murid-murid perempuan yang datang haid. Mereka tidak didedahkan dari rumah asas kebersihan dan menggunakan keperluan yang bersesuaian semasa kedatangan haid. Ini bakal mengganggu urusan guru semasa P&P dan murid-murid lain.

8. Kepelbagaian Kompetensi Murid Kepelbagaian kompetensi murid sudah pastilah memberi kepelbagaian rentak tingkah laku kanak-kanak ini dan menjadi isu yang hebat dalam pendidikan khas. Isu kepelbagainan kompetensi murid juga adalah isu dalam Pendidikan Khas di mana murid-murid ini mempunyai kepelbagaian dalam kemahiran dan

kebolehan. Ada isu murid cereberal palsy yang tidak diberi kemudahan untuk mereka belajar dalam keadaan yang selesa di mana mereka mempunyai potensi untuk belajar. Murid-murid yang mempunyai kepelbagaian kebolehan tidak diberi altenatif sewajarnya supaya boleh meningkatkan ilmu dalam mata pelajaran mereka. Sekurang-kurangnya dengan mengenal huruf. Berlaku sebaliknya di mana guru hanya memberi gambar kepada murid untuk diwarna dan sepanjang tempoh P&P hanya itu sahaja yang dilaksanakan. Murid tidak mendapat kepelbagaian ilmu lebih-lebih lagi yang bersusah payah untuk pergi ke sekolah.

9. Ujian Pentaksiran dan Penilaian Ujian pentaksiran yang dijalankan terhadap murid Pendidikan Khas adalah isu yang turut menjadi masalah kepada program Pendidikan Khas. Kebanyakkan ujian yang diberi kepada murid tidak diteliti terlebih dahulu sebelum diberikan kepada murid untuk dijawab. Secara tidak langsung, bagi murid yang belum menguasai kemahiran dalam ujian diberi tidak akan menjawab soalan tersebut

dan hanya membiarkannya kosong tanpa jawapan. Masalah ini tidak hanya memberi kesan kepada murid tetapi yang lebih besar adalah kepada guru yang mana tidak dapat mengesan kebolehan dan juga kelemahan murid itu dalam satu-satu tajuk dan kemahiran yang dipelajari. Ujian biasanya diberi hanya untuk memenuhi langkah seterusnya untuk murid-murid selepas proses P&P dijalankan bagi mengukur tahap murid-murid dan kebanyakkan markah yang diperolehi tidak melambangkan keadaan sebenar murid. Ini kerana sebilangan besar murid akan dibantu oleh guru semasa menjawab ujian supaya murid dapat menjawab soalan ujian yang diberi.

10. Bahasa dan Komunikasi Isu yang biasa berlaku semasa program Pendidikan Khas juga adalah di mana bahasa yang diguanakan oleh murid-murid semasa di sekolah kurang difahami oleh guru-guru terutama bagi murid ynag baru masuk dan terlibat dengan program Pendidikan Khas. Kebanyakkan murid yang dihantar ke program Pendidikan Khas tidak dapat bertutur dengan baik dan sukar untuk difahami oleh guru. Ini boleh mendatangkan masalah kepada guru sekiranya murid hanya menunjukkan tanda tanpa bercakap yang tidak difahami oleh guru mereka. Keadaan akan bertambah buruk sekiranya petanda itu adalah tanda menunjukkan dalam keadaan bahaya atau tidak baik.

CADANGAN MENGATASI MASALAH DAN ISU YANG TIMBUL

1. Guru Pendidikan Khas Bagi menyelesaikan masalah dan isu yang timbul berkenaan dengan guru Pendidikan Khas, saya mencadangkan sekolah yang membuka Program Pendidikan Khas perlu menempatkan guru yang terlatih dan berkemahiran sahaja bagi mengajar murid-murid bekeperluan khas. Ini kerana guru yang terlatih dan biasa dengan keadaan murid-murid khas lebih memahami dan mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup bagi mencurahkan bakti dan tenaga dalam Pendidikan Khas. Oleh hal yang demikian, tumpuan dan perhatian yang secukupnya boleh diberikan kepada anak-anak khas ini semasa di sekolah. Pengetahuan dan ilmu yang cukup bakal memberi kesan yang positif untuk menangani masalah supaya langkah seterusnya boleh diambil. Sebagai seorang guru yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik, sikap sambil lewa dan kurang bermotivasi perlu diambil serius dengan mempunyai kesedaran diri yang tinggi dalam diri selain boleh dibantu dengan mengikuti kursus-kursus motivasi dan bimbingan supaya mutu pengajaran boleh ditingkatkan. Semasa dalam bilik darjah, guru perlu kreatif dan inovatif serta aktiviti bersesuaian dengan masalah pada murid. Tetapi perlu diingatkan bahawa sikap sabar, cekap, ikhlas dan bijak menangani masalah perlu ditanamkan dalam diri guru Pendidikan Khas itu sendiri. Dari segi masalah perhubungan guru di aliran perdana dengan guru Pendidikan Khas adalah dengan sering menanamkan sikap toleransi dengan kelebihan dan juga kelemahan masing-masing. Guru-guru dari dua aliran ini perlu mewujudkan hubungan yang baik antara satu sama lain. Pihak pentadbir perlu memainkan peranan dan bijak untuk mencari jalan untuk mengeratkan hubungan dengan mengadakan jamuan makan bersama-sama, perjumpaan semua guru dan meluahkan perasaan agar dapat memahami tugasan masingmasing dengan menjauhkan sikap prasangka di antara satu sama lain.

2. Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran Sebagai seorang guru, kita harus bijak untuk memilih kaedah pengajaran dan teknik yang bersesuaian dengan mengetahui kelebihan dan kelemahan murid terlebih dahulu. P&P guru seharusnya lebih menarik dan member kesan kepada murid. Guru perlu memantapkan ilmu dalam pedagogi pengajaran yang bersesuaian supaya guru tidak berasa tertekan dengan masalah dalam mengawal kelas dengan baik dan menghadapi masalah murid-murid khas yang pelbagai. Guru juga perlu memastikan bahawa sukatan pelajaran yang dibekalkan dilaksanakan bersesuaian dengan tahap pengetahuan dan juga kebolehan murid. Kita sedia maklum, murid-murid khas mempunyai kognitif yang sangat lemah dari segi akademik. Di sini tugas guru adalah untuk melaksanakan P&P bersesuaian dengan tahap dan pengetahuan murid. Murid-murid ini juga mudah diajar dengan cara praktikal bukannya dengan kaedah cara formal seperti di kelas-kelas murid normal. P&P yang dilaksanakan perlu memberi pengalaman kepada murid dan akan mudah untuk diingati serta mudah bagi murid memahami isi pengajaran guru selain fokus murid lebih tahan lebih lama. Sebagai contoh dalam mata pelajaran kemahiran hidup yang lebih banyak aktiviti praktikal berbanding murid hanya mendengar P&P guru. Bahan bantu belajar yang bersesuaian dengan mata pelajaran juga penting untuk melihat keberkesanan P&P guru terhadap murid pada hari itu.

3. Kemudahan Dan Prasarana Kemudahan fizikal dan prasarana yang disediakan sangat berkait rapat dengan dana dan kewangan yang perlu diperuntukkan untuk memberi keselesaan kepada murid-murid khas agar mudah untuk menguruskan diri semasa di sekolah. Untuk tujuan itu, dana dan kutipan derma dijalankan oleh pihak sekolah. Antaranya adalah kemudahah kerusi roda dan tandas OKU.

Alatan yang bersesuaian untuk murid-murid semasa menjalankan aktiviti juga perlu dititkberatkan. Ini kerana, ada murid yang sangat sensitif dan bukan mudah bagi mereka untuk melakukan aktiviti sama seperti murid yang normal. Belum tentu murid khas ini dapat menyambut bola yang berat seperti yang digunakan oleh murid normal dan guru harus peka dengan keperluan murid. Kemudahan yang diberi perlu dijaga bersama-sama dengan baik dengan menerapkan nilai bersyukur dan menjaga harta benda sekolah dengan sebaikbaiknya seperti harta sendiri. Dengan cara ini, kemudahan yang diberikan akan bertahan lebih lama dan boleh digunakan berulang kali. Keadaan dan saiz kelas juga perlu diambil kira dengan mengubahsuai dengan meminimakan bilangan murid dan juga alatan-alatan di dalam kelas. Sekiranya alatan itu ingin dipamerkan, tempatkan di luar kelas dengan kaedah stesyen. Bilik darjah juga perlu dihias dan dalam suasana ceria agar murid lebih gembira untuk belajar. Guru perlu mengorbankan sedikit masa bagi memenuhi keperluan murid-murid ini. Pengurusan bilik darjah turut melambangkan sikap prihatin dan professional guru itu sendiri.

4. Dana Dan Kewangan Untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan isu kewangan seperti penyalahgunaan wang elaun oleh ibu bapa, pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu membuat pemantauan berkala ke atas penggunaan wang elaun yang diberikan. Ibu bapa juga perlu diberi kaunseling supaya sedar dan prihatin terhadap wang elaun yang diperuntukkan untuk anak-anak mereka. Mereka perlu sedar akan tanggungjawab mereka dan pentingnya wang elaun tersebut untuk membiayai kehidupan anak-anak khas yang kurang berkeupayaan itu. Bagi guru yang menerima elaun khas, kerajaan perlulah meneliti dengan lebih mendalam lagi untuk memilih guru-guru yang benar-benar berminat untuk mengajar dalam Pendidikan Khas. oleh hal yang demikian, guru yang tidak

berminat dan semata-mata hanya menunggu elaun tidak layak untuk menerima elaun tersebut dan tidak akan diterima untuk menjadi guru Pendidikan Khas. Masalah dana yang tidak mencukupi untuk mengadakan programprogram yang melibatkan murid Pendidikan Khas perlu diselesaikan dengan cara ibu bapa dan pihak pentadbir memberi perhatian yang penuh dan memberi sokongan terhadap program tersebut dengan menyumbang dana ataupun terlibat sama mengumpul dana dengan mengadakan jualan amal atau mencari penaja supaya dana yang ingin diperuntukkan mencukupi tanpa meminta belas kasihan dan simpati pihak lain dengan menggunakan nama murid-murid khas ini.

5. Pelabelan Terhadap Murid-Murid Pendidikan Khas Penyelarasan waktu rehat di sekolah di antara murid Pendidikan Khas dengan aliran perdana boleh dijadikan sebagai cadangan supaya murid-murid khas ini dapat bergaul dengan rakan-rakan yang lain. Pelbagai aktiviti yang menarik dan boleh mengeratkan hubungan dua pihak boleh dilaksanakan oleh pihak sekolah. Pihak atasan perlu memberi sokongan kerana dengan sokongan itu sahaja yang mempengaruhi berjalan atau tidak sesuatu program yang telah dirancang. Pihak pentadbir boleh mengadakan program gotong-royong kecil-kecilan yang melibatkan semua murid dan dengan cara ini satu hubungan positif akan timbul dalam diri setiap murid bahawa setiap murid itu mempunyai hak yang sama di sekolah tersebut. Selain gotong royong, kejohanan sukan juga boleh dilaksanakan dan murid-murid khas juga sama-sama menyertai acara yang dipertandingkan dan bersesuaian dengan kebolehan murid-murid khas. secara tidak langsung, perasaan gembira boleh dizahirkan dan sikap toleransi serta timbul rasa hormat menghormati antara satu sama lain tanpa memikirkan kelemahan masingmasing.

Bagi isu perlabelan murid-murid khas ini, pihak sekolah terutamanya guru henaklah sentiasa menekankan betapa pentingnya sifat menghormati golongan OKU. Oleh itu, pelabelan terhadap golongan minoriti ini dapat dikurangkan. Masyarakat memandang sama rata terhadap kanak-kanak berkeperluan khas ini. Jadi guru di sekolah hendaklah sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan murid-murid aliran perdana. Isu pengasingan murid-murid khas dengan aliran perdana seperti meletakkan murid di sudut atau mengasingkan murid khas dengan murid normal, guru tersebut perlulah ditegur secara terus. Bagi mengelakkan murid terus bertingkah laku demikian, guru tersebut perlu merancang aktiviti yang bersesuaian supaya tingkah laku positif dapat diterapkan. Selain itu, jika murid tersebut bertingkah laku positif tetapi lambat untuk menerima pelajaran, rakan sebaya atau rakan yang duduk bersebelahan boleh membantu murid tersebut dalam mata pelajaran. Secara tidak langsung, guru boleh memebri perhatian kepada semua murid dan bukan pada murid itu sahaja.

6. Penglibatan Ibu Bapa Dalam menentukan hala tuju muird-murid Pendidikan Khas, ibu bapa perlu menjadi tunjang dan penglibatan ibu bapa sangat penting. Ibu bapa perlu sedar bahawa sokongan dari pihak keluarga terutama ibu bapa sangat penting. Ibu bapa perlu didedahkan dan menambah pengetahuan tentang maklumat yang berguna mengenai Pendidikan Khas. bukan sahaja untuk lebih mengenali masalah anak-anak tetapi membantu ibu bapa cara yang betul dan terbaik untuk menguruskan anak-anak istimewa ini. Kelas kaunseling dan bimbingan perlu dilaksanakan oleh pihak berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga Pusat Pemulihan dalam Komuniti untuk memberi maklumat yang berguna mengena keupayaan dan juga kelebihan yang ada pada anak-anak ini supaya tidak disisihkan.

Bagi ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan, sesi kaunseling boleh dilaksanakan oleh kaunselor yang professional agar jiwa ibu bapa ini tenang dan boleh menerima kekurangan dan kelebihan anak mereka. Anak-anak ini jika diajar dan dibimbing seperti anak-anak normal yang lain, berkemungkinan besar mereka juga boleh berjaya, sekurang-kurangnya dapat menguruskan diri sendiri.

7. Kepelbagaian Kopentensi Murid Bagi mengatasi masalah ini, guru itu sendiri perlu mengetahui tahap sebenar murid mereka dengan sebaiknya. Bukan sahaja dengan ujian kertas dan pensel guru itu dapat mengetahui tahap murid mereka, tetapi dengan pemerhatian tidak formal juga boleh dilakukan. Lembaran kerja yang bersesuai dan diberi pada murid boleh mengukur tahap kemahiran murid tersebut dari segi kemahiran menulis atau mengira dan menjadi penanda aras kebolehan murid-murid itu. Dengan cara ini, guru dapat merancang strategi seterusnya untuk membantu meningkatkan lagi tahap pengetahuan murid.

Kesimpulan Khas tidak seperti yang disangkakan oleh sesetengah pihak. Apabila berada dalam program ini, kesabaran yang sangat tinggi diperlukan dan pengorbanan dari pelbagai aspek untuk mendidik dan membimbing murid-murid istimewa ini menjadi sebahagian daripada rakan-rakan yang berada di aliran perdana. Pendidikan Khas bukanlah satu cabang profession perguruan yang bersih dari isu-isu dan masalah yang pelbagai ragam dan kadangkala sangat membimbangkan. Jika diambil kira, Pendidikan Khas ini memberi satu cabaran kepada guru Pendidikan Khas untuk membentuk murid yang dari tiada apa-apa menjadi murid dan insan yang boleh dibanggakan dan diharap. Apa yang paling penting, didiklah mereka dengan sebaik mungkin dan galaslah tanggungjawab yang diberikan dengan baik supaya murid-murid ini dapat merasa hak yang sama rata seperti murid yang berada di aliran perdana.