Konflik Antarabudaya Di Antara Muslim Dan Hindu (Autosaved)

Embed Size (px)

Citation preview

1

KONFLIK ANTARABUDAYA DI ANTARA MUSLIM DAN HINDU: KAJIAN KES DI INDIA.

1.0

PENGENALAN

India ialah sebuah negara yang mempunyai lokasi yang unik dan sesuai untuk dikaji tentang konflik antarabudaya kerana ianya kaya dengan sejarah seperti buruh paksaan ketika pembinaan Taj Mahal, penjajahan yang begitu lama oleh British, perbezaan bahasa dan dialek yang dituturkan, sistem kasta yang dipraktikkan, serta peperangan yang pernah berlaku di India. Masyarakat India pula kaya dengan golongan yang datangnya dari pelbagai kasta, agama, etnik dan ideologi politik yang berbeza. Dalam konteks ini, Kandath (2006) turut berpendapat bahawa masyarakat India mempunyai identiti budaya yang pelbagai dan dinamik bercirikan kepelbagaian bentuk sosial seperti sistem kasta, kelas, agama dan kaum. Rose (1993) menekankan bahawa konflik dilihat sebagai tingkahlaku budaya yang boleh menerangkan mengapa isu yang sama seringkali menjadi perbalahan atau pertelingkahan dengan cara yang berbeza dalam sesebuah budaya yang lain.

Menurut Oetzel et.al (2006), India merupakan sebuah negara yang mempunyai konteks yang tinggi ataupun high-context dan juga collectivistic. Budaya masyarakat konteks tinggi mengamalkan cara hidup bersopan, menghormati orang lain dan integrasi terhadap kesamaan, menjaga air muka individu lain, bersifat kolektif (kumpulan) dan mementingkan hubungan jangka panjang. Selain daripada pembolehubah budaya yang sering kita dengar dan pelajari di dalam komunikasi antarabudaya, faktor agama juga mempengaruhi gaya sesuatu konflik. Jika kita lihat di negara India, terdapat dua agama yang utama iaitu Islam dan Hinduism. Agama ini mempunyai impak yang signifikan terhadap budaya dan politik di India, termasuklah konflik yang tercetus di seluruh pelusuk negara India.

2

Oleh itu, amat penting untuk kita memahami dan mengkaji tentang konflik yang terjadi di antara Muslim dan Hindu yang tinggal di India. Ini kerana menurut Oetzel et. al (2006), kebanyakkan kajian komunikasi konflik hanya menumpukan kepada konteks di Barat serta Asia Timur, sedangkan negara lain yang terpinggir kurang diberi perhatian. Justeru itu, esei ini akan melihat dan memahami sejauhmana konflik antarabudaya di antara dua komuniti agama yang terbesar di India iaitu di antara penganut agama Hindu dan Islam. Seterusnya akan dibincangkan kesan daripada konflik tersebut serta strategi dalam menangani konflik tersebut.

2.0

DEFINISI

2.1

Konflik

Terdapat pelbagai definisi dan pandangan dari para sarjana mengenai konsep konflik. Namun menurut Hocker dan Wilmot (1991), konflik dapat ditakrifkan sebagai an expressed struggle between at least two interdependent parties who perceive incompatible goals, scarce resources, and interference from the other party in achieving their goals (Wilmot & Hocker, 2011:11). Manakala menurut Folger, Poole dan Stutman (2009), mereka melihat bahawa konflik merupakan interaksi di antara manusia yang saling bergantungan yang merasa ketidakserasian dan kemungkinan akan wujud campurtangan daripada pihak lain sebagai kesan kepada ketidakserasian tersebut. Malah merujuk kepada Putnam dan Poole (1987) konflik merupakan interaksi manusia yang saling bergantung yang mempunyai tujuan, objektif dan nilai yang berlawanan, dan masing-masing melihat pihak yang lain sebagai pihak yang berpotensi menganggu mereka dalam merealisasikan tujuan mereka. Berdasarkan kepada definisi ini, Putnam dan Poole dalam Miller (2006) turut menekankan tiga sifat asas konflik iaitu interaksi, tujuan yang berlawanan dan saling bergantung. Di dalam mana-mana budaya sekalipun, interaksi bukan sahaja tidak dapat dielakkan, malah merupakan satu keperluan.

3

Di sini kita dapat lihat komunikasi memainkan peranan yang penting dalam mengkaji konflik dengan lebih jelas sepertimana yang dibahaskan oleh Putnam dan Poole dalam Miller (2006) di mana mereka menyatakan bahawa komunikasi mengandungi intipati politik di mana ia melonggarkan pembentukan isu-isu yang berlawanan, persepsi yang terbentuk oleh konflik yang bakal berlaku, penterjemahan emosi dan persepsi kepada tingkahlaku konflik, dan penetapan ruang untuk konflik yang akan berlaku. Oleh itu, komunikasi merupakan satu instrumen dalam setiap aspek konflik termasuklah dalam mengelakkan konflik, menyatakan pendapat yang berbeza secara terbuka, dan evolusi isu-isu (Putnam dan Poole dalam Miller, 2006:194).

2.2

Konflik antarabudaya

Dalam konteks komunikasi antarabudaya, disebabkan oleh manusia datangnya daripada latar belakang agama, etnik, kaum, serta budaya yang berbeza maka konflik ini seringkali tercetus disebabkan oleh wujudnya perbezaan-perbezaan ini. Dalam menjelaskan tentang konsep konflik antarabudaya, Ting-Toomey dan Takai (2006) berpendapat bahawa: Intercultural conflict takes place when our cultural group membership factors, to a certain extent, affect our conflict negotiation process on either a conscious or unconscious level. Intergroup conflict takes place when salient identity group factors (e.g., ethnic identity group membership, religious identity, language identity, or gender identity, to name a few) impact our conflict management or reconciliation process.

(Ting-Toomey & Takai, 2006:691)

Selain itu juga, konflik dilihat sebagai suatu interaksi yang lahir dalam keadaan yang tidak baik, penuh emosi dan tindakan penentangan yang akhirnya

4

akan berakhir dengan kekacauan. Sudah tentunya proses untuk mengasimilasikan sesuatu budaya bersama budaya yang lain amat mencabar dan memerlukan usaha serta strategi yang betul. Jika tiada persefahaman di dalam proses komunikasi antara dua budaya yang berbeza, maka akan wujud salah faham dan ketidakserasian yang akan menjurus kepada konflik yang lebih besar.

3.0

KONFLIK DI INDIA

India merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama dan bangsa. Populasi penganut agama Hindu ialah sebanyak 80 peratus (828 juta), populasi Muslim sebanyak 13.5 peratus (140 juta), populasi Kristian sebanyak 2.5 peratus (24 juta), populasi Sikh sebanyak 2 peratus (19 juta) dan populasi penganut agama yang lain termasuk Buddha dan Jains adalah sebanyak 19.5 juta (Croucher et.al, 2011: 10). Budaya merupakan pengaruh yang penting terhadap keberkesanan komunikasi dalam sesuatu konflik. Konflik antarabudaya terjadi apabila identiti budaya sesebuah masyarakat mempengaruhi cara mereka berhadapan dengan sesuatu konflik. Justeru itu, konflik yang terjadi di India di antara Hindu dan Muslim merupakan suatu peristiwa bersejarah yang berpanjangan dan tidak berkesudahan. Menurut Akbar (2003) dan Verghese (2008), faktor terjadinya konflik ini banyak dipengaruhi oleh kesan penjajahan British, sistem kasta yang distruktur bagi menekankan perbezaan, populasi yang terlalu besar, kepelbagaian bentuk geografi, persaingan untuk kepentingan politik, dan juga kewujudan pelbagai budaya yang kesemuanya berlaku di dalam sebuah negara. Di dalam negara yang secara jelas sistemnya dibahagikan mengikut perbezaan agama dan politik seperti India, pengetahuan mengenai apakah bentuk konflik yang wujud dan apakah faktor yang berkaitan dengan kewujudan konflik antarabudaya tersebut amatlah penting untuk difahami dan dikaji. Mengapa wujudnya konflik ini? Sudah tentunya wujud pelbagai andaian serta faktor-faktor utama terjadinya konflik ini. Oleh itu di dalam bahagian ini, akan ditekankan faktor-faktor utama yang dilihat menyebabkan konflik antarabudaya di antara komuniti Hindu dan Muslim di India terus berlaku.

5

3.1

Isu agama dan etnik

Isu agama merupakan faktor yang paling kuat yang menyebabkan berlakunya konflik di antara Muslim dan Hindu di India. Salah satu penyebab utama adalah kerana penganut Hindu amat benci dengan Muslim kerana ramai penganut Hindu telah memeluk Islam sejak kedatangan penduduk Muslim di India. Selain itu, Kandath (2006) di dalam kajiannya mendapati bahawa faktor agama di India memainkan peranan yang dominan di dalam konflik. Ini kerana agama adalah sebahagian daripada permainan politik di India. Walaupun India lebih dikenali sebagai negara yang bersifat sekular, politik di India sentiasa dipenuhi dengan kepentingan agama. Ini menyebabkan agama menjadi faktor yang utama dalam membentuk identiti kebanyakkan masyarakat di India. Menurut Girdner (1996), bukti dari kajian persejarahan menemui bahawa sistem communalism ataupun fahaman perkauman yang terbentuk di India timbul dari penyokong kuat politik yang disebabkan oleh kuasa penjajah di India. Contohnya, identiti perkauman dalam kalangan penganut Sikhs timbul pada lewat abad ke-17 disebabkan oleh perjuangan mereka ketika pemerintahan Mogul di India. Ketika zaman penjajahan di India, British telah membentuk sistem kedudukan pengundi yang berasingan mengikut komuniti agama yang berbeza. Ini menyebabkan mereka berjaya memisahkan komuniti Hindu dan Muslim berikutan dengan pergerakan nasionalis yang telah membantu dalam pembentukan pembahagian India (Girdner, 1996:4). Di sini dapat dilihat bahawa sejarah penubuhan India sangat dipengaruhi oleh konflik di antara agama dan etnik. Menurut Croucher et.al (2011), sistem dan kepercayaan sesebuah agama bukanlah satu-satunya faktor dalam membentuk sesebuah budaya, namun agama telah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sejarah, kerajaan dan pembangunan budaya di India. Oetzel et.al (2006) melihat bahawa konflik adalah sesuatu yang negatif dan merosakkan bagi penganut agama Islam. Walaupun Islam tidak mempunyai

6

struktur masyarakat yang berbentuk kasta seperti agama Hindu, penduduk Muslim di India tinggal di dalam persekitaran budaya yang dipengaruhi kuat oleh sistem kasta Hindu (Kandath, 2006:504). Sebagai sebuah populasi penganut agama kedua terbesar, Muslim seringkali dianggap sebagai pencabar kepada sistem kasta di India. Bagi penganut agama Hindu, apabila seseorang itu dikenali dari sesebuah kasta, ini membolehkan mereka memegang nilai dan identiti mereka yang tersendiri dalam tahap atau darjat yang lebih tinggi dari orang lain. Malah menurut Akbar (2003) dan Kandath (2006), sistem ini telah meningkatkan tahap kesungguhan sesebuah masyarakat terhadap pegangan agama dan identiti budaya mereka yang tersendiri. Sistem ini dilihat memainkan peranan yang sangat berpengaruh dalam menyuburkan lagi konflik di antara Muslim dan Hindu di India. Menurut Kaviraj (1997), disebabkan oleh sistem kasta ini telah dianggap berbeza daripada yang lain dan tidak pernah reda semenjak zaman penjajahan lagi, maka konflik ini menjadi semakin luas dan merebak ke seluruh pelusuk India. Oleh sebab itu, konflik ini menjadi terlalu besar dan sukar untuk dikawal.

3.2

Isu politik

Sejak zaman pasca kemerdekaan India, peranan agama di dalam dunia politik dilihat berterusan hingga ke hari ini. Jika kita lihat kembali pada 2 dekad yang lepas ketika berlakunya konflik di antara Hindu dan Muslim ini, kebanyakkan keganasan yang berlaku yang menyebabkan pemusnahan harta benda dan kematian adalah disebabkan oleh faktor politik. Pemerintah India secara terangterangan ingin mencapai matlamat mereka dengan bantuan daripada anggota polis dan tentera di India (Rujuk Gambarajah 1). Parti politik seperti Indian National Congress (INC) dan Barthiya Janatha Party (BJP) menerima pakai polisi pengikut kuasa penjajah untuk mendapatkan keuntungan politik. Ini dibuktikan lagi di dalam kajian Croucher et.al (2011) yang

7

mengatakan bahawa The secessionist movement that arose in the state of Punjab, and the destruction of the Babri-Masjid in Ayodya were attributed to the votebank creation politics of the INC and the BJP (the former case being attributed to the INC and the latter case to the BJP). Dalam kata lain, kedua-dua parti ini membangkitkan isu-isu ini untuk meraih undi penduduk Hindu sebagai penduduk majoriti demi kepentingan politik parti. Parti INC membangkitkan isu pergerakan penyokong pemisahan di Punjab, manakala parti BJP membangkitkan isu perobohan Masjid Babri di Ayodya supaya penganut-penganut Hindu di India menyokong parti mereka. Menurut Gupta (2007), sejak sekian lama India telah mengamalkan sistem politik yang berbentuk majoritarianism dan marginalization. Sistem majoritarianism merupakan sebuah agenda politik yang menegaskan tentang golongan majoriti (seringkali diklasifikasikan dari segi agama, bahasa, kelas sosial serta faktor-faktor lain) yang merujuk kepada populasi sesebuah masyarakat yang mempunyai hak untuk membuat keputusan yang akan memberikan impak kepada masyarakat tersebut. Dalam konteks politik di India ini, penganut Hindu merupakan golongan majoriti di India, maka setiap keputusan dan tindakan yang dibuat oleh golongan ini sentiasa disokong oleh kerajaan. Manakala sistem marginalization menurut Yee (2005) merupakan: Today various communities continue to be marginalized from society due to the development of practices, policies and programs that met the needs of white people and not the needs of the marginalized groups themselves. Marginalization also connects to minority communities, when describing to the concept of whiteness as maintaining and enforcing dominant norms and discourse. Dalam konteks sistem politik yang bersifat marginalization di India, ini dapat dilihat ketika golongan minoriti iaitu Muslim disisihkan oleh masyarakat di India berikutan polisi kerajaan yang terlalu memihak kepada golongan majoriti yang berkepentingan kepada mereka iaitu penganut Hindu. Walaubagaimanapun,

8

ada juga ketika apabila kerajaan India cuba untuk menenangkan kelompok minoriti agama dan etnik tersebut menerusi polisi yang memihak kepada mereka (Croucher et.al, 2011: 12). Ini memberi kesan kepada permulaan perbuatan zalim dan kejam secara meluas dalam kalangan majoriti penganut Hindu terhadap penduduk Islam di India apabila isu ini dieksploitasi dengan berkesan oleh parti politik pihak lawan ataupun pembangkang di India.

3.3

Isu majoriti vs minoriti

Penduduk India meliputi berbagai individu yang terdiri daripada agama, kasta, etnik dan kelas yang berbeza. Struktur masyarakat yang kompleks ini sebenarnya menyukarkan penyatuan kaum dan bangsa di India. Kepelbagaian kasta, agama dan kumpulan etnik yang wujud bersama ini perlu bersetuju malah bermuafakat untuk mematuhi peraturan sosial Hindu memandangkan Hindu adalah agama yang majoriti di India. Penduduk Hindu dan Muslim selalunya tinggal berhampiran di sesebuah wilayah. Sebagai komuniti yang minoriti, penduduk Muslim akan sentiasa memelihara sempadan dan kepentingan mereka. Malah, Muslim dilihat sentiasa berada di bawah purata sosioekonomi yang rendah (Kandath, 2006: 507). Walaupun majoriti penduduk India adalah penganut Hindu, namun sebenarnya India berhadapan dengan cabaran mempunyai penduduk minoriti Muslim yang mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Ini kerana walaupun minoriti, populasi Muslim merangkumi campuran sebilangan kecil golongan yang kaya dan cerdik pandai, serta sebilangan besar golongan miskin dan tidak berpelajaran. Walaubagaimanapun, ini sebenarnya memberi cabaran kepada India yang berstatus penganut Hindu sebagai penduduk majoriti. (Kandath, 2006:504). Selain itu, penganut Hindu di India berasa takut dan terancam dengan kehadiran penduduk Muslim di India. Ini kerana sejak dahulu lagi, penganut Hindu adalah penduduk asal ataupun ketuanan tanah di India. Apabila penduduk Muslim datang berhijrah dan menetap di India, secara tidak langsung

9

mereka menguasai sedikit sebanyak bidang ekonomi di India. Tambahan pula, kelebihan bagi penganut Islam untuk mempunyai lebih dari seorang isteri menyebabkan populasi Muslim di India makin bertambah. Ini menyebabkan penganut Hindu berasa terancam dan tidak berpuas hati dengan penduduk Muslim di India.

4.0

KESAN KONFLIK

4.1

Peristiwa Masjid Babri

Masjid Babri adalah sebuah masjid yang didirikan oleh Pemerintah Mughal pertama India di Ayodhya sebelum tahun 1940-an. Menurut Roy dalam Hasan (1997), masjid Babri diruntuhkan oleh sekitar 150,000 orang dari kaum nasionalis Hindu pada 6 Disember 1992, dalam sebuah peristiwa yang sudah dirancang, walaupun sebelumnya Mahkamah Agung India telah melarang segala bentuk atau apa jua kerosakan atau aktiviti khianat terhadap masjid itu. Kaum nasionalis Hindu meyakini bahawa panglima perang Babur, Mir Baki telah menghancurkan sebuah kuil Hindu yang sebelumnya berdiri di situ sebuah masjid, yang mereka percayai kuil tersebut dibangunkan untuk memperingati hari kelahiran Rama. Masjid Babri adalah salah satu masjid terbesar di Uttar Pradesh, sebuah wilayah di India yang memiliki populasi Muslim seramai 31 juta orang. Puak Nasionalis Hindu menawan Masjid Babri sejurus selepas itu, dan masjid ini telah diruntuhkan bagi memberi laluan pembinaan sebuah kuil Hindu (Rujuk Gambarajah 2).

4.2

Penindasan terhadap Kashmir

Sub-benua India kekal di bawah pengaruh British sehingga akhir Perang Dunia kedua. Menurut Farzana Shaikh (1997), apabila British berundur, umat Islam India berhasrat untuk memiliki negara mereka sendiri dan dengan itu menubuhkan Pakistan. Terdapat perpindahan populasi di antara India dan Pakistan. Ramai umat

10

Islam yang tinggal di India berpindah ke Pakistan. Walaubagaimanapun, Kashmir yang majoriti populasinya terdiri daripada umat Islam, terus kekal di bawah kawalan India. Hal ini terjadi akibat muslihat India dan juga sokongan daripada pihak British. Kashmir terus hidup di bawah penindasan India sehingga kini. India, yang terkenal dengan sikap prejudisnya menentang Islam tidak akan membenarkan Kashmir untuk mencapai objektifnya menjadi sebuah negara Islam merdeka, ataupun bersatu dengan kerajaan Islam Pakistan (Farzana Shaikh, 1997: 87). Hakikat bahawa rakyat Kashmir yang merupakan umat Islam menjadi sebab asas kepada terjadinya sekatan ekonomi, tindakan kekejaman, penahanan dan penderaan yang tidak berjustifikasi yang dikenakan ke atas mereka. Dengan cara ini, kuasa-kuasa tersebut dapat menghalang umat Islam dari memegang kuasa, dari segi ekonomi dan juga politik. Dengan cara yang sama juga, mereka turut melakukan sekatan dan tekanan antarabangsa untuk menghalang kerajaan Islam Pakistan dari menyokong rakyat Kashmir. Umat Islam Kashmir berharap untuk menentang peraturan India yang menekan itu dan seterusnya mendapatkan kemerdekaan. Menurut Zinkin (1966), India telah menjalankan proses pembunuhan beramai-ramai terbesar dimana beratus-ratus ribu umat Islam Kashmir dibunuh. Lebih 4,000 orang wanita didera dan diperkosa. Malah, sekolah-sekolah yang menyediakan pendidikan keagamaan telah ditutup untuk mengelakkan daripada berlakunya kesedaran Islam. Malah menurut Farzana Shaikh (1997), pergerakan pembunuhan dan asimilasi menjadi semakin kejam selepas tahun 1990. Rakyat ditahan tanpa sebab dan diseksa sehingga mati. Rumah-rumah dirampas, rakyat yang tidak bersenjata dianiaya, dan syarikat akhbar serta sekolah-sekolah ditutup. Kerajaan India masih tidak berasa puas dengan melakukan kekejaman bersenjata sahaja. Maka, empangan yang diperlukan untuk tujuan pertanian turut dirampas untuk menekan lagi umat Islam. Mereka mengisinya sehingga penuh dan tiba-tiba membukanya kembali apabila hujan monsun tiba. Kesannya, kawasan tanah

11

rendah di Kashmir dan Pakistan mengalami banjir. Malah, beribu-ribu manusia kehilangan nyawa dan kawasan yang terlibat pula mengalami kerosakan yang sangat teruk. Selain itu, Farzana Shaikh (1997) turut mengatakan bahawa India berupaya melaksanakan polisi kejam yang menindas penduduk Kashmir selama lebih 50 tahun disebabkan oleh sokongan secara nyata dan juga tersembunyi yang diterima dari beberapa golongan di Barat. Umat Islam Kashmir berada di bawah rejim penindas Hindu disebabkan oleh keputusan-keputusan PBB, yang mana kebanyakannya tidak dilaksanakan. Populasi Kashmir dikuasai oleh umat Islam. Perjuangan mereka untuk mendapatkan kemerdekaan dan sokongan yang diberikan oleh Pakistan telah dilemahkan oleh polisi-polisi berat sebelah oleh beberapa golongan dari Barat. Tekanan India di kawasan tersebut dan proses asimilasi yang dilakukan telah menjadi semakin getir sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Malah, telah wujud puak fanatik Hindu yang mana kerajaan India mendakwa tidak mampu untuk mengawalnya. Pergerakan ini bertujuan untuk menghapuskan kesemua umat Islam Kashmir, seperti mana yang dilakukan dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Masjid Babri.

5.0

STRATEGI MENANGANI KONFLIK

Berikutan dengan adanya watak-watak tertentu individu ketika berlakunya konflik, seseorang individu dilihat mempunyai gaya tertentu apabila mereka berhadapan dengan konflik tersebut. Kurogi (1998) melihat bahawa gaya sesuatu penyelesaian konflik itu dipelajari seiring dengan proses sosialisasi di dalam hidup seseorang individu itu. Proses sosialisasi tersebut adalah faktor yang penting di dalam membentuk tingkahlaku dan identiti yang dipelajari oleh individu. Justeru, pelbagai strategi dan pendekatan dapat dipraktikkan dalam menangani konflik antarabudaya bukan sahaja di dalam konteks konflik antara Muslim dan Hindu di India malah juga konflik yang turut terjadi di negara kita khususnya.

12

5.1

Diplomatik dan perbincangan

Antara strategi utama yang dapat dipraktikkan dalam menangani konflik antarabudaya ialah menerusi kaedah diplomatik dan perbincangan. Dalam kata lain, perbincangan yang diadakan ini haruslah bersifat diplomatik serta permuafakatan di antara dua pihak yang bermusuhan tersebut. Menurut Broome dan Hatay (2006), seorang tokoh yang seringkali dilihat sebagai pengasas kepada pendekatan penyelesaian konflik ialah John W. Burton yang merupakan seorang bekas diplomat dan pengasas kepada Centre of the Analysis of Conflict di University College of London. Pada pertengahan 1960-an, beliau telah mengendalikan bengkel di London yang berkenaan tentang konflik di antara Malaysia dan Singapura. Burton telah memperkenalkan praktik teori yang dikonsepkan sebagai control communication. Di dalam konsep ini, beliau mengenengahkan kaedah problem solving ataupun penyelesaian masalah kepada penyelesaian konflik yang digunakan oleh beliau di dalam proses rundingan secara diplomatik. Antara tujuan utama bengkel problem solving yang dilakukan oleh beliau adalah untuk membuka ruang kepada siaran komunikasi yang tidak rasmi di antara pihak yang terlibat sebagai persediaan kepada perundingan secara rasmi dalam menyelesaikan sebarang konflik. Mesyuarat biasanya dikendalikan dalam konteks akademik yang membolehkan peserta untuk mengambil bahagian di dalam perbincangan secara dialog tanpa berlaku sebarang kesan yang negatif atau memudaratkan (Broome & Hatay, 2006:632).

Selain fokusnya adalah untuk membuang sikap mempertahankan diri masing-masing serta merasakan budaya sendiri lebih hebat dari budaya lain, kaedah ini juga menggalakkan pemikiran dan idea yang baru mengenai konflik dan cara penyelesaiannya menerusi perkongsian masalah di antara kedua-dua pihak. Bagi Burton, tujuan utama controlled communication diadakan adalah

13

bagi menyediakan ruang yang lebih luas dan selamat untuk perundingan secara rasmi di bawah kawalan. Jika kita lihat di dalam konteks konflik di India, kaedah tersebut juga sesuai untuk diaplikasikan. Yang pertama sekali haruslah diadakan mesyuarat atau dikenali sebagai peace meetings di mana belia Muslim dan Hindu perlu duduk berbincang dan merancang kawalan di kawasan kejiranan sebelum sebarang perayaan diraikan akan membantu kedua-dua komuniti tersebut mengenali antara satu sama lain selain bersatu padu mengelakkan keganasan yang sering berlaku.

Mesyuarat sebegini di samping aktiviti sosial yang bersifat inklusif yang melibatkan komuniti daripada kedua-dua agama dapat memantapkan lagi proses pendamaian di peringkat akar umbi. Aktiviti sebegini turut dianjurkan di Malaysia namun usaha untuk mewujudkan rasa hormat dan harmoni di dalam masyarakat Malaysia tidak boleh diinstitusikan oleh pihak kerajaan sekiranya masyarakat di peringkat akar umbi tidak memainkan peranan mereka di dalam keluarga dan komuniti masing-masing.

6.0

IMPLIKASI KONFLIK TERHADAP KOMUNIKASI ANTARABUDAYA

Dalam membincangkan tentang konflik di India, dilihat bahawa faktor-faktor seperti isu agama, politik, dan majoriti lawan minoriti merupakan antara penyebab yang menyumbang kepada berlakunya konflik antarabudaya ini. Faktor agama terutamanya seringkali menjadi penyebab kepada berlakunya konflik di seluruh dunia. Oleh itu, pentingnya untuk memahami masyarakat yang berlainan agama sebagai asas kepada penyelesaian sesuatu konflik itu. Contohnya di dalam isu sempadan Kashmir di India. Pavri (2009) mencadangkan supaya meningkatkan pemahaman dan keberkesanan komunikasi antarabudaya agar dapat membantu dalam perundingan antarabangsa di antara India dan Pakistan. Perbezaan etnik dan agama sudah semestinya wujud di India, dan konflik yang terjadi adalah disebabkan oleh faktor-faktor ini.

14

Selain itu, kita seringkali mengaitkan konflik dengan hasil atau kesan yang negatif. Begitu juga dalam konflik antarabudaya yang berlaku di India. Kisah konflik di India antara komuniti Hindu dan Muslim kurang mendapat perhatian masyarakat di dunia terutamanya anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ini kerana pihak Barat sendiri sebenarnya memihak kepada kerajaan India yang beragama Hindu yang menindas penduduk Muslim secara langsung ataupun tidak langsung. Isu agama dan politik adalah antara faktor utama yang dilihat mencetus kepada pergolakan konflik ini. Apabila minoriti Islam di India disisihkan dari segi politik dan ekonomi, tiada bantuan diberikan oleh pihak luar dalam membantu menangani konflik ini. Kita seharusnya mengambil berat isu konflik di India ini memandangkan komuniti Islam terutamanya yang tinggal di Kashmir berhadapan dengan cabaran konflik budaya yang sangat hebat.

Seringkali kita lihat media antarabangsa hanya menumpukan tentang konflik di Palestin, isu serangan 11 September terhadap Amerika, peperangan di Iraq dan sebagainya. Namun jarang kita mendapat informasi mengenai konflik di India ini. Ini berkait rapat dengan isu ketidakseimbangan pengaliran berita antarabangsa di seluruh dunia dimana syarikat media gergasi yang didominasi oleh The Big Four sehingga kini mengawal aliran maklumat seluruh dunia. Kebergantungan negara-negara dunia ketiga terhadap maklumat ini menyebabkan informasi yang didapati tidak seimbang dan berat sebelah. Ini kerana kerapnya berlaku paparan yang negatif mengenai negara membangun dikalangan audiens di negara maju. Semasa gagasan NWICO (New World Information Communication Order) hangat diperdebatkan di pentas dunia, banyak negara telah mengambil langkah menubuhkan agensi berita nasional masing-masing. Agensi-agensi berita nasional sebenarnya telah lama wujud seperti Press Trust of India. Namun pada peringkat awal perlaksanaan sehinggalah sekarang masih gagal melaksanakan fungsi untuk menjadi penerima dan pengedar kepada lain-lain agensi berita di seluruh dunia.

Media tidak seharusnya bersikap berat sebelah kepada pro-barat sahaja. Malah kita sebagai umat Islam, haruslah membantu saudara sesama Islam di India dalam menangani konflik ini. Walaupun Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah negara yang bebas dari konflik peperangan dan perkauman, namun sejarah 13 Mei 1969 akan sentiasa

15

menjadi titik hitam di dalam kamus sejarah negara yang mengingatkan kita kepada natijah yang terpaksa ditanggung rakyat angkara semangat perkauman dan fanatisme politik. Malah, walaupun masyarakat Malaysia kelihatan selesa dan bertolak ansur antara satu sama lain, namun terdapat beberapa kejadian yang berlaku, tercetus akibat kita masih belum berupaya memahami rakan atau jiran kita yang mempunyai kepercayaan atau ideologi yang berbeza. Tragedi Hindraf yang pernah terjadi di Malaysia sepertimana konflik yang berlaku di India adalah umpama titisan nila yang boleh merosakkan susu sebelanga.

Selain itu, perlulah kita ingat bahawa kemewahan kebendaan dan kestabilan ekonomi belum tentu menjamin semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat. Interaksi masyarakat yang bebas dari prasangka, mekanisme kerajaan yang telus dan demokratik serta penglibatan ahli masyarakat yang aktif di dalam kegiatan kemasyarakatan, perayaan dan khidmat sosial adalah kunci kepada sebuah masyarakat yang adil dan aman. Perubahan hanya dapat direalisasikan sekiranya generasi muda dididik agar menghormati dan menerima perbezaan jiran mereka dengan terbuka. Yang penting kita perlu membuang sikap prejudis dan diskriminasi terhadap budaya lain. Kita tidak boleh menganggap perbezaan budaya itu sebagai satu jurang, malah perlu mengambilnya sebagai satu keistimewaan dan menerima perbezaan tersebut dengan hati yang terbuka dan ikhlas.

16

LAMPIRAN Gambarajah 1

Pasukan Tindak Cepat Rusuhan India yang terdiri daripada anggota polis dan tentera sedang mengawasi Daerah Tegang di Ayodhya ketika peristiwa pemusnahan Masjid Babri.

Gambarajah 2

Masyarakat Islam dan Hindu merusuh dengan menggunakan buluh panjang ketika upacara sambutan memperingati peristiwa runtuhan Masjid Babri.

17

RUJUKAN Akbar, M.J. 2003. India- The Siege within: Challenges to a Nations Unity. New Delhi: Roli Books. Broome, B.J & Hatay, A. J. 2006. Building Peace in Divided Societies, The Role of Intergroup Dialogue. Dlm. Oetzel, J.G. and Ting-Toomey, S. (pnyt) The SAGE Handbook of Conflict Communication: Integrating Theory, Research and Practice. Sage Publications, Thousand Oaks, CA. 627-662. Croucher, S.M., Holody, K.J., Hicks, M.V., Oommen, D., DeMaris, A. 2011. An examination of conflict style preferences in India. International Journal of Conflict Management. Vol 22 (1): 10-31. Farzana Shaikh, 1997. Muslims and Political Representation in Colonial India: The Making of Pakistan. Dlm. Mushirul Hasan. (pnyt) Indias Partition: Process, Strategy and Mobilization. New Delhi: Oxford University Press. Folger, J.P., Poole, M.S., Stutman, R.K., 2009. Working Through Conflict. USA: Pearson Education. Girdner, E. J. 1996. Religion and Politics. Asian Thought & Society. Vol 61/62: 4-25. Gupta, D. 2007. Citizen versus people: The politics of majoritarianism and marginalization in democratic India. Sociology of Religion. Vol 68 (1): 27-44. Kandath, K. 2006. Critical Approach to community conflict in developing countries: a case study of India. Dlm. Oetzel, J.G. and Ting-Toomey, S. (pnyt) The SAGE Handbook of Conflict Communication: Integrating Theory, Research and Practice. Sage Publications, Thousand Oaks, CA. 501-515. Kaviraj, S. 1997. Religion and identity in India. Ethnic & Racial Studies. Vol 20 (2): 2534. Miller, K. 2006. Organizational Communication: Approaches and Processes (4th ed). California: Wadsworth Publishing Company. Oetzel, J.G., Arcos, B., Mabizela, P., Weinman, A.M. and Zhang, Q. 2006. Historical, political, and spiritual factors of conflict: understanding conflict perspectives and communication in the Muslim world, China, Columbia, and South Africa. Dlm. Oetzel, J.G. and Ting-Toomey, S. (pnyt) The SAGE Handbook of Conflict Communication: Integrating Theory, Research and Practice. California: Sage Publications. 549-574. Pavri, T. 2009. Shall we talk? Communications during crises in the India-Pakistan conflict. Round Table, Vol. 98 (403): 473-81.

18

Roy, A. 1997. The High Politics of Indias Partition: The Revisionist Perspectives. Dlm. Mushirul Hasan. (pnyt) Indias Partition: Process, Strategy and Mobilization. New Delhi: Oxford University Press. Ting-Toomey, S & Takai, J. 2006. Explaining Intercultural Conflict, Promising Approaches and Directions. Dlm. Oetzel, J.G. and Ting-Toomey, S. (pnyt) The SAGE Handbook of Conflict Communication: Integrating Theory, Research and Practice. Sage Publications, Thousand Oaks, CA. 691-723. Verghese, B.G. 2008. Rage, Reconciliation and Security: Managing Indias Diversities. New Delhi: Penguin Group. Wilmot, W. & Hocker, J.1991. Interpersonal conflict, 8th Edition. New York: McGraw Hill. Yee, J. 2005. Critical anti-racism praxis: The concept of whiteness implicated. Dlm Hick, S., Fook, J., Pozzuto, R. (pnyt). Social Work, A critical turn. Toronto:Thomson. Zinkin, T. 1966. Challenges in India. London: Chatto and Windus Ltd.