Upload
mohd-hafiz
View
479
Download
10
Embed Size (px)
Citation preview
Masyarakat Mabisa-IyaOleh Azrul Affandi [email protected]/10/10
ANTARA aktiviti dan rutin harian masyarakat Bisaya membabitkan budaya dan sumber
rezeki.
PENDUDUK Padas Damit, Said Masi menunjukkan replika baju kebal dipakai pahlawan
wanita Bisaya, Dang Isum.
Majoriti 50,000 etnik Bisaya bertapak di Beaufort, Sabah
NAMA mereka bukanlah asing untuk diperkatakan tetapi sejarah dan cara hidup mereka di satu lokasi 90 kilometer (km) di selatan Kota Kinabalu, Sabah, sememangnya menarik untuk dikongsi bersama.Dalam kelembutan bahasa mereka, sebenarnya tersimpan banyak khazanah misteri yang layak diungkapkan mengenai masyarakat Bisaya yang juga satu etnik Islam dengan majoritinya bertumpu di daerah Beaufort, Sabah. Antara keunikan mereka yang diakui ramai adalah fizikal mereka yang tampak seperti orang Cina atau mungkin campuran Filipina. Pendek kata, mereka memang cantik.Sebelum penulis mendekati mereka, rakan-rakan di Kota Kinabalu sudah menitipkan pesanan. Ada gurauan dan tidak kurang juga yang kedengaran serius.
“Jaga-jaga dengan orang Bisaya. Mereka bukan saja cantik tetapi ilmunya juga tinggi. Ketika
di sana, jangan buat perangai tak tentu hala, takut nanti lain pula ceritanya. Ilmu mereka bukan calang-calang, tak senang nak dikesan. Takut nanti, balik ke Semenanjung, terpaksa pula kembali semula ke sini untuk berubat!”
Itu pesanan Ali Karimi Dahlan, seorang guru yang mengiringi kami dari Kota Kinabalu ke Beaufort dan bertindak sebagai penunjuk jalan bertemu dengan masyarakat itu.
Ada kebenaran juga kata-katanya kerana sepanjang empat hari bersama masyarakat itu, kami selalu dihidangkan dengan cerita yang bisa meremangkan bulu roma mengenai kehebatan ilmu mereka. Namun, kerisauan itu kendur apabila dimaklumkan tiada apa yang akan berlaku selagi kita tahu menjaga kelakuan di situ. Pasti ramai yang mungkin pernah mendengar cerita mengenai kemaluan berasa ada di dahi dan itulah antara kehebatan yang disebut-sebut dimiliki etnik ini.
Penulis bukan mahu menceritakan sesuatu yang negatif kerana realitinya sudah ramai mengetahui mengenai kehebatan ilmu mereka. Di sebalik cerita negatif mengenai mereka, pada hakikatnya penduduknya mempunyai akhlak yang tinggi dan kuat pegangan agama.
Apa pun, tidak dinafikan kecantikan gadis Bisaya pasti menarik perhatian. Dengan kulit putih dan wajah seperti orang Cina bermata sepet, ia menonjolkan keayuan dan kelembutan tersendiri. Tambah unik kerana raut wajah mereka tidak sepenuhnya seperti orang Cina tetapi lebih menarik.
Berbeza versi cerita menakutkan mengenai kehebatan ilmu kebatinan mereka, realiti yang dapat dilihat ialah orang Bisaya ramah dan berbudi bahasa. Kita pasti leka apabila bersembang dengan sesiapa saja di situ, tidak kira yang muda mahu pun tua. Tiada seorang pun yang lokek melontarkan senyuman.
Etnik Bisaya bukan saja ada di Beaufort, tetapi boleh ditemui di Kuala Penyu, Menumbok, Sipitang dan sekitar Wilayah Persekutuan Labuan. Bagaimanapun, majoritinya berkampung di Beaufort dengan jumlah masyarakatnya melebihi 50,000 orang.
Di Beaufort, masyarakat ini mendiami kawasan Klias dan sepanjang tebing Sungai Padas. Di Klias pula, mereka mendiami kawasan perkampungan seperti Kampung Kebatu, Kukut, Kabidang, Takuli, Malabau, Kota Klias, Klias Kecil, Laba dan Nukahan.
Di sepanjang Sungai Padas pula, mereka mendiami kawasan Kampung Malalugus, Luagan, Mempagar, Limbawang, Pintas, Lubak, Lupak, Batandok, Beringin, Gadong, Kepawa, Garama, Silaun, Lawa, Kebajang, Lago, Suasa, Padas Damit, Jabang dan Bangkalalak, manakala di Kuala Penyu, penempatan mereka ialah di Kilugus, Manggis, Sinapokan, Siaun, Malikai dan di pekan Menumbok.
Dalam daerah Sipitang, sebahagian kecil mereka mendiami kawasan Sindumin, Mesapol serta di pekan itu sendiri. Di daerah lain pula, kebanyakannya berada di Kota Kinabalu, Wilayah Persekutuan Labuan, bandar lain seperti Tawau, Sandakan, Keningau, Kudat dan di pekan kecil seperti Kota Belud, Ranau, Tenom, Papar dan Membakut.
Meskipun masyarakat ini banyak di lokasi lain di Sabah, mereka juga ada di Sarawak. Namun, peninggalan sejarah serta cerita mengenai mereka lebih tepat diperoleh daripada masyarakat di Beaufort kerana menurut ‘orang lama’ di situ, beberapa lokasi sekitar daerah itu menjadi titik tolak perkembangan masyarakat Bisaya di Sabah, malah kisah mengenai kehebatan mereka juga berakar umbi di situ.
Menurut kepercayaan orang tempatan, perkataan Bisaya berasal daripada sebutan “Mabisa Iya” yang membawa maksud seseorang lelaki atau wanita nampak tampan dan gagah serta cantik. Sebutan itu kemudian bertukar kepada Bisaya sehingga hari ini.
Versi lain yang memetik Beyer H.O pada 1926, Hester E.D pada 1954 dan Harrison pada 1956 ialah perkataan Bisaya kemungkinan berasal daripada Empayar Srivijaya (Sonza, 1972). Pada 1960, John Carol menyatakan perkataan Bisaya berasal daripada pahlawan yang bernama Sri Visaya. Derek Headly (1950) pula menyatakan Sultan Brunei ketika kunjungannya untuk meninjau kawasan penduduk Bisaya dan baginda menyebut: “Bisai-Yah!” yang bermaksud betapa cantiknya ketika melihat gadis di situ.
Masyarakat Bisaya boleh dikatakan majoritinya beragama Islam. Mereka hidup dalam kawasan kampung terancang dan menjalankan aktiviti pertanian, selain ada yang mengusahakan produk sagu kerana hampir semua masyarakat Bisaya gemar memakan sagu, malah menjadikannya sebagai makanan asasi pula menggantikan nasi.
Melihat taraf dan kualiti hidup mereka di sekitar Beaufort, nampak jelas kebanyakan mereka mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, malah ramai juga hidup mewah kerana menceburi bidang perniagaan, selain sektor pertanian juga memberi pendapatan lumayan.
Dalam kemewahan dan keselesaan hidup itu, mereka utuh mempertahankan budaya masyarakat Bisaya kerana masih ada kumpulan kebudayaan bergerak aktif memainkan alat muzik seperti kulintangan dan gambang, malah mempunyai rutin latihan mereka sendiri di lokasi khusus.
Bisaya bukan masyarakat terpencil kerana realitinya mereka mempunyai sistem pengurusan yang mantap. Dalam kalangan masyarakat itu, sudah ada yang menjadi pemimpin dalam pelbagai badan politik dan bukan kerajaan. Sebagai contoh, siapa tidak kenal Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin yang turut bertindak
sebagai Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS).
Persatuan itu juga bergerak aktif dengan jawatankuasa yang dilantik dan dirombak setiap kali mesyuarat agung, selain tidak pernah gagal menganjurkan keramaian Adau Janang Gayuh setiap 15 Julai yang membawa maksud hari besar pemimpin sebagai satu simbol penghormatan serta mengenang jasa pemimpin masyarakat itu pada masa lalu hingga kini.
'Terima Islam seawal kurun 13'
ETNIK Bisaya sudah wujud di Kepulauan Borneo sejak ribuan tahun lalu dan menjadi antara suku kaum digeruni dan dihormati oleh suku kaum Asli lain di Sabah.
Mereka juga dipercayai antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Ketua Bisaya yang pertama ialah Awang Alak Betatar atau Sultan Mohammad Shah. Hubungan perdagangan yang dijalin dengan pedagang dari tanah Arab menjadi antara faktor etnik ini cepat memeluk Islam berbanding etnik lain di kepulauan Borneo.
Jika dilihat dari segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan seharian mereka. Etnik Bisaya memiliki minat dalam bidang pertanian dan ia kini menjadi sumber utama pendapatan mereka.
Masyarakat ini walaupun dipercayai ada kaitan dengan suku Visaya di Filipina, Bisaya hanya ada di Sabah dan Sarawak. Visaya di Filipina dipercayai berasal dari Borneo dan penghijrahan beramai-ramai mereka ke sana adalah disebabkan pelbagai faktor, termasuk politik.
Bisaya terkenal dengan budaya unik yang diamalkan sejak sekian lama, terutama dalam hal makanan tradisi dan kesenian. Antaranya, makanan tradisi yang paling digemari mereka ialah sagu yang diambil dari batang rumbia.
Lagu rakyat pula dipertahankan iaitu badaup yang dinyanyikan beramai-ramai ketika menuai padi, kebiasaannya oleh wanita dalam masyarakat itu. Selain badaup, ada juga nyanyian lain iaitu Oh Aki-aki dan King-king Batudan, iaitu rangkaian pantun kanak-kanak untuk mendodoi anak.
Banyak lagi kebudayaan masyarakat yang dipimpin oleh Janang Gayuh, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, termasuk tarian dan muzik tradisi, namun ia dikatakan semakin sukar dilihat akibat arus kemodenan yang semakin menghimpit mereka, selain penghijrahan belia ke lokasi yang lebih membangun terutama di bandar.
Bukan sukar untuk mengenali dan berjumpa orang Bisaya di Beaufort kerana mereka seolah-
olah ada identiti tersendiri. Paling ketara ialah raut wajah mereka seperti kacukan Cina dan Melayu. Jika berkunjung ke kampung Padas Damit, Karukan dan Kelias, boleh dikatakan semuanya orang Bisaya.
Meskipun semua kampung itu berada dalam daerah sama, lokasinya agak jauh di antara satu sama lain, malah ada yang memakan masa sehingga dua jam perjalanan. Ini sekali gus menunjukkan masyarakat itu memonopoli hampir segenap lokasi di Beaufort.
Difahamkan, perkampungan di Padas Damit menjadi satu lokasi utama perkembangan masyarakat Bisaya di Beaufort dan mempunyai banyak tinggalan sejarah, terutama ketika pertempuran masyarakat itu dengan tentera British pada suatu ketika dulu. Ia sekali gus menjadikan Padas Damit sebagai lokasi wajib dikunjungi sekiranya mahu mengenali lebih dekat mengenai Bisaya.
Dari Kota Kinabalu, perjalanan ke Beaufort hanya memakan masa lebih dua jam, sama ada menaiki bas atau teksi yang boleh didapati dengan mudah di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Menjejakkan kaki ke pekan Beaufort saja sudah cukup untuk bertemu orang Bisaya tetapi ia tidak memadai kerana sejarah dan misteri masyarakat itu tersimpan di ceruk pedalaman daerah itu.
(Bersambung esok)
'Terima Islam seawal kurun 13'
ETNIK Bisaya sudah wujud di Kepulauan Borneo sejak ribuan tahun lalu dan menjadi antara suku kaum digeruni dan dihormati oleh suku kaum Asli lain di Sabah.
Mereka juga dipercayai antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Ketua Bisaya yang pertama ialah Awang Alak Betatar atau Sultan Mohammad Shah. Hubungan perdagangan yang dijalin dengan pedagang dari tanah Arab menjadi antara faktor etnik ini cepat memeluk Islam berbanding etnik lain di kepulauan Borneo.
Jika dilihat dari segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan seharian mereka. Etnik Bisaya memiliki minat dalam bidang pertanian dan ia kini menjadi sumber utama pendapatan mereka.
Masyarakat ini walaupun dipercayai ada kaitan dengan suku Visaya di Filipina, Bisaya hanya ada di Sabah dan Sarawak. Visaya di Filipina dipercayai berasal dari Borneo dan penghijrahan beramai-ramai mereka ke sana adalah disebabkan pelbagai faktor, termasuk politik.
Bisaya terkenal dengan budaya unik yang diamalkan sejak sekian lama, terutama dalam hal makanan tradisi dan kesenian. Antaranya, makanan tradisi yang paling digemari mereka ialah sagu yang diambil dari batang rumbia.
Lagu rakyat pula dipertahankan iaitu badaup yang dinyanyikan beramai-ramai ketika menuai padi, kebiasaannya oleh wanita dalam masyarakat itu. Selain badaup, ada juga nyanyian lain iaitu Oh Aki-aki dan King-king Batudan, iaitu rangkaian pantun kanak-kanak untuk mendodoi anak.
Banyak lagi kebudayaan masyarakat yang dipimpin oleh Janang Gayuh, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, termasuk tarian dan muzik tradisi, namun ia dikatakan semakin sukar dilihat akibat arus kemodenan yang semakin menghimpit mereka, selain penghijrahan belia ke lokasi yang lebih membangun terutama di bandar.
Bukan sukar untuk mengenali dan berjumpa orang Bisaya di Beaufort kerana mereka seolah-olah ada identiti tersendiri. Paling ketara ialah raut wajah mereka seperti kacukan Cina dan Melayu. Jika berkunjung ke kampung Padas Damit, Karukan dan Kelias, boleh dikatakan semuanya orang Bisaya.
Meskipun semua kampung itu berada dalam daerah sama, lokasinya agak jauh di antara satu sama lain, malah ada yang memakan masa sehingga dua jam perjalanan. Ini sekali gus menunjukkan masyarakat itu memonopoli hampir segenap lokasi di Beaufort.
Difahamkan, perkampungan di Padas Damit menjadi satu lokasi utama perkembangan masyarakat Bisaya di Beaufort dan mempunyai banyak tinggalan sejarah, terutama ketika pertempuran masyarakat itu dengan tentera British pada suatu ketika dulu. Ia sekali gus menjadikan Padas Damit sebagai lokasi wajib dikunjungi sekiranya mahu mengenali lebih dekat mengenai Bisaya.
Dari Kota Kinabalu, perjalanan ke Beaufort hanya memakan masa lebih dua jam, sama ada menaiki bas atau teksi yang boleh didapati dengan mudah di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Menjejakkan kaki ke pekan Beaufort saja sudah cukup untuk bertemu orang Bisaya tetapi ia tidak memadai kerana sejarah dan misteri masyarakat itu tersimpan di ceruk pedalaman daerah itu.
Bersambung....
Bisaya asal daripada kecantikan legenda Tatanak
DANG Insum bukan saja terkenal handal dalam peperangan serta mempunyai kesaktian tetapi juga sangat ayu sehingga dikatakan menjadi punca wujudnya nama Bisaya, nama baru yang diberikan Sultan Brunei selepas sekian lama masyarakat itu dikenali sebagai Tatanak.
Menurut Ketua Kampung Padas Damit, Said Masi, sebelum nama Bisaya muncul, kebanyakan orang Bisaya tidak beragama. Ia berlaku sebelum zaman kemasukan Pengiran Shahbandar Hassan sebagai wakil Sultan Brunei di sekitar daerah Beaufort. Nama Bisaya muncul dalam pertandingan ratu cantik yang dianjurkan kerajaan Brunei dan bagi menghormati jemputan sultannya, Pengiran menghantar rombongan masyarakat Tatanak untuk menonton pertandingan itu.
Mewakili masyarakat itu untuk bertanding ialah Dang Insum yang dipilih sebulat suara oleh penduduk Padas Damit kerana kecantikannya dikatakan tiada tolok bandingnya di wilayah jajahan Brunei itu.
Nyata kecantikannya sukar digugat sesiapa termasuk warga Brunei, sekali gus membolehkan Dang Insum memenangi pertandingan berkenaan.
Kecantikan Dang Insum itu juga berjaya menarik perhatian Sultan Brunei sehingga berkali-kali baginda menyebut: “Bisai, bisai, bisai” yang membawa maksud cantik.
Pujian berkali-kali Sultan Brunei itu kedengaran di telinga orang Tatanak lain sehingga bermain di bibir mereka tetapi disebut Bisaya. Ia sekali gus menukar nama suku itu menjadi Bisaya yang kekal hingga hari ini.
“Sebenarnya Dang Insum membawa maksud seorang yang sangat cantik. Oleh kerana itulah dikatakan Bisaya memang berasal daripada Padas Damit.
“Tidak dari negeri lain seperti kata sesetengah orang bahawa masyarakat kami bermula di Filipina kerana di sana ada Visaya tetapi sebenarnya di sana mungkin juga mereka yang berasal dari sini. Mereka bukan Islam.
“Bisaya memang wujud sejak dulu di sepanjang Sungai Padas Damit. Ini kampung asal kami sebelum ada yang berhijrah keluar.
“Malah, ramai mengakui nama Bisaya juga muncul disebabkan sejarah di wilayah ini. Dang Insum memang orang sini,” katanya lagi.
Kini, semua penduduk di Padas Damit berketurunan Bisaya. Penghijrahan keluar dari Beaufort mewujudkan lebih banyak perkampungan baru masyarakat Bisaya iaitu di Labuan, Keningau, Tenom, Tawau, Kudat dan malah hampir semua daerah di Sabah ada orang Bisaya.
Masyarakat Bisaya di Limbang dan Filipina mempunyai budaya serta agama berbeza kerana mereka menganut Kristian.
Keadaan ini menguatkan hujah bahawa memang wujud perbezaan antara Bisaya dan Visaya.
Budaya Bisaya di Limbang dikatakan lebih dekat dengan masyarakat Iban. Budaya Bisaya di Sabah pula tidak jauh berbeza dengan masyarakat Melayu di Semenanjung.
Ayam putih senjata Dang Insum tentang penjajah
[Serikandi Bisaya miliki kesaktian dipilih ketuai penentangan terhadap British yang mahu menguasai Padas Damit]
BISAYA dan Padas Damit mempunyai hubungan sangat rapat kerana di situlah kehebatan masyarakatnya terserlah dalam usaha menentang penjajahan British. Di Padas Damit juga pelbagai cerita misteri mengenai perjuangan orang Bisaya menjadi bualan sehingga kini. Nama seperti Dang Insum Temenggong Gaja dan Pengiran Shahbandar Hassan paling ketara dalam kebanyakan cerita kebangkitan masyarakat itu menentang penjajah. Ia bukan cerita dongeng kerana banyak tinggalan sejarah mengaitkan mereka dengan cerita itu.
Ketua Kampung Padas Damit, Said Masi, mempunyai koleksi dan tinggalan sejarah yang dikatakan milik Dang Insum, selain watikah yang mengesahkan Padas Damit diserahkan kepada masyarakat Bisaya. Cerita mengenai pahlawan wanita itu juga masih kuat dalam ingatan Said.
Dang Insum, cucu Datuk Laksamana Idris Datu Orang Kaya Setia, dikatakan wanita hebat yang mempunyai kesaktian sehingga menimbulkan masalah kepada tentera British untuk menakluk Padas Damit. Kehebatannya menyebabkan beliau dipilih mengetuai perisai hadapan menentang North Bornoe Chartered Company pada 1888 hingga 1889 dengan sokongan Pengiran Shahbandar.
Ketika itu, Pengiran Shahbandar ialah pemerintah tunggal yang diamanahkan Sultan Brunei, sekali gus memegang ‘hak tulen’ terhadap wilayah Padas Damit.
Kawasan takluknya merangkumi sepanjang tebing Sungai Padas hingga ke Kampung Bengkalakak dan ke timur Jimpangah. Namun, semuanya menjadi huru-hara apabila North Bornoe Chartered Company memasuki kawasan itu dan enggan mengiktiraf Pengiran sebagai pemerintah. Lebih buruk, mereka menghasut orang tempatan untuk menentang Pengiran dengan mendakwa menjadi hamba di bawah pemerintahannya.
Pada permulaannya, Kompeni membuat penawaran untuk mengambil alih pemerintahan Pengiran dengan mengajukan undang-undang baru yang bakal dilaksanakan jika hasrat mereka dipersetujui. Namun, perbincangan antara Pengiran dengan orang kampung mencetuskan rasa kurang senang penduduk terutama mengenai syarat yang diminta. Dalam undang-undang itu kompeni mengenakan cukai kepala, cukai tanah, mengukur tanah untuk dibuat geran, menjadikan Padas Damit wilayah Labuan, memperkenalkan undang-undang wilayah baru, pemansuhan kuasa Pengiran serta semua pembesar di bawahnya.
Dikhabarkan kebanyakan kampung lain bersetuju menerima tawaran kompeni, tetapi penduduk Padas Damit enggan patuh, malah mengisytiharkan perang sebagai tanda membantah. Mereka menyerang penduduk yang belot dan setia kepada kompeni. Tindakan itu menimbulkan kemarahan dan membimbangkan kompeni.
“Orang Bisaya di Padas Damit tidak bersetuju dengan keadaan itu dan nekad untuk menentang. Pengiran mengarahkan mereka membina kubu sedalam 10 kaki. Kemudian, satu mesyuarat diadakan untuk memilih siapa paling layak memimpin barisan hadapan.
“Semua sepakat memilih Dang Insum yang dikatakan paling handal dan berilmu tinggi dengan dibantu pemuda, Mat Jagar Datu Salleh. Kesaktiannya terletak pada ayam putih yang memberi isyarat dengan berkokok kuat setiap kali musuh menyerang.
“Ayam putih itu dianggap senjata utama Dang Insum. Setiap serangan musuh pasti ia mudah dipatahkan Bisaya kerana sudah bersedia selepas mendapat isyarat daripada ayam itu. Strategi Dang Insum juga hebat. Mereka buat beberapa sampan daripada batang rumbia di seberang sungai sebagai umpan.
“Apabila tentera kompeni gunakan sampan untuk menyeberang dan cuba menaiki tebing yang dibina tinggi, semua mereka akan dipancung. Tak sempat nak masuk kota pun. Ada yang lemas di tengah sungai kerana sampan itu pecah,” cerita Said.
Detik kekalahan pasukan tentera Bisaya di Kota Makarang bermula apabila ada di kalangan mereka belot. Ia terjadi apabila Mat Jagar meninggalkan kubu untuk bertemu Pengiran Shahbandar, meninggalkan Dang Insum sendirian mengetuai orang Bisaya. Seorang lelaki di kalangan mereka berpura-pura sakit dan tidak bersama Mat Jagar bertemu Pengiran. Ketika menyedari semua orang leka, dia membunuh ayam putih itu, sekali gus menghilangkan kuasa ajaib Dang Insum.
Kebetulan, rombongan Mat Jagar turut disertai kebanyakan lelaki yang handal. Di Kota Makarang, hanya ada wanita dan kanak-kanak. Ia membuka peluang tentera kompeni membuat serangan mengejut tanpa disedari Dang Insum kerana tiada lagi isyarat kokokan ayam. Hampir sehari suntuk pertarungan itu berlangsung sebelum Dang Insum tewas yang menyaksikan ramai wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa. Dikhabarkan 20 orang tua dan kanak-kanak dicencang di dalam kubu. Manakala 60 tentera kompeni turut maut.
Selepas perang Padas Damit reda, Gabenor Labuan memanggil wakil Bisaya untuk berbincang kerana tidak mahu pertumpahan darah lebih banyak. James Brooke sebagai pemerintah British di Sarawak kuga tidak mengiktiraf kemenangan kompeni kerana tentera British hanya membawa balik bendera putih, simbol tentera Bisaya dari kubu, sedangkan James Brooke mahu melihat tawanan hidup. Ia dianggap sebagai pemberontakan dan bukan kemenangan mutlak mereka.
Perbincangan antara mereka akhirnya mencapai kata putus untuk berdamai. Itupun selepas Pengiran tumpas dalam serangan di tengah laut yang membuka jalan kepada British untuk menjajah dan undang-undang khas di Padas Damit.
40 ilmu kebatinan berbahaya masih diamal
BUKAN sedikit ilmu yang dimiliki masyarakat Bisaya. Difahamkan ada 40 jenis kepakaran dalam masyarakat itu yang berbahaya dan boleh menyebabkan sesiapa saja hidup tidak selesa jika terkena buatannya. Dalam zaman moden ini, ilmu itu semakin kurang diamalkan tetapi masih kekal diwarisi hampir kebanyakan masyarakat itu.
Jika sesiapa pernah terbaca mengenai ilmu menghilangkan kemaluan seseorang, itulah antara yang paling digeruni ada pada dimiliki orang Bisaya. Ia adalah ilmu yang sudah lama ada dalam masyarakat itu dan difahamkan sehingga kini masih ramai yang mahir mengamalkannya. Kehebatan orang Bisaya dalam ilmu kebatinan sudah terbukti ketika perang Padas Damit. Ketika itu mereka boleh ‘mencipta’ tebuan yang hanya akan menyerang orang bukan Islam. Ia menjadi senjata sakti mereka menentang musuh.
Kehebatan ilmu dalaman yang digelar ‘Gayong Dalam’ oleh Ketua Kampung Padas Damit, Said Masi, sebenarnya bukan sekadar bertujuan untuk melepaskan kemarahan tetapi ada ketikanya sekadar digunakan sebagai bahan permainan dan uji menguji.
“Dulu kerap ilmu itu dijadikan permainan. Seorang yang hebat akan sengaja mengirim ‘tuju’ kepada seorang lagi untuk menguji kehebatannya. Ia akan berbalas-balas sehingga kedua-duanya puas. Jika sesama mereka memang tak ada kesan teruk tetapi jika terkena orang yang tak tahu membela diri, sakitnya boleh membawa maut.
“Malah, ada juga ilmu yang kerap digunakan untuk mengganggu sesuatu majlis perkahwinan. Seseorang yang tak puas hati atas apa saja sebab akan menghantar ‘ilmu’ yang membuatkan ada orang dalam majlis menjadi gila. Jika ada sesiapa yang memegang orang itu, dia juga akan menjadi gila.
“Ada pula yang mengkhianati majlis perkahwinan dengan membuatkan nasi atau lauk pauk jamuan kenduri kahwin tidak masak. Ia selalunya disebabkan rasa tak puas hati atau mungkin juga sekadar mencuba dan main-main.
“Sekarang sudah tak ramai yang guna ilmu itu sebarangan sebab pegangan agama yang kuat tetapi sebenarnya masih ramai yang mahir termasuk orang muda dan remaja. Namun, adat dalam permainan dalaman, jika ada bisa pasti ada penawarnya. Semua sakit akibat ‘tuju’ itu boleh diubati dan ramai pakarnya di kampung ini,” katanya.
Paling menakutkan tentulah apabila tiba-tiba menyedari yang ‘anu’ hilang atau terasa ada di dahi. Dikatakan, jika terkena buatan itu, ada yang tak tahu untuk menceritakan kepada sesiapa. Ubat yang paling popular adalah menggunakan kura-kura kerana sifat penyakit itu sama seperti tabiat haiwan itu yang menyorokkan kepala ketika takut.
Mengejutkan apabila Said memberitahu bahawa semua ilmu itu bukan sukar untuk diamalkan menyebabkan dengan mudah ramai orang muda turut menguasainya.
Kini, sebenarnya masih ada ‘orang lama’ yang menguasai semua 40 ilmu itu. Kadangkala pemilik ilmu dalaman itu sengaja menguji kemampuan diri. Sekiranya dia memiliki 30 ilmu, sudah tentu dia mudah memenangi permainan dengan orang yang hanya ada 20 ilmu. Begitulah permainan pelik orang Bisaya dulu dan sebahagiannya kini.
Teringat cerita Ali Karimi Dahlan mengenai orang Bisaya dulu: “Dulu, mana ada sangat orang berani lawan bola sepak dengan orang Bisaya, apatah lagi di kampung mereka kerana ada saja ilmu yang digunakan ketika perlawanan. Silap-silap, terlanggar kaki mereka pun kita boleh sakit teruk.”
“Jangan risau. Jika kamu tak buat apa-apa dan tak ganggu sesiapa, tak perlu takut terkena buatan orang sini. Dulu memang mereka suka mencuba tapi sekarang orang Bisaya kuat beragama. Jika ada rasa apa-apa yang pelik, ramai boleh tolong ubatkan,” kata seorang penduduk di Suasa, meredakan rasa risau penulis dengan semua cerita itu.
Kehebatan orang Bisaya juga mungkin ada kaitan amalan mereka suatu ketika dulu yang begitu percaya kepada sesuatu yang pelik termasuk konon ada berita buruk yang disampaikan oleh burung ‘juriak’ setiap kali ia berbunyi. Difahamkan, kejadian buruk pasti akan berlaku jika burung itu berbunyi.
Namun, kini kepercayaan sebegitu sudah semakin terhakis dan tidak pula ada kejadian buruk berlaku meskipun berpuluh kali burung itu berbunyi. Ia mungkin disebabkan pegangan agama yang kuat dalam kalangan mereka selain pencerapan gaya pemikiran moden akibat perubahan zaman.
Kepercayaan terhadap pantang larang ketika mengandung dan kehidupan seharian juga sudah semakin ditinggalkan meskipun dulu merekalah antara masyarakat paling kuat berpegang dengan pantang larang sehinggakan suami tidak boleh berulang alik keluar masuk rumah jika isteri mengandung kerana khuatir anak dalam kandungan susah untuk dilahirkan.
Adat, budaya perkahwinan Bisaya semakin terhakis
[Banyak perkara dianggap menyusahkan, tempoh merisik tiga hari, keluarga lelaki perlu tinggal cuci kawah selepas majlis]
TEMPOH memberi kata putus selepas adat merisik dibuat menjadi petunjuk sama ada pihak perempuan sudi atau tidak menerima lelaki sebagai menantu. Jika dalam masa tiga hari keputusan dapat dibuat, tandanya mereka bersetuju tetapi jika sudah memasuki tempoh seminggu maka boleh dianggap lelaki itu tidak bernasib baik.
Itulah antara kebiasaan yang diamalkan dalam adat perkahwinan masyarakat Bisaya sejak dulu namun sudah semakin kurang diamalkan kini. Adat itu biasanya dilakukan sebagai satu
peringkat awal sebelum peminangan secara rasmi dibuat dan perbincangan selanjutnya mengenai jumlah berian (hantaran) diputuskan.
Bisaya juga tidak banyak bezanya dengan orang Melayu dalam menentukan jumlah hantaran. Jika dulu, hantaran kahwin tidak sampai RM1,000 tetapi kini sesiapa yang mahu berkahwin dengan gadis Bisaya perlu menyediakan paling kurang pun RM6,000 dan ada yang boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.
Ketua Kampung Suasa, Kida Assan, 62, berkata sama seperti Melayu, nilai hantaran perkahwinan ditentukan berdasarkan beberapa faktor. Yang paling utama ialah taraf pendidikan dan kerjaya perempuan itu. Jika tidak bekerja, nilai hantarannya adalah kira-kira RM6,000.
“Soal rupa tak penting sangat. Kedudukan keluarga dan tahap pendidikan lebih utama. Perjanjian ketika bertunang mengikut keadaan. Biasanya hubungan itu diikat setahun. Ada yang lebih lama dan ada yang cepat tapi kebanyakan setahun.
“Wang hantaran biasanya perlu diserahkan semuanya sebulan sebelum majlis perkahwinan. Ketika bertunang, cukup dengan menyarung cincin dan bertukar dulang hantaran,” katanya.
Dalam konteks pakaian untuk majlis perkahwinan juga menampakkan semakin kurang orang Bisaya memakai pakaian tradisi mereka meskipun masih ada butik perkahwinan menyewakan pakaian itu selain menghias pelamin dengan adat lama.
Adat perkahwinan juga sudah semakin berubah. Dulu ada adat paling utama selepas majlis perkahwinan iaitu pasangan pengantin perlu tinggal selama tiga hari di rumah keluarga pihak perempuan sebelum ke rumah keluarga lelaki untuk tinggal pula di situ selama seminggu dan kemudian berpatah balik ke rumah perempuan untuk tiga hari lagi.
Pelamin juga tidak ada dalam adat Bisaya kerana dulu pengantin hanya bersanding di atas kotak kayu yang dihias cantik. Jika sekali pandang, konsep perkahwinan dalam masyarakat ini agak ringkas dan tidak banyak berbeza dengan orang Melayu, mungkin kerana mereka juga beragama Islam.
Paling unik dalam adat perkahwinan mereka ialah penggunaan gulungan rokok daun yang perlu diselit di mulut pasangan pengantin sepanjang tempoh bersanding dan kini, masih ada yang mengamalkan adat itu tetapi menggunakan rokok tembaga yang berukir cantik.
Bisaya juga mengamalkan sistem yang melindungi sesuatu ikatan perkahwinan dengan meletakkan syarat sekiranya berlaku perceraian yang berpunca daripada pihak wanita maka wang hantaran perlu dipulangkan sebanyak dua kali ganda. Namun jika lelaki yang meminta perceraian, wang hantaran dianggap hangus.
Kida berkata, perubahan dalam adat perkahwinan masyarakat Bisaya antara lain disebabkan berlaku perkahwinan campur dan perubahan zaman selain mengelakkan kos yang sangat tinggi jika kekal dengan cara lama.
“Adat lama memang tinggi belanjanya. Jika nak buat majlis dengan pakaian budaya Bisaya, kos sewanya mahal kerana banyak aksesori yang digunakan. Dulu, setiap kali kenduri kahwin, paling kurang pun tiga ekor kerbau ditumbangkan. Kerana itulah belanja dulu sebenarnya lebih tinggi.
“Sekarang, semuanya dipermudahkan. Sehari saja sudah selesai majlis. Dulu, tiga hari tiga malam pun belum selesai. Banyak adat yang perlu dipatuhi. Selepas tiga hari di rumah perempuan, seminggu di rumah lelaki, patah balik ke rumah perempuan dan bersanding lagi,” katanya.
Langkah bendul atau kataliban (berkahwin dengan adik sedangkan kakaknya belum berkahwin) dalam masyarakat Bisaya adalah sesuatu yang dianggap serius kerana sehingga hari ini, sekiranya berlaku sebegitu, pihak lelaki perlu membayar denda seperti sepersalinan pakaian kepada kakak pengantin perempuan. Namun, kini nilai denda itu digantikan dengan duit di mana pengantin lelaki perlu membayar RM100 untuk seorang kakak.
Gotong-royong dilakukan sepenuhnya dalam perkahwinan Bisaya. Lebih unik, beberapa hari sebelum kenduri kahwin keluarga pihak lelaki perlu hadir di rumah bakal pengantin perempuan untuk membantu kerja persiapan. Sekiranya tidak hadir, denda akan dikenakan seperti tidak dibenarkan naik ke rumah ketika majlis perkahwinan.
Menambah keunikan majlis perkahwinan dalam adat Bisaya ialah tetamu tidak boleh makan selagi pengantin lelaki belum sampai. Majlis jamuan biasanya bermula selepas majlis persandingan dan dilakukan secara berhidang. Namun, tidak banyak lagi orang Bisaya mengamalkan budaya ini.
“Banyak sebenarnya perkara yang dianggap menyusahkan dalam adat perkahwinan sebelum ini. Bayangkan, selama tiga hari di rumah pengantin perempuan, semua ahli keluarga lelaki perlu tinggal di situ juga.
Kerja cuci kawah dan mengemas sisa daging kerbau adalah kerja pengantin lelaki,” kata Kida.
Kini, adat dan budaya dalam perkahwinan Bisaya sudah semakin terhakis. Namun dengan adanya seorang pengusaha butik di Beaufort yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Jamilah, masih ada beberapa perkahwinan yang cuba mengembalikan konsep perkahwinan asal masyarakat itu.
Jamilah masih menyimpan hampir semua koleksi wajib aksesori yang perlu dipakai oleh pasangan pengantin supaya kelihatan benar-benar mengikuti adat Bisaya selain menyediakan pelamin seumpama konsep lama.
Dalam konteks kebudayaan, Bisaya sebenarnya cukup kaya dengan nilai dan khazanah seni budaya. Mungkin kerana mereka bukan sekadar dikenali dengan kehebatan dalam bertempur tetapi terkenal dengan sifat ketimuran sejati. Ia jelas dilihat kerana hampir setiap
lokasi kampung penduduk Bisaya di Beaufort, akan ada satu jenis kebudayaan yang dimainkan secara aktif sama ada oleh orang tua atau generasi muda dengan nafas dan irama baru.
Mereka ada banyak lagu rakyat yang masih dinyanyikan sebahagian orang Bisaya seperti ‘badaup’ yang dianggap paling popular menjadi irama dalam pesta menuai padi serta ketika mendodoi anak. Ia dinyanyikan wanita dan kini, masih ada kumpulan badaup bergerak aktif dalam masyarakat itu.
Penulis berkesempatan melihat persembahan badaup dan kulintangan, iaitu alat muzik yang digunakan ketika ‘bagandang’ membabitkan beberapa jenis alat muzik seperti gong dan caklempong. Di Beaufort, ada beberapa kumpulan bergerak aktif seperti di Suasa yang membabitkan dua kumpulan iaitu kanak-kanak dan wanita. Di sini, kami dihiburkan irama bagandang baru yang menerima suntikan melodi lagu moden oleh kumpulan kanak-kanak.
Selain muzik, Bisaya terkenal dengan pelbagai jenis permainan tradisi. Ia biasanya aktif dihidupkan kembali setiap kali tiba musim hari keramaian seperti ketika menyambut Adau Janang Gayuh pada 15 Julai setiap tahun. Permainan seperti pulas jari (mitompulas), gusti kaki (mibinti) dan gusti tangan (miambit) menonjolkan imej kekuatan masyarakat itu sejak dulu.
Industri pembuatan sagu ekonomi tradisi masyarakat Bisaya
[Perkembangan positif dalam bidang pendidikan mengubah taraf hidup, kebergantungan terhadap aktiviti pertanian di Padas Damit]
PERTANIAN menjadi kemahiran utama dan penyumbang terbesar dalam menggerakkan ekonomi masyarakat Bisaya terutama di sekitar Beaufort, ditambah dengan keadaan serta struktur geografi yang sesuai membolehkan pelbagai aktiviti bertani dapat dijalankan. Sepanjang perjalanan merentasi lokasi perkampungan di sekitar Beaufort menyerlahkan industri itu, boleh dikatakan kiri dan kanan jalan dipenuhi tumbuhan menghijau berselang seli dengan sebuah rumah besar (banglo). Ada tanaman kelapa sawit dan hamparan sawah padi menghiasi pemandangan.
Mungkin tanah lembap di Beaufort memudahkan aktiviti pertanian. Sumber air mudah kerana ada sungai merentasi hampir setiap kampung merancakkan aktiviti pertanian. Ada juga tekanan dialami penduduk kerana Beaufort adalah kawasan paling kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat dan ada ketikanya hampir mengancam nyawa penduduk.
Selain padi dan kelapa sawit, perusahaan sagu paling penting dalam masyarakat itu kerana sagu menjadi makanan utama mereka, termasuk untuk makan tengah hari, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia lebih penting daripada nasi.
Kebergantungan terhadap sagu sebagai makanan rutin membolehkan industri pembuatan sagu terus berkembang pesat dengan perubahan terhadap kaedah memproses daripada
cara tradisional kepada penggunaan mesin canggih yang dapat menghasilkan lebih banyak sagu untuk memenuhi permintaan bukan sekadar di Beaufort, malah di seluruh Sabah.
Kami sempat melawat ke kilang sagu di Kuala Balik, Padas Damit serta menemui pengusahanya, Matrik Tumboh, untuk mengetahui bagaimana perusahaan itu dijalankan, selain potensinya untuk meneruskan ekonomi tradisi masyarakat Bisaya.
Sagu dihasilkan daripada batang rumbia yang setiap batang sebesar sepemeluk mampu menghasilkan antara lima hingga enam karung seberat 25 kilogram. Daripada batang sagu, hanya isinya diambil setiap kali dimasukkan ke dalam mesin, manakala hampasnya diberi kepada penternak kambing.
Prosesnya menggunakan mesin nampak lebih mudah kerana selepas memasuki mesin, ia terus menjadi serbuk sagu dan sedia untuk dipasarkan. Sagu dari Beaufort sudah terkenal dan mendapat permintaan dari banyak lokasi sekitar Sabah terutama Kudat, Tuaran dan Lahad Datu.
“Sagu sebenarnya menjadi makanan utama masyarakat ini sejak zaman penjajah dan ia mampu membekalkan sumber makanan ketika berdepan dengan kemelut peperangan. Ketika itu, semua orang Bisaya dan sebilangan kecil masyarakat Tionghua yang ada di Beaufort bergantung kepada sagu.
“Ia sekali gus menjadikan sagu begitu penting dalam hidup kami. Padi tak penting. Ia hanya makanan kedua. Sagu adalah makanan utama,” kata Matrik.
Melihat kepada perusahaan sagu di Kuala Balik, jelas ia diusahakan secara besar-besaran di situ membabitkan kaedah lama dan tradisional. Masih ada sebahagian kecil penduduk menggunakan cara tradisional tanpa bantuan mesin. Semua menggunakan tenaga manusia bermula daripada proses mengambil air sehinggalah menumbuk dan memijak sagu sehingga hancur.
Bercerita mengenai kedudukan ekonomi masyarakat Bisaya, kebanyakan mereka hidup sederhana, malah ada yang mewah dengan rumah besar, selesa serta mempunyai perniagaan yang stabil seperti dapat dilihat di kebanyakan rumah sekitar Suasa.
Pemilikan tanah pertanian yang besar untuk mengusahakan kelapa sawit membolehkan mereka hidup lebih selesa, selain berkedudukan tidak begitu jauh dari Beaufort, membolehkan aktiviti perniagaan dan pemasaran produk pertanian dijalankan dengan mudah.
Ada juga giat menjalankan aktiviti kraf tangan untuk dipasarkan di sekitar Sabah kerana sumber untuk bahan mentah membuat kraf tangan begitu mudah diperoleh di sekeliling mereka.
Menyentuh soal pendidikan, masyarakat Bisaya diakui sudah menunjukkan perkembangan memberangsangkan terutama dengan kemasukan lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan
pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan perkembangan itu mula pesat sejak 10 tahun kebelakangan ini.
Ia disahkan guru daripada masyarakat itu yang kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Gadong, Tukiman Ratin, 42, yang berkata berbanding dulu, pelajar sekarang lebih keinginan belajar disebabkan kemudahan infrastruktur lebih baik, selain motivasi tinggi melihat sudah ramai dalam kalangan mereka berjaya membina kerjaya dalam pelbagai bidang.
“Dulu, belajar cukuplah sekadar tahu membaca dan menulis. Nak ke sekolah pun bukan dekat. Tak ada jalan raya. Dari Suasa ke Gadong perlu naik bot menyebabkan tak ramai mampu ke sekolah. Sekarang tidak lagi, semuanya sudah dapat ke sekolah dengan selesa.
“Mungkin juga kerana dulu, kegiatan ekonomi masyarakat ini pun tidak begitu berkembang. Ramai juga yang hidup kais pagi makan pagi. Berbeza dengan sekarang mereka lebih stabil dan mampu hidup selesa. Perubahan dalam pendidikan dan taraf hidup agak ketara dalam lima tahun kebelakangan ini. Selepas tahun 2000, persaingan dalam bidang pendidikan semakin rancak.
“Pelajar Bisaya lebih cenderung dan cemerlang dalam subjek berasaskan kemanusiaan seperti Sejarah, Geografi dan Bahasa Melayu. Pendek kata, mereka lebih suka kepada subjek yang memerlukan pembacaan berbanding angka. Masih ramai yang lemah dalam Matematik,” kata Tukiman.
Kini, boleh dikatakan bukan lagi sesuatu yang mengejutkan sekiranya ada dalam kalangan masyarakat itu sudah berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah pertama dan kedoktoran, selain terbukti sudah ada daripada mereka berjaya menempa nama dalam pelbagai bidang termasuk politik.
Kebetulannya, meskipun Beaufort sudah maju dengan pelbagai kemudahan, kebanyakan perkampungan Bisaya masih jauh di pedalaman, sekali gus menyebabkan pelajar tidak banyak mendatangkan masalah sosial.
Tukiman yang sudah lebih 15 tahun berkhidmat di situ melihat perkembangan positif dalam bidang pendidikan itu akan mengubah cara hidup dan kebergantungan ekonomi masyarakat Bisaya pada masa akan datang kerana setakat ini semakin tiada waris mahu meneruskan aktiviti bertani.
Malah, kepesatan dalam bidang pendidikan yang turut dikuasai wanita Bisaya bakal mewarnai struktur masyarakat itu sendiri yang selama ini terkenal dengan kaedah menjaga anak perempuan.
Namun, selepas kejayaan demi kejayaan dalam bidang pendidikan, nampak jelas wanita Bisaya juga boleh mengorak langkah lebih jauh melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ramai wanita pandai hasil kraf tangan, kuat amal awet muda
SEIRING peredaran zaman, ketika ini amat sukar untuk menemui mereka yang masih mempunyai darah Bisaya tanpa campuran masyarakat lain dan kebanyakan mereka hanya ada di kawasan pedalaman, jauh dari Beaufort.
Kebanyakan orang Bisaya di sekitar Beaufort termasuk di Padas Damit dan Suasa mempunyai campuran darah dengan masyarakat lain sekali gus mengurangkan ciri-ciri asli yang ada pada wajah tulen orang Bisaya iaitu wajah seperti Cina sepenuhnya.
Kebanyakan yang ditemui di beberapa kampung masyarakat itu tidaklah seperti gambaran orang Bisaya yang digambarkan sebelum ini. Jika adapun, ketika menemu bual beberapa wanita di Suasa, ada seorang saja wanita daripada sembilan yang hadir mempersembahkan permainan kulintangan mempunyai wajah mirip orang Cina dan dikatakan tidak ramai sepertinya masih ada di kampung itu.
Wanita Bisaya pula sangat aktif dalam aktiviti masyarakat termasuk menubuhkan pasukan kulintangan seperti yang ada di Suasa. Dikatakan, mereka juga aktif dalam membantu ekonomi rumah tangga dengan meringankan beban suami di kebun, malah ada yang masih sedia ke laut untuk menangkap ikan.
Cuma, mungkin kerana mereka (wanita) lebih gemar melakukan aktiviti di rumah atau bersama suami di kebun, agak sukar menemui wanita Bisaya berlegar di kampung. Boleh dikatakan sepanjang kami di Beaufort, jarang sekali kelibat mereka kelihatan, kecuali jika adapun sedang bekerja.
“Kami bukan pemalu, tetapi wanita Bisaya memang tidak merayau sembarangan. Kami buat kerja di rumah dan bantu suami di ladang. Tak ada pula larangan wanita Bisaya untuk keluar merayau di luar, tetapi memang kami jarang begitu.
“Ramai sebenarnya wanita Bisaya pandai menganyam hasil kraf tangan. Boleh dikatakan hampir semuanya pandai. Dalam kerja di laut pula, wanita Bisaya ini terkenal dengan kemahiran menjala, tetapi bukan semua tahu mengenai perkara ini,” kata seorang wanita Bisaya di Suasa, Siti Saadiah Matjiah, 42.
Beberapa tradisi orang Bisaya sebenarnya sudah semakin terhakis kerana enggan dituruti orang muda seperti mengunyah sirih yang dikatakan menjadi kebiasaan wajib mereka sejak
dulu. Malah, cara pemakaian wanita dulu turut tidak digemari gadis muda, termasuk pemakaian batik dan baju kurung Kedah.
“Berkemban? Semua wanita di Bisaya (warga tua) gemar dan tak kisah berkemban di rumah. Sama juga dengan orang Melayu, tapi saya tak suka, malah kebanyakan gadis seusia saya tak pandai pun berkemban. Rasa tak selesa. Pemakaian lilitan kain di kepala juga kami tak pandai,” kata seorang gadis Bisaya, Suriyati Syamsul, 22.
Memang tak dinafikan, sukar sebenarnya untuk membezakan orang Bisaya dengan Melayu jika dinilai dari segi cara pemakaian, raut wajah dan kebiasaan lain. Malah, ada juga ketikanya mereka tak ubah pula seperti Melayu Minang di Negeri Sembilan.
Bercakap mengenai ilmu kebatinan seperti diceritakan dalam sebelum ini, wanita Bisaya juga sebenarnya hebat dengan amalan ilmu dalaman termasuk mengamalkan petua awet muda yang berbentuk bacaan dan amalan.
“Wanita Bisaya kuat amalkan ilmu dalaman dan cara mengamalkan awet muda juga berbentuk bacaan, bukan makan herba seperti kebanyakan wanita lain,” kata seorang lagi wanita Bisaya, Guati Samai, 49.