Nota Pengajian Tafsir Maudhuiy Siri Ke-64

Embed Size (px)

Citation preview

  • 7/29/2019 Nota Pengajian Tafsir Maudhuiy Siri Ke-64

    1/8

    1

    TM64

    HADITHAT AL-IFK: FITNAH BESAR PENCEMARAN MARUAH

    (Menghayati Pesan-pesan Ilahi dalam surah al-Nur: 11-21)

  • 7/29/2019 Nota Pengajian Tafsir Maudhuiy Siri Ke-64

    2/8

    2

    11. Sesungguhnya orang-orang Yang membawa berita Yang amat dusta itu ialah segolongan

    dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita Yang dusta) itu buruk bagi kamu,

    bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan

    Dengan kesalahan Yang dilakukannya itu, dan orang Yang mengambil bahagian besar Dalam

    menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa Yang besar (di dunia dan di Akhirat).

    12. sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang Yang beriman - lelaki dan

    perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Iniialah tuduhan dusta Yang nyata".

    13. sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan

    itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi

    hukum Allah, adalah orang-orang Yang dusta.

    14. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di

    dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa Yang besar disebabkan kamu turut

    campur Dalam berita palsu itu; -

    15. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu Dengan lidah kamu, danmemperkatakan Dengan mulut kamu akan sesuatu Yang kamu tidak mempunyai pengetahuan

    Yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi

    hukum Allah adalah perkara Yang besar dosanya.

    16. dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi

    Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli

    Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta besar Yang mengejutkan".

    17. Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan Yang

    sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang Yang beriman.

    18. dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana

    Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

    19. Sesungguhnya orang-orang Yang suka terhebah tuduhan-tuduhan Yang buruk Dalam

    kalangan orang-orang Yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi

    sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang

    kamu tidak mengetahui (yang demikian).

    20. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan

    juga (Kalaulah tidak kerana) Bahawa Allah amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu

    akan ditimpa azab Dengan serta-merta).

    21. Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan

    sesiapa Yang menurut jejak langkah Syaitan, maka Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa

    menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara Yang keji dan perbuatan Yang

    mungkar. dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu,

    nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya;

    akan tetapi Allah membersihkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang

    peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui

  • 7/29/2019 Nota Pengajian Tafsir Maudhuiy Siri Ke-64

    3/8

    3

    Latar Penurunan Ayat:

    Ayat-ayat tersebut merujuk peristiwa yang menimpa `Aishah r.`a. apabila difitnah

    oleh kaum munafiqin konon beliau telah melakukan perbuatan keji dengan Safwanibn al-Mu`attal r.`a., seorang sahabiy yang menemukannya sendirian kerana

    ditinggalkan oleh rombongan ekspedisi ketenteraan yang telah selesai menindak Bani

    al-Mustaliq pada tahun 5-6H. Ketika memberangkatkan kenderaan berkhemah yang

    dinaiki `Aishah r.`a., para petugas menyangka beliau sudah berada di dalamnya.

    Mereka tidak menyedari bahawa ketika itu `Aishah r. a. berada di luar khemahnya

    kerana mencari kalungnya yang tercicir. Setelah menjumpainya, didapati

    rombongan telah berangkat, lalu `Aishah r.`a. menunggu di tempatnya dengan

    harapan para petugas akan menyedari ketiadaannya dan kembali mengambilnya.

    Malam semakin larut lalu `Aishah tertidur hinggalah pada pagi keesokan harinya

    beliau ditemukan oleh Safwan, orang terakhir pulang yang ditugaskan meninjau

    lapangan andainya ada sesuatu yang ketinggalan. Menemukan `Aishah dalam

    keadaan seperti itu, safwan mempersilakan `Aishah r.`a. menaiki haiwan

    tunggangannya, sementara beliau sendiri menuntun haiwan kenderaan tersebut

    dengan berjalan kaki. Peristiwa itulah yang dilihat oleh Abdullah ibn Ubay sebagai

    kesempatan untuk dieksploitasi sedemikian rupa sehingga merebaknya fitnah skandal

    yang menggemparkan masyarakat Madinah.

    Huraian Maksud Ayat:

    Al-Qur'an mendedahkan fakta bahawa pelaku angkara al-ifk(fitnah dan pembohongan

    besar) itu, bukan seorang atau dua orang individu, tetapi sekumpulan (`usbah) yang

    berkongsi matlamat dan cita-cita jahat. Memang yang menjadi ringleadernya adalah

    ketua munafiqin, tetapi dari segi hukum ia dianggap warga masyarakat Islam

    berdasarkan sikap zahirnya, kerana itu mereka disebut minkum (dari kalangan kamu).

    Bilangan mereka sebenarnya tidak ramai, tetapi bahayanya cukup besar. Ia adalah

    sebahagian daripada usaha memerangi Islam oleh musuh-musuh yang tidak mampu

    berhadapan secara jantan, lalu berkomplot mereka-reka fitnah characterassassination, mengaib dan menyerang peribadi. Fitnah yang direkayasa oleh

    Abdullah ibn Ubay, pemuka kaum munafiqin Madinah itu disambut oleh sekumpulan

    warga masyarakat Islam yang naf dan lemah, lalu tersebar luas sehingga

    menggegarkan masyarakat madinah selama hampir sebulan.

    Pada zahirnya memang peristiwa tersebut begitu mendera dan menyakitkan, terutama

    bagi keluarga Rasulullah s.`a.w. dan keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.`a., juga Safwan

    ibn al-Mu`attal, seorang sahabiy muhajir, mujahid yang terkenal dengan

    kebaikannya. Bagaimana tidak sakit, mereka adalah orang-orang terhormat,

    pemimpin yang kekuatannya terletak pada keluhuran peribadi dan integriti moral.Tetapi al-Qur'an segera mengingatkan hakikat bahawa di sebalik derita yang

  • 7/29/2019 Nota Pengajian Tafsir Maudhuiy Siri Ke-64

    4/8

    4

    menyakitkan itu ada hikmah kebaikannya (Jangan kalian sangka ia semata-mata

    keburukan, sebaliknya ada kebaikannya bagi kalian). Yang tersirat di balik ayat

    tersebut adalah jaminan Tuhan, "Kamu mendapat pahala besar dari kejahatan mereka

    itu, terserlahnya kasih dan pemeliharaan Allah terhadap `Aishah r.`a. dengan

    membersihkannya dari fitnah lewat ayat-ayat Ilahi yang akan terus-menerus dibaca

    hingga kiamat, dan ketegasan ancaman Tuhan terhadap sesiapa yang mencemarkan

    maruah kamu". Memang fitnah yang dibongkar dan didedahkan biang keladinyalebih baik daripada fitnah yang tersebar dalam senyap tanpa diserlahkan hakikatnya.

    Pendedahan fitnah seperti yang terungkap dalam ayat-ayar al-Nur ini menyerlahkan

    kejahatan pelakunya dan membuktikan kebersihan mangsanya. Yang beruntung

    dalam isu ini adalah mangsa yang terbukti bersihnya, dan yang rugi adalah pelaku

    fitnah yang terbongkar konspirasinya. Keadaan seperti inilah yang diekspresikan

    dalam ungkapan Melayu, "senjata makan tuan!".

    Tidak siapa pun akan terlepas daripada balasan Tuhan. Setiap orang yang bercakap

    tentang isu ini dan menuduh Umm al-Mu'minin `Aishah r.`a. melakukan perbuatan

    scandalous yang mengaibkan, akan ditimpa azab, masing-masing mengikut kadar

    keterlibatan mereka dalam isu fitnah tersebut. Azab yang paling besar akan

    ditimpakan ke atas ringleader yang mendalangi konspirasi jahat itu. Dialah

    (Abdullah ibn Ubay) yang menjadi punca sebahagaian besar bencana fitnah tersebut.

    Dalang konspirator itu ditimpa azab berat (`adhabun `azim) duniawi-ukhrawi. Di

    dunia terdera dengan pendedahan belang kemunafikannya, di samping pengusirannya

    dari masyarakat umat; dan di akhirat terlempar ke gaung neraka lapisan terbawah.

    Bertolak dari premis tersebut Allah s.w.t. mendidik umat yang sebahagiannya telah

    terlibat dalam isu fitnah tersebut lewat sembilan pesan peringatan keras:

    1. Ketika mendengar cerita karut kelompok konspirator fitnah tentang `Aishahr.`a. seharusnya mereka bersangka baik terhadapnya sebagaimana yang

    dituntut oleh iman. Justeru, iman selamanya menuntut sikap bersangka baik

    terhadap sesama kaum mukminin sebagaimana yang diisyaratkan lewat kata

    al-mu'minun wa al-mu'minatdalam ayat 12 tersebut. Sebagai kaum beriman

    seharusnya mereka spontan menolak fitnah ke atas Sayyidatina `Aishah r.`a.

    itu dengan berkata, "Ini dusta nyata!" (hadha ifkun mubin!), rekaan tukang

    fitnah tentang peristiwa terbuka yang sebenarnya tidak diragukan oleh siapa

    juga yang menyaksikannya. `Aishah r.`a. dibawa dengan kenderaan Safwanibn al-Mu`attal r.`a. di tengah benderang siang, dilihat oleh seluruh angkatan

    tentera Islam dan disaksikan sendiri oleh Rasulullah s.`a.w.. Andainya

    perbuatan aib telah berlaku, tentunya ia dilakukan secara sulit dan

    tersembunyi. Demikianlah cara terbaik menyikapi isu seperti itu, iaitu dengan

    merujuk suara hati yang beriman. Jika seorang mukmin awam pun tidak

    tergamak melakukan perbuatan sekeji itu, maka lebih tidak masuk akal ia

    dilakukan oleh isteri Rasulullah s.`a.w. dan sahabatnya yang terkenal baiknya.

  • 7/29/2019 Nota Pengajian Tafsir Maudhuiy Siri Ke-64

    5/8

    5

    2. Setelah langkah pertama bertanyakan hati nurani sendiri, barulah masuk kelangkah kedua menuntut bukti nyata yang kuat. Orang yang membuat

    tuduhan seberat itu seharusnya mengemukakan empat orang saksi sebagai

    pembuktian kebenaran tuduhan mereka. Apabila ternyata tidak ada saksi, di

    sisi hukum Allah para pelakunya dianggap pendusta yang jahat. Sekali Tuhan

    mengatakannya pendusta (hum al-kadhibun), ia tidak akan berubah dan

    tidak akan ditarik balik selamanya.

    3. Fitnah sedemikian itu adalah suatu kejahatan serius yang membawa padahyang fatal andainya tidak kerana kurnia rahmat Allah di dunia dan akhirat.

    Kurnia rahmat Allah di dunia berupa kesempatan bertaubat, sementara kurnia

    rahmat-Nya di akhirat berupa pengampunan terhadap dosa-dosa manusia.

    Kalau tidak kerana kurnia rahmat tersebut, nescaya ditimpakan-Nya azab

    serta-merta. Kata lawla dalam ayat tersebut bererti terhindarnya sesuatu

    (azab) kerana adanya sesuatu yang lain (kurnia rahmat Allah). Demikianlah

    umat generasi tersebut mendapat pengajaran pahit untuk mengerti betapa

    besarnya rahmat Tuhan yang meliputi semua, termasuk mereka yang telah

    telanjur melakukan kesalahan.

    4. Lewat ayat 15 al-Qur'an memberikan gambaran suatu masyarakat yang sedangditimpa krisis nilai dan etika, ketika lidah tidak terkawal dan akal sihat tidak

    berfungsi. Kalaulah tidak kerana kurnia rahmat Allah nescaya mereka sudah

    ditimpa azab pada saat mereka melafazkan kata-kata fitnah, ketika bertanya

    tentangnya, ketika memanjang-manjangkan berita bohong yang mereka tidak

    mengetahui hakikatnya, dan ketika menyangka bahawa ia adalah soal kecil

    dan remeh, walhal di sisi hukum Allah ia adalah kesalahan serius dan dosa

    besar kerana telah mencemarkan kemuliaan rumah-tangga Rasulullah s.`a.w

    dengan fitnah skandal yang sedemikian keji. Ayat 15 tersebut

    menyenaraikan tiga kesalahan (dosa) yang telah mewajarkan para pelakunya

    ditimpakan azab: a. mulut dan lidah yang menyebut (bertanya dan

    menyampaikan) fitnah jahat itu kepada orang lain, b. bercakap tentang

    sesuatu yang tidak diketahui (tanpa bukti), dan c. menganggap kecil

    (tahsabunahu hayyinan) suatu yang hakikatnya besar dan serius di sisi Allah

    (wa huwa `inda 'Llahi `azim). Ternyata qadhaf (menuduh orang melakukan

    zina) adalah termasuk dosa besar. Hakikat besarnya dosa perbuatan tersebuttidak berubah (menjadi kecil) semata-mata kerana kejahilan pelakunya yang

    menyangka ia soal kecil. Kerana itu setiap yang haram harus disikapi dengan

    serius kerana berkemungkinan ia termasuk dosa besar (al-kaba'ir). Dalam

    peristiwa Hadithat al-Ifk, hukum hudud qadhaf telah dilaksanakan ke atas

    pelaku-pelakunya: Hamnah bint Jahsh, Hassan ibn Thabit dan Mastah ibn

    Athathah.

    5.

    Pendidikan adab dan disiplin seterusnya (selepas bersangka baik terhadapsesama kaum mukminin) ialah bersikap tegas dengan lafaz tasbih (subhanak)

  • 7/29/2019 Nota Pengajian Tafsir Maudhuiy Siri Ke-64

    6/8

    6

    ketika mendengar berita bohong itu, lalu berkata, "Tidak sewajarnya kami

    mengucapkan kata-kata kotor yang mencemarkan maruah dan kehormatan

    Rasulullah s.`a.w., mustahil isteri Nabi s.`a.w. melakukan perbuatan keji

    seperti itu, dan ini jelas suatu pembohongan besar dan suatu kejahatan

    menyakiti Nabi s.`a.w.!". Memang hati yang beriman seharusnya spontan

    melenting dan memprotes pada saat mendengar fitnah jahat sedemikian, lidah

    yang beriman tidak sanggup mengucapkan kata-kata tentang hal seperti itu dantidak rela menjadikannya bahan perbincangan. Mukmin tulen akan bergegas

    menghadap Allah s.w.t. menyucikan-Nya dari kemungkinan membiarkan

    Rasul-Nya ditimpa aib sedemikian rupa. Masyarakat mukmin sejati akan

    serta-merta melemparkan fitnah jahat itu jauh-jauh dari kedamaian,

    kemurnian dan keluhuran iklim iman dan taqwa.

    6. Satu lagi peringatan dari Allah s.w.t., yang disampaikan dalam nada mendidikdan mentarbiyah yang sangat mengesankan, ya`izukum (menasihati kamu),

    jangan sekali-kali mengulangi apa yang terjadi dalam peristiwa hadithat al-ifk

    sepanjang hayat dan selama-lamanya, andainya kamu benar-benar manusia

    mukmin yang beriman kepada Allah, beriman dengan syari`at-Nya,

    memuliakan Rasul-Nya s.`a.w., melaksanakan pertintah-Nya dan menjauhi

    larangan-Nya. Sikap mematuhi nasihat Ilahi dalam ayat ini dikaitkan

    langsung dengan iman (in kuntum mu'minin). Justeru, orang beriman tidak

    akan mengulangi kesalahan yang telah jelas akibatnya seburuk itu. Lewat

    ayat-ayat firman-Nya, Allah s.w.t. telah menjelaskan hukum-hakam syari`at-

    Nya, adab dan disiplin keagamaan dan kemasyarakatan. Sesungguhnya Allah

    Maha Mengetahui apa yang baik untuk hamba-hamba-Nya, Maha Mengetahui

    segala yang berlaku di kalangan mereka, lalu membalas setiap orang

    berdasarkan apa yang telah dilakukannya. Sesungguhnya Allah Maha

    Bijaksana dalam menentukan hukum-hakam syari`at-Nya, Maha Bijaksana

    dalam mengurus kehidupan makhluk-Nya, dan Maha Bijaksana dalam

    mewajibkan apa yang membawa kebahagian mereka di dunia dan akhirat.

    7. Disiplin atau adab ketiga yang dipesankan oleh Allah s.w.t. ketika mendengarcerita fitnah seperti itu agar jangan menyebarkannya, dan malah jangan

    menginginkan ia tersebar. Mereka yang terlibat dalam penyebaran dan

    penyiaran berita zina di kalangan kaum mukminin akan menerima azab yangpedih di dunia dan akhirat (lahum `adhabun alimun fi al-dunya wa al-

    akhirah). Di dunia mereka merasakan kepedihan hukuman qadhaf (lapan

    puluh kali sebatan), dan di akhirat nanti mereka akan dibakar dalam api

    neraka. Manusia jangan berlagak tahu tentang hakikat sesuatu, sumbernya

    hanyak maklumat yang serba terbatas, berita yang tidak jelas hujung

    pangkalnya atau hanya dakwaan orang-orang yang sakit hati. Malulah kepada

    Allah yang Maha Tahu tentang hakikat segala sesuatu (wa 'Llahu ya`lamu

    wa antum la ta`lamun). Kalau mahu selamat, kembalikan dan serahkan

    segalanya kepada Allah Yang Maha Tahu. Dalam kaitan ini Prof. Dr. Wahbah

    al-Zuhayliy mencatatkan ayat 19 surah ini menyebut bahawa adanya

  • 7/29/2019 Nota Pengajian Tafsir Maudhuiy Siri Ke-64

    7/8

    7

    keinginan (sekadar keinginan) tersebarnya berita zina (al-fahishah) sudah

    cukup untuk mewajarkannya ditimpa azab, apa lagi jika benar-benar telah

    bertindak menyebarkannya. Sudah pasti lebih besar dosanya dan lebih

    dahsyat hukumannya. Menurut al-Zuhayliy lagi, punca keinginan keji agar

    fitnah zina tersebar luas adalah dendam, kebencian dan nafsu meninggi diri.

    kedengkianlah yang mendorong pendendam seperti Abdullah ibn Ubay

    melakukan pencemaran maruah dan pencabulan kehormatan dengan sangkaanperbuatan itu akan menjadikannya tampak hebat, mulia dan berwibawa. Ibn

    Ubay dan mereka yang sejenisnya boleh bermimpi semahunya, tetapi Allah

    tetap dengan hukum dan hukuman-Nya: menimpakan azab duniawi-ukhrawi

    ke atas para pelaku qadhaf.

    8. Allah s.w.t. mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurniarahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu), nescaya kamu

    sudah binasa ditimpa azab-Nya, tetapi Tuhan Maha Pengasih, MahaPenyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Tuhan masih bersedia menerima

    taubat mereka yang ingin kembali kepada Allah setelah telanjur dalam isu

    al-ifk ini. Tuhan masih berkenan menunjukkan jalan pulang dan jalan

    kebaikan, dengan memperingatkan bahaya sikap berterusan melakukan

    perbuatan terkutuk mencemarkan kehormatan keluarga dan rumah-tangga

    Nabi s.`a.w.

    9. Dengan kurnia rahmat-Nya, Tuhan menunjukkan jalan selamat bagi kaummukminin seluruhnya iaitu dengan menjauhi jalan dan laluan syaitan, juga

    jangan mendengar bisikan dan saranannya kerana syaitan hanya membawa

    satu motif: menyuruh melakukan kekejian dan kemungkaran. Demikianlah

    ketika syaitan merangsang mereka mendengar dan mempercayai fitnah al-ifk

    dan seterusnya mendorong mereka menyebarkannya. Sekali lagi pada ayat 21

    Tuhan mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya

    (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu) dengan membuka pintu

    taubat dan pengampunan-Nya, nescaya tidak akan ada orang yang dapat

    membersihkan diri daripada dosa, tidak akan ada orang yang dapat

    melepaskan diri dari belenggu syirik, budaya keji dan kebejatan moral. Dan

    andainya itu terjadi, akibatnya tidak lain adalah kebinasaan ditimpa azab.Berkat kurnia rahmat-Nya manusia bejat yang bergelumang dosa boleh

    berubah menjadi manusia zakiy, manusia yang mencapai kebaikan yang

    diredhai Allah. Demikianlah Maha Penyayangnya Tuhan yang berkenan

    membersihkan sesiapa yang dikehendakai-Nya kerana sesungguhnya Allah

    Maha Mendengar suara hati mereka yang ikhlas ingin bertaubat dari

    perbuatan keji yang telah mereka lakukan selama ini.

  • 7/29/2019 Nota Pengajian Tafsir Maudhuiy Siri Ke-64

    8/8

    8