Upload
marlon-abdullah
View
69
Download
3
Embed Size (px)
DESCRIPTION
Knowledge
Citation preview
1
PENDEKATAN GERAKAN DAKWAH PADA ZAMAN RASULULLAH SAW
DAN KHALIFAH AL-RASHIDIN
MARLON P. GULENG (A131196)
Pendahuluan
Masa kini, terdapat pelbagai orientasi pendekatan gerakan dakwah dalam usaha untuk
meningkatkan kesedaran umat Islam dalam penghayatan beragama. Ada yang memilih
orientasi haraki (gerakan), terdapat juga yang memilih orientasi siyasah (politik),
berkembang juga orientasi tablighi (menyampai) dan tidak kurang juga cenderung ke
arah orientasi sufi (penyucian) bagi mencapai keberkesanan dalam kefahaman amal
Islami. Sesetengah orientasi ini menyandarkan kepada jemaah atau gerakan yang
terdapat di luar negara yang mempunyai orientasi, maslahah, dan cabaran yang tidak
sama dengan apa yang terdapat di Malaysia. Manhaj atau kaedah Mesir atau India
umpamanya, kalau ditinjau dari segi sejarah, budaya, situasi sosioekonomi, ia tidak
sama dengan apa yang terdapat di Malaysia. Lain negara lain budaya, negara yang
berlainan budaya sudah tentu berbeza pendekatan kaedah dakwahnya.
Gerakan Islam mestilah sebuah gerakan Islah yang mengasaskan
perjuangannya kepada interaksi sosial dan kesedaran seseorang insan untuk membina
kebaikan dan menonjolkan nilai-nilai al-Quran seperti yang diasaskan oleh Nabi
Muhammad SAW. Gerakan Islam mestilah bertanggungjawab untuk mengerah dan
mengarah kader-kader yang memiliki kemampuan dan potensi memimpin umat
manusia ke arah mencapai wawasan dan gagasan yang dikehendaki dalam agama
Islam. Gerakan Islam perlu muncul sebagai gerakan Islah global yang memfokuskan
wawasan umat ke arah ketuhanan, memandu mereka ke arah al-Quran supaya mereka
dapat mengecapi nikmat yang berharga dalam setiap ruang kehidupan.
Pendekatan gerakan dakwah yang diasaskan oleh Rasululah SAW dalam
bidang pendidikan dan pentarbiyahan sepatutnya dijadikan contoh dan landasan dalam
merealisasikan gerakan dakwah yang dijalankan dalam usaha memperbaiki umat
manusia. Pendekatan gerakan dakwah tersebut disambung oleh Khulafa al-Rashidin
walaupun terdapat beberapa pendekatan baru yang digunakan dalam menangani
2
permasalahan umat Islam pada zaman mereka akibat daripada masalah baru yang
timbul pada zaman tersebut.
Sama ada melihat peranan pembaharuan harus dilakukan oleh individu atau
berkumpulan yang lebih penting ialah hakikat bahawa peranan yang tertanggung oleh
mereka yang terlibat dengan usaha pembaharuan, dakwah atau islah adalah amat besar
dan berat. Sebagai penggerak kepada masyarakat, pendokong gerakan harus
mempersiapkan diri mereka lebih dari sasaran dakwah yang mereka ingin dekati.
Dalam arena dakwah, penggerak gerakan Islam sekurang-kurangnya perlu terlebih
dahulu memahami beberapa perkara asasi iaitu matlamat akhir atau arah tuju yang
ingin digerakkan dalam masyarakat. Selain itu pendokong gerakan juga harus
memahami keadaan dan permasalahan lingkungan masyarakat yang ingin
digerakkannya. Pendokong gerakan Islam juga harus mengetahui cara dan manhaj
terbaik yang akan digunakan untuk melakukan perubahan dalam masyarakat.
Masyarakat yang berbeza memerlukan pendekatan yang berbeza untuk menangani
permasalahan yang ada. Justeru itu, ahli gerakan harus mempunyai kebijaksanaan
yang tinggi dalam menjalankan dakwah kepada sasaran mereka.
Oleh yang demikian, dalam rencana ini perbincangan mengenai pendekatan
gerakan dakwah pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rashidin seharusnya
diketengahkan supaya kita sama-sama dapat melihat beberapa kaedah pendekatan
gerakan dakwah yang digunakan pada zaman tersebut dan kaedah-kaedah tersebut
dapat diaplikasikan pada zaman kini mengikut kesesuaian dan keadaan semasa.
Pada Zaman Rasulullah SAW
Rasulullah SAW ialah seorang model pendakwah terbaik sepanjang zaman.
Pendekatan gerakan dakwah yang diketengahkan oleh baginda SAW dapat dijadikan
panduan umat Islam hingga ke hari kiamat. Walaupun belum wujud nama organisasi
yang khusus pada zaman ini akibat daripada kekurangan bilangan kaum muslimin,
tentangan yang hebat di kalangan kafir Quraish, kekurangan ilmu pengetahuan di
kalangan penganut Islam tetapi kaedah dan cara tersendiri sudah kelihatan wujud pada
3
zaman ini. Antara pendekatan gerakan dakwah yang wujud pada zaman Rasulullah
SAW ialah:
a. Rumah al-Arqam
Menurut pendapat yang rajih, setelah bilangan umat Islam mencecah lebih kurang
empat puluh orang, Rasulullah SAW mulai membuka pusat pengajian untuk
menyampaikan maklumat tentang aqidah dan akhlak Islam. Di rumah al-Arqam inilah
Umar al-Khattab RA menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam yakni pada tahun
keenam kenabian baginda. Pemelukan Umar telah menarik ramai para madu memeluk
Islam secara terbuka berbeza dengan situasi sebelum ini di mana dakwah dijalankan
secara tersembunyi. Menurut riwayat, jumlah umat Islam ketika Umar memeluk Islam
ialah seramai empat puluh orang dan orang yang keempat puluh adalah Umar sendiri.
Sumber lain turut menyebutkan bahawa umat Islam ketika Umar memeluk Islam
sememangnya telah melebihi empat puluh orang. Mereka itulah yang bertindak
sebagai perintis dan golongan penuntut pertama yang diberi bimbingan secara
langsung oleh Rasulullah SAW di rumah al-Arqam (al-Asqalani 1990, 1: 28).
b. Rumah Rasulullah SAW
Rumah baginda SAW merupakan markas tarbiyah sepanjang period sebelum
hijrahnya Rasulullah ke Madinah. Rumah baginda telah menjadi pusat latihan dan
perkaderan yang amat efektif sehingga dapat melahirkan para mujahid dakwah yang
amat komited serta mampu menyambung perjuangan Rasulullah SAW selepas
baginda wafat. Dari institusi pengajian inilah munculnya kaum Muhajirin yang
merupakan saudara kepada kaum Ansar di Madinah. Dari sana juga lahirnya tokoh
kepimpinan role model kepada seluruh umat Islam hingga ke hari ini (al-Asqalani
1990, 1: 28).
c. Rumah Para Sahabat
Rasulullah SAW sering menumpangkan tetamu baginda di rumah sahabat yang
berkemampuan. Peluang ini tidak dilepaskan oleh sahabat untuk menyampaikan
4
risalah Islam. Mereka memberi bimbingan serta nasihat kepada tetamu tersebut
dengan tujuan meyakinkan mereka tentang ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah.
Misalnya, peristiwa di mana baginda didatangi oleh tetamu dari Qabilah Qais yang
tinggal di Madinah selama sepuluh hari. Ketua kumpulannya, Abdullah al-Ashajj
sengaja ditumpangkan di rumah Ramlah binti al-Harith sementara pengikut beliau
ditempatkan di rumah sahabat di kalangan Ansar. Abdullah, ketua qabilah sentiasa
bersama Rasulullah SAW dan bertanya tentang Islam serta ajarannya, sementara
tetamu yang lain belajar di rumah para sahabat. Dalam satu peristiwa yang lain
Qabilah Ghamid telah ditempatkan di rumah Ubay ibn Kaab yang menjadikan
rumahnya sebagai tempat tumpangan dan pengajian (al-Asqalani 1990, 1: 28).
d. al-Suffah
Selepas umat Islam berhijrah bersama-sama Nabi SAW ke Madinah, antara usaha
awal umat Islam ialah mendirikan masjid yang merupakan institusi sosial dan tarbiyah
yang paling penting untuk pembangunan insan. Masjid yang kini dikenali sebagai
Masjid Nabawi telah menjadi pusat pengajian Islam yang dibimbing secara langsung
oleh Rasulullah SAW. Tempat pengajian di dalam masjid tersebut dinamakan al-
Suffah. Al-Suffah ketika itu menjadi pusat dakwah yang sengaja dibangunkan
bertujuan untuk melatih para calon pendakwah yang kemudiannya menjadi mujahid
dakwah di seluruh pelusuk daerah yang menerima Islam. Berbanding pusat Islam yang
sebelumnya di Makkah, al-Suffah lebih tersusun di mana ia memiliki sistem
pengurusan dan pentadbiran yang kemas lantaran situasi Madinah yang lebih stabil
berbanding suasana Rasulullah SAW ketika di Makkah. Di samping Rasulullah SAW
sendiri menjadi tenaga pengajar di institusi tersebut, terdapat juga pengajar yang lain
yang mendapat latihan dan pendidikan langsung di Makkah. Antara mereka yang
menjadi pembantu Rasulullah SAW sebagai pendidik ialah Abdullah ibn Said ibn al-
As, Ubaidah ibn Samit, Ubaidah ibn Kaab dan lain-lain. Terdapat juga di kalangan
pendidiknya yang merupakan tawanan Perang Badar yang memiliki kepakaran dalam
bidang tertentu yang dijadikan tebusan (Ahmad ibn Hanbal t.th., 5: 315).
Para ulama bercanggah pendapat mengenai bilangan pelatih pusat dakwah di
al-Suffah. Menurut Abu Nuaim jumlah mereka bergantung kepada keadaan semasa.
5
Adakalanya ramai, kadang-kadang sedikit kerana keluar menjalankan tugas khas
seperti menyertai peperangan. Menurut Ibn Taimiyah pula, jumlah mereka lebih
kurang empat ratus orang. Sementara Qatadah telah meriwayatkan jumlah mereka
mencecah sembilan ratus orang. Abu Hurairah dan Wathilah ibn al-Aqsa adalah antara
pelatih awal al-Suffah (Ibn Saad 1980, 1: 255).
Antara yang menarik mengenai pengajian di al-Suffah ialah kesemua
pelatihnya menuntut ilmu serta mendapat latihan secara percuma. Demi menjamin
keperluan hidup mereka, Rasulullah SAW telah menyeruh para sahabat untuk
menjamin mereka. Baginda sendiri menjamin seramai sepuluh orang penuntut di Pusat
Dakwah (Ahmad ibn Hanbal t.th., 1:197).
e. Dar al-Qura
Ia merupakan kediaman Malik ibn Nawfal yang dijadikan tempat berkumpul para
sahabat yang berminat untuk menghafal dan membaca al-Quran yang sudah pun
diturunkan kepada Rasulullah SAW. Walaupun ada riwayat lain yang menyatakan
bahawa ianya merupakan asrama tambahan kepada pelatih yang menuntut di al-Suffah
(Azami 1994: 83).
f. Kuttab
Institusi ini merupakan tempat pengajian kanak-kanak Islam yang memerlukan
tarbiyah, terutama bagi menggalakkan kanak-kanak mempelajari al-Quran. Abdullah
ibn Masud menyatakan bahawa beliau bersama Zaid ibn Thabit pernah belajar al-
Quran sebanyak tujuh puluh surah secara talaqqi yakni berhadapan dengan Rasulullah
SAW di Kuttab sewaktu beliau masih kecil (Azami 1994: 8).
g. Pendekatan Penghantaran Utusan
Metode ini merupakan lanjutan kepada metode-metode yang terdapat di atas di mana
para pendakwah yang telah diberi latihan serta pendidikan Islam secara langsung oleh
6
Rasulullah SAW. Pendekatan ini merujuk kepada pengiriman para pejuang dakwah ke
pelbagai daerah di luar tempat Rasulullah SAW menetap.
Menurut riwayat, Musab ibn Umayr adalah pendakwah pertama yang dikirim
oleh Rasulullah SAW untuk mengembangkan dakwah Islamiah di Madinah. Beliau
tinggal di rumah Saad ibn Zurarah di Madinah. Antara tugas beliau ialah mengajak
qabilah-qabilah di sekitar Madinah untuk menerima Islam. Di samping itu, beliau
turut mengajar akidah dan akhlak Islam berdasarkan pemahaman al-Quran yang sudah
diturunkan ketika itu kepada mereka yang baru memeluk Islam khasnya di kalangan
mereka yang mengangkat sumpah setia di Aqabah di hadapan Rasulullah SAW (Ibn
Saad 1980, 3: 315).
Pada tahun ke-4 Hijrah, iaitu penghantaran tenaga pendakwah ke Najd di atas
permintaan seorang ahlinya yang bernama Amir ibn Malik. Para pendakwah yang
telah dikirimkan itu seramai tujuh puluh orang sahabat yang diketuai oleh al-Mundhir
ibn Amr. Misi tersebut menghadapi cabaran yang amat hebat apabila penguasa Najd,
Amir ibn al-Tufayl telah menentang habis-habisan rombongan pendakwah tersebut
yang akhirnya mencetuskan tragedi Bicr Macunah yang menyayat hati dengan
gugurnya para syuhada’ di kalangan tenaga pendakwah yang telah dikirim itu. Yang
tinggal hanyalah seorang iaitu Amr ibn Umayyah yang segera menyampaikan
kejadian tersebut kepada Rasulullah SAW. Disebabkan tragedi itu, Rasulullah SAW
telah mengamalkan qunut al-nazilah selama sebulan bagi mengutuk perbuatan keji
tersebut (Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah t.th., 2: 122).
Dalam peristiwa yang lain, Rasulullah SAW pernah dikunjungi oleh penduduk
Najran yang beragama Kristian yang meminta agar Rasulullah SAW menghantar
pendakwah yang amanah yang boleh mengajar tentang Islam. Nabi menghantar Abu
Ubaidah ibn al-Jarrah untuk tujuan dakwah. Demikian juga Khalid ibn Walid yang
dihantar ke Yaman pada tahun ke-10 Hijrah untuk berdakwah dan berjaya
mengislamkan kesemua ahli Qabilah Bani Harth di sana (Ibn al-Qayyim al-Jawziyah
t.th., 3: 41).
Apabila Makkah dibebaskan dari kekuasaan puak mushrikin dalam tahun ke-8
Hijrah, Rasulullah SAW telah menghantar Mucadh ibn Jabal ke sana untuk
mengislamkan mereka yang belum menganuti Islam dan memberi didikan Islam serta
7
mengajar al-Quran kepada mereka yang sudah memeluk Islam lagi baru Islamnya.
Untuk menjamin pembangunan Kota Makkah, baginda SAW telah melantik Attab ibn
Usayd sebagai Datuk Bandar (Ibn Saad 1980, 2: 137).
Pada Zaman Khulafa al-Rashidin
Pendekatan dakwah melalui pendidikan dan tarbiyyah pada zaman ini merupakan
kesinambungan daripada metodologi dakwah yang ditinggalkan oleh baginda SAW
kepada para sahabatnya. Tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa perubahan
pendekatan dakwah melalui pendidikan dan tarbiyyah yang dilakukan oleh Khalifah
al-Rashidin mengikut perubahan masa dan suasana yang mereka hadapi pada zaman
mereka masing-masing. Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah sebahagian
Khalifah mendapat cabaran pada zaman pemerintahan mereka. Antaranya ialah pada
zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq RA menghadapi tentangan golongan riddah
dan nabi palsu, pada zaman Uthman ibn Affan menghadapi fitnah dan pelbagai
tohmahan yang dilontarkan kepadanya, manakala Ali Abi Talib pula berhadapan
dengan pelbagai kontroversi seperti perang Jamal, Siffin dan perselisihan antaranya
dan Mu’awiyyah RA.
Walau bagaimanapun, perkara-perkara di atas tidaklah menjadi penghalang
bagi mereka supaya tidak meneruskan dakwah dan melakukan perubahan dalam
gerakan dakwah melalui bidang pendidikan dan tarbiyyah.
a. Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq RA
Pada zaman Abu Bakar al-Siddiq RA sudah mula timbul pelbagai ujian dan cabaran
dalam pemerintahannya selepas mengambil alih pucuk pempinan daripada Rasulullah
SAW. Antara cabaran yang dihadapinya ialah penentangan dan keengganan
membayar zakat oleh segelintir umat Islam, tersebarnya segolongan umat Islam yang
murtad akibat daripada kewafatan Rasulullah SAW dan timbulnya nabi palsu di
8
kalangan beberapa ketua kabilah di Yaman dan sebagainya (cAli Muhammad
Muhammad al-Salabi 1422H).
Sumbangan Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq dan juga atas cadangan Umar ibn
al-Khattab RA yang paling besar dalam bidang pendidikan ialah pembukuan al-Quran
atas alasan ramai di kalangan para huffadh al-Quran yang gugur mati syahid di
Yamamah akibat daripada peperangan menentang golongan nabi palsu dan juga
riddah. Dalam kejadian tersebut, Abu Bakar RA memanggil Zaid ibn Thabit al-Ansari
supaya mengumpul dan menulis ayat-ayat al-Quran yang terdapat daripada pelepah
tamar, batu-bata, dada-dada manusia, kulit-kulit binatang dan tulang-tulang binatang.
Manakala ayat yang terakhir iaitu ayat 128 dalam surah al-Taubah terdapat pada Abu
Khuzaimah al-Ansari. Al-Quran yang telah dikumpulkan berada di tangan Abu Bakar
RA dan setelah kewafatannya beralih pada Umar RA selepas pemergiannya jatuh ke
tangan anaknya iaitu Hafsah binti Umar (Ali Muhammad Muhammad al-Sallabi
1422H: 518-522).
b. Saiyyidina Umar ibn al-Khattab RA
Selepas kewafatan Abu Bakar al-Siddiq RA, jawatan tertinggi diambil alih oleh
Saiyyidina Umar al-Khattab RA selaku Khalifah yang kedua. Pada zaman
pemerintahannya banyak kawasan dibuka sebagai tanah jajahan baru umat Islam.
Ramai di kalangan umat manusia yang memeluk Islam daripada pelbagai tempat dan
wilayah yang berjaya ditakluki oleh mujahid-mujahid Islam. Atas dasar ini, Umar RA
memikirkan bagaimana mendidik umat Islam yang baru memeluk Islam. Justeru itu,
Umar RA menjadikan Madinah sebagai pusat ilmu dan fatwa, pusat pendidikan dan
tarbiyyah. Selepas pembukaan beberapa wilayah maka lahirlah beberapa pusat ilmu,
antaranya Makkah, Basra, Kuffah, Syria, Mesr dan sebagainya sehingga dapat
melahirkan ramai ilmuan, fuqaha’ dan mufti pada zaman ini. Sistem pendidikan yang
terdapat di Madinah dijadikan model kepada sistem pendidikan di wilayah-wilayah
negara Islam pada ketika itu (Ali Muhammad Muhammad al-Sallabi 1422H: 328-
387).
9
Setelah pembentukan beberapa wilayah menjadikannya jajahan negara Islam
maka pada zaman Umar RA masjid dibina agar umat Islam memudahkan urusan
mereka dalam mengerjakan ibadah, menuntut ilmu, mendapat tarbiyyah dan
mengadukan permasalahan mereka kepada ahli-ahli ilmu yang dilantik sebagai pakar
rujuk umat Islam pada zaman ini. Dianggarkan lebih kurang 4000 masjid dapat dibina
pada zaman ini dan antara sahabat yang membangunkan masjid pada zaman
pemerintahan Saiyyidina Umar RA ialah Iyad ibn Ghanam (Ali Muhammad
Muhammad al-Sallabi 1422H: 68).
Manakala dari segi tarbiyyah pula, Umar RA memerintahkan kepada
rakyatnya supaya dapat melatih dan mendidik kanak-kanak umat Islam agar dapat
menjadi mahir dalam menunggang kuda, berenang dan memanah (Ali Muhammad
Muhammad al-Sallabi 1422H: 70).
c. Saiyyidina Uthman ibn Affan RA
Pada zaman pemerintahan Saiyyidina Uthman RA selepas dilantik menjadi Khalifah
maka bermulanya pelbagai fitnah yang menyebabkan umat Islam pada waktu ini ke
arah kemunduran dari segi nilai pemikiran, keimanan dan ketaqwaan berbanding pada
zaman pemerintahan Saiyyidina Umar RA. Zaman ini menghadapi cabaran kebendaan
yang sangat menguji keimanan umat Islam pada waktu ini. Antara fitnah yang
dilemparkan ke atasnya ialah melakukan bid’ah dalam pemerintahannya kerana
menyusun al-Quran dan kemudian membakar al-Quran yang masih dalam bentuk
mushaf, melantik orang yang dikenali fasiq memegang tugas negara, banyak
menggunakan harta benda sebagai hadiah atau ganjaran kepada kaum keluarga dan
sanak saudara ketika menerajui pimpinan negara dan sebagainya (Marzuki Hj
Mahmood 1994: 69-81).
Dapat disimpulkan melalui kenyataan di atas bahawa pada zaman
pemerintahan Saiyyidina Uthman RA sumbangannya terhadap gerakan dakwah dalam
bentuk pendidikan dan tarbiyyah ialah penyusunan semula al-Quran kepada satu
10
mushaf yang lebih teratur selain daripada kesinambungan hasil daripada peninggalan
Khalifah yang sebelumnya.
d. Saiyyidina Ali ibn Abi Talib RA
Pemerintahan pada zaman Saiyyidina Ali RA agak huru-hara kerana terdapat tragedi
berdarah yang akhirnya menjadi isu yang kontroversi di kalangan pemikir dan
penulis-penulis sejarah. Kontroversi itu bertambah kompleks apabila ia dipengaruhi
pula oleh sentiment puak seperti Syiah dan Sunni atau sebagainya. Antara kontroversi
yang dimaksudkan ialah; Peperangan Jamal (unta) di antara pasukan Ali ibn Abi Talib
RA dengan pasukan Ummu al-Mukminin Aisyah RA pada tahun 37H dan peperangan
Siffin di antara Ali RA dengan Mu’awiyah ibn Abi Sufyan RA pada bulan Zulhijjah,
tahun 36H (al-Mas’udi 1996: 500-558).
Kesimpulan yang boleh dibuat pada zaman pemerintahan Saiyyidina Ali RA
ialah terdapatnya penentangan yang berterusan di kalangan penganut Islam yang
kurang berpuashati atas perlantikan Saiyyidina Ali sebagai khalifah sehingga hilang
penempuan beliau daridapa urusan pentadbiran, pendidikan dan pengurusan negara
akibat daripada fitnah yang berterusan.
Penutup
Pendidikan dan tarbiyyah merupakan asas utama dalam mencapai kemajuan diri dari
aspek rohani dan fizikal. Pendidikan dan tarbiyyah yang diasaskan oleh Rasulullah
SAW mampu melahirkan generasi seperti para sahabat baginda yang berjaya
mencapai darjat yang tinggi dan mampu meneruskan dakwah Islamiah yang bersifat
global setelah kewafatan baginda SAW. Lebih-lebih lagi setelah proses tersebut
disambung oleh keempat-empat Khalifah yang Agung setelah mendapat bimbingan
dan didikan yang sempurna daripada kekasih mereka iaitu Nabi Muhammad SAW.
11
RUJUKAN
al-Asqalani. 1990. Fadhail al-Sahabah min Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari.
Birut: Dar al-Kitab al-Alami.
Azami, Muhammad Mustafa. 1994. Hadis Nabawi dan Sejarah Kondifikasinya.
Jakarta: PT Pustaka Firdaus.
Ibn al-Qayyum al-Jawziyyah. t.th. Zad al-Macad: Qahirah: Dar al-Turath al-Arabi.
Ahmad ibn Hanbal. t.th. al-Musnad. Qahirah: Dar al-Turath al-Arabi.
Ibn Saad. 1980. al-Tabaqat al-Kubra. Birut: Dar al-Fikr.
Marzuki Hj Mahmood. 1994. Isu-Isu Kontroversi dalam Sejarah Pemerintahan
Khulafa’ al-Rashidin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
al-Mascudi, Abu Hasan Ali ibn al-Hussain. 1966. Muruj al-Zahab wa Maadin al-
Jawar. Qahirah: Kitab al-Tahir.
Muhammad Husain Haekal. 2002. Umar bin Khattab. Indonesia: Perpustakaan
Nasional.
al-Sallabi, Ali Muhammad Muhammad. 1422H. Sirah Abi Bakar al-Siddiq. Riyadh:
Darussalam.
al-Sallabi, Ali Muhammad Muhammad. 1422H. Ali ibn Abi Talib. International
Islamic Publishing House: Dar al-Alamiyah.
al-Sallabi, Ali Muhammad Muhammad. 1422H. Sirah Uthman ibn Affan. Riyadh:
Darussalam.