37
Pengaruh Fiqh Shafi’I dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia Oleh: Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, Fakulti Undang-undang UKM Ahli sejarah ada berpendapat bahawa kedatangan Islam ke Malaysia antara abad ke 13M dan 14M. Tetapi mengikut kesan-kesan sejarah yang ditemui di Pahang, Kedah dan matawang di Kelantan menunjukkan kedatangan Islam tarikhnya lebih awal dari itu. Jika mengambil pendapat majoriti sejarah yang menyatakan kedatangan Islam antara abad 13M dan 14M, ternyata pendakwah yang datang itu telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu, kerana sejak dari abad ke 10M, setelah perkembangan ijtihad terhenti maka Negara-negara Islam telahpun dipengaruhi oleh mazhab empat terutamanya dalam fiqh iaitu mazhab Maliki, Hanafi, Shafi’I dan Hanbali. Justeru, kemungkinan besar pendakwah yang datang ke Malaysia itu telah dipengaruhi oleh mazhab Shafi’I kerana mereka dikatakan datangnya dari Hadhramaut Yaman atau Gujerat, India yang terpengaruh dengan mazhab Shafi’i. Hasil dari pendakwah- pendakwah ini menjadikan Malaysia menerima Islam berasaskan mazhab shafi’I dalam fiqhnya sama ada dalam ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah yang dapat dikesan dalam kanun negeri- negeri Melayu dan teks-teks pengajian fiqhnya serta amalan

Pengaruh Fiqh Shafi

Embed Size (px)

DESCRIPTION

huraian fiqh shafie

Citation preview

Pengaruh Fiqh ShafiI dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia

Oleh: Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, Fakulti Undang-undang UKM Ahli sejarah ada berpendapat bahawa kedatangan Islam ke Malaysia antara abad ke 13M dan 14M. Tetapi mengikut kesan-kesan sejarah yang ditemui di Pahang, Kedah dan matawang di Kelantan menunjukkan kedatangan Islam tarikhnya lebih awal dari itu. Jika mengambil pendapat majoriti sejarah yang menyatakan kedatangan Islam antara abad 13M dan 14M, ternyata pendakwah yang datang itu telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu, kerana sejak dari abad ke 10M, setelah perkembangan ijtihad terhenti maka Negara-negara Islam telahpun dipengaruhi oleh mazhab empat terutamanya dalam fiqh iaitu mazhab Maliki, Hanafi, ShafiI dan Hanbali. Justeru, kemungkinan besar pendakwah yang datang ke Malaysia itu telah dipengaruhi oleh mazhab ShafiI kerana mereka dikatakan datangnya dari Hadhramaut Yaman atau Gujerat, India yang terpengaruh dengan mazhab Shafii. Hasil dari pendakwah-pendakwah ini menjadikan Malaysia menerima Islam berasaskan mazhab shafiI dalam fiqhnya sama ada dalam ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah yang dapat dikesan dalam kanun negeri-negeri Melayu dan teks-teks pengajian fiqhnya serta amalan masyarakat. Mazhab ShafiI telah menerima gugatan dalam sejarah melalui 3 gelombang bermula dari kes perdebatan masalah jilatan anjing pada tahun 30-an, timbulnya masalah-masalah khilafiyyah yang menggugat parti Islam Setanah Melayu dalam tahun lima puluhan. Gelombang ketiga timbulnya perdebatan masalah khilafiyyah di masa kini. Ia ditimbulkan oleh kaum muda ketika itu, dan kemudiannya oleh sebahagian pelajar-pelajar keluaran universiti Madinah, atau yang terpengaruh dengan pemikiran Wahabi, tetapi kesannya tidak mengubah pegangan masyarakat Melayu dari berpegang kepada mazhab ShafiI di peringkat pemerintah dan peringkat awam.Persoalan khilafiyyah ini timbul kembali pada masa kini seperti bacaan ussolli dalam solat dan talqin jenazah dan sebagainya yang merupakan ulangan peristiwa yang berlaku sebelum ini yang secara umumnya tidak menjejaskan pegangan mazhab Shafii. terutamanya dalam solat, perkahwinan dan amalan-amalan sunat. Cuma ada kelonggaran dalam penerimaan pendapat mazhab lain dalam muamalat di masa kebelakangan ini kerana keperluan pasaran yang banyak mentarjihkan pendapat Hanafi dan kecenderungan sebahagian generasi muda mengikut tafsiran mazhab lain dalam beberapa amalan ibadat dan kerohanian, tetapi ia tidak mengubah pegangan rasmi pemerintah dan masyarakat terhadap Mazhab ShafiI secara umumnya. Kedatangan Islam ke MalaysiaPenentuan tarikh kedatangan Islam ke Malaysia belum mendapat kata sepakat di kalangan ahli sejarah, cuma secara umumnya mereka menerima bahawa kedatangan Islam ke sebelah sini di antara abad ke 13M dan 14M. Walau bagaimanapun, penemuan-penemuan baru pada batu-batu bersurat yang dijumpai di Pahang, Kedah dan mata wang emas di Kelantan ada menunjukkan bahawa kedatangan Islam ke Malaysia adalah tarikhnya lebih awal dari apa yang telah ditentukan sebelumnya. Pendakwah-pendakwah yang menyebarkan Islam di Malaysia itu adalah datangnya dari luar. Ahli sejarah tidak ada kata sepakat tentang dari mana asalnya pendakwah-pendakwah yang mula datang ke Malaysia. Dalam masalah ini ada dua pendapat yang diberikan; satu pendapat mengatakan pendakwah-pendakwah itu dari Negara Arab, pendapat ini diterima sebelum tahun 1885, ada pun selepas tahun 1885, timbul pula pendapat kedua yang mengatakan bahawa pendakwah-pendakwah itu datangnya dari India dan bukannya dari Negara Arab. Dalam kenyataan di atas, menampakkan perbezaan pandangan tentang asal datangnya pendakwah-pendakwah itu. Tapi, apa yang agak menarik dalam penyelesaian masalah ini ialah apa yang dijelaskan oleh Sayed Naquib al-Attas, di mana beliau memandang bahawa pendakwah-pendakwah itu sebenarnya datang dari satu tempat, iaitu Timur Tengah dan bukannya dari India, cuma mereka itu sebelum sampai ke Nusantara ini kemungkinan melalui India dan juga jalan-jalan lain. Bagi memperkuatkan pendapat ini beliau mengemukakan alasannya iaitu antara lain kefahaman agama yang dibawa oleh pendakwah-pendakwah itu adalah bersifat Timur Tengah dan bukan India, lagi pula kandungan dan cara penghuraian akidah, pelbagai mazhab ilmu Tasawwuf, peribentuk tulisan jawi serta corak beberapa huruf-hurufnya, nama gelaran bagi hari-hari mingguan, cara melafazkan al-Quran dan beberapa perkara penting lainnya menyatakan ciri-ciri tegas bangsa Arab dan bukannya India sebagai pembawa dan penyebar asli agama Islam di kepulauan Melayu-Indonesia. Apa pun tarikh penentuan kedatangan Islam ke Malaysia pada abad ke 13M atau 14M, ternyata jelas dalam peringkat masa tersebut, Negara-negara Islam telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu dari mazhab yang empat. Perkembangan ini sebenarnya berlaku sejak dari abad 4H/10M lagi di mana pada abad ini telah diterima bahawa pintu ijtihad telah tidak terbuka lagi dan setiap muslim dikehendaki mengikut salah satu dari mazhab yang empat iaitu Maliki, Hanafi, ShafiI dan Hanbali. Maka, dengan perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa pendakwah-pendakwah yang datang ke Malaysia itu telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu di mana mereka itu berada. Dilihat kepada catitan yang diberikan oleh ahli sejarah bahawa pendakwah-pendakwah yang datang itu adalah bermazhab ShafiI; sama ada mereka itu datangnya dari Semenanjung Tanah Arab atau yang datangnya dari India. Oleh yang demikian, ini menunjukkan bahawa kawasan Hadramaut di Semenanjung Tanah Arab, dan Gujerat di India pada waktu kedatangan Islam ke Malaysia adalah dipengaruhi oleh Mazhab Shafii. Memandang kepada pendakwah-pendakwah itu menganuti mazhab ShafI, maka dalam mereka menyampaikan dakwahnya dalam bidang hukum adalah terikat dengan tafsiran mazhab yang mereka anuti, dan natijah dari itu maka masyarakat Malaysia yang menerima Islam dari mereka itu telah terpengaruh dengan mazhab ShafiI sebagaimana pegangan pendakwah-pendakwah itu sendiri, dan mereka menjadi fanatik dengan mazhab itu sebab mereka tidak pernah didedah dengan tafsiran mazhab yang lain. Jelasnya, mereka mengenal Islam melalui tafsiran mazhab ShafiI dalam fiqahnya. Pengaruh Mazhab ShafiiMazhab ShafI adalah mengambil peranan utama dalam perkembangan pemikiran fiqah kepada masyarakat di Malaysia. Mazhab ini memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dengan dikembangkan melalui dua saluran; pendidikan dan perundangan. Dalam pentafsiran fiqah, hanya mazhab ShafiI disebarkan dan diperkenalkan.PendidikanDalam pendidikan tradisional Islam di Malaysia, sama ada pendidikan pondok, masjid dan surau atau sekolah agama sesudah itu, didapati mata pelajaran fiqah adalah dianggap sangat penting dan diajar di institusi-institusi tersebut. Buku-buku teks yang digunakan keseluruhan kandunganya beraliran mazhab ShafiI; sama ada buku-buku itu dari Bahasa Melayu Klasik dalam tulisan jawi atau buku-buku Bahasa Arab. Buku-buku teks yang ditulis dalam bahasa Melayu Klasik Jawi yang digunakan adalah kebanyakannya dari tulisan ulama-ulama Pattani dan Indonesia. Antara buku-buku teks itu ialah karangan Sheikh Dawud b. Sheikh Abdullah al-Fatani; Kitab Hidayat al-Mutaalim, Munat al-Musalli dan Kitab Furu al-Masail; karangan Muhammad b. Ismail Dawud Fatani, Kitab al-Bahr al-Wafi wa al-Nahr al-Safi dan Matla al Badrain; karangan Muhammad Arshad b. Abdullah al-Banjari, kitab Sabil al-Muhtadin Li Al-Tafaquh fi Amr al-Din dan karangan Sheikh Nur al-Din Muhammad Jailani b. Ali al-Raniri, kitab Sirat al-Mustaqim. Selain itu, kitab-kitab fiqah dalam mazhab ShafiI yang ditulis dalam bahasa Arab juga digunakan sebagai buku teks. Antaranya ialah karangan Abu Shuja, al-Ghayah; karangan Nawawi, Minhaj al-Talibin, karangan Zain al-Din al-Malibari Fath al-Muin, karangan Qalyubi wa Umairah, al-Mahalli; karangan Sayyid al-Bakri Ianat al-Talibin dan karangan Zakaria al-Ansari Fath al-Wahab bi Sharh Minhaj al-Tullab. Memandangkan kepada asas keilmuan yang diajar di pondok, di surau, di masjid dan sekolah-sekolah agama berasaskan kitab-kitab di atas, maka sudah cukup untuk melihat sejauh mana kesan dan mendalamnya pengaruh mazhab ShafiI dalam masyarakat Malaysia di peringkat awam, atasan dan peringkat ulamanya. Apabila mereka hanya didedahkan kepada satu aliran pemikiran sahaja sudah sewajarnya timbul sikap fanatik kepada mazhab tersebut. Sikap berpegang kepada mazhab ShafiI berlaku adalah natijah dari proses penyampaian ilmu demikian. Sebahagian besar dari kitab-kitab di atas masih lagi digunakan sebagai buku teks dalam pengajian fiqah di Malaysia sehingga masa kini terutamanya di masjid-masjid, sekolah-sekolah pondok dan pengajian halaqah di peringkat masyarakat awam dan institusi kehakiman.PerundanganKesan Islam dan aliran mazhab ShafiI ini bukan sahaja mempengaruhi masyarakat umum malah ia juga mempengaruhi sistem keadilan Negara kerana sebelum kedatangan penjajah, undang-undang Islam diamalkan di negeri-negeri Melayu. Sejak dari abad kelima belas apabila undang-undang Melaka iaitu Kanun Melaka dan Kanun Laut Melaka digunapakai di negeri Melaka. Kanun ini digubal lebih kurang pada tahun 1444 mengikut kenyataan Richard Winstedt. Demikian juga undang-undang Pahang iaitu Kanun Pahang yang digunapakai pada masa pemerintahan Abdul Ghafur di abad keenam belas. Kedua-dua undang-undang ini mengandungi pelbagai bidang perundangan, keluarga, jenayah, muamalat, antarabangsa, prosedur, keterangan dan sebagainya. Undnag-undang ini adalah beraliran Mazhab Shafii.Contoh Undang-undang Pahang:Bab peri hukuman apabila seseorang akil baligh membunuh seorang orang Islam disahajanya dibunuhya itu, laki-laki atau perempuan, kecil atau besar maka yang membunuh itu dibunuh. Bermula tiada harus Islam dibunuh oleh (membunuh) kafir. Bermula tiada harus merdeka dibunuh oleh membunuh hamba orang.Peri hukuman segala orang yang murtad. Apabila seseorang Islam murtad disuruh taubat 3 kali, jika tiada ia mahu taubat dibunuhnya, hukumannya jangan dimandikan dan jangan ditanamkan pada kubur Islam.Pada masa penjajahan British, Undang-undang Islam diiktiraf sebagai undang-undang negeri berdasarkan kes Ramah lwn Laton. Dalam Enakmen Negeri Selangor 1952, iaitu Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 1952 terdapat peruntukan-peruntukan yang jelas tentang keterikatan undang-undang dengan Mazhab Shafii, terutamanya dalam bahagian kesalahan-kesalahan. Selain itu, terdapat juga kes yang pernah diputuskan oleh mahkamah yang tidak membenarkan perkahwinan perempuan yang bermazhab Shafii dengan lelaki yang bermazhab Hanafi kecuali apabila si perempuan mengubah mazhabnya kepada Hanafi. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, semua Enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri menyatakan tentang terikatnya dengan mazhab Shafii dalam pengeluaran fatwa, dan tafsiran hukum serta amalannya kecuali jika dengan pendapat Mazhab Shafii itu membawa kepada keburukan masyarakat, maka mazhab empat yang lain dapat diterimapakai. Selepas undang-undang pentadbiran agama Islam dipinda dan diperlengkapkan untuk digunapakai di negeri-negeri, maka peruntukan yang mengikat dengan mazhab Shafii masih dikekalkan. Kecuali Negeri Perlis yang tidak mengikut peruntukan ini kerana ia berpegang dengan sumber yang asas iaitu Quran dan Sunnah. Selain itu, mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri yang diselaraskan masih ada peruntukan mengikat Mazhab Shafii sebagai asas pengeluaran fatwa dan tafsiran hukum. Dengan adanya peruntukan ini, maka segala perkara yang berkaitan dengan hukum sama ada fatwa atau keputusan mahkamah mestilah merujuk kepada buku-buku yang bermazhab Shafii, sama ada buku-buku dalam bahasa Melayu atau Arab. Antara kitab-kitab Arab, kitab Minhaj al-Talibin, Mughni al-Muhtaj, Nihayat al-Muhtaj, Ianat al-Talibin dan lain-lain. Kitab-kitab Jawi pula seperti Sabil al-Muhtadin, furual-Masail, Ahkam Syariah Johor, Majallah Ahkam Johor, Kifayat al-Muhtadin, Matla al-Badrain dan sebagainya. Selain itu, Enakmen-enakmen Negeri-negeri yang berkaitan dengan hukum-hukum seperti hukum kekeluargaan, pusaka, wasiat dan jenayah termasuk juga prosedur dan keterangan dalam bidang kekeluargaan, harta dan jenayah yang berasaskan Mazhab Shafii.Gugatan kepada Aliran Mazhab ShafiiGugatan yang berlaku ke atas Mazhab Shafii melalui 3 gelombang;Gelombang pertama berlaku pada tahun 20-an dan 30-an pada masa itu gerakan kaum muda cuba mengemukakan idea-idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada dalam masyarakat Melayu yang berpegang kepada Mazhab Shafii. Perkara yang ditimbulkan oleh golongan kaum muda ini menyentuh tentang peranan akal dalam memahami hukum, persoalan-persoalan hukum ikhtilaf dan tentang bidah. Gelombang pertama berlakunya gugatan terhadap aliran mazhab Shafii ialah pada awal abad ke-20 di mana beberapa orang pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi, Mesir dan India telah terpengaruh dengan pemikiran gerakan Islah di sana. Hijaz ketika itu dipengaruhi oleh pemikiran Muhammad Abdul Wahab yang mendokong idea Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah yang kedua-duanya beraliran Mazhab Hanbali dalam fiqh. Manakala gerakan Islah di Mesir pula dipelopori oleh Muhd Abduh dan Rashid Rida yang beraliran Mazhab Hanafi. Gerakan Islah ini cuba menimbulkan kembali idea ijtihad untuk menyelesai keperluan hukum supaya kembali kepada sumber asal al-Quran dan Sunnah. Dengan seruan kepada ijtihad menolak taqlid yang diamalkan dalam masyarakat. Sungguhpun tokoh-tokoh ini menyeru kepada ijtihad, tetapi dalam amalan di negara-negara mereka bergerak masih tidak terkeluar dari metod fiqh yang mereka warisi di Hijaz ketika Muhd Abdul Wahab menguasai Hijaz, Mazhab Hanbali diterimapakai di sana di peringkat pemerintah dan awam sehingga ke hari ini. Demikian juga keadaan di Mesir yang telah dipengaruhi metod Hanafi dalam amalan fiqhnya. Abduh dilantik sebagai Mufti Mesir dari 1899-1905 sebagai sumber rujukan fatwa yang majoriti bermazhab Hanafi. Ini bererti segala masalah yang timbul jika terdapat peruntukan dalam undang-undang yang digubal, maka itu yang akan diterimapakai. Jika tidak, mereka akan berijtihad untuk mendapat penyelesaian masalah baru melalui mazhab lain dan bukannya mereka mencairkan mazhab yang sedia ada. Aliran pemikiran Islah telah dapat mempengaruhi beberapa orang pelajar antaranya Sheikh Muhd Tahir bin Jalaluddin al-Azhari yang berkesempatan belajar di Mekah dan Qahirah yang terpengaruh dengan pemikiran Muhd Abduh dan Rashid Ridha. Manakala pelajar-pelajar yang belajar di Mekah dan di India ada yang terpengaruh dengan ajaran Sheikh Waliyullah al-Dahlawi yang dibawa oleh Maulana Ubaidullah al-Sindhi seperti Haji Nik Abdullah, Haji Nik Mahmud Haji Wan Musa, Hj. Abdul Rahman Haji Nik Mahmud yang beraliran Islah. Pemikiran Islah ini juga dapat mempengaruhi golongan yang berpendidikan bukan agama, yang membaca bahan-bahan aliran demikian dari Majalah Islamic Review yang diterbitkan oleh Kamaluddin Khaja di Waking England dan sumber-sumber lain. Antara mereka yang terpengaruh dengan pemikirannya ialah Zaaba, Kamaluddin berasal dari India dan bermazhab Hanafi terpengaruh dengan gerakan yang lahir di Lahore. Kemudian beliau berpindah ke England menjadikan pusat kegiatannya di sana. Mereka yang terpengaruh dengan gerakan Islah di Saudi dan Mesir serta India telah menyebar idea mereka kemudiannya di Malaysia. Sheikh Tahir yang bergerak di kawasan utara Pantai Barat Malaysia telah dapat mempengaruhi Sayyid Sheikh Ahmad al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim al-Kalili,manakala aliran pemikiran Sheikh Waliyullah al-Dahlawi pula tersebar di Kelantan dan Terengganu yang dibawa oleh Nik Abdullah, Hj. Nik Mahmud dan Nik Abdul Rahman. Selain itu, di negeri Perlis pula terdapat kecenderungan menolak Mazhab Shafii dan taqlid seolah-olah dipengaruhi oleh pendapat Ibn Taimiyyah (m.1283), dan pihak berkuasa agama di Perlis merujuk kepada autoriti yang beraliran demikian seperti karya Syaukani Nail al-Awtar. Kecenderungan tidak terikat kepada Mazhab ini dapat dilihat dalam peruntukan Enakmen Pentadbiran Majlis Agama Negeri Perlis yang memperuntukkan bahawa Undang-undang Islam di Negeri Perlis berasaskan al-Quran dan Sunnah serta tidak mengikatnya dengan sebarang Mazhab Fiqh. Sebenarnya aliran ini adalah daripada pengaruh kitab-kitab yang ditulis oleh Hasan Bandung dari Indonesia yang dibawa oleh beberapa orang yang berpengaruh ketika itu di Perlis seperti Wan Ahmad Wan Daud, Hj. Ahmad b. Hj. Muhammad dan Sheikh Ahmad bin Mohd Hashim. Aliran ini timbul dalam lingkungan tahun 20-an (1924-1925) dan pada tahun 1959 dimasukkan dalam Undang-undang Pentadbiran Majlis Agama Negeri Perlis. Gelombang Kedua berlaku antara tahun empat puluhan dan enam puluhan. Gelombang kedua ini adalah sebagai menyambung usaha yang berlaku sebelumnya. Penumpuan keabngkitan pada waktu ini lebih banyak menumpukan kepada persoalan-persoalan khilafiyyah yang lebih khusus sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam terutamanya dalam Parti Islam Setanah Melayu ketika itu yang merasa tertekan dengan keadaan yang berlaku. Timbulnya isu-isu khilafiyyah yang membawa perpecahan di kalangan masyarakat ini menyebabkan satu ijtima diadakan untuk membuat satu keputusan dalam isu-isu yang dibangkitkan. Akhirnya mereka sepakat memutuskan bahawa persetujuan dicapai terhadap pendirian ulama-ulama beraliran Mazhab Shafii dalam isu-isu yang dibangkitkan. Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah seperti menyebut usolli dalam solat, talqin kematian, tahlil arwah dan sebagainya. Ahmad Fuad selaku Yang dipertua PAS ketika itu terpaksa melakukan ijtima khusus untuk mendapat kata sepakat dalam memilih masalah khilafiyyah untuk diamalkan di negara ini. Persoalan khilafiyat ini juga timbul perbincangannya di Kelantan dan Terengganu. Bagi membendung pemikiran aliran baru dalam isu-isu khilafiyat ini, maka Jawatankuasa Ulama Majlis Ulama Kelantan telah mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk Kitab al-Qawl al-Mufid Li ifadat al-Mustafid, karangan Hj Muhammad bin Idris. Salah seorang anggota Jawatankuasa Ulama Majlis. Gelombang ketiga pula berlaku dari tahun 70-an sehingga kini yang dipelopori oleh golongan muda yang terdedah kepada pengajian di Saudi dan di Indonesia. Gelombang yang berlaku ini seolah-olah sebagai menyambung pemikiran dan pendekatan golongan kaum muda sebelumnya. Mereka mempertikai beberapa amalan yang ada dalam masyarakat yang diambil daripada ulama-ulama beraliran Mazhab Shafii. Satu gerakan yang berpusat di Kuala Pilah ada membuat pengisytiharan yang dikeluarkan pada 22hb Julai 1966 dalam memorandum pertubuhannya berbunyi, Ahli Sunnah tidak bertaqlid kepada sesuatu Mazhab masyhur atau tidak masyhur, tetapi ia boleh melakukan ittiba atau mengikut sesuatu pendapat Ulama setelah diketahui keterangannya dengan jelas daripada Quran dan Hadith sahih. Bahawa ahli Sunnah tidak bersandar kepada sebarang Mazhab yang ada dalam negeri ini melainkan kembali kepada Allah dan RasulNya, jadi salahlah orang yang memperkatakan isu Mazhab Shafii itu benar atau semua isi Mazhab Hanafi itu benar dan lain-lainnya. Sebenarnya kita mesti akui bahawa tiap-tiap Mazhab itu ada salahnya dan Imam-imam itu manusia seeprti kita yang juga berbuat kesalahan dengan sengaja atau tidak sengaja dan bukan seperti nabi-nabi yang masum daripada kesalahan yang disengaja dan yang tidak disengaja dalam urusan hukum-hukum agama yang ubudiyyah dan keduniaan. Kenyataan di atas menunjukkan bahawa golongan ini tidak mengikat diri dengan mana-mana mazhab yang muktabar yang diiktiraf di dunia Islam dan mazhab shafii di negara ini. Mereka beranggapan mereka mempunyai kelayakan yang cukup untuk berijtihad mutlak, seperti imam-imam yang muktabar, kerana ulama itu adalah manuisa dan mereka juga manusia tidak ada bezanya. Sedangkan bagi orang-orang yang mengkaji ilmu mengetahui bahawa ulama-ulama besar yang muktabar itu yang mengamal ijtihad adalah lengkap dari sudut ilmu asas syariah dan ilmu alatnya. Dibandingkan kita di masa kini, walaupun manusia, ilmu asas syariahnya amat terbatas dan begitu juga ilmu alatnya seperti bahasa Arab, jadi bagaimana ingin menjadi mujtahid mutlak? Berijtihad tanpa asas ilmu yang lengkap dari sudut ilmu utama syariah dan ilmu pelengkap dalam Bahasa Arab serta tidak terikat dengan kaedah Usul al-Fiqh boleh membawa kepada penyelewengan dan kesesatan dari kebenaran. Hal ini dapat dilihat bibit-bibitnya pada masa kebelakangan ini dnegan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya dalam memahami Quran dan Sunnah yang akhirnya membawa kepada kecelaruan tafsiran terhadap sumber-sumber dan ajaran-ajaran Islam.Pendekatan Gerakan Dawah Kaum MudaPendekatan kaum muda ini dalam menyampaikan seruan mereka tidak menghargai sumbangan Ulama beraliran Mazhab Shafii malah sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat diperkecilkan dan diperlekehkan. Mereka juga tidak menghargai adab dan budaya setempat dalam menyampaikan seruan mereka. Berdasarkan pemerhatian yang telah dibuat, golongan ini hakikatnya telah melanggar adab-adab berdakwah kerana kecenderungan mereka menggunakan bahasa-bahasa yang kasar dan menghina. Mereka juga tergamak mencabar autoriti-autoriti agama dan perundangan syariah yang diterimapakai dalam masyarakat dan negara yang berpegang kepada Mazhab Shafii. Ini kerana mereka menganggap ulama beraliran mazhab Shafii membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu yang mereka lakukan, tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta sahaja atau disebut juga taqlid buta. Konsep ijtihad yang dibawa oleh golongan kaum muda ini nampaknya telah tersasar kerana tidak mengenengahkan persoalan-persoalan besar untuk kepentingan umat sedangkan inilah yang sepatutnya dilakukan. Berkemungkinan hal ini disebabkan kekurangan persiapan dari sudut keilmuan dan kurangnya pengalaman membawa ijtihadnya kepada persoalan-persoalan khilafiyyah yang sememangnya tidak pernah dapat diselesaikan oleh ulama-ulama muktabar sejak dahulu kerana tabiat persoalan itu diterima untuk berbeza pendapat oleh ulama-ulama muktabar.Asas Aliran Pemikiran Tidak BermazhabGolongan pembaharu ini dikenali dengan kaum muda. Mereka ini secara jelasnya adalah golongan yang dipengaruhi oleh gerakan Islah di Mesir, Arab Saudi atau India. Lantaran itu aliran pemikiran dan pergerakannya adalah sebahagian besarnya sama dari segi penekanannya dengan apa yang berlaku di Timur Tengah dan India, iaitu kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, mengamalkan ijtihad dan meninggalkan taqlid dalam menyelesaikan masalah hukum. Dalam seruan mereka kepada masyarakat tentang idea Islah, didapati penekanan-penekanan tertentu yang ditimbulkan dalam masyarakat. Masalah kefahaman agama, masalah pendidikan, dan masalah kesedaran politik dan ekonomi orang Melayu. Tapi penekanan banyak yang ditumpukan dalam seruan mereka ialah masalah kefahaman agama. Seruan Islah ini disalurkan melalui majalah-majalah yang mereka terbitkan seperti Al-Imam (1906-1908), Al-Ikhwan (1926-1931), Saudara (1928-1941) dan majalah-majalah agama lain yang dikeluarkan pada waktu itu seperti Pengasuh dan seumpamanya. Selain itu, melalui penulisan-penulisan buku dan risalah-risalah dan melalui institusi-institusi pendidikan.Masalah Kefahaman AgamaPeranan AkalDalam memahami agama golongan ini cuab menimbulkan peranan akal. Tulisan-tulisan yang mereka terbitkan menganjur supaya mengguna akal dan kebebasan berfikir sehinggakan mereka menganggap amalan agama yang tidak berasaskan kepada kefahaman akal adalah sia-sia belaka. Sayyid Sheikh al-Hadi ada menjelaskan:...oleh itu hendaklah tiap-tiap manusia menggunakan akal di dalam tiap-tiap amalan agama ini terlebih dahulu daripada yang lainnya kerana tiap-tiap amalan yang tidak diterima oleh akal itu sia-sia sahaja. Ekoran dari kebebasan untuk berfikir telah melahirkan kecenderungan menghapus taqlid dan mengamalkan ijtihad. Mengamalkan ijtihad dengan sendirinya menolak taqlid dan dengan itu membawa kepada tidak mengikat diri dengan mazhab tertentu, dan jelas dari tulisan Abu Bakar al-Ashari menyatakan bahawa Islam tidak semestinya terbatas dalam lingkungan empat mazhab kerana tidak ada di sana asas yang menentukannya. Oleh yang demikian beliau menganjurkan supaya dibuat penilaian semula pandangan mazhab-mazhab dan membuat penilaian untuk memilih pendapat yang paling tepat dengan Nas dan yang paling sesuai dengan kehendak massa. Beliau juga berpendapat bahawa perbezaan mazhab menimbulkan kekacauan dan perpecahan di kalangan umat Islam, menyulitkan perlaksanaan Islam sebagai satu Undang-undang dan menimbulkan kekeliruan kepada orang-orang bukan Islam tentang hakikat Islam yang sebenarnya. Masalah Hukum FuruBertitik-tolak daripada galakan mengguna akal dan kebebasan berfikir, mereka menolak taqlid. Mereka juga berpandangan bahawa ada di antara ajaran-ajaran Islam yang diamalkan dalam masyarakat Islam dianggap telah diselubungi oleh bidaah dan khurafat yang diciptakan yang mesti dihapuskan. Mereka juga meneliti dan menilai perkara-perkara yang diamalkan dalam masyarakat berasaskan kepada nas al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Jika amalan-amalan itu tidak didapati sumbernya dari dua asas itu mereka anggap sebagai amalan bidaah yang diciptakan. Bidaah yang dimaksudkan itu ialah apa yang disebutkan oleh Izzuddin Ibn Abdul Salam iaitu perbuatan yang tidak ada pada masa Rasulullah SAW. Bidaah itu ada dua iaitu bidaah lughawiyyah dan bidaah shariyyah. Maka bidaah shariyyah itu ialah dalam perkara akidah dan ibadat dan bidaah dalam perkara shariyyah itu adalah hukumnya sesat sebagaimana maksud Hadith Rasulullah SAW:Tiap-tiap perkara bidaah adalah sesat, dan tiap-tiap perkara sesat akan membawa ke neraka.Berasaskan pemikiran demikian maka amalan-amalan berikut hukumnya bidaah mengikut penilaian mereka:1. Menentukan bilangan minima jamaah sembahyang Jumaat seramai 40 orang.2. Melakukan sembahyang Zuhur selepas sembahyang fardu Jumaat sebagai Ihtiyat.3. Azan pertama pada hari Jumaat.4. Ingatan muadhin dengan Ya mashara al-Muslimin sebelum khatib berkhutbah.5. Melafazkan usolli sebelum takbirat al-Ihram.6. Mengucap perkataan sayyidina dalam selawat atas Nabi SAW.7. Berdiri ketika membaca marhaban atau selawat.8. Sembahyang sunat qabliyyah Jumaat.9. Membaca talkin ke atas mayat sesudah selesai ditanam.10. Tidur di dalam liang lahad oleh si alim sebelum mayat dikebumikan untuk mendapat berkat.11. Kenduri dan tahlil kematian.12. Menunggu di atas kubur kerana kematian.13. Kenduri mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.14. Membuat bubur ashura pada hari sepuluh bulan Muharram.15. Sembahyang tarawih 20 rakaat.16. Berdoa selepas sembahyang.17. Menggunakan bedok menandakan masuk waktu solat dan memanggil umat Islam untuk bersolat.18. Membaca qunut sembahyang subuh.19. Mengadakan fidyah sembahyang dan puasa.20. Sembahyang tasbih.Selain itu terdapat juga beberapa amalan masyarakat yang diikuti mengikut tafsiran imam Shafii atau Shafiiyyah yang dianggapnya tidak tepat dengan kehendak nas pada pandangan mereka. Kita tidak perlu terikat dengan amalan-amalan tafsiran itu seperti berikut:-1. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan membatalkan wudhu. Namun, bagi mereka tidak membatalkan wudhu.2. Mamum membaca Fatihah dalam solat untuk sah solatnya sekalipun dia berimam. Bagi mereka tidak perlu membaca. 3. Membasuh siku harus dimulakan dari atas atau bawah. Bagi mereka membasuh siku mesti dimulai dari tangan.4. Membaca Fatihah dimulai dengan bismillah, bagi mereka dimulai dengan al-Hamdulillah.5. Membina masjid dari wang kutipan zakat. Mereka berpendapat ini adalah bertentangan dengan nas.6. Menjual harta wakaf di suatu tempat untuk dipindahkan tempat lain.Mereka berpandangan ini adalah bertentangan dengan nas.7. Menyamak bekas jilatan anjing.Bagi mereka tidak wajib disamak. Mereka juga cuba berijtihad tentang masalah-masalah baru untuk menentukan hukumnya. Antaranya ialah faedah simpanan bank dan koperasi tidak dianggap riba.Konflik Kaum Muda dan Kaum TuaMasalah yang ditimbulkan oleh golongan pembaharu ini dalam masalah agama sebagaimana yang dijelaskan di atas menimbulkan kegelisahan dan tidak disenangi di kalangan ulama-ulama yang berpegang dengan mazhab Shafii. Ekoran dari pendedahan tentang konsep ijtihad dan masalah-masalah khilafiyyat, menimbulkan ketegangan di antara golongan ini dengan para ulama. Maka lahirlah perdebatan-perdebatan hangat secara terbuka di majlis-majlis umum, dalam majalah-majalah, di dada akhbar, sehinga timbul tuduh menuduh di antara satu sama lain.Kesan ketegangan ini dalam beberapa peringkat bukan sahaja dirasai oleh mereka yang terlibat malah oleh masyarakat awam yang turut terpengaruh dengan ajaran para ulama itu. Dengan lahirnya fenomena baru ini dalam pemikiran agama khususnya dalam fiqah membuatkan perkembangan dan kestabilan pemikiran mazhab Shafii dalam sejarah perkembangannya di Malaysia tergugat. Tapi, ternyata jelas kekuatan dan keutuhannya dapat dipertahankan, kerana kealiman para ulamanya dalam bidang ilmu serta kesungguhan mereka dalam penyebaran ilmu melalui institusi-institusi pendidikan yang mereka asaskan dan juga melalui penulisan buku-buku yang bermutu yang dapat dijadikan panduan kepada para penuntut ilmu. Lantaran kegigihan para ulama itu bekerja didapati kesannya jelas dalam masyarakat dan kekal berterusan diamalkan mazhab Shafii sama ada di kalangan masyarakat awam serta pemerintah. Manakala golongan pembaharu ini didapati kegiatannya terbatas dan penulisannya adalah lebih bersifat provokasi dan kurang sekali karya-karya yang mendalam dan bermutu jika dibandingkan dengan apa yang telah dihasilkan oleh ulama-ulama tradisional. Walau bagaimanapun, idea-idea positif yang dibawa oleh kaum pembaharu ini tidak kita nafikan terutamanya dalam melahirkan kesedaran politik dan kefahaman Islam terhadap masalah-masalah yang perlu disedari untuk kepentingan umat Islam. Sungguhpun pertelagahan itu berlaku dalam masalah furu agama, tetapi dalam masalah besar tentang kepentingan umat Islam mereka bersatu kemudiannya, sehingga mereka menjadi satu force yang mencorakkan gerakan politik di negara ini untuk mengembalikan identiti Islam itu ke pangkuan masyarakatnya. Kesan daripada perkembangan ini, maka didapati beberapa buah karya khilaf telah muncul dalam persuratan Melayu sebagai berikut:1. Kitab Penebas Bidaah Kepala Batas oleh Sheikh Tahir Jalaluddin2. Ketetapan Muzakarah Ulama Malaya 1953.3. Masalah Jilatan Anjing dalam Empat Mazhab oleh Sheikh Taha.4. Kitab al-Qawl al-Mufid li ifadat al-Mustafid oleh Hj Muhd bin Idris.Sumbangan Ulama Tradisional kepada Ilmu dan Pembangunan MasyarakatSumbangan ulama tradisional dalam memartabatkan ajaran Islam dalam masyarakat adalah besar dan meliputi sumbangan kepada golongan pemerintah dan masyarakat umum. Sungguhpun ulama tradisional mengambil Mazhab Shafii sebagai asas dalam tafsiran hukum dan fatwa bukanlah bermakna mereka tidak berijtihad, tetapi ijtihad mereka masih berada dalam kerangka mazhab dan menggunakan kaedah Usul al-fiqh. Barangkali ijtihad mereka yang sangat menyumbang kepada perkembangan perundangan negara pada peringkat awal ialah pengkanunan undang-undang Islam untuk keperluan pelaksanaan pemerintah dimulai dengan Kanun Melaka pada 1444, kemudian diikuti dengan negeri-negeri lain seperti Pahang, Kedah dan lain-lain. Demikian juga ijtihad mereka dalam memilih amalan-amalan kerohanian untuk mengukuh hubungan masyarakat dan sosial seperti zikir-zikir kematian dan talqin, upacara-upacara keagamaan seperti mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, tahun baru Islam, hari Asyura dan lain-lain. Selain itu mereka mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi. Hal ini dapat dilihat dalam usaha mereka mengembangkan bahasa Melayu dengan huruf Arab dalam bidang penyampaian ilmu dan pentadbiran negara, di samping penekanan mereka terhadap bahasa Arab dalam penyebaran ilmu. Mereka juga amat menghormati budaya bangsa dalam berpakaian dan berdawah . Mereka tidak membawa balik budaya Arab dalam berpakaian, tetapi melahirkan bentuk pakaian Islam yang bercorak budaya Melayu, seperti baju Melayu misalnya dan tidak membawa purdah untuk wanita. Mereka tidak menyekat wanita dari terlibat dalam kegiatan masyarakat sama ada untuk kepentingan duniawi seperti dalam ekonomi, pertanian dan perusahaan, begitu juga dalam sosial seperti gotong-royong dalam majlis kenduri, perayaan-perayaan keagamaan dan menyelesaikan keperluan masyarakat. Mereka juga tidak disekat daripada terlibat dalam kegiatan keilmuan dan kegiatan kerohanian seperti menghadiri majlis-majlis agama dan solat berjamaah di masjid. Mereka diberi kebebasan bergerak dalam masyarakat selama tidak terdedah kepada bahaya dan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Tidak sebagaimana wanita dalam masyarakat Islam di negara-negara lain. Sumbangan ulama tradisional dalam pembentukan budaya dalam masyarakat juga tidak dapat dinafikan. Budaya dalam majlis perkahwinan umpamanya, aspek agama turut diterapkan dan juga budaya seperti hiburan selawat dan paluan rebana diperkenalkan, majlis persandingan diadakan sebagai satu bentuk pengisytiharan perkahwinan dan persediaan jamuan makan serta buah tangan untuk tetamu. Demikian juga dalam pertukangan, perubatan, perbomohan dan perbidanan, ilmu mempertahankan diri, budaya berkhatan anak serta majlis khatam al-Quran. Dalam bidang keilmuan,mereka menulis kitab dalam pelbagai bidang ilmu seperti fiqh, akidah, akhlak, perubatan, pertukangan, perusahaan dan lain-lain. Penulisan mereka juga mansasarkan pelbagai peringkat sama ada untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa. Hasil penulisan mereka dalam bidang agama adalah lebih menonjol sama ada mereka menghasilkan karya asli atau menterjemahkan buku-buku rujukan muktabar yang diterbitkan di Timur Tengah. Karya-karya penting seperti Tafsir Baidawi, Ihya Ulum al-Din yang diberi judul Siyar al-Salikin, bidayah al-Hidayah dengan tajuk Hidayah al-Salikin karya Abdul Samad al-Falanbangi, demikian juga kitab-kitab lain seperti Matlaat Badrain, furu al-Masail oleh Sheikh Dawud dan lain-lain. Manakala karya dalam bahasa Arab pula didapati Tafsir al-Quran dan Maraqiy al-Ubudiyyah ulasan Bidayat al-Hidayah karya Sheikh al-Nawawi al-Jawi. Dalam perundangan, mereka turut memberi sumbangan dalam bentuk susunan Kanun untuk pentadbiran keadilan pemerintah yang berbeza dengan penulisan buku-buku fiqh. Ulama tradisional mengambil Mazhab Shafii sebagai asas tafsiran hukum untuk kegunaan pemerintah dan masyarakat awam. Melalui pendekatan ini, memudahkan masyarakat memahami Islam dan memudahkan pemerintah melaksanakan Islam di peringkat negara. Dalam amalan keagamaan juga dari sudut fiqh umumnya berasaskan Mazhab Shafii dan dalam kerohanian dan Tasauf diambil pemikiran al-Ghazali dan al-Nawawi.Hasil daripada usaha ulama tradisional yang menggunakan pendekatan dakwah mendampingi pemerintah dan rakyat telah memberi kesan yang sangat besar terhadap Islam dan pembangunan umat. Islam dapat bertapak dalam pemerintahan, bahasa Melayu dan budaya Melayu dapat menjadi alat pemersatu. Begitu juga tafsiran Islam yang seragam dalam bidang hukum di peringkat pemerintah dan rakyat dapat mengukuhkan perpaduan umat dan memudahkan pemerintah melaksanakannya. Umat Melayu bersatu menjadi uamt yang kuat, menjadi tonggak kepada kedaulatan negara dan Islam dijadikan agama negara serta turut menjadi salah satu daripada ciri-ciri orang Melayu. Pendekatan penyebaran ilmu yang diasaskan oleh ulama tradisional diwarisi oleh ulama-ulama kemudian yang terdidik di Al-Azhar dan Mekah dengan meneruskan pegangan amalan hidup keagamaan kepada Mazhab Shafii dan menggunakan ijtihad dalam perkara-perkara yang diperlukan oleh masyarakat berasaskan kerangka Mazhab mutabar dan kaedah usul al-fiqh. Justeru yang diambil perhatian dalam perkara-perkara baru yang memerlukan ijtihad. Sesuatu yang telah sebati dalam kehidupan masyarakat berasaskan Mazhab Shafii dalam ibadat dan keluarga tidak perlu kepada ijtihad baru, kecuali jika ada keperluan seperti ijtihad tentang harta sepencarian dan bayaran zakat dengan mata wang. Bidang-bidang lain yang memerlukan ijtihad maka ia diteruskan dengan mengambil kira pandangan mazhab Shafii. Sekiranya pendapat mazhab Shafii tidak sesuai maka mazhab lain diterimapakai. Hal ini banyak terjadi dalam muamalat yang mengambil beberapa jenis akad dari mazhab selain Shafii seperti al-Istisna menurut pandangan Hanafi dan al-Tawarruq dari pandangan Hanbali. Begitu juga dalam proses mengkanunkan undang-undang syariah dalam Enakmen. Pendekatan ini membawa kepada perubahan pemikiran masyarakat dalam bidang hukum berlaku secara evolusi, teratur dan licin, serta tidak menggugat struktur besar pembinaan hukum dalam masyarakat. Dengan demikian ia dapat memenuhi keperluan mengekalkan yang lama yang bermanfaat dan membawa yang baru yang lebih baik.KesimpulanGerakan aliran tidak bermazhab () telah bertapak di Malaysia hampir satu abad. Dalam jangka masa yang begitu lama, tidak nampak satu sumbangan yang besar dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat dibandingkan dengan sumbangan yang diberikan oleh ulama yang beraliran mazhab. Apa yang dapat dilihat, aliran tidak bermazhab ini nampaknya belum dapat diterima dalam arus perdana masyarakat Malaysia sama ada di peringkat pemerintah dan rakyat. Hal ini berkemungkinan disebabkan tidak adanya hasil karya ilmu yang berwibawa dan muktabar mahupun ulama muktabar mengikuti aliran ini kecuali yang serpihan seperti al-Albani. Aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam amalan masyarakat. Kenyataan yang jelas dapat dilihat di Arab Saudi masih bermazhab Hanbali, Turki, Mesir dan Pakistan bermazhab Hanafi, negeri-negeri Afrika seperti Libya, Tunisia dan Moroko adalah bermazhab Maliki. Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas autoriti yang kuat dari sudut keilmuan dan tidak cukup wibawa ulamanya, dibanding dengan ulama beraliran mazhab dan karya mereka. Dalam perkembangan semasa, dengan berpegang kepada mazhab tertentu dalam tafsiran hukum dan amalan seperti yang diamalkan di Malaysia, hakikatnya tidaklah menghalang kemajuan masyarakat. Berpegang dengan satu mazhab dalam perkara hukum yang berkaitan dengan ibadat dan kekeluargaan dapat mengukuhkan asas pembinaan masyarakat dan menguatkan perpaduan umat, manakala dalam bidang-bidang yang memerlukan ijtihad seperti muamalat dan sebagainya, kita memberi ruang dengan mengamalkan ijtihad supaya masyarakat hidup terarah kepada satu matlamat yang jelas. Kita tidak mahu pengalaman kecelaruan pemikiran mazhab yang berlaku di Timur Tengah dan Indonesia seperti yang kita saksikan menjadi penyebab terjejasnya perpaduan dan kebahagiaan hidup masyarakat Islam, dibawa ke Malaysia untuk dijadikan panduan dalam membangun manusia. Ulama tradisional kita dengan kekuatan ilmu dan komitmen dakwah telah dapat menyatukan umat nusantara dengan mazhab Shafii, dari Filippina di Selatan sehingga ke Kemboja di Utara, janganlah pula kita mengecewakan usaha ulama tradisional yang tinggi nilainya membangun ilmu dan umatnya dengan penuh padu ini dipertikaikan dan dipecah-pecahkan oleh aliran tanpa mazhab yang tidak berasaskan ilmu dan pengalaman ilmuan yang muktabar.Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Hukum Islam Semasa V, Menilai Realiti, Penghayatan dan Prospek Fiqh Syafie di Malaysia anjuran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 22-23hb Ogos 2007.Untuk mengetahui lebih lanjut tentang teori kedatangan Islam ke Malaysia, lihat Cesar Adib Majul, Muslims in the Philippines, Quezon City, Philippines, 1973; Sayed Naquib al-Attas, Preliminary statement on a general theory of the Islamization of the Malay, Indonesia Archipelago, Kuala Lumpur, 1969 dan S.Q Fatimi, Islam comes to Malaysia, Singappore, 1963.Batu nisan yang dijumpai di Pekan Pahang menunjukkan tarikh di atasnya 14 Rabial-Awal, tahun 419H.Lihat Mukhtar Shafie, Batu Nisan kurun ke 5H/10M di Pekan Pahang dalam TAmadun Islam di Malaysia, (Kuala Lumpur, 1980) hal. 15.Batu nisan yang dijumpai di Tanjung Inggeris, Kedah menunjukkan tarikh di atasnya 291H/903M. Lihat Mastika, bil. 10, 1965, hal. 34. Selain itu ada maklumat lain yang menunjukkan bahawa saudagar-saudagar Arab Islam yang berada di Canton sewaktu berlaku kekacauan di Cina, lari membawa diri dan berlindung di Kulah (Kedah) dan Pantai Barat Tanah Melayu. Peristiwa ini berlaku dalam masa pemerintahan Maharaja Hi Tsung (265-76H/878-89M). Lihat Sayed Naquib al-Attas. Op.cit.hal. 11.Wang emas yang dijumpai di Kelantan ada mencatatkan tarikh di atasnya 577H/1161M. Lihat Saad Shukri Hj. Muda, Detik-detik Sejarah Kelantan, (Kota Bharu, 1971). Hal. 28.Crawford, Sir Johns History of Indian Arshipelago, (Edinburgh, 1820), vol. 11, hal. 28.Harison, Berian, South East Asia, A Short History, (London, 1957), hal. 43.Lihat Sayed Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, (Kuala Lumpur, 1972) hal. 34.Crawford, op.cit, hal.259-260.S.Q. Fatimi. Op.cit. hal.6.Lihat M.M. Mackeen, Contemporary Islamic Legal Organisation in Malaya. (Monograph series No.12, Yale University, 1969). Hal. 50.Untuk melihat sebahagian dari kitab-kitab jawi klasik yang didapati di Malaysia, lihat Mohd. Nor bin Ngah, Some writings of the traditional Malay Muslim scholars found in a Malaysia, dalam Tamadun Islam di Malaysia, hal. 9-12.Richard Winstedt. The date of Malacca Codes dlm Journal Malayan Branch. Vol. 29. 1956, hlm.33.J.E. Kemple & R.O. Winstedt. A Malay Legal Digest, Journal Malayan Branch, Vol.21Pt. 1.1948. hlm.1Ibid.Ibid.Lihat Hooker. The personal law of Malaysia. Kuala Lumpur. 1976. hlm. 19.Ibid.Lihat peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri sebelum pindaan dan penyelarasan dibuat dalam Enakmen-enakmen tersebut.EPAPLihat Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.Lihat AzizanAbdul Razak. The administration of Muslim law in Malaysia. Hlm. 118. Thesis M.Phil. University Kent.Muhd.Amin. 1979. Zuaama al-Islah, fi al-Asr al-Hadith. Qahirah. Hlm. 20-21.Lihat C.C. Adams,.1932. Islam & Modernisme. New York. Hlm. 79-80Ahmad Amin. Op.cit. hlm. 14, 25Hafiz Wahbah. 1935. Jazirat al-Arab fi al-Quran al-Ishrin, Qahirah. Hlm.319-321.Mengikut Undang-undang Mesir no. 25, 1920. Rujukan utama pendapat arjah Mazhab Hanafi, manakala Undang-undang No. 25, tahun 1924 dibenarkan masalah-masalah tertentu boleh dirujuk kepada Mazhab empat yang lain. Lihat Shahatah al-Husaini,. 1969.al-Ahwal al-Shakhsiyyah, Qahirah. Hlm. 15. C.C. Adam. Op.cit. hlm.80William R. Roof. 1967. The origin of Malay Nationalis. New Haven & London. Hlm. 60.Lihat Nik Abdul Aziz. 1980. Sepintas lalu tentang Tariqah Shah Waliyullah al-Dahlawi & pengalirannya ke Tanah Melayu dalam Pendidikan di Malaysia dahulu & sekarang. Kuala Lumpur. Hlm. 81.Lihat Adnan Hj. Mohd Awang, Zaaba dan ajaran Khawaja Kamaluddin dalam pendidikan Islam dahulu dan sekarang. Hlm. 81.Ibid. hlm 70.Ibid. 71-78Lihat W.R.Roof. op.cit.hlm 61-63Lihat Nik Abdul Aziz.op.cit.68-69M.M.Mackeen.1969.Contemporary Islamic Legal Organisation in Malaya (Monograph Series, No.12, Yale University. Hlm.50)Lihat Mohd bin Harun. Satu Kajian Konsep Ahli Sunnah wal Jamaah dan Pelaksanaannya dalam Majlis Ugama Islam Perlis hal. 91. Tesis di Jabatan Syariah Fakulti Islam UKM 1975/76.Lihat ketetapan Muzakarah Ulama Semalaya anjuran PAS pada tahun 1953.Lihat memorandum yang dikeluarkan oleh HAshim Ab Ghani, Ketua saksi Syariiyyah Madrasah Ittiba al-Sunnah Kuala Pilah. 22 September 1966.Lihat Zaaba, the Malays and Religion dalam Tamadun Islam di Malaysia, hal.100-110Lihat al-Imam, 1 (julai 1906)W.R. Roff. Op.cit. hal 57.Al-Hadi, Ugama Islam dan akal. hal. 25.Sidek Fadzil. Op.cit. hal. 430-435. Abu Bakar al-Ashari, Kemerdekaan berfikir dalam Islam, (P.Pinang, 1954) hal. 59-60.Tahir Jalaluddin, Risalah Penebus Bidaah Kepala Batas, hal. 20.Ibid. Hal. 7.Ibid. Hal. 15.Ibid. Hal. 20.Ibid. hal. 21.Ibid. hal. 29.Ibid. hal. 30.Ibid. Ibid. hal. 22Ibid. hal. 32.Lihat tesis latihan Ilmiah Jabatan Shariah 1975/76 yang disediakan oleh Zainal bin Sulaiman bertajuk Pengaruh Kaum Tua dan Kaum Muda serta implikasinya terhadap masyarakat Melayu Kelantan, hal. 32.Mohd. Idris. 1953. al-Qawl al-Mufid li ifadat al-Mustafid. Kota Bharu. Hal. 36.Ibid. Hal. 33.Ibid. Hal. 22.Ibid. Hal.3.Pengalaman penulis.Lihat tesis latihan Ilmiah jabatan Syariah 1975/78 oleh Muhammad bin Harun Berjudul,satu kajian konsep ahli Sunnah Wal Jamaah dan pelaksanannya dalam Majlis Ugama Islam Perlis. Hal. 133.Lihat Mohd. Sarim Hj. Mustajab. Op.cit. hal. 155Pengalaman penulis.Pengalaman penulis.Pengalaman penulisPengalaman penulis.Mohd. Bin Haron. Op.cit . hal.129.Ibid. 199..Ibid. 138.Nik Abdul Aziz. Op.cit. hal. 120.Ibid. Hal. 122.Ibid. Hal. 128.W.R. Roof. Op.cit. hal. 78..Pernah berlaku di Kelantan perdebatan terbuka di Istana Sri Cemerlang dalam tahun 1937 di antara Kaum Muda dengan Kaum Tua tentang hokum jilatan anjing. Lihat Nik Abdul Aziz, Perbahasan tentang Jilatan Anjing: Satu perhatian. Lihat Jebat, bil. 9. 1979/80.Kenyataan ini dapat dilihat dalam tulisan-tulisan yang dikeluarkan oleh kedua pihak; dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar tempatan; antara lain lihat sikap Zaaba tentang kritikannya ke atas ulama tradisional dalam mempertahankan peribadi dan ajaran Khamaja KAmaluddin. Lihat Adnan Haji Mohd Awang. Op.cit. hal. 70.Lihat W.R. Roff. op.cit. hal. 86.