Upload
muhdaizat96
View
216
Download
0
Embed Size (px)
DESCRIPTION
muhyiddin yassin
Citation preview
Profesionalisme guru perlu ditingkatkan – Muhyiddin
Posted: 2:28 pm, May 16, 2014 by editor
KUALA LUMPUR, 16 Mei: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata
peningkatan profesionalisme dan kualiti guru harus diutamakan dalam menghadapi persaingan global
yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan.
Beliau berkata ini sejajar dengan tugas dan tanggungjawab besar yang terletak di bahu guru dan
tuntutan komitmen tinggi bagi melahirkan insan yang berjaya termasuk pemimpin negara.
“Sememangnya menjadi guru dewasa ini tidak semudah yang disangka. Guru perlu sentiasa
menambah nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen perubahan dalam menghasilkan modal
insan yang diperlukan negara kita.
“Guru yang hebat mendidik pelajar sehingga menjadi pemimpin. Guru yang sederhana membimbing
kita menempuh laluan itu namun guru yang hebat mengilhamkan kita untuk mencari laluan kita
sendiri. Mereka menggalakkan kita untuk menyerlahkan bakat masing-masing,” katanya.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata demikian ketika melancarkan sambutan Hari Guru
Peringkat Kebangsaan ke-43 dengan tema ‘Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi’ di Pusat
Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan I dan II Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan
selain ribuan warga pendidik.
Ke arah meningkatkan profesionalisme dan kualiti guru tempatan, Muhyiddin berkata kementerian
akan memantapkan latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) membabitkan kursus dalam
program pendidikan yang turut memberi penekanan terhadap kreativiti dan inovasi.
“Elemen inovasi turut diberi tumpuan melalui Program Diploma Perguruan (PDP) merangkumi
pembentangan, projek, pembinaan sumber, pertandingan inovasi bagi pendidikan lestari dan
pembelajaran atas talian.
“Pembudayaan inovasi di IPG juga dimantapkan dengan penganjuran program berunsur inovasi di
peringkat IPG kampus,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata 566 sekolah rendah telah menerima Anugerah Tawaran Baharu
Guru Besar kerana berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing melepasi sasaran
prestasi tahun lepas. Ia merangkumi 209 sekolah bandar, 302 sekolah luar bandar dan 55 sekolah
pedalaman.
“Ini menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian bagi tahun 2012 iaitu 180 sekolah bandar dan
280 sekolah luar bandar yang menerima anugerah ini,” katanya.
Pada majlis itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dipilih sebagai Tokoh
Kepimpinan Kebangsaan manakala bekas Pengetua Cemerlang, Tengku Azuan Tengku Mohamed
dinamakan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan.
Bekas guru Matematik yang mengajar Muhyiddin di Sekolah Tinggi Muar, Yusuf Karto, 80,
didatangkan khas dalam penampilan istimewa selain diraikan dalam jamuan tengah hari sempena
majlis itu. – BERNAMA