SWOT BIG (ceramah) sem 3

Embed Size (px)

DESCRIPTION

SWOT BIG

Citation preview

SWOT CERAMAHPada hari 12 Ogos 2014, sebuah bengkel yang bertajuk Guru Dan Akauntabiliti Profesionalisme yang dirancang di bawah Program Bina Insan Guru Fasa 2 telah diadakan di Dewan Kirby Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun. Program seminar ini telah dikendalikan oleh semua guru pelatih 2 PISMP ambilan Januari 2014 dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Tuanku Bainun. . Ceramah ini telah diberikan oleh Encik Ravindran Chelliah. Ceramah ini telah berlangsung selama 3 jam iaitu dari pukul 2 hingga pukul 5 petang.Pada pendapat saya, kekuatan ceramah ini ialah penceramah, iaitu Encik Ravindran telah menyampaikan ceramahnya dengan berkesan dan bermakna kepada para guru pelatih. Huraian-huraian beliau adalah mantap, jelas dan bertepatan dengan tajuk. Maklumat seperti ini sememangnya penting dan bermanfaat kepada guru pelatih yang menggalas obligasi untuk mendidik generasi muda pada masa depan. Sebagai contoh, Encik Ravindran telah mendedahkan guru pelatih tentang sifat yang sepatutnya ada pada diri seseorang guru. Beliau mengatakan bahawa guru haruslah sentiasa memperbaiki diri sendiri. Sifat ini sememangnya penting kerana tingkah laku dan sifat guru akan sentiasa menjadi ikutan dan rujukan anak murid di sekolah. Oleh hal yang demikian, adalah penting bagi seseorang guru untuk sentiasa berjaga-jaga dengan tingkah laku dan sifat sendiri supaya tidak mendedahkan kepada murid tingkah laku yang tidak sesuai seperti bercakap kasar, sikap acuh tak acuh semasa mengajar, malas dan sebagainya. Selain daripada sifat, guru juga haruslah sentiasa meningkatkan diri sendiri dari aspek pengetahuan. Guru haruslah melengkapkan diri dengan pelbagai bidang pengetahuan supaya dapat menyalurkan pelbagai maklumat yang berguna dan tepat kepada murid. Beliau juga mengatakan bahawa guru haruslah mempunyai matlamat hidup yang jelas dan sentiasa bersifat positif. Dengan adanya matlamat hidup, guru dapat memenuhi masa mereka dengan bermakna dan berguna untuk berusaha mencapai matlamat mereka. Selain itu, Encik Ravindran juga mengatakan bahawa guru juga haruslah bersifat lebih positif dalam menentukan hala tuju mereka dalam kerjaya. Antara beberapa ciri guru yang berfikiran positif ialah optimis, bersemangat, keberanian, keyakinan, keazaman dan sebagainya. Ringkas kata, Encik Ravindran telah menyampaikan satu ceramah yang sangat bermakna kepada guru pelatih dan seterusnya memberi panduan kepada guru pelatih untuk membentuk sifat diri yang sesuai dengan profesion sebagai seorang guru. Tambahan pula, Encik Ravindran juga dapat melibatkan para guru pelatih semasa menyampaikan ceramah beliau. Hal ini dikatakan sedemikian kerana beliau sentiasa melemparkan soalan kepada guru pelatih dan guru pelatih dikehendaki menjawab persoalan beliau. Tindakan ini dapat merangsang pemikiran guru pelatih dan mendorong mereka. Dalam hal ini, kebanyakan guru pelatih akan memberi kerjasama kepada Encik Ravindran dan sentiasa berusaha untuk menjawab persoalan beliau dengan jawapan yang sesuai. Selain itu, ceramah ini juga telah dikendalikan dengan baik. Ahli jawatankuasa telah menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi semasa menjalankan tugas sehingga membolehkan bengkel ini dianjurkan dengan lancar dan berjaya. Sepanjang proses pengendalian bengkel ini, pengerusi telah berjaya memimpin ahli jawatankuasanya untuk menjalankan tugas masing-masing dengan sempurna. Pada hari bengkel tersebut, Penceramah dan juga para guru pelatih yang terlibat telah datang tepat pada masanya dan membolehkan bengkel dijalankan dalam masa yang telah ditetapkan. Sepanjang ucapan Encik Ravindran, sistem PA juga berfungsi dengan baik dan suara dari mikrofon adalah jelas dan volumnya cukup kuat sehingga dapat didengari oleh semua pendengar. Suasana Dewan Kirby juga selesa dengan pengdingin hawa dan cukup besar untuk memuatkan kesemua guru pelatih yang terlibat. Selain itu, ahli jawatankuasa juga berjaya menguruskan makanan dan minuman yang akan diagihkan kepada para guru pelatih pada masa rehat bengkel tersebut. Bengkel tersebut telah tamat dengan ucapan yang diberikan oleh penyelaras program Bina Insan Guru iaitu Encik Abdul Rahman Bin Moidu. Satu-satunya kelemahan ceramah ini ialah terdapat sebilangan guru pelatih yang tidak menumpukan perhatian semasa pensyarah sedang memberi ceramah. Semasa Encik Ravindran sedang menyampaikan ceramahnya, beberapa orang guru pelatih sedang membuat kerja mereka sendiri dan juga berbual-bual. Pada pendapat saya, perbuatan ini adalah tidak baik lebih-lebih lagi pada diri seorang guru. Perbuatan tidak menumpukan perhatian kepada penceramah dilihat sebagai perbuatan tidak menghormati penceramah.Peluang yang dapat diperoleh melalui ceramah ini ialah guru pelatih berpeluang memperoleh pengetahuan dan nasihat yang berguna. Melalui ceramah ini, guru pelatih dapat memperoleh pengetahuan mengenai sifat-sifat yang harus diamalkan oleh seorang guru dan juga etika sebagai seorang guru. Menurut Encik Ravindran, etika seorang guru dinilai dari 3 aspek, iaitu penampilan diri, hubungan interpersonal serta kecekapan dan kemahiran. Ceramah beliau telah dapat menyedarkan guru pelatih untuk sentiasa menjaga penampilan diri supaya meningkatkan kredibiliti sendiri. Guru pelatih dapat mengetahui kepentingan menjaga penampilan diri, iaitu pemakaian yang kemas dan sesuai dengan majlis, perwatakan yang ceria, bersopan dan sebagainya. Selain itu, Ancaman yang saya dapati melalui bengkel ini ialah masa yang ditetapkan untuk ceramah ini adalah kurang sesuai. Hal ini dikatakan sedemikian kerana bengkel ini telah berlangsung dari pukul 2 petang hingga 5 petang. Sememangnya, guru pelatih mudah berasa mengantuk pada waktu ini, lebih-lebih lagi bagi guru pelatih yang telah menghadiri kuliah Pendidikan Jasmani pada waktu pagi. Keadaan ini menyebabkan guru pelatih mudah berasa mengantuk dan letih pada waktu petang dan seterusnya menjejaskan tumpuan guru pelatih semasa mendengar ceramah. Oleh hal yang demikian, adalah dicadangkan bahawa bengkel sebegini boleh diadakan pada waktu pagi. Penumpuan guru pelatih adalah lebih tinggi pada waktu pagi dan dapat mengurangkan fenomena guru pelatih mengantuk semasa mendengar ceramah. Untuk penambahbaikan program ini pada masa depan, saya berpendapat bahawa selain daripada meminta pensyarah di institut kita yang memberi ceramah, kita juga boleh menjemput penceramah dari luar. Selain itu, tajuk-tajuk yang disampaikan juga boleh melebihi ruang lingkup profesion guru. Misalnya, tajuk-tajuk berkenaan kasih sayang, persahabatan, pengurusan masa dan sebagainya. Walaupun tajuk-tajuk ini kurang berkaitan dengan profesion perguruan, namun, mese-mesej yang disampaikan melalui ceramah yang bertemakan persahabatan, pengurusan masa, gaya hidup sihat, moral dan sebagainya sememannya juga berguna kepada seorang guru. Tajuk-tajuk yang baru akan dapat menarik minat guru pelatih dengan lebih mudah berbanding tajuk-tajuk yang berkaitan dengan profesion guru.

PENILAIAN KENDIRIMelalui ceramah Guru Dan Akauntabiliti Profesionalisme saya telah banyak memperoleh pengetahuan yang berguna kepada profesion perguruan. Ceramah ini telah memberi kesedaran kepada saya untuk membentuk diri saya supaya menjadi seorang guru yang berkualiti pada masa depan. Ceramah ini telah menyedarkan saya supaya sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan saya. Sememangnya, guru haruslah mempunyai pengetahuan yang luas supaya dapat menyampaikan ilmu yang meliputi pelbagai bidang kepada murid. Saya telah mengetahui bahawa betapa pentingnya guru memelihara imej dan tingkah laku diri sendiri. Faktor ini amat penting kerana guru merupakan contoh teladan kepada murid. Guru haruslah mempamerkan imej yang terbaik dengan berpakaian kemas dan sederhana, mesra dan berbudi bahasa, rajin dan tegas serta amanah dalam menjalankan tugas. Dengan adanya imej dan sifat yang baik, kredibiliti seseorang guru dapat ditingkatkan dan juga disanjungi oleh anak murid. Selepas mendengar ceramah ini, saya juga bertekad untuk sentiasa meningkatkan ilmu yang ada pada diri saya. Menurut Encik Ravindran, salah satu sifat guru ialah sentiasa memperbaiki diri sendiri. Hakikatnya, ilmu pengetahuan pada masa kini sudah jauh berubah dan bertambah berbanding zaman dahulu. Saya sedar bahawa sebagai guru, kita tidak boleh kekal di tempat asal sahaja, sebaliknya sentiasa bergerak ke depan seiring dengan peredaran zaman. Kita haruslah sentiasa menimba ilmu pengetahuan baharu sama ada dari bidang sains, ICT, perkembangan dunia terkini, dan sebagainya supaya tidak ketinggalan. Oleh itu, saya akan kerap membaca buku serta sentiasa membaca berita supaya tidak menjadi katak di dalam tempurung. Saya juga telah menyedari tentang kepentingan struktur organisasi sesebuah badan. Dengan adanya struktur organisasi, kerja-kerja dapat dibahagikan dengan khusus dan membolehkan setiap ahli mempunyai bidang tugas masing-masing. Pembahagian kerja secara khusus dapat mengelakkan berlakunya pertindihan tugas dan kekeliruan yang akan menghalang dan menjejaskan kelicinan perjalanan sesebuah organisasi. Seperti yang dinampak dalam pengelolaan bengkel ini, dengan adanya carta organisasi, semua kerja dapat diselesaikan dengan sempurna berkat kerjasama semua ahli. Setiap ahli jawatankuasa mempunyai bidang kerja masing-masing. Pembentukan jawatankuasa adalah penting supaya tugas dan kuasa dapat dibahagikan dan diseimbangkan supaya tidak terletak di bahu seorang sahaja. Pembentukan jawatankuasa juga membolehkan sesuatu program atau organisasi berjalan dengan lancar dan juga dapat menjimatkan masa. Melalui pengelolaan bengkel ini, saya juga menyedari tentang pentingnya sifat amanah. Kita haruslah bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan kepada kita dan menyelesaikannya dengan sempurna dan tepat pada masanya. Kita haruslah sentiasa bersifat teliti semasa menjalankan tugas untuk mengelakkan berlakunya kesilapan. Kesilapan yang banyak akan menjejaskan kualiti kerja dan seterusnya memperlahankan perjalanan tugas orang lain. Seseorang yang cuai dalam melaksanakan tugas juga mudah untuk kehilangan kepercayaan dan keyakinan orang lain terhadapnya. Sesebuah organisasi hanya dapat beroperasi dengan lancar sekiranya setiap ahli membuat tugas mereka dengan sempurna dan tidak melengah-lengahkan masa untuk menghabiskan tugas mereka. Kesannya adalah buruk sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan tugas yang diberikan kepada kita. Misalnya, dalam pengelolaan bengkel ini, sekiranya setiausaha tidak menyiapkan kertas kerja dengan baik dan mempunyai banyak kesilapan, sudah tentu banyak masa akan dirugikan untuk membetulkan kesilapan dan mencetakkannya semula. Kelulusan krertas kerja yang ditangguhkan juga akan menyebabkan kerja lain ditangguhkan seperti peminjaman alatan, penempahan tempat, penempahan makanan dan sebagainya. Selain itu, saya juga menyedari tentang kepentingan mencatat nota. Saya mendapati bahawa sekiranya saya tidak mencatat nota, saya sudah tentu akan melupai maklumat-maklumat yang telah saya dengar semasa bengkel ini. Nota-nota yang dicatat akan menjadi rujukan saya pada masa depan sekiranya saya membaca kembali nota yang telah dicatat. Saya mendapati mencatat nota membolehkan saya mencantum mesej-mesej yang telah diterima sepanjang ceramah ini. Dengan mencatat nota, saya dapat sentiasa mengikuti perkara-perkara yang disampaikan oleh penceramah dan tidak akan berasa keliru kerana saya dapat membaca kembali perkara yang dipertuturkan oleh penceramah sebelum itu. Kelemahan saya semasa melibatkan diri dalam bengkel ini ialah saya kurang dapat memberi perhatian terhadap ceramah yang disampaikan kerana saya berasa letih dan mengantuk terutamanya pada waktu petang. Lebih-lebih lagi, saya telah menjalani aktiviti Pendidikan Jasmani yang banyak menghauskan tenaga pada waktu pagi. Oleh hal yang demikian, fikiran saya asyik melayang apabila mendengar ceramah Encik Ravindran. Untuk mengatasi masalah ini, saya telah pergi mencuci muka di tandas pada waktu rehat untuk membolehkan saya berasa lebih bersemangat. Saya juga telah berjalan-jalan untuk seketika waktu di luar Dewan Kirby untuk menghilangkan lesu saya.

LAPORAN REFLEKTIF KHIDMAT MASYARAKATPada 23 Ogos 2014, guru pelatih dari 2 PISMP PM dan guru pelatih 2 PISMP TESL telah menganjurkan satu aktiviti khidmat masyarakat di Rumah Kanak-kanak Taman Bakti, Kepala Batas di bawah Program Bina Insan Guru. Kekuatan aktiviti khidmat masyarakat ini ialah aktiviti ini dapat memupuk sifat berkerjasama sesama guru pelatih. Hal ini dikatakan sedemikian kerana guru pelatih dikehendaki bekerjasama untuk membersihkan kawasan dewan rumah kanak-kanak tersebut. Bak kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh. Dengan adanya kerjasama antara guru pelatih, kami berjaya memersihkan dewan dan melukis satu mural yang cantik di dalam dewan.Program ini telah berjaya menjalin ukhuwah yang erat antara guru pelatih2 PISMP PM dan guru pelatih 2 PISMP TESL. Lazimnya, guru pelatih dari kedua-dua kelas ini kurang bergaul dan berinteraksi kerana berlainan kelas. Oleh hal yang demikian, aktiviti khidmat masyarakat ini telah bertindak sebagai satu wahana yang baik untuk guru-guru pelatih menjalin hubungan dan bergaul sesama mereka. Guru pelatih berpeluang saling memahami dan tolong-menolong. Selain menjalin hubungan yang erat sesama guru pelatih, aktiviti ini juga dapat menjalin hubungan yang erat dengan pensyarah dan juga kanak-kanak di rumah tersebut. Sepanjang aktiviti ini, pensyarah mentor kami iaitu Dr. Azhar sentiasa memantau kerja-kerja kami supaya tidak melakukan kesalahan atau perbuatan yang tidak sesuai. Beliau juga sentiasa membantu kami sepanjang gotong-royong tersebut. Kadang-kala, beliau juga akan berbual-bual dengan guru pelatih pada masa terluang. Di samping itu, kami juga berpeluang bergaul dengan kanak-kanak di rumah kanak-kanak tersebut. Hal ini adalah disebabkan tersebut slot aktiviti permainan yang akan dijalankan bersama-sama dengan kanak-kanak. Selain itu, aktiviti ini juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri guru pelatih. Antara amalan nilai murni yang akan disemai dalam diri guru pelatih ialah nilai kerajinan, nilai bekerjasama, bertolak ansur dan sebagainya. Untuk membolehkan aktiviti gotong-royong tamat dengan lancar, akan timbul sifat keinginan dalam diri guru pelatih supaya membuat kerja dengan rajin dan tidak melengah-lengahkan masa. Untuk nilai kasih sayang pula, apabila guru pelatih bertemu dengan kanak-kanak, mereka akan sentiasa cuba sedaya upaya untuk mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan kerap berbual-bual dan bermain dengan mereka. Guru pelatih juga bekerjasama dengan kanak-kanak untuk membersihkan dewan. Salah satu kekuatan aktiviti ini ialah aktiviti ini telah dapat menggembirakan kanak-kanak di rumah kanak-kanak tersebut. Terdapat slot permainan selama 30 minit yang melibatkan kanak-kanak. Dalam permainan ini, kanak-kanak dikehendaki memupuk kerjasama dengan guru pelatih untuk memenangi permainan ini. Sepanjang slot ini, bunyi ketawa kanak-kanak bergelumang di dalam dewan. Padahal mereka mungkin kurang bergaul dengan orang luar. Oleh hal yang demikian, kedatangan kami telah menimbulkan rasa ingin tahu mereka dan telah membawa kegembiraan kepada mereka. Kami telah menjadi teman kepada mereka untuk seketika waktu dan memberikan kasih sayang dan mewujudkan persahabatan dengan mereka. Kekuatan aktiviti ini ialah guru pelatih dapat mempelajari cara-cara untuk bergaul dengan kanak-kanak. Sesetengah kanak-kanak bersifat introvert dan tidak mudah untuk bergaul dengan orang lain. Walaupun guru pelatih telah cuba sedaya upaya untuk berkomunikasi dengan mereka, namun kanak-kanak tersebut masih tidak ingin membuka suara dan berkomunikasi dengan guru pelatih. Oleh hal yang demikian, di sini, guru pelatih telah mempelajari tentang kesabaran semasa bergaul dengan kanak-kanak introvert. Guru pelatih haruslah menunjukkan kasih sayang dan sabar semasa melayan kerenah kanak-kanak. Guru pelatih boleh menggunakan kaedah permainan untuk menarik perhatian kanak-kanak supaya mereka menjadi lebih aktif semasa pergaulan mereka dengan guru pelatih. Selain daripada kanak-kanak introvert, terdapat juga kanak-kanak yang agak nakal dan aktif bergerak. Oleh hal yang demikian, guru pelatih telah mempelajari cara-cara untuk meminta kanak-kanak supaya mendengar cakap dan tidak berlari merata-rata tempat.Kelemahan yang boleh didapati daripada aktiviti ini ialah slot ice-breaking telah dibatalkan disebabkan masa yang diperuntukkan untuk sesi gotong-royong adalah terhad. Oleh hal yang demikian, kami hanya berpeluang untuk bermain satu permainan kecil dengan kanak-kanak di situ. Untuk guru pelatih yang melukis mural pula, mereka tidak berkesempatan untuk melibatkan diri dalam aktiviti permainan tersebut kerana banyak masa diperlukan untuk melukis mural. Kesannya, mereka tidak berpeluang untuk bergaul dengan kanak-kanak. Satu lagi kelemahan aktiviti ini ialah pihak pengurusan rumah kanak-kanak tidak memberikan taklimat kepada para guru pelatih sebelum guru pelatih memulakan gotong-royong. Kesannya, pada mulanya, guru pelatih tidak mengetahui lokasi tempat mendapatkan air dan tandas. Oleh hal yang demikian, guru pelatih tertanya-tanya dan mengambil banyak masa untuk mencari tempat-tempat tersebut. Peluang yang dapat diperoleh melalui aktiviti ini ialah sesetengah guru pelatih dapat mempelajari teknik-teknik melukis mural. Sebelum melukis mural, guru pelatih hendaklah mencampurkan beberapa jenis warna untuk menghasilkan warna baru. Misalnya, warna merah bercampur dengan warna biru dan putih akan menjadi warna ungu muda. Selepas mencampurkan warna, guru pelatih hendaklah membuat melukis bentuk huruf-huruf abjad yang akan dilukis di dinding dengan menggunakan pensel. Kesemua ukuran hendaklah tepat untuk menghasilkan mural yang kemas. Guru pelatih juga haruslah bersifat teliti supaya warna mural tidak akan terkeluar daripada garisan yang telah dilukis sebelum itu. Selain itu, guru pelatih akan belajar untuk melukis dengan menggunakan kaedah gradient. Di samping itu, guru pelatih juga berpeluang mengenali rumah kanak-kanak. Menurut pengetua di rumah kanak-kanak tersebut, kanak-kanak yang merupakan anak yatim atau ibu bapa mereka yang dimasukkan ke dalam penjara akan ditempatkan di situ. Sebelum meliwat ke rumah kanak-kanak tersebut, kebanyakan guru pelatih tidak mengetahui fungsi dan peranan rumah kanak-kanak. Ancaman yang terdapat dalam aktiviti ini ialah kemudahan tandas di rumah kanak-kanak tersebut adalah buruk. Di sesetengah tandas yang disediakan untuk kanak-kanak, pintunya telah rosak dan tidak dapat dikunci. Malah sesetengah tandas tidak mempunyai pintu. Kesannya, guru pelatih terpaksa berjalan jauh untuk menggunakan tandas di dalam blok pentadbiran.

PENILAIAN KENDIRI KHIDMAT MASYARAKATSaya telah memperoleh banyak faedah dan pengalaman melalui aktiviti khidmat masyarakat yang telah diadakan di bawah Program Bina Insan Guru pada 23 Ogos 2014. Pertama sekali, saya telah mempelajari tentang teknik-teknik melukis mural. Pada sehari sebelum khidmat masyarakat, saya dan beberapa orang rakan telah melakar dan menggunting bentuk-bentuk abjad yang akan dilukis dengan menggunaan kertas lukisan. Untuk mengelakkan sebarang kesilapan semasa melukis mural pada keesokan harinya, saya dan rakan saya telah melukis satu mural kecil di dinding kelas kami sendiri. Pada keesokan hari, saya dan rakan saya telah memulakan kerja persediaan semasa berada di dalam bus institut. Kami telah melekat pelekat di belakang kertas lukisan yang berbentuk huruf abjad yang telah kami gunting semalam. Setibanya di destinasi, kami terus memulakan kerja kami tanpa berlengah-lengah. Kami telah mengelap dinding yang akan kami lukis telebih dahulu untuk membersihkan kotoran-kotoran yang terdapat di dinding. Selepas itu, kami melekat dua utas benang panjang secara selari pada dinding dan seterusnya melekat kertas lukisan yang berbentuk huruf abjad tersebut di antara kedua-dua benang tersebut untuk mengelakkan kertas lukisan tersebut daripada condong. Selepas itu kami telah mula melukis mural. Namun demikian, semasa melukis mural, kami telah menghadapi satu masalah. Kami mendapati jenis cat dinding di rumah kanak-kanak tersebut adalah berbeza dengan cat dinding kelas kami. Kesannya, warna mural yang kami guna kurang diserap oleh cat dinding dewan dan menyebabkan warna yang dilukis kelihatan keputih-putihan. Keadaan ini telah menyebabkan mural kami kelihatan kurang cantik. Kesannya, kami terpaksa mewarnai dinding tersebut berulang-ulang kali supaya warna mural itu nampak sebati. Saya berpendapat bahawa aktiviti khidmat masyarakat ini telah dapat mengeratkan hubungan saya dengan guru pelatih lain. Semasa melukis mural, saya juga telah mengambil kesempatan ini untuk berbual-bual dengan rakan lain dari kelas TESL. Kami telah berbual-bual tentang latar belakang, opsyen, hobi dan sebagainya. Kami juga telah berbincang tentang teknik-teknik melukis mural. Selepas siap melukis mural, kami juga telah bekerjasama membersihkan peralatan yang digunakan untuk melukis mural. Sesi melukis mural ini sememangnya merupakan satu saluran untuk saya mengeratkan hubungan saya dengan guru pelatih dari kelas TESL. Selain itu, saya juga memperoleh kemahiran membuat refleksi. Sebelum kami bertolak balik ke IPG, telah diadakan satu sesi refleksi di rumah kanak-kanak tersebut. Guru-guru pelatih dikehendaki membuat refleksi terhadap pengalaman mereka di rumah kanak-kanak. Semasa membuat refleksi, saya telah mengimbas kembali perkara-perkara yang telah saya lalui sepanjang masa saya berada di rumah kanak-kanak tersebut. Saya juga telah mengatakan perasaan yang saya rasai semasa bergaul dengan kanak-kanak di situ dan mengemukakan beberapa pengalaman baru saya semasa melukis mural. Bukan itu sahaja, saya juga telah memperoleh pengalaman baru, iaitu saya telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa makanan untuk program ini. Ini merupakan kali pertama saya menjadi AJK makanan. Melalui jawatan ini, saya telah mengetahui dokumen-dokumen rasmi yang perlu dikutip daripada pihak kantin semasa menempah makanan daripada kantin. Saya juga belajar untuk menentukan menu minum pagi dan makan tengah hari yang sesuai dengan budget yang telah diperuntukkan kepada kami. Saya juga berpeluang untuk bergaul dengan kanak-kanak di rumah kanak-kanak tersebut. Semasa saya sedang membuat kerja persediaan iaitu mencampurkan warna mural, kanak-kanak telah mengelilingi saya kerana berasa hairan terhadap kerja saya. Untuk memenuhi perasaan ingin tahu kanak-kanak tersebut, saya telah meminta mereka menolong saya mengaulkan campuran warna tersebut. Saya juga tidak lupa untuk mengingatkan mereka supaya tidak menumpahkan warna-warna tersebut sehingga mengotorkan lantai. Kanak-kanak berasa sangat gembira dan seronok apabila mereka diminta untuk membantu dalam kerja mencampur warna mural.