Upload
reen-na
View
3.583
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
Tabu dalam bahasa: Sebab kewujudannya
Oleh: Aswiza Awang
Bahasa merupakan sistem atau alat komunikasi yang amat penting bagi manusia dalam perhubungan sehari-
hari. Menurut Asmah Haji Omar, “bahasa yang digunakan merupakan sistem lambang yang mengaitkan
maksud atau fikiran manusia dengan sesuatu benda yang konkrit ataupun sesuatu yang abstrak, supaya
demikian pengguna bahasa dapat memahami sesuatu benda yang diperkatakan itu”. Bahasa merupakan
suatu unsur yang dinamik, yakni sentiasa berubah-ubah mengikut situasi dan zaman atau perkembangan
semasa. Oleh hal yang demikian, menurut S. Nathesan, bahasa sentiasa dianalisis dan didekati dengan
menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengkajinya. Antara pendekatan yang dapat digunakan untuk
mengkaji bahasa ialah pendekatan makna. Bidang makna atau semantik merupakan sebahagian daripada
ilmu linguistik yang tidak akan sempurna jika tidak ada kajian makna. Salah satu bidang makna yang dikaji
ialah unsur tabu yang terdapat dalam bahasa. Masyarakat Melayu kaya dengan adat dan budaya Timur
menjadi pegangan sejak dahulu. Adat, adab, dan budaya yang menjadi tradisi dalam masyarakat ini bukan
sahaja menjadi ikutan, malah turut melingkungi masyarakat sebagai peraturan bersama dalam perhubungan
sehari-hari. Kebersamaan dalam masyarakat inilah yang menyebabkan wujudnya peraturan-peraturan
tertentu yang berunsur tabu yang menjadi suatu pegangan oleh seluruh anggota masyarakat agar adat,
adab, dan budaya yang dijunjung itu terjaga. Tabu merupakan suatu strategi kesantunan yang melibatkan
aspek kebahasaan supaya kesopanan, adat, dan adab yang dijunjung dalam masyarakat Melayu itu dapat
dipatuhi bersama oleh setiap anggota masyarakat. Aspek kesantunan yang berunsur tabu ini merangkumi
perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diucapkan dalam
situasi tertentu.
Sebahagian daripada kajian makna atau semantik yang dikaji ialah tabu dalam bahasa. Kata tabu seperti
yang dinyatakan dalamKamus Dewan Edisi Keempat bermaksud “sesuatu yang dilarang, pantang larang atau
yang dilarang atau ditegah daripada dipercakapkan”. Mengikut Tesaurus Linguistik Bahasa Melayu, tabu ialah
“suatu keadaan untuk mengelakkan penggunaan kata yang tidak sopan atau dilarang”. Apabila dikaitkan
dengan bahasa, tabu ialah suatu keadaan yang menjadi sempadan atau sekatan kepada anggota masyarakat
agar mereka tidak menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dengan sewenang-wenangnya. Walaupun
bahasa merupakan sesuatu yang arbitrari, ada sesetengah perkara yang tidak boleh dibicarakan secara
terbuka dan terang-terangan, terutamanya di khalayak. Menurut Teo Kok Seong, topik-topik yang sering
dianggap tabu dalam masyarakat Melayu antaranya hal-hal yang berkaitan seks, fungsi badan tertentu,
anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis. Selain itu, masyarakat Melayu juga sangat
sensitif dengan hal-hal yang berkaitan dengan adat dan kepercayaan.
MENGAPA TABU WUJUD?
Tabu dalam bahasa wujud disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor-faktor tersebut merangkumi faktor yang
berkaitan dengan latar belakang masyarakat itu sendiri. Antaranya adalah seperti berikut:
(a) Adat dan Kepercayaan
Masyarakat Melayu memiliki khazanah adat dan kebudayaan yang begitu tinggi. Adat dan budaya yang
dipegang oleh masyarakat Melayu memainkan peranan penting dalam kehidupan sehari-hari. Hal-hal inilah
yang menjadi panduan dalam dalam kehidupan mereka sejak dahulu. Asmah Haji Omar dalam Susur Galur
Bahasa Melayu mengatakan bahawa orang-orang Melayu sebelum memeluk agama Hindu dan kemudiannya
Islam, percaya pada semangat, baik pada makhluk bernyawa mahupun tak bernyawa seperti pokok-pokok,
kayu-kayu besar, batu, dan sebagainya. Masyarakat Melayu menganggap benda-benda itu mempunyai
semangat atau jiwa yang boleh mempengaruhi mereka. Oleh itu, perlakuan terhadap benda-benda itu
hendaklah secara sopan santun. Bagi masyarakat Melayu, perlakuan yang tidak sopan dan kasar, sama ada
dalam bentuk perbuatan atau percakapan akan memberi kemudaratan kepada orang yang berkenaan. Oleh
hal yang demikian, segala perkara yang berkaitan dengan perkara tersebut dianggap tabu oleh masyarakat
Melayu. Oleh sebab ada larangan tertentu yang telah ditetapkan oleh masyarakat dalam berbahasa tentang
perkara-perkara yang berkenaan, maka ungkapan-ungkapan yang dianggap tabu telah digantikan dengan
istilah lain yang dianggap lebih sopan dan manis didengar.
Untuk menjaga hati ‘semangat’ yang ada pada benda-benda tersebut, masyarakat Melayu menggantikan
perkataan tertentu yang dianggap tabu dengan perkataan lain yang lebih halus sifat atau lebih tersembunyi
maksudnya. Sebagai contoh, kata datuk ataunenek digunakan apabila seseorang melalui tempat tertentu
yang dipercayainya wujud ‘penunggu’ atau hantu. Kata datuk ataunenek tersebut merujuk pada ‘penunggu’
atau hantu yang dipercayainya tinggal di tempat tersebut. Penggantian kata tersebut untuk menunjukkan
bahawa orang yang menyebutnya sangat menghormati ‘penunggu’ itu dan berharap agar mereka tidak
‘diganggu’ dan memberi kemudaratan kepadanya. Kata datuk dalam maksud dan keadaan biasa merujuk
kepada “bapa kepada ayah atau ibu seseorang.” (Kamus Dewan Edisi Keempat), manakala kata nenek pula
bermaksud “orang tua kepada emak atau ayah. Umumnya, kata tersebut juga merupakan panggilan
seseorang kepada bapa kepada ayah atau ibunya. Begitu juga dengan kata nenek. Datuk dan nenek
merupakan kedudukan ahli keluarga yang sangat dihormat. Kedudukan tersebut membuatkan seseorang
yang bergelar datuk atau nenek sangat dihormati oleh cucu-cucunya sebagai orang yang lebih tua. Oleh
sebab itulah kata datuk atau nenek digunakan untuk merujuk hantu atau ‘penunggu’ yang dipercayai itu
kerana ‘mereka’ perlu dihormati sama seperti datuk atau nenek seseorang.
Dari segi adat, unsur tabu turut memainkan peranan penting dalam menjaga tradisi yang turunkan oleh
warisan terdahulu, terutama dalam konteks perhubungan sosial. Sebagai contoh, apabila ada kematian
anggota masyarakat, perkataan mati sama sekali tidak boleh digunakan bagi merujuk perihal kematian
tersebut. Sebaliknya, masyarakat Melayu lebih selesa menyebutmeninggal dunia, atau dalam konteks
lain kembali ke rahmatullah. Begitu juga apabila merujuk pada orang yang meninggal dunia, kata mayat juga
dianggap tidak sopan disebut, tetapi digantikan dengan jenazah. Jika dilihat dari sudut makna,
kata matibersinonim dengan meninggal dunia, begitu juga kata mayat yang bersinonim dengan jenazah.
Bagaimanapun, hal ini berbeza jika dilihat dari sudut adat dan kesopanan dalam masyarakat Melayu.
Fenomena inilah yang dikatakan sebagai tabu kerana adanya larangan tersebut dalam masyarakat yang
menjunjung adat tersebut.
(b) Takut
Selain unsur ghaib, masyarakat Melayu juga percaya akan kekuatan semangat binatang liar. Binatang yang
biasa menjadi ketakutan masyarakat Melayu adalah seperti harimau, gajah, buaya, babi hutan, ular, dan
tikus. Binatang-binatang ini dianggap boleh memberi kemudaratan kepada manusia sekiranya bertembung di
hutan. Kehidupan masyarakat Melayu dahulu sangat bergantung kepada hutan kerana hutan memberikan
pelbagai sumber rezeki. Oleh hal yang demikian, mereka sering masuk ke hutan untuk mendapatkan
pelbagai sumbernya seperti rotan, madu, umbut, damar, dan sebagainya. Oleh itu, seboleh mungkin mereka
tidak mahu bertembung dengan binatang-binatang tersebut kerana mungkin akan mendatangkan bahaya
dan kemudaratan. Masyarakat Melayu juga percaya bahawa sekiranya nama binatang seperti harimau, gajah
atau babi hutan disebut dengan lafaz namanya yang sebenar, mereka akan bertembung dengan binatang
tersebut, dan mungkin akan mengganggu atau membawa kemudaratan kepadanya. Selain itu, masyarakat
Melayu juga percaya sekiranya binatang-binatang tersebut dicabar, dimarahi atau dikeji dengan kata-kata
nista, orang tersebut akan ditimpa musibah yang teruk. Sebagai contoh, jika seseorang itu menyumpah atau
berkata sesuatu yang tidak baik terhadap babi hutan atau tikus yang merosakkan tanamannya, nescaya
tanamannya akan dimusnahkan sama sekali oleh segerombolan babi hutan atau tikus yang dinista itu. Begitu
juga sekiranya seseorang itu mencabar kekuatan dan ‘kewibawaan’ gajah dan harimau, mereka mungkin
akan bertembung dengan haiwan tersebut. Untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku, nama
binatang tersebut digantikan dengan sebutan lain seperti berikut:
Nama haiwan Nama gantian
harimau Pak Belang
gajah orang besar
ular akar
buaya batang hanyut
tikus Cik Siti
Kata Pak Belang bagi menggantikan harimau digunakan merujuk belang yang terdapat pada badannya.
Dengan demikian, kataharimau tidak lagi disebut, terutamanya semasa berada di dalam hutan kerana jika
disebut, seolah-olah orang yang menyebutnya memanggil harimau tersebut. Begitu juga dengan kata orang
besar yang menggantikan kata gajah. Istilah orang besar merujuk sifat gajah yang besar badannya. Istilah
tersebut juga memberi perlambangan bahawa orang yang menyebutnya menghormati gajah yang besar dan
kuat yang boleh memusnahkan tananan dan nyawa manusia. Kata akar bagi menggantikan ular pula merujuk
sifat ular yang menjalar seperti akar pokok. Begitulah kebijaksanaan orang Melayu dalam penciptaan istilah
baharu bagi menggantikan nama haiwan yang ditakutinya.
(c) Unsur seks/lucah/fungsi badan
Masyarakat Melayu ialah masyarakat timur yang masih tebal dengan adat dan budaya yang tinggi nilai
moralnya. Tambahan pula, sejak kedatangan Islam sejak abad ke-13, ajaran yang diterapkan oleh Islam yang
berkaitan dengan moral dan akhlak sangat menepati dengan sifat masyarakat Melayu yang lemah lembut
dan sangat mementingkan soal maruah dan harga diri. Oleh hal yang demikian, soal yang berkaitan dengan
tubuh badan, terutamanya yang berkaitan dengan golongan wanita serta hal rumahtangga dianggap tabu
oleh masyarakat Melayu. Kata-kata yang berkaitan yang dianggap tabu tersebut digantikan dengan
perkataan lain yang dianggap lebih sopan dan halus. Senarai perkataan tersebut adalah seperti berikut:
Kata tabu Kata gantian
pantat
kemaluan
butuh
puki
burit
jubur/dubur punggung
kopek buah dada/payudara
tetek
haid datang bulan, datang kotor
bersetubuh hubungan kelamin
mengandung hamil/berbadan dua
Selain itu, hal-hal yang berkaitan dengan fungsi badan manusia, seperti berak, kencing, tahi, dan kentut juga
dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata tersebut dianggap kotor dan kasar. Oleh hal yang
demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata yang lebih sopan, iaitu buang air besar/ke sungai besar,
buang air kecil/ke sungai kecil, najis, dan buang angin. Pemilihan kata tersebut disebabkan maknanya masih
lagi berkonotasi dengan kata asalnya walaupun pada asasnya kata tersebut mempunyai makna yang lain.
Kata buang air besar/ke sungai besar, misalnya merujuk perbuatan berak secara tidak langsung dan tidak
berterus-terang. Begitu juga dengan kata buang angin yang sebenarnya berkonotasi dengan perbuatan
membuang angin perut melalui saluran dubur. Perbuatan tersebut walaupun lumrah bagi manusia, tetapi
tidak sopan bagi masyarakat Melayu sekiranya disebut dengan perkataan kentut kerana dianggap sangat
kasar dan tidak berbudi bahasa. Oleh sebab itu, kata tersebut digantikan supaya menjadi lebih sopan dan
halus budi pekerti bagi orang yang menyebutnya.
Ironinya, kewujudan tabu dalam bahasa membawa natijah yang cukup baik dalam perkembangan bahasa dan
budaya Melayu. Secara tidak langsung, unsur kesantunan dalam berbahasa atau eufemisme turut
berkembang dalam masyarakat. Menurut Teo Kok Seong, eufemisme ialah perkataan atau frasa yang lebih
sopan dan halus sifatnya untuk menggantikan perkataan atau frasa yang sudah pun dianggap sebagai kasar
dan keji. Eufemisme atau kesantunan merupakan suatu keadaan yang wujud apabila seseorang itu mencuba
untuk tidak menjadikan bahasa atau perbuatan yang dituturkan atau dilakukannya dianggap tidak sopan atau
melanggar konsep tabu yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Oleh hal yang demikian, kata tahi, kencing,
dan beraktersebut digantikan dengan kata lain yang dianggap lebih sopan, seperti najis, buang air kecil,
dan buang air besar.
Oleh sebab masyarakat Melayu menganggap kata-kata tersebut berupa kata yang dilarang penggunaannya
secara langsung, maka wujudlah unsur eufemisme atau kesantunan dalam berbahasa. Eufemisme atau
kesantunan merupakan suatu keadaan yang wujud apabila seseorang itu mencuba untuk tidak menjadikan
bahasa atau perbuatan yang dituturkan atau dilakukannya dianggap tidak sopan atau melanggar konsep tabu
yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Keadaan ini wujud kerana selepas kedatangan Islam, bangsa Melayu
begitu mementingkan adab sopan seperti yang diajarkan dalam Islam. Akhlak yang terpuji seperti yang
diajarkan oleh Rasulullah (S.A.W) begitu mempengaruhi masyarakat Melayu Islam, bukan sahaja dalam
perbuatan, justeru dalam pertuturan harian. Hal inilah yang membudaya dalam masyarakat Melayu sehingga
wujudnya konsep kesantunan atau eufimisme bagi menutup hal-hal yang tabu tersebut. Hal ini demikian
kerana, dalam masyarakat Melayu, seseorang yang menggunakan kata-kata yang dianggap tabu bukan
sahaja dianggap tidak beradab tetapi juga boleh menyinggung perasaan orang yang berkenaan. Sebagai
contoh, hal-hal yang berkaitan dengan wanita, seperti haid, mengandung, tetek atau kopek dianggap tabu
oleh masyarakat Melayu. Kata-kata ini dianggap sebagai kata-kata yang tidak manis atau mengandungi unsur
lucah, lebih-lebih lagi apabila diucapkan oleh seseorang lelaki di hadapan seorang perempuan. Oleh hal yang
demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata seperti yang telah dijelaskan sebelumnya. Hal
yang demikian kerana, seseorang yang mengucapkan kata-kata yang dianggap tabu boleh dianggap sebagai
orang yang tidak sopan atau tidak tahu adab dan budi bahasa. Bangsa Melayu sememangnya terkenal
sebagai bangsa yang mementingkan budi bahasa yang tinggi. Oleh hal yang demikian, untuk mengelakkan
seseorang itu dikatakan sebagai orang yang tidak berbudi bahasa atau bermulut celupar, sesuatu perkataan
yang dikatakan tabu akan dijelaskan dengan panjang lebar melalui kata-kata atau ayat yang berlapis atau
berkias. Bentuk kiasan inilah yang merupakan sirkumlokusi yang digunakan sebagai pelarian supaya kata
yang menjadi tabu tersebut tidak disebut secara terang-terangan.
Suatu hal yang menarik dalam membicarakan soal kata-kata yang berunsur tabu ialah sesetengah kata
tersebut tidak dianggap tabu dalam situasi tertentu. Walaupun pada asasnya semua kata yang dianggap tabu
dilarang penggunaannya dalam percakapan, tetapi larangan tersebut adalah terbatas dalam situasi yang
tertentu sahaja. Larangan atau sekatan penggunaan kata-kata yang dianggap tabu hanya meliputi aspek
rujukan khusus bagi makna asal perkataan tersebut sahaja, misalnya, kata tahi, kencing, danberak. Sekiranya
kata-kata tersebut diucapkan untuk merujuk makna asalnya, iaitu tahi merujuk pada hampas atau sisa
buangan manusia yang keluar dari dubur, atau perbuatan kencing dan berak yang dilakukan oleh manusia,
kata-kata tersebut dianggap tabu. Walau bagaimanapun, kata-kata tersebut tidak lagi dianggap tabu
sekiranya digunakan dalam bentuk nama sesuatu benda atau penyakit atau sifat sesuatu yang berbentuk
kiasan. Contohnya, kata majmuk kiasan tahi lalat yang merujuk bintik hitam yang ada pada kulit manusia
atau tahi itik, sejenis kuih tradisional di negeri Kelantan. Suatu kejanggalan dalam masyarakat sekiranya kata
tersebut ditukar menjadi najis lalat atau najis itik bagi merujuk hal yang sama. Kata kencing
malam atau kencing manis yang merujuk sejenis penyakit yang dihidapi manusia juga tidak dianggap tabu,
malah orang yang menyebutnya juga tidak berasa segan dan bersalah. Orang yang mendengarnya juga tidak
akan tersinggung dan menganggap orang yang mengucapkannya sebagai tidak sopan. Hal yang demikian
kerana, orang yang mendengarnya memahami bahawa kata yang diucapkan itu merujuk nama penyakit,
bukannya perbuatan kencing itu.
Begitu juga dengan bentuk peribahasa Melayu yang berbentuk kiasan, seperti macam cicak berak kapur,
dan guru kencing berdiri murid kencing berlari. Kata berak dan kencing yang disebut dalam peribahasa
tersebut tidak dianggap tabu. Menurut Teo Kok Seong, hal ini berlaku kerana “sesuatu perkataan atau
ungkapan yang menjadi tabu itu dilarang penggunaannya pada topik dan ranah (bidang) tertentu sahaja”.
Ungkapan tabu juga tidak akan dianggap tabu sekiranya penggunaannya merujuk pada binatang. Hal ini
demikian kerana, sesuatu yang dianggap tabu itu hanya berlaku sekiranya ia melibatkan hal-hal yang
berkaitan dengan manusia sahaja, lebih-lebih lagi yang merujuk kaum wanita. Sebagaimana yang
diungkapkan oleh Teo Kok Seong, “tidak betul, tidak perlu, dan amat janggal dari segi sistem bahasa Melayu
apabila kita melafazkan atau menulis ungkapan sesopan ini – “Kucing jiran sebelah selalu buang air besar di
halaman rumah saya”. Hal ini bermaksud, walaupun seseorang itu ingin bersikap sopan, penggunaan buang
air besar yang digunakan bagi merujuk perbuatan kucing tersebut adalah tidak tepat dalam konteks
penggunaan bahasa Melayu. Tidak menjadi suatu kesalahan dan tidak pula dianggap tidak sopan seseorang
itu sekiranya dia menggunakan ungkapan kucing itu berak.
Sesungguhnya pengetahuan anggota masyarakat dalam soal kesantunan berbahasa, terutama aspek tabu
dalam masyarakat Melayu adalah sangat penting. Hal ini demikian kerana, pengetahuan inilah yang menjadi
ukuran sama ada seseorang itu berbudi pekerti, berbudi bahasa, beradat atau bersopan santun bukan sahaja
dalam pertuturan tetapi juga dalam tingkah laku. Kenaifan seseorang anggota masyarakat dalam soal ini
boleh mengakibatkannya dipandang rendah oleh masyarakat. Pengetahuan tentang hal ini juga menunjukkan
bahawa seseorang itu peka dengan hal-hal yang berkaitan dengan peraturan dalam bermasyarakat dan
berbahasa. Sesungguhnya, unsur tabu yang terdapat dalam masyarakat Melayu menyekat seseorang
daripada berbahasa dengan sewenang-wenangnya, tetapi keadaan ini diterima dan dipersetujui oleh anggota
masyarakat Melayu seluruhnya. Unsur ini juga diterima dengan baik oleh seluruh anggota masyarakat kerana
melalui unsur tabu inilah, wujudnya suatu peraturan yang berkaitan dengan kesantunan dan keperibadian
mulia seseorang. Bertepatan pula dengan masyarakat Melayu yang masih kuat berpegang dengan nilai-nilai
Timur, unsur tabu tidak menjadi bebanan dalam kehidupan harian mereka, justeru menjadi suatu
kepentingan dalam kehidupan sehari-hari.